Selasa, 11 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Guru Akan Dijadikan Profesion Berprestij


KUALA LUMPUR: Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

"Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah," kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

"Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun," kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

"Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : PM Lancar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 begitu komprehensif dan menyeluruh.

“Pelan tindakan itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada semua pihak, termasuk pandangan dari pendidik tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini, Selasa.

Beliau berkata, pelan jangka panjang itu akan menggariskan 11 anjakan dan akan menjadi cabaran kepada semua pihak berkenaan.

“Tugas yang menanti adalah satu cabaran kerana ia bukan saja melibatkan orang di dalam mahupun luar dewan ini tetapi semua 28 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu bukan saja bertumpu kepada pengetahuan dan kemahiran tetapi nilai-nilai yang betul untuk menjamin masa depan negara.

“Demonstrasi jalanan dan menjatuhkan maruah orang lain bukan nilai-nilai kita.

“Kita memerlukan nilai-nilai untuk memastikan generasi muda masa kini berupaya memacu negara ke peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau turut berkata, semua pemimpin harus mempunyai keberanian moral untuk mengetepikan politik daripada sistem pendidikan.

“Ini untuk memastikan bahawa kita membuat keputusan demi kepentingan terbaik anak-anak kita dan negara,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberikan taklimat selama 25 minit kepada tetamu yang hadir menyaksikan pelancaran pelan tindakan tersebut.

Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.

11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

ISU PENDIDIKAN : PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013-2025 FOKUS 11 ANJAKAN


KUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki dalam kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah:

Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum..

 Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Isnin, 10 September 2012

ISU KESIHATAN : Makanan tentukan kesihatan diri


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
         
TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan kesihatan  diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik.

Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung.

Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, hal yang sebaliknya akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.

Cara mendapat minda yang sihat:

Tahu keupayaan diri sendiri
Mengambil pemakanan seimbang
Berfikiran terbuka
Berfikir secara positif
Reda dengan dugaan
Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah
Beriadah
Berkawan dengan ramai orang
Bersolat dan berdoa
Kongsi perasaan

Kesan mental tidak tenang:

Kulit menjadi kering dan kusam
Timbul ruam
Hormon bercelaru
Penampilan kusut
Mudah tersinggung
Mudah penat
Mudah diserang penyakit

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Era Baru Pendidikan



Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Kajian ambil kira suara rakyat
        
MELANGKAH ke era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global.

Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar.

Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan.

Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.

Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas.

“Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.

“Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” katanya.

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik.

“Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya.

Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan.

Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian.

Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam.

Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud  kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.

Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.

“Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Cabaran kekalkan sahsiah anak


Oleh : Wan Marzuki Wan Ramli
 
Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan sementara yang memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya supaya tidak terbabas daripada landasannya.

Pepatah Arab ada menyatakan, kecantikan sebenar seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras, bentuk badan atau pakaian, tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu, keunggulan akhlak serta sahsiah diri. Tugas membentuk sahsiah mulia bukan sesuatu yang mudah kerana ia bermula daripada didikan awal pasangan ibu bapa kepada anak. Menjadi ibu bapa pada zaman pesat berkembang dan sentiasa berubah ini bukan mudah.

Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha membesar, mendidik serta membentuk sahsiah akhlak anak.

Pengaruh luar

Peringkat paling sukar sekali ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku, pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat serta gaya berpakaian.

Inilah peringkat yang penuh pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik, melekakan, mengkhayalkan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak hingga menyebabkan jenayah remaja.

Pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat akibat pengaruh pemikiran yang diimport, budaya serta nilai luaran mencemari seterusnya menghakis nilai Islam.

Kemewahan cemar budaya

Kemewahan dan kebendaan daripada kekayaan yang dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat.

Wajarkah kita menyalahkan ibu bapa jika anak tersalah pilih kawan yang mempengaruhi dirinya bertindak di luar batasan. Sukar untuk menangani isu ini kerana tidak tahu ke mana jari hendak dituding.

Bagaimanapun, sedikit sebanyak, ibu bapa perlu memikul tanggungjawab jika anak terjebak dalam perkara menyalahi undang-undang serta ajaran agama.

Sikap tidak mahu bertegas atau memberi perhatian terhadap perkembangan anak boleh menyebabkan mereka tersalah langkah.

Bina keluarga berpandu ajaran agama

Islam memberi penekanan kepada kepentingan membina keluarga yang sejahtera berpandukan ajaran agama kerana jika ibu bapa mampu menanam keimanan jitu, anak akan dapat membezakan yang baik dengan buruk.

Justeru, ibu bapa tidak boleh beranggapan apabila anak sudah dewasa, mereka boleh dibiarkan menentukan cara hidup. Ibu bapa masih perlu memberi pandangan serta panduan terutama apabila melihat anak mula tersasar daripada jalan yang benar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKIDMATAN AWAM : Bahan sejarah sekadar diperam


Oleh : Zainuri Misfar

Jabatan Muzium Dan Antikuiti, Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Arkib Negara adalah tiga agensi kerajaan yang menyimpan banyak bahan bersejarah negara.

Jabatan Muzium mempunyai koleksi artifak, benda atau objek, manakala FNM dengan koleksi visual atau gambar bergerak, Jabatan Arkib sudah tentu menyimpan banyak manuskrip penting sejarah Malaysia.

Tidak cukup dengan tiga agensi ini, Jabatan Penyiaran Malaysia ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah tentu menyimpan banyak footage atau pita yang mengandungi peristiwa bersejarah.

Malangnya, ketiga-tiga agensi ini termasuk RTM bagaikan pasif untuk mempromosikan sejarah negara, lebih-lebih lagi ketika kita menyambut kemerdekaan ke-55 dan tidak lama lagi ulang tahun penubuhan Malaysia pada 16 September ini.

Kita yang sering lalu lalang di lebuh raya Mahameru atau Jalan Travers, tertanya-tanya kenapa tidak ada kain rentang besar yang memaparkan sejarah kemegahan negara?

Sayang sekali kita sudah merdeka lebih setengah abad, tetapi ketiga-tiga agensi ini bagaikan tidak tahu untuk menyegarkan semula sejarah negara. Pada hal, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menaungi ketiga-tiga agensi itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim sering kali mengeluarkan kenyataan betapa pentingnya sejarah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sering mengungkap mengenai kepentingan mata pelajaran Sejarah.

Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib serta RTM ini juga sebenarnya boleh membuat perancangan seperti bekerjasama dengan pusat beli belah utama di Kuala Lumpur untuk mempamerkan gambar, manuskrip dan sedutan visual sejarah negara.

Apa salahnya? Apakah pusat beli-belah tidak membenarkan? Kalau ini pun terjadi, ternyatalah pengurusan pusat beli-belah itu tidak berjiwa patriotik, tidak menghargai kemakmuran negara walaupun premis mereka sering menjadi tumpuan ramai.

Menonton program TV atau filem (kalau ada) yang bertemakan sejarah juga kadang-kadang membosankan. Rancangan bercorak sejarah ini kadang-kadang seperti mengadaptasi sepenuhnya daripada buku sejarah. Ia bersifat sebuah program lakonan semula untuk sebuah peristiwa bersejarah, bukan satu cerita menarik yang berlatarkan fakta sejarah.

Seperti kita katakan, sepanjang bulan kemerdekaan pada Ogos lalu sehingga kepada Hari Malaysia bulan ini, Jabatan Muzium, FNM dan Jabatan Arkib sebenarnya boleh berperanan lebih aktif untuk mempromosikan sejarah negara. Kenapa tidak diadakan pameran koleksi bahan bersejarah, sama ada dalam bentuk artifak, manuskrip dan visual di Muzium Negara?

Kita pilih Muzium Negara kerana agensi tersebut mudah dikunjungi pelawat berbanding Jabatan Arkib dan FNM.

FNM dan RTM boleh bergabung menyunting beberapa klip video atau filem pendek - lebih kurang tiga hingga lima minit - untuk disiarkan sama ada di TV dan panggung wayang secara selingan.

Klip video pendek juga boleh disiarkan ketika pameran bergerak mengenai sejarah negara bersama-sama dengan bahan yang disediakan Arkib Negara dan Muzium Negara di kompleks beli-belah, pastinya dalam ribuan pengunjung tentu ada yang berhenti sejenak, membaca, menonton dan menghayati maklumat berkaitan dengan sejarah negara dan kenegaraan.

Mata pelajaran sejarah atau berkaitan dengan sejarah tidaklah sukar untuk difahami dan dipelajari. Kalau kita boleh mempelajari sains dan matematik yang lebih teknikal dan rumit, tiada alasan untuk mempelajari dan menghayati sejarah.

Apa yang penting, pihak berkaitan seperti persatuan sejarah dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan penyimpanan bahan bersejarah, termasuk stesen TV haruslah kreatif dan inovatif untuk menjadikan sejarah sebagai bahan menarik, menghiburkan dan menyeronokkan.

Bersesuaian dengan teknologi sekarang, penyampaian elemen sejarah boleh dilakukan dalam bentuk visual, animasi, dokumentari, filem pendek atau apa saja yang bersifat interaktif dengan pengolahan skrip mudah tetapi tidak menyimpang daripada fakta.

Berbalik kepada Muzium Negara, Arkib Negara, FNM mahupun RTM, mungkin boleh berkongsi peruntukan kalau tidak mencukupi untuk menampung kos menyediakan pameran sejarah. Mungkin boleh meminta peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk tujuan murni ini.

Apa gunanya kita ada banyak bahan sejarah tetapi hanya diperam, tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan bangsa dan negara.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/