Sabtu, 13 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan yang memudaratkan

RUSUHAN tercetus di London baru-baru ini bukan kerana polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam di Tottenham pada 4 Ogos lalu. Tragedi itu tidak mungkin boleh membuatkan rakyat terutama kulit hitam mengganas hingga ke Liverpool, Manchester dan Birmingham. Terbunuhnya lelaki kulit hitam, Mark Duggan hanya percikan api pada minyak yang tumpah. Jadi, persoalannya kenapa minyak tumpah?

Pada hari berikutnya lebih kurang 200 orang keluarga dan sahabat handai mangsa berarak ke balai polis sebagai protes. Sepatutnya adegan drama pembunuhan ini habis di situ saja. Perarakan itu terlalu kecil untuk menggegarkan Britain. Maka tentu ada faktor lain yang menjadi pemangkin kepada keganasan yang menyebabkan kerugian dianggarkan lebih 200 juta pound.

Maknanya rusuhan itu bukan semata-mata kerana membalas dendam kepada polis. Dendam sahaja tidak cukup untuk mendorong keganasan yang melumpuhkan London. Sebaliknya banyak faktor utama yang menyumbang kepada kemarahan rakyat terutama yang bergelandangan kerana kemiskinan. Rusuhan ini bermula di Tottenham. Ini adalah antara kawasan termiskin dan pengedaran dadah dan pusat jenayah yang banyak dihuni oleh orang kulit hitam. Mengikut perangkaan, hampir 10,000 penganggur mendiami kawasan gelandangan ini. Di bawah bayang bangunan pencakar langit di London, hakikatnya wujud rakyat hidup bergelandangan akibat kemelesetan ekonomi.

Kebetulan yang banyak menganggur dan miskin adalah kulit hitam dan ini berjangkit menjadi isu kaum antara kulit putih dan kulit hitam. Tetapi penyebab utama yang jelas kelihatan adalah kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah khususnya Britain. Meningkatnya kadar pengangguran, kecilnya peluang pekerjaan, luasnya jurang miskin kaya dan tindakan kerajaan yang banyak memotong belanjawan perkhidmatan awam adalah kuncinya. Jurang kaya miskin sangat luas, misalnya pada tahun 2010 harta yang dimiliki oleh 1,000 orang terkaya di Britain meningkat 30 peratus iaitu lebih 333.5 bilion pound.

Memang tidak dinafikan rusuhan ini memberi tekanan paling hebat kepada Perdana Menteri David Cameron. Inilah api dalam sekam yang sebelum ini dilindung dari pandangan. Kemiskinan boleh membuat manusia hilang waras. Golongan muda tercicir dan mereka memprotes kepada sistem yang tidak adil kepada rakyat bawahan.

Kurang bersedia

Cameron ternyata kurang bersedia mendepani kebangkitan rakyat. Dia gagal membendung sentimen ini merebak hingga di luar London dan mengambil masa berhari-hari lamanya untuk bertindak tegas. Walaupun media sosial seperti facebook dan Twitter termasuk telefon pintar BlackBerry dikatakan menyebarluas tentang rusuhan ini, faktor utamanya rakyat marah kerana kemelesetan ekonomi.

Cameron daripada parti Konservatif memegang tampuk kuasa selepas mendapat majoriti kecil pada pilihan raya 2010. Konservatif terpaksa bergabung dengan parti Liberal Demokrat yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan. Cameron mengambil langkah drastik memotong belanjawan perkhidmatan awam untuk mengurangkan defisit. Langkah ini berjaya bagaimanapun ini mengorbankan banyak peluang pekerjaan dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

Ini adalah kali kedua rusuhan yang menggegarkan Britain. Tahun lalu ketika Cameron baru memegang tampuk kuasa, rusuhan pelajar tercetus kerana langkah Cameron memotong banyak peruntukan bagi pengajian lanjutan dan menaikkan yuran tuisyen. Rakyat membantah langkah Cameron menangani masalah kewangan dengan mengorbankan keperluan pendidikan. Rusuhan yang disertai oleh lebih 50,000 orang itu digerakkan oleh Kesatuan Pelajar Kebangsaan (NUS) dan Kesatuan Kolej dan Universiti (UCU). Lebih memalukan perusuh juga menyerang kereta yang membawa Putera Charles dan Carmila semasa melintasi Regent Street di London.

Bagaimanapun Cameron menolak rusuhan kali ini kerana pemotongan yang dilakukan oleh kerajaan. Alasannya sebahagiannya belum dilaksanakan lagi. Sebaliknya Cameron secara mudah menyalahkan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada tragedi polis menembak lelaki kulit hitam itu.

Parti Buruh memegang tampuk kuasa selama 13 tahun hingga tahun lalu bawah kepimpinan Tony Blair dan akhir sekali Gordon Brown menganggap langkah kerajaan mengurangkan belanjawan perkhidmatan awam agak melampau. Berikutan rusuhan ini parti Buruh meletakkan tanggungjawab kepada Cameron.

Tidak dapat menolak bahawa pengaruh kejayaan beberapa rusuhan di Mesir, Tunisia, Libya dan Greece baru-baru ini menjadi pendorong rakyat memintas jalan singkat dengan tindakan tersebut. Tetapi yang berlaku negara-negara itu kecuali di Greece adalah untuk menurunkan diktator yang banyak merompak wang rakyat. Rusuhan di Britain bukan kerana politik tetapi ketidakupayaan kerajaan mengurangkan kadar pengangguran.

Akibatnya wibawa Cameron banyak terjejas. Sebelum ini dia dikaitkan dengan skandal penggodaman telefon mangsa serangan 11 September 2001 oleh akhbar News of the World milik Rupert Murdoch. Walaupun akhirnya akhbar yang berusia 165 tahun itu ditutup tetapi kontroversi skandal itu memberi peluang kepada pembangkang menyerang Cameron. Ini kerana Murdoch memang terkenal sebagai penentu kuasa politik dan orang yang paling berkuasa di dunia kerana menguasai media utama. Malah skandal itu juga membongkarkan pakatan untuk menjual syarikat penyiaran terbesar British Sky Broadcasting (BSkyB) kepada News Corps milik Murdoch.

Walaupun rusuhan berjaya mencalarkan kerjaya politik Cameron tetapi tidak memberikan apa-apa hasil kepada rakyat, kecuali mereka boleh mencuri barang berharga di gedung-gedung mewah di London. Rusuhan tidak pernah berhasil kerana ia bertentangan dengan undang-undang. Buktinya di Mesir yang membawa kepada kejatuhan diktator Hosni Mubarak. Tetapi hingga sekarang belum wujud kestabilan politik dan keamanan selepas diktator ditumbangkan. Biarlah ada pihak yang menamakan rusuhan itu sebagai demonstrasi secara aman dan sebagainya, semua itu tidak memberikan hasil yang baik melainkan kemusnahan yang menyusahkan rakyat.

Lihatlah di London, sebanyak 16,000 pegawai polis terpaksa dikerahkan untuk mengekang rusuhan berbanding 2,500 orang pada suasana biasa. Ini juga satu pembaziran yang nilainya terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam satu undian yang disiarkan oleh akhbar The Sun baru-baru ini mendapati satu daripada tiga orang mahu polis menggunakan peluru hidup terhadap perusuh.

Walau apa sekalipun, London yang sebelum ini dianggap tempat yang aman telah tercemar dengan rusuhan ini. Buktinya seorang pelajar Malaysia cedera parah dipukul oleh perusuh yang merompaknya.

Mungkin ini dilakukan oleh penjenayah tetapi orang hanya ingat tragedi ini berlaku ketika rusuhan golongan gelandangan yang mencari nafas untuk menyambung hidup. Mereka merusuh untuk mengubah hidup.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tanda Tangan : Lambang keperibadian

Oleh Hafizahril Hamid

SEMASA kecil, kita sering membayangkan bagaimana untuk mencipta tanda tangan yang mampu menonjolkan karakter yang bersesuaian dengan personaliti diri.

Ketika itu kita hanya dibenarkan menggunakan cap ibu jari sahaja setiap kali berurusan sama ada di sekolah atau mungkin ketika membuka akaun bank. Maka mulalah berangan mencipta tanda tangan yang seboleh mungkin dilihat unik dan berbeza daripada rakan-rakan lain.

Namun apabila meningkat dewasa, kita mungkin ketawa sendirian apabila terselak kembali surat atau dokumen lama yang pernah menampilkan tanda tangan kita buat kali pertama.

Identiti

Secara ringkasnya tanda tangan seseorang sedikit sebanyak melambangkan identiti dan keperibadian mereka.

Ia mungkin juga tidak memberi sebarang makna memandangkan ada di antara kita yang tidak begitu serius mengenai soal ini dan sudah mencukupi satu tanda tangan ringkas sekadar cukup syarat.

Namun bukan satu keperluan untuk kita mengeluarkan satu tanda tangan yang khusus, sudah cukup sekadar satu tanda atau simbol khas apatah lagi bagi mereka yang buta huruf.

Bagaimanapun semakin meningkat usia seseorang maka tanda tangan ini akan menjadi antara identiti penting dalam menonjolkan imej diri.

Begitu juga semakin tinggi jawatan dan kedudukan seseorang, tanda tangan mereka dilihat lebih kemas dan terampil.

Ini mungkin untuk menunjukkan jawatan yang diduduki memandangkan tanda tangan mereka ini lebih ‘laku’ dan kerap dilakar.

Penting

Kita perlu memahami kenapa tanda tangan penting dalam setiap urusan yang memerlukannya. Pertamanya tanda tangan adalah sebagai satu pengesahan identiti dalam setiap dokumen dan surat yang dikeluarkan dan keduanya ia bersandarkan pada niat dan tujuan dokumen atau surat itu dikeluarkan.

Oleh itu jika tidak disertakan dengan tanda tangan atau simbol pengenalan diri maka adalah tidak sah sesuatu dokumen dan sebarang urusan mengenainya boleh dipertikai.

Daripada sejarah, tidak dapat dikenal pasti bila manusia secara tepat mula menggunakan tanda tangan dalam urusan seharian mereka.

Ukiran

Namun ia sangat berkait rapat dengan perkembangan tulisan itu sendiri. Tamadun Sumeria dan Mesopotamia lampau sekitar 3,500 tahun Sebelum Masihi yang bertanggungjawab mencipta tulisan terawal menggunakan ukiran membawa maksud tertentu pada dinding.

Daripada ini, terciptalah apa yang dipanggil sebagai cap mohor berdasarkan simbol-simbol tertentu yang dianggap sebagai tanda tangan terawal dan ia masih digunakan sehingga kini dalam urusan tertentu.

Penggunaan tanda tangan berbeza mengikut kerajaan ketika itu yang mana skrol menjadi pilihan masyarakat Kristian di Rom manakala cap mohor dari batu jed pula menjadi pilihan maharaja China dan Jepun.

Tanda tangan menggunakan huruf yang terdapat sekarang berasal dari kerajaan Phoenician pada tahun ke sembilan Sebelum Masihi dan kemudian digunapakai oleh kerajaan Yunani dan kemudiannya Rom.

Rasmi

Huruf-huruf ini ditambah baik oleh masyarakat Eropah dan mereka masih menggunakan skrol untuk urusan rasmi. Namun di bahagian bawah skrol ini terdapat bahagian kosong untuk mereka yang berkenaan meletakkan nama bersama cap mohor rasmi.

Maka bermulalah sejarah penggunaan tanda tangan secara tidak langsung. Bezanya jika dahulu kebanyakan mereka hanya meletakkan nama asal di bahagian tersebut dan sejak era moden ia diubah mengikut cara yang dirasakan bersesuaian.

Penggunaan tanda tangan peribadi ini semakin meluas penggunaannya ketika dunia memasuki zaman Renaissance walaupun pihak gereja menentang penggunaannya secara terbuka.

Ini kerana kebanyakan pelukis ketika itu dikawal oleh pihak gereja yang menentang konsep individualisme dengan meletakkan nama di bahagian tertentu lukisan mereka.

Kebebasan

Dengan tindakan berani pelukis -pelukis ini antaranya Leonardo Da Vinci, ia semakin mengukuhkan kedudukan hak kebebasan individu yang bebas berkarya serta diterima ramai.

Ini sekaligus menggalakkan penggunaan tanda tangan peribadi secara meluas dalam kehidupan selain meningkatkan status dan reputasi seseorang di kalangan masyarakat.

Kini bersesuaian dengan kemajuan, manusia semakin berkemampuan bukan sahaja untuk mencipta tanda tangan yang menjelaskan karisma diri malah terdapat beberapa teori yang mampu mendedahkan rahsia tanda tangan seseorang. Berikut adalah antara contoh rahsia tanda tangan berkenaan.

Albert Einstein

Garis melintang huruf ‘t’ pada bahagian hujung atas menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pekerti mulia dan bercita-cita tinggi dalam hidup. Einstein mempunyai tulisan dan tanda tangan kecil yang mengaitkannya dengan kerja yang rumit dan terperinci.

Tulisannya padat dan konsisten menunjukkan tenaga yang amat tinggi. Tanda tangan ini juga menunjukkan keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan.

Bill Gates

Garis melintang pada huruf ‘t’ yang memanjang ke kanan dan titik ‘i’ yang jelas menunjukkan dia seorang yang cepat naik darah. Tanda tangannya yang bersudut menunjukkan beliau mempunyai pemikiran tajam.

Tulisannya juga mencondong ke kanan dan menunjukkan beliau seorang yang suka menguasai tetapi tidaklah terlalu jahat cuma dengan cara yang lebih tersusun.

George W. Bush

Tanda tangannya bermula dari dasar, menaik ke atas dan seolah-olah bersambung dengan huruf pertama nama seterusnya (Bush) menunjukkan dia seorang yang menyimpan perasaan marah, geram, dendam dan kekecewaan yang amat tinggi.

Tanda tangannya yang bergaris tebal, menurun ke bawah dan tidak berapa jelas menunjukkan keghairahan menakluk dunia sesuka hati tanpa diplomasi. Ia juga menunjukkan beliau sanggup melakukan keganasan dan kekejaman untuk membalas dendam.

Osama Bin Laden

Garisan tebal atau pekat pada tandatangannya menunjukkan dia seorang yang mempunyai keazaman yang tinggi. Manakala garisan melintang di bahagian atas dan lakaran seperti ketam pada tanda tangannya menunjukkan personalitinya yang keras.

Ia juga menunjukkan seorang yang tidak gemar berkomunikasi tetapi suka merancang atau melakukan sesuatu secara rahsia. Lakaran ketam pula menunjukkan beliau tidak akan berputus asa sebaliknya ‘menggigit’ balik dengan ganas.

Adolf Hitler

Tanda tangan beliau yang condong ke bahagian kanan pula sering kali menggambarkan pemiliknya sebagai sukar mengawal emosi dan cenderung untuk bertindak di luar kawalan.

Tulisan tangannya yang bersudut menunjukkan beliau seorang yang mempunyai pemikiran agresif. Tulisan yang meliuk-liuk ke bahagian kiri menunjukkan seorang yang tidak jujur dan mempunyai pemikiran seperti seorang penjenayah.

Bersesuaian dengan tuntutan zaman, tanda tangan kini menjadi lebih daripada satu keperluan di atas kertas malah ia melambangkan tindakan berlandaskan pengaruh politik dan kuasa.

Apatah lagi jika ia melibatkan tindakan berkumpulan yang mampu mendera mereka yang lemah walaupun ia bermula dengan tindakan kecil, hanya melalui penggunaan sebatang pen di atas kertas.

Akhirnya seperti mana ciptaan manusia yang lain, tanda tangan turut menjadi mangsa eksploitasi segelintir manusia yang terperangkap dengan keegoan dan nafsu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Agensi kerajaan guna bahasa Melayu ciplak

SEBENARNYA saya sudah tidak larat melayari laman web agensi awam yang ghairah dengan bahasa Melayu ciplak. Susun kata bagai diterjemah terus daripada bahasa Inggeris tanpa mengambil kira nahu bahasa Melayu.

Bagi saya, apa berlaku ini sebagai amat tidak bertanggungjawab dan menyinggung hati saya yang berpendidikan sekolah Melayu dan kini bekerja sebagai penterjemah sambilan.

Sia-sia saya bertungkus-lumus meningkatkan kemahiran bahasa Melayu, sedangkan kebanyakan masyarakat hari ini lebih selesa dengan perkataan seperti integriti, informasi, kombinasi, sensitif, berbanding perkataan ketelusan, maklumat, gabungan atau peka.

Mungkin benar ungkapan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa bahasa rasmi kita kini umpama ‘sekerat ular, sekerat belut’.

Dottie C

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ANUGERAH

Ramadhan penuh barakah

ialah suatu anugerah


Setiap gerak dikira ibadah

dengan 70 gandaan faedah

selama jiwa pasrah


Ramadhan penuh barakah

lapar dahaga bertukar nikmah

insaf akan golongan yang susah


Ramadhan penuh barakah

mengekang lancangnya lidah

menghalang nafsu serakah


Ramadhan penuh barakah

tanda kasih rahmahnya Allah

terbuka ruang berinfak sedekah


Ramadhan penuh barakah

Laitul Qadr istimewanya hadiah

Satu malam bernilai seribu bulan ibadah


Ramadhan penuh barakah

sebulan berada di madrasah

meningkatkan ta`dib dan tarbiyah


Kupohon Kausempurnakan

anugerah itu berkekalan

hingga ruh beralih dari badan


~Kembara Bahasa~

8 Ogos 2011


Sumber : http://kembarabahasa.blogspot.com/

ISU KENEGARAAN : Lupa Sebentar Politik, Mari Sambut Merdeka!

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR: Setiap kali menjengah bulan Ogos, paling hangat diperkatakan ialah 'patriotisme'.Ia difahami sebagai tanda penilaian sejauh mana daya kecintaan seseorang rakyat itu terhadap negara, di samping menghargai jasa para nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Pada ketika inilah, rakyat Malaysia berbilang bangsa disarankan tampil ke depan mempamerkan semangat patriotik dan cintanya mereka kepada negara. Malah, sambutan kemerdekaan negara ke-54 kali ini juga tidak terkecuali.

Biarpun ketika ini umat Islam dalam menunaikan ibadah puasa, namun kehangatannya tetap terasa. Apatah lagi, sudah kelihatan sana sini Jalur Gemilang berkibar megah sama ada ia usaha kerajaan, swasta mahupun individu itu sendiri.

Akan tetapi, sejauh manakah pemahaman rakyat akan patriotisme itu? Mungkin, ini persoalan terbaik untuk ditebak. Tambahan pula, ada yang mengandaikan patriotisme sekadar mengingati pengorbanan perajurit terdahulu, dan itu sudah mencukupi.

Persoalannya, cukupkah? Apatah lagi, ada suara mengaitkan pula terdapatnya percampuran politik dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan. Namun, adakah ia benar?

Patriotisme Melangkaui Politik

"Apabila membicarakan mengenai patriotisme, ia berkaitan dengan 'negara'. Tetapi, saya lihat ada masalah di sini, apabila terdapat segelintir masyarakat keliru akan patriotisme.

"Mereka tidak dapat membezakan mana bersifat 'negara' denganbersifat 'kerajaan'," kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun.

Senario itu akhirnya menyebabkan segelintir masyarakat mengaitkan semangat patriotik itu berkait rapat dengan memberi sokongan kepada sesebuah parti, walhal ia tidak sebenarnya, kata Abdul Ghapa.

Menegaskan patriotisme adalah 'beyond politics', senario ini akhirnya menyebabkan sesetengah pihak mengelakkan diri daripada meraikan sambutan hari kemerdekaan kerana tidak mahu dikaitkan dengan parti tertentu.

"Apabila parti pemerintah menganjurkan sambutan hari kemerdekaan, ada pihak yang tidak menyokong pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mahu hadir kerana merasakan ia sebagai sokongan patriotik kepada BN. "Ini silap kerana hari kemerdekaan itu hari negara, milik semua bukan milik kerajaan memerintah dan BN hanya memenuhi tanggungjawab untuk menggerakkan hari itu. "Sambutan itu sebenarnya adalah sebagai simbol kita mempamerkan semangat patriotik kita kepada negara dan bukan parti," katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Atas faktor itu, adalah penting bagi mana-mana parti politik tidak kiralah sama ada ia parti pemerintah mahupun pembangkang perlu 'bercuti sebentar' dalam memperjuangkan matlamat politik mereka daripada mencampur-adukkan antara parti dengan sambutan hari kemerdekaan, sebagai kepentingan negara.

Ini kerana, terdapat pihak tertentu sama ada daripada parti pemerintah mahupun pembangkang cuba mengeksploitasikan sambutan hari kemerdekaan sebagai antara platform mempengaruhi ideologi politik masing-masing, sehingga menyebabkan masyarakat keliru akan patriotisme itu.

Percampuran politik, rencatkan patriotisme

Lingkaran persepsi bahawa semangat patriotik seseorang itu sebagai sokongan kepada parti politik dan bukan hari kemerdekaan, perlu diubah. Ini kerana, percampuran dua perkara ini akan merencatkan pertumbuhan 'patriotisme' dalam kalangan rakyat.

Melihat fenomena yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Abdul Ghapa berkata persaingan politik kepartian tidak seharusnya menjadi halangan kepada satu jalinan kerjasama antara dua pihak (parti pemerintah dan pembangkang) dalam meningkatkan patriotisme rakyat.

Tidak menyerahkan seratus peratus tanggungjawab pemupukan semangat patriotik di bahu kerajaan, pihak lain juga seharusnya sedar akan tanggungjawab moral mereka dan bersedia memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Sambil merujuk kepada krisis politik negara ekoran peristiwa 13 Mei 1969, banyak pihak dalam kalangan rakyat di negara ini, khususnya parti politik yang berasaskan kaum sedia berkompromi dan mengetepikan kepentingan sempit masing-masing demi kestabilan politik negara, katanya. "Ketika itu, dapat dilihat sama ada parti Perikatan mahupun bukan, mempamerkan sikap patriotik masing-masing menerusi kesediaan parti-parti terbabit mengutamakan 'kepentingan negara' dengan bertolak ansur dan sanggup melakukan pengorbanan.

"Walaupun, berlainan ideologi, masing-masing (parti politik) dengan cepat membina konsensus demi untuk mengembalikan keamanan dan mengukuhkan semula institusi dan infrastrusktur pemerintahan negara.

"Sekiranya tiada unsur kompromi dan kerjasama seperti itu, sudah tentu usaha memulihkan kestabilan politik dalam masa yang singkat dan pembentukan sebuah kerajaan yang teguh selepas perisitwa 13 Mei, adalah sukar," kata Abdul Ghapa.

Menyarankan ia sebagai teladan yang perlu diambil iktibar, parti-parti politik dan pihak lain juga seharusnya sentiasa peka terhadap tanggungjawab sosial masing-masing dalam menjaga kestabilan politik negara dan mempertahankan kedaulatan, autonomi dan 'self-determination', tiga elemen penting bagi sesebuah negara dan bukannya menyerahkan kepada bahu kerajaan semata-mata.

"Biarpun dalam sistem demokrasi setiap parti politik berhak mengemukakan pelbagai dasar alternatif masing-masing, namun idea yang diperjuangkan dan tindakan yang diambil mestilah tidak menggugat tiga elemen penting itu," katanya.

Untuk menuju tahap demokrasi yang matang, parti-parti politik dalam negara mestilah bersikap konstruktif dan memiliki semangat patriotik yang tinggi, dengan matlamat utamanya adalah mengukuhkan kedaulatan, autonomi dan 'self-determination' negara," katanya.

Pentingkah Patriotisme?

Sekiranya tidak penting, mengapakah ia kerap kali diperkatakan? Ini kerana 'patriotisme' adalah kunci ataupun teras mempertahankan kedaulatan, autonomi, 'self-determination' bagi menjamin kelangsungan sesebuah negara yang merdeka. Patriotisme juga penting dalam menentukan keupayaan pembangunan negara.

"Apabila dikatakan negara itu 'merdeka', syaratnya mesti mempunyai kedaulatan, autonomi dan hak 'self-determination'.

Kerajaan yang memerintah perlu memastikan negara mengekalkan semua unsur itu. "Tetapi, sebuah kerajaan tidak dapat melakukannya dengan berkesan tanpa penyertaan meluas daripada rakyat dan di sinilah pentingnya patriotisme. Apabila memiliki semangat patriotik yang tinggi, mereka sanggup berkorban mempertahankan negara daripada ancaman yang akan menjejaskan kedaulatan, autonomi dan 'self-determination' kita," kata Abdul Ghapa.

Untuk itu, penting semua pihak memainkan peranan sebagai agen sosialisasi politik bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat, terutamanya generasi muda. Ia difahami sebagai satu proses pembinaan

identiti sepunya dan pembentukan sahsiah peribadi individu itu dengan nilai-nilai patriotisme.

Menerusi proses sosialisasi politik yang berkesan, generasi muda dapat mengenal 'negara' mereka, tahu dan memahami kedudukan, serta sedar akan hak dan peranan masing-masing, katanya.

Pengenalan terhadap pelbagai unsur kenegaraan penting seperti ungkapan peribahasa 'kalau tidak kenal, maka tidak cinta'.

Ini kerana, untuk menyemai semangat patriotik seseorang itu mestilah 'merasa dekat' dan mengenali apa dikatakan negara, simbol-simbol dan institusi utamanya yang perlu dijunjung.

Lebih penting lagi, mereka juga ada keyakinan terhadap institusi dalam negara sebagai pelindung kepentingan dan masa depan mereka.

Rasa dekat dengan negara akan tumbuh apabila setiap individu mengetahui dan memahami kepentingan semua itu dalam kehidupan mereka sebagai warganegara.

Justeru, apabila 'kerapatan itu sudah terasa' dan kepercayaan terhadap negara menebal, maka secara semula jadi akan membibitkan perasaan cinta dan ini boleh dilakukan dengan mengolah semula sistem pendidikan sejarah sebagai wahana sosialisasi politik yang berkesan, bukannya sebagai alat indoktrinasi, kata Abdul Ghapa.

"Hanya dengan membaca buku teks sejarah, ia tidak akan menimbulkan semangat patriotik kerana pelajar membaca bukan untuk apresiasi, tetapi didorong untuk lulus peperiksaan, disebabkan itulah perlu ada pembaharuan dari sudut pedagogi dan kandungan sukatan pelajaran.

"Saya mengharapkan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji subjek ini dapat meminimumkan unsur indoktrinasi dalam pelajaran sejarah dan kandungannya pula hendaklah lebih bersifat inklusif supaya proses sosialisasi generasi muda menerusi pengajaran dan pembelajaran sejarah dalam negara pelbagai kaum ini berkesan," katanya.

Pada masa sama, peranan sekolah, keluarga, media dan sesiapa sahaja tanpa mengira apa jua pegangan ideologi politik seseorang individu itu juga diperlukan dalam menyumbang kepada pembentukan patriotisme.

Justeru, biar apa pun pegangan politik kita, tidak kiralah sama ada berada di barisan parti pemerintah mahupun pembangkang, lupakan sebentar akan perjuangan tersebut dan bersatulah bersama-sama bagi menyambut hari kemerdekaan negara kita yang tercinta. -BERNAMA

Jumaat, 12 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : Pengajaran daripada rusuhan di kota London

SEMUANYA bermula dengan protes jalanan yang kononnya dianjurkan secara aman. Matlamat asal seperti yang didakwa ialah untuk membantah tindakan polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam.

Tetapi kesan daripada protes aman tersebut kota raya London berubah menjadi medan perang. Satu dunia dapat melihat bagaimana huru-hara dan kucar-kacirnya bandar raya itu. Ia yang berlarutan hampir seminggu telah mengorbankan lima nyawa.

Mungkin itu bukan sesuatu yang diinginkan oleh para penunjuk perasaan terbabit apabila mereka mula menggerakkan protes jalanan tersebut.

Tetapi apa yang berlaku pada masa lalu telah membuktikan apa juga bentuk protes, tunjuk perasaan, demonstrasi atau apa sahaja yang seangkatan dengannya jarang berakhir dengan aman.

Jarang juga ia berakhir tanpa tragedi. Dan tentunya amat jarang berakhir tanpa ada yang tercedera atau kehilangan nyawa.

Kita boleh tengok sendiri apa yang berlaku di London. Lihatlah apa yang dialami seorang pelajar Malaysia di sana, Muhammad Asyraf Haziq Rossli yang cedera akibat dibelasah oleh mereka yang berpura-pura menolongnya.

Juga jangan lupa gambar seorang rakyat Poland yang terpaksa nekad terjun dari sebuah bangunan yang marak terbakar akibat tindakan para penunjuk perasaan tersebut.

Itu semua gambaran ngeri yang sepatutnya menyedarkan kita bahawa apa juga yang bersifat jalanan tidak membawa apa-apa kebaikan. Sebaliknya ia lebih membawa kepada kemusnahan dan kerugian untuk jangka pendek dan jangka panjang.

Tentu ada pihak akan menganggap perkara itu bakal dijadikan momokan oleh pihak berkuasa bagi menjustifikasikan tindakan terhadap bantahan jalanan di negara ini.

Tetapi realitinya, mencegah lebih baik daripada mengubati. Itu yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu apabila pihak berkuasa berusaha keras menggagalkan perhimpunan haram yang dirancang.

Namun, kesannya tetap ada apabila peniaga terpaksa menanggung kerugian, harta benda awam rosak dan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya.

Malah ia turut membawa kepada majlis kenduri yang terpaksa dibatalkan ekoran tetamu tidak datang kerana mereka takut untuk berhadapan dengan kemungkinan daripada perhimpunan haram tersebut.

Walaupun tidak seteruk apa yang berlaku di London, namun perhimpunan haram di ibu negara itu tetap memberikan kesan negatif. Kerana kononnya protes aman oleh sekelompok kecil itu, penduduk di London kini trauma.

Mereka kini dibelenggu ketakutan. Hendak keluar rumah pun tidak berani. Ini kerana rusuhan yang bermula di utara London dan Tottenham itu turut merebak ke bandar-bandar lain.

Ia turut menyumbang kepada kes-kes curi, samun dan rompak seolah-olah penduduk England tidak bertamadun.

Penduduk Britain sendiri terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata mereka. Orang awam dipukul, kedai digeledah sesuka hati, kenderaan dirosakkan dan bangunan dibakar.

Jika sebelum ini mereka mengkritik tindakan pihak berkuasa negara lain termasuk Malaysia dalam menghalang perhimpunan haram, kini mereka melihat dan merasai sendiri akibat yang terpaksa ditanggung jika perkara seperti itu tidak dikawal dan dihalang dari awal.

Skala rusuhan dan keganasan itu bukan sahaja di kawasan-kawasan tengah bandar tetapi turut merebak ke kawasan kelas pertengahan di pinggir-pinggir bandar. Ia melenyapkan sama sekali imej Britain sebagai sebuah negara dengan masyarakat yang bertamadun.

Ahli politiknya pula saling tuduh-menuduh dan salah-menyalah ekoran tragedi yang tercetus daripada kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul yang diperjuangkan oleh mereka.

Kerajaan disalahkan kerana mengurangkan bajet untuk pasukan polis menyebabkan pihak berkuasa kekurangan anggota untuk menangani kejadian itu.

Dikatakan juga, sebelum rusuhan itu, moral pasukan polis Britain juga rendah kerana kehilangan seorang demi seorang ketua mereka ekoran pendedahan skandal dan tuduhan rasuah oleh akhbar-akhbar British milik Rupert Murdoch.

Tentu ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada apa yang berlaku di London ini. Bayangkan daripada sebuah kota raya yang gah dengan kemodenan dan ketamadunan, sebahagiannya kini menjadi seperti medan perang.

Seperti kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, protes jalanan perlu dielakkan kerana tidak ada sesiapa pun tahu akan kesannya.

Biar atas nama protes aman sekalipun, ia selalunya berakhir dengan perkara yang tidak elok.

Apa yang berlaku di London itu boleh diibaratkan menang jadi abu, kalah jadi arang. Ia langsung tidak membawa kebaikan. Hanya memudaratkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU AGAMA : Kekal produktif pada Ramadan

Oleh Sharifah Hayaati

bhagama@bharian.com.my

Tak wajar jadikan puasa alasan lambat siap tugasan


ALHAMDULILLAH, bersyukur kita kerana telah dipinjamkan 13 hari yang penuh keberkatan pada Ramadan, bulan yang dilimpahi kurniaan rahmah, magfirah serta dijanjikan ganjaran Allah yang berlipat kali ganda.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Telah datang kepada kamu sekalian bulan penuh keberkatan, Allah mewajibkan puasa di dalamnya, pintu syurga dibuka luas, pintu neraka ditutup rapat dan syaitan dibelenggu. Allah memiliki dalam Ramadan suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa yang tidak mendapatkan kebaikan sesungguhnya ia sangat rugi.” (Hadis riwayat An-Nasa'i).

Tiada nama bulan yang disebutkan dalam al-Quran kecuali Ramadan. Dengan segala kemuliaan diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan sabdanya, ‘bulan ini adalah bulan umatku’, marilah kita menilai pencapaian 13 hari yang telah dilalui untuk beramal merebut baki Ramadan.

Pencapaian beramal pada bulan ini sewajarnya dinilai bukan saja kepada ibadat khusus seperti solat tarawih, tadarus, zikir, doa dan sedekah, juga kepada tanggungjawab bekerja mencari rezeki kerana ia suatu ibadat bahkan jihad.

Rasulullah SAW pernah menasihati sahabat yang berjalan bersamanya apabila menegur seorang pengusaha kebun tamar dengan mengatakan bukankah lebih baik jika pengusaha kebun yang muda dan kuat itu menggunakan kekuatannya untuk pergi berjihad.

Lalu Rasulullah SAW menegur dengan katanya, jika apa yang diusahakan itu dapat mengelakkan dirinya daripada meminta-minta kepada yang lain, maka itu adalah jihad baginya. Bahkan jika usaha itu menyebabkan ia dapat memberi nafkah kepada keluarganya, itu juga jihad baginya dan jika pula dengan usaha itu ia dapat membantu masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah, maka itu juga adalah jihad baginya.

Hakikatnya bekerja juga jihad daripada sifat malas serta suka meminta. Tambahan, yang sering kita lupakan ialah dengan rezeki daripada bekerja itulah membolehkan kita bersedekah dan membayar zakat fitrah serta memberi ketenangan dalam beribadat menghidupkan Ramadan.

Sebaliknya, apa yang sering diperkatakan ialah suasana bekerja pada Ramadan kurang efektif berbanding bulan lain. Sering juga kedengaran kata-kata sinis atau gurauan bila lambat menyiapkan tugasan, alasannya ‘puasalah’.

Namun, mengambil kira kebajikan dan ihsan terhadap pekerja terutama dalam bulan ini adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan beban kerja pekerjanya pada Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah).

Asalkan ia tidak mengganggu proses operasi, kualiti perkhidmatan, pengurangan produktiviti dan sasaran perancangan, dengan sebab itulah, ada majikan dan organisasi berusaha menyiapkan tugasan atau tindakan penting sebelum kedatangan Ramadan dan Syawal bagi mengelak kelewatan.

Ini supaya tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produktiviti. Lebih membimbangkan jika ada persepsi negatif terhadap pekerja Muslim yang dilihat kurang bersungguh-sungguh atau produktif dalam Ramadan berbanding yang lain.

Hal ini boleh mencalarkan imej umat Islam sekali gus pensyariatan berpuasa. Oleh itu, pencapaian beramal melalui ‘ibadat kerja’ seharian perlu untuk dinilai dan dipertingkatkan kualitinya khasnya pada Ramadan.

Bagi membugarkan semangat dan keseronokan bekerja di bulan ini ambillah iktibar kemenangan umat Islam dalam Perang Badar walaupun ia peperangan besar yang pertama dalam Islam, ia berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Kejayaan ini digerakkan oleh kekuatan dalaman walaupun jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit. Semangat, kesabaran dan kesungguhan ditunjukkan antaranya Saad bin Muaz, Umair bin Abu Waqqas, Miqdad bin Al-Aswad, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar bin al-Khattab membuktikan kekuatan dalaman meliputi jiwa, hati dan akal adalah komponen penting mencorakkan kejayaan bangsa.

Oleh itu, selain ujian dan latihan, Ramadan adalah pendorong dan penguat sumber kekuatan dalaman kita. Bimbanglah pada peringatan Baginda Rasulullah SAW mengenai ramai yang berpuasa, tetapi malangnya tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Oleh itu, marilah kita berazam mempertingkatkan ibadat khusus serta kualiti kerja di bulan keberkatan ini supaya kita benar-benar dapat meraikan hari kemenangan nanti.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/