Selasa, 3 Julai 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Kerajaan Sasar 90 Peratus Perkhidmatan Dilaksana Secara Online Pada 2015



PUTRAJAYA : Kerajaan mensasarkan 90 peratus daripada perkhidmatannya dilaksanakan secara online menjelang tahun 2015, menurut Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memastikan agensi-agensi kerajaan beralih menjadi kerajaan pintar bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Untuk mencapai sasaran itu, Ali berkata satu kajian kes untuk berkongsi projek Pusat Sehenti (OSC) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia baru-baru ini, telah meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.

"Sehingga Mac 2012, sebanyak 1,957 permohonan projek pembangunan diterima menerusi sistem itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Digital Kebangsaan 2012 di sini Selasa.

Beliau percaya menerusi inisiatif itu, pelbagai proses yang terlibat dalam permohonan itu boleh dilakukan serentak manakala masa pemprosesan dikurangkan kepada kira-kira empat hingga enam bulan berbanding satu hingga dua tahun sebelum ini.

"Kelulusan bagi pelan bangunan dan kebenaran perancangan meningkat daripada 72 peratus kepada 90 peratus manakala prestasi OSC di negeri-negeri juga telah menunjukkan peningkatan ketara.

"Baru-baru ini, purata permohonan menerusi OSC juga meningkat daripada 84.7 peratus kepada 92.5 peratus.

"Sehingga kini, 35 peratus daripada perkhidmatan kerajaan dilaksana secara online menerusi portal myGovernment sejak teknologi itu digunakan dalam semua aspek penyampaian dan operasi dalaman kerajaan," katanya.

Beliau berkata ini termasuk perkhidmatan yang membolehkan pesara dan warga emas akses kepada pelbagai faedah mereka secara online, bayaran cukai pintu, pembaharuan lesen, permit dan pembayaran saman menerusi satu portal sahaja.

Katanya Kaji Selidik e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2012, yang menilai ciri-ciri teknikal laman-laman web negara serta dasar-dasar e-kerajaan dan strategi yang diguna pakai oleh sektor spesifik telah meletakkan Malaysia di ranking ke-40 di kalangan 193 negara anggotanya.

"Oleh yang demikian, kita perlu bergerak lebih pantas dan patut menjadi peneraju malahan lebih strategik dan menggunakan teknologi-teknologi moden seperti 'cloud computing', tablet dan media sosial dalam menambah baik perkhidmatan kita.

"Kita juga perlu memanfaat janji teknologi untuk terus meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan melancarkan momentum transformasi digital untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan e-kerajaan," katanya.

Ali juga menggesa sektor awam dan swasta untuk saling bekerjasama untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan teknologi negara seperti meningkatkan penembusan kadar internet dan kapasiti jalur lebar.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel. - BERNAMA

Isnin, 2 Julai 2012

ISU SOSIAL : Tip memohon kerja dalam talian


Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN

Kemudahan Internet telah mengubah trend masyarakat dalam mendapatkan pekerjaan.

KEMUDAHAN Internet bukan sekadar membolehkan kita mengakses pelbagai jenis informasi, bahkan ia telah mengubah trend masyarakat dalam mendapatkan pekerjaan.

Jika dahulu, kebanyakan iklan kekosongan jawatan diterbitkan di media cetak seperti akhbar, kini iklan kekosongan seperti itu boleh diakses terus di portal yang menyenaraikan kekosongan jawatan yang terdapat di sesebuah syarikat atau negara.

Bukan itu sahaja, portal ini juga akan menghantar e-mel pemberitahuan tentang jawatan spesifik yang boleh diubah suai oleh pengguna. Sebagai contoh, seorang graduan Teknologi Maklumat boleh mengarahkan agar hanya iklan tawaran kerja yang berkaitan dengan Teknologi Maklumat sahaja dihantar kepadanya, sekali gus menjimatkan masa serta membolehkan pilihan kerja yang lebih tepat dibuat.

Jobstreet.com merupakan antara pencari kerja secara talian di Malaysia. Mula menawarkan khidmatnya sejak tahun 1995, Jobstreet telah berjaya mendapatkan puluhan ribu pekerjaan kepada ahlinya. Agensi pekerjaan lain yang turut menawarkan perkhidmatan seperti Jobstreet adalah Jobsdb.com dan juga Kareer.com.my.

Bertindak umpama agensi pencari jodoh, Jobstreet mengiklankan jawatan kosong daripada pihak majikan dan mereka yang mencari pekerjaan. Kesemua maklumat berkaitan akan disimpan di dalam pangkalan data dan seterusnya proses suai padan dijalankan. Proses suai padan adalah berdasarkan kelayakan dan bidang kerja yang dipilih oleh para calon.

Berikut merupakan tip yang boleh digunakan ketika mencari kerja melalui portal pekerjaan:

1. Berikan maklumat peribadi yang lengkap

Pastikan anda memberikan butiran peribadi yang lengkap ketika mendaftar di mana-mana agensi pekerjaan secara dalam talian.

Maklumat seperti nombor hubungan dan alamat surat-menyurat hendaklah diberikan secara tepat bagi membolehkan pihak agensi atau bakal majikan menghubungi anda untuk panggilan temuduga. Maklumat yang tidak lengkap hanya akan mengakibatkan kegagalan untuk menghubungi anda sekali gus memungkinkan permohonan anda ditolak.

2. Hantarkan resume terkini

Agensi pekerjaan lazimnya akan meminta anda memuat naik resume anda yang terkini. Sekiranya resume anda sudah lama tidak dikemaskini, pastikan anda mengemaskinikannya terlebih dahulu sebelum memuat naik. Resume yang lapuk akan menyebabkannya kurang menarik perhatian bakal majikan.

3. Perkenalkan diri anda sedikit sebanyak

Sekiranya portal pekerjaan yang anda gunakan mempunyai ruangan untuk memperkenalkan diri, coretkan sedikit sebanyak mengenai diri anda. Ini akan memudahkan lagi proses tapisan dan pemilihan oleh bakal majikan.

4. Benarkan e-mel pemberitahuan pihak agensi pekerjaan

Kebiasaannya ketika mendaftar di mana-mana portal pekerjaan, anda akan diminta memilih sama ada untuk membenarkan e-mel pemberitahuan tentang sebarang jawatan kosong dihantar ke peti e-mel anda. Dengan ini, anda akan dimaklumkan tentang sebarang jawatan kosong yang bersesuaian dengan anda tanpa perlu melakukan carian secara manual di portal.

5. Membenarkan resume anda dilihat oleh majikan

Jika anda mendapati sukar mendapat panggilan temuduga, periksa settings pada akaun anda pada agensi pekerjaan. Sekiranya pilihan untuk membenarkan resume anda dilihat oleh bakal majikan disekat, aktifkan fungsi tersebut. Ini akan dapat memperluaskan lagi peluang anda untuk dipanggil temuduga.

6. Elakkan memohon kerja dengan hanya menekan butang apply

Pihak yang mencari pekerja biasanya akan mengenal pasti calon yang layak untuk ditemuduga dengan melalukan pemilihan berdasarkan resume dan juga surat permohonan yang dilampirkan bersama. Sekiranya anda ingin mendapat perhatian yang lebih daripada bakal majikan, elakkan menggunakan fungsi memohon dengan hanya menekan butang apply. Dapatkan alamat e-mel syarikat yang mempunyai kekosongan dan hantarkan surat permohonan bersama resume anda. Dengan cara ini, anda dapat mempamerkan kemahiran menulis dan penguasaan bahasa anda kepada mereka.

7. Luaskan peluang anda dengan mendaftar di agensi pekerjaan lain

Semakin banyak agensi yang anda berdaftar, semakin besar peluang anda untuk mendapat pekerjaan. Selain itu, rajin-rajinlah mengunjungi forum talian kerana terdapat ahli yang menghantar posting tentang jawatan kosong di tempat kerja mereka.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : SPA Perkenal Dua Dasar Baru Bagi Permohonan Ke Perkhidmatan Awam


KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Perkhimatan Awam (SPA) memperkenal dua dasar baru, yang berkuat kuasa semalam, bagi meningkatkan peluang permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Dasar pertama SPA ialah membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan semua calon bersaing dalam memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik.

Menurut kenyataan SPA, sehingga kini, seramai 852 calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda mengemukakan permohonan ke jawatan yang berkelayakan SPM.

Dasar kedua pula membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan dalam Borang Permohonan Pekerjaan Online SPA8i berbanding lima jawatan sebelum ini.

Langkah itu bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada calon untuk dilantik ke jawatan bersesuaian.

Sejak semalam, seramai 5991 calon mengemukakan permohonan untuk lebih daripada lima jawatan. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Perang hapus rasuah perlu banyak masa


Oleh Idris Jala

Ramai jangka gejala dibasmi tempoh singkat, kesungguhan politik penting

APABILA menyentuh tentang rasuah, kita tidak hanya bercakap mengenai usaha menentangnya, tetapi sebenarnya mengenai perjuangan lebih besar serta dipenuhi banyak 'pertempuran', yang mengambil masa sebelum mencapai kemenangan. Tiada siapa berjaya melakukannya dalam sekelip mata. Seperti kebanyakan negara, ia adalah peperangan berterusan.

Hong Kong contohnya, mengambil masa 10 tahun mencapainya. Gejala rasuah menular di seluruh dunia. Dalam masyarakat maju dan tersusun, peperangan menentangnya tampak ketara.

Namun di Malaysia, ramai menjangka ia boleh diperangi serta dibasmi dalam tempoh singkat, dan hanya dapat dilakukan dengan kesungguhan politik.

Kesungguhan politik penting tetapi ia bukan satu-satunya yang diperlukan. Banyak usaha perlu dilakukan dan ia memerlukan masa.

Ini adalah satu aspek transformasi yang kita sentiasa berdepan jangkaan tidak realistik. Rakyat mahu keputusan semalaman tetapi kita tidak boleh memberikan penyelesaian segera.

Peperangan menentang rasuah adalah paling sukar. Selain masa, ia memerlukan usaha pelbagai pihak.

Ini bertambah rumit dengan adanya masalah pengukuran. Penularan rasuah tidak boleh diukur dengan mudah.

Aspek transformasi

Apabila kita mengambil tindakan terhadap rasuah, bilangan mereka dibawa ke mahkamah tentulah lebih tinggi, tetapi tidak bermakna gejala rasuah menurun.

Kita bergantung kepada persepsi tentang penularan rasuah, daripada pandangan rakyat negara kita sendiri dan bagaimana warga asing melihat-nya.

Ada kalanya, terdapat situasi yang mampu mengubah keputusan akhir daripada berpihak kepada kita seperti yang dinyatakan di bawah nanti.

Apa yang pasti, kita perlu meningkatkan usaha memeranginya terutama apabila dua petunjuk umum, Indeks Persepsi Ketelusan Rasuah Antarabangsa (CPI) dan tinjauan Barometer Rasuah Global, menunjukkan tiada perubahan ketara sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun kita telah mencapai kemajuan berdasarkan perangkaan yang ada .

Pada 2010, skor purata CPI Malaysia adalah 4.4, daripada sembilan tinjauan, sementara pada 2011, ia hanya 4.3 daripada 12 tinjauan.

Ini bermakna ada penambahan tiga tinjauan yang dilakukan. Kedudukan kita telah jatuh kepada 4.3 daripada 4.4 (Tiada negara yang memperoleh markah tertinggi, 10 mata. New Zealand mendahului dengan 9.5 manakala Singapura di tangga kelima pada 9.2).

Pergerakan skor CPI (-0.1) disebabkan oleh ketiga-tiga tinjauan tambahan tadi mendapat skor sangat rendah, seterusnya menyumbang kepada keputusan di bawah purata.

Tanpa penambahan ketiga-tiga tinjauan berikut, skor CPI Malaysia pastinya meningkat mendadak.

Salah satu tinjauan yang baru ialah Indeks Ketelusan Pemberian Rasuah Antarabangsa.

Tinjauan ini menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan tinggi untuk memberi rasuah apabila berkhidmat atau beroperasi di negara lain.

Saya yakin tanpa tinjauan itu, CPI kita telah meningkat. Persepsi bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara cenderung memberi rasuah telah menjejaskan CPI negara kita.

Selain itu, kita berada di tempat ke-60 daripada 183 negara pada 2011 berbanding ke-56 daripada 178 negara pada 2010.

Di ASEAN, kita di tempat ketiga selepas Singapura dan Brunei.

Dalam tinjauan barometer pada 2011 yang dijalankan Transparency International, 49 peratus rakyat kita berpendapat, perjuangan kerajaan menentang rasuah adalah berkesan atau sangat berkesan, naik daripada 48 peratus pada 2010.

Bagaimanapun, ini adalah peningkatan besar dari 2009, yang mana hanya 29 peratus rakyat kita berpendapat usaha Kerajaan membasmi rasuah adalah berkesan.

Keseluruhannya, kedua-dua tinjauan tadi menunjukkan kita sudah mencapai beberapa kemajuan daripada segi persepsi rasuah dan peningkatan bilangan rakyat yang mempunyai keyakinan sesuatu sedang dilakukan.

Masyarakat berpendapat kita perlu menangkap ikan besar terlebih dulu.

Sebenarnya, ia tidak semudah itu. Proses mengumpulkan bukti bukan mudah dan kehadiran rasuah boleh menjadikan proses ini lebih sukar.

Bagaimanapun, apa yang perlu dilakukan adalah meletakkan asasnya.

Ia mungkin kelihatan seperti permulaan kecil, tetapi sebenarnya tidak. Setiap usaha besar memerlukan asas yang betul terlebih dulu.

Berikut adalah contoh usaha asas yang telah dijalankan:

Peruntukan pemberi maklumat 

Garis panduan pelaksanaan dikeluarkan pada Mac tahun lalu. Agensi sudah pun memproses aduan salah laku di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Sehingga hari ini, ada 28 kes dilaporkan.

Perjanjian integriti. Mass Rapid Transit (MRT) adalah projek besar pertama melaksanakan perjanjian integriti sepenuhnya.

Sebuah badan pengawasan telah ditubuhkan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut terbabit, satu sistem pemantauan bebas luaran yang diketuai Ketua Audit Negara telah ditubuhkan bagi memastikan pematuhan kepada terma Perjanjian Integriti.

Menyegerakan pendakwaan. Untuk mempercepatkan pendakwaan, 14 mahkamah khas rasuah ditubuhkan Februari tahun lalu dengan lebih 250 kes sudah diproses.

Penyenaraian dan pendedahan pelaku. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan laman web untuk menyenaraikan orang yang didakwa akibat rasuah.

Ini menawarkan pangkalan data untuk pihak yang berminat dan bertindak sebagai pencegah rasuah.

Tender kompetitif dan terbuka. Kita sentiasa mengambil peluang yang ada untuk menawarkan tender secara terbuka untuk tujuan perolehan Kerajaan.

Bagi meningkatkan ketelusan, Portal MyProcurement disediakan dengan penyenaraian 5,157 kontrak Kerajaan dalam talian pada 2011.

Pengurangan kerenah birokrasi dalam permohonan lesen perniagaan

Kita mengurangkan bilangan lesen diperlukan daripada 780 kepada 375 dan menjimatkan RM730 juta.

Langkah mengurangkan kerenah birokrasi seperti ini mengurangkan peluang bagi rasuah berlaku.

Misi jangka panjang

Ini hanyalah beberapa langkah yang sedang dilaksanakan. Misi jangka panjang kami ialah membina tembok untuk memerangi rasuah dengan meletakkan asas yang sepatutnya.

Ada tanda yang langkah diambil sebelum ini telah membantu meningkatkan  hasil kerajaan.

Sebagai contoh, berikutan siasatan SPRM terhadap Jabatan Kastam Malaysia, kutipan cukai kastam meningkat kepada RM30.4 bilion tahun lalu.

Jumlah tertinggi sebelum ini ialah RM28.6 bilion pada 2008. Tahun ini, jabatan itu menjangka mengutip RM32 bilion.

Di samping itu, perubahan dan pembaharuan yang telah dijalankan sudah menunjukkan hasilnya dengan pelabur asing.

Mengikut tinjauan dijalankan Dewan Perdagangan Amerika (AMCHAM) di Singapura, persepsi isu rasuah yang sekian lama membayangi rantau ini telah bertambah baik, dengan hanya 35 peratus responden melaporkan rasa tidak puas hati pada 2011 berbanding 63 peratus pada 2010.

Firma Perundingan A T Kear-ney juga mengiktiraf Malaysia sebagai antara 10 negara teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi 2012.

Kami mengambil usaha serius memerangi rasuah dan faedahnya pada kemudian hari sangat berbaloi.

Sama seperti transformasi, ia ibarat sebuah maraton dan bukannya larian pecut. Kita memerlukan masa.

Anda boleh melaksanakan tanggungjawab dengan hanya menyatakan keengganan menjadi sebahagian daripada amalan rasuah dan membuat laporan apabila anda berdepan dengan rasuah.

Datuk Seri Idris Jala adalah Ketua Eksekutif PEMANDU dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa perlu berfikiran terbuka, terima agenda semasa



PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan mahasiswa agar berfikiran terbuka untuk menerima agenda kerajaan semasa.

Beliau berkata mahasiswa juga harus memikul tanggungjawab untuk memastikan kemakmuran yang dimiliki dan dinikmati hari ini berkekalan dan negara terus bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain.

"Sebagai pemangkin dan penggerak kepada agenda negara, mahasiswa harus membuat pertimbangan wajar demi kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan.

"Saya percaya mahasiswa hari ini akan memilih yang terbaik untuk Malaysia dan akan berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang sedia ada," katanya.
  
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mempengerusikan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 1/2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Mesyuarat MPPK 1/2012 dihadiri 70 perwakilan daripada 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 20 IPT swasta dari seluruh negara. MPPK merupakan satu platform yang diwujudkan sejak Oktober 1999 sebagai satu pengiktirafan terhadap para mahasiswa untuk memberikan idea dan pandangan.
  
Timbalan Perdana Menteri juga mahu mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara bijak merencanakan pelan dan melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi.
  
"Saya menasihatkan mahasiwa agar melengkapkan diri dengan ilmu berkualiti, nilai murni, sahsiah tinggi untuk menjadi seorang insan yang baik dan bersikap patriotisme kepada negara," katanya.
  
Sementara itu, Muhyiddin berharap mesyuarat MPPK akan terus kekal menjadi platform untuk para mahasiswa menyampaikan pandangan kepada kerajaan dalam proses merencana agenda negara untuk masa depan.
  
Beliau berkata banyak pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh mahasiswa menerusi platform MPPK ini, termasuk peluang pekerjaan untuk para graduan IPT dalam pelbagai sektor di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan pelancaran portal Career for You.
  
"Melalui MPPK, kerajaan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada para pemimpin mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara untuk terlibat secara langsung dalam proses merencana agenda nasional," katanya.
  
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan mahasiswa sebagai rakan kongsi pembangunan negara.
  
Beliau berkata usaha-usaha yang diperkenalkan kerajaan seperti 1Malaysia For Youth dan Duta Universiti bertujuan untuk memperkasa para mahasiswa agar suara, idea dan pandangan mereka didengari dan dapat diperkukuhkan.
  
"Ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar dan ambil peduli kehadiran dan keberadaan anda semua sebagai penentu kepada kemajuan dan kejayaan negara," katanya.
   
Mesyuarat hari ini yang dijalankan secara tertutup membincangkan tiga kertas kerja iaitu Cabaran Malaysia Dalam Mencapai Status Negara Maju Dan Berpendapatan Tinggi, Kesediaan Malaysia Sebagai Hab Pengajian Tinggi Antarabangsa dan Masa Depan Mahasiswa Aliran Pendidikan. - Bernama

ISU SOSIAL : Rasuah Libatkan 'Pelobi' Berjaya Dikurangkan Dengan Sistem E-Bidding


KUALA TERENGGANU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap kesalahan rasuah dalam industri pembinaan di negara ini, terutama terhadap pelobi yang berselindung di sebalik pelbagai nama seperti konsultan atau orang tengah.

Walaupun mengikut rekod SPRM, gejala rasuah akibat pelobi ini semakin berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan sistem e-bidding, namun masih ada ruang untuk dibaiki bagi memastikan kelancaran sesebuah projek yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, dalam konteksindustri pembinaan, sistem e-bidding yang diguna pakai di kementerian dan jabatan kerajaan berjaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1 juta daripada ketirisan akibat rasuah.

Katanya, melalui sistem ini, urusan berkaitan kontrak dan tender berjalan secara telus dengan kontraktor dan pembekal memberi sebut harga melalui borang yang disediakan dan tiada perjumpaan langsung berlaku antara mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Fungsi orang tengah itu sendiri memang penting bagi sesetengah pembida, namun tidak boleh terlalu jauh menyimpang daripada peranan asal mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pembinaan Menjana Pembangunan Integriti di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, Isnin.

Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SPRM itu dihadiri 220 kontraktor dari seluruh Terengganu, bertujuan memberi penerangan terhadap risiko rasuah dalam industri pembinaan negara.

Selain itu, Abu Kassim berkata, kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang memang berisiko tinggi untuk berlakunya gejala rasuah di kalangan penjawat awam terbabit.

Namun, katanya, Akta SPRM 2009 yang diwujudkan berjaya mengekang gejala rasuah daripada berleluasa dibandingkan ketika zaman 1980-an dan 1990-an dahulu dan usaha penambahbaikan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : 48 peratus pengguna internet di Malaysia wanita


KOTA KINABALU - Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di negara ini turut dimanfaat kaum hawa yang merupakan 48 peratus pengguna Internet.

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri Datuk Dr Yee Moh Chai berkata statistik juga menunjukkan ramai wanita memanfaatkan ICT untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

"Kemudahan Internet yang ada memberi peluang kepada mereka sama-sama mempelopori bidang ICT. Mereka setanding dengan lelaki di dalam mengaplikasikan kemudahan yang wujud melalui perniagaan 'online' walaupun beroperasi di rumah," katanya.

Yee berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2012 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini malam tadi.

Katanya seminar keselamatan bertema 'Wanita dan ICT' yang diadakan khusus untuk kaum hawa itu adalah wajar dan tepat pada masanya.

"Ini kerana menurut laporan akhbar, kebanyakan mangsa jenayah siber terutama yang melibatkan laman sosial seperti Facebook dan juga pesan ringkas (SMS) berbaur lucah adalah terdiri daripada kaum wanita," katanya.

Yee turut menyeru lebih banyak pihak tampil membantu SKMM dalam mengurangkan jurang digital dan seterusnya meningkatkan penggunaan jalur lebar di Sabah dengan pelbagai inisiatif baru termasuk peluasan liputan jalur lebar. - Bernama