Selasa, 2 Oktober 2012

ISU BAHASA : Wajibkan kuasai bahasa Melayu


Oleh : MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 1 Okt. - Kerajaan disaran mewajibkan pelajar dan warga asing yang bekerja di negara ini menguasai bahasa Melayu dalam usaha menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Awang Sariyan berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan mewajibkan mereka mengambil Ujian Kecekapan Bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya telah menggubal dasar mengenai perkara tersebut dan akan mengemukakannya kepada kerajaan serta berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Katanya, pendekatan mewajibkan warga asing belajar bahasa tempatan telah dipraktikkan di kebanyakan negara dan turut dilalui oleh pelajar Malaysia yang menuntut di negara berkenaan.

Malangnya kata beliau, dasar tersebut tidak berlaku di negara ini dan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa Melayu semakin hilang.

"Sebagai contoh, pelajar kita yang berada di luar negara seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun perlu belajar sekurang-kurang setahun untuk menguasai bahasa mereka.

"Di Malaysia warga asing ini terus menggunakan bahasa mereka dan lebih malang kita juga terpaksa mengikut mereka apabila berkomunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Awang Sariyan berkata, selain warga asing, rakyat negara ini yang masih belum fasih berbahasa Melayu juga seharusnya diwajibkan mengambil ujian sama.

"Terdapat ramai rakyat di negara ini masih tidak tahu berbahasa Melayu dan situasi itu amat mengecewakan," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 1 Oktober 2012

ISU BAHASA : 'Warga asing wajib jalani ujian bahasa Melayu'


Oleh : Khairul Anuar Abdul Samad
 
Kota Bharu : Semua warga asing di negara ini dicadang diwajibkan mengikuti ujian kecekapan bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata pihaknya sudah siap menggubal kertas cadangan berkenaan dan berharap ia boleh dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

 Harap usaha berhasil

Beliau berharap usaha itu menjadi kenyataan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan di Negeri Sembilan minggu depan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan warga asing.

DBP sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mewajibkan warga asing di negara ini menguasai bahasa Melayu dan berharap ia diterima untuk dibawa ke Kabinet. Sebelum ini DBP mencadangkan inisiatif sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi khusus untuk pelajar asing, namun tiada sebarang keputusan dihasilkan, katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim, di sini semalam.

Usah antibahasa asing

Awang berkata, adalah sesuatu yang mengecewakan apabila negara lain antaranya Jerman, Korea Selatan dan Jepun mewajibkan penggunaan bahasa ibunda mereka terhadap warga asing yang berada di negara berkenaan.

Sementara itu, Nik Aziz dalam ucapannya, menegaskan rakyat Malaysia tidak harus bersikap anti kepada bahasa asing, bahkan perlu mempelajarinya terutama bahasa Arab yang dianggap bahasa mulia serta bahasa Inggeris yang kini bahasa antarabangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Usah Antibahasa Asing

Nik Aziz (tengah) ditemani Awang (kiri) ketika menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan semalam.

Oleh : ROSMIZA KASIM

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menegaskan bahawa beliau tidak sesekali bersikap anti kepada bahasa asing bahkan baginya amat perlu untuk mempelajarinya.

Nik Abdul Aziz berkata, orang ramai perlu mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab yang merupakan bahasa mulia serta bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Namun baginya, sekiranya menidakkan keperluan Bahasa Melayu sehingga menjadikannya kelas kedua di tanah air sendiri hakikatnya merupakan satu tindakan yang akan menghakis ketuanan bahasa tersebut.

“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diperkasakan dengan sehebat mungkin. Malah saya malu dan kesal terhadap sikap segelintir daripada kita yang lebih gemar bertutur dengan bahasa asing di dalam majlis kita dalam  kalangan kita sendiri.

“Ini  kerana persepsi kononnya bercakap dengan bahasa asing lebih moden dan lebih dihormati. Akhirnya, wujudlah sindrom bercakap guna bahasa campuran. Melayu pun tidak, Inggeris pun tidak,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Sehubungan itu, dalam memperkasakan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, beliau mencadangkan ia dijadikan sebagai bahasa ilmu.

“Sekarang ini ilmu dipelajari di seluruh dunia jarang sekali disusun di dalam Bahasa Melayu. Kita lebih mengenali bahasa asing sebagai bahasa ilmu.

Ini ditambah pula dengan langkah janggal sebahagian daripada kalangan orang Melayu sendiri yang mengambil  langkah ke belakang dengan memansuhkan bahasa Melayu di dalam beberapa subjek di sekolah.

“Tanpa disedari, langkah seperti ini sebenarnya lambat laun akan memusnahkan ketuanan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri. Alhamdulillah, langkah ini telah ditarik balik selepas terbukti ia tidak sesuai dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan tulisan jawi selaku tulisan asal kepada bahasa Melayu dan katanya, di Kelantan, selaku pemerintah pihaknya mewajibkan setiap papan tanda yang ingin dipaparkan hendaklah mengandungi tulisan jawi.

“Hari ini, dalam pada kita bercakap soal pemerkasaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, di manakah pula keprihatinan kita di dalam memartabatkan tulisan jawi? Oleh itu, saya amat mengharapkan pihak berwajib dapat melipatgandakan usaha meningkatkan penguasaan tulisan jawi di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Jika tidak, tidak mustahil kita akan menyaksikan tulisan ini pupus dan masyarakat masa depan hanya akan mengenali tulisan rumi selaku tulisan bahasa Melayu,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pembelajaran sepanjang hayat


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Tiga laluan strategik bina jalur pembelajaran

Apabila menamatkan alam persekolahan, kita bayangkan berakhirnya ‘dunia buku dan belajar dan ‘merdeka’ daripada  dunia itu.

Legakan perasaan pelajar

Dari satu perspektif, ia baik kerana melegakan perasaan pelajar dan graduan selepas sekian lama berulit dengan buku, kertas kerja dan peperiksaan.

Tetapi dari sudut lain pula, ia menanamkan kefahaman bahawa belajar cuma berlaku di alam berkenaan dan untuk mendapatkan sijil kelulusan saja.

Apabila masuk ke alam pekerjaan, minat belajar terus pudar dan perbincangan berkaitan dengannya tidak lagi menjadi tumpuan.

Pemahaman inilah yang perlu diperbetulkan kerana belajar tiada had masa dan tempoh. Sebenarnya semakin kita belajar semakin banyak yang kita tidak ketahui.

Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran, ilmu Allah itu tidak terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu, hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa ingin mendalaminya. Apa saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad”, jelas menunjukkan Islam menyarankan pembelajaran sepanjang hayat.

Tiga laluan strategik

Saya mahu berkongsi tiga laluan strategik dalam membina jalur pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang boleh dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dunia kerjaya.

Pertama, tentukan matlamat yang ingin dicapai dalam kerjaya. Dengan matlamat kerja yang jelas dan berasaskan pencapaian yang tinggi, pekerja akan berusaha mempelajari kaedah dan kemahiran untuk mencapainya.

Di sinilah laluan pembelajaran secara formal seperti mengikuti kursus, bengkel dan ceramah atau secara tidak formal melalui pembacaan, perkongsian pengalaman, perbincangan dan pandangan daripada rakan dan pakar diperoleh.

Kerja bersandarkan nasib dan tidak berdasarkan pengetahuan, amat dibenci dalam Islam. Ibarat pepatah Melayu, "untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Matlamat dapat mengelakkan kerja yang dilakukan menjadi sia-sia, merugikan serta tidak diketahui arah tuju haluannya.

Matlamat kerja

Penentuan matlamat kerja sangat penting dalam Islam kerana ia juga menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT.

Justeru itulah kita disunatkan untuk berdoa: “Ya Tuhan Kami kurniakanlah bagi kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat serta jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka”.

Kedua, laluan pembelajaran sepanjang hayat juga boleh berlaku melalui usaha memupuk keseronokan bekerja.

Keseronokan bekerja bukan sekadar untuk menjamin penghasilannya, tetapi di sepanjang usaha itu banyak pengetahuan boleh dipelajari kadangkala tanpa disedari.

Contohnya, untuk menimbulkan keseronokan, seseorang pekerja atau majikan akan mengenal pasti perkara yang boleh menimbulkan minat dan mengelakkan kebosanan seperti mewujudkan suasana persekitaran bilik atau dekorasi dan susun atur perabot dalam ruang pejabat yang bersih, cantik dan kemas.

Usaha mengenal pasti bahan, kualiti perabot dan dekorasi pejabat untuk tujuan membuka ruang pengetahuan yang lain pula daripada bidang kerja.

Ketiga, menghargai pandangan rakan, majikan dan pelanggan dan belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain. Ia adalah laluan percuma untuk pekerja mempelajari sesuatu yang baik. Ia boleh diperoleh sama ada melalui mesyuarat, perbincangan meja bulat mahupun aduan dan maklum balas.

Malah, kesanggupan untuk belajar daripada kesilapan adalah guru yang paling efektif. Sabda Rasulullah SAW “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu”. (Riwayat Muslim).

Kejayaan orang lain seperti kemampuan membuat keputusan yang tepat, inovasi dan idea kreatif adalah contoh yang boleh dipelajari asalkan ia diperoleh dengan cara yang benar dan halal.

Justeru, sama ada disedari atau tidak, ketiga-tiga faktor ini mampu menjadi tapak dan membuka laluan menimba pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang bermanfaat untuk merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja.

Setiap yang berlaku dalam kehidupan itu tiada yang sia-sia, penuh hikmah dan mampu menjadi wasilah untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Cuma bergantung sejauh mana kita mengamati, menghayati dan menerimanya sebagai input untuk memberi pelajaran dan pengajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 30 September 2012

ISU SOSIAL : Nasihat suatu kewajipan


ORANG lain biasanya nampak kekurangan dan kelemahan diri kita yang kita sendiri mungkin tidak menyedarinya. Di sinilah perlunya memiliki sifat berlapang dada. Dengan saling menasihati maka kita akan lebih maju, cemerlang dan terbuka kepada perubahan.

Masalah timbul apabila seseorang itu sukar untuk dinasihati. Ada yang masam mencuka, ada yang marahkan kita semula dan ada yang menyindir dengan kata-kata menyakitkan hati. Akibatnya, ramai yang ambil langkah selamat dan membiarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu-labunya. Namun, membiarkan orang itu begitu sahaja bukanlah satu langkah bijak kerana ada ketikanya apa yang dilakukan olehnya itu memberi kesan kepada orang sekeliling. Misalnya, kalau seorang pekerja di sebuah organisasi suka menipu, maka membiarkan dia begitu sahaja akan memburukkan imej organisasi itu sendiri. Oleh itu dia perlu dinasihati. Malah jika dia ingkar, sesuatu tindakan perlu diambil.

Berikut beberapa langkah yang boleh difikirkan apabila kita cuba menasihati orang lain.

Nasihatkan sahaja dan usah risau sama ada ia diterima atau tidak. Apabila menasihati seseorang, kita bukannya mahu menunjukkan yang kita ini lebih baik. Sebaliknya tujuannya hanya satu, iaitu membantu orang itu agar menjadi lebih baik dan cemerlang. Keikhlasan adalah elemen penting apabila menasihati orang. Apabila kita menasihati daripada hati, ia juga akan sampai ke hati. Usah terlalu fikirkan sama ada nasihat kita itu diterima atau tidak sebab yang memberikan hidayah itu Allah. Tugas kita menyampaikan sahaja.

Apabila menasihati, nyatakan sahaja perkara betul yang perlu dilakukan tanpa perlu menyebut apa kesalahan, kekurangan atau keburukan orang itu. Misalnya, apabila seseorang itu sering bercakap bohong maka tidak perlu ulas tentang cakap bohongnya itu. Sebaliknya, jelaskan sahaja padanya yang kita lebih suka jika dia bersifat berterus terang dan berkata benar.

Pilihlah masa yang sesuai apabila memberikan nasihat. Masa yang paling sesuai adalah ketika kesalahan atau kesilapan itu berlaku. Namun, jika ia berkaitan dengan perangai buruk maka pilihlah waktu orang itu dalam keadaan tenang dan bersedia. Jelaskan dahulu bahawa ada sesuatu perkara penting yang kita mahu sampaikan, itu pun jika dia mahu mendengarnya. Kita tidak mahu niat baik disalah tafsir lalu merenggangkan hubungan.

Semak semula cara kita menasihati. Mungkin pemilihan perkataan atau cara penyampaiannya salah. Ada ketikanya seseorang itu tidak boleh menerima nasihat yang diberikan kerana cara penyampaian kita seolah-olah mengaibkan, memburukkan, mencari salah dan menunjukkan kita ini bagus. Mungkin juga intonasi suara yang digunakan kurang sesuai atau pemilihan kata-kata agak kasar atau bersifat menyerang. Sebab itulah penting bagi kita membina hubungan baik (rapport) terlebih dahulu sebelum menasihati. Usah main terjah sahaja.

Betulkan diri kita dahulu sebab orang lebih percaya apabila kita boleh dicontohi dan dipercayai. Kadang kala kita ini bagaikan ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sebelum menasihati orang lain, nasihatlah diri sendiri dahulu. Malah sepanjang proses menasihati seseorang itu juga kita perlu sentiasa cermin diri sendiri. Sebab ketika menasihati itu, mungkin datang idea atau ilham yang boleh kita manfaatkan sama.

Kita juga perlu belajar menerima nasihat, baru dia tahu yang kita ikhlas. Usah jadi orang yang sekadar pandai menasihati tetapi tidak pandai menerima nasihat. Nasihat menasihati adalah proses dua hala. Hari ini kita nasihatkan dia, esok dia pula nasihatkan kita. Sikap saling menasihati dan berlapang dada sebegini akan mewujudkan suasana yang harmoni serta membina semangat kerja berpasukan yang tinggi. Sebab asas kepada kekuatan ummah itu adalah saling mempercayai. Apabila kita menasihati orang lain dan dalam masa yang sama boleh pula menerima nasihat maka ia menyuburkan sikap saling mempercayai dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Rajin tingkatkan ilmu sebab orang suka berkawan dengan orang yang ada ilmu. Mereka akan lebih hormat pada kita dan itu kelebihan yang boleh kita manfaatkan bagi kebaikannya juga. Semua orang sayangkan orang yang mempunyai pengalaman, berilmu dan memiliki kemahiran yang tinggi. Orang seperti ini sentiasa diminta pendapatnya dan dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu perkara. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kualiti diri dalam aspek ketinggian ilmu agar dengan kuasa ilmu yang ada maka bolehlah kita mempengaruhi dan mendorong orang lain ke arah kebaikan.

Kasihanilah orang itu dan doakannya. Kalau orang itu tahu apa yang kita tahu maka dia tidak akan lakukan apa yang kita tidak lakukan. Tetapi disebabkan kejahilannya, atau kedangkalan fikirannya, maka dia melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan masa depannya. Apabila telah dinasihati tetapi dia tidak mahu menuruti maka tiada apa lagi yang boleh kita lakukan kecuali kasihankannya dan doakan agar Allah berikannya petunjuk dan hidayah. Kerana selemah-lemah iman ialah orang yang membenci dalam hati akan satu perbuatan yang keji. Namun, yang dikeji itu adalah perangai atau sikapnya bukanlah orangnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 29 September 2012

ISU SOSIAL : Keruntuhan moral: Di manakah salahnya?


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

Perbuatan warga kita melanggar undang-undang trafik   adalah merupakan soal moral yang kelihatan mulai terhakis dengan seriusnya di negara kita. Kita jangan menganggap bahawa melanggar undang-undang trafik atau lalu lintas itu satu perkara kecil yang tidak termasuk dalam perlanggaran moral atau akhlak yang baik kerana daripada melanggar peraturan lalu lintas inilah membawa seseorang itu kepada persediaannya untuk melanggar peraturan dan undang-undang yang lain, seperti peraturan dan adab menghormati  harta benda orang lain, maruah orang lain, kehormatan anak gadis dan wanita-wanita lain, hinggalah kepada menghormati nyawa orang dan seribu satu masalah lain lagi yang sering dilanggar dan dicabuli di dalam masyrakat kita pada hari ini.

Ketua Pengarah JPJ  pada 26 September yang lalu memberitahu media bahawa sistem pemasangan kamera untuk mengawasi lalu lintas dan menangkap pesalah lalu lintas telah dilaksanakan untuk mendidik para pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan. Pemasangan kamera tersebut  dapat mengurangkan kemalangan kepada diri para pengguna jalan raya itu sendiri dan orang-orang lain yang  tidak berdosa  akibat  kecuaian para pengguna lalu lintas yang tidak bermoral dan tidak patuh kepada undang-undang.

Ketua Pengarah JPJ itu menjelaskan bahawa dalam masa dua hari sahaja sistem kamera itu dipasangkan hanya di beberapa tempat tertentu sahaja yang sering mengalami kemalangan serius di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Daripada 2,952 pesalah yang telah dikesan dengan kamera itu, 809 kerana memandu laju melebihi had laju yang telah ditetepkan dan 2,143 kerana melanggar lampu isyarat. Itu baru dua hari, dan tidak pula meliputi seluruh negara, dan itu pun telah terdapat  tanda amaran kepada para pengguna jalan raya yang memberitahu bahawa di hadapan terdapat kamera dalam sistem kamera Automated Enforcement System (AES)! Jadi semua pemandu telah tahu bahawa di hadapan terdapat kamera yang akan menangkap mereka yang buat salah!

Kita jangan ingat bahawa perkara ini perkara kecil, apa sangat melanggar lampu isyarat, atau memandu laju, kerana yang harus kita ingat ialah prinsip manusia ini yang seharusnya hidup berperaturan, beradab, mentaati undang-undang, malah yang penting sekali ialah hidup berdisiplin dan berkelakuan yang menunjukkan bahawa manusia ini haruslah bertamadun dan berperadaban, malah agama kita sendiri mengajar kita berperaturan dalam sembahyang, puasa dan sebagainya, budaya kita juga mengajar kita beradab dalam makan minum dan bergaul dengan orang tua serta ibu bapa dan anggota masyarakat umum, malah peraturan juga harus dihormati, jangan menyakiti orang lain, menipu, mencuri, merompak dan membunuh, peraturan juga terdapat untuk menusia memenuhi tuntutan jasmaninya, memenuhi tuntutan fitrah nafsunya berkelamin, jangan menceroboh dan merogol dan sebagainya.

Semuanya ini datang sekali gus apabila manusia hidup berdisiplin dan bertamadun, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini seharusnya merasa malu dengan dirinya sendiri dan malu dengan orang lain, apa lagi malu dengan Rasulullah dan malu kepada ALLAH, Tuhan yang maha esa. (Cubalah tonton program TV Al-Hijrah "kalau Rasulullah masih berada bersama kita, "Lau Kana Bainana"). Oleh itu mentaati peraturan lalu lintas juga termasuk dalam perilaku yang menunjukkan seorang itu bermoral atau pun tidak.

Kita hairan melihat telatah pelik sesetengah pemandu kita yang melanggar lampu isyarat, iaitu lampu isyarat telah menyala merah, tetapi mereka  terus memandu dengan muka yang selamba, seolah-olah merasa megah apabila dapat melanggar peraturan, dan ketika memandu di atas jalan raya, mereka memotong saja kereta lain  yang  meluncur di jalan raya mengikut had laju yang telah ditetapkan, termasuk lori dan bas, seolah-olah merasakan bahawa merekalah hero dan wira dalam dunia ini.

Apakah selama ini kita belum membangun dengan agak maju dan ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur dan pembangunan kemudahan awam seperti  perumahan, jalan raya, kenderaan awam, kompleks membeli-belah, sekolah, kolej dan universiti?

Kalau semuanya  itu telah membangun dengan agak baik, ditambah pula dengan kadar penggangguran yang semakin kurang, harga barang yang terkawal, peningkatan ekonomi keluarga dan individu yang agak baik, kemudahan pendidikan yang meliputi segala peringkat masyarakat, maka yang kurangnya tentulah apa-apa yang ada dalam diri dan hati kita sendiri, dalam hati nurani dan jiwa kita sendiri, termasuk kesedaran hendak menjadi orang yang baik atau tidak, hendak menghormati undang-undang atau tidak.

Di Australia umpamanya sistem AES itu telah dilaksanakan, dan ketika  penulis ke sana beberapa bulan yang lalu nampaknya orang di sana amat berdisiplin semasa memandu, mungkin kerana mereka telah dididik oleh kamera ini, tetapi di tempat yang tidak ada kamera ini pun mereka kelihatan masih mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas, apakah mereka lebih baik daripada kita dari segi adab dan disiplin, atau ajaran agama mereka?

Oleh itu nampaknya masalah kejatuhan moral dan akhlak sekarang merupakan satu masalah besar dalam masyarakat kita. Akibatnya setiap hari kita membaca dan menonton segala macam pencerobohan dan keganasan yang berlaku, penipuan, pembunuhan, pencabulan dan sebagainya, yang sekali gus menambah tugas polis dan penguat kuasa undang-undang kita.

Di manakah salahnya? Mungkin kita dapat sama-sama membincangkan hal ini seterusnya pada kesempatan yang lain.

Sementara itu, para pemandu kenderaan semua, ketika memandu di jalan raya, pandang-pandanglah sikit tanda jalan kerana terdapat satu tanda baru tentang AES ini iaitu di hadapan ada kamera yang mengintip kita, dan kamera ini tidak boleh disuap atau diberikan rasuah, dia bukan manusia, tetapi nampaknya manusia hari ini tidak mahu dididik oleh manusia sendiri, mereka lebih takut kepada makhluk lain yang bukannya bernama manusia termasuklah kamera AES!. Pelik sungguh makhluk yang bernama manusia!

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Individu Pendapatan Bercukai Bawah RM5,000 Tidak Dikenakan Cukai


CYBERJAYA : Selaras dengan pengumuman penurunan kadar cukai satu mata peratusan, individu yang pendapatan bercukainya di bawah RM5,000 tidak perlu lagi membayar cukai mulai tahun taksiran 2013.

Menjelaskan demikian, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata mereka yang berpendapatan bercukai RM5,000 hingga RM20,000 ke atas pula akan menikmati kadar cukai sebanyak dua peratus berbanding tiga peratus sebelum ini.

"Manakala bagi individu yang pendapatan bercukainya antara RM20,001 hinggaRM35,000 pula akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus berbanding sebelum ini tujuh peratus," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pengurangan cukai itu setelah diambil kira semua pelepasan cukai dan bukannya mengikut pendapatan kasar.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Bajet 2013 dan pengurangan cukai itu boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-88-3010 atau emel di callcentre@hasil.gov.my.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan2013 semalam, mengumumkan penurunan kadar satu mata peratusan cukai mulai tahundepan, langkah itu membolehkan kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Mohd Shukor berkata secara keseluruhannya bajet 2013 mengandungi 37 pindaan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967; lapan pindaan di bawah Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967; sepuluh pindaan di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976; dan enam pindaan di bawah Akta Setem 1949.

Kesemua pindaan itu katanya sebagai menyokong fokus bajet bagi merangsang aktiviti pelaburan, memperkasa pendidikan dan latihan, membudaya inovasi dan meningkat produktiviti.

Justeru itu katanya, LHDN akan menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan di 23 lokasi di seluruh negara, mulai 3 Oktober depan.

Ia bertujuan memberi penerangan lanjut berkaitan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan dan akta-akta lain yang ditadbir agensi itu yang terkandung dalam Bajet 2013. BERNAMA