Selasa, 12 Julai 2011

ISU SOSIAL : Kesan globalisasi kepada budaya tempatan

Oleh Aminuddin Mansor


Jika diamati globalisasi mempunyai pelbagai tanggapan, bergantung pada bidang yang dilibati dan ditanggapi seseorang seperti politik, ekonomi, budaya, perdagangan, komunikasi dan seni.


Globalisasi juga membawa maksud fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manusia mudah mendapat maklumat dan sukar menapis unsur negatif yang meresap dalam hati dan minda.


Beberapa istilah seperti “dunia tanpa sempadan” dan “langit terbuka” menjadikan seperti perdagangan; pengembangan kuasa politik dan ekonomi ke arah pengembangan peradaban. Ia kelihatan mempunyai agenda tersendiri bagi kuasa Barat.


Bagi menghadapinya, ibu bapa mestilah menyediakan kekuatan jati diri dan akhlak kepada anak-anak. Anak-anak sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya hedonisme iaitu mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Pengaruh nyanyian, budaya berpakaian, makanan dan juga percakapan sangat pantas masuk.


Pendek kata, proses globalisasi yang dikehendaki adalah mengikut acuan kita sendiri dan berlaku mengikut kehendak kita. Keterbukaan ekonomi akan diikuti oleh bidang lain pula, termasuk nilai dan budaya.


Teknologi canggih yang dimanipulasikan oleh Barat, bukan sekadar satelit dan teknologi maklumat, bahkan penemuan sains lain yang sentiasa diusahakan seperti mencipta klon supaya membawa perubahan kebudayaan dalam kalangan manusia.


Perubahan pemikiran tentang politik seperti melakukan demonstrasi di jalanan juga mempunyai pengaruh berikutan dunia tanpa sempadan yang menyebabkan pengaruh luar boleh meresap ke negara-negara lain. Globalisasi politik ini juga mempunyai kesan buruk yang menyusahkan rakyat tidak berdosa seperti peniaga kecil, orang biasa, pemandu teksi dan para pelancong.


Proses globalisasi politik sekarang sangat pantas meresap dalam pemikiran dan gaya hidup yang juga dimanipulasikan oleh kuasa-kuasa Barat. Apa yang jelas yang menjadi tabiat kepada manusia, adalah perkara buruk mudah menjadi ikutan.


Akal fikiran yang dapat memikirkan ke arah kebaikan adalah landasan penting bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku. Globalisasi mudah mempengaruhi perasaan dan sensitiviti masyarakat ke arah bertindak ganas tanpa memikirkan kesannya.


Budaya ganas, tidak berterima kasih, tidak bersyukur sering meresap melalui proses globalisasi. Perlakuan cara berpakaian, cara bercakap, cara bertindak menunjukkan ciri kesejagatan yang dipengaruhi ideologi dan peranannya.


Sebagai benteng yang kuat dalam apa juga kegiatan baik politik, budaya dan ekonomi, peranan budi bahasa dan akhlak yang diwarisi sejak turun-temurun yang menjadi budaya Melayu dan tamadun Islam seharusnya menjadi landasan. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna juga mestilah seimbang antara kerohanian dan kebendaan.


* Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu UKM, Bangi.


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Etika di meja makan bentuk kanak-kanak

Oleh Liow Tiong Lai

Ibu bapa, guru kena berkorban bimbing anak jauhi laluan ke arah obesiti

TIDAK lama selepas Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kantin sekolah dikehendaki menjual pelbagai jenis makanan sihat, saya melihat tindakan seorang ibu yang menuruti desakan anaknya yang mahukan makanan segera.

Kanak-kanak lelaki itu mungkin berumur 10 tahun dan ternyata mempunyai berat badan berlebihan. Si ibu cuba memujuk anaknya supaya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, tetapi budak itu terus mendesak mahu makan di restoran makanan segera.

Ibu berkenaan mungkin menyangka dia menyokong anaknya dengan menurut kemahuan budak itu, namun hakikat adalah sebaliknya, tindakannya itu lebih mendatangkan keburukan kepada anaknya. Semakin ramai kanak-kanak hari ini membesar seperti budak lelaki berkenaan, diberi makanan bergoreng, gula-gula (“mak, tak mahu sayur!”), selain dilayani permainan video dan komputer.

Amalan pemakanan sedemikian, yang dipupuk sejak kecil dan akhirnya menjadi sebati di kalangan kanak-kanak, akhirnya menjadi amalan sepanjang hayat. Jika amalan pemakanan yang tidak betul itu dididik oleh ibu bapa anda sejak zaman kanak-kanak, besar kemungkinan tabiat anda itu tidak berubah apabila dewasa kelak. Lebih teruk lagi, anda juga mungkin memberikan didikan yang salah itu kepada anak anda kelak.

Kita tidak perlu menunggu sehingga anak meningkat dewasa untuk melihat kesan amalan pemakanan tidak sihat ke atas mereka. Kajian tempatan mendapati lebih ramai kanak-kanak kini mempunyai berat badan berlebihan, gemuk dan obes.

Beberapa kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan peratusan kanak-kanak gemuk (berumur 6 hingga 12 tahun) meningkat daripada 11 peratus kepada 12.8 peratus pada 2008. Peratusan kanak-kanak obes juga meningkat daripada 9.7 peratus kepada 13.7 peratus pada tahun sama.

Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, lebih ramai remaja belasan tahun didiagnosis menghidap diabetes mellitus Jenis 2, penyakit yang biasanya dihidapi orang dewasa selepas meningkat umur 40 tahun.

Kini kanak-kanak semuda usia 10 tahun mempunyai penyakit kronik ini. Pada 2010, seramai 305 kanak-kanak di bawah 12 tahun yang menghidap diabetes mellitus dirawat di hospital kerajaan. Bagaimanakah kesannya terhadap masa depan mereka? Apakah mereka akan mati lebih awal akibat komplikasi diabetes seperti sakit buah pinggang atau jantung? Di manakah letaknya kesilapan kita?

Ramai ibu bapa membuat kesilapan membiarkan amalan buruk menular pada zaman awal kanak-kanak. Mereka sangka anak itu masih kecil dan boleh berubah kemudian. Tetapi zaman awal kanak-kanak adalah masanya apabila segala pengajaran diberikan itu menyerap dalam otak mereka.

Saya menjadi vegetarian bukan pada zaman kanak-kanak, tetapi oleh kerana ibu bapa saya makan banyak sayur-sayuran, saya belajar mengamalkannya sebagai sebahagian daripada diet harian. Oleh itu, tidak sukar bagi saya bertukar menjadi vegetarian selepas tamat pengajian di universiti.

Saya dan isteri tidak pernah melarang anak kami supaya jangan makan itu atau ini. Mereka boleh makan apa saja, baik coklat mahupun aiskrim, asalkan jangan berlebihan. Kami beritahu mereka baik buruk mengenai pelbagai jenis makanan, supaya mereka mengetahui nilai yang betul dan boleh membuat keputusan sendiri.

Satu lagi pengajaran buruk yang kanak-kanak pelajari di meja makan ialah makan segala-gala yang ada di atas pinggan. “Jangan membazirkan makanan kamu!” tegas ibu bapa mereka yang memarahi mereka sambil menyumbat butiran akhir nasi ke mulut mereka.

Ya, saya setuju makanan tidak harus dibazirkan memandangkan ramai kanak-kanak kecil di seluruh dunia mati kebuluran.

Kita tidak perlu memaksa anak melicinkan makanan di pinggan mereka, sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahagian makanan diberikan kepada mereka, waima di rumah atau apabila membuat pesanan makanan di restoran.

Jika kita terus menyediakan bahagian makanan berukuran ‘super-size’, ukuran badan kanak-kanak itu pastinya akan bertukar menjadi super-size juga!

Apabila saya kenang kembali zaman kanak-kanak dulu, saya teringat yang saya lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah. Jarang sekali duduk berkurung di rumah selepas waktu sekolah. Sebaliknya, ibu bapa saya menggalakkan supaya keluar dan menunggang basikal bersama kawan, pergi memancing atau menjelajah kawasan di sekitar.

Anak zaman sekarang, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar akan mendapati gaya hidup sedemikian agak janggal. Pada kebiasaannya mereka terus dibawa pulang ke rumah selepas sekolah, kemudian ke pusat tuisyen. Di rumah, waktu santai dihabiskan di hadapan televisyen, bermain ‘playstation atau permainan yang ada pada telefon bimbit.

Saya faham cabaran dihadapi ibu bapa moden sekarang, terutama mencari kawasan selamat supaya anak mereka boleh bermain atau beriadah. Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak mereka ke pusat rekreasi atau taman permainan pada sebelah petang atau hujung minggu, di mana mereka boleh bebas ke sana sini. Mereka hendaklah berusaha melakukan semua ini.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 11 Julai 2011

ISU KENEGARAAN : Suara intelektual semakin tenggelam

Oleh Aminudin Mansor

Dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat seperti Malaysia suara golongan cerdik pandai atau intelektual sangat penting bagi menyedarkan orang ramai tentang situasi semasa bagi memahami keadaan yang lebih jelas.

Golongan cerdik pandai ini seharusnya tidak terpengaruh dengan campur tangan politik dalam pengurusan pendidikan terutama di universiti. Pandangan mereka ini sangat penting khususnya bagi mereka yang tidak terlibat secara aktif dalam politik kepartian.

Isu-isu penting berkaitan politik, sejarah, budaya, sosial, ekonomi, pendidikan dan juga keagamaan seharusnya mendapat perhatian daripada golongan ini bagi memberi kefahaman yang jelas kepada orang ramai dan rakyat biasa.

Kajian mendapati lebih 60 peratus penduduk di negara ini adalah terdidik dan lepasan universiti tempatan juga luar negara. Mereka ini juga adalah golongan terpelajar dan sesetengahnya boleh memberikan pendapat yang bernas melalui saluran tertentu.

Mereka ini harus menjadi pemikir yang sedar dan berani bersuara untuk melakukan perubahan dalam masyarakat. Menggunakan akal dan pemikiran secara ilmiah dan juga melalui penyelidikan sangat penting dalam menentukan buruk baik apa yang dilakukan oleh rakyat.

Jika pada era tahun-tahun 50-an dan 70-an golongan penulis, wartawan, agamawan serta aktivis sosial suara mereka lantang dalam melontarkan sesuatu isu berkaitan negara dan rakyat. Suara dan pandangan mereka ini didengar dan diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Tanpa suara-suara ini rakyat mudah terikut dengan persepsi dan perasaan dan tidak menggunakan akal yang bijaksana dalam menentukan hala tuju politik, budaya, sosial dan juga ekonomi.

Kini suara kalangan penyair, penulis, wartawan, seniman, budayawan, ilmuwan dan aktivis masyarakat sudah berpecah belah walaupun mereka berada dan bernaung di bawah persatuan yang sama.

Sudah ada kelihatan dalam kalangan kita menjadikan “minda terbelenggu” iaitu golongan yang tidak mahu campur hal-hal yang berkaitan politik dan sebagainya. Mereka merasakan duduk diam dan membisu adalah lebih selamat, sedangkan tanggungjawab mereka sangat besar demi kesejahteraan dan kemajuan negara.

Maklumat dan ilmu pengetahuan sangat penting dalam membangunkan negara dan rakyatnya. Oleh hal yang demikian, golongan cerdik pandai dan intelektual adalah mereka yang terkedepan dalam hal ini.Imbang Penuh

Penyatuan dalam erti kata berpersatuan dan juga pemikiran amat penting. Suara yang berpecah dan pendapat yang bercanggah tentulah akan mengelirukan rakyat dan golongan terbanyak. Di sinilah pentingnya golongan intelektual dan cerdik pandai melontarkan pandangan dan suara mereka.

*Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM

Sumber : http : //www.sinarharian.com/

Ahad, 10 Julai 2011

ISU BAHASA : Tolonglah martabatkan bahasa Melayu

PERJUANGAN memartabatkan bahasa Melayu di negara ini masih belum difahami dengan mendalam oleh banyak pihak.

Walaupun bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dari segi perjuangan kebahasaan, banyak yang tidak dapat melihatnya dalam konteks bahasa rasmi bagi sebuah negara.

Adalah suatu yang sangat malang apabila pihak yang tidak faham perjuangan kebahasaan ini terdiri daripada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Mereka sepatutnya lebih faham kedudukan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka itulah yang akan melaksanakan dasar bahasa di negara ini.

Satu contoh terdekat yang masih segar dalam ingatan kita adalah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan bahasa Inggeris pada papan tanda sebuah premis pelancongan di Kuala Kangsar, Perak.

Pihak PBT berkenaan mempertahankan tindakan menggunakan bahasa Inggeris. Kononnya untuk memberi kemudahan kepada pelancong luar negara.

Maknanya tindakan tersebut dibuat ada sebabnya yang pada sudut pandangan PBT berkenaan adalah wajar.

Padahal tindakan menggunakan bahasa Inggeris itu melanggar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam perkara ini, kefahamaan kebahasaan dalam hubungannya dengan Perlembagaan agak kurang.

Tindakan atau keputusan berkaitan bahasa Melayu dibuat berdasarkan pada munasabah akal tetapi bukan kerana perjuangan kebahasaan.

Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar yang diharapkan memartabatkan bahasa Melayu, tetapi malangnya mereka pula yang merendahkan bahasa Melayu.

Bagaimanapun pihak berkenaan tidak sedar merendahkan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka tentang kedudukan bahasa Melayu sangat sedikit.

Persoalan yang sering dibangkitkan seperti ada kalangan pemimpin yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul pada acara rasmi tidak dianggap serius oleh kalangan yang kurang kefahaman tentang kedudukan bahasa Melayu.

Dalam majlis yang dihadiri oleh seorang atau dua kalangan tetamu asing, majlis berkenaan dilangsungkan dalam bahasa Inggeris bukan suatu perkara yang luar biasa.

Ada kalangan orang Melayu sendiri yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerana menganggap bahasa Inggeris adalah lambang status.

Tetapi mereka tidak tahu banyak kalangan pejuang bahasa Melayu adalah orang yang berpendidikan Inggeris dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Cuma bezanya pemikiran mereka ini tidak dijajah kononnya bahasa Inggeris adalah lambang status.

Satu lagi, janganlah sama sekali dasar bahasa Melayu diubahsuai kononnya untuk keperluan keilmuan.

Kalau buat juga, ini adalah kedunguan yang tidak dapat dimaafkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : JPA Tawar 12 Calon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini menawarkan 12 calon cemerlang mengikuti pengajian bidang sains dan teknoloji, ekonomi dan undang-undang pada peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan PhD.

Dalam kenyataan di sini, JPA berkata pemohon mesti seorang warga negara dan berumur tidak lebih 30 tahun pada tahun pengajian dan memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana yang diktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, pemohon perlu mempunyai pencapaian Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) minium 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya.

Permohonan untuk biasiswa berkenaan dibuka mulai 11 hingga 18 Julai ini di mana ia boleh dibuat secara talian di portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my.

Maklumat lanjut tawaran biasiswa itu boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline di talian 03-88853436/3892/3564 atau dengan mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, JPA dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Program biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 adalah khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD sama ada di dalam atau luar negara.

"Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana dan mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan atau di universiti terkemuka dunia," menurut kenyataan itu.

Calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga, kata JPA.

JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun.

Pakej tawaran biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan sedia ada.

Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa persekutuan sebanyak NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia biasiswa berkenaan bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa persekutuan yang bernilai AUD$1,380 (RM4,430).

Di Malaysia, biasiswa berkenaan bernilai RM1,760 untuk sarjana dan RM2,500 untuk PhD manakala biasiswa persekutuan hanya bernilai RM900 sahaja.

Selain jumlah tajaan berkenaan, calon yang berjaya juga akan dibayar elaun-elaun lain yang berkaitan manakala yuran pengajian akan dibayar terus kepada universiti, kata JPA.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Jumaat, 8 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : Ganjaran pemimpin sekolah dorong kecemerlangan

Oleh Habsah Dinin

Tawaran Baru hargai jasa Pengetua, Guru Besar angkat kualiti pendidikan

SATU daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan ialah Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah yang mana ia bertindak meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah.

Pemimpin sekolah diberi perhatian utama kerana mereka memberi impak ketara kepada kecemerlangan murid menerusi tiga kriteria utama iaitu Kepimpinan Instruksional, Ejen Perubahan Utama dan Mewujudkan Persekitaran yang Kondusif.
Di bawah sub NKRA ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan penilaian berasaskan pencapaian untuk menilai Pengetua dan Guru Besar (PGB) dengan menawarkan ganjaran menarik kepada PGB yang melepasi sasaran serta membantu PGB yang lemah.

Dalam Tawaran Baru ini satu bentuk inisiatif ditawarkan kepada pemimpin sekolah sama ada Guru Besar atau Pengetua yang berjaya meningkatkan kualiti pendidikan pelajar dan mengangkat nama sekolah ke tahap cemerlang pada tahun itu.

PGB berjasa ini diberi ganjaran kewangan dan material berpandukan kepada kejayaan sekolah mereka memandangkan pemimpin sekolah yang memainkan peranan utama melaksanakan misi kejayaan sekolah.

Semua PGB layak menyertai Program Tawaran Baru di bawah NKRA Pendidikan ini kecuali pemimpin sekolah yang ditukar ke sekolah baru serta tidak dapat menduduki peperiksaan kebangsaan dan pemimpin sekolah yang bertugas kurang dari enam bulan di sekolah baru mereka.

Penilaian Tawaran Baru dilaksanakan menerusi pencapaian PGB yang dinilai berasaskan Purata Gred Mata Sekolah (SGPA) daripada peperiksaan am dan skor pencapaian sekolah dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Keputusan keseluruhan kemudian mengambil kira jumlah skor komposit dan jumlah skor peningkatan tertinggi daripada senarai ranking. Kini kadar semasa skor komposit sekolah rendah ialah 84 peratus, manakala skor komposit sekolah menengah pula ialah 92 peratus.

Skor komposit adalah Gred Purata Sekolah yang diambil daripada peperiksaan awam dan skor penarafan kendiri sekolah yang menggunakan instrumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Instrumen SKPM mengukur pengurusan dan pentadbiran sekolah serta kemenjadian murid secara menyeluruh.

Selain penilaian skor komposit, pemimpin sekolah yang tersenarai hanya akan menerima ganjaran apabila berjaya melepasi empat syarat iaitu memperoleh Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) Skor lebih 90 peratus, lulus laporan audit, bebas daripada tindakan disiplin atau tatatertib; serta prestasi LINUS (untuk sekolah rendah saja) yang membanggakan.

Prestasi pemimpin sekolah turut dinilai dari aspek pencapaian sekolahnya berdasarkan kepada kejayaan pelajar di sekolah itu.

Sebagai ketua organisasi, pemimpin sekolah sangat berperanan dalam meningkatkan kemajuan sekolah dengan cara lebih berkesan dan bagaimana mengguna pakai sumber sedia ada untuk meningkatkan prestasi sekolahnya.

Namun, kejayaan sekolah bukanlah kejayaan Guru Besar atau Pengetua bersendirian tetapi ia adalah hasil usaha keras, strategi dan semangat kesatuan yang tinggi di antara Guru Besar atau Pengetua, semua guru serta pembantu sekolah dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada pelajar hingga berjaya melahirkan pelajar cemerlang di bawah kelolaannya.

Untuk sub NKRA ini, sasaran yang ingin dicapai ialah sebanyak dua peratus pemimpin sekolah menerima ganjaran pada tahun 2010, sebanyak tiga peratus pada tahun 2011 dan empat peratus pada tahun berikutnya manakala sasaran penurunan pemimpin sekolah yang tidak melepasi sasaran daripada 10 peratus pada tahun 2010 kepada enam peratus pada tahun 2012.

Pada Mac lalu, seramai 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah dipilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi NKRA hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.

Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis penyampaian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, Melaka.

Beliau juga memberitahu, pencapaian sebenar di luar jangkaan kerana sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran bagi penilaian 2010 adalah dua peratus. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan kualiti kepemimpinan dan tahap pengajaran serta pembelajaran guru.

Ujarnya, berdasarkan verifikasi, guru sekolah yang memenuhi semua kriteria untuk menerima ganjaran adalah 7.7 peratus, bertambah lebih 300 peratus berbanding sasaran awal. Anugerah Tawaran Baru adalah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan di bawah NKRA Pendidikan bagi memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 7 Julai 2011

ISU AGAMA : Fahami tuntutan demokrasi

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

DEMOKRASI memberi makna kebebasan bersuara, jaminan hak dan penyertaan yang seimbang. Demokrasi adalah aspirasi kebebasan dari rakyat kepada rakyat. Dalam tradisi Islam, proses syura memberi asas demokratik tetapi dukungan proses syura merujuk kepada al-Quran.

Al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai sumber rujukan dalam membuat sesuatu keputusan yang sifatnya musyawarah. Hari ini demokrasi diertikan sebagai satu suara, satu undi.

Undi yang majoriti bakal membentuk kerajaan. Kerajaan itu terbentuk daripada rakyat dan berkhidmat untuk rakyat atas nama kebebasan hak dan tanggungjawab.

Dalam Islam, kebebasan diberi pedoman oleh wahyu. Hak merujuk hak Allah dan hak hamba. Kewajipan kepada Allah menjadi keutamaan dan ihsan kepada Allah menjadi pedoman sesama manusia.

Remaja perlu memahami demokrasi dalam konteksnya dan proses syura dalam sejarahnya. Integrasi kedua-duanya berasaskan prinsip-prinsip asasi dalam Islam boleh dijadikan pedoman bagaimana mekanisme demokrasi cara Barat didukung oleh maqasid syariah dalam Islam.

Ia akan menghasilkan satu corak siasah yang tidak sahaja memiliki mekanisme tetapi memiliki roh dan isi. Proses demokrasi yang sedang berlaku sekarang banyak menjadikan politik beroperasi dalam skop yang terbatas. Demokrasi Barat dijadikan model dalam memahami erti kebebasan, hak asasi dan tanggungjawab.

Dalam Islam kebebasan mempunyai batasan. Faktor syarak dijadikan batasan sama ada kebebasan itu melampau atau sebaliknya. Hak itu menyebabkan penafian hak majoriti atau sebaliknya. Tanggungjawab itu lebih bersifat peribadi atau kelompok atau sebaliknya.

Amat penting bagi remaja mempelajari maksud hak asasi mengikut jendela Barat yang tidak di pedoman oleh agama dengan hak asasi yang didukung oleh Islam.

Hak asasi Barat tidak sahaja merujuk kepada kebebasan gender, kebebasan bergaul tanpa batas, malah kebebasan seksual.

Dalam tradisi Islam, kebebasan yang sifatnya interaktif mestilah dalam batas syarak. Ia tidak boleh melampaui kerana ia boleh mendatangkan kerosakan terhadap diri dan masyarakat. Begitu juga dengan kebebasan.

Ia tidak membenarkan seseorang melakukan kebebasan tanpa mengambil pertimbangan salah dan benar, dosa dan pahala, makruf dan mungkar. Hal yang sama juga merujuk kepada tanggungjawab dalam proses demokrasi Barat.

Tanggungjawab hanya merujuk kepada pemerintah kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah tetapi tidak merujuk kepada pemerintah, rakyat dan Allah.

Lalu proses demokrasi berjalan dalam bentuk horizontal (merentas) tetapi tidak bersifat vertical(menegak). Akibatnya maksud demokrasi antara negara dengan negara mempunyai perbezaan dari sudut iklim politik, budaya berfikir dan tradisi intelektual di kalangan warganya.

Ia menyebabkan proses demokrasi berjalan secara mekanistik melingkari hal-hal duniawi. Dalam tradisi Islam proses musyawarah dan syura sentiasa menjadi landasan perbincangan, muzakarah dan membina rasa tolak ansur yang tinggi.

Isu-isu yang berbangkit di Malaysia kini tidak memahami maksud demokrasi yang sifatnya kontekstual. Kontekstual bermaksud masyarakat kurang memahami sensitiviti antara kaum, kelainan budaya dan cara berfikir, antara kelompok yang menguasai sumber ekonomi dan yang tidak, serta masalah sosio-ekonomi yang tidak merata.

Hasilnya pemahaman terhadap demokrasi berlaku dengan dangkal dan tidak mencapai tahap matang. Perbincangan tidak lagi menjadi landasan, dialog semacam terpinggir dan muzakarah kian dinafikan.

Ia melahirkan suasana yang ekstrem dan radikal. Yang dipentingkan ialah cita-cita politik kelompok tanpa menghiraukan kepentingan negara.

Isu yang ditampilkan adalah isu kalah dan menang, bukan isu benar dan salah. Lalu bahasa demokrasi tidak lagi bergema dengan sihat di parlimen tetapi demonstrasi jalanan dijadikan wadah baru dan menyebabkan kebebasan orang lain menyatakan pandangan terancam.

Dalam situasi masyarakat berbilang, pendekatan ini boleh mencetuskan konflik. Remaja Islam harus memikirkan akibat konflik sesama sendiri boleh memecahkan asas demokrasi dan kekuatan politik matang yang perlu ada di kalangan pimpinan pelbagai parti.

Selalunya kelompok-kelompok politik suka menidakkan suara-suara orang yang tidak disukainya lalu lahir label-label yang negatif dengan menimbulkan dendam kesumat dan rasa kebencian yang mendalam.

Malaysia umpamanya adalah sebuah negara yang mencari wajah diri dan rupa pembangunan yang seimbang. Islam dalam banyak hal dibenarkan berkembang secara institusi dan juga dalam sistem.

Dalam masa yang sama unsur-unsur luar yang berorientasikan Barat masih berkembang pesat. Para demokrat iaitu orang-orang yang percaya kepada suatu sistem yang bebas tidak harus melihat pengukuhan nilai-nilai agama yang bersifat ketamadunan sebagai ekstrem dan ia suatu ancaman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/