Jumaat, 3 Februari 2012

ISU SOSIAL : Sabar penghalang penat, tekun pembawa dekat


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Sifat kerajinan terhasil menerusi usaha baik secara berterusan tanpa paksaan, arahan

RAJIN adalah satu perkataan pendek pada sebutan tetapi luas pengertian dan kesannya dalam kehidupan. Ia adalah sifat akhlak terpuji yang menjadi penentu kepada kebaikan, kejayaan, keimanan dan ketakwaan di dunia dan akhirat.

Saya terpanggil untuk mengupas sifat ini apabila mendengar luahan seorang pemandu teksi ketika berada di Jakarta. Melihatkan ramainya masyarakat Indonesia yang sibuk dengan pelbagai urusan termasuk yang paling ketara berniaga di jalanan, pemandu itu menyatakan satu sifat yang mereka perlu ada untuk meneruskan kehidupan ialah sifat rajin.

Desakan kehidupan juga menyebabkan sifat rajin menjadi sebati bagi mereka walaupun mengendalikan perniagaan secara kecil-kecilan dan hampir sama antara satu sama lain. Saya sangat tertarik dengan penjelasan ringkas pemandu itu.

Sememangnya sifat kerajinan menjelma melalui usaha baik secara berterusan, dengan sukarela dan kesungguhan tanpa paksaan atau arahan semata-mata. Peribahasa Melayu ada menyebut ‘sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat’ bermaksud seseorang yang sabar berusaha akan mendapat hasilnya.

Segala nikmat yang terbentang luas di muka bumi ini pun tidak akan dapat dinikmati tanpa kerajinan. Dengan adanya sifat rajin itulah, manusia dipilih menjadi khalifah Allah SWT memakmurkan muka bumi.

Bahkan jika diamati, rajin juga adalah benih yang membiakkan cabang nilai murni yang lain seperti berdisiplin, komited, tekun, profesional, cekap, kreatif dan inovatif. Dengan erti kata bahawa semua cabang nilai itu tidak akan tumbuh tanpa benih kerajinan.
Rajin bukan sekadar punca kejayaan material dan duniawi seperti kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan tetapi yang lebih utama adalah kejayaan dalam pegangan akidah. Ia termasuk dalam pelaksanaan hukum syarak khasnya ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan zakat.

Semua ibadat ini tidak tertunai tanpa adanya sifat rajin umat Islam dalam menunaikannya di kala susah mahupun senang. Dengan sebab itulah, ahli fiqah turut membincangkan hukum berdosa meninggalkan ibadat wajib dengan sengaja semata-mata kerana sifat malas.

Malah, untuk menambah dan memperbaharui iman juga memerlukan kerajinan hatta untuk membuang duri di jalanan. Justeru semua kebaikan yang terhasil daripada sifat rajin itu menjadikannya ibadat dan sedekah kepada pelakunya.

Sabda Rasulullah SAW bahawa setiap kebaikan itu adalah sedekah. Walaupun yang mendapat manfaat daripada hasil kerajinan kita adalah haiwan sekalipun. Sabda Rasulullah SAW, “Tiada seorang Muslim yang menanam apa jenis tanaman atau bercucuk tanam, lalu dimakan sebahagiannya oleh manusia atau haiwan ataupun sesuatu, melainkan ia menjadi sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam juga melarang kita daripada sifat malas melalui larangan gaya hidup dengan cara meminta-minta dan kebimbangan terjerumus ke lembah kekufuran kerana berada dalam kemiskinan dan kefakiran yang disebabkan oleh kemalasan berusaha.

Peringatan Rasulullah SAW bermaksud, “Hampir-hampir kefakiran itu membawa kekufuran.” (Riwayat Muslim). Dari aspek pekerjaan pula, masyarakat yang malas menjadi mundur dan negara tidak berjaya untuk dibangunkan menjadi negara maju. Lantaran Allah SWT berfirman agar selepas selesai melakukan kerja, maka ikutilah ia dengan kerja lain.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam mempamerkan nilai kerajinan holistik. Meliputi rajin beribadat, rajin bekerja dan rajin membantu masyarakat. Rasulullah SAW bersabda “Tiada seseorang yang lebih baik daripada mereka yang memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga mengajar sahabat untuk membaca doa bagi mengelakkan diri daripada malas iaitu “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan kesusahan, perasaan lemah dan malas, sikap bakhil dan penakut, hutang yang mengganggu fikiran dan orang yang menindasku.” (Riwayat al-Bukhari).

Saidina Umar Al-Khattab juga menganjurkan masyarakatnya untuk menjaga maruah diri melalui kerajinan.

Katanya, “Kalau aku melihat seorang pemuda tanpa pekerjaan, jatuhlah dia daripada pandangan mataku.”

Justeru, kerajinan boleh memberikan gambaran baik dan buruk sesuatu bangsa. Justeru, negara kita menjadikan pengalaman negara Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan sebagai contoh, khasnya dalam aspek kualiti kerja termasuk kerajinan, ketekunan dan disiplin melalui Dasar Pandang Ke Timur pada 1982.

Biasanya, kerajinan terbentuk apabila ada sesuatu habuan atau hajat yang ingin diperoleh. Seseorang rajin berdoa apabila dalam kesusahan atau masalah, rajin belajar apabila menghampiri tarikh peperiksaan, rajin bekerja apabila inginkan pangkat dan pendapatan.

Oleh itu, perlulah kita sentiasa meningkatkan kefahaman dan menyemarakkan jiwa dengan mewujudkan ‘persekitaran rajin’ melalui faktor ‘tolak-tarik’. Faktor tolakan termasuklah melalui galakan dan contoh amalan baik ahli keluarga dan rakan serta majikan melalui amalan kepemimpinan melalui teladan.

Sistem pemantauan, peraturan dan tindakan bagi yang gagal melaksanakan kerja boleh menjadi faktor tolakan untuk terus rajin dan tekun. Faktor tarikan pula ialah sistem ganjaran dan imbuhan, penghargaan, persekitaran kondusif termasuk dari aspek keselamatan, kebersihan, kemudahan tempat kerja, teknologi, hubungan sesama pekerja yang baik, kesihatan, sistem kerja yang teratur dan nilai yang didokong bersama dalam organisasi.

Kedua-dua faktor tolak-tarik ini boleh mewujudkan amalan bekerja dan mewujudkan budaya organisasi berasaskan kerajinan. Justeru, marilah kita berusaha memupuk budaya kerja dengan rajin kerana rajin itu mendekatkan kita kepada kejayaan dan ketakwaan sedangkan malas itu mendekatkan kita dengan kemunduran dan kekufuran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti tempatan perlu terus diperkasa


Oleh Dr Zakri Abdul Hamid

Langkah lahir modal insan berilmu, berkemahiran bantu transformasi negara

AMANAT Tahun Baru 2012 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 26 Januari lalu dengan slogan ‘Berfikiran global bertindak lokal’ adalah suatu ‘tour de force’ yang melakarkan wawasan beliau untuk mencetuskan anjakan paradigma dalam arena pengajian tinggi semasa.

Frasa ‘Berfikiran global bertindak lokal’ ini luas digunakan dalam konteks alam sekitar sejak 40 tahun lalu untuk menjelaskan betapa masalah pada peringkat sejagat atau serantau itu hanya boleh diselesaikan pada tahap setempat. Ia juga membawa maksud bahawa sebarang cabaran itu harus diteliti dari dua dimensi: Sejagat dan setempat.

Frasa ini mula digunakan oleh seorang rakyat Scotland, Patrick Geddes pada 1915 dalam merangka strategi sebagai seorang perancang bandar.

Mohamed Khaled percaya sikap sedemikian dalam kalangan ahli akademik dapat membantu transformasi negara melalui ‘pembinaan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi, penyelidikan yang bernas dan penghasilan inovasi berimpak tinggi’.

Empat agenda pokok yang boleh merealisasikan slogan ini ialah mewujudkan persekitaran baru kampus; membangunkan modal insan yang unggul dan syumul; meligatkan IPT sebagai hab inovasi dan memperagakan kredibiliti pengajian tinggi Malaysia di pentas dunia.

Unsur penting dalam agenda persekitaran baru kampus ialah pemberian autonomi kepada universiti tempatan, bermula dengan lima universiti yang tertua iaitu UKM, UM, UPM, USM dan UTM. Langkah ini amat dialu-alukan ahli akademik dan melambangkan keyakinan pihak kerajaan mengenai kematangan universiti tanah air dalam menangani isu kebebasan akademik dan daya urus sesebuah universiti itu.

Pemberian autonomi membabitkan governans, kewangan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik termasuk kemasukan pelajar memberikan peluang lima universiti di atas bergerak dengan lebih ampuh.

Bagaimanapun, keistimewaan yang dianugerahkan ini juga menuntut akauntabiliti tinggi, dalam erti kata sebarang kelekaan di mana-mana universiti berkenaan tidak boleh dikaitkan dengan kekangan peraturan pentadbiran kerajaan.

Adalah diharapkan dengan autonomi, universiti di tanah air akan lebih berupaya menaikkan kewibawaan dan tahap kecemerlangan mereka setanding dengan universiti terkemuka dunia.

Tatkala membincangkan modal insan syumul dan unggul, amat menarik apabila Mohamed Khaled berhujah bahawa dalam memastikan kejayaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), sudah tidak memadai menghasilkan modal insan semata-mata tetapi graduan ini mestilah padat dengan ilmu dan berkemahiran tinggi dan disematkan pula dengan semangat untuk terus berkhidmat di negara ini dan tidak berhijrah keluar.

Menteri Pengajian Tinggi juga menyarankan pembelajaran dan pengajaran di IPT wajar berpaksikan kepada falsafah ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan menyelesaikan masalah semalam.’ Ini memerlukan orientasi semula kurikulum pra dan pascasiswazah dengan menyisipkan konsep pendidikan liberal dan multidisiplin. Pendekatan sedemikian mampu menghasilkan graduan mempunyai keupayaan berfikir lebih terbuka, kritis dan mampu melihat persoalan negara dan cabaran global dari pelbagai sudut.

Sesungguhnya ini sesuatu pendekatan segar dan selari dengan apa yang telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh universiti terkemuka di negara maju. Cabaran masa kini begitu kompleks, misalnya masalah perubahan iklim atau pembangunan mapan, hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan yang multidisiplin dan rentas sektor.

Sempena 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional, Mohamed Khaled menggesa agar universiti memainkan peranan utama dalam penciptaan, pembangunan dan penyebaran inovasi. Namun demikian, beliau mengakui pada hari ini masih terdapat kekangan ketara membantutkan usaha melonjakkan inovasi dalam sains dan teknologi.

Bidang sains kurang menarik minat pelajar. Sejak 2007 peratus pelajar sekolah mengambil jurusan sains terus merudum sehingga 29 peratus pada 2012. Trend ini berterusan ke tahap universiti. Pembelajaran sains dianggap sukar dan membosankan dan seterusnya kerjaya sains digambarkan sebagai sesuatu yang kurang menarik dan tidak menguntungkan.

Sains harus ditonjolkan sebagai asas teknologi dan inovasi, dan inovasi ialah kunci transformasi ke negara maju dan kemakmuran rakyat. Beberapa langkah telah dicadangkan oleh menteri termasuk menawarkan biasiswa peringkat PhD dalam bidang sains tulen, penyediaan infrastruktur penyelidikan bersesuaian di universiti tempatan, penubuhan syarikat terbitan universiti untuk memindah-kan hasil penyelidikan ke industri dan laluan kerjaya sains yang jelas dan pelbagai. Kerjasama lebih erat dengan industri akan dijalinkan melalui penubuhan pusat kecemerlangan industri (ICoE).

Komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkukuh kedudukan sains di negara ini, agenda yang juga menjadi fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu disokong semua pihak. Langkah KPT yang dilakarkan di atas adalah pakej padat untuk menyokong strategi dan pelan tindakan yang gigih diusahakan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan dan Agensi Inovasi Malaysia.

Penulis ialah Pengerusi Majlis Profesor Negara dan Penasihat Sains Perdana Menteri

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Jadikan Nabi Muhammad sebagai sumber ikutan


Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

ESOK umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun, tujuan Maulidur Rasul bukanlah untuk mengingati keputeranaan baginda semata-mata tetapi perkara paling penting ialah ingatan dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mestilah dizahirkan dalam bentuk mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi yang mulia itu. Nabi Muhammad SAW adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu.

Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda.

Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri).

Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah.

Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua.

Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masyarakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial.

Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya.

Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak.

Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah.

Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kemas kini Borang Permohonan Matrikulasi sesi 2012/2013 dibuka


KUALA LUMPUR: Borang Permohonan Matrikulasi bagi sesi 2012/2013 akan dibuka selama 15 hari bermula 6 Februari hingga 20 Februari ini bagi tujuan kemas kini maklumat tambahan.

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkata pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang mengisi borang permohonan melalui internet diminta mengemas kini maklumat tambahan melalui laman web KPM Bahagian matrikulasi di http://apps.moe.gov/permohonanmatrikulasi/kemaskini.

Pelajar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan atau angka giliran SPM, kata kenyataan bahagian itu di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Matrikulasi di talian 03-88844083/ 4036/ 4040 dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada waktu bekerja. - Bernama

Khamis, 2 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan bola di Mesir, 74 maut


PORT SAID 2 Feb. - Sejumlah 74 orang terbunuh apabila para penyokong bertindak masuk ke padang dan bertempur sejurus selepas berakhirnya satu perlawanan bola sepak di Mesir, malam tadi.

Para peminat dan ahli politik menuduh tentera yang memerintah gagal mencegah insiden paling berdarah selepas Presiden, Hosni Mubarak disingkirkan pada Februari tahun lepas.

Sekurang-kurangnya 1,000 lagi cedera dalam keganasan itu, selepas peminat bola sepak menceroboh masuk ke padang di bandar pelabuhan Mediterranean ini, sekalipun pasukan tempatan, al-Masry menewaskan pasukan pelawat dari Kaherah, Al Ahli iaitu kelab paling berjaya di Mesir.

Penyokong kedua-dua pasukan masuk ke padang, sebaik-baik perlawanan tamat dan bertindak menyerang satu sama lain, mencetuskan panik di kalangan penonton yang lain.

Kebanyakan mangsa mati terpijak dalam rempuhan penonton yang tergesa-gesa hendak keluar dari stadium, sementara sebilangan lagi terjatuh atau tercampak dari tangga, kata saksi dan pekerja kesihatan.

Siaran televisyen merakamkan sesetengah anggota keselamatan di stadium tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang peminat masuk ke padang, malah seorang pegawai keselamatan kelihatan bercakap di telefon mudah alihnya ketika peminat membanjiri padang.

Tokoh politik mengecam kelonggaran kawalan keselamatan pada perlawanan itu dan menuduh para pemimpin tentera menjadi punca tragedi tersebut.

Pertubuhan Islam yang mendominasi Parlimen, Ikhwan Muslimin mendakwa, tangan 'yang tidak kelihatan' mendalangi keganasan itu.

"Jatuhkan pemerintahan tentera," laung beribu-ribu penduduk Mesir di stesen kereta api utama di Kaherah, di mana mereka menemui peminat yang pulang daripada insiden yang sifatkan oleh seorang menteri sebagai keganasan bola sepak terburuk di negara ini.

Fil Marsyal Mohammed Hussein Tantawi, 76, yang mengetuai Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata, mengambil langkah luar biasa untuk menghubungi sebuah stesen televisyen, dan berikrar untuk menjejaki mereka yang terlibat dalam keganasan itu.

Tentera mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari, manakala Parlimen dijadual mengadakan sidang tergempar lewat hari ini bagi membahaskan keganasan itu. - REUTERS

ISU PENDIDIKAN : Lambakan 13,000 guru Sains, Matematik


Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my


Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain

TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.

“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula.

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Pemikiran rasional perbaiki kesihatan mental


AJARAN dalam agama Islam mewajibkan setiap umatnya mempercayai perkara-perkara berkaitan Sam'iyyat, iaitu alam ghaib, seperti kehidupan alam roh, kewujudan jin dan syaitan, kewujudan syurga dan neraka, serta sebagainya.

Mempercayai kewujudan unsur-unsur ghaib seperti ini sebenarnya merupakan asas kepada rukun Iman.

Antara lain, tujuannya memberi panduan dan pedoman kepada umat Islam agar dapat terus menuju ke jalan yang lurus dalam kehidupan dan bukannya ke jalan menyesatkan.

Ia sewajarnya dapat membentuk aktiviti dan tingkahlaku dalam menjalani kehidupan secara lebih baik dan dipenuhi dengan limpahan kebaikan dan rahmat, berpandukan kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan mempelajari ilmu duniawi, atau ilmu yang tidak secara khusus berkait dengan ilmu al-Quran. Contohnya seperti ilmu statistik dan matematik, atau perubatan, farmasi, kemasyarakatan seperti sosiologi dan komunikasi.

Dalam sejarah dan tamadun Islam juga terdapat beberapa tokoh ulama dan ilmuan tersohor Islam yang merupakan pengasas kepada ilmu moden seperti Ibnu khaldun di bidang sosiologi, Ibnu Sina dalam sains perubatan dan kesihatan mental, Al Khawarizmi yang pakar dalam astronomi, pakar matematik Al Razi dan lain-lain.

Hakikat ini menggambarkan kepada kita bahawa mempelajari dan menguasai ilmu moden yang bersifat saintifik dan empirikal adalah satu ajaran Islam dan tidak salah jika mempelajarinya serta bukannya menyeleweng dari ajaran Islam atau membawa kepada kesesatan. Namun secara umumnya, pemikiran saintifik dan empirik seperti ini dilihat semakin jauh dari kehidupan umat Islam pada masa kini.

Mempelajari sains dan memiliki cara berfikir yang saintifik dan empirik dalam kehidupan adalah dua perkara berlainan. Seseorang yang mempelajari sains mungkin ada kecenderungan menilai dan memerhati kehidupan berdasarkan kepada fakta dan hujah kukuh, merangkumi dan menjangkaui kaedah berfikir dalam konteks sebab dan akibat.

Namun keadaan ini tidak semestinya berlaku. Ini bergantung kepada sejauh mana matlamat matapelajaran sains itu dihayati dan bagaimana ia diatur dan disampaikan yang akhirnya menentukan kegagalan atau kejayaan dalam membentuk individu atau masyarakat yang berfikiran saintifik.

Begitu juga pemikiran saintifik dan empirik akan terbentuk jika mereka dididik sejak awal lagi dengan kaedah pemikiran seperti itu dan dijadikan cara menilai kehidupan dan berfikir tentang kejadian alam di sekitar mereka. Kesan langsung dari pemikiran saintifik dan empirik ini akhirnya melahirkan individu atau masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan objektif.

Pemikiran secara rasional pula merupakan persepsi dan pemikiran seseorang individu yang menilai dan melihat kehidupan dari sudut yang mempunyai asas dan fakta yang kukuh dan logik serta boleh diterima oleh akal yang waras dan sihat. Dalam Islam, pemikiran rasional pula wajar untuk tidak melangkaui batasan syariat.

Pemikiran seperti ini menerima sesuatu perkara itu sebagai fakta jika ada hujah atau bukti di belakangnya yang boleh ditentukan tahap kesahihannya. Pemikiran rasional akhirnya membawa kepada cara berfikir yang positif dan realistik dalam diri seseorang.

Sebaliknya, pemikiran yang tidak rasional terhasil apabila individu itu menilai peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya bukan berdasarkan kepada fakta dan bukti kukuh. Mungkin ia disandarkan hanya kepada cakap kosong di belakang, atau kerana hasutan, gosip dan terpengaruh kepada fitnah, yang sememangnya tiada asas dan bukti yang kukuh.

Bahkan, mereka ini tidak pun berusaha menyelidiki kebenaran dan kesahihan bukti yang wujud di sebalik sesuatu maklumat. Akhirnya, ia membawa kepada kecelaruan dan kekacauan pemikiran yang menjejaskan pemikiran rasional sehingga mewujudkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik. Amalan ini akhirnya membawa padah yang amat buruk dalam hidup mereka.

Maka itu Islam menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang berita yang kita terima dari sesiapapun dan pastikan kesahihannya dahulu sebelum mempercayainya.

Kita sering terdengar ungkapan bahawa diri kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikirkan kegembiraan, maka kita akan berasa gembira. Dan jika kita fikirkan kesedihan, maka kita akan menjadi sedih, serta mungkin akan terus menangis. Menangis adalah hasil pemikiran kita kerana kita berasa sedih, dan ia adalah satu reaksi yang normal dan mudah, bukan sesuatu yang misteri. Mungkin ada individu yang mudah menangis walaupun tidak berasa sedih, atau ada mereka yang menangis tidak tentu masa, malah ada yang menangis sepanjang masa.

Ini juga dapat dirungkaikan secara saintifik, dan ditangani secara mudah secara saintifik juga. Masalah akan timbul jika melihat reaksi menangis tanpa kawalan diri itu sebagai satu misteri, dan akan terus menjadi misteri kerana penjelasan reaksi menangis itu juga berunsur misteri. Begitu juga, jika kita menilai diri sendiri sebagai seorang yang sakit, negatif dan lemah, maka kita tidak akan dapat merasai nikmat kesihatan sepenuhnya.

Bahkan, jika kita sering berfikir secara tidak rasional, maka kehidupan tidak dilihat sebagai realistik dan logik. Segala yang berlaku adalah misteri, dan tiada hujah atau fakta yang dilihat boleh berdiri kukuh sebagai bukti di sebaliknya.

Pemikiran yang dilingkungi misteri sering menjadikan kepercayaan berunsur tahyul dan khurafat, bahkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik sebagai sumber dalam kehidupan, sama ada sebagai sumber rezeki atau pun sumber hiburan. Pemikiran seperti ini percaya bahawa perjalanan dan segala aktiviti dalam kehidupan ditentukan dan dipengaruhi oleh aspek-aspek tersebut dan ia seperti sesuatu yang lama wujud dan menjadi sebati.

Kepercayaan bahawa perjalanan hidup ditentukan oleh pantang-larang dan tahyul serta khurafat secara jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam dan ia boleh membawa kepada amalan syirik. Malah, ia juga tidak membantu memiliki tahap kesihatan mental yang baik. Begitu juga, pemikiran negatif dan tidak realistik turut menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan mental seperti penyakit kebimbangan, kemurungan, ketagihan, penyalahgunaan bahan, konflik dan perseteruan.

Bagaimana pemikiran yang negatif dan tidak realistik mendatangkan masalah kesihatan mental dan apakah jaminan bahawa orang yang berfikiran positif dan realistik itu mempunyai tahap kesihatan mental yang baik? Ini memang tidak dapat dinafikan lagi dan sudah terbukti sebagai satu prinsip atau hukum alam, malah pemikiran logik pun akan mengiakannya kerana kita ialah apa yang kita fikirkan dan kita akan melakukan apa yang kita fikirkan itu.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/