Ahad, 18 November 2012

ISU KESIHATAN : Kempen 'Katakan Tidak' pada rokok beri kesan bertentangan


  
London : Kempen Katakan Tidak (Just Say No) bertujuan menghentikan orang ramai daripada merokok dan mengambil minuman keras mungkin memberikan kesan bertentangan, kata penyelidik.

Walaupun badan kesihatan sering kali menyiarkan iklan dan papan tanda memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak minum minuman keras, merokok dan mengambil dadah, minda tidak sedar manusia sering kali gagal menyedari kesan negatif terhadap mesej itu, lapor akhbar Telegraf. Ini bermakna tanda jangan merokok atau jangan memandu ketika mabuk yang diletakkan di pub atau restoran tanpa diberikan perhatian khusus sebenarnya boleh menggalakkan berbanding menghalang daripada melakukannya.

Penyelidik dari Universiti Oxford mendapati, perokok menunjukkan minat lebih tinggi kepada rokok selepas ditunjukkan dengan satu siri imej yang mengandungi papan tanda jangan merokok.

Hasilnya menunjukkan bahawa kempen antirokok dan tabiat tidak sihat lain secara ironiknya boleh mencetuskan sikap sebaliknya.

Premis perniagaan di England bertanggungjawab meletakkan tanda larangan merokok di premis bebas rokok serta kenderaan sebagai sebahagian daripada peraturan bebas rokok yang diperkenalkan pada 2007.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa isyarat alam sekitar boleh mengawal tindakan otak.

Tetapi Brian Earp dan rakannya mendapati manusia cenderung mengabaikan kata-kata seperti jangan  merokok dan jangan memandu ketika mabuk apabila tidak memberikan tumpuan penuh.

Mereka menulis : Secara tidak sedar atau proses automatik, “tidak baik”  sering kali dilihat sebagai baik dan “tidak buruk”  sebagai buruk. Konsep runding cara tidak berlaku secara automatik tetapi memerlukan usaha kognitif.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Memilih aliran sains dengan penuh kesedaran


Oleh : Zin Mahmud

Insentif yang diberikan kepada ibu bapa pelajar-pelajar sains sememangnya wajar dihargai, tetapi bagi memilih aliran sains, seseorang pelajar hendaklah melakukannya dengan penuh kesedaran dan bukannya semata-mata kerana dorongan kewangan.

Begitu juga, janganlah memilih aliran sains kerana kedudukannya yang dipandang tinggi. Atau kerana desakan ibu bapa dan masyarakat.

Sememangnya negara dan masyarakat memerlukan lebih ramai lulusan aliran sains kerana banyak bidang masih memerlukan sumber manusia aliran ini, tetapi akhirnya yang akan menanggung dan menjalani kehidupan sebagai lulusan aliran sains adalah setiap individu pelajar berkenaan. Tidak semua daripada mereka berakhir dengan kejayaan. Banyak pelajar sains yang patah di tengah jalan, ketika mana kemungkinan mereka boleh lebih berjaya dalam hidup jika memilih aliran sastera.

Hakikatnya aliran sains sememangnya sukar berbanding dengan sastera. Fizik, kimia dan matematik tambahan adalah mata-mata pelajaran yang sukar, walaupun ia boleh dikuasai.

Sememangnya ada pelajar yang mempunyai bakat dalam sains. Mereka yang cerdik dalam bidang ini tidak bermasalah dalam kerjayanya.

Mereka perlu belajar dalam tahap yang sewajarnya, dan akhirnya berjaya dalam SPM dengan cemerlang. Selalunya mereka mudah memasuki sekolah berasrama penuh, kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka akan pulang dengan keputusan cemerlang. Maka antara mereka dengan mudah akan menjadi doktor, jurutera dan ahli-ahli sains. Pelajar-pelajar cemerlang seperti ini tidak menghadapi masalah.

Golongan yang bermasalah adalah pelajar yang jenis sederhana. Mereka boleh menguasai bidang sains tetapi usaha mereka mesti berlipat-lipat ganda berbanding pelajar cemerlang.

Pelajar-pelajar sederhana aliran sains adalah golongan yang cemerlang juga. Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang sebenarnya kurang minat terhadap sains, dan cenderong kepada sastera. Andai kata mereka memasuki aliran sastera, besar kemungkinan mereka boleh mencapai kecemerlangan, tetapi oleh sebab mereka memasuki aliran sains, maka jatuhlah mereka ke tahap sederhana.

Walaupun peluang pekerjaan bagi aliran sains adalah besar tetapi realitinya banyak daripada mereka menghadapi dilema setelah memperoleh ijazah.

Dua bidang kerjaya utama bagi pelajar aliran sains adalah perubatan dan kejuruteraan. Selain itu terdapat juga jenis-jenis pekerjaan lain yang berkaitan, tetapi apabila mereka tidak berminat dalam bidang pekerjaan berkaitan, atau pekerjaan yang ada terlalu khusus dan tidak menarik maka akhirnya mereka terpaksa bekerja dalam bidang yang sebenarnya tidak perlu lulus dalam aliran sains. Maka, segala susah payah belajar dalam aliran sains menjadi sia-sia.

Banyak siswazah mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan. Maka tidak kurang pula lulusan aliran sains yang berakhir menjadi guru sainss, tetapi ada waktunya berlaku lambakan guru sains di banyak tempat. Hinggakan sukar bagi guru sains untuk meminta pindah sekolah.

Sementara guru bidang lain pula yang berkurangan. Maka berlakulah guru lulusan sains terpaksa mengajar mata pelajaran lain seperti bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Maka segala tungkus lumus mereka belajar sains dahulu menjadi sia-sia.

Dalam pada itu, lihatlah pula keadaan masyarakat. Walaupun doktor, jurutera , pakar komputer dan ahli sains diperlukan tetapi hakikatnya mereka yang mendapat kedudukan tinggi, berkuasa dan berpengaruh bukan datangnya daripada lulusan aliran sains.

Walaupun terdapat doktor dan jurutera yang menjadi ahli politik, tetapi kebanyakan daripada mereka datangnya daripada kalangan aliran sastera iaitu peguam.

Begitu juga dalam bidang keusahawanan dan korporat, kebanyakan daripada mereka datangnya daripada aliran sastera, atau disebut aliran ikhtisas, iaitu mereka yang belajar dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan.

Dalam pentadbiran kerajaan pula, kebanyakan yang menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah dari kalangan lulusan aliran sastera, sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, sains politik, kesusasteraan, sejarah dan seumpamanya.

Malah lulusan aliran sains yang cemerlang masa menjadi pelajar akan mendapati bahawa apabila mereka bekerja kelak, ketua mereka adalah dari kalangan lulusan aliran sastera.

Dalam masyarakat pula yang memperoleh penghormatan lebih tinggi adalah kalangan ustaz, ulama dan lulusan bidang agama, yang merupakan sebahagian daripada aliran sastera. Orang ramai lebih mempercayai ulama daripada ahli sains dalam banyak perkara kehidupan.

Malah dalam perubatan pun, sebilangan besar masyarakat lebih mempercayai ustaz dan usahawan perubatan alternatif berbanding doktor yang merupakan lulusan aliran sains.

Sememangnya kini adalah kebangkitan wanita dalam pelbagai bidang termasuklah aliran sains, tetapi wanita-wanita bidang hiburan seperti penyanyi, pelakon dan pengacara tentu jauh lebih glamor.

Inilah realitinya walaupun masyarakat memerlukan lulusan aliran sains untuk berfungsi dalam zaman teknologi moden ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pakar Malaysia digesa kembali sumbang kepakaran di tanah air


GOLD COAST - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjemput diaspora pakar Malaysia di luar negara untuk kembali ke tanah air untuk membantu melonjakkan kemajuan negara melalui sumbangan kepakaran mereka.

Dengan dianggarkan diaspora Malaysia di luar negara kini berjumlah 1.2 juta dengan Australia antara negara yang teramai dihuni, beliau berkata kepakaran dan kemahiran mereka boleh digembleng untuk kepentingan negara.

Golongan pakar Malaysia di seberang laut kini tidak terhad dalam bidang perubatan, perakaunan dan undang-undang seperti dahulu kerana diaspora Malaysia juga terlibat dalam bidang-bidang lain seperti pengkhususan sains dan menjadi penyelidik di universiti, katanya.

"Sektor pekerjaan kita memerlukan lebih pakar. Negara memerlukan anda pulang,  negara memerlukan kepakaran anda," katanya pada majlis jamuan makan malam bersama penuntut dan rakyat Malaysia di Queensland di sini Sabtu  malam.

Pada Khamis, Muhyiddin melancarkan Rangkaian Perantau Saintifik Malaysia (MSDN) di sini yang akan bertindak sebagai platform menghubungkan saintis Malaysia di seluruh dunia dan mempromosi penyelidikan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing untuk kebaikan negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata rancangan dan program transformasi yang dilaksanakan kerajaan membuka ruang yang luas untuk pakar Malaysia untuk kembali serta menyumbang khidmat kepakaran  mereka.

Beliau berkata jika dahulu mungkin pakar atau penyelidik Malaysia di luar negara akan bertanya sama ada mereka mempunyai prospek sekiranya pulang namun kini mereka tidak perlu khuatir kerana peluang itu semakin terbuka.

"Dengan program transformasi yang berlaku dalam negara, ruang itu pasti lebih  terbuka," katanya.

Muhyiddin menasihatkan diaspora pakar Malaysia agar memanfaatkan peluang ketika  berada di luar negara dengan memberikan sepenuh perhatian dalam bidang yang diceburi dan menimba pengalaman berguna di negara berkenaan agar kepakaran itu dapat digunakan untuk menyumbang dalam pengurusan negara.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang berminat untuk kembali menyumbang kepakaran di tanah air boleh berhubung dengan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), badan yang bertindak sebagai pemudahcara untuk menguruskan kedatangan bakat-bakat.

Sumber : Bernama

Nota hujung :


Diaspora bermaksud penyebaran ke merata-rata tem­pat, seperti orang yang pada asalnya tergolong dalam budaya yang sama, warga sebuah negara yang sama dan sebagainya.

Jumaat, 16 November 2012

ISU EKONOMI : Ekonomi berkembang 5.2 peratus suku ketiga 2012


Oleh : Shahrizan Salian
 
Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2012, disokong oleh permintaan domestik yang terus kukuh di tengah-tengah persekitaran mencabar ekonomi global.

Berikutan pencapaian itu, ekonomi negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berkembang 5.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus pada suku pertama dan 5.6 peratus pada suku kedua.

Ia meletakkan negara dalam landasan kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus bagi seluruh tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ketiga yang lebih perlahan berbanding suku kedua adalah susulan permintaan luar yang semakin perlahan.

Begitupun, katanya permintaan domestik terus memberikan sokongan kepada pertumbuhan dibantu oleh prestasi kukuh kegiatan pelaburan dan perbelanjaan daripada sektor awam serta swasta.

Kami menjangkakan bahawa ini (prestasi kukuh permintaan domestik) akan berterusan untuk beberapa suku akan datang, katanya pada sidang media mengumumkan prestasi suku ketiga ekonomi Malaysia itu di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, permintaan domestik pada suku ketiga berkembang 11.4 peratus, berbanding 14 peratus pada suku terdahulu.

Katanya, pelaburan swasta dipacu oleh perbelanjaan modal dalam sektor perkhidmatan khususnya pengangkutan, hartanah, subsektor utiliti serta pelaksanaan projek dalam sektor minyak dan gas.

Dari segi pelaburan awam pula, katanya perbelanjaan modal syarikat awam disalurkan ke dalam sektor pengangkutan, minyak dan gas dan utiliti manakala perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan digunakan dalam sektor pengangkutan, pendidikan dan utiliti awam.

Permintaan domestik juga disokong oleh peningkatan berterusan perbelanjaan swasta yang dibantu persekitaran pasaran tenaga kerja memberangsangkan serta pertumbuhan pendapatan yang mapan.

Selain itu, bayaran bonus kepada kakitangan awam serta ganjaran RM5,000 kepada peneroka FELDA turut memberikan sokongan ke atas perbelanjaan pengguna, katanya.

Beliau menjelaskan pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku ketiga itu berpunca daripada permintaan luar yang lemah, apabila eksport bersih barangan dan perkhidmatan dalam tempoh itu turun 50.5 peratus.

Kita tidak terlindung daripada persekitaran luaran yang tidak menentu, namun teras kepada ekonomi negara ialah permintaan domestik, katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Ketagih teknologi maya


Senario di atas sebahagian daripada masalah generasi muda terutama kanak-kanak dan remaja, hari ini. Kepesatan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah kelebihan positif buat remaja mencari maklumat dan menikmati faedah teknologi maklumat (IT).

Namun, situasi membimbangkan seperti itu terjadi berikutan remaja gagal mengawal kecenderungan masa di alam maya menyebabkan mereka ‘terkurung’ dalam dunia ciptaan sendiri.

Jika dibandingkan zaman kanak-kanak generasi Y (lahir di awal 80-an), permainan teng-teng, melastik dan permainan minda, sahiba adalah cara membina komunikasi bersama individu sekeliling termasuk ibu bapa serta rakan sebaya.

Bagi Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fairuz Nazri Abd Rahman, tiada cara mudah menyekat remaja daripada melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Bagaimanapun, kebijaksanaan ibu bapa atau penjaga memanipulasi situasi sekali gus mengawal masa anak-anak di alam maya mampu mengatasi masalah suka bersendiri  dan masalah mental dihadapi.

“Internet dan alam maya adalah tanda kepesatan teknologi, memudahkan kerja dan ada pelbagai keseronokan, maklumat dan hiburan.

“Namun, ketagihan internet terlampau hingga berbelas-belas jam sehari berisiko menjejaskan perkembangan minda pelayarnya, menyebabkan tingkah laku tidak terkawal (agresif), kurang berinteraksi dan cenderung meniru aksi ditonton pada alam maya.

“Malah, kebanyakan remaja terutama lelaki secara tidak sengaja mudah terikut dengan pengaruh rakan sebaya sekali gus terjebak melayari laman web porno atau lucah,” katanya.

Jelasnya, peranan ibu bapa adalah mengehadkan aktiviti anak-anak di hadapan skrin, jauhi tindakan memberikan gajet sebagai alat supaya anak leka dan tidak meragam atau menggunakan gajet sebagai penghubung atau alat pemantau anak di luar rumah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Kes kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja naik 40 peratus


Oleh :  Mohd Azrone Sarabatin
    
Kuala Lumpur : Kes kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja meningkat 40 peratus dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini daripada 17,704 pada 2006 kepada 28,809 tahun lalu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata punca utama peningkatan kes adalah kurang kesedaran terhadap pemanduan yang selamat di kalangan mangsa.

Peningkatan ini juga dikesan akibat kurang elemen keselamatan dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lam Thye berkata, kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa universiti tempatan mendapati 88 peratus kes kemalangan berlaku semasa perjalanan pergi ke tempat kerja atau selepas bekerja.

Katanya, daripada jumlah itu 52 peratus kemalangan semasa pergi ke tempat kerja, manakala 36 peratus lagi semasa balik ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati 68.8 peratus kemalangan membabitkan pekerja waktu pagi, manakala 55 peratus pula berlaku dalam lingkungan kurang lima kilometer dari tempat kerja.

Katanya, kes kemalangan maut di jalan raya di negara ini juga pada tahap membimbangkan dengan lebih 6,000 kes setiap tahun atau 18 hingga 20 orang sehari dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, daripada jumlah itu 60 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal yang kebanyakannya generasi muda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/ 

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Transformasi perkhidmatan awam penuhi keperluan semasa rakyat


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

SEPERTI tahun-tahun lalu, Persidangan Perkhidmatan Awam (PPA) Ke-17 anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dihadiri lebih 800 orang pegawai kanan diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) pada bulan lepas. Persidangan bertujuan menyebar luas maklumat terkini bagi meningkatkan kualiti Perkhidmatan Awam melalui ceramah, forum dan pameran. Tema persidangan kali ini ialah 'Perkhidmatan Awam Masa Depan: Peluang dan Cabaran.'

Dalam ucaptama dan perasmian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyeru sektor awam supaya memperkukuhkan konsep 'Agenda Pilihan Rakyat' iaitu menyediakan perkhidmatan berasaskan kehendak dan permintaan pelanggan.

Menurut beliau, dalam era pengurusan moden kaedah penyampaian dan peningkatan kualiti perkhidmatan perlu seiring dengan maklum balas dan keperluan semasa rakyat.

Pendekatan kini tidak hanya memenuhi kepuasan pelanggan tetapi menjurus kepada kesetiaan pelanggan. Dengan kata lain penjawat awam perlu memiliki sikap dedikasi, bijaksana dan bersungguh dalam menilai dan bertindak pantas menyelesaikan sesuatu isu atau aduan. Beliau menekankan, perkhidmatan awam mestilah menggarap sepenuhnya inovasi dan kreativiti sebagai pemangkin dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaiannya.

Usia perkhidmatan awam bermula sejak negara kita dijajah oleh Inggeris. Selepas negara mencapai kemerdekaan ia diubahsuai mengikut keperluan dan acuan kita sendiri. Perkhidmatan Awam termaktub dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Pendidikan, Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Pasukan Polis dan Angkatan Tentera. Kini jumlah keseluruhan penjawat awam ialah hampir 1.5 juta orang.

Hakikatnya kemajuan dan pembangunan negara hari ini mempunyai hubungan signifikan dengan keberkesanan perkhidmatan awam. Usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti sentiasa dilakukan terutama awal 1990an yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU). Sepanjang 1991 hingga 2007 sebanyak 30 Surat Pekeliling diterbitkan yang memberi garis panduan dan tumpuan kepada memenuhi kehendak pelanggan serta menyediakan proses perkhidmatan yang menepati piawaian berimpak tinggi. Hasil usaha peningkatan kualiti pengurusan perkhidamtan itu menampakkan kejayaan. Misalnya, inisiatif tahun 2007 memperkenalkan pengurusan perkhidmatan secara elektronik, pendaftaran perniagaan baru dalam tempoh 1 jam, bayaran bil dalam tempoh 14 hari, pemulangan cukai dalam tempoh 30 hari, pasport siap dalam tempoh 24 jam dan penubuhan pusat setempat bagi menguruskan proses permohonan. Di samping itu dilaksanakan Sistem Perakaunan Berkomputer yang standard dan menetapkan garis panduan bagi mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Dalam usaha memacu pembangunan negara dan menangani persaingan peringkat global anjakan paradigma dan transformasi perlu dilakukan. Cabaran bidang ekonomi hendaklah dihadapi dengan impak yang seminimum mungkin dan berusaha keluar daripada kemelut tersebut dengan kadar yang segera. Rakyat juga perlu dibantu dalam menghadapi keperitan hidup akibat kegawatan ekonomi.

Pendekatan ekonomi memerlukan perubahan struktural melalui model berteraskan inovasi dan kreativiti. Strategi ini membolehkan sektor perkhidmatan berperanan sebagai peneraju kepada pertumbuhan sektor pembuatan dan perindustrian. Model baru ekonomi ini diharapkan berupaya melonjakkan ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menjadi pemangkin daripada negara upper middle income kepada high income menjelang tahun 2020.

Selain itu penjawat awam perlu menghayati konsep Gagasan 1Malaysia melalui tema 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.' Realitinya mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan perlu dibantu. Dengan itu tiada rakyat yang merasakan diri mereka terpinggir atau terabai. Setiap individu adalah modal insan yang penting kepada pembangunan negara di mana kebolehan dan keupayaan mereka perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam usaha mendepani cabaran pentadbiran yang berkualiti dan berdaya maju tanggungjawab utama adalah memastikan negara terus aman, maju dan makmur. Dalam usaha mencapai matlamat itu penjawat awam hendaklah sentiasa cekap, responsif dan berani membuat perubahan melalui anjakan paradigma dan melakukan transformasi. Pendekatan pengurusan bukan sahaja bersifat top-down tetapi melibatkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan yang bermula daripada pemimpin atasan hingga ke jawatan paling rendah. Sektor awam perlu menjadi pemudahcara kepada penjanaan kekayaan sektor swasta tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam.

Bagi menilai keberkesanan perkhidmatan seharusnya tidak hanya melihat kejayaan berasaskan output tetapi hendaklah berasaskan outcome. Misalnya dalam bidang pendidikan kejayaannya bukan dikira daripada berapa jumlah sekolah yang dibina atau makmal komputer yang didirikan tetapi juga melihat pembangunan modal insan. Pendidikan perlu mengambil kira tiada murid yang buta huruf, akhlak yang terpuji dan pembangunan sahsiah secara menyeluruh. Dalam melawan najis dadah pula bukan diukur berapa banyak pusat serenti dibina tetapi menekankan jumlah penagih yang berkurangan setiap tahun.

Sesungguhnya untuk meningkatkan tahap pencapaian negara dalam carta kompetitif peringkat dunia dan pelaksanaan strategi lautan biru maka perkhidmatan awam mestilah sentiasa berdaya saing dan sedia menghadapi cabaran. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Zainal Rahim Seman, Presiden PPTD dalam ucapan aluan semasa PPA - ''Bagi menjayakan anjakan paradigma dan transformasi kerajaan maka penjawat awam tidak boleh menggunakan pendekatan lama untuk menghadapi cabaran pengurusan baru''.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Ahli Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/