Ahad, 4 Mac 2012

ISU AGAMA : Nikmat yang didusta?


Oleh : Maulana Ariff

SETIAP hari umat Islam diwajibkan membaca surah al Fatihah 17 kali yang merupakan rukun solat lima waktu. Dua kali ketika baru celik mata pada waktu Subuh, empat waktu Zohor, empat Asar, tiga Maghrib dan empat lagi sebelum tidur ketika solat Isyak.

Antara yang diungkapkan melalui al Fatihah ialah ayat yang bermaksud ''segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam." Ia adalah ucapan kesyukuran di atas segala kurniaan-Nya.

Terlalu banyak kurniaan Allah Yang Maha Pemurah (Ar Rahmaan) kepada kita manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Sebab itulah Allah memperingatkan manusia melalui firman-Nya yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar Rahmaan yang bermaksud: '' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya, A Doctor In The House turut mencatatkan salah satu rahmat besar yang disyukurinya setiap hari. Katanya, anda akan gembira jika setiap kali bangun tidur anda menghitung nikmat yang telah diperolehi.

Bagi seorang yang telah melalui dua kali pembedahan jantung dan masih cergas pada usia menjangkau 87 tahun, Mahathir mencatatkan dalam memoirnya: ''Bagi saya, masih hidup ketika bangun tidur adalah satu rahmat yang besar, baik dulu, apatah lagi sekarang."

Maka bersyukurlah anda ketika membaca tulisan hamba ini, kerana anda masih hidup. Nyawa adalah satu kurniaan yang besar kepada setiap manusia. Katakan anda mempunyai wang RM10 juta, datang malaikat hendak mencabut nyawa anda. Lalu diberikannya anda alternatif, jika tidak mahu dicabut nyawa, sedekahkan segala wang RM 10 juta itu kepada fakir miskin. Sudah pasti anda akan melakukannya dengan rasa senang hati.

Di sebalik banyak jasa dan amal soleh yang telah dilakukannya, Mahathir tetap gembira dan bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan usianya. Kebanyakan manusia telah mensia-siakan hidup mereka dan tidak bersyukur.

Kesyukuran hendaklah dilahirkan bukan sahaja dengan melafazkan kata-kata ''alhamdulillah," tetapi mestilah juga dijelmakan dalam bentuk perbuatan. Selain mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, orang Islam dituntut melakukan amal soleh, iaitu kebaikan kepada makhluk lain yang dikerjakan dengan ikhlas semata-mata atas prinsip kerana Allah.

Kebanyakan manusia lazimnya bersyukur hanya apabila dikurniakan sesuatu yang bersifat duniawi. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana naik pangkat, ada kerana anak dapat 10 A dalam peperiksaan SPM, ada yang kerana perniagaan menjadi-jadi dan pelbagai lagi.

Dalam erti kata lain, kebanyakan manusia hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu yang akan memberikan kehidupan dunia yang lebih selesa. Mereka terlupa atau tidak menyedari bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.

Sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda bahawa kemiskinan boleh menyebabkan manusia menghampiri kekufuran. Ertinya, kesusahan disebabkan kemiskinan itu boleh menyebabkan mereka tidak bersyukur. Mereka tidak bersyukur kerana lupa bahawa terlalu banyak nikmat lain yang Allah telah kurniakan kepada mereka.

Mereka lupa bahawa ada tujuh perkara yang Allah kurniakan istimewa kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), irodat (kehendak), ilmu, hayat (nyawa), pendengaran, penglihatan dan kalam (keupayaan berkomunikasi).

Kudrat yang Allah kurniakan kepada manusia sangat luar biasa berbanding makhluk lain di bumi. Manusia yang berbadan kecil boleh meruntuhkan gunung, boleh mendirikan bangunan pencakar langit, boleh terbang di angkasa dengan pesawat udara, boleh menyelam ke dasar laut dengan kapal selam dan pelbagai lagi yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk lain di bumi.

Disalah guna

Begitu juga dengan irodat atau kehendak, manusia telah mencipta pelbagai alat untuk keselesaan hidup. Malah manusia telah mencipta pesawat untuk naik ke bulan, dan kalau boleh ke planet-planet lain pula. Begitu besarnya kehendak manusia, tidak padan dengan saiz badan mereka.

Ilmu yang dijana oleh akal manusia dibentangkan Allah seolah-olah tanpa sempadan. Setiap detik ada sahaja perkara baru yang diterokai. Manusia juga mempunyai hayat yang istimewa. Dengan ilmu yang dikurniakan, manusia boleh 'menyambung nyawa' dengan pelbagai kaedah perubatan termasuk pemindahan organ.

Pendengaran dan penglihatan manusia juga lebih hebat daripada makhluk yang lain. Dengan bantuan alat teknologi, manusia boleh melihat dan mendengar sesuatu yang sedang berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya di tempat lain. Televisyen memancarkan siaran langsung kejohanan sukan atau menyiarkan peristiwa menarik di tempat jauh dalam masa sebenar.

Kalam manusia lebih hebat. Mereka kini boleh berkomunikasi dari jauh dengan pantas dan mudah melalui telefon dan komputer. Malangnya kalam yang Allah kurniakan itu disalahgunakan untuk memfitnah dan menggugat kesejahteraan orang lain, masyarakat dan negara.

'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Tetapi manusia lekas lupa. Mereka jarang sangat berpuas hati, apatah lagi bersyukur. Yang kaya mahu bertambah kaya. Yang cantik mahu bertambah cantik. Yang berpangkat mahu naik ke pangkat yang lebih tinggi. Yang berpangkat tinggi mahu naik ke paling tinggi. Apabila yang dihajati belum dicapai, mereka gelisah dan keluh-kesah. Mereka marahkan orang lain dan tidak pernah nampak kesalahan sendiri.

Disebabkan tiada sekelumit rasa bersyukur, akhirnya mereka mudah melakukan perbuatan yang dilarang untuk mencapai hajat yang didorong oleh nafsu tidak terkawal dan hasutan syaitan yang membisik di hati mereka.

Yang celik mata pun terlupa betapa bernilainya penglihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Katakan datang malaikat hendak menutup penglihatan mata mereka kerana mereka tidak bersyukur, apakah reaksi mereka? Orang yang mempunyai wang RM10 bilion pun akan cuba merasuah malaikat dengan segala harta kekayaannya untuk menjamin penglihatan dikekalkan.

'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Maka kepada kita yang melafazkan ''segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam'' sekurang-kurangnya 17 kali sehari, janganlah hanya bersyukur di bibir. Bersyukurlah dengan hati dan perbuatan. Bersyukurlah dengan mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersyukurlah dengan melakukan amal soleh terhadap makhluk-makhluk yang lain. Sembahlah Allah sepanjang masa, bukan hanya di atas sejadah.

Jika kita tidak bersyukur sebagaimana yang dikehendaki-Nya, itulah tanda kita tidak beriman. Janganlah sekadar Islam, tapi tidak beriman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Puting beliung terus landa Amerika


Hubungan darat di Indiana, Kentucky terputus, 29 terbunuh sejak kelmarin

HENRYVILLE: Puting beliung melanda beberapa bandar kecil di Indiana dan menyebabkan kawasan luar bandar di Kentucky terputus hubungan ketika musim awal puting beliung di Amerika Syarikat menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh, manakala angka kematian dijangka meningkat.

Ribut petir ganas yang sudah diramal jabatan kaji cuaca sejak beberapa hari lalu, mula terbentuk di Pantai Teluk dan Tasik Besar, mencetuskan berpuluh-puluh puting beliung.

Bencana alam itu memusnahkan sepenuhnya beberapa kawasan perumahan menjadi padang jarak padang tekukur, meruntuhkan menara pemancar telekomunikasi, menumbangkan tiang elektrik dan menghumbankan kereta, bas sekolah, traktor dan treler ke jalan raya, menyebabkan perhubungan darat terputus.

Di Kentucky, anggota Pengawal Kebangsaan dan polis tempatan bertungkus-lumus melakukan kerja mencari mangsa yang masih hilang dan dikhuatiri terperangkap.


DI Indiana, pihak berkuasa meredah jalan gelap akibat terputus bekalan elektrik bagi meninjau kawasan perumahan di beberapa kejiranan yang musnah sama sekali.

“Kami tidak akan dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum hari menjelang siang. Buat masa ini kami akan melakukan segala yang terbaik,” kata Syerif kawasan Clark County, Indiana, Mejar Chuck Adams.

Di Henryville, bandar kecil dengan 2,000 penduduk di utara Louisville, Kentucky, anggota penyelamat meredah jalan yang dipenuhi sampah sarap sambil membawa troli berisi makanan dan air untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis membuat rondaan di bandar yang musnah dengan hanya beberapa bangunan masih bertahan, manakala semua sekolah di bandar itu musnah.

“Saya kehilangan semuanya. Dulu kawasan ini cantik, sekarang semuanya sudah tiada,” kata seorang penduduk Andy Bell, ketika beliau membantu seorang rakan di bengkel kenderaannya yang rosak.

Tidak jauh dari situ sebuah bas sekolah terperosok ke dalam sebuah restoran, manakala sebuah kerusi tersangkut di pintu sebuah kereta.

Seorang lagi penduduk, Susie Renner, 54, berkata beliau melihat dua puting beliung membadai Henryville selang beberapa minit antara satu sama lain. Puting beliung pertama berwarna cokelat akibat dipenuhi sisa sampah, manakala yang kedua berwarna hitam.

“Saya seorang pengkaji dan pemburu puting beliung, tetapi saya tidak pernah berasa begini takut seumur hidup saya,” katanya.

Puting beliung kelmarin melanda hanya dua hari selepas ribut kencang mengorbankan 13 orang di Barat dan Selatan Amerika. Menjelang jam 10 malam, perkhidmatan kaji cuaca mengeluarkan 269 amaran puting beliung, sedangkan hanya 189 amaran dikeluarkan sepanjang Februari. – AP

Sabtu, 3 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Siri Dialog Pendidikan Nasional Diadakan Mulai April


Oleh Junita Rasid, Azidan Nahar dan Farid Noh
bhjb@bharian.com.my


Nilai semula sistem pendidikan untuk lahir rakyat berilmu

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan memulakan siri Dialog Pendidikan Nasional mulai bulan depan, bagi mendapatkan pandangan pelbagai peringkat masyarakat untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dialog itu sebahagian daripada kajian menyeluruh yang dimulakan sejak tahun lalu, bagi menilai semula sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat melahirkan rakyat terdidik dengan ilmu berkualiti.

“Sudah banyak kemajuan kita capai tetapi dalam dunia penuh saingan dan kompetitif ini, kita mahu melihat semula apa yang kita lakukan terhadap sistem pendidikan, kelemahan dan kekurangan yang dihadapi, apa yang perlu untuk menambah baik mutunya.

“Kita akan anjur Dialog Pendidikan Nasional bulan depan, bagi mendapatkan apa jua pandangan, cadangan dan idea pemikiran daripada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan yang mewakili mereka yang berkepentingan. Kita akan pergi ke semua negeri dan mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak dalam Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata sesiapa saja termasuk persatuan, pertubuhan dan organisasi boleh mengemukakan cadangan atau memorandum kepada panel dialog itu selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didukung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dialog yang akan mengambil masa beberapa bulan hingga akhir tahun ini bagi memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan cadangan masing-masing dalam pelbagai bidang untuk penilaian.

“Kita mahu rakyat sama ada Cina, Melayu, India atau di Sabah dan Sarawak supaya tampil ke depan mengemukakan pandangan sistem yang boleh dibaiki, apa perkara perlu ditokok tambah, diubah atau perkara berkaitan dasar, program, baik dalam pembelajaran dan pengajaran, kokurikulum dan soal guru di peringkat nasional, negeri atau daerah, ” katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 Batu Anam, Muhyiddin berkata Kolej Komuniti wajar menjadi tonggak dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat terbesar kerana ia berpotensi membantu melonjakkan ekonomi negara.

Katanya, dasar komprehensif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenalkan kerajaan mengandungi strategi efektif, menyeluruh dan bersesuaian dengan peranan Kolej Komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, satu daripada Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 yang dilancarkan tahun lalu, dirangka dengan objektif menjadikan PSH sebagai satu gaya hidup masyarakat bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mendalam.

“Dalam konteks ini, Kolej Komuniti dipertanggungjawabkan sebagai hab PSH dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan berfokus kepada program seperti latihan perantis untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar akademik yang tinggi,” katanya.

Selepas majlis perasmian itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) semalam.

Ketika berucap merasmikan Karnival Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Ke-10 penubuhannya, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan membuat pembaharuan terhadap Akta Syarikat supaya bercirikan perundangan korporat yang dinamik dengan mengambil kira keperluan semasa dan situasi akan datang.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta kompetitif di negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 1 Mac 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Satu jenayah jika manipulasi data peribadi


KUALA LUMPUR - Ramai pengguna telefon bimbit merungut apabila menerima panggilan telefon atau teks pesanan ringkas (SMS) daripada pihak yang tidak dikenali untuk sesuatu perkhidmatan termasuk insurans, pinjaman bank dan kad kredit.

"Ada yang tawarkan promosi percutian percuma yang bersyarat. Perlu hadir taklimat selama 30 minit sebelum ditawar pakej percutian beribu-ribu ringgit. Minta kad kredit, bermacam-macam janji sehingga ke tahap penginapan percuma untuk hotel di luar negara. Menyusahkan kerana bila terima panggilan wakil jualan yang bertubi-tubi ini, kita pun termakan ajakan dan desakan,” jelas seorang pengguna, Leila (bukan nama sebenar), yang meluahkan rasa hairan bagaimana nombor telefon bimbitnya diperoleh wakil jualan.

Pada Mei 2010, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diluluskan di Parlimen dan diwartakan pada Jun tahun yang sama. Bagaimanapun, ia dijangka dikuatkuasakan sekitar Jun ini.


TERPELIHARA


Apabila berkuatkuasanya akta ini, semua aspek perlindungan data peribadi untuk tujuan komersil akan dijamin terpelihara. Di bawah Fasal 4 akta ini, data peribadi ditakrifkan sebagai ‘apa-apa juga maklumat berkenaan dengan transaksi komersil yang tersimpan dan dikendalikan secara automatik atau dalam sistem fail'.

Ini bermaksud ia berhubungkait, baik secara langsung atau tidak langsung, dengan seorang subjek data termasuk data peribadi sensitif dan pernyataan mengenai subjek data berkenaan. Data peribadi sensitif meliputi data peribadi berhubung kesihatan atau keadaan fizikal dan mental seorang subjek data, pendapat politiknya dan kepercayaan agama.

Mereka yang menyalah guna maklumat yang diperoleh boleh dikenakan hukuman denda maksimum tidak melebihi RM500,000 dengan kebarangkalian hukuman penjara maksimum tidak melebihi tiga tahun, bergantung kepada jenis kesalahan. Mahkamah sesyen mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan mana-mana kesalahan di bawah akta ini.


JENAYAH BARU


Di bawah akta ini beberapa kesalahan jenayah baru diwujudkan dan ia tidak menyerupai kesalahan jenayah lain yang termaktub hukumannya di bawah Kanun Keseksaan. Antara kesalahan jenayah ini termasuk kegagalan pengguna data di kalangan pertubuhan perbadanan untuk beberapa perkara seperti mendaftar, pelanggaran prinsip perlindungan data, penjualan data, pemindahan data tanpa perlindungan yang mencukupi dan pengumpulan menyalahi undang-undang.

Prof Abu Bakar Munir, pensyarah di fakulti undang-undang Universiti Malaya turut membentangkan kertas kerja pada seminar yang diadakan baru-baru ini, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pengguna data tentang akta yang bakal dikuatkuasakan itu.

"Saya terlibat membantu Singapura dalam proses menyediakan draf untuk akta ini diguna pakai di sana tidak lama lagi. Untuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di negara kita ini, saya diberi kepercayaan sebagai penasihat. Akta ini merangkumi 7 prinsip dan ia tidak terpakai langsung untuk penggunaan secara rekreasi seperti penggunaan data peribadi untuk hal-hal persendirian, keluarga dan isi rumah.

"Akta ini melindungi subjek data atau individu yang menjadi empunya kepada data itu," jelas Prof. Abu Bakar. Antara seksyen-seksyen yang terkandung dalam akta ini yang menjelaskan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman ialah seksyen 40(3) iaitu memproses data sensitif, 38(4) iaitu memproses data setelah kebenaran untuknya ditarikbalik dan 130(3); mengumpul, menzahirkan atau mengusahakan penzahiran data secara menyalahi undang-undang. Akta ini juga baru diluluskan di beberapa negara di rantau ini seperti di Korea dan Taiwan.

DATA

Pengguna data adalah seseorang yang sama ada berseorangan atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadapnya atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi, tetapi ia tidak melibatkan pemproses data.

Pengguna data ini terlibat apabila menguruskan sesuatu pemeriksaan atau sesuatu aduan atau sesuatu penyiasatan atau semasa terlibat dengan sesuatu notis penguatkuasaan.

Mereka ini adalah syarikat atau perbadanan atau pertubuhan yang menggunakan data yang diperolehi untuk transaksi komersil. Walaupun begitu, pengguna data peribadi yang terkecuali daripada tindakan yang boleh diambil di bawah akta ini termasuk kerajaan persekutuan dan negeri, agensi rujukan kredit dan sebarang penggunaan untuk transaksi bukan komersil. Agensi rujukan kredit yang boleh mendedahkan butiran penarafan kredit terletak di bawah bidangkuasa Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.


HAK SUBJEK DATA


Perlindungan kepada keselamatan data milik mana-mana subjek data tidak boleh diabaikan oleh pengguna data.

"Kalau diberikan data peribadi kepada pihak bank atau institusi kewangan berdaftar ketika membuat permohonan kad kredit atau pinjaman, mestilah kita tidak mahu data itu jatuh ke tangan orang lain," seorang peserta seminar, Suzy Lim (bukan nama sebenar) memberi pandangannya mengenai perkara itu.

Hak-hak subjek data yang tidak boleh dinafikan termasuk hak mereka untuk diberitahu, hak untuk mengakses dan menyemak, hak untuk membuat pembetulan, hak untuk menarik balik kebenaran dan hak untuk menyekat pemprosesan data itu untuk aktiviti pemasaran langsung atau yang boleh menyebabkan kenegatifan.

Sekiranya pengarah, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pengurus, setiausaha atau mana-mana pegawai lain dalam sebuah badan korporat didapati bertanggungjawab menguruskan perkara yang boleh disabitkan salah dari segi undang-undang, mereka yang terlibat boleh didakwa bersama dengan badan korporat itu.


PENDEKATAN GLOBAL


Data peribadi amat berharga kepada sesiapa saja yang menjadi pemiliknya, di mana sahaja di dunia.Akta seumpama digunakan di Macao sejak Februari 2006.

"Kira-kira 90 peratus daripada akta yang digunapakai di Macao diambil daripada dokumen yang digunakan di Portugal. Sejak 2007 sehingga tahun lepas, lebih 250 kes disiasat dan tidak kurang 2,000 pertanyaan diterima pihak autoriti GPDP di Macao," kata Ken Yang, wakil pejabat perlindungan data peribadi Macao (GPDP).

Di New Zealand, akta melindungi hak peribadi ini dikenali sebagai ‘Privacy Act’ dan digunapakai sejak 1993, melibatkan mereka yang masih hidup, demikian menurut Pembantu Pesuruhjaya di bahagian perundangan dan polisi, Suruhanjaya ‘Privacy’ New Zealand, Katrine Evans.

Pegawai di Suruhanjaya ‘Privacy’ mempunyai tugas mendidik agensi tentang akta dan menjelaskan sebab-sebab organisasi di New Zealand perlu mewujudkan jawatan pegawai khas untuk mengendalikan bahagian yang melindungi data peribadi.

Nasihat dan informasi tambahan dari masa ke masa tetap dibekalkan oleh pegawai di suruhanjaya itu,” jelas Evans lagi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr Rais Yatim merasmikan seminar mengenai akta perlindungan data peribadi 2010 yang memberi penerangan kepada organisasi dan pengguna data negara ini, baru-baru ini.

Jabatan yang menjadi agensi ke-19 di bawah kementerian ini, diharap dapat meningkatkan perlindungan data yang penting lagi sensitif milik subjek data.


TERIMA CABARAN


Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Abu Hassan Ismail, yang baru dilantik untuk mengetuai agensi terbaru di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, KPKK ini, menerima cabaran tersebut dan berjanji untuk menggerakkan strategi perlaksanaan sebaik yang mungkin.

"Antara cabaran utama jabatan ini ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat selain memastikan kesediaan di kalangan pengguna data. Untuk menyedarkan masyarakat tentang perlindungan data peribadi mereka, jabatan akan menggunakan pendekatan pendidikan," jelas Abu Hassan lagi.

Forum pengguna dan tribunal rayuan di bawah jabatan ini akan diadakan setelah perlaksanaan akta dan jabatan dimantapkan lagi, katanya lagi. - Bernama

ISU EKONOMI : Kekayaan 40 individu cecah RM192 bilion


Oleh Shahrizan Salian

NILAI gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak AS$2.3 (RM7 bilion) kepada AS$64.4 bilion (RM192 bilion) daripada tahun sebelumnya, demikian mengikut senarai terbaru majalah kewangan dan perniagaan Forbes.

Bilangan rakyat negara ini yang berada dalam kelompok individu dunia yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) juga bertambah kepada 11 daripada 10 tahun sebelumnya.

Jutawan Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya Malaysia dengan nilai kekayaan bersih AS$12.4 bilion (RM37 bilion) meskipun jumlah itu menurun sedikit daripada AS$12.5 bilion (RM37.5 bilion) setahun sebelumnya.
Kuok, 88, yang mempunyai empayar perniagaan meliputi gula, sawit, perkapalan dan hartanah menguasai kedudukan itu sejak 2006 ketika Forbes Asia memulakan senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya itu.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai kekayaan bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.2 bilion) kepada AS$9.9 bilion (RM29.7 bilion).

Beliau kini sedang meluaskan portfolio perniagaan berkaitan tenaga di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Barat dalam satu urus niaga yang boleh menjana sehingga AS$2 bilion (RM6 bilion), manakala Maxis Communications yang dikuasainya baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G bersama syarikat pesaingnya, UMobile.

Di tempat ketiga ialah Puan Sri Lee Kim Hua, iaitu isteri kepada pengasas kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong serta keluarga yang nilai kekayaan bersihnya susut 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion (RM19.5 bilion).
Keluarga yang menjadi tulang belakang empayar Genting itu sedang menjadi bahan berita berikutan beberapa cubaan berprofil tingginya untuk mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat (AS).

Tan Sri Lee Chin Seng, individu yang membina IOI Group menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia pula mengekalkan kedudukannya di tempat keempat dengan nilai bersih AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion), meningkat AS$200 juta (RM600 juta) daripada tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berada di tempat ketujuh, mengekalkan kedudukannya sebagai orang Melayu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$3.3 bilion (RM9.9 bilion).

Tiga pendatang baru membuat kemunculan sulung dalam senarai itu, dengan paling menyerlah ialah Tan Sri Dr Ninian Mogan Lourdenadin, seorang doktor bertauliah yang menjadi hartawan peruncitan yang menduduki tempat ke-22 dengan nilai kekayaan bersih AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Beliau adalah Ketua Eksekutif MBF Holdings dan mempunyai perniagaan dalam hartanah, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia, Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ialah Gooi Seong Lim, di tempat ke-34 dengan kekayaan bersih AS$220 juta (RM660 juta). Beliau menerajui Crescendo, sebuah syarikat pembinaan dan pemaju hartanah.

Ng Joo Siang, usahawan berusia 52 tahun yang mengambil alih perniagaan keluarga, Pacific Andes International Holdings daripada bapanya juga membuat kemunculan sulung dalam senarai itu dengan berada di tempat ke-37 dengan nilai bersih AS$185 juta (RM555 juta).

Dua individu pula membuat kemunculan semula iaitu Pengerusi Eksekutif Kurnia Asia Bhd, Tan Sri Kua Sian Kooi dan Pengerusi Malayan United Industries Bhd, Tan Sri Dr Khoo Kay Peng.

Rakyat Malaysia terbaru yang memasuki kelompok individu dunia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion pula ialah adik beradik Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian yang menguasai syarikat sawit dan kimia, Batu Kawan.

Secara keseluruhannya, 21 daripada jutawan Malaysia dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat, 12 menyusut, manakala dua orang tidak berubah.

Tahun ini, nilai bersih minimum yang diperlukan untuk layak dalam senarai itu ialah AS$155 juta (RM465 juta), meningkat daripada AS$125 juta (RM375 juta) tahun lalu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru perlu kreatif, inovatif


Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my


Guru Sains dan Matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran Sains dan Matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : 72 peserta bakal berentap di PABM 2012


PUTRAJAYA 1 Mac — Sejumlah 72 peserta dari 67 buah negara akan menyertai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2012 yang akan bermula esok hingga 8 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan merasmikan PABM yang ke-6 bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” pada 8 Mac.

PABM yang diilhamkan memberi penekanan untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Nusantara dan Kategori Antarabangsa dan seramai lapan peserta akan bertanding di peringkat akhir PABM 2012.

Johan setiap kategori PABM akan menerima hadiah wang tunai USD5,000, Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri, piala iringan serta kamus dan buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai USD3,000 dan Piala Iringan manakala pemenang tempat ketiga pula akan membawa pulang wang tunai USD2,000 dan piala iringan.

Di bawah Kategori Nusantara, negara-negara yang digolongkan sebagai pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama atau bahasa ibunda, antaranya adalah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand.

Bagi Kategori Antarabangsa, seramai enam peserta mewakili 62 negara dari enam benua. Mereka ini terdiri daripada para pelajar institusi pengajian tinggi yang mengambil jurusan Bahasa Melayu sebagai kursus elektif.

Orang ramai boleh menonton siaran langsung pertandingan akhir PABM 2012 di TV1 pada pukul 8.45 malam, 8 Mac. Acara kemuncak itu juga disiarkan ke seluruh dunia di 1Malaysia 1TV (http://www.1malaysiaiptv.com.my) dan juga Utusan Online (http://utusan.com.my). — BERNAMA.