Rabu, 12 Oktober 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu kian 'menggelupur'

Oleh : Salbiah Ani

HARI ini berlangsung pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) kerana tahun ini Melaka menjadi tuan rumah pada program tahunan yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang pada setiap Oktober.

Khabarnya tahun ini, Kementerian Pelajaran memberi peruntukan RM3 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat yang bertanggungjawab kepada pelaksanaan program yang dihidupkan pada 2009 bagi menggantikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Sudah nampak usaha DBP selaku Sekretariat BBK untuk membabitkan sama masyarakat bukan Melayu dan bukan orang sastera pada program kali ini apabila ada antara program yang diatur turut membabitkan masyarakat Baba dan Nyonya, Portugis serta Chetti untuk program di Melaka.

Selain itu, meskipun Melaka menjadi tuan rumah, DBP juga mengatur beberapa program di seluruh negara dalam memastikan setiap negeri di seluruh negara turut dilibatkan sama dengan program BBK dan sememangnya pendekatan ini perlu bagi memastikan setiap anggota masyarakat turut sama bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam kesibukan DBP meraikan BBK 2011, penulis mendapat khabar bekas Timbalan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, meletakkan jawatan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU), China, dan akan kembali ke badan berkanun terbabit.

Khabarnya surat tawaran untuk Dr Awang kembali ke DBP kini sedang dalam proses penilaian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapat restu daripada Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Salleh Yappar.

Jika benar Dr Awang kembali ke DBP bererti, tokoh bahasa itu adalah orang pertama yang sudah melepasi usia persaraan, tetapi ditawarkan untuk berkhidmat semula di badan berkanun terbabit kerana sebelum ini hanya jawatan Ketua Pengarah DBP yang pernah ‘melanggar’ peraturan ini.

Penulis sempat bersembang dengan rakan diskusi mengenai perkara itu dan teman ini nampaknya berharap dengan kembalinya Dr Awang ke DBP, nasib bahasa Melayu di Malaysia yang seperti hidup segan mati tak mahu, baik dalam sektor awam apalagi swasta, dapat dipulihkan.

“Jika benar Dr Awang akan kembali ke DBP, hendaknya beliau dapat membantu Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, mengatur program lebih mantap lagi berkesan bagi memastikan maruah bahasa mahupun sastera Melayu kembali ke tempatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.”

Ada benarnya pandangan rakan diskusi ini kerana terlalu banyak perkara menyakitkan mata, membocorkan telinga dan menusuk hati, melanda bahasa Melayu mutakhir ini oleh tindak-tanduk anak Malaysia baik Melayu yang tidak sedar diri, begitu juga di kalangan orang politik, korporat, cendekiawan mahupun biasa, sehingga maruahnya tercalar lagi tercela.

Gerakan menghidupkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan sekolah aliran Inggeris di sekolah kebangsaan oleh kelompok yang mendewa-dewakan bahasa penjajah itu semakin menjadi-jadi serta seperti sengaja diatur-atur bagi meraih simpati dan perhatian, selain sengaja diulang tayang berkali-kali bagi membangkitkan kemarahan!

Penjelasan berulang kali baik daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Kementerian Pelajaran, seperti jatuh di telinga orang yang tuli, ibarat mencurah air di daun keladi.

Tindak-tanduk menafikan wibawa bahasa Melayu nampaknya bukan saja melanda pada peringkat sekolah rendah dan menengah, tetapi juga universiti dengan langkah penarafan yang kini menjadi kegilaan sesetengah universiti awam negara ini, sehingga seolah-olah sudah menjadi wabak pula.

“Sedih aku, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hatta pada peringkat sarjana muda juga sudah terganggu-gugat dengan kegilaan pada penarafan universiti yang sememangnya terang-terang menjadi pilihan Universiti Malaya sekalipun dibantah sesetengah sarjananya dengan tindakan berhenti meskipun memegang jawatan kanan.

“Pengumuman Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ir Zaini Ujang, kelmarin, bahawa universiti itu akan mengurangkan pengambilan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Mudanya daripada 20,000 kepada 15,000 menjelang 2012 sesuai dengan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan.

“Langkah ini sama seperti penarafan universiti dan memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini. Semuanya dilakukan demi kepentingan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dengan memberi ruang kepada pelajar antarabangsa dan mengorbankan peluang anak tempatan?”

Dapat penulis fahami kebimbangan teman ini melalui langkah yang sememangnya akan memberi kesan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lebih-lebih lagi peluang anak tempatan mendapatkan peluang pendidikan di universiti awam yang ternama di negara ini.

Tidak pula dapat dipastikan apakah langkah ini bertujuan membantu universiti awam kurang terbilang mendapatkan pelajar kerana permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), banyak bertumpu kepada universiti awam terbilang sehingga ada yang tercicir peluang pendidikan universiti.

Jika benar Dr Awang akan ‘dikembalikan’ di DBP, hendaknya beliau bukan saja memberi perhatian kepada beberapa perkara yang dibangkitkan itu, tetapi juga menegur dan mengambil tindakan kecenderungan sektor swasta memperlekehkan bahasa Melayu mengikut sesedap rasa mahupun waktu.

Janganlah hendaknya tindak-tanduk memperkotak-katikkan bahasa Melayu seperti penamaan Beautiful Places sedangkan pengisian program dalam bahasa Melayu dan Kerinchi menjadi Bangsar South dibiarkan berleluasa seperti virus yang tiada ubatnya!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 6 Oktober 2011

ISU BAHASA : Dasar bahasa dan sikap bangsa

BULAN ini, kita sekali lagi menggerakkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Suatu gerakan yang mula dilaksanakan pada 2009 menggantikan gerakan sebelum ini seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Kesemuanya diurusetiakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segala kegiatannya akan mengingatkan rakyat bahawa Malaysia memiliki satu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1957, kini sudah mencapai usianya yang ke-54. Sepanjang lima dekad lebih, itulah juga usia kedaulatan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bagi seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1963, kini pula sudah menjangkau usia 48 tahun, sekiranya tanggal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 diambil kira. Soalnya kenapa selama beberapa dekad itu, isu dan persoalan bahasa tidak putus-putus diperkatakan.

Fungsi bahasa Melayu dan bahasa lain dengan jelas dan tegas disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971). Malahan daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta dalam peraturan-peraturan jabatan dan surat pekeliling Kerajaan.

Apakah rakyat Malaysia tidak peduli atau mereka benar-benar tahu bahawa Malaysia mempunyai satu dasar bahasa yang sangat molek? Apakah semua agensi baik di peringkat pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana rangkaian institusi kerajaan cekal mendukung dan bertindak dalam usaha-usaha pelaksanaan dasar bahasa?

Sungguh aneh seandainya kepemimpinan di pelbagai peringkat tadi bersikap 'acuh tidak acuh', bersikap 'tidak apa' atau 'sambil lewa' atau lebih banyak mendiamkan diri, berpuas hati setakat kemajuan pencapaian rutin yang ada.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, bahasa itu adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Memang Malaysia itu sebuah negara berbilang kaum, lalu tercitralah berbilang budaya, bahasa, agama, kepercayaan, warisan seni dan sebagainya, tetapi kepelbagaian itu bukan penghalang kepada kesatuan.

Jika keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dihormati, maka Malaysia sedang berada di jalan cerah disuluhi pedoman aspirasi Perlembagaannya. Tonggak-tonggak kenegaraan sudah kejap dikanunkan secara persetujuan bersama melalui 'kontrak sosial' yang asal.

Di Malaysia jelas ada tanda-tanda bahawa perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang unggul, bahkan sehingga mencapai taraf salah satu bahasa komunikasi dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsa Malaysia sendiri.

Bangsa Melayu pemilik asal bahasa ini pun tidak memiliki suatu keyakinan penuh. Senario mutakhir sedikit goyah, ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu bermain politik dalam gelanggang semua perkara. Sebahagiannya terheret di sebalik perjuangan perkauman sempit bukannya wawasan kenegaraan.

Dasar bahasa kian terganggu apabila sikap terhadap bahasa Inggeris yang terus 'didewa-dewakan' dan tidak diletakkan dalam perspektif yang benar. Kita bukannya tidak tahu pengimportan budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris banyak mendorongkan nilai-nilai budaya negatif 'hedonisme', 'vandalisme' dan 'kriminalisme'.

Selain dari rakyat bukan Melayu yang belum menyeluruh menjiwai bahasa Melayu sebagai milik bersama, penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian telah mencetuskan tanggapan baharu.

Kemajuan kononnya hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat luar biasa itu. Sikap kita ini sangat berbeza dengan sikap negara-negara lain di Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China atau Jerman, Perancis di Eropah.

Sesungguhnya rakyat bukan sukar memahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah milik bangsa Malaysia. Bahasa Melayu itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Slogan 1Bahasa 1Bangsa 1Negara tetap mendukung konsep 1Malaysia kerana kita ada satu bahasa bersama untuk satu bangsa Malaysia di negara Malaysia yang cuma satu.

Pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu telah merentasi sempadan kaum, etnik dan sukuan, komuniti dan wilayah. Sayangnya kemajuan dan pengembangannya semakin kehilangan penegasan disebabkan sikap bangsanya.

Di Malaysia, ada tendensi dalam pengurusan dan pentadbiran, BM mula digunakan secara bercampur dengan BI. Situasi rasmi dan tidak rasmi mulai kabur. Kewibawaan BM turun naik. Apakah kemungkinan kesan penggunaan bahasa dalam perspektif yang tidak betul?

Jika suasananya berterusan maka akan terjadi masalah dan implikasi besar pada masa hadapan. Apakah kita tidak terfikir bahawa suatu waktu bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan pupus? Tabiat dan sikap negatif yang berterusan boleh membawa kepada kemusnahan.

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah diinsafi semua pihak. Usaha pemertabatannya mungkin tidak menjadi isu lagi kerana statusnya sudah berada di tahap tinggi sebagai bahasa negara. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi penyusunan rancangan strategik pelaksanaannya.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Apakah matlamatnya telah disejajarkan semua agensi, institusi, organisasi dan sektor berkaitan?.

Penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa memang perlu dilakukan. Tetapi kita kena melihatnya dari banyak sudut. Cuba teliti tahap kesedaran terhadap Dasar Bahasa Negara, fungsi sebenar bahasa Melayu, pencapaian pelaksanaannya, masalah utama pelaksanaan, peranan agensi perancangan bahasa yakni DBP, peranan agensi pengembangan bahasa yang lain yakni pelbagai pihak berkuasa kerajaan dan perancangan strategik bagi pembangunan, pengembangan dan kemajuannya menjelang tahun 2020.

Di pentas dunia global kini, sikap yang harus diambil adalah bagaimana bahasa negara sendiri diperkukuh martabatnya, di samping kita tidak memisahkan diri menguasai bahasa-bahasa utama yang lain. Bahasa Melayu salah satu bahasa yang besar. Jumlah 300 juta penuturnya itu bukan suatu angka yang kecil.

Bahasa Melayu juga salah satu bahasa antarabangsa, bahasa serantau dan bahasa nasional di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kita boleh kecundang sekiranya bahasa asing dijunjung tinggi sehingga kita kehilangan bahasa dan jati diri negara bangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 4 Oktober 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pesanan buat siswazah - lakarkan kehidupan yang lebih berkualiti

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK

BULAN ini musim universiti mengijazahkan pelajar yang bakal melangkah ke alam baru - baik alam pekerjaan ataupun selainnya. Apa pun, alam baru itu akan diharungi berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada bidang kepakaran masing-masing.

Bagi Universiti Sains Malaysia (USM), metafora "Universiti Dalam Taman" yang dipupuk selama ini sekali gus menafikan bahawa siswazah USM adalah bahan produk perkilangan yang hanya mengejar pekerja dan harta benda sebagai sebahagian modal insan berjenama USM.

Sebaliknya USM meyakini bahawa siswazah mempunyai banyak kemampuan dan bakat lain. Malah sebagai individu berilmu, mereka berupaya melakarkan kehidupan yang lebih berkualiti bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manusia teramai yang melata hidupnya, berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat.

Dengan kata lain, siswazah boleh merentasi konsep model insan semata-mata, dan boleh kesudahannya menggarap makam yang lebih tinggi sebagai insanul-kamil.

Ini bermakna pendidikan kita tidak sepatutnya dilihat sebagai perhiasan luaran dengan jubah dan gelaran ijazah yang pelbagai rupa, sedangkan hatinya buta diselaputi hasad dan dengki. Jika inilah yang berlaku, maka hati kita belum lagi terdidik dan ijazah tidak bermakna sama sekali.

Oleh sebab itulah universiti seperti USM gigih berusaha meletakkan ilmu pengetahuan dan pengajian tinggi secara jelas untuk menolong golongan yang terkebawah dan yang tercicir sebagai mengisi kekosongan yang ada, tidak kira melalui hasil penyelidikan dan pengajaran, apa lagi kerja-kerja kemasyarakatan yang boleh mencelikkan hati kepada derita masyarakat sekitar kita.

Yang jelas era dunia berlandaskan ekonomi sudah mula meleset kerana keadaan semasa tidak lagi menggambarkan yang ekonomi mampu membawa manfaat kepada manusia sejagat; tetapi sebaliknya manusialah yang membawa manfaat kepada ekonomi bagaikan hamba abdi.

Hatta ilmu dijadikan modal begitu juga insan untuk dijual beli bagi menggerakkan ekonomi. Pendek kata kita adalah hamba kepada ekonomi dan bukan lagi sebaliknya seperti diramalkan. Sama juga dengan kita menjadi hamba kepada teknologi dan bukan lagi sebaliknya.

Akibatnya kini berbagai soal dan isu moral dan sosial timbul yang seolah-olah tidak ada penyelesaiannya selagi soal "perhambaan" - selain daripada kepada Ilahi - tidak dapat dirungkai dengan sempurna.

Kehidupan menjadi tidak sejahtera, dan kalaupun sejahtera hanya pada dimensi luarannya sahaja. Jiwanya tidak tenteram dan menderita kerana fitrahnya terus terbelenggu.

Saya tidak tahu sama ada transformasi yang sedang ditaja mengambil kira soal-soal seumpama ini, dan melewati agenda perkiraan untung-rugi semata-mata. Jika begitu halnya, apa pula perkiraan untung-rugi yang dikenakan untuk mententeramkan hati dan jiwa seseorang yang daif itu.

Walhal bak kata-kata hikmat berikut: Life is not measured by the number of breaths we take; but by the moments that take our breath away. (Kehidupan tidak diukur daripada bilangan nafas yang dihela, tetapi oleh suatu detik yang menghela nafas kita) Malangnya kita masih berkira-kira sedang yang dikira itu tidak mutlak sifatnya.

Oleh yang demikian dalam menerokai alam baru, masing-masing para siswazah penting melihat jauh ke hadapan kewajaran dan keikhlasan mereka sesama manusia dan alam seluruhnya. Kita harus membuktikan kesanggupan mengungkap keprihatinan tentang isu-isu global yang dini hari terumbang-ambing kerana belenggu fitrah tadi.

Pembuktian akan hanya berlaku apabila para siswazah sebagai golongan cendekiawan mula menghayati peranannya yang lebih besar dan luas dari tumpuan alam pekerjaan mereka. Bak kata pepatah: "Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya" - yang dengan jelas berkehendakkan kita memecahkan batasan paradigma yang ada, serta mencabar status quo.

Maka buktikanlah siswazah lebih terkehadapan dari segi pemikiran, amalan dan tingkah laku, apatah lagi dalam soal kepemimpinan.

Namun ingat juga pepatah: "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" ; dan "Ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk".

Tunjukkan betapa para siswazah amat mementingkan nilai sejagat lagi universal dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan.

Bertindaklah di atas landasan ilmu pengetahuan dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara dalam acuan yang kita ingini tanpa menggadaikan bahasa, budaya dan agama.

Ia menekankan bahawa para siswazah adalah contoh ikutan untuk kesejahteraan bersama, walaupun ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu "keangkuhan" yang disalahtafsirkan oleh desakan hati yang resah dan gelisah. Umpama pohon yang lebat buahnya; lebih sering pula ia dilempar batu! Begitu juga dengan setiap kejayaan yang sarat dengan ilmu pengetahuan.

Ini bermakna menempa kejayaan demi kejayaan bukannya mudah selagi soal hati tadi tidak disesuaikan dengan fitrahnya. Ramai yang mudah beralah asalkan sahaja kejayaan luaran kekal malah diagung-agungkan.

Dengan kata lain, pendidikan tidak akan berakhir sebagai seorang siswazah saja! Sebaliknya ia satu permulaan kerana alam baru yang bakal diterokai akan menuntut banyak lagi kebijaksanaan yang berpunca dari hati sanubari yang peka dan suci.

Namun kita percaya bahawa setiap seorang mempunyai peluang untuk terus berjaya sekiranya ilmu pengetahuan dijadikan obor untuk menerangi liku-liku hidup.

Jadilah seorang ilmuwan yang disegani melalui keluhuran jiwa dan hati yang benar-benar memahami: "Orang berbudi kita berbahasa. Kita memberi, orang merasa!"

Penulis ialah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 30 September 2011

ISU SOSIAL : Mencari potensi warga emas

Oleh : OPAT RATTANACHOT(uspetani@utusan.com.my)

DI NEGARA kita, orang tua sering dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti warga emas atau golongan veteran. Namun, 'warga emas' merupakan istilah yang paling popular diguna pakai sama ada dalam perbualan harian, urusan kerajaan mahupun media massa.

Warga emas secara amnya ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Istilah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan iaitu pada umur 58 tahun.

Statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu mendapati seramai 2,251,216 daripada 28,334,135 penduduk negara kini merupakan mereka yang dikategorikan sebagai warga emas.

Ini bermakna, hampir lapan peratus daripada populasi negara ini merupakan golongan sudah berusia. Jumlah berkenaan diunjurkan terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030.

Pada usia tersebut, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat atau menjaga anak cucu di rumah. Tidak kurang mengatakan, mereka tidak perlu bersusah payah untuk turut serta dalam pembangunan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah.

Walaupun dalam usia itu, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Melihat kepada kelebihan yang ada pada jumlah warga emas ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara, tidak dapat tidak, 'suara' golongan berkenaan perlu diambil kira.

Mereka bukan sahaja golongan berpengalaman, tetapi yang lebih penting adalah nasihat dan panduan yang berguna kepada generasi lebih muda agar dapat mengharungi cabaran lebih getir.

Dalam konteks kerajaan, biarpun peningkatan populasi warga emas belum mendatangkan kesan yang ketara kepada masyarakat secara keseluruhannya, Kabinet sejak tahun 1955 lagi dilihat telah bersiap sedia menghadapi cabaran tersebut.

Pelbagai usaha yang diambil seperti pengenalan polisi khusus seperti Dasar Warga Tua Negara (DWTN), Dasar Kesihatan Warga Emas Negara (DKWEN), Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan usaha menambah baik Dasar Warga Emas Negara (DWEN).

Pengenalan dasar tersebut mempunyai tujuan murni iaitu mahu mewujudkan masyarakat warga emas yang sejahtera, bermaruah dan mempunyai martabat diri yang tinggi.

Di samping itu, kerajaan berharap dapat mengoptimumkan potensi diri warga emas dan menentukan mereka menikmati semua peluang malah mendapat perlindungan sebagai salah satu entiti penting dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Pada masa sama, usaha memajukan potensi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dilihat penting bagi memastikan mereka tidak terlalu bergantung kepada anak-anak atau waris lain untuk meneruskan kehidupan.

Langkah berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah warga emas hidup bersendirian atau merempat tanpa hala tuju.

Tidak hairanlah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil baru-baru ini mengambil langkah berani dengan meminta dipercepatkan penggubalan akta untuk melanjutkan umur persaraan petugas swasta dari 55 tahun ke 64 tahun, yang mana turut melibatkan golongan warga emas.

Kata beliau, terlalu muda bagi rakyat Malaysia untuk bersara dan sesetengah organisasi memerlukan kakitangan berpengalaman untuk memimpin.

"Sektor swasta perlu memanfaatkan peluang ini dengan mengekalkan kakitangan lebih senior dalam organisasi, mereka yang berpengalaman luas untuk mentadbir dan adalah satu kerugian jika orang yang mampu meningkatkan prestasi organisasi itu dilepaskan sebelum waktunya," katanya.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil langkah prihatin dalam memastikan penjagaan dan perlindungan warga emas terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE).

Sehingga kini, terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Dari segi peruntukan pula, kerajaan saban tahun menyalurkan dana untuk merangka program berkesan di samping membantu memastikan taraf hidup warga emas terjamin.

Contohnya, dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion disalurkan membantu golongan warga emas.

Pada 1 Oktober setiap tahun pula, sambutan Hari Warga Emas peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.

Untuk tujuan itu, kita sebagai anggota masyarakat perlu memberikan sokongan moral kepada warga emas agar terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti supaya dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Lebih 400 Ribu Guru Harap Penambahbaikan Laluan Kerjaya

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru sekolah berharap kerajaan akan memberi penambahbaikan laluan kerjaya mereka terutama bagi guru bukan siswazah.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres)Jemale Paiman berkata peruntukan anggaran belanja mengurus perjawatan perlu dikaji semula agar bersesuaian dengan jumlah bilangan guru sedang berkhidmat yang harus mendidik hampir 5.5 juta murid.

"Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menyegerakan penstrukturan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah bagi menggambarkan keseimbangan perjawatan," katanya pada Mesyuarat Dwitahunan Kongres ke-15 di sini, Jumaat.

Jemale berkata guru bukan siswazah yang baru tamat pengajian hanya dilantik kepada gred DG41 jika dibandingkan dengan Kementerian Kesihatan atau Pejabat Kastam yang sudah melaksanakannya terus kepada gred DG42.

"Kesatuan meminta KPM menambah Cuti Rehat Khas yang diperuntukkan kepada guru di sekolah dari tujuh hari setahun kepada 20 hari setahun, bagi memberi peluang kepada guru di sekolah menikmati anugerah 'Golden Handshake' apabila bersara daripada perkhidmatan," katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli kesatuan telah membincangkan masalah-masalah yang dihadapi dan mendapat persetujuan ahli persatuan bagi mengemukakan cadangan kepada KPM.

"Kami juga meminta KPM menawarkan gred pelantikan jawatan yang lebih tinggi kepada guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran," katanya.- BERNAMA

Isnin, 19 September 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa ditatang, pelajar sarjana diundang

Persepsi salah perlu diperbetulkan

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

USAHA meningkatkan lagi jumlah pengambilan penuntut pascasiswazah di institusi pengajian tinggi terutama di universiti penyelidikan antara langkah terbaik.

Ini kerana usaha itu bakal menjana hasil penyelidikan tinggi dan menyemarakkan kecemerlangan industri pendidikan negara di peringkat global.

Malangnya, di tengah kerancakan itu ada pihak berpendapat ia umpama mempertaruhkan masa depan mahasiswa peringkat ijazah pertama kerana bilangannya di sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa dikurangkan bagi memberi laluan kepada mahasiswa pascasiswazah.

Namun sesetengah pihak beranggapan, ia mampu mengundang konflik dan kontroversi jika tidak ditangani segera kerana membabitkan warga pengajian tinggi secara langsung.

Justeru, apakah harus dilakukan supaya tidak berterusan disalah anggap. Benarkah pendapat, masa depan mahasiswa ini ‘tergadai’ di tangan mahasiswa pascasiswazah?

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa berkata, tidak timbul isu masa depan mahasiswa ijazah sarjana muda tergadai atau menjadi pertaruhan kerana mereka masih menjadi aset utama kepada institusi.

Menurutnya, peringkat ini adalah asas pendidikan paling penting sebelum mahasiswa menentukan pilihan seterusnya sama ada memasuki alam pekerjaan atau menyambung pengajian.

“Tidak bermakna apabila negara membuka pintu kepada peningkatan jumlah pengambilan penuntut pascasiswazah, mahasiswa ijazah pertama bakal menjadi mangsa diskriminasi atau sewenang-wenangnya disisihkan.

“Mereka antara kelompok terpenting kerana masih menjadi tunjang utama kepada institusi pengajian tinggi untuk memastikan kelangsungan ilmu. Jika tiada, penawaran program pascasiswazah tidak boleh dilakukan kerana proses peningkatan peringkat pengajian tinggi bermula daripadanya.

“Merekalah yang memastikan proses gembleng tenaga dan ilmu masa depan berjalan seiring sebelum memulakan langkah selanjutnya sama ada menyambung pengajian atau melangkah ke alam kerjaya,” katanya.

Bagi menjadikan negara ini hab pendidikan serantau dan antarabangsa serta melahirkan masyarakat berilmu kelas pertama, Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah proaktif dengan pelbagai pembaharuan dinamik dalam memartabatkan nilai pendidikan tinggi.

Lima IPTA dipilih sebagai Universiti Penyelidikan antaranya bertujuan meningkatkan lagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta pengambilan pelajar pascasiswazah.

Merealisasikan hasrat itu, jumlah mahasiswa ijazah pertama dikurangkan secara berperingkat bagi memberi lebih tumpuan kepada peringkat pascasiswazah.

Bagaimanapun, ada pihak beranggapan ia tidak relevan kerana senario itu dilihat seperti memberi ‘hak istimewa dan eksklusif ‘ kepada golongan mahasiswa tertentu.

Mengulas sama ada usaha itu bakal memberi impak negatif, beliau berkata, masyarakat perlu melihat dan menilai dari semua aspek sebelum membuat penafsiran.

Katanya, penafsiran selalu dibuat berdasarkan pemerhatian semata-mata tanpa merujuk kepada skop lebih luas atau golongan berpengetahuan mengakibatkan maklumat kurang tepat.

“Kekurangan maklumat atau salah penafsiran menyebabkan usaha murni sering disalah anggap menjadikan timbulnya isu terutama jika membabitkan perkara baru.

“Justeru, penjelasan sewajarnya perlu diberi dan disebarkan supaya mampu memperbetulkan tanggapan itu. Pendidikan pascasiswazah banyak kelebihannya kerana mampu menjadikan negara, institusi dan masyarakat negara ini lebih cemerlang dalam pendidikan serta berkualiti dalam kehidupan.

“Dalam situasi dunia rancak menuju globalisasi, industri pendidikan juga tidak harus ketinggalan. Menerusi penyelidikan, kajian, kebolehan, ilmu dan pengalaman boleh dikongsi bersama selain menjadikannya lebih antarabangsa,” katanya menafikan kemasukan lebih ramai mahasiswa pascasiswazah antarabangsa boleh merugikan negara.

Beliau berkata, perkara itu sukar diterima kerana negara bukan saja boleh menjana ekonomi malah memperluaskan lagi perkongsian maklumat, data, sosial dan budaya baru. Mengatakan ia satu kerugian tidak benar kerana batas ilmu tidak terhad.

“Malah kebanyakan institusi terkenal dunia juga membuka pintunya kepada orang luar menjadikan pengembangan dan kecemerlangan ilmunya cukup pantas. Jadi mengapa kita tidak boleh mengikuti dan melaksanakannya?” katanya.

Beliau juga menafikan kecenderungan memberi tumpuan pada mahasiswa pascasiswazah boleh menyebabkan penurunan tahap akademik dan program tertentu.

“Bidang pengajian pascasiswazah berbeza kerana tumpuan lebih kepada penyelidikan berbanding akademik bagi peringkat pertama, sudah tentu tidak sama sementara setiap program ada kepentingannya sendiri.

“Tidak timbul isu kewujudan program tidak penting atau sebaliknya kerana setiap peringkat pengajian ditawarkan mempunyai kapasiti sendiri bagi mencakupi permintaan, jangkaan dan sasaran pembangunan masa panjang.

“Semuanya relevan dan berguna dan tidak ditawarkan institusi secara terus tanpa kajian menyeluruh,” katanya turut menegaskan, masyarakat juga perlu tahu membezakan kepentingan pascasiswazah dan ijazah pertama.

Katanya, pascasiswazah adalah platform peningkatan akademik lebih tinggi dan memotivasikan masyarakat meneruskan pengajian.

Ijazah pertama lebih tertumpu bagi melahirkan sumber tenaga manusia dengan menyediakan golongan yang menjadi penjana ekonomi.

Sasarannya berbeza tapi objektifnya sama iaitu meningkatkan nilai dan kualiti pendidikan ilmu di kalangan masyarakat sejajar kehendak globalisasi.

Ditanya kemungkinan pengambilan mahasiswa pascasiswazah menyumbang kepada kadar pengangguran jangka panjang, beliau berkata, kebanyakannya sudah bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri.

“Kebanyakan mahasiswa ini mempunyai kerjaya mantap dan melanjutkan pengajian bagi peningkatan kerjaya, tidak mungkin boleh menyumbang kepada peningkatan pengangguran.

“Mahasiswa ijazah pertama umpamanya tidak perlu bimbang bakal menjadi mangsa keadaan.

“Mereka hanya perlu teguhkan pendirian untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu.

“Peluang sudah ada di depan mata, jangan persiakan hanya kerana isu remeh yang tidak membawa faedah.

“Lengkapkan diri dengan segala kemahiran sesuai kehendak industri selain tidak lupa bercita-cita melanjutkan pengajian peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Martabatkan Pendidikan Vokasional

Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.

Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.

Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.

Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.

Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.

Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.

Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.

Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.

Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/