Khamis, 23 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Akhlak buruk runtuhkan peradaban bangsa


Pandangan IKIM

KEMAJUAN dan tamadun yang tinggi merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh semua bangsa. Pembinaan tamadun atau peradaban bangsa tidak boleh berlaku secara sekelip mata dan ia merupakan suatu proses yang memakan masa.

Mengekalkannya juga bukan tugas mudah. Kekuatan dalam aspek pertahanan negara, ekonomi dan politik merupakan asas dan elemen utama untuk membina dan mengisi peradaban itu sendiri.

Bangsa yang terjajah walaupun menikmati kemajuan secara fizikal masih tidak boleh dianggap sebagai bangsa yang berperadaban kerana kedaulatan serta maruah bangsa dan negara adalah prasyarat dalam pembentukan sesebuah negara.

Peradaban dan tamadun merupakan nikmat sekali gus amanah yang perlu dipelihara, dipertahankan dan dikekalkan tanpa noktah masa. Di sinilah letaknya peranan akhlak yang sewajarnya menjadi teras kepada pembinaan tamadun, yang juga menjadi kubu pertahanan kepada pembangunan fizikal walaupun ia hanya dapat dilihat dan disentuh oleh mata hati.

Gaya hidup moden sebahagian daripada tanda bertamadunnya sesebuah bangsa atau negara. Namun, jika akhlak tidak dijadikan sebagai amalan dan darah daging, maka kemajuan fizikal boleh rosak dan mereput dari dalam.

Rasuah, pecah amanah, penipuan adalah contoh-contoh perilaku yang berupaya merosakkan isi kepada tamadun. Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas, bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh tanpa mengambil masa yang lama. Sedangkan kubu pertahanan dan tembok yang melindungi kota Melaka amat kukuh dan ampuh. Malah dikhabarkan juga tahap persenjataan dan kekuatan tentera kesultanan Melayu Melaka juga bukan calang- calang hebatnya.

Kekuatan dalam aspek fizikal sebenarnya masih tidak boleh dibandingkan dengan kesetiaan rakyat dengan sepenuh hati terhadap pemimpin dan juga negaranya. Dan itulah yang berlaku pada empayar Melaka lebih lima abad yang lalu. Bukan disebabkan rapuhnya tembok dan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi adalah disebabkan wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan mengadu-domba.

Walaupun tragedi malang ini terbalas dengan hukuman bunuh terhadap mereka, tetapi ia belum cukup untuk membayar kerugian yang terpaksa diterima oleh bangsa dan kesultanan Melayu secara keseluruhannya. Pengkhianatan ini menyebabkan harga diri bangsa Melayu menjadi murah, kedudukan mereka direndahkan dengan penjajahan yang berlaku sehingga beratus-ratus tahun lamanya.

Faktor sama juga adalah antara penyebab kepada keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyah walaupun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang menyebabkan keruntuhan tersebut berlaku. Pemimpin yang sangat leka pada hal-hal keduniaan dan pemabuk, pegawai dan pembesar yang gilakan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan peribadi termasuk menyelewengkan kuasa dan rasuah, merupakan contoh anasir atau agen yang menyebabkan kebobrokan negara berlaku dari dalam.

Yang lebih malang lagi mereka tidak menjaga sistem ketenteraan dan pertahanan mereka dengan serius. Pemilihan dalam barisan pimpinan ketenteraan tidak disaring mengikut tradisi yang mengutamakan potensi dan kualiti, tetapi lebih kepada pertimbangan dan budi bicara.

Kronisme yang berlaku di peringkat yang lebih rendah juga lebih merapuhkan kubu pertahanan. Antaranya memberi kenaikan pangkat kepada anak-anak pegawai atasan yang secara langsung menafikan individu lain yang lebih layak dan memiliki disiplin dan kemahiran ketenteraan yang tinggi.

Bukan itu sahaja, hiburan dan arak lebih mendapat tempat dan sebaliknya, masjid- masjid menjadi lengang tanpa majlis-majlis ilmu, dakwah dan kerohanian. Malah, mereka lebih memberi tempat kepada perkara- perkara yang khurafat dan orang agama bersikap tidak komited terhadap ajaran al-Quran dan Sunah.

Akhlak adalah salah satu komponen yang terkandung dalam agama Islam selain akidah dan syariah. Peranan akhlak amat penting sehinggakan antara tujuan undang-undang digubal adalah untuk menjaga akhlak manusia.

Sebagai agama yang sempurna dan melihat akhlak sebagai sebahagian daripada nyawa bagi kelangsungan kehidupan manusia secara teratur dan harmoni, maka agama Islam telah meletakkan adab dan akhlak dalam setiap dimensi kehidupan manusia.

Bermula dengan akhlak hamba dengan Penciptanya, kemudian akhlak manusia dengan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, sehinggalah kepada akhlak terhadap negara dan persekitaran individu, agama Islam telah mengajar manusia bagaimana untuk hidup secara berakhlak. Malah, agama Islam turut mengajar umatnya menunaikan hak selain manusia seperti binatang, pokok dan bahagian- bahagian bumi ini sebagai sebahagian daripada akhlak dan adab Islamiah.

Jika setiap individu memahami fungsi akhlak dalam kehidupan dan mengamalkannya, nescaya setiap orang akan dapat hidup dengan aman dan setiap pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Seterusnya, pembangunan kebendaan dapat dibina dengan penuh integriti.

Individu yang berakhlak juga bukan sahaja tidak akan menjadi punca kegelisahan orang lain tetapi dengan akhlak yang baik turut menggambarkan jati diri yang kukuh. Inilah pengajaran yang diperlihatkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang tegas menolak tawaran pihak Yahudi yang berjanji untuk memberikan wang 150 juta pound sterling emas sekiranya baginda bersetuju dengan permohonan pihak Yahudi untuk membentuk negara mereka di Palestin.

Rumusannya, akhlak baik yang diamalkan oleh tiap individu dan rakyat akan membantu kelangsungan pembangunan negara membina peradaban. Selanjutnya akan memastikan peradaban bangsa terus kekal kelangsungannya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,

Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan

Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Remaja dan etika dunia siber


Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

ISLAM menganjurkan umatnya supaya sentiasa teliti, bercakap benar dan menjaga maruah orang lain. Terdapat banyak perintah Allah dalam al-Quran supaya manusia menjaga amal dan lidah agar tidak terjerumus dalam perselisihan faham yang menyesatkan daripada syaitan.

Ini seperti dinyatakan dalam surah al-Israk ayat 53. Dalam surah Al-Hujurat ayat 10 hingga 12. Allah juga menegaskan bahawa perdamaian, bersangka baik dan mengelakkan gelaran buruk pada orang lain adalah sesuatu yang menjadi ikutan orang mukmin.

Ini diperkuatkan lagi dengan sepotong hadis yang berbunyi, daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. (riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Anjuran Allah dan rasul ini memang bertepatan dengan senario pada hari ini. Ledakan teknologi maklumat membawa kepada tumbuhnya laman-laman berita dan sosial, forum dan blog.

Ia semakin meresap dalam budaya serta hidup seharian terutamanya remaja. Suatu berita atau cerita boleh disampaikan dengan pantas dan mudah dicapai, walaupun kandungannya tidak diketahui sumber dan kebenarannya.

Penulisan blog dan laman sosial misalnya, adalah satu medium yang hampir di luar kawalan.

Maklumat yang diambil daripada tulisan para penulis blog amat rapat hubungannya dengan binaan persepsi.

Persepsi boleh menyebabkan salah faham dan juga kesimpulan terhadap sesuatu secara tidak tepat.

Sememangnya persoalan persepsi adalah isu yang amat berkait dengan etika. Etika mesti dipelihara demi kebaikan masyarakat dan supaya blog atau seangkatan dengannya lebih dihormati.

Justeru, terdapat dua keperluan utama disini, iaitu etika dalam menyampaikan maklumat serta etika dalam menerima maklumat.

Dalam tradisi Islam, persepsi perlu didukung dengan ilmu, data dan fakta yang benar. Tanpa asas itu, persepsi akan lebih bersifat sensasi. Isu persepsi di zaman teknologi maklumat amat penting didukung dengan etika yang murni.

Sebelum seorang penulis blog memberi reaksi terhadap sesuatu tulisan atau pendapat, ia harus memiliki daya analitis yang tinggi supaya manfaat analisisnya menyumbang kepada agama dan pemikiran dan ilmu.

Bayangkan maklum balas yang diberikan berasaskan emosi yang melulu dan sensasi yang tinggi, ia bakal menjadi sampah sarap yang tidak boleh meningkat akal budi insan.

Kecenderungan ini semakin popular di kalangan sesetengah penulis blog yang tidak beretika menyebabkan tulisan dalam blog tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Etika yang tinggi bermaksud pendapat yang diutarakan bukan sahaja bernas, tepat, tetapi dalam masa yang sama diolah dengan bahasa yang beradab.

Pentingnya persepsi diperkukuhkan dengan maklumat benar kerana terdapat pelayar-pelayar blog mula membentuk pendapat awam dan menarik perhatian mereka untuk mengambil sikap serupa.

Jika persepsi itu tidak benar, hanya berasaskan khabar angin, maka mereka terlibat sama dalam melakukan fitnah terhadap orang lain.

Terdapat pandangan bahawa ruang blog setiap orang adalah kebebasan mutlaknya dan adalah haknya untuk menyatakan apa sahaja yang disukai.

Namun sebagai orang Islam yang beriman, kita perlu sedar bahawa setiap pendapat mestilah disokong dengan bukti dan asas yang bernas kerana secara umumnya penulis bertanggungjawab terhadap apa yang mereka tulis.

Apabila pelayar-pelayar blog yang tidak mempunyai daya saring yang tinggi, maklumat-maklumat yang lemah dan tidak berasas tentu diterima bulat-bulat dan ini bakal mengundang persepsi.

Secara tidak langsung, apabila menjadi persepsi, ia mula membentuk sikap, watak malah keputusan.

Justeru di sini kita melihat kepentingan penulis blog menulis dengan etika dan rasa kebertanggungjawaban yang tinggi.

Sebabnya, banyak kerosakan akan timbul dari maklumat yang salah dan tidak jelas. Pentingnya maklumat yang benar dan rasa ketuhanan menjadi sandaran setiap penulis blog supaya kesannya membawa manfaat dan meningkatkan khazanah ilmu kepada orang lain.

Sumber :http: //www.utusan.com.my/

Rabu, 22 Februari 2012

ISU EKONOMI : Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu


Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim

BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.

Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.

Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.

Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.

Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak antikekayaan, malah kuat probisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak antiharta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.

Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.

Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke-20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?

Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya-Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Banyak ketawa boleh menyebabkan manusia lupa diri


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama baginda di medan peperangan.

Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” (Surah at-Taubah, ayat 82).

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.
Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa ialah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran itu, Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan seperti terbahak-bahak sehingga mengganggu orang lain, maka ia lebih mengundang perkara negatif.

Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri ialah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan. Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Malaysia di landasan capai sasaran ETP


Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my


Pelaburan langsung asing cecah RM32.9 bilion


MALAYSIA menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM32.9 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Ia adalah peningkatan sebanyak 12.3 peratus berbanding RM29.3 bilion yang diterima pada 2010.

Perkilangan muncul sebagai sektor sasaran utama FDI itu, merangkumi 50.1 peratus daripada jumlah yang diterima, diikuti perkhidmatan (27.3 peratus), perlombongan dan kuari (22.2 peratus) serta pertanian, perhutanan dan perikanan (0.4 peratus).

Prestasi itu adalah sejajar dengan hasil kaji selidik Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Malaysia yang meletakkan Malaysia sebagai antara negara penerima FDI tertinggi bagi tempoh 2011 hingga 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jumlah pelaburan keseluruhan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama sepanjang tahun lalu turut menyaksikan peningkatan kukuh, iaitu 40.7 peratus kepada RM148.6 bilion membabitkan 4,964 projek, dengan jangkaan menyediakan peluang pekerjaan baru sebanyak 149,496.

“Ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap persekitaran perniagaan di Malaysia. Pencapaian ketara itu juga menunjukkan Malaysia berada pada landasan untuk mencapai sasaran pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya pada sidang media mengumumkan Prestasi Pelaburan Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Mustapa berkata, sejajar dengan strategi kerajaan, pelaburan domestik terus mengatasi FDI dengan menguasai 55.4 peratus atau RM82.3 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan, manakala pelaburan asing sebanyak 44.6 peratus atau RM66.3 bilion.

Bagi sektor perkilangan katanya, ia terus menunjukkan aliran pemulihan dengan menyaksikan 846 projek bernilai RM56.1 bilion diluluskan tahun lalu, iaitu peningkatan 18.8 peratus daripada RM47.2 bilion pada 2010.

Beliau berkata, jumlah itu turut melepasi RM28.6 bilion atau 104 peratus daripada sasaran purata pelaburan tahunan sebanyak RM27.5 bilion yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) bagi tempoh 2006 hingga 2020.

“Projek yang membabitkan pelaburan asing berjumlah RM34.2 bilion atau 61 peratus, manakala pelaburan domestik berjumlah RM21.9 bilion mencakupi 39 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lalu,” katanya.

Industri elektrik dan elektronik terus mendominasi aliran kemasukan pelaburan, diikuti produk logam, peralatan pengangkutan, produk kimia, dan perkilangan makanan.

Subsektor itu merangkumi RM44.7 bilion atau 79.7 peratus daripada jumlah projek yang diluluskan.

Mustapa berkata, Jepun, Korea, Amerika Syarikat, Singapura dan Arab Saudi adalah sumber tertinggi bagi FDI dalam projek sektor perkilangan yang diluluskan, iaitu berjumlah RM22.5 bilion, atau mewakili 65.8 peratus.

Mengenai prospek kemasukan FDI bagi 2012 ini, beliau menegaskan, ia diunjurkan seiring dengan arah aliran global yang dijangkakan meningkat kepada AS$1.7 trilion.

“Malaysia dijangka mampu mengekalkan kemasukan FDI seperti dicatatkan pada 2011, walaupun dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu kerana 72 peratus daripada FDI yang diterima adalah dari negara Asia,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan swasta juga dijangka meningkat kepada RM110 bilion tahun ini daripada RM94 bilion tahun lalu, didorong pelaburan domestik yang kukuh khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 21 Februari 2012

ISU UMUM : 20 Tahun 'Pergi', Sudirman Masih Tiada Pengganti


Oleh NIEZAM ABDULLAH

PETALING JAYA: Hari ini (Rabu) bersamaan 22 Februari 2012, genaplah 20 tahun pemergian Sudirman Hj Arshad, penghibur nombor satu Asia. Beliau pergi meninggalkan kita ketika berusia 37 tahun.

Biarpun jasadnya sudah tiada, namanya tetap terpahat di sanubari terutama sekali kepada mereka yang pernah membesar ketika zaman kegemilangan beliau.

Berita kematian Allahyarham diumumkan ke seluruh negara oleh Radio Malaysia Rangkaian Nasional, pada satu pagi, waktu subuh.

Ia amat mengejutkan seluruh peminat tanah air. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak percaya akan berita yang didengar itu.

Dan ternyata, pemergian Allahyarham sehingga kini masih tiada penggantinya. Tiada insan yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham.

Beliau bukan sahaja penghibur tetapi boleh diumpamakan sepohon rendang yang lebat buahnya.

Pohon itu menjadi tempat bertaut dan tempat untuk menumpang teduh kerana sifat Allahyarham yang gemar menolong. Malah kebaikan beliau sering digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengambil kesempatan.

Penulis lirik dan juga penerbit filem Habsah Hassan antara individu yang amat akrab dengan Allahyarham.

Lirik-lirik lagu yang dihasilkan oleh Habsah biasanya mempunyai makna tersirat menggambar hati naluri Allahyarham.

Habsah dalam diri Sudirman bagaikan kakaknya sendiri. Segala masalah di kongsi termasuklah kisah-kisah peribadi.

“Dia antara artis yang benar-benar rapat dengan saya. Dia tidak pernah menyembunyikan kisah peribadinya selain selalu meminta nasihat saya jika berhadapan dengan apa juga masalah.

Sudirman mengadakan sidang media selepas menjadi penghibur nombor satu Asia pada tahun 1989.

“Saya benar-benar sayangkan dia kerana dia adalah anugerah Tuhan yang amat luar biasa sekali,” ujar Habsah kepada mStar Online dalam satu temu bual sebelum ini.

Allahyarham adalah manusia yang amat istimewa dan antara artis contoh yang bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya tetapi dalam pelajaran.

Beliau dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang dan membesar dalam keluarga yang aktif berpolitik menerusi Umno.

Ibunya Romlah Dahalan merupakan wakil rakyat wanita pertama di kawasan Temerloh. Beliau meninggal dunia ketika Sudirman berusia lima tahun.

Kematian ibunya itu menyebabkan bapanya Arshad Hassan berkahwin lain sebelum meninggal dunia pada tahun 1978.

Anak bongsu daripada enam beradik ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 1976 sehinggalah berjaya mendapat ijazah dalam bidang berkenaan pada tahun 1980.

Beliau menjalani latihan amalan guaman pada tahun 1984 dan layak menjadi peguam bertauliah. Namun minatnya dalam bidang seni menyebabkan Allahyarham meninggalkan kerjayanya itu.

Sejarah dalam bidang seni Allahyarham terbuka luas apabila beliau berjaya menyandang Johan Bintang RTM yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976.

EP pertamanya dihasilkan pada tahun 1977 berjudul Teriring Dosa dan Suratku Yang Ini terbitan Warnada Records. Ia diterbitkan ketika beliau masih lagi menjadi penuntut di Universiti Malaya.

Kerjayanya seninya terus berkembang apabila EMI menawarkannya kontrak sebagai artis rakaman pada tahun 1978.

Beliau bukan sahaja mempunyai lagu-lagu yang menyentuh jiwa sebaliknya Allahyarham turut berkeupayaan menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan.

Paling membanggakan pada tahun 1986 Allahyarham dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan apabila berjaya mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat yang dijadikan tema Tahun Melawat Malaysia pada 1986.

Gegarkan Chow Kit

Kehebatannya tidak terhenti apabila mampu menjadi artis pertama negara dalam sejarahnya yang berjaya menarik lebih 100 ribu warga kota untuk menyaksikan konsertnya di Chow Kit, Kuala Lumpur secara percuma.

Penghasilan konsert itu adalah sebahagian daripada keluhuran budi Sudirman yang sanggup melayan peminatnya tanpa mengira pangkat atau darjat.

Chow Kit adalah simbol untuk mereka yang kurang berkemampuan dan di lokasi itulah Allahyarham memperdagangkan bakatnya untuk para peminat golongan tersebut supaya dapat mendekatinya dalam satu persembahan percuma.

Chow Kit dipenuhi kira-kira 100 ribu orang yang mahu menyaksikan persembahan Sudirman pada tahun 1986.
Kemuncak keagungan Allahyarham apabila beliau diumumkan sebagai Penghibur Asia Terbaik, Asia Popular Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengalahkan lapan peserta negara Asia termasuk Anita Sarawak yang mewakili Singapura.

One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown menjadi tuah kepadanya dalam pertandingan itu.

Sementara menerusi pertandingan Juara Lagu pada tahun 1987, Sudirman memenangi persembahan terbaik dengan lagunya Merisik Khabar apabila tampil menggunakan pemetik api sebagai simbolik dalam persembahan itu.

Runtuhnya Istana Cinta


Seperti insan lain, Sudirman juga mahu memiliki keluarga dan memilih tarikh 14 Februari 1981 untuk mendirikan rumah tangga dengan Kamariah Jamaluddin tetapi sayangnya, mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa memiliki anak.

Penceraian itu disaksikan oleh rakan Sudirman sendiri iaitu penyanyi Norkumalasari yang menyifatkan suasana sayu menyelubungi perpisahan itu apabila pasangan tersebut tidak dapat membendung tangisan air mata tatkala cerai dilafazkan.

Dua perkara yang benar-benar menyentuh hati Sudirman dalam hidupnya iaitu kematian ibu tersayang dan kegagalan perkahwinan yang dibina.

Bukan Kerana HIV

Kematian Sudirman dikaitkan dengan pelbagai spekulasi sehinggalah ada pihak yang membuat tuduhan kononnya beliau dijangkiti HIV.

Allahyarham sebenarnya meninggal dunia akibat penyakit paru-paru yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna selain turut dikaitkan dengan penyakit misteri.

Malah Habsah Hassan dan juga wartawan veteran Utusan Malaysia, Bahyah Mahmod antara individu yang diberi peluang menatap jenazah Allahyarham pada hari kematiannya.

Imej Jalur Gemilang begitu sinonim dengan Sudirman ketika membuat persembahan.
Kata Habsah , tubuh Allahyarham begitu kecil seperti seorang kanak-kanak. Mungkin atas sebab itulah dia enggan gambarnya dirakamkan sewaktu sedang sakit kerana tidak mahu peminatnya meratapi ujian yang dihadapi itu.

Sudirman bagaikan sudah mendapat petanda dia sebenarnya tidak boleh hidup lama. Lagu Salam Terakhir yang ditulis oleh Manan Ngah sementara lirik oleh Habsah itu menggambarkan yang dia akan pergi buat selama-lamanya.

Kemuncak kejatuhan Allahyarham dalam kerjaya seninya bermula pada 17 Julai 1991 apabila dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Tawakal, Kuala Lumpur selama empat hari selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh.

Selepas peristiwa itu, Sudirman sukar dijejaki apabila keluarganya merahsiakan lokasi tempat beliau mendapatkan rawatan.

Selama tujuh bulan peminat tertanya-tanya ke manakah hilangnya Allahyarham, akhirnya persoalan itu terjawab apabila beliau dilaporkan meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya, Datin Rudiah Arshad di Lucky Garden, Bangsar Park.

Dalam suasana pilu, jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Ribuan peminat menziarahi jenazah Allahyarham termasuklah Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Kejayaan Allahyarham dalam dunia seni sehingga berjaya mengharumkan nama negara membuatkan beliau dikurniakan pingat kebesaran Darjah Johan Mangku Negara oleh yang Dipertuan Agong pada tahun 1992 yang membawa gelaran Datuk.

Sudirman, engkau pergi meninggalkan nama bersama jasa yang akan dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Pengamal bahasa Melayu sambut baik penguatkuasaan syarat perlesenan baru stesen radio


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Penggunaan bahasa Melayu dengan tepat sebagai syarat lesen bagi kesemua 56 stesen radio termasuk swasta mulai tahun depan mendapat reaksi positif pengamal bahasa tersebut.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan berkata, keputusan tersebut adalah wajar bagi memastikan Dasar Bahasa Kebangsaan terlaksana khususnya dalam bidang media.

"Syarat ini dilihat penting dalam memastikan kandungan program yang disiarkan media elektronik menggunakan sekurang-kurangnya 80 peratus bahasa kebangsaan berbanding 60 peratus yang ditetapkan garis panduan sebelum ini.

"Selain itu, syarat ini juga memastikan mutu bahasa yang digunakan lebih teratur, sistem nilai dan budaya lebih luhur di samping mengelakkan penggunaan bahasa kesat, kasar dan tidak santun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat sebagai syarat lesen kepada stesen radio mulai tahun depan.

Sementara itu, Ketua Media Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Borhan Md. Zain berpendapat, satu jawatankuasa penguatkuasaan yang berperanan untuk memantau penggunaan bahasa bagi siaran di media cetak dan elektronik perlu ditubuhkan.

"Daripada pemantauan Gapena, terdapat banyak kesilapan penggunaan bahasa telah dilakukan oleh beberapa stesen radio dan televisyen terutamanya dari segi terjemahan sarikata.

"Justeru, dengan adanya jawatankuasa itu nanti, badan ini boleh memantau sekali gus mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu ke arah yang lebih baik dan telus," katanya.

Tambah Borhan, sebagai negara yang menjadikan bahasa Melayu pengantara, masyarakat perlu lebih peka dengan susunan tatabahasa agar generasi muda tidak keliru dan mewarisi penggunaan bahasa yang betul.

"Di samping itu, Gapena juga mencadangkan supaya Lembaga Penapisan Filem menempatkan seorang pakar bahasa Melayu untuk memantau penggunaan bahasa dan tatabahasa dalam sesebuah filem atau drama sebelum disiarkan kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Bakar berkata, usaha yang dilakukan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu memerlukan sokongan ramai kerana peranannya penting dalam menyatupadukan rakyat dan sekali gus mampu membina sebuah negara yang merdeka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/