Isnin, 12 November 2012

ISU BAHASA : ANTARA MAHMUDAH, MAZMUMAH


MENGENALI SIFAT HATI YANG TERPUJI DAN TERKEJI

MAHMUDAH ialah sifat hati yang terpuji sementara mazmumah ialah sifat hati yang terkeji. Keimanan kita ada pasang surut. Begitu juga dengan sifat mahmudah dan mazmumah yang sedia ada dalam diri. Terpulang kepada kita bagaimana untuk menyemarakkan sifat mahmudah serta menjauhi sifat sebaliknya.

SIFAT MAHMUDAH(TERPUJI) :

Taubat - Bermaksud meninggalkan maksiat, dosa dan kejahatan dengan kembali kepada kebaikan.

Syarat-syarat taubat:
  • Bertekad meninggalkan maksiat atau dosa yang pernah dilakukan.
  • Menyesal seikhlas hati dengan didorong rasa takut kepada azab ALLAH SWT, bukan disebabkan mengalami akibat daripada maksiat.
  • Bercita-cita tidak akan mengulangi perbuatan buruk lagi, rasa benci kepada maksiat kerana ALLAH SWT.
  • Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi seperti meminta maaf memulangkan atau menggantikan barangan; atau membayar menurut nilai sama yang pernah dicuri.
  • Mengerjakan perkara fardu yang telah ‘luput.’ 
  • Melakukan perubahan ketara sebagai penebus dosa seperti bersedekah, bersolat sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat dan berbakti.
Khauf - Takut kepada ALLAH SWT, rasa gerun akan kekuatan serta kemurkaan-NYA dengan mengerjakan segala perintah dan meninggalkan apa-apa  yang dilarang agama.

Zuhud - Bererti meninggalkan rasa cinta kepada sesuatu yang bersifat duniawi. Zuhud bukan tidak memiliki perkara bersifat dunia tetapi tidak terlalu mencintainya sehingga mengganggu hubungan hati terhadap ILAHI.

Sabar - Menahan diri untuk mendapat keredaan ALLAH SWT daripada keluh kesah, tertekan, rasa derita, kecewa dan putus asa pada sesuatu yang tidak disukai. Tambahan pula, sabar perlu ketika kita menghadapi tiga situasi berikut:
  • Menahan diri daripada keluh kesah dan tidak mengadu selain kepada ALLAH SWT ketika ditimpa sesuatu bala.
  • Menahan diri daripada sebarang cabaran atau gangguan dalam mengerjakan segala perintah ALLAH SWT.
  • Menahan diri untuk meninggalkan segala larangan ALLAH SWT.

Syukur - Bermaksud mengaku dan memuji ALLAH SWT atas nikmat yang diberikan seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian atau jawatan. Justeru, kita hendaklah menggunakan nikmat tersebut bagi menambahkan ibadat.  

Ikhlas - Menumpukan niat bagi setiap ibadat atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana ALLAH SWT. Dikasadkan (niat) juga untuk menjunjung perintah dan membersihkan hati daripada dosa riyak, ujub atau inginkan pujian pihak lain. 

Tawakal - Menetapkan hati dan berserah kepada ALLAH SWT dalam segala perkara yang berlaku serta beriktikad bahawa hanya DIA yang memerintahkan setiap sesuatu.

Mahabbah - Bermaksud kasihkan ALLAH SWT dengan mengingati-NYA setiap masa dan keadaan. Ini dapat diterjemahkan dengan melakukan perintah dan berusaha mendampingkan diri melalui ibadat sunat.

Ingat mati - Kita hendaklah sentiasa mengingati mati dan bersedia dengan amal ibadat sebagai bekalan menghadapi sakaratul maut. Mati dan barzakh hanyalah permulaan kepada akhirat yang menentukan nasib setiap insan.

Tawaduk - Bermaksud merendah diri kepada ALLAH SWT dan makhluk lain. Muslim yang tawaduk adalah golongan yang tidak bangga diri, tidak sombong terhadap Sang Pencipta dan sesama insan.

SIFAT MAZMUMAH(TERKEJI) :

Banyak makan - Syarrut ta’am bermaksud terlampau banyak makan dan minum atau gelojoh ketika makan. Perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang itu malas, lemah dan tidur berlebihan. Kesannya, kita akan lalai daripada menunaikan ibadat dan melakukan amalan soleh.

Banyak cakap - Syarrul kalam atau banyak bercakap boleh menjadi perkara yang sia-sia. Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabda yang bermaksud: Berkata-kata mengenai perkara baik atau berdiam diri dianggap penting sehingga dikaitkan dengan kesempurnaan iman kita kepada ALLAH SWT dan hari akhirat. Lazimnya apabila banyak bercakap, ia membawa kepada banyak salah yang boleh mengundang dosa serta menyebabkan orang yang mendengar cepat jemu.

Pemarah -  Sifat pemarah ini bermaksud marah bukan pada tempat yang dibolehkan. Ia lahir daripada peribadi yang sombong, ego, gopoh dan tidak rasional. Kita perlulah beringat bahawa angkuh merupakan salah satu sifat iblis yang menjadikan mereka kufur.

Hasad dengki - Individu yang bersikap hasad dengki disebabkan oleh perasaan cemburu atau inginkan nikmat yang diperoleh orang lain. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kekuasaan ALLAH SWT. Golongan yang berhasad akhirnya boleh membawa kerosakan dan pergaduhan sesama insan.

Bakhil - Bermaksud menahan hak sendiri daripada dibelanjakan atau diguna kecuali ke jalan yang dituntut syariat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyempurnakan agama seperti berzakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan. Justeru, bersikap bakhil merupakan kesalahan besar di sisi Islam.

Suka bermegah - Sifat ini bermaksud sukakan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Perasaan ini sebenarnya menunjukkan kita tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Akibatnya boleh membawa kepada tipu helah sesama insan dan menyebabkan seseorang membelakangkan kebenaran demi menjaga pangkat yang dimiliki.

Kasih dunia - Golongan yang kasihkan dunia mencintai perkara-perkara berbentuk keduniaan dan tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat. Lebih membimbangkan ia boleh merebak menjadi tamak haloba. Di antara perkara tersebut ada yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi bekalan di akhirat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Graduan IPTS bukan graduan kelas kedua



Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

ENTAH mengapa, masyarakat kurang memahami peranan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai penyokong terhadap sistem pendidikan tinggi negara yang semakin berkembang.

Dengan kewujudan hanya 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada, tentu tidak mencukupi menampung permintaan kemasukan tinggi saban tahun.

Malangnya, peranan serta kesudian IPTS berkongsi memikul tanggungjawab itu untuk membolehkan pelajar memperoleh akses pendidikan menyeluruh ada kalanya seperti tidak dihargai.

IPTS dianggap sebagai institusi yang hanya layak untuk mereka yang keciciran dalam akademik selain tidak gah pencapaiannya seperti institusi pendidikan tinggi awam.

Lebih tidak adil, apabila pelajarnya dikatakan hanya layak memegang kategori pelajar kelas kedua biarpun pencapaian mereka juga cemerlang setanding IPTA.

Benarkah tanggapan itu? Atau hanya pandangan masyarakat yang masih dibelenggu tanggapan lapuk terhadap fungsi dan peranan IPTS sebagai sebahagian akses sistem pendidikan terkini?

Bekas mahasiswa sebuah IPTS di Selangor, Nur Jeehan Md Nasir, 21, berkata tanggapan bahawa IPTS adalah institusi kelas kedua atau hanya untuk mereka yang gagal semata-mata adalah kenyataan tidak beretika serta berat sebelah.

Menurutnya, semua institusi berperanan sebagai wadah penyampaian ilmu dan pelajar pula sebagai aset bagi meneruskan kesinambungan itu.

“Malangnya soal taraf atau kemampuan institusi sering kali dijadikan perbandingan sedangkan ilmu boleh dituntut di mana jua.

“Apakah kerana kami graduan IPTS, kami dianggap kelas kedua dan tidak mempunyai kelayakan atau keupayaan seperti graduan IPTA?” katanya.

Sikap terburu-buru masyarakat yang mudah melabelkan pelajar IPTS sebagai mereka yang kurang bijak atau tercicir dalam pelajaran masih tidak berubah.

Biarpun diakui pertumbuhan ribuan IPTS kini menjadi petunjuk bahawa kemudahan serta akses memperoleh pendidikan semakin terbuka luas, masih ada yang skeptikal dan hanya mengagungkan IPTA sebagai satu-satunya institusi memperoleh pendidikan tinggi.

Natijahnya, ada segelintir pihak mendiskriminasi dan mempersoalkan kemampuan graduan IPTS sekali gus menjadikan mereka mangsa keadaan dan ketidakadilan.

Alasannya, mereka dikatakan tidak kompetitif, tidak mempunyai pengiktirafan kelayakan segah institusi yang mempunyai nama.

Dia tidak menyangkal tanggapan itu tapi menyamakan kemampuan graduan tanpa memberi peluang mereka membuktikan terlebih dulu dianggap kurang profesional.

“Apa kurangnya kami kerana modul yang dipelajari juga hampir sama. Yang membezakan cuma lokasi.

“Justeru, mengapa kami perlu dianaktirikan? Diskriminasi seperti ini cukup ‘kejam’ kerana kami dicantas sebelum diberi peluang membuktikan kemampuan,” katanya.

Berkongsi pengalaman, dia terpaksa menempuh sengsara apabila mengambil keputusan melanjutkan pengajian di IPTS biarpun mempunyai kelayakan untuk memasuki IPTA.

“Saya tidak menyangkal ada suara sumbang mengatakan tindakan itu seperti menempah bala sedangkan keputusan akademik saya baik.

“Saya ada sebab tersendiri mengapa memilih IPTS dan tidak pernah kesal memilihnya. Pada saya tempat dan taraf bukan penentu kejayaan.

“Malah, saya bangga dengan keputusan itu kerana hasil penat lelah mengulang kaji, akhirnya berjaya muncul antara pelajar terbaik. Taraf institusi tidak boleh menghalang kejayaan,” katanya yang percaya menuntut ilmu boleh dilakukan di mana - mana.

“ Yang penting kemahuan, usaha keras dan matlamat. Jika tiada, di institusi terbaik dunia pun kita tidak boleh berjaya,” katanya.

Rakannya, Yulieane Asy Syafieqah Yaacub, 21, juga mempersoalkan mengapa taraf institusi perlu dijadikan modal untuk masyarakat membuat perbandingan.

Menurutnya, sewaktu  mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di IPTS, ramai kurang bersetuju dan memandang serong selain menganggapnya tergolong kategori pelajar lemah akademik.

“Saya pelik pada mereka yang mempunyai pandangan demikian. Walaupun jika benar keputusan akademik kurang baik, apakah salah jika ingin melanjutkan pengajian di IPTS.

“Pendapat saya belajar di mana pun tetap sama, kita yang menentukan sama ada mahu berjaya atau sebaliknya,” katanya yang membuktikan keputusannya memilih IPTS sebagai destinasi pertama mencambah ilmu di peringkat tinggi tidak sia - sia.

“Saya kini lebih bangga kerana mampu membuktikan keputusan melanjutkan pengajian di situ tidak salah. Saya berjaya menjadi pelajar terbaik dan kini menjejakkan kaki di IPTA.

“ Institusi dulu mungkin tidak terkenal seperti yang lain, namun di situlah tempat saya belajar berdikari. Pendapat saya, IPTA atau IPTS, semuanya sama.

“Yang penting keinginan untuk berjaya. Justeru janganlah skeptikal kerana di sini juga kami mampu berjaya,” katanya yang kini juga melanjutkan pengajian tahun pertama di sebuah IPTA awam.

Manakala Zurani Said, 25, juga mengakui dia tersinggung dengan tanggapan pelajar IPTS sebagai kelas kedua.

Menurutnya, jika dulu diakui IPTS sebagai tempat mereka kurang berjaya, kini sentimen sudah berubah.

“Malah majikan juga tidak memilih graduan institusi tertentu untuk menawarkan pekerjaan kerana apa yang penting ada kemahiran tambahan.

“Kami juga ada kelebihan itu. Jadi apa yang membezakan kami dengan pelajar IPTA?,” soalnya.

Mengenai kehidupan bebas yang dikatakan sering berlaku di IPTS, dia berkata semuanya bergantung pada diri sendiri selain boleh berlaku di mana- mana saja.

“ Apa kaitan IPTS dengan masalah ini? Apakah bermakna belajar di sini, kami bebas melanggar peraturan?

“ Silap masyarakat kerana mudah memberi penafsiran. Saya tidak nafikan, ada pelajar begitu namun tidak adil menganggap semuanya rosak kerana beberapa isu.

“Apakah pelajar IPTA tidak terjebak dengan pelbagai masalah? Di mana-mana jua jika tersalah langkah memang buruk akibatnya,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui, pelajar IPTA lebih beruntung kerana menikmati pelbagai kemudahan seperti penginapan juga pembayaran yuran lebih rendah.

“Mereka beruntung berbanding kami yang ada kalanya terpaksa mengikat perut semata-mata untuk memastikan keperluan belajar mencukupi. Segala kemudahan sudah disediakan.

“Bagaimanapun, dari aspek berdikari, semuanya sama. Belajar di mana-mana pun akan mengajar pelajar berdikari dan menentukan hala tujuan hidup sendiri,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sasaran pendidikan tinggi negara


MELBOURNE 11 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak universiti di Malaysia mampu berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata, sistem pendidikan tinggi negara bergerak pada landasan yang betul dengan Kementerian Pengajian Tinggi memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada universiti-universiti terlibat bergerak bagi mencapai sasaran tersebut.

"Tidak betul kalau ada tanggapan kata, kita tidak bergerak di landasan yang betul. Ada tetapi terlalu perlahan. Jadi kita kena lebih pantas dalam hal ini" katanya pada sesi dialog dengan para pelajar dan profesional rakyat Malaysia di Melbourne sempena lawatan kerja sembilan hari beliau ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sudah tentunya mahu mewujudkan sistem pendidikan terbaik bagi sekolah, kolej dan universiti dan usaha gigih itu telah berterusan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan Malaysia berada dalam kelompok terbaik dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding universiti-universiti ternama dunia seperti Monash University, Malaysia tidak pernah berputus asa berusaha bagi mencapai cita-cita itu.

Menurut Muhyiddin, dakwaan mengatakan institusi pengajian tinggi tempatan tidak setaraf dengan universiti-universiti di luar negara juga tidak tepat kerana ada pelajar Malaysia memilih belajar di universiti luar negara kerana mereka tidak mencapai kelulusan yang disyaratkan.

"Pelajar-pelajar ini memilih universiti luar negara kerana mereka tidak layak dan tidak mendapat tempat di universiti tempatan dan universiti luar negara yang dipilih itu pula bukan yang terbaik.

"Kalau kita nak kata semua yang baik berada di luar dan universiti kita tidak setaraf juga tidak betul," tegasnya.

Menurut Muhyiddin lagi, era yang mengatakan pendidikan berkualiti hanya mampu ditawarkan di luar negara sudah berlalu.

Katanya, akan tiba era yang mana anak-anak tempatan tidak lagi memilih universiti luar negara untuk menyambung pelajaran sebaliknya lebih berminat dengan universiti tempatan.

"Jangan terkejut suatu hari nanti anak-anak kita kata, kenapa saya perlu ke universiti luar sedangkan saya boleh belajar di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malayia atau 'Universiti Pagoh'," katanya."

Timbalan Perdana Menteri menambah kata, bagi tujuan itu kerajaan bukan sahaja menyediakan pendidikan terbaik bagi peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga bagi pendidikan tinggi.

"Universiti kita mesti berada dalam kelompok 100 terbaik. Kita sedang berusaha mencapainya secara perlahan-lahan," katanya.

Muhyiddin berkata, pada masa ini lebih ramai penuntut asing memilih untuk belajar di Malaysia malah ada juga rakyat Australia datang ke institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana kos pengajiannya lebih murah.

Muhyiddin juga mahu lebih ramai rakyat Malaysia belajar di tanah air berikutan perkembangan teknologi yang membolehkan pengajian peringkat universiti dan kolej dijalankan menerusi online atau secara jarak jauh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejak tahun lalu kerajaan memperkenalkan dasar baru yang membolehkan lebih banyak biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di dalam negara.

Mereka katanya, hanya akan dihantar ke luar negara jika bidang pengajian yang dikuti tidak ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara.

"Pada ketika kita menghantar pelajar belajar di luar negara, kita juga mahu lebih ramai pelajar luar datang melanjutkan pelajaran ke negara kita bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan," kata beliau. - UTUSAN

Ahad, 11 November 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Melihat kebaikan AES



Oleh : Mior Kamarul Shahid
 
Setiap tahun, kira-kira 7,000 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. Berpuluh ribu pengguna jalan raya menderita akibat pelbagai bentuk kecederaan. Sebahagian besar berpunca daripada kerakusan pemandu kenderaan, mungkin kerana memandu terlalu laju, memotong sesuka hati dan pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas. Selain faktor pemandu dan kenderaan, kemalangan juga sering berlaku di kawasan tertentu disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan jalan, cuaca dan sebagainya. Dilihat daripada lokasi kemalangan ngeri, sebahagiannya berlaku di tempat yang sama.

Di lokasi inilah kebanyakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dipasang bagi mengelak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Mereka mungkin anak, ibu, bapa, adik dan abang, kawasan rapat, isteri atau suami serta rakan. Setakat ini, usaha mencegah kemalangan tidak pernah berjaya. Pelbagai inisiatif kempen mencegah kemalangan berakhir dengan jumlah kemalangan yang meningkat. Terbaru, AES diperkenalkan semata-mata untuk membendung kematian yang tidak ada kesudahannya. Seperti sering diperkatakan, lebih ramai orang mati di jalan raya daripada di medan perang.

Dalam isu AES, banyak rungutan didengar daripada pelbagai pihak sama ada pengguna jalan raya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Mereka yang tidak ada kenderaan juga marah setelah mendengar tentangan pelbagai pihak. AES menimbulkan kemarahan kerana ia memerangkap pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan. Kamera yang dipasang di kawasan tertentu merakam segala kesalahan dilakukan pemandu termasuk memandu melebihi had, memotong sebelah kiri dan melalui lorong kecemasan. Denda maksimum bagi setiap kesalahan ialah RM300. AES bukan dipasang untuk memerangkap pengguna jalan raya. Berbeza dengan cara dilakukan terhadap mereka yang memandu laju khasnya oleh polis trafik yang menggunakan kamera perangkap laju. Kadang-kadang dilihat polis trafik bersembunyi di dalam semak atau di bawah jambatan bagi memerangkap mereka yang tidak takut mati. Tujuannya untuk memberi amaran kepada pemandu supaya mematuhi had kelajuan kerana mereka mungkin dikenakan saman di mana-mana saja jika melanggar peraturan lalu lintas.

AES pula dibuat secara terang-terang. Kamera diletakkan di tempat statik dan setiap lokasi yang akan menempatkan kamera AES dimaklumkan kepada orang ramai di media, laman web dan sebagainya. Ia juga boleh diketahui menerusi GPS ketika menghampiri kawasan AES. Maknanya, sesiapa saja melalui kawasan berkenaan boleh bersiap sedia jika tidak mahu disaman. Mungkin ada pengguna yang sudah mendapat banyak saman di 14 kawasan AES sejak dimulakan 23 September lalu tetapi ada juga pengguna yang lebih kerap menggunakan jalan yang sama tetapi tidak pernah sekali pun mendapat saman. Ia membezakan sikap seseorang pengguna jalan raya dengan yang lain. Kalau pengguna marah kerana disaman, ia sesuatu yang biasa. Jika tidak mahu disaman, mereka perlu berhemah di jalan raya.

Setakat ini 89,000 saman dikeluarkan hanya di 14 kawasan AES. Bayangkan jika semua 831 kawasan AES dikuatkuasakan kemudian. Ini menunjukkan masih ramai yang melanggar peraturan jalan raya. Tanpa AES mungkin jumlah itu berkali ganda lebih besar.

Ikut hukum akal, tidak ada sesiapa boleh diperangkap oleh sistem ini. Setiap dua kilometer sebelum sampai ke kawasan itu pengguna sudah dimaklumkan menerusi tanda jalan bahawa di depan mereka ada kamera dan satu kilometer kemudian satu lagi tanda jalan memberitahu di depan mereka ada kamera AES dan 500 meter sebelum tiba di kawasan kamera, mereka dimaklumkan sekali lagi. Kalau masih ada yang melakukan kesalahan, mereka sengaja mencari masalah. Mungkin pada masa ini ada kelemahan dari segi saiz penanda amaran atau ia diletakkan di tempat yang tidak sesuai seperti terlindung dan sebagainya menyebabkan pengguna terlepas pandang. Ini perlu diperbaiki bagi mengelak ia dianggap sebagai perangkap. Matlamat AES baik tetapi disebabkan dikaitkan dengan isu politik, semuanya menjadi kelam kabut, tambahan pula ia dianggap sebagai keputusan yang tidak bijak menjelang pilihan raya. Lagi lewat dilaksanakan, mungkin banyak nyawa yang melayang, mungkin dalam kalangan saudara mara kita. Tidak mustahil dengan AES, ada nyawa sudah dapat diselamatkan kerana mereka lebih beringat ketika melalui jalan itu. Di negeri dikuasai pembangkang, janganlah mempolitikkan isu ini kerana tujuannya untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Tingkatkan kredibiliti pusat jagaan wanita


Oleh : Jami'ah Shukri
 
Objektif utama penubuhan rumah jagaan wanita adalah untuk memberi perlindungan dan membantu memulihkan golongan bermasalah membabitkan gadis terlanjur, mangsa rogol, sumbang mahram, wanita teraniaya, mangsa penderaan, masalah akhlak atau kes lain berkaitannya.

Dengan perubahan hidup dan pelbagai masalah sosial pada zaman ini seperti mengandung anak luar nikah dan kemudian membuang bayi di longkang, di sungai, di masjid, tong sampah atau dibunuh dengan membalingkan daripada bangunan tinggi, bukan lagi kes terpencil.

Statistik sehingga Jun tahun ini saja sebanyak 31 kes dicatatkan berkaitan kes pembuangan bayi. Jika dilihat di hospital utama pula jumlah remaja hamil luar nikah pula mencatat sekurang-kurangnya satu kes setiap hari.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan pula merekodkan kira-kira 18,652 kelahiran remaja berusia di bawah 19 tahun, tahun lalu.

Dasar langit terbuka menjadikan semuanya semakin mudah dan mempengaruhi kehidupan sosial remaja dilihat semakin meruncingkan dan amat menakutkan kita dan sekiranya tiada langkah lebih berkesan diambil boleh pincang institusi masyarakat.

Peranan kerajaan, institusi pendidikan, badan agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa penting bagi mengekang gejala keruntuhan sosial memang perlu untuk membendungnya ke tahap maksimum menerusi pelbagai perancangan serta pendekatan.

Namun bagi sesetengah kes yang sudah terlanjur mengandung umpamanya, pasti ia memerlukan tempat bersesuaian kerana bukan semua ibu dan masyarakat memberikan sokongan. Tambah pula ibu bapa selalunya tidak mahu menanggung malu mempunyai anak berantakan dan hamil luar nikah.

Banyak pusat jagaan

Justeru, kewujudan pusat jagaan dan perlindungan remaja serta wanita amat relevan bagi memberi harapan baru kepada golongan itu meneruskan hidup dengan lebih baik dan berkeyakinan, selain mengekang mereka  daripada melakukan perkara di luar jangkaan seperti menggugurkan kandungan atau membunuh diri kerana malu atau takut dimarahi ibu bapa.

Kini banyak pusat jagaan wanita ditubuhkan sama ada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pusat perlindungan persendirian dikendalikan orang perseorangan yang mendapat bantuan dan derma daripada orang ramai atau badan tertentu.

Ada individu dimasukkan di pusat jagaan itu disebabkan perintah mahkamah atas kesalahan jenayah syariah seperti melakukan persetubuhan haram dan sebagainya manakala ada individu secara sukarela dihantar ibu bapa untuk mendapatkan perlindungan disebabkan anaknya mengandung anak luar nikah dan mahu menjalani pemulihan akhlak menerusi program yang disediakan.

Sejauh mana penubuhan pusat jagaan  itu menepati objektifnya? Sejauh mana pemantauan dilakukan ke atas semua rumah jagaan atau perlindungan berkenaan (terutama di bawah seliaan pihak swasta) dari aspek keberkesanan aktivitinya, keselesaannya dan sebagainya?

Kes Pusat Jagaan Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA), di Jalan Sungai Mulia, Setapak, diserbu selepas mendapat aduan daripada penghuni yang melarikan diri kerana mendakwa hidup ibarat dalam 'neraka' terpaksa berhimpit-himpit dalam sebuah rumah teres satu tingkat itu wajar dijadikan penanda aras terhadap keberkesanan penubuhan pusat sebegitu.

Bayangkan rumah yang selayaknya menempatkan 28 penghuni, tetapi sudah diisi dengan 69 orang ternyata amat tidak masuk akal dan pasti tidak selesa. Tambah pula ia dihuni 42 wanita mengandung, 19 ibu sedang berpantang dan tujuh penghuni bermasalah serta seorang bayi perempuan berusia lima bulan.

Realiti kehidupan

Ini bukan drama atau filem rekaan, sebaliknya realiti kehidupan sebenar. Mereka bukan pendatang haram warga asing. Remaja tempatan ini datang ke situ bukannya percuma, tetapi mendakwa perlu membayar pendaftaran RM2,000. Namun, apa timbal balas diperoleh penghuni?

Pengusaha pusat ini perlu lebih prihatin bukannya cuma ingin menangguk di air keruh, mengambil kesempatan atas keadaan terdesak mangsa dengan menyumbat mereka semahunya.

Lebih keji lagi, semua wanita berusia antara 14 hingga 30 tahun itu mendakwa dipaksa menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat, selain tidak dibenarkan menghubungi ibu bapa dan diberi layanan buruk.

Apa sebenarnya dilema pengusaha itu? Sudah ditubuhkan 24 tahun lalu tapi masih beroperasi secara haram. Pengusaha mendakwa pernah memohon lesen tetapi ditolak kerana tidak memenuhi syarat. Tetapi terus juga beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Mengapa JKM membiarkan operasinya berlarutan selama itu sedang mereka ada laman web lengkap dengan mengiklan perkhidmatan mereka. Mungkinkah JKM hanya 'tutup mata' dan tidak memantau operasi dan program disediakan.

Serbuan ke pusat jagaan wanita itu adalah 'peringatan' kepada JKM dari segi keberkesanan mereka memantau premis sedemikian. Bagaimana pula status banyak lagi pusat jagaan dan perlindungan wanita di seluruh negara? Adakah pusat yang berlesen bagus dari segi pentadbiran, pengurusan, penyelenggaraan dan programnya?

Apa yang dikhuatiri pusat seumpama ini hanya dijadikan tempat perlindungan sementara kepada penghuni untuk melarikan diri daripada malu akibat masalah sosial atau tempat pemerdagangan manusia.

Pemeriksaan berkala oleh JKM dapat memastikan pusat terbabit menjadikan premis ini sebagai pusat melahirkan generasi yang sudah sesat kembali ke pangkal jalan. Menjadikan mereka insan berwawasan dan berkeyakinan. Banyak program bermanfaat yang dirangka seperti kem motivasi, kaunseling, bimbingan dan kelas agama serta latihan kemahiran dalam pelbagai bidang mampu insan yang berjiwa baru dan kental.

Kita tidak mahu masyarakat hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pusat berkenaan kerana sebahagian besar datang ke situ adalah untuk penambahbaikkan dalam kehidupan. Ia tidak adil kepada sebilangan pusat jagaan wanita yang cemerlang menepati misi penubuhannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Tanggungjawab manusia dan kebajikan haiwan


Oleh : ARIF FAHMI MD YUSOF

SETIAP manusia mempunyai hari istimewa dalam sejarah hidupnya. Hari ulang tahun kelahiran dan perkahwinan disambut setiap tahun. Setiap negara juga mempunyai hari istimewa untuk diperingati yang disambut setiap tahun seperti hari kemerdekaan.

Namun, mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu bahawa haiwan juga mempunyai hari istimewa sendiri iaitu Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun.

Sejarah membuktikan bahawa haiwan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia dalam aspek kehidupan seharian secara langsung atau tidak. Secara sedar atau tidak, majoriti manusia bergantung kepada sumber dari haiwan bagi keperluan makanan. Dalam aspek ekonomi, sektor penternakan sangat bergantung kepada haiwan bagi menjana keuntungan.

Bagi aspek yang lain, haiwan diperlukan untuk hiburan sebagai haiwan kesayangan. Kesimpulannya, haiwan tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia.

Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Tuhan. Bahkan saintis dari sudut biologi mengklasifikasikan manusia sebagai salah satu daripada jenis haiwan.

Perbezaan di antara manusia dan haiwan ialah akal dan keupayaan untuk berfikir secara rasional. Maka manusia haruslah menggunakan kelebihan tersebut untuk kebaikan sejagat.

Akal fikiran kurniaan Tuhan kepada manusia haruslah digunakan sebaik mungkin. Manusia haruslah menggunakan akal fikiran tersebut dalam menjaga perhubungan sesama manusia dan makhluk lain. Salah satu hubungan yang perlu dijaga selain hubungan sesama manusia ialah hubungan manusia dengan makhluk bernyawa ciptaan Tuhan iaitu haiwan.

Tanggungjawab manusia terhadap haiwan banyak digariskan dalam pelbagai ajaran agama. Semua agama di dunia menyeru kepada pentingnya menjaga kebajikan haiwan. Bahkan dalam beberapa agama, haiwan diklasifikasikan sebagai “suci” dan perlu menerima layanan sebaiknya dari manusia. Tiada satu pun ajaran agama menganjurkan kezaliman dan penganiayaan terhadap haiwan.

Di peringkat antarabangsa, Deraf Deklarasi Universal tentang Kebajikan Haiwan menggariskan prinsip kebajikan haiwan dan tanggungjawab manusia terhadap haiwan.

Deklarasi tersebut antara lain meletakkan prinsip asas bahawa haiwan ialah mahkhluk hidup dan berupaya untuk mempunyai persepsi dan sensitiviti terhadap kesakitan dan keadaan sekeliling. Oleh itu manusia haruslah melayan haiwan dengan sewajarnya dengan penuh rasa kemanusiaan.

Prinsip Lima Kebebasan untuk haiwan yang diterima luas pemakaiannya oleh majoriti negara di dunia perlu diambil kira oleh manusia dalam mengendalikan haiwan. Manusia harus bertanggungjawab memastikan haiwan secara amnya bebas dari kehausan dan kelaparan, bebas dari ketidakselesaan, bebas daripada kesakitan, kecederaan dan penyakit, bebas untuk hidup dalam keadaan yang normal dan bebas dari ketakutan dan penderitaan.

Walaupun manusia mendapat banyak manfaat daripada penggunaan haiwan, pengendalian bagi penggunaan tersebut mestilah dilakukan dengan cara yang wajar.

Dalam menguruskan haiwan-haiwan yang digunakan dalam kehidupan harian, manusia perlulah menitikberatkan soal kebajikan selain mengambil keuntungan dan manfaat dari penggunaan haiwan.

Sebagai contoh, kebajikan haiwan ternakan perlu diambilkira bagi memastikan tiada penganiayaan secara langsung atau tidak langsung kepada sumber makanan kita sehari-harian.

Penternak tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keadaan haiwan ternakan yang terpaksa berhimpit-himpit dalam kandang atau sangkar yang saiznya sangat kecil.

Penyembelihan haiwan juga perlulah dibuat dengan cara yang paling boleh mengurangkan kesakitan dengan memastikan alat-alat penyembelihan dan rumah sembelihan berada dalam keadaan yang baik. Penyembelih seharusnya memastikan bahawa haiwan yang disembelih mati dengan sebab penyembelihan yang sempurna dan bukan kerana mati akibat dicampak ke dalam bakul sembelihan.

Bagi mereka yang memiliki haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing, haiwan tersebut perlulah dipastikan dalam keadaan yang baik dengan tempat kediaman yang selesa serta makanan dan minuman yang mencukupi. Ibu bapa harus memberikan contoh yang baik kepada anak-anak tentang cara penjagaan haiwan kesayangan dan berusaha mengelakkan daripada berlakunya penganiayaan.

Dalam kes penganiayaan haiwan, mungkin segelintir antara kita berpendapat yang dizalimi dan dibunuh hanyalah haiwan bukannya manusia. Namun kita harus sedar haiwan juga makhluk bernyawa seperti manusia, mampu mengerti kesakitan dan ketakutan.

Mereka juga makhluk Tuhan yang sebahagian besarnya sangat berjasa dan memberi manfaat serta keuntungan besar kepada kehidupan manusia. Oleh itu amat wajar sekali kita menghargai mereka sebagai haiwan dengan menjaga kebajikan mereka, memperlakukan mereka dengan adil dan menjauhkan mereka daripada  penganiayaan dan kezaliman.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan kebajikan haiwan amat mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menggubal Akta Kebajikan Haiwan bagi menggantikan Akta Haiwan 1953. Berbanding dengan Akta Haiwan 1953 yang hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200, penganiaya haiwan bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum yang lebih berat sehingga RM100,000 di bawah Akta Kebajikan Haiwan yang baru.

Peruntukan hukuman yang lebih berat untuk penganiaya haiwan adalah langkah yang boleh dipuji untuk mencegah kejadian penganiayaan haiwan berulang. Walau bagaimanapun, hukuman bukanlah jalan penyelesaian utama kepada jenayah terhadap haiwan. Keutamaan juga perlu diberi kepada sistem pendidikan negara bagi menyemai perasaan tanggungjawab kepada haiwan. Aspek kebajikan haiwan perlu diterapkan dalam matapelajaran di sekolah dan kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi.

Sempena Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun, rakyat Malaysia berharap agar Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan dapat dibentangkan segera di Parlimen. Sebagai tuan rumah kepada Persidangan Global mengenai Kebajikan Terhadap Haiwan (GCAW) Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) yang ketiga yang bakal berlangsung November ini, tumpuan dunia sudah pasti kepada Malaysia untuk melihat komitmen negara dalam kebajikan haiwan.

* Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Victoria, Melbourne, Australia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa untuk kesaksamaan rakyat di seluruh Nusantara


Oleh : Zin Mahmud

Sasterawan Indonesia terkenal yang novelnya dalam tahun 70-an menjadi buku teks di Malaysia, Pramoedya Ananta Toer pernah ditanya mengapa beliau menulis dalam bahasa Melayu dan bukannya Jawa.

Persoalan itu timbul kerana ketika beliau mula menulis, pada masa itu bahasa Melayu belum mantap sebagai Bahasa Indonesia.

Oleh sebab  Pramoedya adalah orang Jawa dengan bilangan penutur bahasa itu sangat tinggi, jauh lebih banyak daripada pengguna bahasa Melayu, maka sewajarnya beliau menulis dalam bahasa ibundanya.

Tambahan pula bahasa Jawa mempunyai tradisi kesusasteraan yang tinggi dan kompleks, maka untuk memilih Jawa sebagai bahasa penulisan, maka ia dapat difahami.

Lebih-lebih lagi dengan Pramoedya mahu menulis kepada pembaca dalam kalangan penduduk ramai, maka memilih Jawa sebagai bahasa penulisannya juga bukanlah sesuatu yang pelik.

Namun, jawapan beliau terhadap soalan itu menunjukkan bahawa memilih Melayu sebagai bahasa penulisannya adalah kerana pegangannya terhadap fahaman kesaksamaan antara manusia.

Ini kerana menurutnya bahasa Jawa mempunyai pelbagai lapis dan sesuai untuk masyarakat yang mempunyai banyak kelas dan kasta. Bahasa yang dituturkan oleh mereka yang berkelas rendah berbeza dengan peringkat di atas. Begitu juga apabila seseorang di peringkat rendah bercakap pada orang yang berpangkat lebih tinggi. Begitu juga dengan orang yang berkedudukan lebih tinggi bercakap pada mereka yang lebih rendah. Semuanya menggunakan bahasa yang berbeza.

Lantaran itu, menurut Pramoedya beliau memilih untuk menulis dalam, bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu bersifat kesaksamaan atau egalitarian. Semua penutur bahasa Melayu adalah setaraf. Walaupun dalam penggunaan bahasa, tentunya ada cara yang bersopan.

Sememangnya bahasa Melayu mempunyai banyak ciri istimewa yang mendorong banyak orang menjadikannya sebagai bahasa mereka. Sifatnya yang mudah, kesaksamaan dan boleh lentur menjadikan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa perantara di wilayah kepulauan Asia Tenggara mulai dari zaman Sri Wijaya lagi. Sedangkan pada asalnya bahasa ini bermula dari sebuah kerajaan kecil Hindu-Buddha bernama Malayu di hulu Sungai Batanghari, Jambi, Sumatera.

Pada zaman Kesultanan Melaka, bahasa Melayu mula menggunakan tulisan jawi. Apabila Belanda menguasai Sumatera dan Jawa, mereka memilih Melayu sebagai bahasa pentadbiran penjajahan kerana kegagalan pegawai-pegawai peribumi menguasai bahasa Belanda dengan baik.

Maka mulai tahun 1896, diperkenalkanlah tulisan rumi bagi bahasa Melayu untuk Hindia Timur. Pada tahun 1901, bahasa Melayu Hindia Timur mengambil ejaan Van Ophuijsen. Sedangkan di Tanah Melayu, ejaan rumi yang diperkenalkan dibuat oleh Wilkinson pada tahun 1904. Inggeris juga mengambil Melayu sebagai bahasa pentadbiran penjajahannya.

Penjajah

Tetapi ironinya, usaha penjajah untuk meluaskan bahasa Melayu di Hindia Belanda menjadikannya bahasa perjuangan kemerdekaan.

Belanda telah melancarkan progran Taman Pustaka yang memperlihatkan penubuhan 700 perpustakaan dalam masa dua tahun di seluruh tanah jajahannya. Ini semua membantu perkembangan bahasa Melayu.

Maka tidak hairanlah pada 28 Oktober 1928, Muhammad Yamin mengusulkan bahasa Melayu menjadi Bahasa Indonesia. Kongres menyetujui pemilihan bahasa Melayu dan bukannya Jawa walaupun ada sebahagian peserta kongres itu tidak mengetahui bahasa Melayu. Golongan elit dan terpelajar masa itu menggunakan bahasa Belanda,

Maka sejak itu, bahasa Melayu menjadi Bahasa Indonesia. Ia bukan semata-mata bahasa perantara dan penyatuan, tidak kurang pentingnya ia adalah bahasa kesaksamaan. Dengan menggunakan bahasa Indonesia, seluruh rakyatnya adalah setaraf. Tidak seperti pada zaman penjajahan di mana golongan elit menggunakan bahasa Belanda, dan golongan feudal di Jawa menggunakan bahasa bangsawan.

Ketika Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945, Tanah Melayu masih dijajah.

Tetapi angin kemerdekaan sampai juga ke Singapura dan Tanah Melayu. Buku-buku sastera Indonesia termasuk tulisan Pramoedya sampai juga ke kedai-kedai buku dan perpustakaan di Singapura dan Tanah Melayu.

Maka lahirlah juga penulis-penulis Melayu. Di Singapura, mereka menubuhkan Angkaran Sasterawan 50 (ASAS 50). Mereka mengadakan Kongres Bahasa dan menyediakan memorandum resolusi. Memorandum ini dijadikan buku dan diterbitkan oleh Oxford Universiti Press Singapura.

Antara isi memorandum itu ialah menuntut supaya bahasa Melayu bertulisan rumi dijadikan bahasa kebangsaan.

Ternyata apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.

Maknanya pada tahun 1957, dua negara di dunia mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tetapi di Indonesia, ia sudah tidak dikenali sebagai bahasa Melayu tetapi dinamakan Bahasa Indonesia. Penggunaan nama Bahasa Indonesia ini penting supaya semua warganegara Indonesia yang kebanyakan bahasa ibunda mereka bukan Melayu berasa pemilikan bersama.

Tetapi di Tanah Melayu, bahasa kebangsaannya masih bernama bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris, Tanah Melayu dinamakan Malaya dan bahasa Melayu dipanggil Malay.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 banyak rakyatnya yang bukan terdiri daripada orang Melayu terutama di Singapura. Tanah Melayu dan Malaya digantikan dengan istilah Malaysia Barat dan kemudian menjadi Semenanjung Malaysia.

Maka serentak itu juga, bahasa Melayu ditukar menjadi Bahasa Malaysia.

Seperti Bahasa Indonesia, Bahasa Malaysia juga membawa mesej kesaksamaan. Dari Aceh ke Papua Barat, Bahasa Indonesia digunakan secara saksama. Begitu juga dari Perlis hingga ke Sabah bagi Bahasa Malaysia.

Kedua-duanya tetap bahasa Melayu. Tetapi dengan nama Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia, ia mempunyai misi kesaksamaan dalam  kalangan rakyat.

Masa depan kedua-dua bahasa juga adalah gandingan dan gabungan bersama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/