Selasa, 1 Mei 2012

ISU KENEGARAAN : Pemimpin berintegriti tonggak negara sejahtera


Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)


Dalam era globalisasi ini, kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari dalam atau luar negara. Anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan.

Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia serta dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.

Seseorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, seorang pemimpin juga harus mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas.

Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, keluarga sanak saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin juga harus dipikul dengan penuh ketelusan dan ketulusan.

Hal ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat, mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan mereka lebih diyakini keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara oleh golongan marhaen.

Seperti peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang pemimpin dapat dielakkan daripada berlaku.

Jika kita lihat di negara-negara luar seperti Libya, yang mana telah wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan serta ingin menggulingkan pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga mewujudkan pergolakan dan suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan ketidakamanan di negara tersebut.

Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di negara kita, sudah tentu keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak sekian lama akan tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah bahawa bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan kesejahteraan negara.

Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam yang kuat serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara. Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pemimpin harus memiliki ilmu pengurusan bagi membolehkannya mentadbir negara dengan cekap dan efektif bagi menjamin kesejahteraan negara yang ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang tidak memiliki iltizam serta ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin serta ketua tanpa persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada negara iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan.

Peristiwa kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang berpunca daripada kepincangan dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar serta teladan kepada pemimpin. Oleh itu, seyogia seorang pemimpin harus mendapat latihan kepimpinan serta menimba ilmu secukupnya sebelum memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, memiliki akhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan salah satu sikap berintegriti yang harus diamalkan oleh pemimpin. Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan kejujuran. Nilai moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam mentadbir negara.

Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan wujud. Nafsu tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah.

Selain itu, seringkali kita membaca berita yang terpampang di dada akhbar yang mengatakan tentang calon-calon pilihan raya yang hanya inginkan populariti untuk meraih undi tanpa mengambil kira kepentingan negara.

Golongan seumpama ini hanya akan bertindak mengikut nafsunya sendiri tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat akan kurang berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin seumpama itu adalah gila kuasa.

Sementara itu, seorang pemimpin harus mengotakan kata dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya sekadar pemanis bicara. Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan pemimpin yang hanya bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan rakyat namun terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka mengamalkan integriti.

Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah kerana amalan tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun dalam masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan sebagai 'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak menilai baik buruk peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan jika wujudnya golongan yang mempertikai daya kepimpinan pemimpin tersebut akibat hilang keyakinan.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pemimpin tersebut harus bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai seorang pemimpin bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab memimpin negara dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri teladan kepada masyarakat. Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih disenangi, disegani serta dihormati oleh rakyat.

Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk pemerintahan pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang mampu mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan negara. Oleh itu, pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama kesejahteraan negara.

PENULIS ialah pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Produktiviti dan keamanan


Oleh ROHAMI SHAFIE

HARI Pekerja disambut pada setiap tahun. Selepas bertungkus-lumus bekerja mencari rezeki selama setahun, para pekerja di Malaysia diiktiraf atas usaha mereka ini pada Hari Pekerja.

Dahulu, para pekerja membanting kudrat dalam sektor pertanian, kini kepakaran dan gabungan teknologi terkini banyak membantu para pekerja. Gaji ketika itu lebih murah berbanding sekarang. Sektor pekerjaan Malaysia tidak lagi bergantung pada kos buruh yang murah.

Dengan kenaikan taraf hidup rakyat Malaysia selari dengan peningkatan kos sara hidup, kos buruh yang murah tidak lagi berdaya saing.

Setiap pekerja sedikit demi sedikit diberi kenaikan gaji. Terbaru, para pekerja sektor awam menikmati kenaikan gaji. Tidak terkecuali, gaji minimum untuk para pekerja sektor swasta.

Selari dengan kenaikan gaji, mahu tidak mahu produktiviti wajib ditingkatkan. Dengan menggunakan kepakaran, ilmu pengetahuan yang mendalam dan teknologi terkini serta disulami dengan usaha tanpa kenal penat-lelah, sasaran untuk meningkatkan produktiviti bukanlah omongan semata-mata. Peningkatan produktiviti boleh membawa negara ke arah kemajuan ekonomi yang mapan.

Jika para pekerja tidak berjaya meningkatkan produktiviti, tetapi pada masa yang sama menuntut agar kenaikan gaji diberi, kesan negatif akan terpalit ke atas ekonomi negara. Inflasi akan semakin tinggi dan tidak mustahil lebih tinggi berbanding kadar kenaikan gaji. Sasaran negara untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) pastinya tidak dapat dicapai.

Natijahnya, negara boleh terjerumus dalam kemelesetan ekonomi. Sebab itulah produktiviti jangan dibuat main-main. Ia bukan sahaja melibatkan para pekerja tetapi majikan dan pemimpin.

Majikan tidak boleh mengharapkan produktiviti para pekerja sahaja ditingkatkan. Majikan juga kena memastikan diri mereka lebih produktif. Umpamanya, bekerja untuk mencari peluang-peluang perniagaan yang lebih baik di samping memastikan perniagaan sedia ada tetap berdaya saing.

Yang menjadi masalahnya, terdapat sesetengah majikan hanya pandai menyalahkan para pekerja jika sasaran keuntungan tidak dapat dicapai.

Dimarahi para pekerja, kononnya semuanya salah mereka, walhal majikan sendiri tidak nampak kesalahan mereka selama ini.

Contohilah majikan di negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan, mereka tidak hanya bergantung harap pada para pekerja tetapi mereka sendiri berusaha bekerja bersungguh-sungguh dan memberi teladan yang baik.

Satu lagi contoh pengukuran mudah produktiviti adalah ketepatan masa yang menjadi budaya para pekerja dan majikan di Jepun. Di Malaysia, ketepatan masa tidak begitu dititikberatkan. Sering kali kita lihat banyak majlis rasmi terlewat dimulakan.

Maka, terpaksalah para pekerja menunggu begitu lama sehinggalah majlis tersebut berakhir. Akhirnya, kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan pada hari tersebut tidak dapat disiapkan. Dengan kata mudah, produktiviti pada hari berkenaan adalah pada kadar rendah.

Begitu juga, sering kali mesyuarat diadakan berjam-jam berbanding jadual asal. Ia menyebabkan begitu banyak masa terbuang begitu. Bagaimana para pekerja ingin mencontohi ketua mereka jika perkara mudah sebegini tidak mampu dilakukan oleh ketua mereka.

Tidak kurang juga, berapa ramai dalam kalangan para pemimpin politik yang mengajak rakyat bekerja lebih produktif. Yang sering kita dengar, mereka ini lebih mahir untuk berceramah di sana sini tidak kira masa.

Kandungan ceramah mereka sudah diketahui umum asyik menghentam di pihak yang satu lagi. Tiada satu pun yang baik seolah-olah mereka ini cukup sempurna. Adakah ceramah sebegini boleh meningkatkan produktiviti?

Kebanyakan ceramah ini diadakan sampai jauh malam. Keesokan harinya rakyat yang menghadiri ceramah tersebut akan letih untuk bekerja. Belum masuk lagi, perbualan sesama mereka mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan dalam ceramah tersebut yang tidak tentu lagi kebenarannya. Terlalu banyak masa dibuang dengan menghadiri ceramah-ceramah yang tidak menguntungkan rakyat.

Sama juga, ada di kalangan ahli politik yang lebih suka berdemonstrasi dan mengajak rakyat turut serta berdemonstrasi. Tidak diketahui sejauh manakah para pemimpin sebegini bekerja secara produktif demi rakyat.

Itu belum diambil kira sejauh manakah prestasi sebenar para pemimpin sebegini. Tunjukkan bukti prestasi sebenar agar rakyat boleh mencontohi dan membuat pilihan bukannya mengajak rakyat berdemonstrasi sampai menjejaskan produktiviti orang lain.

Umpamanya, peniaga-peniaga di sekitar kawasan demonstrasi tidak boleh bekerja seperti biasa. Orang ramai juga tidak boleh bergerak dengan mudah untuk menyelesaikan kerja-kerja mereka. Ini belum termasuk jika berlakunya kekecohan sehingga menjejaskan keamanan negara.

Kita terlalu diajar untuk menegakkan hak diri sendiri sedangkan ini adalah ajaran Barat. Ajaran agama Islam mengiktiraf hak orang lain lebih penting daripada hak diri sendiri. Umpamanya, mana lebih baik tangan yang memberi sedekah atau tangan yang menerima sedekah?

Jawapannya sudah tentu yang memberi sedekah kerana mengiktiraf hak orang lain untuk mendapatkan bantuan. Tetapi tidak, sesetengah para pemimpin politik lebih suka bercakap mengenai hak diri sendiri dan hak sama rata sampai melupakan hak saksama orang lain.

Akibatnya banyak kekecohan telah berlaku dan menjejaskan keamanan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12. Akhirnya penumpuan rakyat (juga sebagai pekerja) terpesong ke arah hal- hal politik seumpama ini berbanding peningkatan produktiviti. Yang rugi sudah tentulah rakyat dek kerana ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan peningkatan produktiviti.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA)dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe)Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 30 April 2012

ISU SOSIAL : Pekerja abai etika kerja, tak amanah khianati aku janji


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Sebahagian gaji haram jika salah guna hak syarikat

PELBAGAI acara dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Pekerja sebagai menghargai sumbangan serta jasa pekerja. Ia juga menzahirkan penghormatan terhadap pekerja di segenap peringkat yang selama ini banyak menyumbang ke arah kelangsungan pembangunan negara.

Bekerja demi mencari nafkah diri dan ahli keluarga termasuk dalam amal ibadat dianjurkan agama. Malah orang yang bekerja dipandang mulia di sisi Allah, tetapi untuk memperoleh janji Allah bagi keberkatan rezeki atau ganjaran pahala, kita perlu menepati piawai kualiti kerja digariskan agama.

Setiap pekerjaan perlu bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda seterusnya berpesan lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan itu melainkan ia dilakukan dengan ikhlas (jujur) semata-mata kerana-Nya saja.” (Hadis riwayat An-Nasa’i)

Daripada dua peringatan Rasulullah SAW, jelas kepada kita bahawa memulakan gerakan sesuatu pekerjaan mesti dititik mulakan dengan niat ikhlas kepada Allah. Sesungguhnya niat yang bersih suci kerana Allah akan memancarkan daya usaha yang bersungguh-sungguh serta komited.

Ciri kedua harus dimiliki setiap pekerja ialah nilai integriti yang akan menerbitkan sikap amanah menjalankan sesuatu kerja. Sikap ini jika dipelihara dan diterjemahkan dalam pekerjaan akan membawa kejayaan serta kepercayaan.

Agama meletakkan amanah pada kedudukan tertinggi apabila melakukan sesuatu tanggungjawab seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di kalangan kamu hendaklah menetapkannya dengan adil dan saksama. Sesungguhnya Allah memberikan peringatan yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Rasulullah SAW berpesan supaya tidak mengkhianati akujanji atau amanah yang diberikan kerana apabila seseorang lupa amanah yang terpikul di bahunya, maka mereka mudah terpesong daripada landasan etika kerja sepatutnya.

Maka terjadilah pecah amanah ketika melaksanakan tugas dan berlaku perkara yang bersalahan kehendak agama. Banyak kes seperti rasuah, ponteng kerja, menyalahgunakan kemudahan kerja untuk tujuan peribadi berpunca daripada lunturnya nilai amanah dalam diri.

Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Tidak konsisten menjalankan sesuatu tugas juga dikira sebagai tidak amanah dan menyalahi etika kerja Islam. Dalam Fatawa Lil Mawazhzafin wal ‘Umat yang ditulis Syeikh Ibnu Baz menyatakan, status gaji pekerja yang tidak konsisten dan tidak melaksanakan tugas secara sempurna dikira sebagai syubhah.

Katanya lagi, seharusnya seseorang itu takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh ketika menjalankan tugasnya sehingga gajinya tidak mengandungi syubhah.

Wajib melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna supaya gaji diterima halal. Jika tidak, maka status sebahagian gajinya haram. Justeru, hendaklah seseorang itu sentiasa berwaspada dan bertakwa kepada Allah.

Komited terhadap tugas adalah satu perintah agama dan kita tidak boleh memandang remeh isu sebegini kerana ia membabitkan urusan gaji sama ada halal atau haram yang kita terima setiap akhir bulan.

Bagaimana halnya jika ada yang terbabit dengan penyalahgunaan kenderaan atau kemudahan syarikat ketika bekerja? Dalam merungkai permasalahan ini ada baiknya kita teliti apa yang terkandung dalam Fatawa Lil Muwazhzhafin wal ‘Ummah, ditulis Syeikh Ibnu Jibrin.

Katanya, pekerja yang bekerja dengan kerajaan atau syarikat adalah pekerja yang diupah. Dia diberikan amanah untuk memegang tugas diserahkan kepadanya. Dia juga diamanahkan dengan pelbagai kemudahan untuk melaksanakan tugas, maka dia tidak boleh menggunakannya kecuali ketika bertugas atau untuk kepentingan kerja yang diserahkan kepadanya saja.

Justeru, seseorang pekerja tidak boleh menggunakan kenderaan syarikat atau kerajaan untuk keperluan urusan peribadinya. Demikian juga segala peralatan di pejabat dilarang sama sekali digunakan untuk urusan peribadi yang di luar bidang tugas.

Demikian juga dalam isu menggunakan tenaga pekerja untuk melakukan urusan peribadi seperti mengarahkan pemandu syarikat membawa dan menguruskan keperluan sendiri yang tiada kaitan dengan tugas.

Syeikh al-Fauzan dalam Kitab ad-Da’wah berkata, seseorang itu tidak boleh menggunakan pekerja, pemandu milik syarikat atau pejabat kerajaan untuk keperluan peribadi, kerana menyuruh melakukan sesuatu di luar bidang tugasan mereka adalah unsur kezaliman.

Sebagai seorang pekerja kita wajib pada setiap masa menekankan aspek niat yang ikhlas kerana Allah, beramanah, sentiasa bekerja kuat dan penuh komited dalam menjalankan tugas diberikan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Islah diri dulu sebelum masyarakat


OLEH : FATHUL BARI

Islah bererti pembaikan. Suatu ketika dahulu, islah hanya dijalankan oleh pendakwah, guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang mengajar mengaji al-Quran. Tetapi tidak lagi pada hari ini, ruang untuk menyampaikan mesej islah diluaskan, sesiapa sahaja boleh masuk ke dalamnya.

Tidak kira siapa, apa dan bagaimana. Dari islah bab agama sehinggalah kepada bab pemerintahan, telah ramai yang turut serta. Namun, apa yang ditakuti adalah ancaman daripada Nabi SAW tentang manusia yang berbicara mengenai sesuatu bukan bidangnya.

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah dimaksudkan dengan ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR Ibnu Majah)

Saya yakin, semua orang cinta akan kebaikan, tetapi serahkan perkara ini kepada ahlinya. Tambahan pula, ketika ini kita semua berada dalam zaman yang sangat berhajat kepada pembaikan. Aqidah, moral dan pemikiran umat Islam telah dicemari anasir-anasir luar yang bercita-cita meruntuhkan Islam melalui tangan-tangan umat Islam sendiri.

Berikutan itu, kita lihat pada hari ini, umat yang paling senang bergaduh, tidak lain dan tidak bukan adalah umat Islam. Puncanya adalah kita sendiri kerana tidak mahu berpegang kepada agama. Seandainya kita memahami agama, sudah tentu kita kenal siapa ruwaibidhah dan menjauhinya.

Si ruwaibidhah tidak amanah dan berdusta ketika memberi fatwa, inilah sebenarnya pangkal runtuhnya agama.Gerakan islah dalam Islam bermula ketika Nabi Muhammad SAW diutus. Baginda merupakan imam dalam gerakan ini yang mengemudi bahtera islah bersama para sahabatnya.

Betapa hebatnya ahli bahtera tersebut sehinggakan belum pernah ada manusia yang dijamin syurga seperti mana mereka. ALLAH memberikan mereka label ‘semoga ALLAH meredainya’ dan didoakan daripada generasi ke generasi sehingga hari kiamat. Pujian ALLAH terhadap mereka sangatlah banyak dalam al-Quran.

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, ALLAH reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada ALLAH dan ALLAH menyediakan bagi mereka syurga-syurga mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 100)

Kita semua sedia maklum Rasulullah dan para sahabatnya telah berjaya dari segenap aspek kehidupan. Baik jasmani dan rohani, semuanya cemerlang. Setelah ditarbiahkan selama 13 tahun dengan pentarbiahan aqidah yang sahih, gerakan islah berhijrah ke Madinah untuk memelihara aqidah dan menjalankan syariat Islam.

Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dilaksanakan, siapa dan bagaimana semuanya mengikut petunjuk Nabi SAW. Hanya ahli sahaja yang berbicara kerana apabila si jahil memberi fatwa, bukan lagi islah yang diundang, tetapi parah dan kehancuran.

Sumbernya hanya satu iaitu wahyu, al-Quran dan as-Sunnah. Barang siapa yang bercita-cita untuk memperbaiki masyarakat dan negaranya, ambillah wahyu sebagai resipinya. Dengan syarat, islahkan diri anda dahulu. Belum pernah ada seorang kaki botol melarang orang lain minum arak dan seorang pencuri menangkap perompak lain!

Seseorang yang memiliki kebaikan akan membentuk sebuah keluarga. Dari keluarga akan berkembang kepada masyarakat dan akhirnya kebaikan tersebar ke seluruh negara. Inilah resipi daripada wahyu untuk proses islah.

Namun, kita pada akhir zaman terancam dengan fatwa-fatwa palsu daripada orang yang dijulang sebagai ulama. Baginda SAW mengisyaratkan ia 1,400 tahun yang lalu,

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengangkat ilmu dengan sekali gus daripada para hamba. Namun ALLAH akan mengangkat ilmu dengan mewafatkan para ulama. Hingga bila tidak tersisa seorang pun ulama, manusia mengangkat pemimpin daripada kalangan orang-orang yang bodoh. Mereka ditanya lalu berfatwa tanpa ilmu. Mereka pun sesat dan menyesatkan.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Jadi, perkara pertama perlu diislah adalah diri kita sendiri daripada sumber ilmu yang ternoda dengan fatwa palsu. Supaya ilmu itu yang ada pada kita hari ini sama seperti apa yang Nabi dan para sahabatnya berada di atasnya. Wallahua’lam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru mesti terlebih dulu kuasai BI


Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my


Semangat Maktab Kirkby dapat lonjak penguasaan bahasa Inggeris

CYBERJAYA: Tiada kaedah pengajaran yang lebih berkesan melainkan guru menguasai bahasa Inggeris terlebih dulu sebelum berdepan dengan pelajar bagi mengajar bahasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah diguna pakai pada 1950-an yang mana guru dihantar ke Maktab Kirkby, England untuk belajar daripada tenaga pengajar yang juga penutur jati bahasa Inggeris ternyata dapat melahirkan guru yang menguasai bahasa itu dengan cemerlang.

Katanya, guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan budaya berbahasa Inggeris.

“Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara.

“Saya yakin semangat Maktab Kirkby dapat memainkan peranan dalam melonjakkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih dan masyarakat umum di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan buku bertajuk Warisan Maktab Kirkby sempena majlis itu. Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah KIC, Tan Sri Dr Yahya Ibrahim dan Presiden KIC, Bismillah Khatoon.

Bangunan KIC yang dibina dengan kos RM54 juta itu menempatkan 1,030 pelajar termasuk kira-kira 1,000 pelajar lepasan diploma yang kini mengikuti Program Pensiswazahan Guru, selain 126 pelajar lepasan sekolah menengah yang kini mengikuti Program Latihan Perguruan Peringkat Ijazah Pertama.

Muhyiddin berkata, tokoh guru seperti Yahya, yang juga Alumni Maktab Kirkby, wajar memanfaatkan kelulusan dan pengalaman luas beliau serta rakan seangkatannya untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan tenaga pengajar di sini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM) turut menyumbang cadangan dan pemikiran dalam Dialog Kebangsaan Kajian Semula Pendidikan yang beliau lancarkan kelmarin, menjurus kepada aspek khusus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, walaupun bahasa Inggeris diletakkan di tempat kedua selepas bahasa Melayu, kerajaan tetap mengiktiraf kepentingan usaha memastikan rakyat menguasai bahasa antarabangsa itu.

ISU PEKERJA : Gaji Bulanan Minimum Sektor Swasta RM900


Oleh ZUHRIN AZAM AHMAD dan JOSEPH SIPALAN

PUTRAJAYA: Gaji bulanan minimum bagi pekerja sektor swasta di Semenanjung ditetapkan pada RM900 dan RM800 bagi Sarawak, Sabah dan Labuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Ia meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi kecuali mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan domestik, seperti pembantu rumah dan tukang kebun.

Ia berfungsi kepada RM4.33 sejam bagi para pekerja di Semenanjung manakala pekerja di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibayar minimum RM3.85 sejam.

Akhirnya, terdapat hanya satu gaji minimum bagi negara ini, katanya, sambil menambah bahawa gaji minimum akan dikaji semula dari semasa ke semasa selaras dengan produktiviti negara, kemampuan dan daya saing.

Gaji minimum yang dijangkakan banyak pihak telah diumumkan oleh Najib pada perhimpunan khas dengan ribuan pekerja sektor swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam Isnin.

“Ini merupakan hadiah khas daripada Kerajaan Persekutuan kepada pekerja seluruh negara yang dicintai," katanya.

Kadar gaji minimum itu akan berkuat kuasa enam bulan dari tarikh Perintah Gaji Minima diwartakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh efektif bagi syarikat kecil atau perusahaan mikro dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi memberi mereka ruang dan peluang untuk membuat persediaan supaya perniagaan mereka tidak akan terjejas.

Najib berkata, tempoh 12 bulan tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, perundangan, arkitek dan perunding.

Beliau berkata, walaupun mereka mempunyai lima orang pekerja atau kurang, mereka dikehendaki melaksanakan gaji minimum dalam tempoh enam bulan selepas Perintah itu diwartakan.

Beliau menambah, tempoh yang diberikan itu adalah mencukupi untuk majikan semula struktur gaji dan operasi perniagaan mereka.

"Kerajaan menyediakan satu mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya mereka yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh merayu untuk ditangguhkan.

"Kami juga menyediakan satu mekanisme di mana beberapa elaun atau bayaran tunai tetap dibenarkan untuk diserap dalam pengiraan bagi gaji minimum.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaannya tidak membebankan majikan dan tidak akan kehilangan pekerja," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Kerajaan menyedari pekerja menuntut gaji minimum antara RM1,200 dan RM1,500, namun ia tidak dapat dilaksanakan.

Berdasarkan syor Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

"Jika ia melepasi paras RM900 (gaji pokok), ia akan menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pekerja asing.

"Jika ia berlaku, industri tidak boleh beroperasi dengan sewajarnya dan ramai akan kehilangan kerja mereka dan Kerajaan tidak mahu membiarkan perkara ini berlaku kerana ia akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan negara," katanya.

Selepas beberapa siri perbincangan, satu keputusan telah dicapai oleh Majlis itu bahawa gaji minimum akan ditetapkan berdasarkan keperluan asas keluarga pekerja, keupayaan majikan untuk membayar gaji, produktiviti, peningkatan dalam kos sara hidup dan keadaan pasaran buruh.

Beliau berkata, Majlis mengemukakan syornya dan Kerajaan bersetuju dengan pelarasan.

Najib juga menjelaskan perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung dan Sarawak, Sabah dan Labuan adalah disebabkan perubahan dalam struktur gaji dan kos yang ketara di kawasan itu.

Bagaimanapun, Kerajaan berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, gaji minimum untuk Sabah, Sarawak dan Labuan boleh diselaraskan dengan Semenanjung.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Melengkapi warga Melayu global


OLEH : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Minggu lepas, saya bagi sekian kali, membicarakan betapa pentingnya orang Melayu/Pribumi menguasai minimum tiga bahasa - Melayu, Inggeris, Mandarin atau Arab. Kalau minda mampu dan ekonomi mencukupi empat, pilihan antara Sepanyol, Perancis, Jepun dan Jerman.

Secara kebetulan pula Perdana Menteri Najib Tun Razak pada hujung minggu yang sama ketika berkempen di Sandakan, Sabah menggalakkan rakyat Malaysia khasnya Pribumi menjadi orang trilingual - petah secara lisan dan menulis dalam Bahasa Melayu (BM), Inggeris (BI), Mandarin atau Arab. Kalau anda ragu menerima nasihat saya yang diulangi tegas Speaking, “ad nauseam” atau direpetisikan tanpa jemu dengarlah pesanan Najib kerana dia seorang pemimpin yang berwibawa, berkaliber; tujuannya baik.

Anda tidak akan rugi dan menyesal menerima petua yang baik daripada apa sumber dan siapa pun. Saya ulangi kata Najib, “Sekarang Mandarin menjadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika anda menguasai BM, BI dan Mandarin, ia menjadikan anda hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Dua anak saya - sebagai contoh - seorang mempelajari Mandarin dan seorang lagi bahasa Arab selain BM dan BI.” (Berita Minggu, 22 April 2012).

Kedua bahasa Mandarin dan Arab bukan sahaja antara enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tetapi diguna dalam pertuturan kalangan komuniti antarabangsa malah memudahkan (kalau benar-benar mahir dalam bahasa itu) persaingan mendapat pekerjaan, menceburi perniagaan.

Puluhan ribu, kata orang lebih 100,000 murid Melayu dan bilangannya sedang meningkat belajar di sekolah Cina kerana sekolah tersebut dipercayai memberi disiplin, etika kerja dan gurunya lebih bertenaga, bersungguh dan tinggi komitmen dalam mendidik. Pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah Cina juga dilihat lebih bermutu dan berjaya berbanding sekolah kebangsaan. Di sekolah Cina, mengikut legenda ataupun pada realiti - bergantung dengan siapa anda bercakap - murid sekali gus mempelajari tiga bahasa - BM, BI dan Mandarin.

Beratus-ratus pula anak pembesar dan elit Melayu daripada prasekolah lagi dihantar ke sekolah swasta antarabangsa yang bahasa pengantarnya BI kerana destinasi anak ini universiti berjenama di luar negara. Lazimnya anak ini apabila lulus kelak mendahului pelajar lain ketika memasuki alam pekerjaan dan kerjaya.

Majoriti mereka juga tidak akan memasuki perkhidmatan awam kerana BM mereka lemah, kadangkala tidak ada langsung. Maka jadilah perkhidmatan awam satu kerjaya yang didominasi graduan lokal. Dunia ekonomi, industri, kewangan, teknologi canggih, inovasi terbaru, syarikat multinasional pula didominasi graduan seberang laut. Suka duka itu sudah pun berlaku sekarang dan akan lebih ketara dan satu kenyataan masa depan.

Ibu bapa mengejar bahasa kerana nilai ekonominya tinggi, darjat, harkat, sosialnya agung. Sebab itulah menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi kerajaan, orang korporat hatta orang biasa yang bervisi mendidik anak mereka di sekolah yang bahasa pengantarnya BI. Tetapi ramai lagi sebenarnya terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan yang tidak semuanya menggunakan BM yang indah, bahasa yang mempunyai nilai kesusasteraan tinggi. BI dianggap oleh majoriti manusia sebagai bahasa politik, kultural, ekonomi, high finance dan penyelidikan.

Terlintas di kepala: Mana Usman Awang, Adibah Amin, Munsyi Abdullah, Tun Seri Lanang dan Zaaba baru sekarang? Dalam bidang perfileman, nyanyian dan muzik, mana P Ramlee, Saloma dan Sudirman baru?

Bahasa kacukan dan pidgin makin menjadi-jadi. Sepatutnya RTM, TV3, NTV7, TV9, Astro Awani dan radio menggunakan bahasa baku seperti BBC menggunakan Queen’s English atau hampir dengannya; CCTV bahasa Mandarin sebutan Beijing, CNN BI pelat Amerika. Saya tidak menentang penggunaan bahasa daerah atau loghat. Ini bisa dalam program tertentu tetapi tidaklah pada program perdana dan berita perdana. Sekarang kita memasuki zaman bahasa SMS, bahasa telegram; lebih teruk bahasa Tarzan!

Di Kelantan saya menggunakan loghat Kelantan. Sudah lama saya tidak melihat wayang kulit, makyong, menora - ketiga-tiga ini menggunakan loghat, pelat dan bahasa tersendiri. Sudah lama saya tidak mendengar bahasa hantu (bahasa jampi) iaitu bahasa yang ditutur khas oleh bomoh, pawang dan tok puteri.

Hingga kini BI terus dianggap dan diletakkan pada tahap tertinggi dalam semua bidang kehidupan di negara kita walaupun BM bahasa rasmi tunggal, bahasa nasional dan lingua franca rakyat. Kadangkala contoh yang terang seperti gambar di atas: Bahasa Mandarin di atas, bahasa kebangsaan di bawah! Kadangkala BI dan bahasa Mandarin sahaja! Perkara begini tidak akan berlaku di negara yang bermaruah tinggi seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan Mesir. BM terus dilihat orang Melayu sendiri dan kerajaan pun sebagai bahasa vernakular!

Selagi BM tidak diberi nilai ekonomi dan sosial yang tinggi di buminya sendiri, selagi itulah ia tidak akan dimuliakan! Saya bisa, kalau perlu mengguna bahasa Istana/Keraton atau bahasa beradat. Saya amat kecewa dengan kerajaan kerana tidak tegas dalam melaksanakan BM dan meletakkannya di tempat tertinggi.

Apa pun ‘semangat bahasa jiwa bangsa’ semakin lemah. Di mana Syed Nasir, Ungku Aziz, Aminuddin Baki baru? Ke mana sudah pergi Persatuan Guru-guru Melayu Semenanjung, Persatuan Penulis Nasional (Pena), Gapena, persatuan Bahasa Melayu di universiti-universiti dan media Melayu? Sedih, sungguh masyghul; sungguh mendukacitakan. Pejuang bahasa tulen dan yang jujur hanya wujud ketika Dewan Bahasa dan Pustaka tiada bangunan pencakar langit.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/