Selasa, 10 Januari 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Masuk universiti bukan sekadar untuk lulus periksa


Apa sebenarnya tujuan seseorang individu belajar di Universiti? Tentunya dari segi falsafah pengajian tinggi, hasrat utama ialah mencari dan menguasai ilmu, untuk melakukan perubahan dalam pemikiran dan amalan sebagai orang yang berilmu dan berupaya membuat sebarang pertimbangan dalam hidupnya menggunakan ilmu yang berasaskan pengetahuan mendalam terhadap bidang dan disiplin yang dipelajarinya di bilik kuliah secara formal atau dalam persekitaran yang tidak formal.

Orang yang berilmu tidak membuat keputusan dan bertindak sewenang-wenang mengikut emosi dan telunjuk orang lain. Dia tidak akan membiarkan perasaan marah, kekaguman terhadap karisma seseorang atau faktor apa-apa yang didengari mahu pun diketahui daripada maklumat yang tidak lengkap atau separuh masak sebagai asas dalam membuat keputusan atau melakukan tindakan. Ini bermakna apa-apa juga keputusan dibuat terhadap kehidupannya semata-mata berasaskan fakta, walaupun fakta itu mungkin tidak selari dengan pandangan peribadinya.Oleh itu, perkara asas yang perlu difahami seseorang siswa atau siswi ketika melangkah ke universiti, haruslah bermula dengan memahami makna universiti dan ilmu yang dicarinya, tujuan mencari ilmu dan matlamat terhadap apa yang dicarinya.

Ini berkait rapat dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras kepada falsafah Pendidikan Tinggi Negara iaitu ‘suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan bertujuan untuk melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara’.

Sekali gus kita dapat mengaitkan dengan matlamat pendidikan tinggi untuk melahirkan siswazah yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menggunakan pengetahuan kepada amalan, berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi (berfikiran analitikal dan kritikal dan berupaya berkomunikasi dengan baik. Ini bermakna, siswa-siswi yang melalui proses pendidikan di universiti bukan saja menjadi individu yang baik atau insan yang berdaya saing dari segi penguasaan ilmu pengetahuannya dan mempunyai peribadi yang holistik, berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dengan pemikiran yang luas dan terbuka, beramanah, beretika dan sentiasa mempunyai nilai moral yang tinggi.

Sedangkan masyarakat secara umumnya mempunyai persepsi mudah bahawa universiti adalah tempat untuk anak muda kita mendapat segulung ijazah dan mempunyai boleh pasaran yang tinggi apabila mereka tamat pengajian, lalu dapat memasuki sektor pekerjaan dengan gaji dan pendapatan yang lumayan sebagai satu kayu ukur kejayaan sistem pengajian tinggi kita. Apabila gagal mendapat pekerjaan ia dianggap satu kegagalan. Bekerja sendiri, memulakan perniagaan kecil-kecilan, menjadi petani dan pengusaha atau yang seumpamanya, tidak dianggap sebagai cukup berjaya. Apatah lagi untuk menghargai kreativiti dan inovasi serta minat terhadap sesuatu bidang sebagai asas utama untuk mencapai kejayaan. Disebabkan itu agaknya sesetengah siswa-siswi mengambil mudah tugasnya di universiti, iaitu sekadar lulus peperiksaan, mendapat ijazah dan bekerja.

Sampai masanya persepsi ini ditukar jika kita mahu anak muda ini benar-benar memahami tujuannya berada di universiti. Bahawa mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran masa depan dalam dunia tanpa sempadan, k-ekonomi, masyarakat berilmu atau knowledge society dan pelbagai lagi yang datang bersekali dengan proses globalisasi yang sekarang makin kurang diberi perhatian dan tidak dilihat sebagai ancaman.

Anak muda kita harus dididik bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menguasai ilmu dan mengubah landskap pengajian tinggi mahu pun ekonomi di negara ini. Bahawa ilmu yang dicari dan dikuasai adalah untuk mereka berfikir dan melakukan perubahan pada masa hadapan serta bersedia pula mengambil peluang dalam dunia tanpa sempadan, yang bukan lagi terikat di bawah tempurung semata-mata.

MOHAMAD ABDULLAH, Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Apa makna sebenar sekolah?


Setiap tahun, di samping cuti panjang, yang akan menjadi tumpuan adalah sesi persekolahan dan sesi tahun 2012 sudah bermula. Dalam kerancakan membeli pakaian, kasut dan beg sekolah, ada juga dalam kalangan ibu bapa dan penjaga berlumba-lumba mencari bahan bacaan, dan tidak kurang yang cuba mendapatkan guru tuisyen terbaik untuk anak mereka.

Yang berada di Tahun 6, pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); sudah pasti merasa bahangnya bukan saja diri sendiri tetapi ibu bapa yang mahu memastikan mereka mendapat keputusan terbaik dengan gred A sahaja.

Apakah makna sekolah sebenarnya? Adakah sekolah merupakan hanya tempat untuk mendapat gred terbaik atau ia sebenarnya merupakan penginstitusian tersohor melahirkan modal insan yang bukan hanya mencari ilmu tetapi turut menampilkan kreativiti dan kebolehan di samping menerokai nilai karakter keperibadian mulia. Apakah guru hanya menjadi cikgu yang mengajar ataupun sebagai 'pendidik'?

Iqra atau 'bacalah' merupakan tuntutan yang barangkali mahu melentur pembentukan insaniah yang berwajahkan akidah dan akhlak serta memenuhi acuan individu yang bersifat menyeluruh yang antaranya melibatkan peranan 'Cikgu' yang merupakan ungkapan yang amat mulia. Dalam wadah pendidikan, jasa dan sumbangan warga pendidik terhadap negara dan masyarakat amat besar. Guru menjadi ejen yang membina, melahir dan melentur generasi yang ada untuk kesinambungan negara-bangsa.

Guru juga berperanan memastikan sekolah menjadi lokasi paling disukai pelajar dan murid. Dahulu, ramai suka dan mahu terus berada di sekolah walaupun berhadapan dengan guru yang garang tetapi ia diimbangi dengan sikap ambil tahu dan menganggap murid seperti anak sendiri walau dari pelbagai latar belakang manakala bagi ibu bapa, guru adalah 'dewa ilmu' anugerah Tuhan yang tahu baik buruk untuk anak mereka. Maka guru diberi 'lesen' melakukan apa sahaja ke atas anak mereka kerana percaya guru komited ke atas ilmu; guru mahu memastikan sekurang-kurangnya murid mempunyai asas membaca, mengira dan menulis.

Inilah realiti alam sekolah kerana sukar mengharapkan kesemua pelajar akan mempunyai kecekapan dan kebolehan yang sama tetapi guru yang cekal serta gembira mengajar dan sentiasa mahu berada di sekolah kerana komitmen menjadi pendidik yang bukan sekadar sebagai satu 'pekerjaan' tetapi 'ibadah'.

Pelajar harus memahami makna sekolah tanpa merasa terpaksa ke institusi ini atau mahu diucap 'terima kasih' kerana hadir ke sekolah. Murid dapat memudahkan tanggungjawab guru jika memahami tanggungjawab dan peranan sebagai pelajar dan memberi maksud ke atasnya. Sekolah merupakan tempat pembinaan budaya ilmu dan pembudayaan negara bangsa dan aspirasi ini akan dapat dijiwai dengan mudah jika proses pengajaran dan pembelajaran tidak dianggap sebagai 'pilihan' atau 'paksaan'.

Jika ada yang menjadi guru kerana tidak ada 'pilihan', wajar imbas semula peranan guru mereka sendiri satu ketika dahulu dan bagaimana kesungguhan guru ketika itu yang memberi keutamaan kepada proses pemurnian sekolah itu sendiri. Barulah, cabaran dalaman dan luaran dapat diatasi dengan mudah kerana motivasi, keazaman dan kesungguhan memahami perkembangan alam sekolah; menguasai subjek dan pedagogi; menguasai teknologi terkini sebagai nilai tambah kepada kreativiti dan inovasi serta memiliki keyakinan yang membolehkan kepercayaan dilahirkan ke atas guru dan murid.

Alam sekolah yang kondusif turut memerlukan fungsi pentadbir yang tidak mengejar kedudukan peratusan kelulusan semata-mata tetapi percayalah mereka akan turut dihormati sekiranya mendahulukan pelajar yang terpinggir dan murid yang terkandas atau tercicir dalam pelajaran.

Mereka juga mahu didalami dan difahami bukan dimarahi tetapi memberi petunjuk dan menjadi idola sepanjang hayat mereka kemudiannya. Ramai yang berjaya hari ini bukan sekadar bergantung kepada ilmu tetapi tunjuk ajar guru yang menjadikan mereka 'manusia' dengan didikan berterusan tanpa mengira penat-lelah.

Guru sebegini harus diberikan pengiktirafan oleh pentadbir sekolah supaya mereka tahu dihargai. Pada zaman 1960-an dan 1970-an, profesion guru dianggap yang paling mulia kerana tanggungjawab sebagai pendidik. Mereka dihormati kerana sanggup mendaki gunung tinggi, menyusuri lurah bukit serta berpayung dalam hujan dan berkayuh basikal berbatu jauhnya semata-mata menjalankan tanggungjawab sebagai guru yang komited dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berilmu.

Sebagaimana kata arwah Usman Awang, jika hari ini ada Perdana Menteri berkuasa; Raja menaiki takhta; Ulama yang mulia, Presiden sebuah negara; Peguam menang bicara; Penulis terkemuka; sejarahnya adalah bukan sahaja dari keluarga tetapi alam sekolah yang menjadikan mereka dewasa dan diajar penerapan akhlak mulia.

Bermakna, pelajar yang bermasalah juga memerlukan perhatian supaya tidak berkecenderungan membantut dan menamatkan hayat pembelajaran murid yang merupakan penjana wawasan dan misi negara. Jika murid itu gagal, kesemua pihak terbabit iaitu ibu bapa, guru, sekolah, media, rakan sebaya, persekitaran atau individu itu sendiri memilih untuk melakukan kesalahan bertanggungjawab. Alam sekolah hanya bermakna jika masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas untuk membangunkan seseorang murid.

Malahan, alam sekolah tidak sewajarnya membebankan. Subsidi berterusan diberikan oleh pihak berwajib dan baucar tuisyen dan kemudahan lain boleh diperhebatkan melalui pelbagai mekanisme agar pelajar tidak menjadikan ia sebagai alasan tidak mahu merasai alam sekolah.

Bagaimana pelajar yang tidak berkemampuan dapat menyesuaikan diri dengan persaingan yang diwujudkan oleh guru dan harapan serta tuntutan ibu bapa jika sekiranya tidak bermakna kepadanya sehingga berkecenderungan untuk melahirkan pelajar yang inferior ke atas prestasinya akibat ketiadaan dayatahan pertembungan dengan pelajar yang berkemampuan.

Kita tidak boleh membiarkan pelajar yang berkemampuan terjerumus dalam kancah pertarungan yang memberi kepentingan bertunjangkan kepada materialisme pemilikan wang ringgit. Budaya pencapaian pelajar yang sebenarnya berkemampuan dari segi akal-fikirannya tetapi menjadi mangsa kerana berada dalam kepompong keluarga berpendapatan rendah tidak boleh dikompromi.

Alam sekolah dicorakkan oleh guru, murid, pentadbir, ibu bapa dan kita sebagai anggota masyarakat. Jika murid gagal, kita juga bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut sebagaimana kita merasa mahu berkongsi kejayaan mereka. Memperkasakan alam sekolah adalah tanggungjawab bersama dan memartabatkan ilmu, kemahiran dan kebolehan juga adalah tanggungjawab bersama.

Saya berterima kasih kepada alam persekolahan yang berbeza-beza baik di Tanjung Malim mahupun Kuala Lumpur kerana tanpanya dan keberkatan ilmu, pedoman dan ajaran mereka, tidak mungkin kegagalan boleh membawa pancaran sinar baru dalam kehidupan.

Kepada yang melangkah masuk dan sudah berada di persimpangan, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dengan diberkati mereka yang ada di sekeliling anda, berikanlah sekolah makna dalam hidup anda.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 9 Januari 2012

ISU BAHASA : Kebangkitan baru penulis muda


HARI ini kegiatan kesusasteraan Melayu bukan menjadi hak monopoli golongan elit kerana sasterawan sudah mencapai taraf "menopous" dalam kegiatan kreatif. Mereka cuma menggilap karya-karya mereka di zaman lampau dengan segala mimpi kehebatannya.

Kononnya karya-karya mereka itulah yang menjadi mercu tanda puncak mutu karya sastera yang teragung. Inilah mimpi yang mereka abadikan dalam keuzuran mereka untuk terus menerus bergiat secara serius di bidang ini.

Kini karya penulis muda membanjiri pasaran sebagai bahan bacaan dengan novel-novel yang ditujukan kepada para pembaca golongan belia khasnya. Mereka menggarap dunia remaja dengan segala percintaan, kegagalan, harapan dan kekecewaan yang segar dalam lingkungan hidup mereka. Anda anggap karya-karya itu sebagai karya picisan, tidak bermutu sastera? Anda mencemuh mereka dan menganggap mereka bukan sasterawan tulen?

Jangan sekali-kali merendahkan sumbangan mereka. Mereka mengisi keperluan bacaan generasi yang lebih hebat konflik kehidupan dari era 1960-an sewaktu para penulis mengisi kemiskinan karya-karya sastera yang bermutu pada waktu itu. Bukankah pada era 1960-an karya-karya Yahya Samah seperti Perahu Kecil Belayar Malam yang meneroka dunia keghairahan seks mendapat sambutan hangat dari masyarakat pembaca?

Pada era 1960-an lahirnya Salina karya A. Samad Said, Patah Sayap Terbang Jua (A. Samad Ismail), Krisis (Alias Ali), Terdedah dan Menteri (Shahnon Ahmad) dan beberapa buah karya besar dari pena Arenawati, Abdullah Hussein, S Othman Kelantan dan sebagainya. Banyak penerbit Melayu muncul untuk memperkenalkan karya-karya sastera dan penerbit-penerbit kecil inilah yang menyuburkan kegiatannya.

Gerakan


Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memainkan peranan aktif di bidang sastera walaupun karya-karya sastera seperti novel tidak banyak diterbitkan. Namun infrastruktur pembinaan kegiatan sastera dan budaya menjadi kekuatan DBP apabila ia mengadakan gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pegawai DBP yang terkenal sebagai sasterawan seperti Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad dan lain-lain selalu menerima undangan untuk memberi ceramah sastera di serata pelosok tanah air.

Sekali air bah sekali pasir berubah. Kini penulis-penulis muda timbul seperti cendawan terutama sekali kalangan wanita. Mereka tidak mencari ilham dan petunjuk jalan dari sasterawan -sasterawan veteran yang hidup di mahligai mimpi. Sumber kekuatan kreatif mereka terletak pada kemampuan mereka berkarya menurut suara hati anak-anak muda yang menghadapi cabaran yang paling hebat dari angkatan lama. Mereka terdedah pada teknologi maklumat melalui facebook, twitter dan Internet yang tidak pernah menjadi sumber ilmu pada para penulis tahun-tahun 1960 dan 1970-an.

Tidaklah hairan kalau novelis muda mendapat perhatian khalayak pembaca yang lebih besar dari tahun 1960-an dan 1970-an. Ada penulis wanita yang memperolehi royalti lebih RM100,000 untuk sebuah novel yang dijual lebih dari 50,000 naskhah. Barangkali A. Samad Said dan Yahya Samah tidak memperolehi royalti sebanyak itu untuk sebuah novel ciptaan mereka. Jadi janganlah hairan kalau penulis muda ini menjadi kaya raya hanya dengan penulisan novel.

Mereka menghayati dunia mereka dan inilah sumber kekuatan mereka. Mereka tidak peduli nasib bangsa dan negara kerana konflik yang mereka hadapi, generasi mereka, adalah lebih bersifat peribadi sebagai manifestasi dari kehidupan anak-anak muda sekarang.

Justeru mereka tidak peduli apakah karya-karya mereka dianggap picisan. Persetan dengan kritik-kritik negatif seperti itu. Yang penting mereka mahu mengangkat persoalan kehidupan generasi muda sekarang dengan segala dukalara, mimpi-mimpinya, dengan segala kerinduannya.

Kepada para penulis muda jangan patah semangat kalau kalian dianggap sebagai penulis picisan. Terus berkarya dan menghasilkan sebanyak mungkin yang mampu dalam pengembaraan hidup sebagai penulis. Para peminat sastera menilai dan membaca karya-karya kalian kerana membicarakan isu-isu yang menyentuh hati nurani generasi muda kalian.

Tidak perlu anda menyangkut harapan dan bantuan dari badan-badan penulis. Anda menjadi terkenal sebagai penulis kerana karya-karya kalian, bukan sebagai ahli mana-mana badan penulis. Saya pernah memimpin PENA pada masa lalu tetapi tidak pernah mengharapkan PENA untuk membentuk jiwa saya menjadi penulis.

Idealisme

Kalian mempunyai wilayah pembaca yang lebih besar dari era 1960-an dan 1970-an. Kalian boleh hidup mewah dengan penulisan novel, dan teruskan kegiatan itu walaupun membicarakan soal percintaan anak-anak muda, hal rumah tangga dan idealisme orang muda. Belajarlah dari pengalaman hidup, tambahkan ilmu dan terus menerus membaiki mutu penulisan dan garapan anda.

Anda harus menghayati dan mengalami transformasi minda terlebih dulu dari masyarakat pembaca. Karya-karya kalian akan menjadi contoh terbaik untuk membuktikan bahawa kalian sebagai penulis, adalah pencetus idea-idea baru yang progresif.

Hari ini dunia sastera anda yang punya. Warnailah dengan segala kebijaksanaan anda sebagai penulis kreatif, tanpa malu dan segan untuk menyatakan hak anda sebagai penulis. Anda perlu membentuk sejarah anda sendiri dan bukan sejarah membentuk diri dan jiwa anda.

Oleh Yahaya Ismail

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Keputusan Muet Akhir Tahun 2011 Khamis Ini


KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysian University English Test (Muet) Akhir Tahun 2011 akan dikeluarkan Khamis ini, demikian menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pada Isnin.

Calon yang mendaftar di sekolah atau institusi boleh mendapatkan keputusan mereka dari sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi pada tarikh berkenaan manakala calon persendirian akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip MUET dan menghantarkannya ke 15888, mulai jam 12.01 tengah malam 12 Januari ini dan melalui 'online' dengan melayari portal MPM, www.mpm.edu.my mulai 9 pagi tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Seramai 93,869 calon telah menduduki ujian itu di 943 buah pusat ujian di seluruh negara.

Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan MUET mereka, boleh membuat rayuan semakan semula dengan bayaran sebanyak RM70 dan tarikh tutup rayuan ialah 27 Januari ini. - BERNAMA

Ahad, 8 Januari 2012

ISU SUKAN : Badminton Terbuka Korea - Chong Wei tewaskan Lin Dan


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Datuk Lee Chong Wei akhirnya menamatkan badi pertemuan dengan seteru utamanya, Lin Dan, apabila menang 12-21, 21-18, 21-14 dan menjuarai acara perseorangan lelaki Terbuka Korea, sebentar tadi.

Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama Chong Wei ke atas jaguh China itu selepas kali terakhir melakukannya All England, Mac lalu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 7 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : 2012 antara tahun terpanas


La Nina, pemanasan global punca suhu melonjak ke paras tinggi

LONDON: Tahun 2012 diramalkan akan menjadi antara 10 tahun yang paling panas dalam tempoh 160 tahun, sejak 1850, lebih panas berbanding tahun lalu.

Tahun ini juga dilaporkan bakal menjadi tempoh paling panas kali ke sembilan bagi India sejak 1901. Saintis kaji cuaca meramalkan, suhu pada 2012 adalah 0.48 darjah Celsius lebih panas berbanding purata suhu sepanjang tahun lalu.

Ketua jabatan ramalan cuaca Britain, Adam Scaife berkata walaupun 2010 direkodkan sebagai tahun ‘hangat’, 2011 menyaksikan fenomena La Nina yang kuat dan secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca antarabangsa.

“La Nina kembali semula. Walaupun ia tidak sekuat seperti awal tahun lalu, ia masih memberi pengaruh ke atas suhu pada tahun mendatang. Berikutan itu, kami meramalkan 2012 sebagai tahun yang lebih panas berbanding tahun lalu, tetapi tidak sepanas tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata, 2010 dilihat sebagai tahun paling panas di seluruh dunia dengan suhu berada pada paras 0.53 darjah Celsius melebihi paras biasa, disusuli tahun 2005, 1998, 2003, 2002, 2009, 2006, 2007, 2001 dan 2011. Pada 2001 dan 2011, suhu berada pada paras 0.41 darjah Celsius melebihi purata 14 darjah.

Setiausaha Pertubuhan Kaji Cuaca Dunia (WMO), Michel Jarraud berkata pengaliran gas rumah hijau ke atmosfera juga semakin bertambah, di sebalik pelbagai usaha dan kempen di seluruh dunia untuk mengurangkannya.

“Keadaan ini menyebabkan peningkatan suhu antara 2 hingga 2.4 darjah Celsius bagi purata suhu dunia. Saintis percaya ini akan menyebabkan perubahan besar kepada keadaan tanah, alam sekitar dan lautan,” katanya.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Meteorologi India, Dr Ajit Tyagi berkata suhu menjadi semakin tinggi sejak dekad lalu berikutan pemanasan global.

Bagaimanapun, ramalan terbaru mengenai suhu di India dijangka tidak membimbangkan negara itu, kerana di kebanyakan wilayahnya setakat ini, suhu berada pada paras hampir normal kecuali di Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Nagaland, Manipur, Mizoram dan Tripura yang berada pada paras satu darjah Celsius berbanding tahap biasa.

“Suhu yang lebih tinggi dijangka mempengaruhi angin monsun di India dan ini adalah sesuatu yang positif. Kami mungkin tidak menghadapi banjir buruk atau hujan yang terlalu lebat. Pada masa sama, masih terlalu awal untuk membuat ramalan, jadi pemantauan rapi terus dilakukan,” katanya. – Agensi

ISU UMUM : Asal usul kalendar


Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Objek astronomi seperti matahari atau bulan jadi penentu tarikh

SETIAP tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud.

Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan harian.

Sehubungan itu, sisipan RONA cuba mengimbau sejarah perkembangan kalendar dan peranannya dalam kehidupan manusia sempena kedatangan 2012.

Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.

Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.

Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.
Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.

Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.

Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.

Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.

Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Kalendar Gregorian

TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari.

Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.

Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.

Kalendar Islam

KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina

KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.

Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.

Kalendar Julian

KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi.

Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.


INFO


Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.

Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).

Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).

Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.


Kalendar sudah pupus

Kalendar Aztec

Takwim Maya

Takwim Positivist

Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582.

Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408.

Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.

Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/