Khamis, 11 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : Pemilihan pensyarah cemerlang dibuat teliti, lalui tiga peringkat


KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca PhD Kecewa, Alor Setar, Kedah bertarikh 30 Julai 2011 yang bertajuk 'Keliru pensyarah IPG miliki PhD tidak tersenarai cemerlang.'

Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) Bil 7/2010 meluluskan pelaksanaan laluan kerjaya secara laluan pantas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah sebagai Pensyarah Cemerlang Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) adalah urus setia bersama bagi Penilaian Pensyarah Cemerlang (PC) bagi tahun 2011.

Kriteria penilaian bagi PC di IPG yang diluluskan oleh LKPPP mencakupi tiga komponen teras iaitu komponen Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tiga tahun terakhir, komponen akademik, pengalaman dan sahsiah serta komponen kompetensi.

Komponen yang mempunyai wajaran pemarkahan paling tinggi adalah komponen kompetensi merangkumi aspek pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan; pembangunan dan inovasi; perkhidmatan dan pentadbiran; dan aspek teknologi maklumat dan komunikasi.

Permohonan yang dikemukakan calon PC akan melalui tiga proses saringan. Saringan pertama dibuat pada peringkat IPG Kampus. Hanya calon memenuhi syarat umum, khusus dan kriteria penilaian dikemukakan Institut Pendidikan Guru kepada Urus Setia IPG yang bertanggungjawab melakukan saringan peringkat kedua. Calon yang melepasi saringan peringkat kedua dinilai secara kolaborasi oleh penilai dari JNJK dan IPG menggunakan instrumen yang disediakan.

Calon PC yang mempunyai PhD sememangnya memperoleh wajaran lebih tinggi berbanding calon yang memiliki Ijazah peringkat Sarjana atau Sarjana Muda.

Secara keseluruhannya wajaran komponen penilaian lain diambil kira bagi memastikan hanya calon layak dan memenuhi kriteria penilaian disenarai pendek. Proses penyenaraian dilaksanakan secara teliti bagi memastikan calon berkenaan pensyarah berkaliber dan layak dijadikan ‘role model’ kepada guru pelatih.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

ISU BAHASA : Lakukan pengauditan bahasa dalam kalangan penjawat awam

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Pihak berwajib digesa melakukan pengauditan bahasa untuk memastikan mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam mencapai piawaian yang disasarkan.

Pakar bahasa tanah air, Profesor Dr Awang Sariyan berkata, sebagai permulaan, proses itu boleh dimulakan di peringkat pentadbiran dan pendidikan sebelum diperluas ke sektor lain.

Beliau berkata, kecekapan pentadbiran negara bergantung kepada kualiti berbahasa penjawat serta jabatan di bawahnya, justeru, mutu bahasa mereka perlu dinilai dan diaudit.

"Adakan satu sistem atau modus operandi yang sesuai terhadap cara untuk menilai bahasa.

“Dengan adanya pengauditan ini, lama-kelamaan akan terbudaya dalam diri rakyat Malaysia mengenai kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul," katanya ketika ditemu bual menerusi Program Ala Carte Pagi terbitan Bernama Radio24 hari ini. – Bernama

ISU ANTARABANGSA : Apa iktibar rusuhan di London...

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my

Keterbukaan Britain terhadap generasi muda akhirnya undang padah

RUSUHAN di London dan beberapa bandar lain di sekitarnya yang dilakukan oleh generasi muda di negara berkenaan adalah cerminan sebenar sikap remaja di Britain – terlalu nakal, angkuh, ganas dan tidak menghormati orang lain akibat budaya bebas tanpa batasan.

Kejadian yang berlaku menyebabkan Britain terjebak dengan kesan negatif keterbukaannya. Remaja terbabit bukan saja bersikap sedemikian kepada rakyat tempatan, tetapi juga terhadap pelancong asing.

Ini adalah sebahagian daripada sikap ‘hooligan’ golongan ini, yang juga dikenali sebagai ‘Yob’ atau remaja ganas dan agresif. Pendek kata, jika berada di London, jangan cuba bertembung atau berselisih dengan kumpulan ini. Jika nasib tidak baik, padah akibatnya.

Perkara sama berlaku ke atas seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, kelmarin, yang patah gigi dan cedera rahangnya selepas dibelasah dan disamun kumpulan perusuh itu. Menurut rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, mereka sedang berbasikal untuk berbuka puasa di rumah seorang rakan di Hartslane dan tiba-tiba terserempak dengan perusuh yang jumlahnya terlalu ramai. Asyraf terus mengayuh basikalnya dan diserang.

Rusuhan ‘Yob’ itu bermula Sabtu lalu di Tottenham, apabila sekumpulan remaja membantah tindakan polis menembak seorang suspek berkulit hitam, Mark Duggan dua hari sebelumnya.

Tottenham ialah sebuah daerah yang mempunyai kadar pengangguran tertinggi di London. Menurut laporan, ia juga mempunyai rentetan ketegangan kaum di kalangan generasi muda, terutama berkulit hitam.

“Isu ini antara kami dan mereka, pihak polis,” kata seorang remaja di sebuah kawasan perumahan mundur di daerah Hackney, yang mana perusuh itu mula menyerbu masuk ke dalam premis kedai dan melakukan kecurian pada malam Isnin lalu.

Polis berkata, mereka tiada sebab untuk membantah. “Tiada sebarang ketidakadilan atau sesuatu yang berlaku sehingga mencetuskan huru-hara. Ia adalah perbuatan jenayah semata-mata, sesuatu yang paling dahsyat pernah saya lihat sebesar ini,” kata Penolong Ketua Konstabel, Gary Shewan.

Keganasan turut melanda bandar raya lain di England malam kelmarin, tetapi di London, di mana anggota tambahan polis ditempatkan, keadaan secara umumnya sudah kembali pulih berikutan huru-hara selama tiga malam berturut-turut di mana remaja merempuh dan merosakkan harta benda awam.

Kejadian itu juga bukti bahawa bahayanya jika perhimpunan haram dibiarkan berlarutan sehingga boleh mencetuskan rusuhan. Peristiwa di England itu harus menjadi pengajaran kepada negara lain, termasuk Malaysia, bahawa api perkauman dan kemarahan tidak boleh dibiarkan menyemarak kerana ia boleh menjadi bertambah buruk sehingga tidak dapat dikawal lagi.

Bayangkan apa yang akan terjadi di sebuah negara pelbagai kaum seperti negara kita jika perhimpunan haram dibenarkan? Sudah tentu ada pihak lain akan mengapi-apikannya sehingga mencetuskan huru-hara dan memudaratkan kehidupan rakyat lain yang tidak menyokong tindakan sedemikian.

Ketika perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang lalu, polis dikecam kerana menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air bagi meleraikan penunjuk perasaan. Kini polis di England pula dikatakan sudah mempunyai hasrat untuk menggunakan kaedah itu kerana gagal dengan cara tindakan minimum yang diamalkan sekarang.

Rusuhan selama empat hari itu mengakibatkan kerugian £100 juta (RM501 juta), sementara pihak polis memerlukan peruntukan tambahan bagi menampung operasi yang dijalankan. Sebanyak 16,000 anggota daripada 30 pasukan ditempatkan di London bagi mengawal rusuhan berkenaan, berbanding 6,000 pada malam Isnin lalu.

Setakat ini, 111 pegawai polis cedera dalam keganasan itu selepas mereka dilempar batu, botol dan kayu. Kira-kira 685 orang ditahan oleh Scotland Yard sepanjang empat malam rusuhan itu berlaku dan 111 orang diheret ke mahkamah bagi kesalahan mencuri dan memiliki senjata api.

Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa mengadakan sidang tergempar Parlimen semalam bagi membincang rusuhan itu.

Kejadian itu adalah ujian terbesar kepada Cameron ketika Britain berusaha untuk keluar daripada kemelut ekonominya. Ia juga menunjukkan kepada dunia imej buruk London, sebelum menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Olimpik 2012, satu-satunya acara yang diharapkan dapat menarik tumpuan seperti perkahwinan diraja April lalu.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

Rabu, 10 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : Mendidik atau mengajar?

MASALAH...kegagalan guru untuk mendidik boleh mengakibatkan pelajar menjadi lebih bermasalah kerana kurang perhatian dan kasih sayang

'Tiada lagi sentuhan kasih sayang'

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my

GURU dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya.

Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat.

Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri.

Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.

Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata.

Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik.

Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar?

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan.

Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar.

“Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan.

“Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik.

“Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka,” katanya.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah.

“Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka.

“Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan.

“ Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain.

Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu.

“Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik . Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri.

“ Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya.

Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material.

“ Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

“ Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar?

“ Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat,” soalnya.

Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan.

“ Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata.

“Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu.

Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik.

“ Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi.

“ Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Pelajar Malaysia cedera diserang

Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20 (gambar atas), patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, semalam. Gambar dirakam di Hospital Royal London. Turutan gambar di kanan dipetik dari YouTube menunjukkan: 1.Asyraf terduduk selepas dipukul perusuh. 2. Ketika Asyraf masih dalam keadaan kesakitan selepas diserang, seorang perusuh pura-pura cuba membantu Asyraf, manakala rakanya menyelongkar beg mangsa. 3. Lelaki itu merampas dompet dan telefon bimbit Asyraf yang disimpan dalam begnya.

Daripada Zaharah Othman

Asyraf Haziq dalam perjalanan berbuka puasa disamun sekumpulan perusuh

LONDON: Seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di sini petang kelmarin.

Ketika kejadian, Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan MARA di Kolej Kaplan sedang menunggang basikal dengan rakannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka. Beliau yang patah gigi dan bengkak pipinya dihantar ke Hospital Royal London untuk dibedah.

Kejadian berkenaan dirakam oleh orang awam dan video klip rakaman itu muncul dalam YouTube yang kemudian disiarkan oleh siaran berita Sky TV.


Rakaman itu menunjukkan Asyraf terduduk selepas diserang dengan mulutnya berdarah. Tidak lama selepas itu, sekumpulan pemuda datang membantunya sambil beberapa daripada mereka membuka beg yang dibawanya dan mencuri dompet serta telefon bimbitnya. Seorang pemuda kemudian dilihat meninggalkan tempat kejadian menunggang basikalnya.

Pengarah Mara di United Kingdom (UK), Dr Noorzaini Mohd Noor, berkata ibu bapa Asyraf sudah dimaklumkan kejadian itu dan pihaknya serta Jabatan Pelajar Malaysia di London sedang berusaha memindahkan pelajar yang tinggal di tempat dikenal pasti sebagai berbahaya diancam perusuh.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Datuk Zakaria Sulong, berkata setakat ini tidak ada pelajar atau rakyat Malaysia lain terbabit dalam rusuhan dan sudah menasihatkan mereka menjauhi tempat yang dianggap berbahaya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Disebabkan rusuhan cepat merebak, kita akan mengeluarkan arahan dan nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang pegawai perhubungan polis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Nik Aziz Nik Razak juga sudah meninjau keadaan.

Rusuhan bermula di London tiga hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar. Rusuhan turut berlaku di Bayswater yang menempatkan Malaysia Hall, tetapi hanya kejadian kecil berbanding di tempat lain.

Semalam, rusuhan menyaksikan kumpulan pemuda yang membakar dan mencuri, merebak ke bandar lain termasuk Birmingham, Liverpool. Bristol dan Manchester.


Sumber : http : //www. berita harian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan di enam kota Britain


Perusuh guna Twitter, Facebook rancang keganasan, 69 kena dakwa

LONDON: Rusuhan di London berpunca daripada tindakan membantah tindakan polis menembak seorang lelaki kulit hitam, merebak pada hari ketiga semalam ke beberapa kota lain termasuk Birmingham, Bristol, Nottingham, Liverpool dan Leeds.

Polis mengaku sukar mengawal keadaan kerana perusuh menggunakan laman web sosial seperti Twitter dan Facebook untuk merancang keganasan.

Seorang lelaki juga ditembak mati di Croydon, korban pertama rusuhan. Keadaan itu menjadikan pasukan polis memantau rapi laman web sosial itu dan akan mendakwa sesiapa yang menggunakannya untuk mencetuskan keganasan. Satu kiriman di laman web berkenaan menggesa pegawai polis dibunuh.

Keganasan yang bermula di Tottenham, utara London Sabtu lalu merebak ke selatan dan timur ke Brixton, Streatham, Walthamstow, Edmonton, Enfield, Oxford Circus dan Islington keesokan hari. Rusuhan serius kemudian merebak ke Hackney, Peckham dan Ealing selain Deptford, Camden, Kensington, Lewisham, Bethnal Green dan Woolwich Rusuhan paling buruk dalam masa beberapa dekad itu tercetus berikutan kemarahan orang ramai terhadap kematian Mark Duggan, 29, yang ditembak polis, Khamis lalu.

Polis dibaling dengan mercun dan bom petrol, manakala cermin kereta peronda dipecahkan dan kenderaan serta bangunan lain dibakar.

Perusuh juga memecahkan tingkap kedai dan ada merompak orang awam termasuk membogelkan mangsa. Lebih 525 ditahan dan 69 didakwa atas kekacauan ini yang turut menyaksikan res toran chef terkenal, Jamie Olliver diselongkar perusuh. Bagaimanapun, pihak berkuasa menghadapi masalah kerana semua bilik tahanan di balai polis di London sudah penuh, manakala 44 anggota polis cedera. Polis juga terpaksa menggunakan kereta perisai bagi menghalang kemaraan 150 perusuh di Lavender Hill, Clapham. – Agensi

Selasa, 9 Ogos 2011

ISU KESIHATAN : Makanan penentu kesihatan akal

Oleh Amran Zakaria

Berlebihan soal makan jejas tubuh, pemikiran

TIDAK ramai memberi fokus kepada amalan kesihatan dan penjagaan tubuh badan dan kecenderungan ini dapat disaksikan sepanjang Ramadan sedangkan Islam amat menitikberatkan kesihatan seperti mana Islam menjaga jiwa serta akal penganutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menunaikan hak terhadap tubuh badan bererti menikmati tahap upaya badan yang benar-benar baik dan selamat dari segi fizikal, mental, emosi, rohani secara optimum sehingga berupaya mencapai potensi kehidupan berpandukan agama.

Mukmin yang kuat mempamerkan kekuatan agama berbanding mukim yang lemah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sihat adalah anugerah Allah yang sewajarnya disyukuri. Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan (keimanan). Jika kita mempunyai masalah kesihatan, segala urusan ibadat turut terganggu.

Pernyataan itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah menyediakan perisai pencegahan seawalnya. Namun, apabila diserang penyakit, kita terpaksa berikhtiar untuk menyembuhkan walaupun terpaksa mengambil masa panjang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat? Maka sabda Nabi: Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit saja. Maka mereka bertanya: Apakah penyakit itu? Sabda Nabi: Penyakit itu ialah tua.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu Sina) menyatakan, tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan mengembalikan kesihatan ketika hilang.

Kita sering dihidangkan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani. Tujuannya, untuk membekalkan tenaga secukupnya dalam melakukan aktiviti harian. Keadaan ini begitu ketara di bulan Ramadan.

Makan secara berlebihan boleh memudaratkan badan. Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk kebaikan. Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Kebersihan memainkan peranan penting mengelakkan seseorang ditimpa penyakit. Persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis kuman pembawa penyakit dan sebab itu aspek kebersihan sebahagian cabang keimanan.

Makanan yang disediakan hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak sempurna. Jangan mengendalikan makanan untuk juadah keluarga tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.

Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana keadaan lapar boleh mematahkan semangat bekerja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu tempat dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Akal yang cergas berkait rapat dengan badan yang sihat. Badan yang sihat berkait rapat dengan amalan pemakan dan makanan seimbang. Pepatah Arab ada menyebut: ‘Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/