Sabtu, 24 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 2,214 tempat di SBP untuk anak miskin


PUTRAJAYA 24 Dis.- Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak 2,214 daripada 7,400 tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keluarga miskin dan luar bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 360 pelajar mendapat keputusan 3A, 660 pula memperoleh 4A dan bakinya memperoleh 5A.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira tentang cabaran mereka dari segi tekanan kehidupan dan kekurangan kemudahan untuk belajar.

"Kita sediakan 7,400 tempat Tingkat 1 di SBP pada sesi persekolahan tahun depan sedangkan yang mendapat keputusan 5A adalah seramai 46,000 pelajar.

"Jadi, memang ada persaingan tetapi oleh kerana kita ada projek membantu pelajar miskin dan luar bandar, maka kita menyediakan 2,214 tempat untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam, kelengkapan sekolah dan yuran persekolahan kepada seramai 57 pelajar miskin di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan 48 pelajar dari Rumah Amal Peribadi Mulia, Kajang dan sembilan pelajar dari Rumah Anak-anak Solehah, Cheras.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan syarat baru kelayakan minimum kemasukan Tingkatan 1 ke SBP iaitu keputusan UPSR 3A,2B bagi murid keluarga miskin dan 4A,1B bagi murid luar bandar mulai tahun depan.

Muhyiddin berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Bagaimanapun, Dr. Puad berkata, bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, kementerian masih meneliti permohonan pelajar miskin yang ingin memasuki SBP untuk sesi persekolahan tahun depan.

Buat masa ini, beliau menambah, syarat minimum untuk pelajar miskin memasuki SBP adalah 6A, 2B.

"Kita memperuntukan 5,500 tempat sahaja walaupun jumlah mereka yang memperolehi keputusan 8A adalah 34,000 orang," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Sastera 2011 penuh kontroversi


Oleh S.M. ZAKIR

Tahun 2011 mengisi dunia sastera dengan banyak catatan sejarah, termasuk sejarah penting negara. Antaranya ialah dua sejarah besar dunia sastera dan bahasa Melayu ialah isu novel Interlok dan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Husain tercetus apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) mencetuskan kontroversi perkataan 'Paria' yang terdapat di dalamnya.

Novel Interlok dikatakan mengandungi unsur sensitif kepada masyarakat India kerana memaparkan sejarah susur galur kedatangan India ke Tanah Melayu. Keadaan menjadi buruk apabila Interlok digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu, dengan memancing emosi masyarakat. Hujah secara intelektual dan faktual oleh para ilmuwan ditolak serta dikalahkan oleh sentimen melulu. Akhirnya Interlok dipinda. Namun ia tidak berakhir di situ apabila keputusan terbaru mengatakan Interlok ditarik daripada dijadikan teks Komsas.

Isu kedua ialah PPSMI, yang ditamatkan pelaksanaannya dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI). Namun keputusan untuk menamatkan PPSMI dibantah keras oleh golongan yang diketuai oleh PAGE. Pelbagai kempen dan tindakan dilakukan oleh PAGE dan penyokongnya sehingga memaksa kerajaan mengambil pendekatan lunak dalam menamatkan PPSMI.

Walau bagaimanapun, isu PPSMI tidak berakhir di situ apabila PAGE dan penyokong -penyokong terus bertindak memaksa kerajaan menarik balik keputusan agar PPSMI dapat terus dilaksanakan. Isu Interlok dan PPSMI memperlihatkan tindakan berkompromi hanya mengalah kepada tuntutan yang lebih bermain dengan sentimen dan andaian. Walaupun PPSMI tidak menyentuh secara langsung dengan dunia sastera kebangsaan, namun sebagai sastera yang mendokong nilai kebangsaan dan berdiri atas dasar bahasa Melayu, sebarang tindakan yang melemahkan bahasa Melayu akan turut memberikan kesan kepada dunia sastera kebangsaan.

Selain dua isu yang menyentuh jiwa dunia sastera kebangsaan tersebut, terdapat juga isu lain yang muncul bersangkutan dengan dunia sastera baik secara langsung atau tidak. Isu pemilihan dan kaedah pembayaran royalti teks Komsas juga menimbulkan banyak tanda tanya. Pemilihan teks Komsas yang baharu menimbulkan banyak kritikan termasuklah kaedah pemilihan yang tidak telus dan banyak diselubungi kabut, selain daripada pemilihan beberapa teks sastera yang lemah dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan pendidikan di bilik darjah.

Lebih menyedihkan apabila kaedah pembayaran yang memberikan kuasa penuh kepada penerbit dan menentukan jumlah bayaran. Ini memberikan ruang kepada penerbit-penerbit yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menindas hak penulis. Malah tiada ketetapan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran ke atas jumlah royalti yang perlu dibayar kepada penulis. Keputusan jumlah royalti bergantung sepenuhnya ke atas penerbit dan terpulanglah kepada penerbit untuk membayar sesuka hati mereka.

Dalam perkembangan lain, pergolakan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan syarikat konsesinya iaitu Dawama tidak dapat dijernihkan lagi. Kini tiba kepada titik noktahnya apabila DBP menamatkan kontraknya dengan Dawama. Konflik DBP-Dawama ini sebenarnya banyak memberi kesan kepada penulis khususnya dan dunia sastera umumnya. Penerbitan dan pemasaran buku yang sepatutnya berjalan lancar melalui pelaksanaan dasar pemberian konsesi ini tetapi tidak sebagaimana yang diharapkan. Pemasaran buku terbitan DBP di bawah Dawama bukan sahaja lembap malah statik, sehingga banyak buku yang diterbitkan berlonggok di stor.

Dunia sastera pada tahun 2011 juga menyaksikan kehilangan tokoh-tokoh besar dunia sastera dan bahasa Melayu. Antara tokoh yang pergi menyahut seruan Illahi dan meninggalkan jasa serta kenangan abadi ialah Hassan Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Amirul Fakir, dan Anas K Hadimaja. Pemergian Hassan Ahmad memberikan kesan yang besar terhadap perjuangan bahasa Melayu terutamanya menentang PPSMI. Begitu juga dengan pemergian Azizi menyaksikan kehilangan besar dalam dunia sastera. Apatah lagi pemergian Allahyarham Azizi diratap dengan rasa terkilan warga sastera untuk menyaksikan Allahyarham dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Sasterawan

Sepanjang tahun 2011 dunia sastera juga menyaksikan sejarah pencapaian yang gemilang. Dr. Ahmad Kamal Abdullah telah diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-11, menjadikan beliau penyair keempat menerima Anugerah Sastera Negara. Pencapaian lain juga menyaksikan Shahnon Ahmad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mastera keempat dan S.M. Zakir sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) 2011. Dalam perkembangan lain dunia sastera terus bergemerlapan dengan sayembara dan anugerah. Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terus menjadi anugerah berprestij yang paling konsisten dalam perkembangan dunia sastera tanah air. HSKU yang kini berkerjasama dengan ExxonMobil telah memasuki tahun ke-26, dan menyaksikan ratusan penulis berbobot yang lahir daripada penganjuran yang berterusan ini. Keintiman Kumpulan Utusan dengan dunia sastera menyaksikan penglibatannya dengan pelbagai penganjuran acara sastera termasuklah Malam Puisi Utusan, sayembara penulisan novel cereka sains dan terbaharu ialah Hadiah Sako yang memasuki sayembara yang ketiga. Setelah hampir sepuluh tahun tertunda, kali ini Hadiah Sako dimenangi oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dengan novel Penyeberang Sempadan.

Sementara PENA menyambut ulang tahun ke-50 dengan sambutan jubli emas yang gilang gemilang dan mencipta sejarah apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Abdul Razak pada 16 Disember lalu. Sambutan 50 tahun yang mendapat dokongan penuh Institut Terjemahan Negara (ITNM) menyaksikan keprihatinan Perdana Menteri terhadap warga sastera terutamanya dalam melihat pembangunan generasi pelapis iaitu para penulis muda. Perdana Menteri telah memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tujuan penerbitan buku dan bahan sastera yang akan dilaksanakan secara bersama oleh ITNM, Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan juga PENA. Dalam pada Perdana Menteri juga bermurah hati menyumbangkan RM1 juta kepada PENA demi membangunkan prasarana dan menyemarakkan dunia sastera.

Tahun 2012 tentunya akan memberikan ruang yang lebih mencabar kepada dunia sastera. Selain berdepan dengan gelombang komersialisme yang membunuh mutu dan sifat autentik karya sastera, dunia sastera juga berdepan dengan mitos tentang pupusnya industri perbukuan oleh perkembangan teknologi. Namun dunia sastera sepertimana kehidupan manusia itu sendiri sentiasa berjaya menyerap dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana sastera ialah bahasa, seni dan fikiran. Selagi manusia menggunakan bahasa, seni dan fikiran maka selagi itulah sastera akan terus wujud dalam kehidupan manusia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 23 Disember 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kewajaran saring kemasukan pelajar asing


Oleh SHAFIDAH SAAD

ISU kebanjiran pelajar asing terutamanya warga Afrika di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh banyak pihak.

Terbaru, cadangan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkaitan sistem tapisan bagi menyaring kemasukan pelajar asing ke Malaysia yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan adalah langkah yang baik serta wajar dilaksanakan.

Ini kerana kemasukan pelajar asing ke negara ini sedikit sebanyak memberikan kesan negatif kepada imej Malaysia seperti peningkatan kadar jenayah. Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mahasiswa tempatan dan masyarakat sekeliling. Terdapat golongan warga Afrika ini menyalah gunakan visa pelajar dan pas lawatan sosial mereka.

Cadangan pengenalan sistem tapisan untuk kemasukan pelajar asing ini merupakan tindakan yang bijak menerusi proses pengeluaran visa pelajar yang turut diperketatkan. Usaha ini merupakan kerjasama antara Jabatan Imigresen dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Diharapkan dengan mengetatkan proses pengeluaran visa ini dapat mengurangkan kes penipuan oleh golongan tersebut seperti tinggal melebihi tempoh malah terdapat juga masalah sosial dan kegiatan jenayah yang melibatkan warga asing ini.

Penggunaan visa pelajar selepas melalui proses penapisan yang lebih ketat ini membolehkan pemantauan dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Menurut Mahmood juga, pembatalan visa akan dilakukan sekiranya mendapati terdapat penyalahgunaan visa oleh pelajar asing ini. Usaha ini seharusnya mendapat perhatian dan kerjasama semua pihak supaya dapat memastikan tiada kegiatan jenayah dan aktiviti tidak bermoral dilakukan di negara ini oleh pelajar asing.

Pada pendapat saya, usaha ini sangat baik dan seterusnya dapat memastikan Malaysia terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Malah statistik jenayah oleh warga Afrika yang memegang pas pelajar sehingga Oktober 2011 pula menunjukkan bahawa jumlah tertinggi sebanyak 144 kes oleh bangsa Nigeria dengan jumlah keseluruhan statistik jenayah warga Afrika sebanyak 182 kes.

Oleh itu, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan pelajar asing di negara ini tidak menimbulkan masalah dan memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat supaya suasana pembelajaran berlangsung secara harmoni.

Tambahan pula, terdapat pelajar asing yang berkelakuan tidak sopan di dalam kampus dan tindakan mereka ini bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia.

Pelajar asing yang memasuki IPT di Malaysia perlu mengetahui, memahami dan menghormati adat dan budaya masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat yang beragama Islam agar tidak melakukan perkara yang tidak sopan dan dilarang oleh agama di khalayak ramai.

Sensitiviti dan kesedaran ini perlu ada dalam diri setiap pelajar asing ini dan mereka perlu menghormati sosiobudaya di Malaysia.

Terbaru, kes berkaitan warga asing Afrika juga membuka mata semua. Seorang lelaki warga Afrika mampu membina sebuah banglo dan sebuah hotel bertaraf lima bintang bernilai RM400 juta di negaranya dengan hasil kegiatan penipuan yang dilakukan di Malaysia.

Malah lelaki tersebut turut menjadi idola golongan muda di negara kelahirannya. Penipuan yang dilakukan oleh warga Afrika di negara ini semakin serius kerana menyebabkan kerugian sebanyak RM29 juta bermula Januari hingga Oktober 2011.

Penipuan-penipuan ini boleh berlaku sekiranya rakyat Malaysia tidak peka dengan sesuatu pelawaan oleh mereka dan mudah menjadi mangsa. Penipuan yang sering dilakukan oleh warga Afrika adalah kiriman bungkusan, black money, vaksin ternakan, iklan di laman web, jenayah siber dan wasiat.

Persoalannya di sini, sampai bilakah masalah ini akan berterusan? Apakah jalan penyelesaian untuk membendung masalah ini agar ia dapat di atasi? Dapat dilihat bahawa kemasukan warga asing yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di dalam negara kita.

Tidak kiralah dari negara mana datangnya warga asing ini, masalah yang sering diperkatakan ialah mendatangkan membabitkan kes-kes jenayah yang membimbangkan semua pihak. Maka sudah tentu, langkah menyaring kemasukan pelajar asing ini adalah tindakan wajar selain mengambil beberapa langkah drastik lain untuk mengatasinya.

PENULIS ialah Presiden, Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej Canselor Sesi 2011/2012 Universiti Putra Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Warga asing makin 'ganas'


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


WARGA asing, pendatang haram, PATI dan pelbagai lagi gelaran diberikan kepada kumpulan ini. Walaupun rakyat Malaysia telah lali dengan kehadiran mereka, namun ia terus menghantui kehidupan harian masyarakat negara ini.

Hakikatnya, warga asing yang masuk secara sah masih diperlukan dalam sektor-sektor tertentu terutamanya yang tidak mahu diceburi rakyat tempatan.

Disebabkan rakyat negara ini tidak mahu gaji yang kecil, kerja kotor, berbahaya dan berpanas, kebanyakan kekosongan itu kini diisi warga asing termasuklah yang masuk secara haram.

Apabila permintaan meningkat dan peluang kerja bertambah, semakin ramai pendatang asing yang masuk membanjiri bandar, kampung hinggalah ke kawasan-kawasan pedalaman.

Malangnya, ada di antara pendatang asing ini mengambil jalan mudah masuk dengan tujuan menjalankan kegiatan jenayah sementara ada juga yang dipaksa ke arah itu akibat gagal mencari kerja dengan pendapatan yang cukup untuk menampung keluarga masing-masing.

Sememangnya Malaysia bukan sahaja negara majmuk dari segi rakyatnya tetapi 'majmuk' juga dari segi kumpulan pendatang asing yang menyusup masuk.

Maka, tidak menghairankan antara jenayah yang paling biasa berlaku adalah pergaduhan dan pembunuhan di antara warganegara berbeza ini sama ada kerana berebut pekerjaan, kawasan penempatan haram, perempuan mahupun disebabkan ego dan 'maruah' puak masing-masing.

Tidak kurang juga yang terlibat dengan jenayah kekerasan dan vandalisme akibat mabuk kerana ada di antara mereka yang meneruskan amalan tradisi suka meminum arak selepas sehari bekerja atau ketika hari cuti.

Bagi rakyat Malaysia pula, jenayah yang paling dibimbangi adalah rogol dan bunuh terhadap wanita tempatan tanpa mengira usia atau status akibat warga asing yang kemaruk asmara, paling nyata dari sikap mereka membuat gangguan seksual mana-mana wanita setiap kali berkumpul dengan rakan sebangsa.

Namun, kini terdapat sesetengah jenayah yang makin khusus kepada warganegara tertentu seperti mana media kini banyak melaporkan penipuan Internet yang didalangi warga Afrika atau 'awang hitam' yang semakin membanjiri bandar-bandar utama Malaysia.

Bukan sahaja menipu belajar di institusi pendidikan tinggi swasta, 'awang hitam' turut menipu golongan wanita kaya dan individu lain menggunakan pelbagai skim dan rancangan halus melalui Internet khususnya laman sosial yang digilai penduduk negara ini sehinggakan mereka mampu menjadi jutawan segera.

Tidak ketinggalan, warga Iran yang semakin kerap tumpas di beberapa lapangan terbang negara dengan membawa masuk dadah dalam jumlah yang besar dan menggunakan pelbagai taktik licik menyorokkan bahan terlarang itu daripada pihak berkuasa.

Warga Indonesia yang telah sekian lama membanjiri Malaysia berterusan ditangkap terlibat dalam kes rompakan, samun, pecah rumah dan bunuh terutamanya yang dikaitkan dengan ilmu hitam dan senjata berbahaya.

Dari China pula, ribuan kes penipuan pas lawatan terus dicatatkan untuk menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur terutamanya di rumah-rumah urut yang kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Tidak kurang juga warga China yang bersubahat dalam penyeludupan produk dari negara tersebut di samping bersubahat dalam 'industri' cetak rompak yang terus maju di setiap pelosok negara ini.

Dari India, Pakistan dan Bangladesh pula lebih banyak dikaitkan dengan mengganggu wanita tempatan, merusuh dan terbaru, beberapa kes pembunuhan kejam termasuk melibatkan pembunuhan kanak-kanak dan mengerat badan mangsa.

Dalam pada itu, warga Myanmar yang rata-ratanya merupakan pelarian politik, lebih banyak menjalankan perniagaan secara haram tetapi bilangan mereka yang semakin ramai, kian membimbangkan penduduk setempat.

Tidak lupa juga kepada jiran di utara dan selatan Semenanjung di mana rakyat Thailand menyeludup minyak (diesel) dan barang-barang terkawal yang harganya lebih murah.

Rakyat Singapura pula dikesan melanggar undang-undang jalan raya, tidak membayar saman dan mungkin terlibat dengan penipuan laporan kecurian kenderaan di Malaysia.

Walaupun mengeluarkan nada seolah-olah membenci warga asing, hakikatnya rakyat Malaysia yang ramah mesra hanya membenci kepada segelintir mereka yang mencemar dan mengganggu ketenteraman hidup di negara ini.

Jenayah sebenarnya tidak mengenal bangsa dan kerakyatan tetapi jumlah penjenayah pendatang asing akan melonjak sejajar dengan peningkatan mendadak warga asing ke negara ini.

Kebelakangan ini juga, rakyat Malaysia sudah mula mengambil tindakan sendiri terutamanya terhadap warga asing yang mabuk dan mengganggu wanita tempatan.

Jika golongan pendatang seperti ini terus dipandang enteng pihak berkuasa, akhirnya rakyat pasti akan bangkit dan bertindak sendiri demi menjaga keluarga, bangsa dan negara tercinta ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Penipuan Transaksi Beli Barang Melalui Internet Meningkat Sejak 2009


KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam membuat transaksi bagi pembelian barangan melalui internet berikutan meningkatnya kes penipuan cara itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,424 kes dilaporkan berbanding 1,114 kes sepanjang tahun lepas dan 551 kes pada 2009.

Jumlah kerugian untuk tahun ini pula ialah RM3.519 juta berbanding RM3.124 juta sepanjang tahun lepas dan RM786,000 bagi 2009, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pada tahun ini, kes paling banyak membabitkan 'mudah.my' dengan 1,009 transaksi melibatkan kerugian RM1.7 juta, diikuti transaksi lain-lain sebanyak 415 kes dengan kerugian RM1.84 juta.

Selain itu, polis juga menerima 2,472 laporan mengenai kes penipuan kewangan atas talian sejak 2008 sehingga Okt tahun ini, dengan kerugian kira-kira RM19 juta.

Ramli berkata, modus operandi yang digunakan ialah dengan menyamar sebagai kakitangan bank atau pegawai polis, yang meyakinkan mangsa agar menyerahkan nombor akaun bank bagi mendapatkan tawaran hadiah, menyelesaikan hutang kad kredit atau tawaran mendapatkan barang lelongan kastam.

Katanya, mangsa hanya menyedari telah tertipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.

Sumber : BERNAMA

Khamis, 22 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 'Usah cuba hidupkan PPSMI'


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com

Dasar MBMMBI turut tekankan bahasa Inggeris di kalangan pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tidak cuba menghidupkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan, bagi mengelakkan isu itu terus menjadi polemik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Kerajaan telah membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cubaan untuk menghidupkan semula PPSMI tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘soft landing’ sehingga 2021 bagi membolehkan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah sistem PPSMI meneruskan pengajian seperti biasa dalam dwibahasa atau Bahasa Inggeris.

“Kita telah putuskan untuk mansuhkan PPSMI, tetapi untuk bersikap adil kepada pelajar kementerian buat ‘soft landing’ hingga 2021 supaya pelajar di bawah PPSMI tidak terganggu pelajaran mereka.

“Sepatutnya perkara ini (cubaan untuk hidupkan PPSMI) tidak timbul kerana ia akan menimbulkan polemik saja.

“Kalau pihak terbabit bimbang mengenai penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, kerajaan melakukan penambahbaikan itu dalam MBMMBI. Pengajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam dasar baru itu bagi memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa itu tanpa meninggalkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohd Puad mengulas tindakan Pertubuhan Ibu Bapa Prihatin Selangor (CPS) menyerahkan lebih 12,000 surat yang didakwa rayuan ibu bapa pelajar dari sekitar Petaling Jaya, kelmarin yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan proses pemansuhan PPSMI.

Pengerusi CPS, Samsudin Hamid berharap Perdana Menteri menimbang semula pemansuhan itu kerana ia membabitkan agenda nasional dan masa depan generasi muda dan pembangunan negara dengan menekankan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris tanpa mengetepikan peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik serta mahu polemik itu dihentikan demi kebaikan semua pihak.

Mohd Puad berkata, statistik terkini kementerian menunjukkan hanya lima peratus sekolah rendah di seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas, manakala kurang 10 peratus sekolah menengah menggunakan bahasa itu sepenuhnya dalam kelas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tingkatan Empat bukan masa berehat


TAHNIAH diucapkan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam. Kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa.

Belajar dari kesilapan dan cuba untuk memperbaiki pencapaian anda dalam peperiksaan yang jauh lebih penting iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kumpulan pelajar yang memperoleh keputusan PMR ini akan melangkah masuk ke peringkat menengah atas.

Ramai yang berpendapat Tingkatan Empat ialah tahun 'honeymoon'. Tanggapan ini perlu diperbetulkan. Tiada istilah bulan madu atau 'honeymoon' dalam usaha memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seterusnya yang lebih mustahak.

Sebahagian soalan dikemukakan dalam peperiksaan SPM dalam semua mata pelajaran seperti Matematik, Sejarah, Biologi dan Sains ialah soalan dalam topik yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat walaupun peperiksaan SPM hanya diambil ketika mereka berada pada tahap Tingkatan Lima.

Justeru teruskan momentum kecemerlangan anda apabila melangkah masuk ke Tingkatan Empat. Dengan menguasai topik dalam apa jua mata pelajaran yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat, jadi beban untuk menguasai konsep sesuatu mata pelajaran yang diajar dalam Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima sedikit sebanyak dapat dikurangkan ketika mereka berada di Tingkatan Lima.

Di samping itu, strategi pembelajaran yang berkesan perlu dipraktikkan agar sesuatu konsep yang dipelajari dapat dikuasai untuk jangka yang panjang.

Pelajar Tingkatan Tiga yang bakal memasuki Tingkatan Empat kebiasaannya akan memilih aliran yang mereka minati. Kebiasaannya pelajar yang memperoleh keputusan yang baik dalam PMR lebih cenderung memilih aliran sains tulen dan kejuruteraan.

Pelajar yang berada dalam kumpulan yang kurang bernasib baik lebih cenderung untuk memilih aliran vokasional dan sebagainya. Justeru, pelajar perlu bijak memilih aliran mengikut tahap kebolehan dan minat mereka.

Jangan memilih aliran tertentu disebabkan mengikut kawan sedangkan diri sendiri tidak berminat dengan aliran berkenaan.

Banyak kajian yang membuktikan sikap mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Begitu juga terdapat sebilangan pelajar yang memilih aliran yang lebih ‘glamour’ seperti sains tulen dan kejuruteraan sedangkan aliran itu tidak sepadan dengan tahap kemampuan mereka. Jadi pelajar perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ supaya aliran yang bakal dipilih tidak menjadi beban untuk diikuti sehinggalah ke peperiksaan SPM.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai, Johor.

Sumber: http : //www.bharian.com.my/