Selasa, 6 Mac 2012

ISU BAHASA : Muzik, budaya dan sastera faktor utama pelajari bahasa Melayu


PUTRAJAYA 5 Mac – Tak kenal maka tak cinta. Perumpamaan itu sememangnya sesuai untuk mencerminkan kepetahan semua peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2012 bertutur dalam bahasa Melayu.

Rata-rata peserta yang ditemui Utusan Malaysia menyatakan keindahan budaya, muzik, filem dan sastera Melayu merupakan faktor utama mendorong mereka mempelajari bahasa Melayu.

Pemidato dari Amerika Syarikat, Sara White, 24, berkata, dia mempelajari bahasa Melayu kerana minat yang mendalam terhadap lagu-lagu Melayu.

Menurut White atau nama Melayunya Sarawati, dia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mempelajari bahasa Melayu dan mengikut pengamatannya bahasa rasmi negara itu bukanlah bahasa yang susah untuk didalami memandangkan ia kini boleh diajar di mana-mana negara.

“Saya belajar dalam bidang komunikasi dan amat meminati sastera serta lagu-lagu Melayu, penguasaan dalam bahasa Melayu membantu saya mendalami muzik Melayu.

“Bahasa Melayu sebenarnya bukan susah untuk dipelajari, saya mempelajari bahasa ini secara berkumpulan dengan kawan-kawan yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, jika minat terhadap muzik Melayu mendorong White mempelajari bahasa Melayu, lain pula ceritanya dengan Narmin Hasanova dari Azerbaijan yang meminati budaya Asia Tenggara.

“Saya amat meminati budaya Asia Tenggara khususnya Tamadun Melayu, minat yang mendalam mendorong saya melawat Indonesia dan Malaysia berkali-kali.

“Penyertaan saya dalam PABM 2012 ini juga secara tidak langsung untuk memperkenalkan budaya negara saya kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai negara,” katanya.

Selain itu katanya, faktor persamaan agama juga menjadi faktor utama dia mempelajari bahasa Melayu dan budaya Malaysia.

“Agama Islam yang dianuti saya dan kebanyakan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai persamaan dari segi budaya dan juga peradaban,” katanya.

Dalam pada itu peserta Jepun, Yota Tamura berkata, bahasa Melayu wajar dipelajari kerana ia merupakan bahasa pertuturan yang paling utama di Asia Tenggara.

Sumber : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Arab, Mandarin lemah


Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Guru tak terlatih, tiada makmal bahasa punca pelajar gagal kuasai subjek

GURU tidak terlatih dan tidak tersenarai antara lima subjek dinilai peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikesan antara punca penguasaan murid bagi dua subjek elektif iaitu bahasa Arab dan Mandarin berada pada tahap kurang memuaskan.

Turut menyumbang kepada kekangan penguasaan bahasa antarabangsa itu ialah kebanyakan murid hanya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas sedangkan kegiatan itu perlu dijalankan di makmal bahasa.

Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Dr Mohd Nor Mohd Taib, berkata pada keseluruhannya pencapaian murid mengikuti subjek itu hanya menguasai perkataan asas seperti nama, khabar, asal dan arah sesuatu tempat.

Katanya, pada dasarnya P&P dua mata pelajaran itu bergantung kepada kemampuan sekolah melaksanakannya dengan mengambil kira kepakaran guru.

“Bagi sekolah yang tiada kepakaran dan gagal menyediakan kemudahan makmal, sukar melaksanakan proses P&P dengan berkesan.

“Subjek elektif ini sebenarnya dikhususkan kepada murid bukan penutur bahasa terbabit dan mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Mohd Nor berkata, berdasarkan statistik seramai 1.5 juta murid mengikuti pembelajaran bahasa Arab di 4,776 sekolah di seluruh negara sehingga 2010 manakala bahasa Mandarin seramai 34,449 di 461 sekolah sehingga awal tahun lalu.

Mengenai murid Cina dan India bukan Islam yang mengikuti pembelajaran bahasa Arab, beliau berkata jumlahnya terlalu rendah iaitu sekitar seorang hingga lima orang di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, ramai murid Melayu dan India mengikuti subjek bahasa Mandarin berikutan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menguasai bahasa berkenaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Karya sastera hebat


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


Maksud luas pengarang terpancar kepada yang membaca dengan berfikir

KARYA sastera mempunyai maksud lebih luas daripada sekadar luahan perasaan pengarang dalam kisah cinta yang sempit atau memenuhi selera hiburan ringan pembaca kerana hakikatnya ia sebenarnya wadah perjuangan dalam masyarakat jika ruang lingkup negara, serantau dan dunia, diambil kira.

Daripada perjuangan yang mewakili golongan tidak berpeluang dan bernasib baik kepada iltizam untuk mengikat manusia pelbagai negara dan bangsa, idealisme itulah yang bakal menentukan sama ada pengarang benar-benar memanfaatkan kreativiti yang dimilikinya.

Karya kecil dan ringan hanya meletakkan pengarang pada kedudukan yang tidak lebih daripada penghibur, manakala ideologi dan tujuan kepengarangan yang lebih mulia mengangkat mereka sehingga diiktiraf bukan saja di tanah air, bahkan di luar negara.

Tujuan kepengarangan inilah yang menjadi inti pati dalam Diskusi Bertemu Pengarang di Bank Bangkok, Bang Rak, Bangkok, baru-baru ini, sekali gus menjadi medan perkongsian antara Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011.

Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol, menjadikan perjuangan yang mewakili mereka yang tidak mempunyai hak kemasyarakatan sepenuhnya dan tidak bernasib baik sebagai ideologi, tujuan dan misi penulisannya.

“Saya ibaratkan sastera dan penulisan kreatif sebagai kenderaan untuk memperjuangkan kemanusiaan, kebaikan dan kebebasan kepada semua lapisan masyarakat khususnya yang tidak bernasib baik.

“Sastera juga digunakan untuk melawan dan menentang ketidaksamaan yang berlaku dalam masyarakat, sekali gus menjadi wakil kepada mereka yang tidak mendapat peluang yang sama,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Timbalan Presiden (Perhubungan Awam), Bank Bangkok, Suwit Indrachalerm dan Pensyarah Universiti Chulalongkorn, Prof Madya Dr Surapeepan Chatraporn.

Ideologi, tujuan dan misi kepengarangannya terserlah pada karyanya, American Bones, yang mengambil latar peristiwa kerajaan Amerika Syarikat (AS) menghantar pasukan ke Laos untuk menjejaki anggota tenteranya yang hilang ketika bertugas (MIA) pada Perang Indochina.

“Sebenarnya pada ketika itu, AS dan Laos tak memiliki sebarang hubungan diplomatik, tetapi kerajaan kami membenarkan pasukan terbabit untuk masuk. Pada masa sama, ada fakta yang mengejutkan apabila tiga juta tan bom pernah digugurkan di Laos yang mempunyai kira-kira tiga juta rakyat,” katanya yang turut menggunakan nama pena Sahaifai.

Bounthanong berkata, misi itu sebenarnya adalah peristiwa besar dalam konteks kemanusiaan yang diperlihatkan oleh Laos kerana bukan hanya AS mengalami kehilangan anggota tenteranya, sebaliknya rakyat Laos sendiri hilang keluarga dan saudara mara.

“Ia isu sensitif kerana misi itu sebenarnya menunjukkan tindakan ‘pengampunan’ dari Laos kepada AS, meskipun kuasa besar itu tidak pernah melahirkan kekesalan atau membayar ganti rugi terhadap kemusnahan kesan daripada ledakan bom mereka.

“Lebih menyedihkan lagi, kira-kira tujuh peratus daripada bom yang pernah digugurkan di Laos masih lagi aktif sehingga ke hari ini,” katanya.

Pandangan Bounthanong itu diperkukuhkan oleh keyakinan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, terhadap peranan pengarang dengan meluahkan perasaan dan pemikiran yang jujur dalam karya sastera mereka.

“Pengarang tidak boleh bertindak sebagai propagandis, sebaliknya mereka perlu tampil untuk menjadi diri sendiri dan menghasilkan karya yang lahir daripada jiwa.

“Mereka menulis tidak kira apa saja genre bukan kerana kehendak atau perintah pihak lain, sebaliknya berdasarkan fikiran dan tindakannya yang jujur itu,” katanya.

Hakikat itu memberi kelebihan kepadanya dan pengarang yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan berbeza, sekali gus menyampaikan makna yang lebih besar kepada kemanusiaan serantau dan sejagat.

“Ini kerana sastera sebenarnya berperanan untuk menggabung dan mengikat semangat daripada manusia pelbagai bangsa dan negara untuk hidup bersama.

“Apa yang penting adalah bukannya kita untuk bersetuju tentang semua perkara, sebaliknya kita memahami antara satu sama lain,” katanya.

Sekiranya pengarang memahami semangat kesusasteraan itu, SM Zakir berkata, mereka berupaya untuk melahirkan karya yang lebih jujur dan mempunyai makna yang lebih besar kepada manusia sejagat.

Namun, ia tidaklah bermakna prinsip dan unsur agama perlu didiamkan dalam karya, sebaliknya seperti tekad Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Brunei Darussalam, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff, karya sastera dan seni perlu menjadi alat dakwah Islamiah.

“Sastera dan seni berupaya untuk memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat, sekali gus digunakan sebagai cara dalam dakwah Islamiah.

“Saya percaya pengarang bertanggungjawab untuk menyampaikan karya yang baik dan memiliki nilai yang dapat mendorong pembaca untuk menjadi manusia dan rakyat yang baik,” katanya.

Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Thailand, Jadej Kamjorndet, berkata karya sastera perlu digunakan untuk menegur sikap sendeng dalam masyarakat yang lebih mengutamakan moraliti sekiranya berkait dengan kepentingan sendiri tetapi mengambil sikap tidak kisah sekiranya ia tidak kena-mengena dengannya.

“Hal ini boleh diibaratkan seorang isteri yang mengupah penyiasat persendirian untuk mengekori suaminya, sekali gus menyiasat sama ada lelaki itu bermain kayu tiga dengan wanita lain.

“Selepas penyiasat membuat siasatan, dia memberitahu si isteri bahawa suaminya tidak curang, sebaliknya melakukan kejahatan lain tetapi wanita itu tidak ambil kisah kerana ia tidak kena-mengena dengan perkahwinan mereka,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 5 Mac 2012

ISU KESIHATAN : Awasi Si Kecil


Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my


Sifat ingin tahu tinggi

KANAK-KANAK memang golongan unik. Walaupun tangisan mereka seolah-olah boleh memecahkan tingkap rumah kerana sakit terjatuh ketika bermain, tetapi sejurus selepas tangisan berhenti, si kecil ini boleh berlari dan bermain semula seperti tiada apa yang berlaku.

Inilah kelebihan kanak-kanak khususnya yang masih kecil. Mereka mudah lupa rasa sakit. Maka tidak hairanlah jika kanak-kanak sangat terdedah kepada kemalangan di rumah yang boleh menyebabkan kecederaan.

Dalam satu kajian, Singapura mencatatkan 56.4 peratus kes kecederaan atau kecemasan di rumah yang membabitkan kanak-kanak. Walaupun tiada data untuk kes kecederaan kanak-kanak di rumah di negara kita tetapi rasanya senarionya lebih kurang sama. Luka, kulit melecet, berdarah, lebam dan bengkak sudah jadi asam garam bagi kehidupan kanak-kanak.

Menurut Abdul Rasheed Doad dari Pusat Latihan Pertolongan Cemas Singapura, ibu bapa perlu mempelajari ilmu bantuan kecemasan kerana kebarangkalian untuk kemahiran ini digunakan di rumah sangat tinggi.

Kata orang, malang tidak berbau, jadi lebih baik jika bersedia supaya tidak panik dan boleh bertindak pantas sekiranya kejadian tidak diingini berlaku di depan mata.

Kenapa kes kecemasan di rumah pada kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa? Ini disebabkan beberapa faktor:

• Saiz badan kanak-kanak yang kecil. Jika mereka jatuh, ada kemungkinan kesan hentakan akan terus terkena pada tulang.

• Struktur badan yang berbeza dan kecil berbanding orang dewasa. Pada pesakit asma contohnya, serangan asma akan membuatkan saluran pernafasan orang dewasa mengecil sebanyak 25 peratus, tetapi pada kanak-kanak, saluran ini hampir tertutup sepenuhnya yang membuatkan mereka tidak boleh bernafas.

• Sifat ingin tahu yang tinggi. Mereka ingin tahu mengenai badan sendiri dan persekitaran menyebabkan ada yang memasukkan jari ke dalam hidung, di celah pintu atau ke lubang soket di dinding. Sifat ini jugalah yang membuat mereka menyentuh kuali panas atau menarik wayar cerek air.

Darjah luka kebakaran antara orang dewasa dengan kanak-kanak juga tidak sama.

Contohnya jika tempat terbakar (contohnya terkena air panas) bersaiz kertas A4, pada orang dewasa ia bukanlah masalah besar tetapi pada kanak-kanak mungkin menjadi kes serius.

Kecemasan biasa dan bantuan

Abdul Rasheed berkata, antara kes kecemasan pada kanak-kanak yang biasa berlaku di rumah adalah:

• Luka dan berdarah - Jika anak anda luka dan berdarah, tekap luka berkenaan dengan kain atau tuala bersih. Tekan (sederhana kuat) selama 10 minit bagi menghentikan pendarahan. Lekatkan kain berkenaan supaya ia terus berada di atas luka selama beberapa jam.

Kaedah ini sangat penting kerana pendarahan yang tidak berhenti boleh membahayakan nyawa si kecil kerana jumlah darah dalam badan mereka sedikit.

Sekiranya saiz luka besar, dalam dan berdarah banyak, tekap luka dengan
kain bersih dan segera bawa ke klinik atau hospital berhampiran.

“Ada ibu bapa bertanya, jika tangan luka, bolehkah tangan berkenaan diangkat tinggi (bagi mengurangkan aliran darah). Kaedah ini memang boleh dilakukan tetapi kajian mendapati ia tidak membantu mengurangkan pendarahan.

Apa yang penting ialah memberikan tekanan pada luka supaya pendarahan berhenti,” katanya pada seminar kesihatan anjuran Pusat Perubatan Tropicana.

• Hidung berdarah - Dudukkan anak di atas kerusi dan minta dia condongkan badan ke depan. Picit hidung betul-betul di bawah tulang hidung (pada bahagian yang lembut). Darah akan berhenti dalam masa beberapa minit.

Mengapa perlu condongkan badan ke depan dan bukannya bersandar sambil mendongakkan kepala seperti yang selalu diamalkan orang dulu? Jika mencondongkan badan ke belakang dikhuatiri darah ini akan mengalir masuk ke dalam saluran pernafasan (dan sampai ke paru-paru) atau saluran makanan dan sampai ke perut. Kemasukan darah ke dalam perut juga ada kesan yang tidak bagus kerana ia boleh membuatkan kanak-kanak muntah.

Sekiranya pendarahan tidak berhenti selepas 10 minit, bawa anak ke klinik. Ia boleh membahayakan kanak-kanak terutama yang ada masalah jumlah platelet darah yang rendah. Anda juga boleh menekapkan pek ais pada hidung anak untuk menghentikan pendarahan.

• Lebam dan bengkak - Segera tekapkan bahagian yang lebam dengan pek ais. Ia dapat mencegah lebam berkenaan daripada membengkak.

Dalam perkara ini, Abdul Rasheed mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali menggosok atau mengurut bahagian yang lebam itu dengan sebarang balsam atau minyak. Seandainya lebam berkenaan besar saiznya dan anak berasa sangat sakit, ia mungkin menandakan keretakan tulang. Urutan hanya akan memburukkan keadaan.

• Bantuan pernafasan kecemasan kanak-kanak. Teknik ini perlu dipelajari dengan teliti. Sebaiknya dapatkan guru (jururawat atau kakitangan perubatan bertauliah) mengajar anda. Jika anda lihat anak anda seperti pengsan, baringkan kanak-kanak berkenaan dalam kedudukan terlentang.

Geletek kakinya untuk melihat tindak balasnya. Minta ahli keluarga menghubungi ambulans (dail 999). Dongakkan kepalanya sedikit dan cuba dengar bunyi pernafasan atau melihat pergerakan dadanya. Lakukan teknik ini dalam tempoh 10 saat.

Jika dia tidak bernafas, bersedia untuk memberikan bantuan pernafasan kecemasan. Letakkan dua jari (jari hantu dan manis) di tengah-tengah dadanya dan tekan sebanyak 30 kali. Tekan sedalam empat sentimeter (satu setengah inci).

Buka mulutnya dan hembuskan udara ke dalam mulut kanak-kanak itu sehingga nampak dadanya naik tetapi jangan hembus terlalu kuat. Beri dua hembusan. Ulang teknik ini sehingga kanak-kanak sedar atau bantuan sampai.

Kecederaan kepala

Perunding Paediatrik dan Neonatalogi, Dr Anushree Narayanan berkata, kecederaan kepala biasa berlaku pada kanak-kanak dan remaja tetapi kebanyakannya bersifat ringan dan tidak menyebabkan kecederaan otak serta komplikasi jangka panjang.
Sangat jarang berlaku kecederaan kepala di rumah sehingga mengakibatkan komplikasi serius atau pendarahan dalam otak.

Antara punca kecederaan kepala ialah jatuh, kemalangan motosikal, kemalangan ketika berjalan atau berbasikal, kecederaan sukan dan penderaan. Bagaimanapun, setiap kecederaan kepala tetap ada risiko kecederaan otak. Namun risikonya bergantung kepada beberapa faktor seperti di bawah.



Risiko rendah berlaku kecederaan otak jika:


• Jatuh dari tempat rendah contohnya sofa.

• Jatuh ke atas permaidani atau lantai kayu.

• Terhantuk dengan objek lembut.

• Kemalangan pada kelajuan rendah.

Risiko tinggi berlaku kecederaan otak jika:

• Jatuh dari tempat tinggi.

• Jatuh atas permukaan keras seperti lantai simen atau marmar.

• Terhantuk atau berlanggar dengan objek keras seperti bola golf.

• Penderaan termasuk menggoncang bayi dan memukul kepala kanak-kanak.

Tanda dan gejala akibat kecederaan kepala:

• Kepala anak anda bengkak biasanya pada dahi. Anda perlu lebih bimbang jika bengkak ini berada di tepi atau belakang kepala kerana ada kemungkinan berlaku keretakan tengkorak.

• Anak anda pitam. Pitam dalam jangka masa sangat pendek iaitu kurang daripada satu minit. Walaupun perkara ini sangat jarang berlaku tetapi jika anak anda pitam, segera bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Jika anak jatuh dan menangis kuat, itu petanda baik kerana ia hanya membabitkan bahagian luar kepala saja. Tidak mengapa jika dia menangis lama kerana yang penting dia dalam keadaan sedar. Anda perlu risau kalau anak pitam, walaupun hanya untuk beberapa saat kerana itu petanda tidak baik.

• Sakit kepala. Masalah ini biasa berlaku dan membabitkan 20 peratus kanak-kanak. Pada kanak-kanak kecil, mereka akan meragam.

• Muntah. Jika anak anda muntah selepas kepalanya terhantuk, jangan bimbang kerana ia adalah perkara biasa. Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak akan muntah sekurang-kurangnya sekali. Namun anda perlu berasa bimbang sekiranya anak anda muntah berulang kali terutama jika perkara itu berlaku lama selepas kemalangan (lima hingga enam jam). Segera bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

• Sawan. Ia jarang berlaku tetapi jika ada ia mungkin menandakan kecederaan otak.

• Keliru. Ia biasanya disebabkan kecederaan otak. Anak anda mungkin menunjukkan tanda seperti tidak ingat perkara yang baru berlaku, muntah dan berasa pening.

• Biasanya anak yang terjauh akan tidur seketika selepas kemalangan. Jangan bangunkan anak, sebaliknya biarkan dia berehat dan tidur secukupnya. Apabila anak bangun, dia sepatutnya boleh mengecam anda, ahli keluarga lain dan keadaan sekelilingnya.

Bila ibu bapa perlu risau?

Semua ibu bapa risau apabila kepala anak mereka terhantuk kuat. Mereka akan lebih risau apabila mendengar tangisan anak yang kuat dan tidak berhenti.
Seperti disebut di atas, tangisan dalam keadaan sedar itu petanda baik kerana ia tidak membabitkan kecederaan otak.

Kanak-kanak terutama yang masih kecil tidak ingat kesakitan dialami ketika jatuh. Biasanya selepas berhenti menangis, mereka akan bangun dan bermain semula. Bagaimanapun, ibu bapa perlu risau apabila anak menunjukkan tanda seperti:

• Muntah berulang kali atau muntah selepas beberapa jam kemalangan berlaku.

• Mengalami sawan.

• Kemalangan berlaku pada bayi berumur kurang daripada enam bulan.

• Pitam seketika.

• Sakit kepala yang keterlaluan dan semakin teruk.

• Perubahan tingkah laku seperti lesu, sukar untuk terjaga, sangat meragam dan perlakuan tidak normal yang lain.

• Anak sukar berjalan, jadi kelam-kabut atau hilang keseimbangan.

• Keliru dan percakapan menjadi tidak jelas.

• Pening kepala yang tidak hilang atau berulang-ulang.

• Keluar darah atau cecair badan daripada hidung atau telinga.

• Pendarahan yang tidak berhenti walaupun sudah memberi tekanan pada luka selama 10 minit.

• Anak jatuh dari tempat tinggi (yang lebih tinggi dari anda).

Jika anak anda mengalami gejala di atas, bergegaslah ke hospital. Biasanya anak anda akan ditahan di hospital bagi membolehkan doktor membuat pemantauan dalam tempoh 24 jam.

Perlukah dilakukan imbasan sinar-X atau CT pada kepala anak anda?

Perkara ini tertakluk kepada keadaannya. Biasanya doktor hanya akan menyarankan imbasan sinar-X jika didapati ada benjolan atau darah beku pada kepala si kecil. Imbasan CT pula hanya dilakukan jika muncul tanda yang membimbangkan.

Jika tidak, imbasan ini tidak perlu kerana setiap imbasan ada risiko radiasi.

Perlu anda ketahui bahawa radiasi imbasan CT adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding sinar-X.


Pencegahan kemalangan di rumah


Ada banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan di rumah. Antara langkah mudah termasuk:

• Pasang pintu pagar pada tangga. Jika tangga tidak mempunyai susur tangan, peruntukkan sedikit wang untuk memasang susur tangan yang baik.

• Pasang jeriji pada tingkap terutama bagi mereka yang tinggal di pangsapuri tingkat satu dan ke atas. Malah rumah teres dua tingkat juga disarankan memasang jeriji.

• Elakkan sama sekali menggunakan kerusi duduk bayi beroda. Ia bukan saja memperlahankan proses berjalan, malah membuatkan bayi berjalan dengan cara yang salah serta berbahaya kerana mudah terbalik.

• Jika mahu menghampar permaidani, pastikan ia mempunyai lapisan penahan yang tidak mudah bergerak atau teralih.

• Jangan meletakkan bayi anda di tempat yang boleh membuatkan dia jatuh.

• Beli penutup soket kerana bayi dan kanak-kanak kecil sangat ‘tertarik’ untuk memasukkan jari halus mereka ke dalam lubang yang kecil itu.

• Beli kerusi bayi untuk diletakkan dalam kenderaan.

• Pastikan semua peralatan elektrik dipadamkan suisnya selepas digunakan.

• Jangan biarkan wayar alat elektrik terjuntai sehingga boleh dicapai anak kecil.

• Ajar anak mengenai keselamatan di rumah dan terangkan kepada mereka mengapa setiap perkara itu penting.

• Bagi anak yang aktif bersukan, belikan kelengkapan bersesuaian.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Alasan, jawapan menolak debat


OLEH : SAIFUDDIN ABDULLAH

Debat politik baik untuk demokrasi. Ia peluang untuk mencetuskan idea yang bernas dan mempertahankannya dengan cerdas. Rakyat akan menilai.

Namun, terdapat mereka yang menolak debat. Tidak mengapa jika tidak ingin berdebat kerana itu pilihan masing-masing, tetapi usahlah menolaknya bulat-bulat.

Di sini, disenaraikan 10 alasan yang menolak debat dan jawapan terhadapnya.


Alasan 1: Tiada apa hendak didebatkan.
Jawapan 1: Takkanlah tokoh politik tidak punya idea. Banyak perlu didebatkan, contohnya dalam bidang politik apakah politik baru, transformasi politik, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif untuk masa depan? Bidang-bidang lain juga ada isu yang wajar didebatkan.

Alasan 2: Tidak perlu debat, ucapan mencukupi.

Jawapan 2: Ramai boleh berucap. Adakalanya teks ucapan disediakan orang lain dan yang menyampaikannya tidak fahampun kandungannya. Kekurangan ucapan ialah idea itu tidak dapat diuji kebenaran dan kekuatannya. Sebaliknya, melalui debat, pendebat bukan sahaja perlu menyampaikannya, tetapi lebih penting lagi perlu mempertahankannya.

Alasan 3: Ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Jawapan 3: Ia menimbulkan keburukan jika tidak dilaksanakan dengan bijaksana. Sebenarnya, ia lebih banyak kebaikan sebab itu ia sebahagian daripada pendekatan dakwah Islamiah, iaitu seperti yang dicatat dalam al-Nahl:125, “...berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”.

Alasan 4: Ia menyebabkan lawan memanipulasi masalah kita.
Jawapan 4: Pertama, siapa suruh mendebatkan masalah kita? Kedua, memang kerja lawan memanipulasi kita, tidak kira diadakan debat ataupun tidak, dan ketiga, debat adalah gelanggang untuk menunjukkan kebaikan kita.

Alasan 5: Tidak perlu ikut format debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat.
Jawapan 5: Siapa kata mesti ikut format itu? Terdapat banyak format debat. Peserta boleh menentukan formatnya.

Alasan 6: Rakyat belum bersedia.

Jawapan 6: Rakyat telah lama bersedia. Rakyat inginkan keterbukaan dan ketelusan, pemimpin yang berilmu dan artikulatif, yang punya pendirian serta pandangan, dan bukannya sekadar pandai mengampu dan meraih undi semata-mata. Soalnya ialah adakah tokoh politik telah bersedia?

Alasan 7: Debat bukanlah jawapan kepada masalah negara. Apa yang penting ialah usaha membangun negara.

Jawapan 7: Siapa kata debat adalah jawapannya? Ia adalah satu daripada jalan terbaik untuk mendapatkan jawapannya.

Alasan 8: Kita perlu pemimpin yang pandai bekerja dan bukannya hanya pandai berdebat.

Jawapan 8: Siapa kata kita hendak pemimpin yang hanya pandai berdebat? Adakah pemimpin yang pandai berdebat tidak pandai bekerja? Adakah pemimpin yang tidak berdebat semestinya pandai bekerja? Pandangan ini adalah pelarian daripada realiti bahawa antara kualiti pemimpin yang baik ialah kebolehannya berhujah kerana ia mencerminkan pemikirannya yang rasional dan kritis. Bukankah lebih baik memiliki pemimpin yang pandai kedua-duanya, iaitu berhujah dan bekerja?

Alasan 9: Debat di dewan legislatif memadai.

Jawapan 9: Agenda dewan legislatif mengehadkan peluang untuk debat yang sepatutnya. Lagipun, dunia demokrasi hari ini tidak terhad kepada dewan legislatif semata-mata.

Alasan 10: Debat bukan budaya kita.

Jawapan 10: Kalau begitu, tidak perlulah mengamalkan demokrasi!

Penulis ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : SBP gah di peringkat dunia


Empat pelajar SBP Integrasi Tun Abdul Razak yang mewakili dua pasukan negara bersama guru pembimbingnya mempamerkan pingat emas yang dimenangi pada pertandingan IYIE 2012 di Tainan, Taiwan baru-baru ini.

Oleh MOHD. FADZLY IZAB
pendidikan@utusan.com.my


Nama Malaysia sekali lagi harum di peringkat antarabangsa apabila kesemua empat pasukan yang mewakili negara pada pertandingan Pameran Reka Cipta Belia Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan membawa pulang pingat emas dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan baru-baru ini.

Empat pasukan itu terdiri daripada pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis; SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah dan SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.

Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Rosland Hussein berkata, pertandingan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar untuk melihat dunia luar serta mencari pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Kementerian mahu melihat dan memperluaskan bakat para pelajar SBP ini bukan sahaja di peringkat nasional, malah menjadi pesaing hebat kepada negara-negara maju di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan IYIE 2012 yang dianjurkan oleh World Invention Property Associations (WIIPA) itu diselaras oleh University Far East, Tainan serta Taiwan Invention Intellectual Property Association dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Hubungan Luar Republik China (Taiwan).

Sebanyak 1,275 penyertaan diterima dan 300 produk telah dipilih ke peringkat akhir dari pelbagai negara termasuk Australia, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong, China, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut Rosland, penglibatan pelajar SBP di peringkat antarabangsa adalah sangat perlu bagi melahirkan feeder pool kepada modal insan berkemahiran tinggi dan mewujudkan jenama pelajar Malaysia yang terkenal dengan kualiti serta kebolehpasaran yang tinggi dan memiliki imej global.

"Kemenangan yang diperoleh oleh pasukan negara menjadi bukti jelas bahawa outcome pendidikan negara tidak lagi ketinggalan dan kini setaraf dengan negara-negara maju yang lain malah ada yang lebih baik," tegasnya.

Melalui program itu juga katanya, dapat meningkatkan minat pelajar untuk mempelajari sains dan mengatasi masalah kekurangan penuntut dalam aliran itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 4 Mac 2012

ISU AGAMA : Nikmat yang didusta?


Oleh : Maulana Ariff

SETIAP hari umat Islam diwajibkan membaca surah al Fatihah 17 kali yang merupakan rukun solat lima waktu. Dua kali ketika baru celik mata pada waktu Subuh, empat waktu Zohor, empat Asar, tiga Maghrib dan empat lagi sebelum tidur ketika solat Isyak.

Antara yang diungkapkan melalui al Fatihah ialah ayat yang bermaksud ''segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam." Ia adalah ucapan kesyukuran di atas segala kurniaan-Nya.

Terlalu banyak kurniaan Allah Yang Maha Pemurah (Ar Rahmaan) kepada kita manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Sebab itulah Allah memperingatkan manusia melalui firman-Nya yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar Rahmaan yang bermaksud: '' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya, A Doctor In The House turut mencatatkan salah satu rahmat besar yang disyukurinya setiap hari. Katanya, anda akan gembira jika setiap kali bangun tidur anda menghitung nikmat yang telah diperolehi.

Bagi seorang yang telah melalui dua kali pembedahan jantung dan masih cergas pada usia menjangkau 87 tahun, Mahathir mencatatkan dalam memoirnya: ''Bagi saya, masih hidup ketika bangun tidur adalah satu rahmat yang besar, baik dulu, apatah lagi sekarang."

Maka bersyukurlah anda ketika membaca tulisan hamba ini, kerana anda masih hidup. Nyawa adalah satu kurniaan yang besar kepada setiap manusia. Katakan anda mempunyai wang RM10 juta, datang malaikat hendak mencabut nyawa anda. Lalu diberikannya anda alternatif, jika tidak mahu dicabut nyawa, sedekahkan segala wang RM 10 juta itu kepada fakir miskin. Sudah pasti anda akan melakukannya dengan rasa senang hati.

Di sebalik banyak jasa dan amal soleh yang telah dilakukannya, Mahathir tetap gembira dan bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan usianya. Kebanyakan manusia telah mensia-siakan hidup mereka dan tidak bersyukur.

Kesyukuran hendaklah dilahirkan bukan sahaja dengan melafazkan kata-kata ''alhamdulillah," tetapi mestilah juga dijelmakan dalam bentuk perbuatan. Selain mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, orang Islam dituntut melakukan amal soleh, iaitu kebaikan kepada makhluk lain yang dikerjakan dengan ikhlas semata-mata atas prinsip kerana Allah.

Kebanyakan manusia lazimnya bersyukur hanya apabila dikurniakan sesuatu yang bersifat duniawi. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana naik pangkat, ada kerana anak dapat 10 A dalam peperiksaan SPM, ada yang kerana perniagaan menjadi-jadi dan pelbagai lagi.

Dalam erti kata lain, kebanyakan manusia hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu yang akan memberikan kehidupan dunia yang lebih selesa. Mereka terlupa atau tidak menyedari bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.

Sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda bahawa kemiskinan boleh menyebabkan manusia menghampiri kekufuran. Ertinya, kesusahan disebabkan kemiskinan itu boleh menyebabkan mereka tidak bersyukur. Mereka tidak bersyukur kerana lupa bahawa terlalu banyak nikmat lain yang Allah telah kurniakan kepada mereka.

Mereka lupa bahawa ada tujuh perkara yang Allah kurniakan istimewa kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), irodat (kehendak), ilmu, hayat (nyawa), pendengaran, penglihatan dan kalam (keupayaan berkomunikasi).

Kudrat yang Allah kurniakan kepada manusia sangat luar biasa berbanding makhluk lain di bumi. Manusia yang berbadan kecil boleh meruntuhkan gunung, boleh mendirikan bangunan pencakar langit, boleh terbang di angkasa dengan pesawat udara, boleh menyelam ke dasar laut dengan kapal selam dan pelbagai lagi yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk lain di bumi.

Disalah guna

Begitu juga dengan irodat atau kehendak, manusia telah mencipta pelbagai alat untuk keselesaan hidup. Malah manusia telah mencipta pesawat untuk naik ke bulan, dan kalau boleh ke planet-planet lain pula. Begitu besarnya kehendak manusia, tidak padan dengan saiz badan mereka.

Ilmu yang dijana oleh akal manusia dibentangkan Allah seolah-olah tanpa sempadan. Setiap detik ada sahaja perkara baru yang diterokai. Manusia juga mempunyai hayat yang istimewa. Dengan ilmu yang dikurniakan, manusia boleh 'menyambung nyawa' dengan pelbagai kaedah perubatan termasuk pemindahan organ.

Pendengaran dan penglihatan manusia juga lebih hebat daripada makhluk yang lain. Dengan bantuan alat teknologi, manusia boleh melihat dan mendengar sesuatu yang sedang berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya di tempat lain. Televisyen memancarkan siaran langsung kejohanan sukan atau menyiarkan peristiwa menarik di tempat jauh dalam masa sebenar.

Kalam manusia lebih hebat. Mereka kini boleh berkomunikasi dari jauh dengan pantas dan mudah melalui telefon dan komputer. Malangnya kalam yang Allah kurniakan itu disalahgunakan untuk memfitnah dan menggugat kesejahteraan orang lain, masyarakat dan negara.

'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Tetapi manusia lekas lupa. Mereka jarang sangat berpuas hati, apatah lagi bersyukur. Yang kaya mahu bertambah kaya. Yang cantik mahu bertambah cantik. Yang berpangkat mahu naik ke pangkat yang lebih tinggi. Yang berpangkat tinggi mahu naik ke paling tinggi. Apabila yang dihajati belum dicapai, mereka gelisah dan keluh-kesah. Mereka marahkan orang lain dan tidak pernah nampak kesalahan sendiri.

Disebabkan tiada sekelumit rasa bersyukur, akhirnya mereka mudah melakukan perbuatan yang dilarang untuk mencapai hajat yang didorong oleh nafsu tidak terkawal dan hasutan syaitan yang membisik di hati mereka.

Yang celik mata pun terlupa betapa bernilainya penglihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Katakan datang malaikat hendak menutup penglihatan mata mereka kerana mereka tidak bersyukur, apakah reaksi mereka? Orang yang mempunyai wang RM10 bilion pun akan cuba merasuah malaikat dengan segala harta kekayaannya untuk menjamin penglihatan dikekalkan.

'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''

Maka kepada kita yang melafazkan ''segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam'' sekurang-kurangnya 17 kali sehari, janganlah hanya bersyukur di bibir. Bersyukurlah dengan hati dan perbuatan. Bersyukurlah dengan mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersyukurlah dengan melakukan amal soleh terhadap makhluk-makhluk yang lain. Sembahlah Allah sepanjang masa, bukan hanya di atas sejadah.

Jika kita tidak bersyukur sebagaimana yang dikehendaki-Nya, itulah tanda kita tidak beriman. Janganlah sekadar Islam, tapi tidak beriman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/