Sabtu, 29 Disember 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Golongan muda obses internet bakal 'mati otak'


London : Seorang pereka cipta terkenal United Kingdom memberi amaran bahawa 'generasi Google' yang bergantung dengan internet untuk semua perkara berkemungkinan 'mati otak.'

Trevor Baylis yang memperkenalkan radio permainan berkata, kanak-kanak kehilangan kreativiti dan kemahiran praktikal akibat menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin.

Pencipta berusia 75 tahun dari barat daya London di Twickenham berkata, beliau bimbang generasi pencipta akan datang bakal hilang kerana golongan muda sering gagal membuat apa saja dengan tangan mereka, lapor akhbar Daily Mail.

Katanya, kanak-kanak bakal menemui semula kemahiran penting jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti ‘Meccano’ iaitu sistem pembinaan model.

Perlu belajar kemahiran

“Kanak-kanak perlu diajar kemahiran dan bukan terlalu bergantung dengan telefon bimbit atau komputer.

“Mereka seharusnya menggunakan komputer ketika perlu, namun terlalu ramai orang bermain dengan komputer pada hari ini dan  menghabiskan masa duduk di sana.

“Mereka terlalu bergantung dengan pencarian Google. Ramai kanak-kanak secara tidak langsung akan ‘mati otak’ jika mereka terlalu bergantung dengan internet kerana mereka tidak berupaya melakukan sesuatu dengan cara lama,” kata Baylis. - Agensi

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet berskrin dan permainan elektronik punca kanak-kanak sukar bertutur


LONDON 28 Dis. - Penggunaan gajet berskrin dan permainan elektronik dikatakan menjadi punca kepada 70 peratus kanak-kanak di Britain sukar untuk bertutur dengan lengkap sejak enam tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 1.2 juta kanak-kanak berusaha untuk bertutur secara lengkap dengan separuh daripada murid di sebahagian kawasan di Britain yang mula bersekolah didapati sukar untuk menyusun ayat.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada peningkatan penggunaan gajet yang berasaskan skrin yang dianggap 'pengasuh' dan trend dalam kalangan ibu bapa yang hanya meluangkan sedikit masa bersama anak mereka.

Guru-guru juga mendakwa telah mengenal pasti kesukaran bercakap dalam kalangan murid dengan lebih mudah.

Penemuan baharu daripada kajian yang dibiayai kerajaan itu menunjukkan jumlah kanak-kanak yang bersekolah memerlukan bantuan pakar untuk bertutur dan memahami bahasa meningkat sebanyak 71 peratus antara 2005 hingga 2011.

Analisis itu sebahagian daripada Program Penyelidikan Komunikasi Yang Lebih Baik mendapati 2.2 peratus atau 135,700 orang kanak-kanak antara lima hingga 16 tahun dikategorikan bermasalah pada 2011.

Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk murid-murid yang dikenal pasti mempunyai masalah bertutur dan hanya mendapat bantuan daripada pihak sekolah tanpa perlu merujuk pakar seperti mengadakan kelas tuisyen untuk kumpulan kecil.

Sebagai maklum balas kepada kajian itu, pertubuhan kebajikan kanak-kanak, CAN berkata, kajian lain mengandaikan 1.2 juta kanak-kanak Britian pada setiap lapisan umur mempunyai masalah berkomunikasi.

Pemegang amanah CAN, Jean Gross berkata, kenaikan mendadak jumlah kanak-kanak Britian yang sukar untuk bertutur akan berlaku pada abad ke-21.

Katanya, teknologi berasaskan skrin termasuk televisyen, konsol permainan, telefon pintar dan komputer yang banyak digunakan kanak-kanak ketika ini lebih menguasai mereka berbanding mengadakan aktiviti keluarga seperti makan bersama-sama. - AGENSI

ISU BAHASA : Ambil guru dari India perlu kajian mendalam


Oleh : Nuruljannah Ismail
               
Lebih kurang seminggu yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kepada Perdana Menteri India untuk menerima sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris dari India untuk mengajar di negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan ini mampu mewujudkan kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan India, namun jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan pelajar daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ingin menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas beberapa hujah.

Hujah saya yang pertama ialah, lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur dan masih menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar. Tambahan lagi, baru-baru ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta. Justeru, jika melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita membawa masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah. Cadangan ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk mendapatkan pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi masalah pengangguran dalam kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura bahawa pengambilan mahasiswa ISMP akan dihentikan buat sementara waktu bermula tahun hadapan kerana peluang pekerjaan yang tersedia tidak mampu menampung graduan ISMP yang sedia ada. Lantas, satu pertanyaan di sini, adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa dihentikan untuk mengatasi masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita mengimport masuk guru-guru dari India?

Hujah saya yang kedua ialah, kita sudah mempunyai graduan daripada jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, sehingga kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia yang sedang mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara kita tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak watan. Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun sekiranya peluang untuk mengajar diberikan kepada mereka yang bukan warganegara? Saya yakin dengan kompetensi mahasiswa dan juga graduan TESL di Malaysia kerana proses untuk menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah. Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET). Setelah melepasi ujian tersebut, kami menduduki  pula Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan tapisan sebegini, adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar anak watan kami sendiri?

Hujah saya yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru dari India tidak dapat tidak memerlukan kerajaan untuk melaburkan sejumlah wang yang agak besar  yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan guru-guru dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa berbaloi untuk melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan kualiti guru bahasa Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis pengajaran yang terbaik dan dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan banyak wang untuk menampung guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi yang kedua. Saya masih yakin dengan kebolehan dan kompetensi guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar, kerana adanya saya di sini pada hari ini adalah hasil tunjuk ajar mereka. Justeru, lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan untuk memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi, ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat untuk mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi menokok tambah bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Saya menyokong penuh saranan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk kerajaan membuat kajian dengan lebih mendalam terhadap isu ini dan juga mengadakan perbincangan dengan profesor bahasa Inggeris di Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut, dapat menghasilkan keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak sebulatnya menolak cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi  sebab yang memuaskan bukan sekadar untuk membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin akan mempertimbangkan cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Penulis ialah Ahli  Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net

Jumaat, 28 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Kemahiran berfikir dalam pendidikan


 Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Guru harus melakukan penambahbaikan dalam proses pembelajaran agar murid-murid

PERUNTUKAN tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang lalu menggambarkan keprihatinannya terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Peruntukan tambahan ini adalah khusus untuk melaksanakan latihan, kursus atau penambahbaikan kepada guru berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau ‘high order thinking skills.’

Semasa berucap merasmikan Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 di Shah Alam pada tahun lalu beliau pernah menjelaskan tentang perlunya negara mempunyai warga pendidik yang memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi selain komitmen dan sikap dedikasi terhadap profesion perguruan.

Ketika melayari era globalisasi ini golongan guru perlu berkemahiran tinggi dalam soal adaptasi dan bersikap proaktif serta melakukan penambahbaikan semasa menjalankan tugas.

Tindakan sebegini menyebabkan murid tidak merasa bosan ketika mengikuti proses pembelajaran. Najib berkata - ‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menggunakan kaedah menghafal atau ‘rote learning’ dalam pembelajaran mereka.’’

Apakah sebenarnya kemahiran berfikir aras tinggi itu?

Secara umum terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam.

Sebagai contoh kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya semula sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membuat perancangan.

Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu.

Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.

Dalam proses pendidikan terdapat lima peringkat bagaimana kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid secara terancang iaitu melalui set induksi, penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar, aras soalan atau teknik menyoal, aktiviti atau gerak kerja dan latihan bertulis.

Dalam set induksi kebiasaannya sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru akan menjelaskan tentang tajuk pengajarannya, matlamat dan apakah yang akan difahami selepas pengajarannya. Set induksi yang berkesan akan membolehkan murid bersedia mengikuti pengajaran guru dan merupakan langkah permulaan dalam proses berfikirnya.

Penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tajuk pengajaran akan membolehkan murid memahami dengan lebih jelas sesuatu istilah dan konsep. Malah ia akan menjadikan pengajaran guru lebih mudah diikuti dan menyeronokkan.

Melihatkan suasana pembelajaran yang berjalan dengan lancar maka guru hendaklah mengambil kesempatan dengan mengemukakan berbagai soalan kepada muridnya bermula dalam bentuk tahap yang rendah dan berkembang kepada soalan yang bertahap tinggi.

Ketika ini murid banyak menggunakan kemahiran berfikir mereka dalam menjawab soalan-soalan yang berbagai bentuk. Dalam masa sama, guru akan dapat menilai sama ada murid memahami pengajarannya.

Selanjutnya aktiviti atau gerak kerja pembelajaran akan dapat memperkukuhkan lagi pengajaran guru. Aktiviti seperti teka silang kata, kuiz, syarahan, bahas, lakonan, kerja berkumpulan, menyediakan projek dan gerak kerja di luar bilik darjah akan memantapkan lagi kefahaman murid. Sudah tentu murid akan membuat perbincangan, merujuk dan mencari maklumat dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

Akhirnya proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan bertulis. Melalui kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan mengeluarkan pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea baru. Di sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar agar murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.

Sesungguhnya peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan digunakan untuk meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru. Diharap langkah ini akan menaikkan prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran PISA yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata-kata aluan laporan awal Pelan tersebut - ‘‘Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.’’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Hasrat bawa masuk guru dari India perlu diteliti


Oleh : Profesor  Dr. Teo Kok Seong
 
Tenaga pendidik negara asal bahasa Inggeris lebih efektif

Cadangan untuk mengambil guru Bahasa Inggeris dari India, bagi mengatasi kemerosotan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita, tidak dapat dinafikan adalah hasrat murni. Bagaimanapun, ia perlu diteliti sehemat yang mungkin sebelum dilaksanakan.

Meskipun bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi bersama di India sejak 1967, dan berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai bahasa penting dalam sistem perundangan, pentadbiran kerajaan, pendidikan menengah dan pengajian tinggi, angkatan tentera, media, perdagangan dan lain-lain lagi, ia adalah bahasa pinjaman yang dikenakan kepada rakyat India melalui proses penjajahan.

Bukan bahasa peribumi

Justeru, peminjaman bahasa Inggeris yang kini dituturkan sepertiga penduduk India adalah bukan bahasa peribumi. Dengan ini, akar umbinya berada di tempat lain, iaitu Great Britain atau United Kingdom. Sehubungan ini, United Kingdom bersama-sama dengan Ireland, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand adalah tapak tradisional bahasa Inggeris.

India dan lain-lain, seperti Singapura hanya tempat tersebar dan bertapaknya bahasa Inggeris secara dominan melalui penjajahan British. Ini berlaku apabila bahasa Inggeris terus didukung dalam pelbagai institusi kebangsaan negara ini, walaupun sudah terlepas daripada belenggu penjajah.

Bahasa Inggeris tetap penting

Malaysia walaupun dijajah oleh British, tidak menggunakan bahasa Inggeris secara dominan dalam institusi kebangsaannya selepas memperoleh kemerdekaan. Sebaliknya kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung kedua-dua fungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan ini, bahasa Melayu adalah asas kemerdekaan kita. Walaupun begitu, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, tidak pernah dipandang enteng dan ia adalah bahasa utama kedua di negara ini.

Dalam konteks memperoleh bantuan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris bagi anak bangsa, kita perlu mendapat tenaga pendidik dan yang berkaitan lain dengan pendidikan bahasa Inggeris, dari negara yang merupakan tapak tradisional di mana bahasa Inggeris adalah bahasa perdana di sana. Oleh itu, India bukan tempatnya.

Tindakan kita mendapat khidmat dari Amerika Syarikat melalui Program Sarjana Fullbright dalam bentuk guru pakar dan pembantu yang adalah penutur jati bahasa Inggeris, adalah langkah betul. Cadangan untuk menghidupkan semula Program Peace Corps yang popular pada 1960-an, agar sukarelawan Amerika Syarikat dapat ditempatkan di Malaysia, untuk antaranya mengajar bahasa Inggeris, adalah juga jalan yang baik.

Walaupun penjajah British yang berjaya menyebarkan bahasa Inggeris pada akhir abad ke-19, Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi besar pada abad ke-20 bertanggungjawab meletakkan bahasa Inggeris pada tempatnya sekarang sebagai bahasa dunia terpenting.

Ragam bahasa Inggeris India

Dengan status sebagai bahasa dunia, bahasa Inggeris kini terdiri daripada beberapa ragam yang distingtif, yang kadangkala boleh menimbulkan masalah kefahaman, sekalipun dengan ragam Amerika dan British yang boleh dikira sudah mantap. Dalam hal ini, bahasa Inggeris India meskipun ragam standardnya, adalah satu lagi ragam yang tidak dapat dinafikan banyak dipengaruhi budaya setempat dengan pelbagai aspek peradaban di seluruh benua itu, selain pelbagai ciri kenahuan unik.

Dengan ini, bahasa Inggeris yang diajar itu akan dipelajari bersama-sama dengan pengetahuan dan budi India yang tersemat padanya. Ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa dan budaya itu berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Begitu jugalah dengan bantuan yang diterima dari Amerika Syarikat. Sehubungan ini, ia perlu disaring agar bahasa Inggeris yang diajar itu tidak sekali-kali mengandungi pengalaman, pandangan hidup, moral, etika dan pemikiran barat, yang bertentangan dengan pegangan hidup kita.

Oleh itu, dalam mempelajari bahasa Inggeris, khususnya yang diajar pihak luar, kita perlu berwaspada agar warisan dan jati diri kita senantiasa terpelihara utuh. Sesungguhnya bahasa itu mempunyai kuasa yang boleh mengubah pemikiran dan tingkah laku kita. Oleh itu, kita tidak boleh cuai dalam hal ini, walaupun bahasa itu hanya alat komunikasi, ia sebenarnya ikut memupuk nilai dan tradisi sesuatu bangsa.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/ 

ISU BAHASA : Bahasa 'SMS' perlu dibendung


KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pihak berkenaan memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah betul kerana bahasa yang popular dalam kalangan generasi muda itu kini menular dalam aktiviti pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penularan hasil perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu perlu dibendung segera supaya tidak berleluasa seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Hari ini ejaan-ejaan ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi-institusi pendidikan.

"Ini adalah satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak terus berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melyau yang dijalankan DBP diharap berupaya mengelak keindahan bahasa kebangsaan itu daripada dirosakkan.

Beliau berkata, selain inisiatif itu, rakyat juga diseru agar dapat memupuk sikap cintakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakannya secara betul pada setiap masa, sama ada dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.

Program audit tersebut adalah inisiatif terbaru DBP di bawah pelan strategik bagi 2011-2015 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat tempatan.

Di bawah program itu, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecenderungan generasi muda yang hanya membaca karya yang bersifat popular juga perlu diberi perhatian dengan mengimbanginya melalui penerbitan karya sastera yang lebih serius.

Beliau berkata khalayak masyarakat harus  menyeimbangkan pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika.

"Dalam kerancakan penerbitan novel popular dan mudah, ia juga harus diseimbangkan, dan apa yang ingin saya lihat adalah wujudnya keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan bahan bacaan kerana tamadun bangsa berkembang seiring dengan kemajuan budaya dan nilai kemanusiaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berharap Jawatankusa Penilai dan Pemilihan Teks sastera memberi keutamaan kepada karya sastera yang memenangi HSPM untuk digunakan dalam mata pelajaran kesusasteraan, bahasa Melayu dan Komponen Sastera (Komsas) di sekolah.

Beliau berkata, semua karya yang memenangi hadiah itu telah dinilai kualitinya, bukan sahaja daripada nilai sasteranya yang tinggi, malah aspek bahasanya juga amat baik.

Seramai 35 pemenang HSPM daripada tiga kategori yang dipertandingkan meliputi genre buku, eceran serta kanak-kanak dan remaja menerima hadiah wang tunai bernilai lebih RM100,000 pada majlis itu.

Antara pemenang ialah Kamaludin Endot atau nama penanya Pelita Di Dalam Kaca menerusi karya berjudul Baldatun Thoiyyibatun dan S.M Zakir dengan buku Serigala dan Sekuntum Tulip, tokoh sastera Zaen Kasturi, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Fatimah Busu dan novelis terkenal Allahyarham Azizi Abdullah. - Bernama

ISU SOSIAL : Muhasabah pertingkat kualiti diri


Sibukkan diri dengan ketaatan, cegah lakukan dosa sempena tahun baru

Tahun baru bakal menjelma dengan bermulanya 2013. Tahun yang bakal dipenuhi cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini.

Seperti tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana masih diizinkan untuk meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya.

Namun, sebagai muslim yang memahami kepentingan hidup sebagai satu ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.

Firman Allah SWT: “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat 50)

Bermuhasabah dan insaf

Sambutan tahun baru dalam Islam bukan sambutan bersifat bermegah dan bergembira semata-mata, tetapi harus disandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah dilakukan sebelum ini dan menginsafinya.

Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan baru.

Bermuhasabah diri adalah amalan anbiya, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup ialah menilai diri. Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia menurut kaca mata agama.

Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan supaya tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang serta masa untuk melakukan perkara batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan.

Mereka akan mencela jiwa atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukan terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan serta kebatilan.

Memetik kata-kata ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad: “Daripada perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT.”

Tidak bertolak ansur

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq, lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang boleh membawa kepada sifat reda nafsu atau berpuas hati dengannya. Memerangi nafsu boleh menjauhkannya daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.

Marilah bersama menghitung setiap tindakan selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam.

Percayalah dengan bermuhasabah seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri dari semasa ke semasa.

Ingatlah pesanan Saidina Umar al-khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/