Sabtu, 23 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : Menjadi masyarakat global

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my

GLOBAL adalah suatu terminologi bahasa Inggeris yang sering digunakan untuk menggambarkan taraf dan status. Dalam konteks ini, status global adalah status dunia. Kekerapan penggunaannya menyebabkan global atau globalisasi diterima sebagai istilah baru bahasa Melayu. Ramai pihak yang diberi anugerah peringkat global berasaskan pencapaian masing-masing. Sebuah syarikat yang dapat meletakkan kedudukannya ke taraf global adalah syarikat yang berjaya. Mendengar nama syarikat atau jenama produk keluaran syarikat, semua tahu mengenainya sama ada di Malaysia, Sudan, Maldive, Afrika Selatan, Korea, Burma dan di mana-mana sekali pun.

Produk yang mencapai kedudukan seumpama itu adalah produk yang bertaraf global. Siapa tidak tahu kereta Mercedes, BMW, Honda atau Toyota atau jenama lain seperti Panasonic, Apple, Rolex, Omega, Philips, British Airways, Shell, Exxon, Tesco, Carrefour, Hilton dan banyak lagi. Jika individu, mereka tahu atau pernah mendengar nama Rupert Murdoch, Bill Gates, Tiger Woods dan siapa juga yang menempa nama dalam bidang masing-masing di persada dunia termasuklah pemain bola sepak atau selebriti ternama dunia.


Hari ini, kita mendengar seruan supaya syarikat atau individu di negara ini meningkatkan usaha dan kemampuan mereka ke peringkat global. Jika syarikat, ia perlu memikirkan bagaimana boleh berkembang hingga ke taraf dunia. Jika suatu produk, ia mesti mendapat pengiktirafan dunia. Dunia mengenali Viagra tetapi tidak ramai yang tahu khasiat mengenai tongkat ali. Boleh atau tidak gedung Mydin dilihat di New York atau di Paris.

Jika membabitkan perkhidmatan, ia mestilah diketahui hingga ke seluruh dunia. Ia mestilah kemudahan yang istimewa dan menjadi buah mulut orang di seluruh dunia. Untuk berjaya dan menjadi yang terbaik, setiap individu atau organisasi mesti menempatkan diri mereka ke taraf global. Seorang jaguh sukan perlu menempatkan dirinya sebagai juara yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun, sebelum boleh dinobatkan sebagai seseorang yang boleh diiktiraf sebagai bertaraf global.

Jika ahli sains atau ahli teknologi, beliau mestilah terlebih dulu dikenali di negaranya sendiri, kemudian masyarakat di wilayah atau rantau di mana negaranya berada, malah di seluruh dunia.

Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi jaguh kampung yang hanya menjadi percakapan penduduk di tempat sendiri tetapi di kampung sebelah, tidak seorang pun mengenalinya. Seorang sarjana atau tokoh akademik perlu menempatkan diri mereka sebagai tokoh yang dikenali bukan saja di universitinya sendiri atau di kalangan masyarakat akademia di negaranya saja, tetapi seluruh dunia mengenalinya. Seorang pemikir yang mencetuskan idea inovatif dan berstatus tinggi adalah pemikir bertaraf global. Golongan seperti ini tidak memikirkan isu dan topik yang sempit, tetapi sentiasa berfikiran luas.

Jika individu atau syarikat, agak mudah menentukan tanda aras kejayaan mereka. Tapi, agak sukar untuk mendapatkan tanda aras sesebuah negara yang memiliki ciri-ciri bertaraf dunia. Tidak semua apa yang ada di Amerika Syarikat itu bertaraf dunia. Ada ciri-ciri di negara berkenaan yang lebih buruk dari negara-negara dunia ketiga atau dunia keempat. Dari segi layanan kerajaan terhadap rakyat, banyak negara di Asia, umpamanya, lebih baik daripada yang dilakukan di Eropah atau negara maju yang lain. Dari segi kemudahan yang disediakan kepada rakyat, Malaysia mungkin antara yang terbaik di dunia walaupun tidak pernah diisytiharkan sebagai bertaraf global. Antara penilaian lain adalah sistem pengangkutan dan lalu-lintas, sistem komunikasi, urusan kaunter, hotel dan sebagainya.

Bagi menentukan ciri-ciri pemikiran global pula, seseorang itu mestilah berfikiran luas. Jika membabitkan perniagaan, mereka akan cuba memikirkan bagaimana mahu menembusi pasaran di mana-mana saja. Hari ini wujud pula pemikiran politik global yang cuba diterapkan khasnya di negara-negara membangun. Pemikiran politik seperti dicetuskan di Barat menerusi sistem yang diterima pakai di negara berkenaan. Masalahnya, cara pemikiran seperti ini cuba diterapkan di negara yang berbeza ideologi, budaya dan cita rasa. Maka berlakulah pertentangan budaya yang nyata. Cara pemikiran politik seperti ini agak agresif dan tidak kompromi. Jika berasakan cara yang disediakan oleh pemerintah tidak sesuai dengan mereka, mereka akan membantah dengan cara ugutan.

Demonstrasi adalah satu bentuk ugutan cara baru. Cara ini menggunakan kumpulan massa untuk memaksa pihak berkuasa mendapat sesuatu. Mereka menggunakan landasan menuntut kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dicipta di negara maju, untuk mendapatkan cita-cita mereka. Inilah yang berlaku dalam tuntutan tidak demokratik yang berlaku di negara yang mengimport cara negara maju yang kononnya bertaraf dunia. Mereka mahu rakyat di seluruh dunia berfikiran politik global bagi memudah mereka menyalurkan pemikiran Barat. Mereka menjadikan golongan muda sebagai sasaran kerana merekalah yang akan mewarisi gagasan mereka pada masa akan datang.

Implikasi kepada tindak tanduk ini akan menyebabkan negara-negara yang dihinggapi penyakit pemikiran politik global sentiasa kucar-kacir dan tidak tenteram sepanjang masa. Realitinya, walau siapa juga yang mentadbir negara akan mendapat tentangan pihak yang tidak berpuas hati. Umumnya, untuk menjadi masyarakat global, setiap orang perlu faham apakah sebenarnya konsep global. Yang baik, jadi ikutan, yang buruk jadikan teladan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEPENGGUNAAN : Bangkitkan Kesedaran Hak Pengguna

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Dengan pelbagai helah dan taktik jualan dan pemasaran yang digunakan syarikat-syarikat kini, potensi seorang pengguna menjadi mangsa penipuan adalah tinggi.

Jika anda mengunjungi laman sesawang ataupun blog pengguna seperti Persatuan Gabungan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Penguna Islam Malaysia (PPIM), pelbagai masalah pengguna diutarakan membabitkan penipuaan seperti kad kredit, jualan langsung, iklan yang mengelirukan, gores dan menang serta produk palsu.

Ia menjadi medan terbaik untuk perkongsiaan maklumat dalam kalangan pengguna, namun itu hanya sebahagian yang disuarakan. Sedar atau tidak, masih ramai pengguna yang mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan tampil membuat aduan walaupun tahu mereka diperdaya dan ditipu dengan produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Di beberapa negara maju, pengguna sangat teliti tentang hak mereka dan peniaga pula lebih bertanggungjawab dan keadaan ini mewujudkan pasaran yang lebih telus dan berdisiplin. Inilah sasaran kerajaan dalam masa negara menuju status negara maju menjelang 2020.

TIDAK SEDAR HAK SEBAGAI PENGGUNA

Kajian Profil Pengguna oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun lepas mendapati hanya 58 peratus, pengguna Malaysia yang mempunyai tahap kesedaran kepenggunaan yang tinggi.

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Mat Pauzi Awang berkata kadar itu masih rendah walaupun masyarakat pengguna semakin sedar tentang hak asasi seperti hak mendapatkan ganti rugi dan hak membuat pilihan.

"Masih ramai lagi pengguna yang tidak menukar pemahaman itu ke dalam bentuk tindakan. Ini kerana tahap kesedaran masyarakat berkait rapat dengan tahap pendidikan, pekerjaan selain informasi untuk mendapat maklumat yang terbatas serta penumpuan bagi memenuhi keperluan asas seperti makan, minum dan tempat tinggal," katanya.

Masih ramai dalam kalangan pengguna tidak mengetahui hak mereka terutama dalam skop yang lebih besar seperti mendapatkan alam sekitar yang sihat, hak untuk mendapat pendidikan pengguna, hak mendapatkan keselamatan serta hak mendapatkan maklumat.

Sebagai contoh, mereka mengetahui tentang masalah alam sekitar tetapi mereka tidak menitik beratkan alam sekitar dalam kehidupan seharian sedangkan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

"Hasil kajian itu menunjukkan hanya 40 peratus pengguna yang menyedari tentang perkara itu," katanya.

Pengguna juga masih lagi kurang mengetahui hak mereka untuk mendapatkan keselamatan yang boleh melindungi pengguna daripada barang, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan dan kehidupan mereka termasuk perlindungan daripada penipuan, fitnah dan lain-lain.

Kajian itu juga mendapati pengguna berpendapatan rendah dan pendidikan rendah memerlukan lebih perlindungan berbanding golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi yang mana mereka dapat melindungi diri sendiri.

Golongan berpendapatan rendah biasanya lebih tertumpu kepada kehidupan seharian, tumpuan untuk mendapatkan keperluan asas selain kurang berbelanja.

"Golongan ini hanya akan bertindak sekiranya keupayaan mereka untuk mendapatkan keperluan asas terjejas seperti peningkatan harga keperluan asas ataupun apabila punca pendapatan mereka terjejas," katanya.

Beliau berkata pelbagai aduan diterima melalui e-aduan di KPDNKK. Dari Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 6,070 aduan diterima dari seluruh Malaysia yang mencakupi pelbagai perkara antaranya penipuan harga, penyelewengan jualan langsung, bengkel kenderaan bermotor, barang tiruan, tanda harga, cetak rompak, penipuan perjanjian, jualan bahan petroleum dan perkhidmatan telekomunikasi.

Setiap hari antara tujuh hingga 10 aduan diterima yang dibuat melalui laman web kementerian, talian bebas tol 1-800-886-800 ataupun datang sendiri ke pusat aduan di kementerian yang mula beroperasi sejak dua bulan lepas.

Pengguna yang ditipu dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima juga boleh membuat tuntutan di tribunal tuntutan pengguna sebagai saluran untuk mencari keadilan bagi kedua-dua pihak, pengguna dan peniaga.

"Dulu pengguna tidak tahu mana mahu menyalurkan masalah yang dihadapi, dengn adanya tribunal tuntutan pengguna ini, pengguna tidak terkapai-kapai lagi dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

USAHA LINDUNGI PENGGUNA

Meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai hak sebagai pengguna menjadi sebahagian agenda utama KPDNKK antaranya melalui Persatuan Pengguna Daerah yang kini ditempatkan di 132 daerah seluruh Malaysia.

Ia menjadi pemimpin pendapat atau penghubung utama yang mampu bertindak menggerakkan aktiviti kepenggunaan selain bertindak sebagai tempat rujukan pengguna selamat.

Selain itu beberapa undang-undang atau akta yang melindungi pengguna turut dipinda antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang dipinda pada tahun lepas, bertujuan melindungi pengguna daripada amalam perniagaan yang tidak beretika berhubung urusan jual beli antara peniaga dan pengguna.

Begitu juga, Akta Perihal Dagangan 1972 yang bertujuan melarang penggunaan perihal, penyataan dan petunjuk palsu atau yang menggelirukan berhubung dengan barang, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang.

Pindaan akta ini diluluskan dengan menambah gores dan menang, iklan yang mengelirukan dan penjualan produk palsu sebagai kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Akta lain yang melindungi pengguna ialah Akta Jualan Langsung 1993, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Sewa Beli 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.

"Sekiranya tidak didedahkan masalah kepenggunaan yang berlaku, maka pengguna akan terus menghadapi masalah itu dari semasa ke semasa kerana wujudnya pelbagai taktik dan tipu helah dalam perniagaan, pemasaran produk dan perkhidmatan yang tidak bermutu dan berkualiti, penipuan tanda halal, pemalsuan maklumat yang memberi kesan buruk terhadap keseimbangan hubungan ekonomi antara peniaga dan pengguna," katanya.

Beliau berkata dengan adanya pengetahuan dan pendidikan kepenggunaan, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dijalankan serta pengguna juga boleh melindungi diri sendiri daripada terpedaya dan ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Kumpulan sasaran kini katanya lebih ditumpukan kepada kumpulan pengguna baru yang terdiri daripada pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi serta golongan belia dan wanita.

"Belia sebagai pelapis pemimpin masa hadapan dan wanita dianggap tonggak utama keluarga yang memastikan keselamatan dan kesihatan keluarga terjamin," katanya.

SAMBUTAN BULAN PENGGUNA KEBANGSAAN

Bulan Julai merupakan bulan pengguna yang disambut di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan pengguna.

Memilih tema "Hak Pengguna Tanggungjawab Anda", ia membawa maksud hak dan peraturan bagi melindungi pengguna daripada ditipu peniaga yang tidak beretika dan tanggungjawab serta peranan yang perlu dimainkan oleh individu yang merangkumi kesedaran kritikal, penglibatan dan tindakan, kepentingan sosial serta kesedaran persekitaran.

"Pengguna mesti mempunyai kesedaran untuk mengkritik sekiranya berlaku penyelewengan, sanggup bertindak sekiranya hak mereka tidak dilayan, pengguna mesti menjaga etika supaya perbuatan tidak menimbulkan kesulitan kepada orang lain atau alam sekitar.

"Mereka juga perlu bersatu padu menyuarakan pendapat agar kepentingan mereka tidak mudah digugat. Hakikatnya setiap pengguna perlu menyedari tanggungjawab mereka terlebih dahulu bagi memastikan hak pengguna dapat diamalkan," katanya.

Mat Pauzi berharap menjelang 2020, pengguna Malaysia akan mampu melaksanakan perlindungan kendiri dan peniaga akan menjalankan kawal selia kendiri dalam menjalankan tangungjawab dan hak mereka.

Bagi mereka yang mahu mengetahui tentang tanggungjawab, isu dan hak pengguna, kemuncak sambutan bulan pengguna akan diadakan di Manjung, Perak pada 23 Julai.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Jumaat, 22 Julai 2011

Malaysia negara ke-19 paling selamat di dunia – GPI 2011

KUALA LUMPUR 22 Julai – Berita baik untuk rakyat Malaysia yang cintakan keamanan kerana kajian Global Peace Index (GPI) 2011 mendapati Malaysia adalah negara ke-19 paling selamat daripada 153 negara di seluruh dunia.

Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling aman di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia.

Ini adalah julung kalinya Malaysia diberi ranking setinggi itu sejak 2007 dan negara ini adalah antara enam negara bukan Eropah yang menduduki 20 tempat teratas dalam senarai berkenaan, di samping Iceland, New Zealand, Jepun, Qatar dan Australia.

Penemuan edisi kelima kaji selidik oleh Institute for Economics and Peace yang berpejabat di Sydney itu diumumkan pada hujung Mei.

Pada 2007, Malaysia menduduki tangga ke-37 dan jatuh ke tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010 dan tempat ke-19 pada 2011.

Indeks berkenaan mengandungi 23 petunjuk kualitatif dan kuantitatif oleh sumber yang dihormati, yang menggabungkan faktor dalaman dan luaran — daripada perbelanjaan ketenteraan di peringkat nasional hinggalah kepada hubungan sesebuah negara dengan jirannya serta tahap. pematuhan hak asasi manusia. – Bernama

Khamis, 21 Julai 2011

ISU BAHASA : Lidah Enggan Berbahasa Melayu

BAHASA KOMUNIKASI - kepentingan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi memang tidak dapat dinafikan

Fasih bahasa Inggeris bukan jaminan dapat kerja

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

ANTARA isu hangat masih terus diperkatakan ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan.

Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global.

Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan.

Bagaimanapun, di tengah kerancakan itu, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa.

Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkannya dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing di kalangan masyarakat.

Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan?

Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik?

Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, tanggapan mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa picisan lahir daripada ketaksuban mengagungkan bahasa asing.

Beliau berkata, keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir.

“Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Ia medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab.

“Peranan bahasa sama ada Melayu atau Inggeris bukan fokus utama namun bertukar menjadi kepentingan apabila dipraktikkan dalam sudut tertentu hingga akhirnya menjejaskan fungsi bahasa lain.

“Keperluan dan kehendak persekitaran menjadikan bahasa Inggeris lebih mendominasi kerana masyarakat sendiri mengiktirafnya sebagai bahasa global hingga menenggelamkan bahasa lain termasuk bahasa Melayu,” katanya.

Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, ia bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua.

“Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan.

“Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Ini bukan prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar,” katanya mengakui pelajar yang cemerlang menguasai bahasa Melayu boleh melakukannya untuk bahasa Inggeris namun belum tentu sebaliknya.

“Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, ia lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam.

“Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan menjadi sukar sebaliknya,” katanya.

Tambah memburukkan keadaan, keengganan sebahagian majikan yang terlalu mementingkan kefasihan bahasa asing menyebabkan pelajar terpaksa berhempas-pulas mempelajari bahasa lain sehingga menyebabkan bahasa Melayu terpinggir.

“Bayangkan ada majikan langsung tidak memandang keperluan bahasa Melayu sewaktu menemu duga calon.

“Kita faham, bidang kerjaya memang mementingkan bahasa Inggeris, namun biarlah berpada dan mengikut kesesuaian.

“Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh?

“Seharusnya bahasa Melayu mendapat tempat utama dan istimewa di kalangan semua dan perlu dimartabatkan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga menafikan bahasa Melayu tidak boleh memberi impak hebat seperti bahasa lain kerana masyarakat antarabangsa sudah berlumba-lumba mempelajarinya.

“Jika bangsa luar menyokong, mengapa tidak kita sedangkan ia sudah dimartabatkan sebagai bahasa dunia,” katanya.


INFO:

SEBAGAI usaha memartabatkan bahasa Melayu, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober setiap tahun. Sambutan yang mula diperkenalkan pada 2009 ini juga antara lain bertujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pelajar wanita juga minat bidang teknikal

Oleh Rosniza Mohd Taha, Suzalina Halid dan Nas Norziela Nasbah bhnews@bharian.com.my

Sistem meritokrasi tak beza jantina

KUALA LUMPUR: Kecenderungan pelajar perempuan kini mengikuti bidang teknikal, terutama kejuruteraan antara faktor golongan itu terus menguasai peluang pengajian berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dibuktikan dengan peningkatan ketara kemasukan pelajar perempuan, terutama ke universiti teknikal tahun ini, iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kemasukan pelajar perempuan ke UniMAP bagi sesi 2011/12 bertambah 382 orang atau 68.3 peratus berbanding 603 pelajar tahun lalu. UTeM juga mencatat peningkatan sama di empat fakulti kejuruteraannya, iaitu seramai 2,516 pelajar perempuan tahun ini berbanding 1,666 pelajar tahun lalu.

UMP pula mempunyai nisbah pelajar seimbang antara pelajar lelaki dan perempuan, iaitu 46 peratus perempuan, manakala lelakinya, 54 peratus. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata kementerian menyedari fenomena berkenaan, namun tiada keutamaan diberikan kepada pelajar lelaki bagi mengikuti bidang kemahiran.

“Kementerian mengekalkan sistem meritokrasi tanpa membezakan jantina dalam pemilihan dan pengambilan pelajar. Dasar kita adalah mengutamakan kualiti pelajar dan mengamalkan sistem meritokrasi tanpa amalan membezakan jantina.

“Hanya apa yang berlaku bagi pelajar di universiti bercorak teknikal kali ini ialah keseimbangan pelajar lelaki dan perempuan berbanding sebelum ini majoriti pelajar lelaki,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Zakaria Kasa, juga berpendapat peningkatan permohonan mengikuti bidang teknikal dalam kalangan pelajar perempuan antara faktor ketidakseimbangan nisbah pelajar di IPTA.

Justeru, beliau mencadangkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta proses penilaian di sekolah dikaji semula bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar lelaki supaya menepati kelayakan melanjutkan pengajian ke universiti.

Antara lain, katanya, P&P menumpukan pelajar serta membabitkan elemen audio dan visual perlu ditingkatkan bagi menarik minat pelajar lelaki untuk belajar selain menggabungkan proses penilaian aspek teori dan kemahiran.

“Kajian menunjukkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang tidak menjamin kesinambungan pencapaian baik di universiti, malah ada pelajar yang kurang cemerlang pada peringkat sekolah lebih menyerlah di universiti.

“Pelajar lelaki bukan tidak boleh cemerlang, tetapi pada peringkat sekolah mereka lebih cenderung kepada kegiatan luar dan berbentuk kemahiran. Subjek asas di sekolah, termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang lebih banyak memerlukan kemahiran menghafal memihak pelajar perempuan memperoleh keputusan baik,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 20 Julai 2011

ISU ALAM SEKITAR : Pembangunan tidak mapan punca iklim dunia berubah

Oleh Fredolin Tangang

Kejahilan cetus impak negatif kepada kemanusiaan

PERUBAHAN iklim adalah fenomena sejagat yang berlaku akibat daripada proses pembangunan yang tidak mapan terutama di negara maju sejak zaman perindustrian mereka bermula.

Menurut laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perubahan iklim ialah sesuatu kejadian yang tidak dapat disangkal lagi dan ia berlaku akibat kegiatan manusia membebaskan gas rumah hijau ke atmosfera menyebabkan suhu udara meningkat.


Peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida, metana dan nitrus oksida di atmosfera terutama daripada pembakaran bahan api fosil seperti petrol, diesel, arang batu dan kegiatan guna tanah, memerangkap haba dan menyebabkan peningkatan suhu dan fenomena pemanasan global yang telah membawa pelbagai impak negatif kepada kehidupan manusia masa kini.


Menurut laporan panel itu suhu dunia akan terus meningkat, fenomena kemarau, banjir, peningkatan aras laut akan semakin teruk menjelang dekad akan datang jika dunia tidak berusaha mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ini.

Di Malaysia, suhu udara yang meningkat menyebabkan berlaku perubahan pola kejadian fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, peningkatan aras laut dan hakisan pantai yang serius adalah petanda impak perubahan iklim.

Kejadian banjir terburuk di Johor penghujung 2006 dan awal 2007 serta banjir teruk yang berlaku awal tahun ini juga di Johor, berkemungkinan ada kaitannya dengan perubahan iklim.

Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati 30 peratus pantai di Malaysia mengalami hakisan yang teruk dan ini dijangka menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim berterusan.

Perubahan iklim membawa pelbagai impak kepada kesejahteraan penduduk, alam sekitar dan pelbagai ekosistem serta ekonomi. Dengan suhu yang meningkat, banjir dan kemarau yang semakin kerap, keupayaan negara mengeluarkan makanan mungkin akan terjejas.

Menurut laporan IPCC lagi, jika kepekatan gas rumah hijau di atmosfera terus meningkat, dijangka purata suhu dunia akan meningkat melebihi enam darjah Celsius pada penghujung abad ke-21. Ini jauh lebih tinggi berbanding peningkatan kurang dari satu darjah Celsius sejak 100 tahun yang lalu. Dunia akan berada dalam keadaan kemusnahan sekiranya ini berlaku.

Justeru, saintis mencadangkan peningkatan ini dihadkan kepada dua darjah Celsius dan menyeru semua negara mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.

Bagaimanapun, instrumen seperti Protokol Kyoto ternyata gagal. Data terkini menunjukkan kepekatan gas ini lebih tinggi daripada kepekatan bagi senario terburuk yang digunakan oleh IPCC. Perundingan antara negara anjuran PBB seperti Persidangan Parti (COP) mengenai konvensyen kepelbagaian biologi juga belum membuahkan sesuatu yang konkrit yang boleh dilaksanakan serta-merta.

Negara maju yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim akibat proses pembangunan dan perindustrian mereka sejak 100 lalu, masih gagal menunjuk-kan komitmen yang tinggi untuk menurunkan pembebasan gas rumah hijau dan membantu negara sedang membangun untuk bergerak ke arah ekonomi karbon rendah.

Keghairahan China dan India dalam pembangunannya menjadikan usaha menurunkan kepekatan gas rumah hijau semakin sukar.

Peningkatan penduduk dunia yang boleh mencapai lebih 10 bilion pertengahan abad ini daripada lebih kurang enam bilion kini juga akan menyukarkan usaha ini.

Sebilangan besar saintis tidak yakin kaedah perundingan akan menghasilkan satu perjanjian yang dipatuhi oleh semua negara untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau mereka.

Kaedah manipulasi iklim dipanggil sebagai ‘geo-engineering’ berkemungkinan terpaksa dilakukan. Salah satu kaedah ialah menyembur partikel halus yang dipanggil aerosol ke stratosfera dan dengan jumlah kuantiti yang sesuai ia mampu mengurangkan kemasukan pancaran sinaran matahari dan mampu merendahkan suhu bumi.

Bagaimanapun ia mempunyai kesan sampingan bersifat negatif. Satu kajian di Amerika Syarikat contohnya, menunjukkan kejadian kemarau pada dekad akan datang di Amerika boleh dikurangkan tetapi ia juga melemahkan sistem monsun di rantau Asia Tenggara dan akan menyebabkan musim kemarau yang berpanjangan.

Ternyata impak positif kaedah seperti ini tidak menyeluruh dan pendekatan geo-engineering seperti ini sepatutnya hanya dilaksanakan dalam kerangka persetujuan semua negara.


Persoalannya apa jaminan negara kuasa nuklear yang mempunyai keupayaan teknologi tinggi untuk tidak bertindak memanipulasi iklim secara unilateral.


Penulis ialah Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC dan Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Dana rangsang aktiviti penyelidikan universiti

Oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani
azizuddin@uum.edu.my

PADA tiga atau empat tahun lalu, ada rungutan di kalangan ahli akademik mengenai terbatasnya peluang dan dana penyelidikan di dalam dan luar negara. Persaingan sengit juga menyebabkan ramai tidak berpeluang melakukan penyelidikan walaupun ia kriteria utama kenaikan pangkat dan prestasi tahunan. Bagaimanapun, suara rungutan ini semakin hilang apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif untuk mewujudkan dana umum dan khusus, lantas menggalak dan merancakkan aktiviti penyelidikan untuk disumbangkan kepada pembangunan nusa dan bangsa.

Pada 18 Julai 2011, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peruntukan dana RM178.4 juta yakni bersamaan dengan 1,022 projek penyelidikan yang membabitkan penyelidik daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institusi Penyelidikan dan jabatan pengajian politeknik. Tindakan KPT ini juga selaras Pelan Tindakan Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diumumkan Jun lalu. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) berjumlah RM741 juta iaitu peningkatan 260 peratus daripada apa yang diterima dalam RMKe-9.

Penambahan jumlah ini juga menyaksikan KPT buat julung kalinya memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS). Bagi Skim LRGS, tujuh bidang tujahan atau nic berimpak tinggi dikenal pasti seperti pemanasan global, penyakit berjangkit, perubatan tropika, keselamatan tenaga dan air, kecukupan makanan, perbuatan termaju dan tambah nilai serta teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, KPT meluluskan enam program penyelidikan LRGS Top-Down dengan peruntukan RM38 juta, manakala tujuh program penyelidikan LRGS Bottom-Up dengan peruntukan RM49 juta.

Di samping itu, geran ERGS juga diluluskan peruntukan lebih RM40.3 juta dan Dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) pula lebih RM46.09 juta. Yang pasti, beberapa matlamat dan idealisme terbentuk hasil daripada pengumuman dana penyelidikan KPT iaitu:

Pertama, matlamat utama kerajaan adalah untuk membudayakan penyelidikan. Budaya penyelidikan ini berkembang pesat secara mendadak sejak pelaksanaan agenda Universiti Penyelidikan (RU) yang hingga kini sudah mempunyai lima RU. KPT juga bercadang melahirkan RU yang keenam pada 2015 dalam Sains Sosial. Selain itu, pengiktirafan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) dan Dana FRGS sejak 2006 akan memantapkan penyelidikan bukan saja bagi bidang sains dan teknologi malah bidang sains sosial.

Kedua, KPT juga berusaha supaya matlamat keserakanan dapat dilaksanakan dalam penyelidikan pada peringkat pengajian tinggi. Meskipun RU yang menerajui tujuh bidang berimpak tinggi LRGS itu, KPT mengenakan syarat bahawa projek LRGS perlu membabitkan minimum tiga institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi multinasional lain bagi memastikan penggemblengan kepakaran penyelidikan di Malaysia.

Ketiga, kerajaan juga bersungguh-sungguh menjadikan warga akademik ini berinovasi lantas dapat mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka. KPT juga memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS). Geran ini untuk membantu penyelidik dengan menyediakan dana bagi mereka menghasilkan prototaip untuk dikomersialkan pada masa akan datang. Laporan penyelidikan saja tidak cukup, malah penyelidik harus memasarkan hasil kajian mereka. Ini lantas dapat merencanakan Malaysia sebagai negara berpendapat tinggi jika produk dapat dimanfaatkan oleh negara dan masyarakat.

Yang pasti, dasar pengajian tinggi negara berada pada landasan terbaik bagi memacu kecemerlangan penyelidikan dan meluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi lebih mantap ke arah peningkatan penerokaan pengetahuan baru dan pengkomersialan produk. Penyelidik harus mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan kajian berkualiti untuk kebaikan umum.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi, yang juga Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Sintok

Sumber : http : //www.bharian.com.my/