Sabtu, 7 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : 2012 antara tahun terpanas


La Nina, pemanasan global punca suhu melonjak ke paras tinggi

LONDON: Tahun 2012 diramalkan akan menjadi antara 10 tahun yang paling panas dalam tempoh 160 tahun, sejak 1850, lebih panas berbanding tahun lalu.

Tahun ini juga dilaporkan bakal menjadi tempoh paling panas kali ke sembilan bagi India sejak 1901. Saintis kaji cuaca meramalkan, suhu pada 2012 adalah 0.48 darjah Celsius lebih panas berbanding purata suhu sepanjang tahun lalu.

Ketua jabatan ramalan cuaca Britain, Adam Scaife berkata walaupun 2010 direkodkan sebagai tahun ‘hangat’, 2011 menyaksikan fenomena La Nina yang kuat dan secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca antarabangsa.

“La Nina kembali semula. Walaupun ia tidak sekuat seperti awal tahun lalu, ia masih memberi pengaruh ke atas suhu pada tahun mendatang. Berikutan itu, kami meramalkan 2012 sebagai tahun yang lebih panas berbanding tahun lalu, tetapi tidak sepanas tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata, 2010 dilihat sebagai tahun paling panas di seluruh dunia dengan suhu berada pada paras 0.53 darjah Celsius melebihi paras biasa, disusuli tahun 2005, 1998, 2003, 2002, 2009, 2006, 2007, 2001 dan 2011. Pada 2001 dan 2011, suhu berada pada paras 0.41 darjah Celsius melebihi purata 14 darjah.

Setiausaha Pertubuhan Kaji Cuaca Dunia (WMO), Michel Jarraud berkata pengaliran gas rumah hijau ke atmosfera juga semakin bertambah, di sebalik pelbagai usaha dan kempen di seluruh dunia untuk mengurangkannya.

“Keadaan ini menyebabkan peningkatan suhu antara 2 hingga 2.4 darjah Celsius bagi purata suhu dunia. Saintis percaya ini akan menyebabkan perubahan besar kepada keadaan tanah, alam sekitar dan lautan,” katanya.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Meteorologi India, Dr Ajit Tyagi berkata suhu menjadi semakin tinggi sejak dekad lalu berikutan pemanasan global.

Bagaimanapun, ramalan terbaru mengenai suhu di India dijangka tidak membimbangkan negara itu, kerana di kebanyakan wilayahnya setakat ini, suhu berada pada paras hampir normal kecuali di Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Nagaland, Manipur, Mizoram dan Tripura yang berada pada paras satu darjah Celsius berbanding tahap biasa.

“Suhu yang lebih tinggi dijangka mempengaruhi angin monsun di India dan ini adalah sesuatu yang positif. Kami mungkin tidak menghadapi banjir buruk atau hujan yang terlalu lebat. Pada masa sama, masih terlalu awal untuk membuat ramalan, jadi pemantauan rapi terus dilakukan,” katanya. – Agensi

ISU UMUM : Asal usul kalendar


Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Objek astronomi seperti matahari atau bulan jadi penentu tarikh

SETIAP tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud.

Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan harian.

Sehubungan itu, sisipan RONA cuba mengimbau sejarah perkembangan kalendar dan peranannya dalam kehidupan manusia sempena kedatangan 2012.

Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.

Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.

Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.
Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.

Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.

Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.

Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.

Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Kalendar Gregorian

TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari.

Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.

Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.

Kalendar Islam

KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina

KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.

Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.

Kalendar Julian

KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi.

Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.


INFO


Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.

Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).

Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).

Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.


Kalendar sudah pupus

Kalendar Aztec

Takwim Maya

Takwim Positivist

Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582.

Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408.

Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.

Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SUKAN : Skuad Jang julang Piala Sumbangsih


KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih dengan menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sebentar tadi, sekali gus mencipta sejarah berjaya memburu kejuaraan sulung dalam perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2012.

Kedua-dua gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh pemain import Jean Emmanuel Effa Owona masing-masing pada minit ke-30 dan ke-63.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama dengan Kelantan mendahului seawal minit ke-19 menerusi hantaran cantik penyerang Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Kelantan, yang juga juara Liga Super, menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam musim lepas untuk merangkul piala itu buat kali pertama.

Pasukan 'The Red Warriors' membuka tirai percubaan sejurus empat minit babak pertama bermula menerusi penyerang import barunya musim ini dari Lubnan, Mohd Ghaddar.

Penyerang import pasukan lawan, Jean Emmanuel Effa Owona, hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit kesembilan menerusi tandukan, namun pemain pertahanan Kelantan Azizi Matt Rose menyelamatkan keadaan dengan menanduk keluar bola yang berpunca dari sepakan sudut.

Serangan bertali arus skuad Kelantan bimbingan jurulatih Peter James Butler akhirnya membuahkan hasil apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-19.

Gol itu berpunca daripada Muhamad Ghaddar yang bijak mencari peluang melorongkan bola kepada Norshahrul Idlan Talaha sebelum memperdaya dua pemain lawan dan melepaskan rembatan di depan gawang menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak kekal lama apabila skuad Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan selang 10 minit kemudian hasil sepakan mengelirukan oleh Owona yang mengenai pemain pertahanan Kelantan Mohd Farisham Ismail sebelum masuk ke dalam gawang lawan.

Perlawanan kembali seimbang apabila kedua-dua pasukan saling mengatur serangan demi serangan untuk menambah gol, namun kekentalan barisan pertahanan masing-masing mengagalkan usaha tersebut.

Aksi tambah menarik pada babak seterusnya apabila kedua-dua pasukan saling membalas asakan untuk mencari gol kemenangan.

Owona kemudian menambah derita Kelantan pada minit ke-63 apabila melonjak tinggi melepasi pertahanan pasukan itu sebelum melakukan tandukan mengelirukan untuk menewaskan Khairul Fahmi selepas menerima hantaran Tengku Qayyum Ubaidillah.

Kelantan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun benteng pertahanan skuad Rusa kental bertahan hingga tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan Shokri Nor.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Negeri Sembilan.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Salleh Majid mesrakan ilmu ekonomi kepada masyarakat


MENELITI semula penulisan bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kini Bursa Malaysia, Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, 62, yang meninggal dunia pada Isnin lalu, mengenai permasalahan berkaitan ekonomi, pelaburan dan saham peringkat nasional atau antarabangsa dalam bahasa Melayu, maka benarlah bagai dikata bahawa beliau adalah pejuang bahasa Melayu.

Beliau memiliki keistimewaan tersendiri kerana mampu menjadikan topik yang dirasakan sukar difahami, khususnya mereka yang tidak tahu langsung mengenai bidang ekonomi sebagai ilmu yang mudah dihadam, malah menarik untuk dipelajari.

Itulah kelebihan tokoh ekonomi dikagumi pelbagai lapisan masyarakat negara ini daripada kalangan mereka sealiran bidang dengannya sehingga kepada rakyat jelata yang menganggap ilmu berkaitan ekonomi sebagai sesuatu yang asing pada mulanya.

Justeru, kepulangan Allahyarham ke rahmatullah pada 2 Januari lalu akibat kanser rektum, amat dirasakan terutama mereka yang banyak mempelajari serta meneroka ilmu berkaitan ekonomi daripada hasil penulisan beliau di media cetak dan penjelasan melalui forum, dialog, seminar dan program televisyen.

Carian nama Allahyarham Salleh Majid di internet bakal menemukan kita dengan komen serupa, banyak ucapan terima kasih terhadap usaha beliau memesrakan ilmu ekonomi kepada masyarakat melalui penjelasan ringkas dan mudah difahami.

Tulisan beliau yang tidak menggunakan jargon ekonomi, sebaliknya selesa dengan penjelasan santai (atau borak kedai kopi) membuatkan sesiapa yang membaca akan mendapat manfaat jika tidak banyak pun, akan terdedah kepada ilmu baru daripada penulisan itu.

Mungkin menyedari sukarnya memahami istilah ekonomi dan ilmu bidang perniagaan mendorong kolumnis akhbar arus perdana serta majalah berkonsepkan bisnes itu berkongsi pengetahuan demi kelangsungan anak bangsanya.

Hebatkan, seorang yang dikenali kerana sikap rendah diri tetapi tegas pendirian itu, tidak pernah kenal erti jemu untuk mencurahkan rahsia berjaya dalam bidang keusahawanan, perniagaan, pelaburan dan ekonomi melalui baris-baris ayat.

Topik menarik dibahaskan termasuk insurans yang mempersoalkan kenapa orang Melayu dulu tidak gemar melabur dalam insurans (sekarang kebanyakan sudah menyedari kepentingan insurans) dan kesediaan peniaga menggunakan kemudahan internet untuk memasarkan produk mereka.

Itu dibangkitkan beliau 10 tahun lalu menyedari pentingnya usahawan yang ingin maju mempersiapkan diri mereka memanfaatkan perkembangan teknologi serta kemudahan perkhidmatan ditawarkan di pasaran. Kini apa yang dibangkitkan 10 tahun lalu kini dipraktikkan kebanyakan usahawan dalam perancangan strategi perniagaan mereka.

Perkongsian ilmu Salleh yang disifatkan sebagai tokoh mencatatkan pencapaian luar biasa dalam menerajui BSKL bersama pembaca akhbar Berita Harian bermula Mac 2001 apabila menjadi kolumnis akhbar ini. Tulisan hasil buah fikiran beliau turut tersiar di Utusan Malaysia dan Business Times.

Beliau turut bercerita mengenai kesan apabila hutang tidak dibayar selain mencerahkan pemikiran pembaca mengenai sumbangan mereka terhadap ekonomi negara melalui amalan berbelanja. Tidak ketinggalan, kesan tragedi 11 September di Amerika Syarikat yang mengubah landskap ekonomi dunia.

Menyedari pentingnya supaya apa yang disampaikan benar-benar difahami dan dapat dimanfaatkan, Salleh mementingkan komunikasi dua hala apabila berkongsi maklumat khususnya dengan wartawan yang akan menyebarkan pandangan beliau kepada umum.

Memetik pandangan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Datuk Moehamad Izat Emir, Allahyarham adalah seorang tokoh yang konsisten dan tidak pernah teragak-agak dalam membuat keputusan.

“Diharap ada pihak yang mengumpulkan buah fikiran Allahyarham untuk dibukukan. Sebagai anak Melayu, Allahyarham dikagumi kerana mampu membuat perubahan amat ketara dalam ekonomi Bumiputera Melayu,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali kagum dengan perjuangan gigih Allahyarham memperjuangkan ekonomi bangsa Melayu.

“Saya bersama beliau belajar di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) tetapi beliau tidak memilih bidang politik, sebaliknya memilih bidang profesional. Paling menarik, dia bukan oportunis. Dia hanya bincang pasal ekonomi tapi tak pernah ambil kesempatan. Hidup dia pun sangat sederhana...dia seperti orang biasa saja,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : SBPA tawar kenaikan pangkat istimewa


PUTRAJAYA: Pegawai awam berprestasi tinggi dan berpotensi mengisi jawatan strategik akan dipertimbangkan kenaikan pangkat secara istimewa menerusi sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata kenaikan pangkat secara istimewa itu ialah pegawai dinaikkan pangkat bagi mengisi jawatan kosong dalam tempoh lebih cepat daripada pegawai lain sama ada ke satu gred lebih tinggi atau secara pelangkauan gred.

"Kenaikan pangkat secara istimewa membolehkan Ketua Perkhidmatan mempersiapkan pegawai dengan kompetensi sesuai dengan jawatan strategik yang dikenal pasti iaitu dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional," katanya dalam surat pekeliling yang dimuat naik dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kelmarin.

Beliau berkata, pertimbangan kenaikan pangkat secara istimewa berasaskan kriteria penilaian ditetapkan yang akan dibangunkan Ketua Perkhidmatan dan kriteria itu perlu dikemuka kepada JPA untuk mendapat kelulusan sebelum dilaksana.

Abu Bakar berkata, peningkatan gred gaji pula akan diberi kepada pegawai diiktiraf sebagai SME, iaitu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi serta pengalaman luas dalam sesuatu bidang khusus yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh dijadikan sumber rujukan kepada pegawai dari dalam dan luar organisasinya.

Beliau berkata, pegawai yang layak bagi dipertimbangkan untuk diiktiraf SME adalah Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memenuhi syarat termasuk berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam skim perkhidmatan semasa atau berada di gred 1-4; memenuhi kriteria penilaian kepakaran ditetapkan dan mendapat perakuan panel penilai kepakaran.

Katanya, Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab membangunkan kriteria penilaian dan menetapkan petunjuk prestasi utama SME mengikut skim perkhidmatan.

“Kenaikan pangkat pegawai Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat 15 tahun dan lebih serta masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan semasa, layak dipertimbangkan kenaikan pangkat mengikut syarat ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

“Bagaimanapun, kaedah ini tidak terpakai bagi skim perkhidmatan disediakan kenaikan pangkat secara ‘time-based’. Pegawai dinaikkan pangkat mengikut kaedah ini terletak di bawah penyeliaan pegawai atasannya mengikut struktur perjawatan walaupun gred pegawai setaraf dengan pegawai penyelianya,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 6 Januari 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Hentikan provokasi politik di kampus


Oleh MOHAMAD ABDULLAH
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

MELIHAT sekumpulan tidak sampai 30 orang pelajar yang cuba mengadakan demonstrasi kampus universiti dalam kesibukan siswa-siswi bergelut dengan peperiksaan, terasa betapa bahayanya apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan ketenteraman pembelajaran anak-anak muda kita.

Walau pun mesej yang dihantar oleh siswa-siswi yang sebahagian besarnya tidak menyokong malah marah dengan usaha pihak tertentu ini, adalah jelas seperti mana tergambar dalam banyak blog dan media sosial, namun perbuatan ini harus dibanteras segera apatah lagi jika ibu bapa prihatin terhadap masa depan anak-anaknya di kampus.

Lebih bahaya apabila terdapat segelintir pihak luar yang sengaja menyelinap masuk dan mengapi-apikan perdebatan pelajar yang jika tidak dikawal boleh menimbulkan masalah berpanjangan.

Apa pun alasan dan pandangannya, ini adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat, yang boleh merosakkan nilai-nilai ilmu dan mengancam keharmonian kampus yang sewajarnya lestari dalam konteks budaya yang berteraskan akal budi, adab orang berilmu dan wacana-wacana yang membenarkan perbezaan pendapat tetapi dilakukan dalam tata cara yang amat berhemah.

Percubaan-percubaan provokasi dalam demonstrasi, secara sengaja mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan apa yang dilakukan dan menyalahkan orang lain seperti yang berlaku di beberapa kampus kebelakangan ini atas isu-isu yang boleh diselesaikan bersama dan sepatutnya belajar menghormati suara majoriti amat berbahaya dan mengocak ketenangan kampus. Apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang bergelut dengan persediaan memasuki dewan peperiksaan.

Siswa-siswi harus dididik menjadi lebih matang untuk terlibat dalam politik dan bukan hanya menggunakan jiwa muda yang bergelora dengan idealisme tentang kehidupannya dan persekitaran yang ingin dibentuknya lalu menimbulkan suasana tidak harmoni atas nama kebebasan yang secara sendirinya juga menggambarkan pelakunya tidak bebas kerana menurut telunjuk orang lain, bukan pun pandangannya sendiri.

Dinilai dari sambutan majoriti siswa-siswi kampus yang enggan terlibat, ternyata mereka jauh lebih matang dari yang disangkakan kerana sebahagian besarnya tahu antara kaca dan permata. Malah bijak membezakan antara keperluan dan kepentingan akademik dengan kepentingan lain yang boleh ditangguhkan atau diketepikan jika ia tidak memenuhi tuntutan nilai orang berilmu.

Kenyataannya, sebahagian besar siswa-siswi adalah rasional dalam pemikiran dan tindakan. Namun dalam era kemajuan teknologi termasuk teknologi maklumat, penguasaan ilmu dan proses kematangan kerap kali berkait rapat, tetapi boleh juga menimbulkan kecelaruan apabila sesetengah maklumat yang dihadam tidak berteraskan kepada fakta ilmu tetapi lebih kepada peribadi, emosi dan fakta-fakta yang tidak jelas termasuk melalui media sosial, maka sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses kematangan sesetengah anak muda termasuk siswa-siswi.

Keadaan ini juga dimanipulasi oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan, malah apabila siswa-siswi yang berdebat hangat hilang kata-kata, suara provokasi yang menyelinap masuk terus mengapi-apikan supaya terus berdebat tanpa ada penyelesaian.

Apabila nilai-nilai ilmu yang sangat menekankan kepada kepentingan masyarakat, alam dan dunia diketepikan, ia amat mengganggu kita. Suasana anti akademik ini boleh merosakkan apatah lagi jika emosi dibakar dan diheret pula ke medan lain.

Jika ada pihak yang ingin terlibat sama dengan proses pengajian tinggi dan membantu untuk mengisi masa siswa-siswi dengan pendidikan bagi menjamin masa depannya termasuk membangunkan kerjaya dalam politik, buatlah dengan cara yang berhemah.

Hormatilah kampus universiti dan jangan sama sekali melakukan provokasi menggunakan nilai-nilai yang amat bertentangan dengan budaya dan nilai keilmuan yang ada.

Bantulah siswa-siswi membangunkan masa depan mereka untuk menjadi pemimpin politik pada masa depan yang memahami erti kewujudan universiti memartabatkan ilmu, erti perjuangan negara bangsa dan menjaga kemashlahatan orang ramai.

Justeru tidak wajar menjadikan keseluruhan kampus sebagai medan perdebatan politik, demonstrasi atau perkumpulan yang tidak boleh dinafikan yang ia dikawal dari luar oleh pihak-pihak tertentu.

Malah mereka yang berminat itu pun harus melakukannya dengan penuh adab dan menghormati satu sama lain.

Mereka perlu hargai kepelbagaian dan perbezaan pendapat dengan penuh harmoni sebagai proses pembelajaran agar dapat menjadi pemimpin yang terbuka, bersedia mendengar pendapat orang lain, ikhlas dan tahu matlamat perjuangan untuk pembangunan bangsa, agama dan tanah air serta mempunyai teras diri yang kuat dan jitu.

Berada dalam kampus dan menjalani kehidupan harian bersama anak-anak muda ini, jelas menunjukkan sebahagian besar mereka amat matang dalam tindakan kerana itu mereka marah dengan tindakan provokasi yang ada, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana menghormati dan bimbang menimbulkan masalah kepada diri dan universiti.

Jangan perlekehkan kematangan dan pemikiran siswa-siswi dan memandang rendah kemampuan anak-anak muda kerana sebahagian besarnya faham tujuan mereka berada di universiti dan ingin bersama-sama membudayakan ilmu untuk kepentingan masa depan negara dan dunia.

Anak-anak muda di universiti memerlukan sokongan untuk menyiapkan diri dalam pembangunan ekonomi negara secara kreatif dan inovatif, malah berusaha keras untuk menjadi creator dan pembekal bukan lagi peminjam dan terus bergantung hidup kepada orang lain dengan melahirkan siswazah yang berupaya berfikir, berdikari dan sedia untuk bekerja di mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia.

Apa yang terjadi sekarang ini mengganggu apatah lagi tatkala siswa-siswi sedang berhadapan dengan peperiksaan dan mempunyai agenda lain yang jauh lebih penting. Jangan heret anak-anak muda ini dalam kancah konflik dan krisis yang tidak perlu.

Demonstrasi hanya jalan singkat dan mudah yang menguntungkan mereka yang bergembira di sebalik kemusnahan dalam kekalutan pelbagai pihak untuk menanganinya dalam mengekalkan kesejahteraan kampus mahu pun negara seluruhnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan Vokasional Perlukan Perubahan Besar & Segera - Muhyiddin


BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera. Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

"Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, Jumaat.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 denganmelihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Katanya, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

"Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

"Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan," katanya.

Muhyiddin berkata, di negara-negara tersebut, para pelajar diberi pilihan untukmengikuti pendidikan vokasional pada umur 14 tahun lagi.

Malah, katanya, di negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, kemasukan pelajar yang mengambil aliran itu di peringkat menengah atas turut menjangkau 40 hingga 60 peratus.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Selain itu, katanya, program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) juga dibentuk bertujuan memberi pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak 'hands on' dan berasaskan pekerjaan dari peringkat menengah rendah lagi sehingga ke tahap Kolej Vokasional (KV) atau Institusi Latihan Kemahiran Awam (LLKA) dan Swasta (ILKS).

Katanya, bagi merancakkan transformasi pendidikan vokasional, sebanyak 15 buah sekolah menengah vokasional di setiap negeri telah dinaik taraf mejadi KV rintis pada tahun ini.

"Dengan terlaksananya transformasi ini, maka aliran vokasional tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana pelajar-pelajar yang keluar nantiadalah pekerja mahir yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan melalui lima strategi merangkumi transformasi kurikulum pendidikan vokasional; transformasi institusi pendidikan vokasional; kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri; transformasi pentaksiran pendidikan vokasional dan transformasi organisasi pendidikan vokasional.

Katanya, kementerian juga menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama antara institusi latihan PAV dan KV dengan industri bagi memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan untuk menempuhi alam pekerjaan yang sebenar.

"Hari ini termeterai perjanjian persefahaman di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan 11 rakan strategik iaitu industri, agensi awam, swasta serta IPTA dan IPTS. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat," katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan konsep 5S yang berasal dari Jepun iaitu sisih, sapu, susun, seragam dan selalu amal perlu menjadi budaya dalam pengurusan tempat kerja terutamanya di bengkel-bengkel dan pejabat bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan pengurusan kerja yang lebih teratur.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan Sijil 5S kepada lapan buah sekolah teknikal dan vokasional. - BERNAMA

NOTA HUJUNG :

Berikut ialah ‎15 Kolej Rintis untuk tahun 2012


1. Sekolah Menengah Vokasional Arau - KOLEJ VOKASIONAL
2. Sekolah Menengah Vokasional Sungai Petani 1 - KOLEJ VOKASIONAL
3. Sekolah Menengah Vokasional Balik Pulau - KOLEJ VOKASIONAL
4. Sekolah Menengah Vokasional Seri Manjung - KOLEJ VOKASIONAL
5. Sekolah Menengah Vokasional Shah Alam - KOLEJ VOKASIONAL
6. Sekolah Menengah Vokasional (ERT) Setapak - KOLEJ VOKASIONAL
7. Sekolah Menengah Vokasional Datuk Seri Mohd Zin - KOLEJ VOKASIONAL
8. Sekolah Menengah Teknik Dato' Lela Maharaja - KOLEJ VOKASIONAL
9. Sekolah Menengah Vokasional Kluang - KOLEJ VOKASIONAL
10. Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah - KOLEJ VOKASIONAL
11. Sekolah Menengah Vokasional Pengkalan Chepa - KOLEJ VOKASIONAL
12. Sekolah Menengah Vokasional Kuala Terengganu - KOLEJ VOKASIONAL
13. Sekolah Menengah Vokasional Labuan - KOLEJ VOKASIONAL
14. Sekolah Menengah Vokasional Beaufort - KOLEJ VOKASIONAL
15. Sekolah Menengah Vokasional Kuching - KOLEJ VOKASIONAL