Ahad, 21 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Impak Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA)



Usah bebankan guru, pelajar

Oleh Ruhaiza Rusmin

PEMANSUHAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pasti memberi anjakan baru kepada sistem pendidikan dan peperiksaan negara yang kini merentasi era globalisasi.

Pemansuhan itu satu mekanisme baru bagi menyaingi proses pembelajaran peringkat global, sekali gus mencapai matlamat melahirkan pelajar berprofil tinggi.

Bagaimanapun, ada pihak beranggapan pemansuhan itu akan gagal jika pengenalan baru menerusi Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) yang akan menggantikan PMR tidak mampu dilaksanakan dengan baik.

Persoalannya, mampukah SBA memberi impak lebih baik berbanding PMR?

Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, pemansuhan atau pengenalan dua sistem penilaian tidak perlu dipertikaikan, namun kemampuan kedua-duanya memberi impak terbaik kepada sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, setiap sistem penilaian perlu mengambil kira pelbagai aspek dan wajar dilaksanakan apabila sudah bersedia kerana implikasinya besar kepada sekolah, pelajar, tenaga pelaksana, masyarakat dan masa depan.

“Persediaan penting kerana kita tidak mahu apabila sistem penilaian baru diperkenalkan, impaknya tersasar sehingga menjadi uji kaji semata-mata.

“Kita juga tidak mahu apabila sistem lama dimansuhkan, ada pihak tidak berpuas hati dan mula mempersoalkannya. Ini boleh menggugat proses dan keharmonian sistem pendidikan negara.

“Yang penting, sistem penilaian yang digunakan itu mampu memberi impak terbaik dan lebih baik daripada sistem sedia ada, barulah pemansuhan itu berbaloi,” katanya.

PMR yang diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) akan dimansuhkan pada 2014 bertujuan mengelak sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Menerusi SBA, pihak sekolah sebagai pengendali tetapi masih di bawah pengawasan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi pelajar.

Katanya, tidak salah jika mahu memperkenalkan sistem penilaian baru, namun kajian mendalam perlu dilaksanakan bagi memastikan ia mencapai matlamat.

Selain itu, katanya, sistem diperkenalkan itu perlu telus dan tidak menambah beban fizikal dan mental guru sebagai mekanisme pelaksana.

“Sebab itu, sebelum melaksanakannya, kajian mendalam perlu dilakukan kerana tidak mahu timbul masalah yang akhirnya akan menjadikan pelajar, guru dan sekolah sebagai mangsa keadaan.

“Memang benar, banyak negara maju melaksanakannya, namun di negara kita masih banyak aspek perlu diambil kira. Contohnya, kesediaan guru sebagai mekanisme pelaksana juga penerangan jelas agar lebih memahami.

“Jika tidak, saya percaya pengenalan sistem penilaian baru itu pasti rumit, sekali gus menambah beban dan tekanan sedia ada. Yang menjadi mangsa ialah pelajar dan guru,” katanya mengakui tempoh kajian yang tinggal kira-kira dua tahun sebelum pelaksanaan sudah memadai.

“Panel yang bertanggungjawab dalam sistem ini perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak sama ada kementerian, sekolah, guru, pakar akademik atau badan bukan kerajaan.

“Pendapat mereka juga boleh membantu memberikan input terbaik selain penerangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini sudah serasi dengan sistem penilaian lama,” katanya.

Antara persoalan yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana mahu mengklasifikasikan kedudukan pelajar mengikut aliran ketika di tingkatan empat.

“Menerusi PMR, kita boleh mengklasifikasikan mereka berdasarkan keputusan. Bagi yang cemerlang akan memasuki aliran sains, yang lain sastera atau vokasional.

“Apabila SBA diperkenalkan, apakah kriteria yang akan digunakan, bagaimanakah kita mampu menilai pelajar berkenaan?

“Semua ini memerlukan jawapan dan penyelesaian. Sebab itu penting perbincangan bersama untuk mengetahui persediaan dan tahap kemampuan kita memperkenalkan sistem penilaian baru,” katanya.

Beliau mengakui pemansuhan PMR sebagai langkah berani melahirkan pelajar serba boleh dan kompeten selari kehendak semasa, selain mahu menyamai sistem penilaian diguna pakai di negara maju.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan perlu melalui fasa demi fasa supaya sistem penilaian itu selari dengan standard yang ingin dicapai.

“Kita tidak boleh menafikan, bidang pendidikan juga perlu melalui anjakan perubahan supaya selari dengan negara maju, namun biarlah ia dilaksanakan secara konsisten, bukan tergesa-gesa.

“Mencapai standard seperti negara maju memerlukan masa, komitmen, perancangan dan persediaan. Bagaimanapun, usaha ini wajar diberi pujian dan sokongan kerana kita berani berubah.

“Bagaimanapun, ia juga perlu diseimbangkan dengan perubahan pemikiran. Jika mahu lakukan perubahan sistem, cara berfikir, menerima dan membuat tindakan juga perlu berubah.

“Andai sistem saja yang berubah tetapi pemikiran tetap di takuk lama, sistem ini akan gagal,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat diberi penerangan jelas supaya mereka lebih memahami dan bersedia menerima perubahan sistem penilaian lama kepada baru.

“Penerangan jelas kepada masyarakat pasti memberi kelegaan dan membuatkan mereka faham. Kita tidak mahu, hanya sebelah pihak saja beria-ia melakukannya tetapi yang lain tidak menyokong.

“Gunakan medium seperti media massa dan elektronik untuk menerangkan mengapa perubahan mesti dibuat terutama kepada masyarakat kelas sederhana dan bawah.

“Perubahan ini bakal memberi impak kepada semua, justeru, penting bagi pihak terbabit mengetahuinya dengan jelas supaya tidak akan timbul kekeliruan,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : PENCEMARAN ALAM SEKITAR MEMUDARATKAN KESIHATAN MANUSIA


OLEH : VANITHA VASHU

Pembangunan dunia telah berkembang dengan pesatnya. Akibat daripada kepesatan tersebut, telah menyebabkan alam sekitar tercemar. Pencemaran ini boleh memudaratkan kesihatan. Kilang-kilang yang mengeluarkan asap boleh mencemarkan udara. Selain itu, kenderaan-kenderaan turut mengeluarkan gas karbon monoksida yang boleh menyebabkan sistem pernafasan terganggu.

Sungai-sungai juga turut dicemari. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS), kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih.

Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Pencemaran sungai terus meningkat disebabkan oleh  sisa-sisa pembuangan industri dan bahan-bahan toksik. Ia menyebabkan hidupan akuatik terjejas.

Begitu juga dengan tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hidupan akuatik seperti ikan merupakan sumber protein yang penting kepada manusia. Jika sumber ini tercemar, maka manusia akan menghadapi masalah kekurangan sumber protein. Kekurangan protein dalam badan pula akan menyebabkan kesihatan manusia terganggu.

Pembuangan sampah-sarap oleh orang ramai dan perbuatan membiarkan longkang-longkang tersumbat serta bertakung amat membahayakan kesihatan manusia. Ini akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes, kuman dan bakteria seterusnya membawa penyakit seperti panyakit taun dan demam denggi.

Oleh sebab alam sekitar yang bersih dan ceria amat penting, maka pelbagai langkah yang berkesan harus diambil oleh pihak berkuasa. Antaranya ialah undang-undang harus diperketat supaya sektor industri akan memastikan kebersihan persekitaran. Kempen-kempen kesedaran juga hendaklah dijalankan untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan alam sekitar. Denda atau hukuman yang setimpal perlu dikenakan kepada pihak yang mencemarkan alam sekitar tanpa memilih bulu. Ingatlah bahawa kesilapan yang dilakukan oleh manusia akan ditanggung oleh manusia itu sendiri. Oleh itu setiap individu di bumi ini perlu menjalankan tanggungjawab bagi menjamin kebersihan alam sekitar.

Sumber :  http://www.konsumerkini.net.my/

ISU ALAM SEKITAR : Undang-Undang Alam Sekitar Lebih Mantap Berkuat Kuasa Januari 2013


Kuala Lumpur : Mekanisme penguatkuasaan dan pendakwaan dalam pengurusan alam sekitar serta penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan dimantapkan lagi apabila Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 dikuatkuasakan mulai 2 Januari depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata pindaan akta yang telah diwartakan pada 16 Ogos lepas itu, adalah bagi mengadakan undang-undang yang lebih relevan untuk menangani isu alam sekitar yang semakin kompleks.

Beliau berkata pindaan akta tersebut turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk menghentikan sebarang projek yang melanggar peraturan EIA yang sebelum ini, tertakluk di bawah bidang kuasa menteri.

"Elemen utama dalam akta yang dipinda ini adalah semua jururunding yang mahu menjalankan kajian EIA perlu didaftarkan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), maka dengan keperluan ini, kita berharap masa yang diambil untuk memproses kajian akan lebih cepat dan ia akan menghasilkan laporan berkualiti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Alam Sekitar Malaysia, peringkat Kebangsaan 2012 di Taman Tasik Titiwangsa di sini, Ahad.

Pindaan akta itu juga, katanya memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada denda maksimum RM500,000.

"Pindaan akta ini membolehkan penangkapan dilakukan pegawai penguat kuasa JAS sekiranya mendapati terdapat individu melakukan kesalahan dan kemudian membawanya ke balai polis terdekat," katanya.

Antara kesalahan mengikut seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.

Uggah berkata pindaan akta itu memperuntukkan ganjaran kepada pemberi maklumat memandangkan kerja penyiasatan terhadap jenayah alam sekitar sering menghadapi masalah kekurangan bukti.

"Ini akan menggalakkan lebih ramai orang terlibat dan membantu pihak berkuasa menangani jenayah alam sekitar. Bagi tujuan ini juga, satu seksyen baru diwujudkan untuk memberi jaminan kepada pemberi maklumat bahawa identiti mereka tidak akan didedahkan," tambahnya.

Terdahulu beliau melepaskan 3,000 peserta larian Enviro-run 2012 mengelilingi kawasan Taman Tasik Titiwangsa yang diadakan sempena Minggu Alam Sekitar itu. -BERNAMA

Sabtu, 20 Oktober 2012

Gurindam Bukti


Bukti pengarang karyanya berkesan,
Apabila cerita melentur insan.

Bukti penulis sayangi bangsa,
Apabila membenci hal sia-sia.

Bukti pembaca menyantuni sastera.
Apabila karya  ditimbang tara.

Bukti masyarakat bijak dan matang,
Apabila sastera jadi alat berjuang.

Bukti kita menginsafi diri,
Apabila cela nista tegas dijauhi.

ARIF ATAN
Rawang, Selangor.

ISU GLOBAL : Autonomi bukan sesuatu yang baharu


Oleh : NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

AUTONOMI berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud 'pentadbiran sendiri' iaitu satu konsep dalam isu moral, perubatan, politik dan falsafah.

Namun, kebanyakan penduduk dunia lebih mengenali maksud autonomi dari sudut politik iaitu pemerintahan sendiri sebuah wilayah dalam sesebuah negara.

Beberapa perjuangan menuntut autonomi terkenal kerana melibatkan pergolakan berdarah seperti di selatan Filipina, selatan Thailand, Xinjiang Uighur di China dan banyak lagi.

Pergolakan selama 40 tahun yang telah meragut lebih 120,000 nyawa di Filipina bagaimanapun berakhir menerusi perjanjian penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro antara pejuang Islam dan kerajaan negara itu pada minggu ini.

Masalah tuntutan autonomi bersenjata di beberapa negara lain bagaimanapun dijangka berterusan selagi kedua-dua pihak gagal berkompromi mencari jalan tengah.

Namun, bukan semua perjuangan autonomi memerlukan korban darah dan banyak daripadanya tidak dikenali umum kerana melalui proses permohonan dan kelulusan yang lebih mudah.

Ada juga pemerintahan autonomi yang tidak melibatkan wilayah tetapi merangkumi kawasan bandar, komuniti, kawasan, republik, sektor, jajahan mahupun negara yang bergantung kepada perlembagaan negara lain.

Selain itu, ada juga wilayah yang diberi nama 'autonomi' tetapi tidak semestinya menggambarkan pentadbiran sendiri yang bebas daripada kerajaan.

Penduduk beberapa wilayah di negara-negara tertentu dilihat bangkit menuntut autonomi bagi memudahkan urusan kawasan mereka, di samping menolak campur tangan pihak luar.

Ini kebiasaannya berlaku apabila penduduk wilayah tersebut mencapai bilangan yang amat besar tetapi masih tergolong dalam kumpulan minoriti terutamanya di negara-negara yang mempunyai sempadan jajahan yang amat besar.

Boleh dikatakan tuntutan autonomi yang munasabah tidak perlu mengangkat senjata selagi ada kerjasama dan kesediaan berbincang ke arah jalan tengah yang menguntungkan semua pihak agar rakyat tidak menderita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Kelantan juara Piala Malaysia tewaskan ATM 3-2



SHAH ALAM : Kelantan membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan treble musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA. Pencapaian Kelantan ini kali terakhir dilakukan oleh Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Indra Putra Mahayuddin menjadi wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan sekali gus memastikan Piala Malaysia menjadi milik The Red Warriors setelah hampa pada tahun lepas.


Kelantan, juara Piala Malaysia 2010, tiga kali mendahului ATM sebelum wisel penamat masa tambahan.

Tahun lalu, Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan malam ini, ATM  hampir mendapatkan jaringan awal pada babak awal perlawanan menerusi pemain pertahanannya bagaimanapun, sepakannya tersasar.

ATM sekali lagi hampir menjaringkan gol tetapi percubaan kaptennya, Hairuddin Omar berjaya dikekang oleh pertahanan Kelantan.

Kelantan terus mengatur strategi dan melakukan serangan, namun percubaan Muhammad Afiq Azmi berjaya ditepis oleh Mohd Farizal Harun pada minit keenam.

Pada minit ke-12, Kelantan sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi tendangan Norshahrul Idlan Talaha sedikit melencong ke tepi tiang gol.

Susulan serangan pasukan Kelantan, ATM melakukan serangan balas. Kali ini tandukan Hai-0 sekali lagi melambung tinggi pada minit ke-13.

Kelantan mula menemui rentak permainan apabila terus melakukan serangan diketuai kaptennya, Mohd Badhri Radzi.

Begitupun, serangan menerusi Indra Putra dan Afiq terus gagal membolosi gawang lawan apabila berjaya didakap oleh Farizal Harun.

Keghairahan Kelantan dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila rembatan kencang Nor Shahrul Idlan Talaha berjaya menewaskan Farizal Harun pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua, tidak sempat Kelantan mengatur rentak permainan, ATM terlebih dahulu menjaringkan gol penyamaan menerusi Rezal Zambery Yahya iaitu minit ke-48.

Selang satu minit kemudian, Kelantan memperkemaskan corak permainan dengan aksi lebih tersusun dan Mat Yo sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol kedua.

Kegembiraan Kelantan bagaimanapun tidak bertahan lama, apabila jaringan Marlon Alex James pada minit ke-61 berjaya menyamakan kedudukan, sekali gus menggegarkan stadium dengan sorokan penyokong ATM.

Setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2, perlawanan diteruskan di masa tambahan selama 30 minit.

Umpama mendapat semangat dari gol kedua, anak didik B.Sathianathan melancarkan gerakan bertali arus melalui kombinasi pemain Hai-0, Marlon dan Aidil namun berjaya dikekang oleh pertahanan Kelantan.

Sebaliknya, Kelantan yang mendapat sorokan lebih 60,000 penyokong nyata menyuntik semangat dalam diri mereka.

Pada minit kelima masa tambahan, gerakan menarik Indra Putra akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol ATM, Farizal Harun sekali gus memadam impian skuad The Army untuk menjulang Piala Malaysia buat julung kali.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali.

Kedudukan jaringan:
ATM (2) mln Kelantan (3)

Jaringan ATM:
Rezal Zambery Yahya minit ke-48, Marlon Alex James minit ke-61

Jaringan Kelantan:
Norshahrul Idlan Talaha minit ke-43 dan minit ke-49, Indra Putra minit ke-95

Barisan Pemain:

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin(Mohamed Aslam Haja Najumudden), Nik Mohd Shahrul Azim, S. Subramaniam (MohdRizal Fahmi Abdul Rosid), Mohd Shakir Shaari, Mohd Nurul Azwan Roya, Indra PutraMahayuddin, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), Muhammad Afiq Azmi (Mafry Balang),Norshahrul Idlan Talaha.

ATM: Mohd Farizal Harun, Amiridzwan Taj Tajudin, Mohamad Aidil Zafuan AbdulRadzak, Mohamad Azmi Muslim (Mohd Fitri Omar), K. Reuben (A. Varanthan), D.Christie Jayaseelan (Venice Elphi Danny Kaya), Rezal Zambery Yahya, HairuddinOmar (kapten), Bruno Sebastian Martelotto, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak,Marlon Alex James.

Pengadil: Nafeez Abdul Wahab

Jumaat, 19 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Anak saham paling berharga


Ibu bapa untung berlipat ganda jika tidak abai pendidikan dunia, akhirat

Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini dianggarkan 9.8 juta (36 peratus) penduduk negara terdiri daripada golongan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun. Golongan ini adalah anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT. Mereka adalah aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibu bapa, ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak derhaka, terbiar dan pada masa akan datang menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru memiliki anak soleh serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.

Doa mohon anak soleh

Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah SWT: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38)

Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran sama ada zahir atau batin. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi insan berjaya.

Anak yang soleh akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapa. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)

Bina potensi melalui pendidikan

Pendidikan dapat membina potensi anak. Oleh itu, ia hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam sanubari mereka.

Ibnu Sina berpesan: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk.”

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Tanggungjawab kita bukan hanya memastikan anak hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat. Oleh itu, penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh.

Ini akan membantu mereka menghadapi masalah sosial serta membantu mendepani cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran hingga ada yang sanggup menggadai prinsip kehidupan.

Kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak yang menghancurkan kehidupan.

Kehendak nafsu berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.

Jauhi keluarga daripada neraka

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah)

Memelihara keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti kita bersikap pasif dengan mencegah mereka daripada pelbagai perbuatan maksiat. Kita juga mesti aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka agar memiliki daya tahan yang dapat menepis pengaruh persekitaran.

Ingatlah pepatah orang Melayu, ‘ampuh bak ikan di laut walaupun dikelilingi air yang masin, sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu bapa bukan saja menjadi ‘tuan’ di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh.

Bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia bertemakan Karisma Kanak-kanak, Serlahkan Potensi Dirimu, marilah kita menjaga dan mendidik anak yang diamanahkan oleh Allah SWT. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama supaya dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/