Ahad, 13 Mei 2012

ISU BAHASA : Sekolah aliran Inggeris



Oleh Nazmi Yaakub

 Agenda kelompok tertentu diteruskan dalam Dialog Pendidikan Nasional

ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada usaha memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia

Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu beragama Islam.

“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta boleh memilih apa juga bahasa.

Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan bawahan.

“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguh dasar bahasa kebangsaan.

“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.

Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.

“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita kembali ke era penjajahan.

“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.

Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.

“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.

Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut martabatnya.

“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.

“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia ketiga,” katanya.

Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik ke belakang.

“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.

“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Al FATIHAH - UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM CIKGU ABD. RAZAK HASSAN


Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Abdul Razak Hassan, rakan penulis blog Bahasa Melayu (http : //galusbm.blogspot.com/) yang sangat prolifik kerana telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11.00 malam tadi (12 MEI 2012). Semoga rohnya dicucurkan rahmat oleh Allah s.w.t. dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin - Al Fatihah.

ISU SUKAN : Malaysia juara Piala Remaja Asia tewaskan Pakistan 2-1



KUALA LUMPUR 13 Mei - Sebentar tadi pasukan hoki remaja Malaysia telah melakar sejarah apabila muncul juara hoki Piala Remaja Asia selepas menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka  malam ini. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Penyakit Tidak Berjangkit Ancaman Kesihatan Baru Di Malaysia


PUTRAJAYA: Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini merupakan ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun lepas mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan 2.6 juta menghidap diabetes.

"Situasi NCD di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Terdahulu itu, Dr Hasan merasmikan Kem Kesedaran Kesihatan (3K) anjuran Kelab Lembaga Jururawat Kuala Lumpur di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini Ahad.

Tinjauan NHMS pada tahun lepas menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Tinjauan itu juga menunjukkan obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.

Dr Hasan berkata, kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88 lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi.

Selain itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan menjalankan aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan awal.

Dr Hasan berkata, punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kini mengamalkan amalan hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam.

Selain itu, beliau berkata, tinjauan NHMS mendapati ramai rakyat Malaysia tidak melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

"Individu yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kalaia hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.

"Sehubungan itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : PEMANDU MALAYSIA PERLU UBAH SIKAP


KUALA LUMPUR : Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika  di jalan raya.

"Mereka sedar mengenai bahaya di jalan raya, tetapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai  trek perlumbaan Formula Satu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.

"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara," katanya.

Lee berkata, pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.

Katanya, kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja.

"Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai  kenderaan yang remuk, mayat bergelimpangan, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami oleh keluarga mereka," katanya. - BERNAMA

Sabtu, 12 Mei 2012

ISU BAHASA : English School? Yes...


TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Pendeta Zaaba, Profesor Diraja Ungku Aziz mahir bahasa Melayu (BM) dan Inggeris (BI). Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Najib bisa bicara dalam dwibahasa dengan baik. Samad Ismail, Adibah Amin, Mazlan Nordin, Kadir Jasin dan ramai lagi penulis, wartawan, editor terdidik dalam BM dan BI. Sebelum kemerdekaan (1957) ramai orang kita yang terdidik dalam BI sahaja , baik di dalam negeri atau di United Kingdom. Selepas 1970-an ramai lebih fasih dalam BM daripada BI.

Di bawah pemerintahan penjajah,  pasaran pekerjaan untuk mereka yang hanya berpendidikan dalam BM amat terhad. Kini - pada umumnya - yang menerima didikan dalam BM - pasaran pekerjaan terjamin apalagilah kalau pula pandai dwibahasa.

Pada saya, sama ada tebal, nipis atau tiada langsung perasaan kebangsaan tiada kena mengena dengan bahasa pengantar di sekolah. Sebelum merdeka,  anak bangsa yang dididik di Universiti Malaya dan luar negara yang menggunakan seratus peratus BI tebal rasa nasionalisme mereka.

Sekarang ramai yang monolingual (hanya tahu satu bahasa sahaja) tidak langsung mempunyai perasaan kebangsaan atau kemelayuan. Mungkin mereka salah asuhan,  bukan  disebabkan bahasa pengantar di sekolah.

Kita mesti berfikir secara rasional, tanpa emosi, mengenai kesan pendidikan satu bahasa sahaja yang bakal diterima anak bangsa kita dalam pasaran pekerjaan global  juga di pasaran lokal. Ibu bapa Melayu atau Peribumi mesti  fikir tentang hal  ini secara pragmatis, mengambil kira perkembangan geopolitik semasa dan akan datang.

Saya tidak nampak ada kontradiksi dalam dasar pendidikan negara andainya sekolah Inggeris atau  kata speaking  English Schools diwujudkan bersama seperti sekolah Cina, Tamil, Arab dan agama. Sekolah kebangsaan sudah begitu dominan, ia tidak bisa lagi tercabar atau diketepikan oleh sekolah jenis lain.

Sudahpun ada banyak sekolah Inggeris tempatan private dan international di seluruh negara. Sebenarnya satu cara terbaik bagi menggalakkan anak bangsa menguasai BI ialah melalui memulihkan semula sekolah seperti MCKK, Penang Free School, Victoria Institution, Sultan Abdul Hamid College, Sultan Ismail College. Sultan Abu Bakar College, Muar High School, TKC, Convent, St Michael Institution dan lain-lain lebih kurang semuanya 70 hingga 100 sekolah kepada status asal mereka iaitu menggunakan BI sebagai bahasa pengantar sepenuhnya.

Menung sejenak adakah alumni sekolah Inggeris seperti Johan Jaafar, Muhyiddin Yassin, Rejal Arbee, Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi kurang semangat kebangsaan, kurang Melayu? Malah Dr Wee Ka Siong (fasih tribahasa - Mandarin, BM dan BI) Timbalan Menteri Pelajaran menyatakan bahawa kerajaan sedang “pondering” iaitu memikir dengan teliti tentang mewujudkan kembali English - medium schools sebelum membuat keputusan. Jangan terlampau lama mem’pondering’kan nanti kita tertinggal kereta api! Saya kira kita orang Melayu atau Peribumi sudah pun confident, tidak seperti dahulu lagi.

Saya sedar dasar pendidikan negara dan falsafahnya menetapkan bahasa pengantar semua pendidikan dalam negara (kecuali sekolah Cina, Tamil, agama dan international schools ) mesti dalam BM. Kalau begitu kenapa pula wujud English schools private tempatan yang hanya memanfaatkan golongan elit sahaja? Saya faham kewujudan international schools.

BI di sekolah kebangsaan kononnya satu mata pelajaran teras (core), is it? Betulkah? Kalau sahih kenapa kualiti, mutu dan proficiency dalam BI, pada umumnya, kian merosot? Saya tegaskan di sini English schools dan sekolah kebangsaan boleh co-exist, hidup bersama dengan baik. Kan dahulu pun begitu? Di Kuala Kangsar, ada MCKK, Clifford School juga Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan serupa di Kota Bharu - Sultan Ismail College, Islah School dan Sekolah Jamek (kini dikenali Maahad Mahamadi); di Kuala Terengganu, Sultan Sulaiman School, Grammar School dan Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin; di Alor Setar Sultan Abdul Hamid College dan Maahad Mahamud.

Seperti kata peribahasa kita kalau hendak seribu daya, tak hendak satu juta dalih! Terfikir juga jawapan kerajaan melalui Dr Wee itu satu helah ringan. Takkanlah orang Melayu akan memberontak sebab BI? Dalam 1960-an mungkin berlaku demikian tetapi kita sekarang berada dalam era dan abad baru. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pengumuman dalam pelbagai bahasa pun kita tidak kisah lagi kerana bangsa kita pada hari ini sudah yakin pada diri sendiri, sudah confident. Dulu orang Melayu bagai mahu mengamuk menentang multi-lingualisme; itu lima dekad  dahulu!

Kita bukan lagi bangsa yang hina, bukan lagi kelas dua, bukan lagi orang kampung; kita kini orang bandar, orang global. Menang sorak pun jadilah!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/


SILA KEMUKAKAN PANDANGAN ANDA...

IBU (Kudedikasikan Khas Buat Ibu-ibu di Seluruh Malaysia)




Dalam hati setiap manusia
ada tempat istimewa

Menjelmanya kasih suci
yang tidak ada bandingannya

Kasih ini kusembahkan padamu
sungguh murni tak terhingga

Andai kata kau tak ada
aku merasa tak bahagia....

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila kuberduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat kumenyerah kasih
Tiap waktu

Betapa tidak kerna engkaulah
Yang menyinarkan hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Kau tak dapat kulupakan
Wahai ibu

Artis: P. Ramlee