Ahad, 20 Mei 2012

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Bina kekayaan baru melalui angkasa



Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my

MALAYSIA mula mengorak langkah serius dalam arena aeroangkasa pada tahun 1997 menerusi pembentukan Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia.

Ketika itu, pelan yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tidak rasminya menggariskan harapan sektor tersebut mampu memacu pertumbuhan bidang sosial dan ekonomi negara ke peringkat lebih baik.

Rentetan inisiatif berkenaan, sebuah syarikat yang menjurus ke arah teras penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang sains angkasa, Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) telah ditubuhkan.

ATSB secara asasnya berperanan membawa Malaysia menyertai persaingan dalam industri teknologi angkasa global menerusi pelaksanaan aktiviti seperti mereka bentuk dan merangka sistem satelit berteknologi tinggi.

Kejayaan satu-satunya syarikat tempatan yang terlibat secara langsung dalam industri itu terbukti apabila satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1 dilancarkan pada tahun 2006.

Tidak menunggu lama untuk terus mengatur langkah cemerlang memacu industri satelit dan angkasa negara secara lebih konsisten, ATSB pada tahun 2009 melancarkan pula satelit remote sensing dikenali RazakSAT.

Selepas 15 tahun, ATSB hari ini perlu berbangga dengan pencapaian serta kepakaran yang dimiliki mereka sehingga mampu melaksanakan pembangunan bidang aeroangkasa secara bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, teknologi satelit dan angkasa di Malaysia telah mencapai peringkat matang.

‘‘Tanpa disedari, kita sebenarnya telah menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Ia termasuk aktiviti menonton siaran televisyen secara langsung, berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan mengaplikasi peranti navigasi perjalanan, semuanya dibantu oleh teknologi satelit.

‘‘Bagaimanapun, daripada segi pendedahan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih berada di peringkat permulaaan,’’ katanya ketika di temui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Ini kerana menurutnya, rakyat masih menganggap teknologi angkasa sebagai industri yang mahal tanpa melihat faedah yang ditawarkan kepada orang ramai.

Faedah yang dimaksudkan adalah termasuk membantu operasi pemantauan remote sensing untuk jangkaan cuaca lebih tepat, kejadian hujan, kemarau dan banjir.

Ini kerana, dengan adanya data-data yang dibekalkan oleh satelit, ia dapat membantu perjalanan aktiviti seperti pertanian sekali gus memberi manfaat kepada para petani.

Bagi menyemarakkan aktiviti R&D pula, Ahmad Sabirin berkata, Malaysia belum meletakkan komitmen yang besar daripada segi dana untuk memperluas teknologi angkasa.

Tidak seperti negara-negara yang komited dengan pembangunan industri tersebut seperti Amerika Syarikat (AS), India, Korea Selatan, China dan Jepun yang sanggup melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun untuk tujuan R&D.

‘‘Kekangan dana bagi tujuan R&D seperti inilah yang menyebabkan ATSB sukar untuk memperluaskan aktiviti penyelidikan. Di samping itu, dalam usaha memastikan industri ini terus dijana secara proaktif, kita perlu meletakkan hala tuju yang jelas bermula sekarang demi memastikan Malaysia mempunyai produk teknologi angkasa yang unggul dalam masa 30 tahun akan datang,’’ katanya.

Dalam perkembangan sama, ATSB juga ada menjalankan kerjasama pintar dengan universiti-universiti tempatan dalam bentuk R&D dan keusahawan.

Matlamatnya adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usahawan teknologi bermula dari peringkat awal pengajian.

Antara universiti terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

‘‘Kita ada mengambil pelajar dan graduan daripada universiti-universiti ini untuk menjalankan R&D secara maya di mana pihak universiti akan menggaji mereka untuk melakukan penyelidikan manakala ATSB pula menjalankan urusan pengkomersialan. Menerusi cara itu, kedua-dua pihak akan dapat memperoleh keuntungan secara bersama,’’ katanya.

Menurut Ahmad Sabirin lagi, modul pengajian universiti sekarang perlu diubah dengan menerapkan nilai serta atmosfera seperti dalam industri sebenar demi merealisasikan fokus pembangunan bidang tersebut.

Bagi tujuan sama juga, ATSB turut menyokong program yang dilaksanakan TalentCorp Malaysia untuk memanggil pakar-pakar tempatan dalam bidang teknologi yang berkhidmat di luar negara untuk kembali semula ke negara ini dengan syarat mereka perlu disediakan dengan program pembangunan yang jelas.

Melihat ATSB untuk jangka masa 10 tahun akan datang, Ahmad Sabirin berkata, organisasi itu bukan bakal sahaja bersaing di peringkat Asia tetapi juga dunia melalui medium perkongsian pintar serta perniagaan strategik bersama rangkaian syarikat-syarikat global.

ATSB turut akan memberi tumpuan terhadap pembangunan sub sistem dalam teknologi angkasa merangkumi sistem komunikasi, navigasi, perkakasan dan perisian berbanding pembinaan satelit yang memakan masa terlalu lama.

‘‘Jika kita ingin maju pada tahun 2020, kita perlu mengorak langkah menjana teknologi angkasa ini sebagai sumber kekayaan baru dengan memberi fokus terhadap transformasi perniagaan serta mengubah pemikiran tradisi kepada yang baru.

‘‘Komitmen daripada pihak kerajaan daripada segi dana dan kesinambungan aktiviti R&D juga mampu menyediakan masa depan yang cerah untuk sektor ini sekali gus memberi pulangan ekonomi cukup lumayan kepada negara,’’ ujarnya.

Dengan segala kesungguhan yang ditunjukkan, ATSB kini berada pada posisi paling hadapan dalam persaingan inovasi teknologi satelit dan angkasa diikuti rapat oleh syarikat-syarikat dari negara Thailand dan Vietnam.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Sastera pada kaca mata jurutera




Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my

Sentuhan kelompok terbabit meluaskan lagi jagat bicara pengarang

ISU sastera dimonopoli kelompok penulis berlatar pendidikan sains sering mendapat perhatian sehingga ada dalam kalangan pengkarya dan penggemar sastera naik muak kerana perbandingan secara berlebihan itu tidak memberi manfaat kepada perkembangan industri penulisan Negara.

Soalan sama diajukan kepada dua penulis yang juga bergelar jurutera pada sesi Wawancara Sofa Putih - Sastera Daripada Sentuhan Sang Jurutera anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012, baru-baru ini.

“Sastera kepunyaan masyarakat dan tidak terhad kepada kelompok tertentu. Semua orang bebas berkarya dan mengenai isu kehadiran penulis aliran sains lebih menonjol, saya tidak mahu mengulas. Pembabitan saya dalam bidang penulisan sekadar memeriahkan dunia sastera tanah air.

“Kerjaya dan ilmu yang saya pelajari dalam bidang saya banyak membantu dan memberi kelainan dalam corak penulisan saya. Bidang sains dan kejuruteraan sudah sebati dalam diri saya dan kelebihan itu saya manfaatkan dalam karya dengan memberi ilmu baru kepada pembaca,” kata jurutera petroleum, Rebecca Ilham atau nama sebenarnya Hazwani Ramelie.

Pada wacana di Gerai ITBM, Aras Tiga, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, yang dikemudi personaliti televisyen, Sayed Munawar Sayed Mustar, Rebecca turut memperjelaskan tidak salah mengguna pakai teori sains dalam karya, tetapi ia tidak sewajarnya diletakkan sesuka hati.

“Penulis sepatutnya memurnikan dan memahami istilah yang ingin digunakan, sebelum memasukkan dalam penulisan mereka kerana dengan cara baru perkongsian ilmu dengan pembaca boleh berlangsung,” katanya.


Seperti Rebecca Ilham, peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1992 yang juga lulusan bidang kejuruteraan industri dari United Kingdom, Sahiril Hasrin Sanin, juga kurang senang dengan fenomena penulis genre sains yang gemar memasukkan teori saintifik secara sesuka hati.

“Ada penulis yang suka mencedok daripada buku akademik. Kaedah salin dan tampal ini tidak sepatutnya terjadi. Dengan niat mahu dilihat hebat, tindakan tidak mengolah semula aspek sains dalam karya sehingga akhirnya menampakkan kedangkalan ilmu penulis itu.

Sahiril yang melihat perkembangan cereka sains negara ini masih di berada di takuk lama, lebih selesa membaca karya dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu sebagai persediaan menghasilkan karya lebih bermutu.

“Jujur saya katakan, karya fiksyen sains di pasaran kebanyakannya belum berada pada tahap memuaskan. Saya mahu melahirkan karya bermutu dalam bahasa Melayu bagi memuaskan hati pembaca yang meminati genre ini,” katanya penuh makna tersirat.

Ketika diajukan soalan mengenai kemungkinan buku fizikal akan mati dengan kewujudan buku elektronik dan bahan bacaan yang mudah didapati dengan hanya melayari internet, Sahiril yakin tren itu belum berleluasa di Malaysia.

“Kebanyakan rakyat Malaysia masih mempunyai minat yang tinggi untuk membeli dan membaca naskhah secara fizikal berbanding pembaca Barat. Saya pernah menerbitkan semula karya saya dalam blog. Bagaimanapun pengikut saya masih mahu mendapatkan bukunya secara fizikal,” katanya.

Bagi Rebecca pula, penulis dan penerbit buku perlu berfikir secara lebih kreatif dengan menampilkan grafik menarik dan kulit buku yang cantik untuk menarik perhatian pembaca, jika mereka mahu buku fizikal terus hidup.

“Sejak dulu lagi orang bercakap mengenai fenomena buku akan mati dan saya pernah terfikir keadaan ini berkemungkinan boleh terjadi. Saya juga turut teruja pada awal kemunculan buku elektronik dulu.

“Namun kini saya kembali kepada buku fizikal kerana terpanggil dengan tarikan semula jadinya, apatah lagi merindui bau kertas yang menyemarakkan semangat saya untuk terus membaca,” katanya mengakhiri wawancara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sejumlah 11,764 Peminjam PTPTN Tidak Perlu Bayar Pinjaman


BANDAR TUN RAZAK (Pahang) : Sejumlah 11,764 peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu membayar balik pinjaman yang ditukar kepada biasiswa apabila mereka memperoleh keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata ini merupakan satu penghargaan kepada para peminjam atas usaha keras dan kesungguhan mereka dalam bidang pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang pendahuluan PTPTN di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Bandar Tun Razak, Jengka di sini, Ahad.

Pada majlis itu, seramai 1,133 pelajar menerima wang pendahuluan sebanyak RM1,500 melibatkan jumlah RM1.7 juta bagi kemasukan Mei/Jun 2012 di UiTM Pahang.

Ismail berkata untuk kemasukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi Mei/ Jun 2012, seramai 32,777 pelajar menerima wang itu membabitkan RM49 juta.

Bagi negeri Pahang, katanya sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan sebagai wang pendahuluan PTPTN kepada 2,496 pelajar.

Ismail berkata sehingga 31 Dis lalu, sebanyak 553,913 waran Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) telah ditunaikan dengan jumlah RM812 juta.

Mengenai jumlah peminjam yang telah membayar balik hutang mereka, Ismail berkata sejumlah RM3.18 bilion berjaya dikutip daripada 759,526 peminjam.

Selain itu, sejak 31 Mac lalu, seramai 25,138 peminjam yang disenarai hitam datang berunding dengan PTPTN serta membayar balik dengan kutipan berjumlah RM178.9 juta, katanya. BERNAMA

ISU KESIHATAN : Rakyat Malaysia Serendah Umur 12 Tahun Hadapi Masalah Pendengaran Akibat Pencemaran Bunyi



Oleh : LIM WEY WEN

PETALING JAYA : Malaysia semakin bising dan rakyat seawal umur 12 telah dikesan menghadapi masalah pendengaran kerana bunyi persekitaran yang kuat.

Dalam 'roadshow' sejak bulan Januari yang dilakukan pusat pendengaran Bay Audio Malaysia yang melakukan ujian terhadap kira-kira 4,000 rakyat Malaysia mendapati satu pertiga daripada mereka yang menjalani ujian pendengaran lima minit menunjukkan masalah pendengaran ringan sehingga peringkat yang teruk.

"Kebanyakan mereka berusia lebih 55 tahun, tetapi kita juga melihat remaja seawal umur 14 tahun menunjukkan tanda-tanda awal kehilangan pendengaran," kata audiologis kanan, Andrew Campbell.

Mereka bagaimanapun bukanlah mangsa yang paling muda.

Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Dr K. Gopalan Nair menemui tiga anak muda berumur 12 dan 13 yang kurang pendengaran tahun ini.

"Ibu bapa mereka membawa mereka berjumpa saya kerana mereka tidak lagi bertindak balas apabila dipanggil.

"Ibu bapa mereka terpaksa berteriak," kata Dr Gopalan, yang berkhidmat di Hospital Lum Wah, Pulau Pinang.

Tahun lepas, Dr Gopalan berhadapan sekurang-kurangnya 10 remaja yang mempunyai masalah yang sama.

"Jika remaja ini tidak sedar bahawa mereka merosakkan pendengaran mereka dengan mendengar pemain mp3 atau iPod dengan kuat, mereka mungkin memerlukan alat pendengaran apabila mereka mencapai umur 30 atau 40 tahun," kata Dr Gopalan.

Dr Gopalan juga berkata saraf yang rosak disebabkan sering terdedah kepada bunyi bising boleh menyebabkan gejala 'tinnitus'.

Tetapi masalah pendengaran akibat bunyi bising tidak hanya disebabkan muzik yang kuat daripada iPod atau pemain mp3.

Pakar-pakar berkata, dunia hari ini sebenarnya mempunyai persekitaran yang bising.

Campbell, yang mengambil ukuran bunyi dari beberapa kelab malam tempatan, telah mencatatkan paras bunyi dari 110dB (desibel) ke 123dB, bunyi yang lebih kuat berbanding gerudi tangan dan gergaji elektrik.

Suasana sedemikian hanya selamat diduduki selama kurang daripada 15 minit, kata Campbell.

Tinjauan oleh The Star menggunakan aplikasi mudah alih yang dicipta oleh Pihak Berkuasa Tenaga Kerja Alam Sekitar Sweden di sekitar bandar mencatatkan tahap kebisingan yang tinggi daripada pekikan dan suara di pasar malam (kira-kira 94dB) dan pada kereta api (setinggi 110dB) yang digabungkan dengan bunyi geseran gerabak di landasan.

Menurut doktor kesihatan pekerjaan, Dr Abed Onn, lebih ramai orang muda menunjukkan tanda-tanda kehilangan pendengaran lebih awal sebelum mereka mula bekerja di kilang-kilang dan tempat kerja lain yang bising.

Walaupun tidak banyak kajian rasmi dilakukan terhadap masalah pendengaran akibat bunyi bising di Malaysia, Dr Abed berkata ramai orang muda telah menunjukkan tanda-tanda awal penyakit itu apabila mereka telah diuji sebelum memulakan kerja.

Dr Abed percaya masalah pendengaran adalah salah satu daripada tiga 'penyakit pekerjaan' di Malaysia di samping sakit belakang dan gangguan otot.

Beliau juga berkata tahap selamat untuk mereka yang menggunakan 'headphone' untuk mendengar muzik adalah kurang daripada 60 peratus takat bunyi maksimum dalam tempoh satu jam sehari.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Sabtu, 19 Mei 2012

ISU SOSIAL : Manusia Gemar Bias Balik Diri


SETIAP daripada kita tahu bahawa agama melarang kita mengumpat atau memperkatakan hal buruk orang lain. Bagaimanapun, menceritakan keburukan orang lain selalu sahaja terjadi dalam kehidupan manusia.

Kita cenderung untuk membincangkan keburukan pihak lain. Sebaliknya, jarang sangat manusia membincangkan keburukan diri sendiri.

Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai bias balik diri (self-serving bias). Semua ini merupakan lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila kita dipuji majikan atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik, kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk, kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.

Ahli sukan seperti pemain bola sepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan ofsaid, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Mereka seolah-olah percaya bahawa apa yang dilakukannya itu memang betul, apatah lagi apabila pengadil telah mengesahkannya.

Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak merasa sebarang cacat celanya dengan soalan peperiksaan.

Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik pihak lain, misalnya guru yang tidak mengajar dengan baik. Ada juga yang menyatakan bahawa soalan peperiksaan yang diberikan terlalu susah. Banyak kajian dilakukan bagi melihat fenomena itu.

Contoh kajian global

1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul, walaupun kenyataannya mungkin tidak begitu.

2. Di Australia, 86 peratus pekerja menilai prestasi mereka lebih baik daripada kebanyakan orang. Hanya 1 peratus sahaja menilai diri di bawah paras purata.

3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding purata pelajar lain.

4. Kebanyakan pemandu, bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding rata-rata pemandu lain.

5. Ramai orang percaya bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis dan merasakan diri mereka lebih menarik berbanding ahli masyarakat lain.

Perasaan dan ilusi

Hakikatnya, ia hanya ilusi atau sebuah perasaan semata-mata. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari lalu menjadikan manusia cenderung mencari kesalahan orang lain, berbanding mencermin diri sendiri.

Kajian juga mendapati manusia tidak adil dalam menilai diri sendiri. Manusia cenderung menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya menilai orang lain sebagai bersifat kekal dalam sebarang keadaan sekalipun.

Misalnya, apabila melihat salah laku atau kesilapan orang lain, manusia cenderung menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai sifat negatif tadi dan ia wujud secara berkekalan.

Sebaliknya, apabila diminta menilai diri sendiri, manusia akan menyatakan bahawa sifat negatif tersebut hanya wujud dalam keadaan tertentu.

Sebagai contoh, sifat pemarah. Kita cenderung menyatakan bahawa kita hanya menjadi pemarah dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Semua ini menjadikan, dalam kehidupan sebagai manusia, kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membincangkan keburukan pihak lain berbanding mencari kebaikan mereka. Manusia juga sibuk memperkatakan mengenai kehebatan diri sendiri berbanding memperkatakan tentang sifat buruk yang ada.

Mengapa hal ini terjadi?

Ini diasaskan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah ilusi positif iaitu manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri.

Misalnya, kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu ramai orang lain yang mati muda.

Kita juga percaya tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimanapun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit.

Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain mungkin menilai kita sebagai sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.

Faktor kedua ialah penolakan majmuk. Misalnya, manusia cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang asing (walaupun orang asing itu mahu berkawan dengannya) kerana manusia cenderung untuk menjangkakan bahawa orang asing itu tidak berminat dengan persahabatan.

Namun begitu, pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana bimbang hasrat itu ditolak.

Sebenarnya itulah yang telah terjadi dalam diri kita sebagai manusia.

Sebab itulah, sebagai manusia kita tidak perlu terlalu berbangga dengan diri sendiri dan menghukum orang lain dengan label yang buruk.

Hakikat sebenarnya, kita sebagai manusia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh perasaan sendiri.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU KESIHATAN : Cukai jawapan kepada obesiti



Kajian syor makanan, minuman tidak sihat dicukai lebih tinggi


INDIANA : Pakar kesihatan yang memerangi obesiti di Amerika Syarikat sejak sekian lama mencadangkan cara baru mengatasi masalah yang semakin membimbangkan iaitu mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman yang dianggap menjejaskan kesihatan.

Satu kajian baru menunjukkan, langkah mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman berkenaan dapat membantu mengurangkan bilangan penduduk yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti.

Menurut laporan, lebih 60 peratus rakyat Amerika memiliki berat badan berlebihan. Jika cukai itu dilaksanakan, burger keju berharga AS$4 (RM12) akan dikenakan kos tambahan 80 sen (RM2.40), lapor stesen televisyen RTV6.

Sebahagian penduduk pula menganggap cukai itu sukar diterima.

“Saya rasa kita tak perlu mengenakan cukai ke atas penduduk dan gaya hidup mereka,” kata seorang lelaki.

Namun, ada juga yang menyambut baik cadangan itu.

“Saya sanggup bayar 20 peratus. Ia berbaloi. Saya akan makan dengan cara lebih sihat untuk menjimatkan wang,” kata seorang wanita.

Penyelidik berkata, cukai itu boleh mengurangkan kadar obesiti sebanyak 3.5 peratus dan menghalang 2,700 kematian kerana serangan jantung setahun.

Kajian juga menggesa subsidi diberi kepada makanan yang membantu penduduk lebih sihat termasuk sayur-sayuran bagi menjadikannya lebih murah.

Ketua Jabatan Kesihatan Awam Sekolah Perubatan Universiti Indiana, Dr Eric Wright, berkata cukai itu selari dengan produk pengguna lain.

“Kita mengenakan cukai ke atas alkohol dan tembakau dan jelas banyak kajian menunjukkannya dapat menurunkan bilangan orang yang obes. Jadi, ada logiknya mengenakan cukai ke atas makanan berlemak dan bukti awal di Eropah menunjukkan ia amat berkesan,” katanya.

Penyelidik berkata, Indiana memperuntukkan AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion) setahun untuk kos perubatan berkaitan obesiti.

“Realitinya, dengan dua pertiga penduduk gemuk berlebihan atau obes, itulah yang menaikkan kos penjagaan kesihatan dan anda sama ada memilih untuk membayar sekarang atau kemudian,” kata Wright.

Pengkritik cukai berkata, orang ramai yang memilih makanan yang menyihatkan sepatutnya tidak perlu membayar cukai dan menerima insentif lain. Agensi

ISU PENGAJIAN TINGGI : Transformasi pendidikan perlu menyeluruh




Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

GELOMBANG pendidikan yang dulunya berskala kecil, kini semakin berubah hingga menjadikannya pelaburan lumayan kepada industri dan institusi yang berani menyahut cabaran.

Dengan pelbagai transformasi global, pendidikan menjadi agenda baru kepada masyarakat dunia untuk mengangkat martabat kehidupan ke landasan penyebaran ilmu baru dan perkongsian maklumat terkini juga menyamaratakan taraf mutu pendidikan agar setara institusi lebih terkemuka.

Meskipun perubahan itu dicerminkan sebagai usaha proaktif dan positif, ada pula memberi reaksi kontra dengan tanggapan institusi hanya melakukannya akibat terpengaruh dengan budaya ikutan serta tidak mahu dianggap ketinggalan.

Institusi berkenaan dituduh sanggup memperjudikan nasib semata-mata ingin memahat nama di peringkat antarabangsa sedangkan tiada kemampuan melaksanakannya.

Itukah budaya yang sedang membelenggu institusi pendidikan dunia hari ini?

Rektor Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Profesor Dr Herry Suhardiyanto berkata, transformasi pendidikan perlu dinilai secara menyeluruh bagi menjadikannya kompetitif untuk memenuhi kehendak serta keperluan globalisasi.

Menurutnya, perubahan itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau hanya ikutan kerana membabitkan kapasiti keseluruhan institusi untuk diberi penilaian oleh masyarakat.

“Transformasi bermaksud sesebuah institusi itu bersedia melaksanakan perubahan lebih besar dan melakukan anjakan paradigma dalam semua segi. Dengan kata lain, bersedia melonjakkan kemampuan dan bersaing dengan institusi lain.

“Ini bukan tugas mudah atau semata-mata hanya mahu mewujudkan situasi ikutan. Setiap institusi perlu ada perancangan tertentu bagi pembangunan jangka panjang kerana perubahan itu tidak hanya tertumpu pada satu pihak, malah membabitkan satu organisasi.

“Justeru perancangan penting bagi menilai kemampuan sama ada sudah bersedia atau tidak. Namun keperluan dunia hari ini memang memerlukan institusi pendidikan melakukan perubahan bukan atas dasar glamor tapi penambahbaikan taraf serta mutu pendidikan masa depan,” katanya yang ditemui ketika Forum Presiden Universiti yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, baru-baru ini.

Majlis itu acara tahunan berprestij yang dianjurkan institusi pendidikan tinggi untuk membincangkan kepelbagaian isu pendidikan global oleh institusi pendidikan dunia dalam menentukan hala tuju institusi masa depan.

Transformasi pendidikan tidak hanya menyasarkan matlamat membina nama, status dan penjenamaan, malah memberi timbal balas kepada penjanaan kemahiran diri dan insaniah pensyarah-mahasiswa.

Era pendidikan dunia  kini juga bukan lagi membudayakan kepelbagaian jurusan ilmu semata-mata, malah membuka pintu kepada jalinan kerjasama antara institusi merentasi pelbagai negara.

Dengan aspirasi memajukan pendidikan setara permintaan global, pelbagai institusi pendidikan terutama peringkat tinggi mula mencari rakan baru dan menjalin hubungan dua hala strategik bagi bertukar kepakaran serta teknologi.

Menjadikan program pengantarabangsaan sebagai asas lonjakan, institusi seluruh dunia mula melaksanakan pembaharuan dasar, utiliti dan mentaliti bagi memenuhi kapasiti permintaan yang semakin melonjak.

Katanya, perubahan itu bagi memenuhi kehendak permintaan dan penawaran global hingga institusi pendidikan perlu melakukan transformasi bagi menjadikan kemampuan lebih kompetitif serta mendapat pengiktirafan institusi lain.

“Dalam konteks pendidikan hari ini, siapa yang mahu menerima perubahan serta mempunyai visi jelas, akan muncul sebagai pemenang dan menjadi pilihan. Perubahan ini bukannya statik malah bergerak kepada satu matlamat sama.

“Mereka yang tidak berani berubah pasti tidak mampu bersaing. Masyarakat dunia hari ini suka menilai dan melihat pendidikan sebagai aset perlu ditambah setiap masa.

“Dengan kata lain, setiap institusi menjadikan kepakaran dan ilmu sebagai cagaran untuk mendapatkan pulangan dengan pendidikan global merentasi semua disiplin ilmu adalah sasarannya,” katanya menegaskan institusi pendidikan tidak boleh memberi penilaian terhadap kemampuan diri tapi perlu dinilai menerusi mata masyarakat.

“Tidak dinafikan ada institusi seolah-olah mendabik dada mengatakan dia yang terbaik, namun adalah lebih baik jika penilaian itu datang daripada masyarakat. Itu baru adil dan lebih diperakui.

“Namun, tidak salah institusi memberi kredit kepada diri sendiri sebagai perangsang untuk menjadikan institusi lebih fokus dan berdedikasi,” katanya.

Beliau mengakui ketaksuban dalam melaksanakan perubahan boleh mendatangkan impak sampingan yang boleh mendatangkan konflik dalaman kepada institusi dan warganya.

Ketidakupayaan pensyarah dan pelajar untuk memenuhi piawaian, katanya, bukan saja boleh menjejaskan emosi, malah menjadikan mereka keliru dan ketinggalan.

“Pastinya usaha melakukan transformasi gagal jika golongan ini tidak jelas mengenai matlamat institusi atau berasa ‘tertindas’. Sebagai tulang belakang, mereka aset penting yang perlu dihargai.

“Perancangan perlu dilakukan secara menyeluruh dan teliti dengan tidak meminggirkan pihak tertentu semata-mata teruja mencapai keinginan menjadi institusi terkenal. Jika silap percaturan, reputasi institusi akan tercemar sekelip mata dan mungkin sukar dipulihkan,” katanya.

INFO

PENDIDIKAN bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan sesebuah negara dari segi kualiti, kuantiti, standard dan kecemerlangan yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang  sesebuah negara atau  institusi membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan  dan kemajuan dinamis melalui aspek:

1. Pembangunan tenaga manusia

2. Kepesatan pertumbuhan ekonomi

3. Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial

4. Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat

5. Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual

6. Pembangunan teknologi dan sains

7. Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Tiga bidang utama yang perlu dibangunkan untuk menuju universiti bertaraf dunia iaitu penyelidikan, kebebasan akademik dan kepemimpinan akademik.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/