Sabtu, 10 September 2011

ISU BAHASA : Kajian JMM mengenai PPSMI tidak tepat: Puad

BATU PAHAT - Kajian oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang menunjukkan 50 peratus ibu bapa mahukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak tepat kerana ia dilakukan secara tidak komprehensif.

Menegaskan demikian, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata kajian terbabit dilakukan tanpa mengambil kira pelbagai aspek dan hanya bergantung sama ada ibu bapa bersetuju terhadap PPSMI.

"Kajian itu tidak meliputi keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Ia (kajian) tidak dilakukan secara empirikal dan tidak komprehensif," katanya pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitrinya di sini hari ini.

Sebaliknya, Puad berkata kementerian sudah melakukan kajian terperinci selain beberapa perbincangan meja bulat dengan pakar pendidikan negara sebelum membatalkan pelaksanaan PPSMI.

Mohd Puad berkata, kementerian juga menolak PPSMI berdasarkan keputusan pelajar yang merosot dalam subjek sains dan matematik pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2008.

Beliau menjelaskan, ketika dasar PPSMI dilaksanakan, hanya lapan peratus guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar subjek Sains dan Matematik kerana kebanyakan mereka tidak dilatih dan tidak menguasai bahasa itu.

Katanya, banyak pihak salah faham mengenai pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai kerajaan meminggirkan penguasaan bahasa Inggeris.

Beliau juga berkata, langkah kementerian mempertimbangkan cadangan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, tidak bermakna kementerian akan kembali menggunakan PPSMI.

"Memang kita sedang mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pelbagai aspek tetapi ini langsung tidak bermakna kita akan kembali kepada PPSMI," katanya. - Bernama

Nota Hujung :

Untuk imbasan, penulis menyertakan kenyataan akhbar Jaringan Melayu Malaysia sebagaimana disiarkan melalui akhbar The Star 6 September 2011 yang lalu.

"PETALING JAYA: Hasil kaji selidik Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati organisasi bukan kerajaan (NGO) Melayu adalah antara 15,000 responden yang melahirkan sokongan terhadap isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kaji selidik yang berlangsung selama empat bulan mendapati 54% daripada keseluruhan responden di seluruh negara termasuk golongan guru dari kawasan pedalaman mahu PPSMI dikekalkan.

70% daripada responden terdiri daripada bangsa Melayu.

Menurut Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, walaupun perlembagaannya jelas menyatakan peranan mereka dalam mendukung bahasa Malaysia, sokongan daripada ibu bapa berkenaan isu itu tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kaji selidik itu juga menyatakan 66% ibu bapa daripada kawasan pedalaman bersetuju pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka.

"Kerajaan perlu mengambil kira pandangan ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak mereka daripada kita menghapuskan ia (PPSMI) sepenuhnya.

"Sebagai contoh, sesetengah sekolah di kawasan bandar boleh menawarkan PPSMI. Ibu bapa sangat menyokong pelaksanaan itu. Terpulang kepada kerajaan dan guru-guru untuk bersiap sedia bagi melaksanakannya.

"Bahasa Inggeris merupakan salah satu keperluan untuk anak-anak kita melanjutkan pengajian di luar negara dan juga kriteria penting dalam pencarian hampir 12 juta peluang pekerjaan di negara ini," katanya.

Azwanddin menambah, keputusan kaji selidik itu juga mencerminkan sokongan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) terhadap pelaksanaan PPSMI.

Katanya, JMM juga telah bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri berserta pencarian yang diperolehi bersama PAGE jika perlu.

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim juga dipanggil untuk mengadakan mesyuarat dengan Kabinet bagi mendapatkan penyelesaian isu berkenaan."

Jumaat, 9 September 2011

ISU SOSIAL : Orang ramai kena aktif bantu atasi jenayah

SAYA merujuk kepada kaji selidik Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini yang mendedahkan bahawa jenayah masih terus menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia, sungguhpun terdapat penurunan daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus tahun ini.

Pendedahan ini tidaklah menghairankan memandangkan mereka yang terbabit dalam kaji selidik berkenaan juga pernah menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara atau kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah.


Dengan membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi itu.

Kita tidak harus melihat perkembangan ini sebagai negatif. Sebaliknya ia harus dilihat secara positif. Hakikat bahawa jenayah adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah dan tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan ini diterjemahkan dengan lebih banyak penyertaan orang ramai dalam program pencegahan jenayah dan aktiviti yang dianjurkan oleh MCPF.

Diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia dari pelbagai kaum membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah di kalangan komuniti dan kejiranan masing-masing.

Rakyat Malaysia harus tampil ke hadapan untuk turut serta dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah sama ada atas inisiatif persatuan penduduk mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi meningkatkan kesedaran mengenai apa yang boleh dan patut dilakukan untuk mencegah jenayah.

Pembasmian jenayah menjadi teras utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu secara berterusan mengukuhkan keupayaannya dan prestasi cemerlang berdasarkan pendekatan 4P (iaitu berorientasikan masyarakat, prestasi, pelindung dan proaktif) untuk memerangi jenayah.

Apa yang pihak polis perlukan adalah untuk mencapai kadar penyelesaian kes jenayah yang lebih tinggi, serta meningkatkan lagi usaha ke arah memasyarakatkan polis.

Dalam aspek jenayah, persepsi masyarakat adalah penting. Kekerapan media melaporkan kejadian jenayah tidak akan membantu untuk membaiki persepsi masyarakat.

Kita perlu sentiasa sedar bagaimana orang ramai melihat jenayah dan mencari jalan bagaimana kita boleh membantu bukan saja untuk membina persepsi masyarakat positif, tetapi juga bagi pihak polis mendapat kepercayaan dan keyakinan orang ramai dengan membuktikan bahawa pasukan polis benar-benar profesional dan melaksanakan tugas dengan berintegriti.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sistem baru pendidikan vokasional

LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.

"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.

Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.

Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih berdasarkan beberapa tahap.

Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.

Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.

Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.

Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.

"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.

Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokasional dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.

Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperoleh Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.

"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.

Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.

Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.

"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 8 September 2011

ISU ANTARABANGSA : Senario pasca 9/11 masih malap

oleh MASHITAH IBRAHIM

Lusa genap satu dekad berlakunya tragedi 9/11. Sebagai respons, Presiden George W Bush melancarkan perang (disebutnya ‘crusade’) menentang keganasan sejagat. Walaupun hanya sebilangan kecil sahaja orang Islam terbabit atau ada kaitan dengan kumpulan seperti al-Qaeda, satu dunia Islam menjadi sasaran Amerika Syarikat dan negara Barat. Kata tokoh pemikir Dr Chandra Muzaffar: “The Muslims, to put it in graphic terms, is now on the psychiatric couch, subjected to countless examinations and re-examinations.” (“Muslims Today: Challenges Within, Challenges Without:, Islamabad, 2011).

Sepuluh tahun berlalu, namun suasana geo-politik global, terutama dunia Islam, tidak banyak beza. Palestin dan Lubnan masih dicengkam manakala Iran menjadi sasaran sabotaj. Tentera Amerika masih berkuasa di Iraq dan Afghanistan. Hubungan Amerika-Pakistan dan Turki-Israel semakin meruncing. Negara-negara Islam di Afrika Utara dan Timur Tengah masih porak-peranda ekoran Revolusi Musim Bunga yang disokong Amerika dan Barat. Walaupun Osama Laden dibunuh, al-Qaeda masih berpengaruh. Pengeboman seperti di Bali (2002), Mumbai (2004) dan London (2005) mungkin berlaku lagi.

Prejudis Barat terhadap Islam dan Muslim masih tebal. Penghinaan terhadap agama dan penganut Islam terus berlaku, baik di media mahupun di medan. Punca prejudis ini ialah kepercayaan bahawa ajaran Islam menganjurkan keganasan, istilah ‘jihad’ disalahertikan. Apabila Pope Benedict XVI pun mempercayai begitu seperti dalam ceramahnya di sebuah universiti, nyatalah persepsi ini berleluasa.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh tindakan beberapa pelampau Islam, termasuk pengebom berani mati - membabitkan kematian orang awam yang tidak berdosa. Majoriti orang Islam sendiri tidak menyokong tindakan keganasan kerana ia bertentangan dengan ajaran dan semangat Islam, namun ini jarang diberi penekanan oleh media atau penganalisis dan ahli politik Barat.

Bagaimanakah keadaan ini boleh diperbaiki? Dr Chandra memberi lima cadangan. Pertama, gerakan Muslim perlu bijak mempamerkan nilai Islam sebenar secara rasional dan meyakinkan melalui media antarabangsa atau dialog antara agama dan tamadun. Kedua, menekankan keunikan dan kecantikan budaya Islam serta nilai, sikap dan citarasa sejagat melalui pelbagai medium (radio, TV, lagu, seni, tarian dan filem). Ketiga, menguatkan komitmen untuk menguasai dan meningkatkan pengupayaan sains, teknologi, inovasi dan reka cipta demi kemajuan masyarakat Islam. Keempat, mewujudkan sistem ekonomi yang kuat dan stabil melalui perancangan pengindustrian yang teratur dan pelaburan di negara-negara Islam. Kelima, menguatkan demokrasi dengan meningkatkan pembabitan masyarakat awam dalam sistem politik dan kerajaan di negara-negara Islam, justeru menghalang dominasi asing.

Pandangan ini disokong Feisal Abdul Rauf, imam masjid yang dibina hanya enam blok dari Ground Zero. Dalam bukunya What’s Right With Islam (New York, 2005), Imam Feisal menekankan perlunya dialog terbuka dan berterusan dengan pemimpin agama lain sebagai prasyarat kepada perubahan bermakna antara Barat dengan dunia Islam. Ahli intelek Muslim dan pemimpin agama Islam di Amerika punya peranan utama menjalinkan hubungan dengan rakan sejawat daripada agama lain. Begitu juga guru-guru, media dan golongan Kristian serta Yahudi moderat yang bersikap munasabah. Wolfgang Goethe dan Karen Amstrong, antara tokoh bukan Islam yang berpengaruh dan berupaya menjadi ‘pembina jambatan’ meningkatkan kefahaman antara agama.

Dalam kalangan pemimpin dunia Islam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah antara pelopor utama gerakan sejagat yang menganjurkan kesederhanaan. Di pelbagai forum antarabangsa, termasuk diPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Dialog Antarabangsa Langkawi, beliau sarankan jalan tengah dan pentingnya golongan moderat menentukan agenda agar tidak diambil alih atau disabotaj oleh golongan pelampau.

Imam Feisal, yang pernah tinggal di Simpang Lima, Kelang selama enam tahun dan belajar di Victoria Institution Kuala Lumpur, ialah anak kepada mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang pertama. Antara lain, beliau mencadangkan perlunya dasar luar Amerika dilihat membantu negara-negara Islam, khususnya bidang ekonomi, perundangan dan amalan demokrasi.

Dalam pada itu, Amerika harus mencipta a weapon of mass peace dan memberi komitmen untuk menyelesaikan tiga konflik yang boleh meningkatkan kepercayaan dunia Islam terhadap kuasa besar itu dan Barat umumnya, yakni Perang Arab-Israel dan masalah di Kashmir dan Chechnya.

Mungkin ada yang berpendapat cadangan ini retorik atau mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan, khususnya perubahan sikap dan dasar Amerika dan Barat, termasuk Israel. Tapi seperti kata tokoh pemikir Kanada, Wilfred Cantwell Smith, Islam yang elok dan berfungsi adalah asas keamanan sejagat. Untuk berabad-abad lamanya, Islam menjadi penyinar kepada Eropah sehingga Barat mampu membina tamadun sendiri. Kerana itulah, dunia Barat dan dunia Islam harus saling menghormati.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 7 September 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kuasai pelbagai ilmu tingkatkan kualiti mahasiswa

Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

MAHASISWA hari ini berdepan cabaran dan persaingan dunia kerjaya cukup hebat kerana bukan saja berdepan kehendak sengit majikan, malah dibelenggu isu kualiti graduan yang dikatakan sukar menepati standard industri.

Meskipun banyak usaha dilaksanakan bagi membantu menaikkan lagi taraf dan imej mahasiswa menjadi lebih berketrampilan, berdaya saing, kompetitif serta kompeten, namun bukan semua berjaya menakluk hati majikan.

Antara pihak paling terkesan mengenainya sudah tentu institusi yang menjadi tempat naungan mahasiswa menimba ilmu menyebabkan kewibawaan sesetengah institusi terbabit dipersoalkan.

Bagaimanapun, isu utama sering diketengahkan ibarat sudah lapuk, antaranya kurang mahir berkomunikasi bahasa Inggeris dan lemah penampilan sahsiah diri menyebabkan ada pihak mengaku kalah dan bersikap lepas tangan.

Persoalannya, adakah hanya dua isu ini saja yang dilihat menjadi ‘musibah’ kepada mahasiswa? Bagaimana isu lain lebih dramatik antaranya melahirkan graduan bukan saja mampu menguasai dua bahasa utama, malah lebih yang kini menjadi antara agenda penting kebanyakan institusi ternama dunia juga industri global.

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Nor Azmi Mostafa, berkata ‘kesibukan’ kebanyakan pihak menekankan kepentingan hanya dua bahasa utama saja menyebabkan mereka terlupa masih ada bahasa lain yang turut mempunyai nilai komersial tinggi.

Menurutnya, graduan yang memiliki kelebihan menguasai lebih dua bahasa kini menjadi aset dan buruan penting pelbagai industri kerana tahu mereka mempunyai kebolehan istimewa yang jarang dimiliki graduan lain.

“Kepentingan menguasai lebih dua bahasa adalah aliran terbaru yang mewarnai pasaran kerjaya global masa kini. Jika dulu, sudah memadai andai kata graduan boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, kini tidak lagi.

“Dengan kata lain, meskipun ramai menganggap bahasa Inggeris sangat penting, kini mahasiswa yang boleh berbahasa selain dari itu turut menjadi buruan. Ini menunjukkan mereka memiliki pilihan luas untuk mencorakkan masa depan.

“Justeru, janganlah ada pihak asyik menghentam atau berbalah jika mahasiswa kita kurang mahir berbahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa lain juga boleh membantu meningkatkan nilai diri di pasaran kerjaya global,” katanya.

Beliau mengakui apabila bahasa lain seperti Korea, Jepun, Mandarin dan Jerman kini sudah mula menakluki dunia kerana negara terbabit turut menjadi antara kuasa besar ekonomi global.

Menurutnya, kecenderungan itu menjadikan pasaran kerjaya tiada sempadan dan membuka pintu kepada semua masyarakat dunia untuk merebut peluang yang ada.

Mahasiswa tempatan juga, katanya, perlu membuka minda dan melihat keperluan dunia pekerjaan secara global bukan hanya menumpukan pada kehendak menceburi kerjaya dengan pihak tertentu semata - mata.

“Kebanyakan mahasiswa masih tidak nampak kepentingan menguasai kepelbagaian bahasa kerana mereka hanya fokus pada satu matlamat sedangkan corak permintaan dunia hari ini sudah berubah.

“Tiada lagi batasan atau kongkongan untuk berjaya atau hanya menempatkan diri dalam pasaran kerjaya tempatan saja, malah boleh pergi ke seluruh pelosok dunia. Bayangkan apakah yang boleh mereka peroleh jika berjaya menguasai bahasa negara penyumbang ekonomi terbesar?

“Negara berkenaan kebanyakannya tidak mengagungkan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda. Sebenarnya ini adalah peluang yang sangat besar dan tidak boleh dilepaskan, namun kepentingannya tidak dapat dinilai sepenuhnya oleh mahasiswa tempatan,” katanya yang sangat optimis keupayaan menguasai pelbagai bahasa boleh mewujudkan peluang cerah kepada graduan.

“Masalahnya sebahagian besar graduan tidak mahu merebut peluang disediakan ini dengan baik sebaliknya sangat mudah berpuas hati dengan apa yang ada selain menyalahkan pihak tertentu andai kata terus menganggur.

“Sebenarnya banyak cara boleh dilakukan untuk memperbaiki kekurangan diri, yang penting semangat untuk berubah dan berusaha kerana saya percaya semua institusi sudah cuba melakukan yang terbaik untuk membantu.

“Apakah mereka berharap, institusi akan terus ‘memanjakan’ hingga dapat kerjaya? Inilah konsep salah menyebabkan ramai mahasiswa ketinggalan, tidak mahu berusaha sedangkan pihak lain terus mengambil kesempatan.

“Gunakan aspek kepelbagaian bahasa sebagai wadah paling tepat mempertingkatkan keupayaan dan nilai diri. Jangan bersikap sambil lewa selain memberi pelbagai alasan untuk selesa pada takuk sama sebaliknya perlu lebih realistik,” katanya.

Kajian di Barat menunjukkan seseorang yang berkemahiran menguasai lebih dua bahasa mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan lebih berkesan sebagai seorang warganegara dunia bersifat global. Menguasai pelbagai bahasa akan mendedahkan individu kepada himpunan ilmu yang lebih luas dan menerapkan sudut pandangan dunia lebih global.

Selain itu, ia juga menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk mencapai hierarki lebih baik dalam kalangan rakan sebaya, sejawatan mahupun pengurusan tertinggi.

“Lazimnya, syarikat bertaraf antarabangsa sangat menghargai pekerja yang boleh berbahasa ibunda menjadikan mereka aset penting syarikat. Masa depan juga cerah, namun ini semua perlu disertakan dengan usaha keras kerana standard disasarkan sangat tinggi.

“Jika hanya bersandarkan pada kepandaian berbahasa saja, namun tidak ada kegigihan, sesiapapun akan gagal apatah lagi semua syarikat mahukan pekerja yang bukan saja berdedikasi, malah menampilkan semua imej positif,” katanya yang menyifatkan mahasiswa bijak adalah pandai mengambil peluang.

“Mereka perlu akur, cabaran dunia pekerjaan hari ini tidak seperti dulu, siapa pandai mengambil peluang, dialah yang akan berjaya. Dan peluang itu pula ada pelbagai cara.

“Jika tahu ada kelemahan, perbaikilah dan jika ada kelebihan mantapkan lagi. Sebagai graduan, mereka harus berfikir di luar kotak dan menyimpan cita-cita lebih tinggi daripada sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada,” katanya.

Pada masa sama menekankan penguasaan bahasa akan membantu meningkatkan diri dalam pelbagai bidang selain merealisasikan hasrat negara melahirkan modal insan berfikiran terbuka, berdaya saing dan berbudaya positif.

Sumber : http ; // www. hmetro.com.my

Isnin, 5 September 2011

ISU PENDIDIKAN : Membetulkan matlamat Sekolah Berasrama Penuh

Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

RAMAI yang merasa lega dan sangat bersetuju apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kriteria baru bagi pelajar miskin dan luar bandar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 2012.

Kelulusan UPSR 3A dan 1B bagi pelajar daripada keluarga miskin dan 4A dan 1B bagi pelajar luar bandar sangat berpatutan dan sesuai dengan kekurangan yang mereka alami jika dibandingkan dengan pelajar lain yang dikira lebih bernasib baik. Ini memberi peluang kepada pelajar yang kurang mampu tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seterusnya dapat mengubah nasib serta masa depan mereka.

SBP yang terawal ditubuhkan ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan pada tahun 1905. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Melayu dan setelah menamatkan pengajian mereka diserapkan dalam pentadbiran kerajaan Inggeris.

Kejayaan Kolej Melayu yang dihuni sepenuhnya oleh pelajar lelaki telah membawa kepada penubuhan sebuah lagi SBP iaitu Kolej Tengku Khursiah, Seremban. Sekolah ini menempatkan sepenuhnya pelajar perempuan dan ke semua mereka tinggal di asrama. Dengan kemudahan dan kelengakapan pendidikan yang mencukupi termasuk guru yang terlatih, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Sesungguhnya untuk memahami perkembangan pendidikan SBP kita seharusnya merujuk kepada sejarah kedatangan penjajah ke negara ini. Penjajah Inggeris bukan sahaja memperkenalkan sistem pentadbiran negara yang moden tetapi turut membawa bersama mereka sistem pendidikan yang baru. Sekolah rendah dan menengah mula didirikan dengan menggunakan kurikulum pengantar bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh badan-badan mubaligh Kristian yang berpusat di England, Belanda, Perancis dan Itali. Sesungguhnya penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini telah melebarkan lagi jurang pendidikan di kalangan kanak-kanak pelbagai kaum kerana kebanyakan pelajar di sekolah tersebut adalah terdiri daripada pelajar keturunan Cina dan India. Sementara itu kebanyakan kanak-kanak Melayu lebih berpusat di sekolah-sekolah Melayu atau sekolah aliran agama yang menggunakan sistem Pondok.

Terdapat beberapa sebab mengapa jumlah pelajar Melayu sangat sedikit bilangannya yang belajar di sekolah Inggeris jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. Faktor utama ialah kerana lokasi atau kedudukan sekolah-sekolah tersebut terletak di kawasan bandar, misalnya Penang Free School, Victoria Institution Kuala Lumpur, St. Micheal Ipoh, Malacca High School, Muar High School dan puluhan sekolah yang lain.

Kekurangan pelajar Melayu disebabkan juga faktor persepsi. Kebanyakan ibu bapa Melayu merasa kurang selesa dan bimbang terhadap pengaruh agama Kristian.

Pada hakikatnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Inggeris ini sangat beruntung kerana mendapat pendidikan akademik yang baik berasaskan kurikulum dan sistem pendidikan di United Kingdom. Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan mereka diajar oleh guru-guru terlatih yang pada peringkat awalnya kebanyakan berasal dari India dan Sri Lanka. Sementara itu kebanyakan pengetua dan guru besar sekolah adalah terdiri daripada orang Inggeris yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sekolah di negara asalnya.

Kenyataannya ramai pelajar lepasan sekolah tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya ke England, Australia atau New Zealand. Di samping itu pelajar-pelajar lain mempunyai pilihan yang luas dalam memilih bidang kerjaya masing-masing. Dengan kebolehan menguasai bahasa Inggeris yang baik amat mudah mereka diserapkan dalam pentadbiran penjajah atau bekerja di syarikat-syarikat swasta kepunyaan Inggeris yang menguasai ekonomi negara ketika itu.

Datuk Abdul Razak Hussain yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran sangat menyedari situasi tersebut dan implikasinya terhadap pembinaan negara bangsa. Itulah sebabnya dalam Laporan Razak (1956) beliau mencadangkan ditubuhkan SBP untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang miskin dan tinggal di luar bandar tetapi berbakat untuk diberikan pendidikan yang terbaik dan setaraf dengan sekolah-sekolah Inggeris.

Melalui cadangan dan pengakuan dalam Laporan Razak itu maka tertubuhlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada tahun 1956 untuk menempatkan pelajar luar bandar yang berkebolehan. Kemudian diikuti SBP lain seperti Sekolah Alam Shah, Cheras; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur; Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Dengan tertubuhnya SBP di awal era kemerdekaan ini telah memberi peluang kepada ribuan pelajar-pelajar miskin dan mereka yang datang daripada luar bandar mendapat pendidikan yang terbaik. Semua pelajar tinggal di asrama dengan mendapat makanan yang berzat, kehidupan di asrama yang teratur, diajar oleh guru-guru yang terlatih dan pengurusan sekolah sentiasa dipantau oleh Unit SBP, Kementerian Pelajaran.

Penubuhan SBP yang lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) di mana sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains.

Kejayaan yang dibuktikan melalui pendidikan SBP menyebabkan ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka bersekolah di sana. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang telah terbukti menyebabkan Kementerian Pelajaran menambah bilangan SBP setiap tahun. Hingga kini bilangannya lebih 60 buah yang terdapat di seluruh negara.

Kini isu yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun yang lepas ialah terlalu ramai bilangan permohonan untuk memasuki sekolah itu. Walaupun kelulusan minimum yang ditetapkan ialah 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A adalah jauh lebih besar daripada tempat yang disediakan di SBP. Pelbagai cara digunakan oleh ibu bapa untuk memastikan agar anak mereka dapat ditempatkan di sekolah berkenaan.

Dasar meritokrasi yang diamalkan dalam pemilihan untuk memasuki SBP telah melenyapkan peluang anak-anak daripada keluarga miskin dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Secara logiknya anak-anak dari golongan berada dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Oleh itu perubahan dasar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah lama dinantikan dan ada kaitan dengan usaha untuk memperbetulkan semula matlamat asal penubuhan SBP. Diharapkan peluang ini membolehkan pelajar miskin dan pelajar daripada kawasan luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik melalui sistem pendidikan di SBP. Inilah yang dinamakan 'pendemokrasian dalam pendidikan.'

Moga-moga anak-anak yang kurang bernasib baik ini akan terbela nasib mereka dan mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pendidikan yang disediakan di SBP.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Misi Kemanusiaan perlu operasi standard

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Sukarelawan mesti ada persiapan rapi

SEMALAM, Kementerian Penerangan mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara terutama di negara sedang bergolak atau berlaku perang saudara.

SOP akan menjadi panduan kepada sesiapa saja yang menyertai misi kemanusiaan termasuk sukarelawan dan wartawan yang membuat liputan mengenai misi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk terkena tembakan curi kumpulan bertelagah.

Saranan itu terbit selepas jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, maut akibat terkena peluru sesat pada Jumaat lalu ketika membuat liputan misi kemanusiaan selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 8 September lalu bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

Kematian Noramfaizul membuka mata banyak pihak mengenai langkah wajar perlu diambil sebelum mengikuti misi kemanusiaan, lebih-lebih lagi di negara diklasifikasi sebagai tidak selamat untuk dikunjungi.

Keberanian 55 sukarelawan termasuk 17 wakil media ke Somalia bagi menjayakan misi kemanusiaan terutama menjelang Aidilfitri wajar dihargai kerana ia satu pengorbanan berjauhan dengan keluarga di samping membawa nama Malaysia di luar negara.

Pelbagai persiapan juga perlu diambil kira pengamal media sebelum mengikuti misi kemanusiaan. Antaranya mengikuti kursus khas dikendalikan pakar keselamatan atau peperangan yang biasanya veteran tentera berpengalaman.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata menghantar peserta misi kemanusiaan mengikuti kursus khas satu kemestian jika negara dituju itu berdepan konflik termasuk perang saudara atau perbalahan berpanjangan. Kursus itu penting supaya peserta mendapat pengetahuan am dan asas keadaan geografi, lokasi dan risiko berada di kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan rapi.

“Pakar yang memberi kursus perlu mahir selok-belok sesuatu negara atau kawasan, memberi tunjuk ajar menyelamatkan diri jika diserang termasuk memilih tembok atau tempat berlindung,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, Kolej Universiti HELP menjelaskan, segala input dan maklumat dibekalkan pakar perlu dijadikan pedoman kepada anggota misi kerana ia menentukan hidup mati mereka.

“Memang ajal dan maut adalah ketentuan Allah, namun persediaan rapi membantu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Anggota misi juga wajar dibekalkan peralatan khas seperti jaket dan topi kalis peluru. Sambil mengakui jaket dan topi kalis peluru tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pemakainya kerana masih mempunyai kelemahan, ia juga banyak membantu mengurangkan kematian dan kecederaan.

“Jaket kalis peluru mempunyai jenis dan kualiti berbeza. Jaket kalis peluru diperbuat daripada seramik dan besi mampu menahan peluru mesingan dan jaket biasa mampu kalis tembakan pistol.

“Tidak semua tempat selamat untuk memakai jaket kalis peluru kerana negara Amerika Selatan seperti di Colombia, pemakainya dianggap ejen pihak berkuasa dan tidak akan terlepas daripada sasaran penembak,” katanya.

Selain itu, penganjur misi kemanusiaan perlu menjalin hubungan rapat dengan kumpulan pemerhati antarabangsa dan NGO kemanusiaan negara asing yang sudah lama bertapak di sesuatu kawasan. Kumpulan atau NGO ini biasanya sudah ‘masak’ dengan kegiatan pihak tertentu termasuk pemberontak atau penembak hendap, sekali gus membolehkan penganjur menyusun jadual perjalanan lebih selamat.

Paling penting, anggota misi kemanusiaan tidak terlalu menonjolkan diri kepada penduduk setempat bagi mengelak menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka.

“Sebolehnya, kita bersikap pasif, merendah diri dan tidak terlalu ghairah menonjolkan kehadiran di tempat berisiko tinggi.

“Bukan semua orang di tempat yang kita hantar bantuan itu suka dengan kita. Mungkin puak yang berperang tidak suka kehadiran kita kerana dianggap menjejaskan kepentingan dan pengaruh mereka. Berbaik dengan pasukan pemerhati antarabangsa kerana mereka lebih tahu bila masa terbaik boleh keluar. Hubungan dengan wartawan tempatan juga penting kerana mereka mahir keadaan di sana,” katanya.

Akhbar turut mencadangkan supaya SOP atau apa juga panduan yang ditetapkan itu mewajibkan sukarelawan mengikuti kursus kaunseling sebelum dan selepas misi bagi mengatasi masalah trauma yang mungkin dilalui.

“Aspek emosi dan tekanan mereka juga perlu diambil kira. Dalam kes Noramfaizul, ada wartawan trauma dengan kejadian itu dan perlu diberi kaunseling. Trauma mungkin sehingga enam atau lapan minggu. Jika tidak dirawat, ia memberi kesan seperti hilang selera makan dan lemah semangat kerana tidak dapat melupakan peristiwa berdarah menimpa rakan mereka,” katanya.

Paling penting wartawan yang membuat liputan di kawasan bergolak perlu bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selaras dengan Protokol Tambahan, Konvensyen Geneva 1949, berkaitan Perlindungan Terhadap Mangsa Konflik Bersenjata Antarabangsa (Protokol I) 1977.

Protokol itu menetapkan wartawan yang membuat liputan dalam misi profesional berbahaya di kawasan konflik senjata dianggap sebagai orang awam, mereka dilindungi mengikut konvensyen dan protokol berkenaan dan memiliki kad pengenalan yang sah dikeluarkan kerajaan di mana wartawan itu menetap.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/