Khamis, 17 Mei 2012

ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Wayang Kulit



Oleh : Adlan Jaafar

SEBAIK lampu di belakang layar putih dihidupkan, susunan watak wayang kulit serta-merta hidup. Suara tok dalang, panggilan kepada individu yang menghidupkan karakter tersebut berkumandang di seluruh ruang bilik.

Mula mengenali wayang kulit seawal usia tiga tahun, Che Mohd. Nasir Yusof, mempelbagaikan intonasi suara mengikut karakter yang dimainkan.

Watak utama, Raja Seri Rama bersuara tegas tetapi bersopan manakala Tuan Puteri Siti Dewi pula bersuara halus. Watak-watak comic relief seperti Wak Long dan Pak Dogo mempunyai nada lucu dan sedikit kelam-kabut.

Pertuturan tok dalang memiliki dinamik apabila menghasilkan ketegangan pada adegan-adegan tertentu. Dialog-dialog disampaikan berkisar isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Bagi memberi isyarat kepada pemuzik untuk pengenalan babak seterusnya dan menghasilkan kesan bunyi, tok dalang menggunakan sejenis alat yang digelar sebagai pemetik.

"Jadi tok dalang mesti tahu serba-serbi. Mesti tahu menebang pokok untuk buat alat muzik. Harus pandai menjahit baju dan memasak untuk ahli kumpulan," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Nasir ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar lelaki yang berusia 56 tahun itu, wayang kulit Kelantan bersifat tiga dalam satu. Ia mempunyai tiga pengaruh agama iaitu Buddha, Hindu dan Islam.

Pengaruh Buddha dapat dilihat pada kesenian penghasilan watak manakala unsur-unsur Hindu boleh dikesan melalui penggunaan cerita epik Ramayana tetapi nama karakter telah dimelayukan.

Sehubungan itu, ada kalangan pakar-pakar berpendapat wayang kulit Kelantan memiliki hampir 95 peratus unsur Hindu.

Namun begitu, bagi Pak Nasir, karakter dan seni fizikal hanya unsur luaran. Paling penting ialah falsafah yang terkandung dalam sesebuah persembahan dan wayang kulit yang dimainnya sarat dengan unsur keislaman.

Kata lelaki yang berasal dari Kampung Bunohan, Kelantan itu, penggunaan seorang tok dalang yang mengawal semua perkara memberi tafsiran bahawa tuhan itu satu.

"Semua karakter sama ada baik mahupun jahat berupa raksasa, jin dan jembalang seperti Bota Raja Wana akan tunduk pada kekuasaan tok dalang," terang Pak Nasir yang telah ke Jepun sebanyak sembilan kali atas tiket wayang kulit.

Gambaran masyarakat

Wayang kulit Kelantan yang dipentaskan pada waktu malam juga mempunyai maksud tersirat. Ketika manusia berada dalam kegelapan, kita memerlukan cahaya untuk dijadikan panduan.

Bayang-bayang itu sendiri memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa lumrah manusia, lekas benar mengalami 'gila bayang' terhadap semua perkara seperti kuasa, wanita dan harta sehingga lupa tanggungjawab.


Mengikut teks asal epik Ramayana versi Melayu, hanya ada tiga karakter iaitu Tuan Puteri Siti Dewi, Raja Seri Rama dan Bota Raja Wana.

Ketiga-ketiga karakter menjadi refleksi pada unsur manusia (Raja Seri Rama), kebaikan (Tuan Puteri Siti Dewi) dan kejahatan (Bota Raja Wana).

Dalam permainan wayang kulit, barulah karakter-karakter lain seperti Maha Risi, Raja Muda Laksamana, Wak Long dan Pak Dogo diwujudkan.

Berbeza dengan wayang kulit Purwa dari Indonesia, mereka lebih menekankan teknik pergerakan karakter. Justeru, ia boleh dimainkan pada waktu siang.

Ia juga bersifat budaya dan dimainkan oleh masyarakat Jawa dan Bali tanpa mengira agama dan semua karakter berpakaian tradisonal Jawa.

Pak Nasir juga tidak menolak terdapat unsur-unsur mistik dalam wayang kulit dengan memuja karakter Pak Dogo. Tindakan itu bertujuan supaya ramai penonton dan berharap mereka datang kembali untuk menonton.

"Tetapi sebagai manusia yang membuat semua karakter ini, mengapa harus kita memuja mereka? Sepatutnya watak-watak ini yang harus tunduk kepada manusia," tegas Pak Nasir.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : Nilai kedudukan bahasa Melayu di sektor awam !



Azman Anuar

SEKARANG, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan.

Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris.

Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide.

Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta.

Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak menjiwai semangat cinta akan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada tempat yang salah.

Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya.

Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.

Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri.

Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu.

Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’

Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 16 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Guru unggul miliki kesabaran, kasih sayang



Oleh Asri Md Saman @ Osman

Perwatakan luhur pendidik mampu melahirkan anak didik cemerlang akademik, sahsiah

PROFESION keguruan adalah profesion tertua dunia dan Islam meletakkan guru di kedudukan sangat mulia hingga guru ditempatkan setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.” (Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada tindakan guru.

Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah.

Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.

Selain itu, guru hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan semua pelajar supaya segala ajarannya akan memberi kesan.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu ilmu pengetahuan, perubahan hasil daripada ilmu diperoleh dan guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang.

Rasulullah SAW adalah pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A’uf, Abu Huraira dan Saad bin AbiWaqas.

Hari ini, guru perlu menerima hakikat adanya ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak dan beranggapan pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata melakukan kesalahan.

Kesannya, murid berasa lebih hebat dan berani untuk melawan guru. Jadi, bukan sesuatu yang pelik banyak kes berlaku hari ini membabitkan disiplin pelajar sehingga berlaku pergaduhan dengan guru. Sebab itu tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Guru juga berdepan dilema sikap ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan anak mereka melakukan kesalahan. Sepatutnya ibu bapa perlu mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan guru, bukan terus memihak kepada anak mereka.

Cabaran lain dihadapi guru kini ialah melakukan transformasi kerana zaman guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sudah berlalu sebaliknya tugas mereka kini menjadi pemudah cara kepada murid menimba ilmu pengetahuan.

Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih bersedia, peka serta menggunakan situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu dirangsang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Tambahan dengan adanya sumber maklumat serta teknologi terkini yang canggih.

Guru juga berperanan menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Sumbangan guru itu menjadikan mereka jurutera yang membentuk manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak Ku-jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku semata.” (Surah az-Zariat, ayat 57)

Kerjaya guru membuka luas ruang untuk mendapatkan pahala dan reda Allah kerana keikhlasan menjadikan setiap amal perbuatan dikira sebagai ibadat.

Oleh itu, walau apa pun cabaran dihadapi, guru dapat mengharunginya kerana niat serta perjuangan mereka adalah jelas demi membina modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah kita hayati kata-kata Saidina Ali yang bermaksud: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”

Menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang diwartakan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tanpa guru siapalah kita...



OLEH : ABD JALIL ALI

Belum lambat untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada cikgu-cikgu yang telah berjasa amat besar pada saya. Mereka mengajar saya A, B, C, alif, ba, ta. Mereka juga mengenalkan saya angka-angka 1, 2, 3. Tanpa mereka siapalah saya!

Sejak hari pertama ke sekolah saya sentiasa takut pada cikgu. Tidak kira cikgu perempuan, lebih-lebih lagi yang lelaki, semua nampak garang. Tidak ada senyum, semua serius semacam. Paling saya takut Guru Besar, Mohd Dzuli Adni atau lebih dikenali dengan Cikgu Zainal.

Cikgu-cikgu lain yang mengajar saya semasa sekolah rendah termasuklah Cikgu Manisah, Cikgu Suratmi, Cikgu Fatimah (ada tahi lalat!), Cikgu Bakar, Ustaz Satam. Murid Sekolah Rendah Kebangsaan Sawah Ring – di pedalaman Muar – tidak ramai, tidak sampai 100. Cikgu pun tidak lebih 10.

Memang semua garang, tetapi mereka mengajar dengan gigih. Disiplin amat ketat, kalau buat salah pasti ada hukumannya. Tidak hafal sifir, kena berdiri atas bangku. Tidak tahu mengeja, kena buat ‘tok ketampi’. Ponteng sekolah tanpa sebab, kena berdiri di luar bilik darjah.

Ada banyak lagi hukuman, tetapi paling ditakuti ialah sebatan di punggung. Setengah abad lalu, rotan digunakan secara bebas di sekolah. Kalau dipanggil ke bilik Guru Besar, siaplah punggung. Kalau tidak pada punggung, rotan sebesar jari kelengkeng itu mungkin hinggap di betis.

Lima tahun di sekolah rendah – saya lompat kelas, tidak belajar darjah tiga – saya kena rotan sekali. Ketika perhimpunan pagi Ahad – di Johor ketika itu cuti hujung minggu ialah Jumaat dan Sabtu – saya sudah tahu akan menerima padah.

Kesalahan saya ialah tidak datang latihan sukan pada hari Sabtu. Zup, zup, zup! Tiga kali rotan hinggap di punggung. Peritnya bukan kepalang.

Betapa pun perit dan merah di punggung, saya tidak berani mengadu pada emak, lebih-lebih lagi pada abah. Kalau mengadu pada abah dia akan kata: “Padan muka engkau, tak ikut cakap cikgu memang patut kena rotan!” Dan, dia akan tambah satu lagi sebatan di betis atau tapak tangan. Jadi, lebih baik jangan mengadu.

Ketika di sekolah menengah pun ada cikgu yang garang. Sebat murid hingga patah pembaris panjang. Ada murid kena penampar hingga merah pipi. Ada juga cikgu jentik telinga murid hingga kebas.

Tetapi, tidak ada yang mengadu kepada ibu bapa. Ada dua sebab. Pertama, guru amat dihormati dan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat. Kedua, ibu bapa lebih percaya kepada guru daripada anak sendiri. Apa yang cikgu buat dianggap betul untuk mendidik anak-anak.

Itu 50 tahun dulu! Hari ini ibu bapa lebih menyebelahi, dan terlalu memanjakan anak. Sebab itu kalau ada silap sikit dilakukan pada murid, ibu bapa akan menyerang guru di sekolah. Anak kena cubit sedikit, ibu bapa melenting dan buat laporan polis.

Sekiranya murid diminta memungut sampah atau mencuci tandas, ibu bapa akan mengadu kepada PIBG, silap-silap akan menulis surat kepada Pejabat Pendidikan, dengan salinan kepada Perdana Menteri. Kalau nasib tidak baik guru berkenaan kena tukar sekolah.

Kalau rotan murid kerana melakukan kesalahan melampau – termasuk merosakkan harta benda sekolah, atau mengugut akan bunuh guru – ibu bapa akan mengadu kepada polis, menteri dan NGO hak asasi. NGO akan buat kenyataan hentam sekolah cukup-cukup.

Ibu bapa tidak menghormati guru, tidak ambil berat tentang sekolah. Diajak mesyuarat PIBG setahun sekali, hanya seorang dua ibu bapa hadir. Diminta berjumpa Guru Besar untuk membincang masalah anak, mereka tidak datang. Mereka akan datang, dan marah-marah, hanya jika anak dapat semua E dakwat merah dalam peperiksaan.

Oleh sebab anak-anak terlalu dimanjakan, mereka tidak takut guru. Mereka ingkari perintah guru – ponteng, tidak buat kerja rumah, melawan guru. Malah, ada yang berani membakar bilik guru. Ada yang menconteng dinding sekolah, memaki hamun guru. Semua orang tahu disiplin sekolah menjunam.

Saya bersyukur bersekolah – rendah dan menengah – pada ketika rotan bebas digunakan. Memang ada guru yang bengis dan garang, tetapi merekalah yang membentuk saya menjadi manusia. Ramai juga yang baik dan murah senyuman, termasuk Cikgu Munap Long, dan Cikgu Nopipah Pendek, guru sejarah semasa tingkatan lima.

Sama ada disebut nama atau tidak – sesetengahnya mungkin sudah tidak ada – guru-guru telah mencurahkan ilmu dan membentuk saya menjadi manusia. Jasa mereka saya kenang hingga mati.

http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Omar Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012



KUALA KANGSAR 16 Mei - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Omar Mohd. Hashim dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 di sini hari ini.

Penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2012 ialah bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Mary Yap Kain Ching; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, Kluang, Johor, Mohd. Azman Abdul Rashid dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010, Lim Ai Lee @ Lim Irene.


Pada sambutan tahun ini, satu anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan ia menjadi milik pengasas Sekolah Kadir Adabi dan sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun.

Mereka semua menerima sebutir pingat emas, plak, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Cabaran mendidik di pedalaman


OLEH : KHADIJAH MOHAMAD NOR

BAGI kebanyakan guru baharu, menunggu waktu penempatan untuk sekolah yang bakal diajar merupakan saat yang mendebarkan. Malah, boleh dikatakan masing-masing berharap akan ditempatkan di sekolah yang terletak di lokasi strategik seperti di bandar-bandar terkemuka, daerah atau negeri yang tidak jauh dari tempat kelahiran mereka.

Justeru, apabila dimaklumkan status penempatan sekolah mereka di kawasan pedalaman atau luar bandar, pasti terdetik rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian.

Bagaimanapun, sebagai seorang guru setiap amanah yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin demi mendidik anak bangsa agar menjadi orang berguna.

Itu antara fasa hidup yang dilalui Siti Herdawati Hamidun, 29, seorang guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendam yang terletak di daerah Samarahan, Sarawak walaupun beliau menjalani latihan praktikal di ibu kota.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang yang mesra dengan panggilan Wawa itu, sewaktu mengetahui dia bakal ditempatkan di Sarawak, hatinya berbunga riang memandangkan si suami turut bertugas di Bumi Kenyalang.

"Namun, apabila keputusan rasmi dikeluarkan iaitu saya akan mengajar di daerah Samarahan, saya sedikit sedih kerana ia terletak jauh dari lokasi suami bekerja iaitu di Kuching.

"Tetapi, akhirnya saya sedar ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Ternyata sikap positif itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk mendidik anak-anak di sekolah tersebut," ujar Wawa yang mula bertugas di Samarahan sejak tiga tahun lalu sejurus menamatkan diploma Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Tambah Wawa, pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk memahami pertuturan murid-murid di sekolah itu kerana loghat mereka dalam bahasa ibunda Sarawak yang pekat.


Hadiah berharga

Justeru, secara perlahan-lahan, ibu kepada dua cahaya mata itu cuba mempelajari bahasa pertuturan mereka untuk mendekatkan diri dengan murid-murid di sekolah tersebut.

"Alhamdulillah, kini masalah tidak faham dialek sudah berjaya diatasi dan saya seronok mengajar anak-anak ini yang sentiasa bersemangat untuk belajar terutama apabila menggunakan teknologi komputer.

"Paling terharu apabila pelajar-pelajar menghadiahkan saya barang-barang seperti sabun, beras dan buah-buahan sempena Hari Guru atau ketika dusun milik ibu dan ayah mereka berbuah.

"Bagi saya hadiah sebegitu amat berharga walaupun bukan barangan yang mahal kerana apa yang penting ialah ingatan mereka kepada guru yang telah mendidik mereka," jelas Wawa yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

Sementara itu, anak muda bernama Faris Syimir Rozaini, 24, yang turut ditugaskan mengajar di daerah Kapit, Sarawak memberitahu, cabaran mengajar di pedalaman sangat berbeza berbanding mengajar di kawasan bandar.

Kesusahan hidup di kawasan luar bandar secara tidak langsung menjadikan proses pengajaran itu semakin sukar. Ditambah pula dengan bahasa ibunda yang berlainan, ia juga menyumbang kepada cabaran yang dihadapi pendidik.



Hormat guru

"Guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman boleh dianggap sebagai tentera kerana tugas mereka tidak sekadar mendidik. Di bandar, kita selalu dengar apabila murid sakit, gurulah doktornya dan apabila murid hendak bermain bola, gurulah jurulatihnya.

“Tetapi di pedalaman, jika sekolah tiada air, gurulah yang akan meredah sungai dan mendaki bukit semata-mata untuk menyambung paip air yang tercabut dan membekalkan air kepada semua penghuni sekolah," ujar Syimir dalam aspek cabaran fizikal yang dihadapi guru-guru di pedalaman.

Tambah guru subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Dunia Seni Visual itu, dari satu aspek lain, guru-guru di kawasan luar bandar begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana sanggup meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak demi mengajar anak-anak mereka.

Justeru, ibu bapa biasanya tidak lokek berkongsi rezeki dengan guru di sekolah anak mereka.

"Di sini, kami sering menerima hadiah dalam bentuk hasil hutan. Pernah sekali seorang rakan sejawat saya menerima seekor rusa hasil buruan penduduk tempatan. Ia memang sesuatu yang tidak dijangka dan membuatkan kami rasa amat dihargai," terang Syimir yang melahirkan harapan agar anak didiknya mampu mengamalkan apa yang telah diajar kepada mereka untuk menjadi insan yang berjaya. 

Sumber : http : //www.kosmoonline.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jawatankuasa Kerja tangani isu beban guru sedang laksana 28 perakuan




KUALA KANGSAR : Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara langkah yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

"Sistem ini dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

"Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah di bawah kementerian," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah.

Oleh itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.

"Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana semua ujian akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah.

Beliau berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambah baik serta sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan cekap.

"Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu," katanya. - BERNAMA