Ahad, 30 Disember 2012

ISU SOSIAL : Usah biar azam jadi beban


Tidak perlu tunggu sehingga petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam... setiap saat pun, kita wajar fikirkan soal perubahan ke arah kebaikan...

DI AMBANG kemunculan Tahun Baru 2013 lusa, tentunya ramai yang sudah terfikir tentang azam yang ingin dicapai.

Tidak kiralah, sama ada azam itu merupakan tekad baru menjadi insan lebih baik atau ia adalah misi 2012 yang belum kesampaian kerana sibuk, terlupa atau banyak 'godaan' - silakan berazam.

Bahkan, tiada salahnya untuk menyiapkan senarai azam anda, asalkan ia realistik dan tidak membebani fikiran atau emosi anda.

Saya tertarik dengan dapatan satu kajian mengenai azam Tahun Baru yang dikendalikan oleh Universiti Scranton, Amerika Syarikat, dan dimuatkan dalam Jurnal Psikologi Klinikal.

Meskipun kajian tersebut lebih condong kepada warga Amerika, ia tetap mampu dikaitkan dengan warga setempat dan menggambarkan keutamaan dan masalah masyarakat kini.

10 AZAM UTAMA :

Menerusi kajian itu, dirumuskan bahawa 10 Azam Paling Utama (Mengikut Susunan Keutamaan) adalah:

1. Mengurangkan berat badan

2. Menjalani kehidupan lebih teratur

3. Kurangkan berbelanja, lebih berjimat

4. Menikmati kehidupan sepenuhnya

5. Kekal cergas dan sihat

6. Pelajari sesuatu yang menarik

7. Berhenti merokok

8. Membantu orang lain mencapai impian

9. Jatuh cinta

10. Meluangkan lebih masa bersama keluarga

Kebanyakan azam ini menyentuh perihal kesihatan yang sering diabaikan dalam kesibukan bekerja atau kerana mentaliti "tak apa".

Ada juga perihal mengawal keborosan dan sikap berlebih-lebihan berbelanja apabila mendapat gaji.

Gambaran bahawa pekerja kini lebih sibuk dengan pekerjaan sampai tiada masa untuk jatuh cinta atau beriadah bersama keluarga juga dapat dirasakan daripada senarai 10 azam tadi.

Cuma, apakah sebab yang memungkinkan segala azam yang anda penat-penat fikirkan itu tidak kesampaian?

Saya ambil contoh azam mengurangkan berat badan. Ia sering terucap di bibir ramai wanita (termasuk diri saya sendiri), tetapi apa kesannya?

Tahun demi tahun, sama saja berat badan ni... naik dan terus naik. Makin cute...

Yang sering menjadi penghalang pada terlaksananya misi tersebut adalah sikap "nanti... nanti" atau "sekejap nak, sekejap tak nak".

Namun, kadangkala juga ia didorong oleh penetapan azam yang langsung membunuh semangat dan tidak selari dengan keupayaan kita.

Misalnya, niat di hati nak kuruskan badan dan 'puasa' daripada makan cemil-cemilan, manisan, aiskrim, coklat dan nasi atau makanan dengan kandungan karbohidrat tinggi.

Apabila tengok orang lain seronok makan, alahai 'menderitanya', Tuhan saja yang tahu.

Lantas, kirim salam sajalah dengan azam tersebut. Maka, cara pemakanan kita tu... hmm... walhasil balik asal.

Sebenarnya, tidak perlulah untuk menyekat diri sampai begitu sekali. Konsep 'sedang-sedang saja' atau kesederhanaan tetap berkesan bagi segala aspek kehidupan.

USAH MENGHARAPKAN HASIL SEKELIP MATA

Penulis bersama buku motivasi Changing For Good, Encik John C. Norcross dan jurucakap Persatuan Pemakanan Amerika, Cik Bonnie Taub-Dix, sependapat menyatakan:

"Kalau sesiapa berazam menurunkan berat badan, mereka tidak perlu lupakan makanan-makanan yang menyelerakan ini 100 peratus!

"Ada masanya untuk menikmati makanan-makanan 'mewah' dianggap sesetengah wanita sebagai 'berdosa' atau sinful.

"Ada orang akan ketepikan setiap Sabtu untuk mengubati rasa rindu terhadap makanan sebegini sedangkan pada enam hari lain, mereka begitu berjaga-jaga soal pemakanan. Pokoknya ada keseimbangan."

Dalam kita berazam ini, kita tidak boleh mengharapkan hasil sekelip mata.

Baru bersenam sekejap, takkan boleh kurus serta-merta, bagaikan lemak disedut semalaman.

Jangan biarkan diri kita dibelenggu apa yang pakar psikologi, Dr Peter Herman, anggap sebagai sindrom 'janji kosong'.

Segala azam yang ditetapkan tidak realistik dan lebih menyukarkan atau membingitkan.

Bagaimana ingin pastikan azam kita berhasil?

Pertama, kita harus fokus pada satu azam dan bukannya beberapa azam.

Kedua, pastikan azam tersebut khusus, bukan setakat mengurangkan berat badan tetapi mengurangkan sebanyak lima kilogram dalam masa tiga bulan, misalnya.

Sebenarnya, anda tidak perlu menunggu sehingga petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam. Anda boleh berazam bila-bila masa saja. Setiap saat pun, kita wajar fikirkan soal perubahan ke arah kebaikan.

ORAK LANGKAH DEMI LANGKAH

Pastikan anda mengorak langkah demi langkah dalam mencapai azam anda.

Dapatkan bantuan seorang teman rapat untuk memberi anda motivasi dalam mencapai azam anda.

Anda kemudian boleh raikan kejayaan kecil-kecilan anda itu dari masa ke masa meskipun azam itu baru 30 peratus sahaja yang tercapai.

Fokuskan fikiran anda itu pada proses mengubah sikap, tanggapan dan fikiran anda untuk hari ini.

Yang penting, usah dikenangkan hambatan masa lalu atau kebimbangan masa hadapan yang boleh menambah beban fikiran dan emosi anda.

Akhir kata, Selamat Berazam dan Menyambut Tahun Baru 2013!

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg

ISU GLOBAL : Wakil Luar Negara Berminat Kukuh Hubungan Dua Hala Pada 2013


KUALA LUMPUR : Wakil-wakil negara asing berminat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia pada 2013 berikutan kejayaan yang terjalin pada 2012.

Duta Besar Rusia ke Malaysia, Lyudmila G.Vorobyeva optimis bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia akan bertambah kukuh tahun depan.

Beliau berkata tahun 2012 adalah tahun kejayaan terutama dengan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada September yang telah mencapai kejayaan.

Pertemuan itu berlangsung semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Vladivostok.

"Adalah diharapkan, hubungan dua hala yang kukuh akan terus terjalin pada 2013. Kami menaruh harapan kepada lebih banyak pertukaran lawatan terutama di peringkat tertinggi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada tahun 2012, lebih daripada 3,000 penuntut Malaysia telah pergi ke Rusia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Sebagai tambahan, jumlah pelancong Rusia yang berkunjung ke Malaysia juga meningkat.

Berhubung perdagangan dua hala, sejumlah misi perniagaan dari pelbagai bahagian di Rusia melawat Malaysia tahun ini. Mereka berminat melaksanakan pelbagai projek pelaburan usahasama, katanya.

Duta dan ketua delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Luc Vandebon berkata tahun 2013 adalah tahun penting bagi Malaysia yang akan mengadakan pilihan raya umum.

"Tanpa mengira keputusannya, pilihan raya itu sudah tentu merupakan detik penentuan bagi Malaysia," katanya.

2013 akan menjadi tahun yang penting bagi hubungan dua hala antara EU dan Malaysia.

Tiga perjanjian utama akan ditandatangani: Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian Sukarela (VTA).

"Saya amat yakin bahawa kita akan menandatangani perjanjian utama yang dapat kita banggakan," katanya.

Menurut Vandebon, majlis penyampaian Hadiah Nobel Keamanan 2012 adalah satu daripada detik yang tidak dapat dilupakan apabila EU menerima anugerah itu tahun ini.

"Selepas memenangi Hadiah Nobel Keamanan, UE telah meningkatkan usahanya untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran di seluruh dunia. EU membantu negara-negara yang berjuang mendapatkan kebebasan," katanya.

Satu lagi upacara yang amat dibanggakan EU ialah pertandingan rayuan yang diadakan di bangunan Parlimen baru-baru ini, bagi menyebarluas berhubung pemansuhan hukuman mati, yang mana EU akan meneruskan inisiatif itu tahun depan.

Vandebon mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz atas sokongannya.

Nazri berkata kerajaan berminat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan-kesalahan dadah. Ia merancang untuk menggantikan hukuman mati itu dengan kaedah-kaedah hukuman yang lain.

Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thao, berkata Vietnam dan Malaysia sentiasa meningkatkan hubungan mereka dalam pelbagai bidang atas dasar menghormati kedaulatan, keutuhan wilayah dan perpaduan Asean. Thao juga berkata Vietnam dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik mereka pada 2013, yang menurutnya adalah acara yang penting.

Beliau berharap kedua buah negara akan bekerja rapat bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan saling menyokong dalam forum antarabangsa terutama apabila Komuniti Asean menjadi kenyataan pada 2015.

Bagi hubungan perdagangan, menurut Thao, setakat November 2012, hubungan perdagangan telah mencapai lebih daripada US$6.5 bilion.

Menjelang akhir November 2012, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh daripada lebih 90 pelabur asing di Vietnam, dengan 432 projek dengan modal yang didaftarkan berjumlah US$11.3 bilion.

Hubungan kebudayaan antara kedua buah negara juga terus meningkat," katanya.

"Kami berharap kerjasama pelbagai hala antara Vietnam dan Malaysia akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang," kata Thao, yang dihantar berkhidmat di sini pada Jun 2011. - BERNAMA

ISU GLOBAL : 2013: Cabaran getir ASEAN


Oleh : Azmi Hassan

TIDAK memeranjatkan jika diandaikan tahun 2012 berkisar kepada dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China kerana setiap tindak-tanduk mereka tidak kira di mana sama ada secara tersurat atau tersirat sudah pasti memberi kesan kepada geopolitik dunia.

Setiap strategi yang direncanakan oleh Washington lazimnya mempunyai kaitan untuk mengekang kebangkitan China sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan, kebudayaan atau sosial. Begitu juga sebaliknya Beijing sentiasa begitu cermat melebarkan pengaruh agar tidak mempamerkan kerakusan yang boleh menimbulkan syak-wasangka negara lain.

Paling menarik tirai 2012 ditutup dengan pemilihan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara yang berlaku hampir serentak tetapi begitu berbeza kaedahnya. Pemilihan Presiden Barack Obama buat penggal kedua telah melalui proses pengundian oleh hampir 140 juta rakyat Amerika yang layak mengundi manakala pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden pula hanya direncanakan oleh beberapa pemimpin berpengaruh dalam Parti Komunis China (CPC).

Walaupun kaedah pemilihan adalah begitu jauh bezanya tetapi kewibawaan dan mandat yang dimiliki oleh kedua-dua Presiden ini bakal mewarnai geopolitik dunia untuk tahun 2013. Suburnya demokrasi AS kerana setiap rakyat mereka berpeluang melangsungkan tanggung jawab sementara stabilnya China adalah kerana pertukaran pemimpin dilakukan secara tersusun dan tidak mendadak.

Pemangkin yang bakal mewarnai tahun 2013 tidak lagi berpusat di Eropah kerana benua tersebut sedang bergelut dengan masalah ekonomi meruncing yang tidak memungkinkan organisasi seperti Kesatuan Eropah (EU) mampu bertindak secara melampau.

Begitu juga beberapa negara Arab sudah dan akan melalui proses pertukaran rejim tidak lagi dianggap sebagai titik-tolak geopolitik dunia. Kemelut Timur Tengah yang pada ketika ini begitu mudah direncanakan mengikut cita rasa rejim Israel juga sudah tidak menjadi isu kritikal untuk tahun 2013.

Ada yang meramalkan tahun hadapan adalah milik Asia kerana berlaku perubahan pucuk pimpinan beberapa negara penting benua tersebut. Pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden China adalah kritikal kerana Xi mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam organisasi tentera China iaitu PLA. Begitu juga dengan kejayaan Park Guen-hye sebagai Presiden wanita pertama Korea Selatan dianggap sama penting dengan pemilihan Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri Jepun. Penting kerana kedua-dua pemimpin tersebut berfahaman konservatif dan mempunyai semangat nasionalis yang begitu tinggi.

Pertembungan

Tetapi Asia Tenggara dan bukannya Asia Timur yang bakal menyaksikan pertembungan antara dua kuasa besar Washington dan Beijing. Jika berlaku Perang Dingin antara AS dan USSR selepas tamat Perang Dunia Kedua, maka kini telah timbul bibit-bibit Perang Dingin ala timur antara AS dan China. Tahun 2013 bakal memberi gambaran lebih jelas komposisi sebenar kumpulan pihak yang bertelagah.

Jika Perang Dingin pertama telah melalui berbagai-bagai bentuk krisis seperti Krisis Peluru Berpandu Cuba, Tembok Berlin, Perang Vietnam dan Revolusi Hungary maka Perang Dingin terbaru mempunyai satu pemangkin iaitu perebutan wilayah maritim terutama sekali yang membabitkan Laut China Selatan.

Memang benar Laut China Timur juga sedang bergolak dengan isu Zon Ekslusif Ekonomi (EEZ) antara Jepun, Korea Selatan dan China tetapi persengketaan ini amat jelas pembentukannya di mana sokongan AS berpihak 100 peratus kepada Jepun dan Korea Selatan. Tetapi sengketa Laut China Selatan yang secara langsung melibatkan 10 negara ASEAN masih belum begitu nyata komposisi negara mana yang berpihak kepada AS atau China.

Tahun 2012 menyaksikan Washington mengumumkan strategi apa yang digelar Pangsi Pasifik yang memberi perhatian khusus terhadap rantau Asia Pasifik. Dasar pangsi ini adalah begitu jelas untuk menjadikan Asia Pasifik sebagai pangkalan tumpuan kekuatan ketenteraan mereka, terutama sekali angkatan tentera laut AS (USN). Pada ketika ini penempatan aset USN adalah seimbang antara Atlantik dan Pasifik. Tetapi bermula tahun 2013, kekuatan USN akan tertumpu di Pasifik dengan kelebihan nisbah 60:40.

Penambahan anggota tentera Marin AS yang ditempatkan di pangkalan tentera laut di Darwin, Australia telah pun bermula semenjak April lepas. Tidak ketinggalan juga Washington sedang menjalin kerjasama strategik dengan beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Singapura dan Filipina untuk mengukuhkan kehadiran tentera AS di rantau sebelah sini.

Pentingnya ASEAN kepada Washington dalam percaturan dengan China adalah begitu nyata kerana perhatian yang diberikan begitu mendadak sekali. Sebaik sahaja mendapat mandat untuk penggal kedua pada November lepas, Presiden Obama telah membuat lawatan ke Myanmar, Thailand dan Kemboja. Lawatan ke Myanmar dianggap satu sejarah kerana buat pertama kali dilakukan oleh Presiden AS.

Begitu juga dengan Setiausaha Negara AS , Hillary Clinton telah melawat semua 10 negara ASEAN dan tidak pernah terlepas mesyuarat Forum Serantau ASEAN (ARF) yang membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau.

Tetapi menariknya untuk negara ASEAN, tidak seperti mana Jepun atau Korea Selatan, Washington kurang berjaya memikat beberapa negara ASEAN supaya berpihak kepada AS apabila berhadapan dengan China. Kecuali Manila yang begitu jelas mahu melibatkan AS, negara ASEAN lain nampak gayanya begitu strategik dan pintar tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak kuasa besar.

Manila mungkin tidak mempunyai pilihan kerana ketegangan di Scarborough Shoal yang meletus pada April lepas jelas mempamerkan kelemahan tentera mereka menghadapi kekuatan China.

Sekutu

Thailand walaupun mempunyai status sekutu bukan NATO dengan AS, mengambil sikap berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan Beijing. Malah Perdana Menteri kedua-dua negara Yingluck Shinawatra dan Wen Jiabao telah bersetuju menaik taraf terma hubungan bilateral kepada perkongsian strategik.

Paling menarik pada Jun lepas, Bangkok membatalkan persetujuan asal untuk membenarkan NASA menggunakan pangkalan udara U-Tapao sebagai pusat penerbangan kapal terbang penyelidikan atmosfera U-2 kerana curiga dengan bantahan Beijing. Khabarnya NASA juga mengemukakan permintaan yang serupa kepada Kuala Lumpur pada November lepas.

Singapura yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan AS melalui Kerangka Perjanjian Strategik bakal teruji dasar mereka pada tahun hadapan apabila empat kapal gempur pesisir (LCS) AS mula ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Changi. Singapura tidak seperti Manila juga tidak mahu mempamerkan sikap tidak berpihak walaupun secara dasarnya lebih berpihak kepada AS.

Vietnam walaupun sejak kebelakangan ini semakin rapat dengan AS, tetapi mengambil pendekatan berhati-hati serupa dengan Thailand dan Singapura yang tidak mahu menyinggung perasaan Beijing. AS yang bercita-cita menggunakan pangkalan laut Cam Ranh Bay masih belum berjaya memujuk Hanoi.

Malaysia dan Indonesia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam juga mengambil sikap pragmatik apabila berhadapan dengan sengketa AS-China. Walaupun Malaysia mempunyai masalah tuntutan bertindih beberapa pulau Spratly dengan China, tetapi isu ini tidak mengaburi kepentingan hubungan dua hala. Pada September lepas umpamanya Kuala Lumpur dan Beijing telah buat julung kali mengadakan perbincangan mengenai keselamatan dan pertahanan strategik.

Strategi pragmatik yang diamalkan oleh negara ASEAN pada 2012 telah berjaya meredakan ketegangan Laut China Selatan. Tetapi tahun 2013 bakal memberi cabaran getir bagi beberapa negara ASEAN untuk mengekalkan momentum tidak berpihak sama ada kepada AS atau China. Dengan gabungan penduduk melebihi 600 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$2.2 trilion, ASEAN memerlukan kedua-dua pasaran AS dan China untuk berkembang.

Semenjak Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China ditandatangani pada 2010, ASEAN telah meraih manfaat yang begitu besar kerana permintaan dari pasaran China adalah begitu besar untuk dibiarkan begitu sahaja. Tetapi Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan Malaysia, Brunei, Vietnam dan Singapura bersama-sama dengan AS bakal memberi cabaran baru pada tahun hadapan kerana Beijing menuduh TPP sengaja diadakan untuk mengekang pertumbuhan ekonomi mereka.

Negara ASEAN perlu bijak melaksanakan strategi supaya tidak terjebak dan terperangkap seperti yang telah dilalui oleh negara Eropah ketika meletusnya Perang Dingin AS-USSR. Tahun 2012 mempamerkan negara ASEAN mampu membuat keputusan pragmatik yang tidak memudaratkan rantau Asia Tenggara. Harapannya ialah momentum 2012 dapat diteruskan sepanjang 2013 tetapi cabaran yang bakal ditempuhi adalah begitu getir sekali yang memerlukan prinsip setiap dasar yang digubal mesti mengambil kira kepentingan ASEAN sebagai sebuah organisasi dan bukan hanya mementingkan kepentingan negara individu semata-mata.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 29 Disember 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Golongan muda obses internet bakal 'mati otak'


London : Seorang pereka cipta terkenal United Kingdom memberi amaran bahawa 'generasi Google' yang bergantung dengan internet untuk semua perkara berkemungkinan 'mati otak.'

Trevor Baylis yang memperkenalkan radio permainan berkata, kanak-kanak kehilangan kreativiti dan kemahiran praktikal akibat menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin.

Pencipta berusia 75 tahun dari barat daya London di Twickenham berkata, beliau bimbang generasi pencipta akan datang bakal hilang kerana golongan muda sering gagal membuat apa saja dengan tangan mereka, lapor akhbar Daily Mail.

Katanya, kanak-kanak bakal menemui semula kemahiran penting jika sekolah menggunakan mainan praktikal seperti ‘Meccano’ iaitu sistem pembinaan model.

Perlu belajar kemahiran

“Kanak-kanak perlu diajar kemahiran dan bukan terlalu bergantung dengan telefon bimbit atau komputer.

“Mereka seharusnya menggunakan komputer ketika perlu, namun terlalu ramai orang bermain dengan komputer pada hari ini dan  menghabiskan masa duduk di sana.

“Mereka terlalu bergantung dengan pencarian Google. Ramai kanak-kanak secara tidak langsung akan ‘mati otak’ jika mereka terlalu bergantung dengan internet kerana mereka tidak berupaya melakukan sesuatu dengan cara lama,” kata Baylis. - Agensi

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet berskrin dan permainan elektronik punca kanak-kanak sukar bertutur


LONDON 28 Dis. - Penggunaan gajet berskrin dan permainan elektronik dikatakan menjadi punca kepada 70 peratus kanak-kanak di Britain sukar untuk bertutur dengan lengkap sejak enam tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 1.2 juta kanak-kanak berusaha untuk bertutur secara lengkap dengan separuh daripada murid di sebahagian kawasan di Britain yang mula bersekolah didapati sukar untuk menyusun ayat.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada peningkatan penggunaan gajet yang berasaskan skrin yang dianggap 'pengasuh' dan trend dalam kalangan ibu bapa yang hanya meluangkan sedikit masa bersama anak mereka.

Guru-guru juga mendakwa telah mengenal pasti kesukaran bercakap dalam kalangan murid dengan lebih mudah.

Penemuan baharu daripada kajian yang dibiayai kerajaan itu menunjukkan jumlah kanak-kanak yang bersekolah memerlukan bantuan pakar untuk bertutur dan memahami bahasa meningkat sebanyak 71 peratus antara 2005 hingga 2011.

Analisis itu sebahagian daripada Program Penyelidikan Komunikasi Yang Lebih Baik mendapati 2.2 peratus atau 135,700 orang kanak-kanak antara lima hingga 16 tahun dikategorikan bermasalah pada 2011.

Bagaimanapun jumlah itu tidak termasuk murid-murid yang dikenal pasti mempunyai masalah bertutur dan hanya mendapat bantuan daripada pihak sekolah tanpa perlu merujuk pakar seperti mengadakan kelas tuisyen untuk kumpulan kecil.

Sebagai maklum balas kepada kajian itu, pertubuhan kebajikan kanak-kanak, CAN berkata, kajian lain mengandaikan 1.2 juta kanak-kanak Britian pada setiap lapisan umur mempunyai masalah berkomunikasi.

Pemegang amanah CAN, Jean Gross berkata, kenaikan mendadak jumlah kanak-kanak Britian yang sukar untuk bertutur akan berlaku pada abad ke-21.

Katanya, teknologi berasaskan skrin termasuk televisyen, konsol permainan, telefon pintar dan komputer yang banyak digunakan kanak-kanak ketika ini lebih menguasai mereka berbanding mengadakan aktiviti keluarga seperti makan bersama-sama. - AGENSI

ISU BAHASA : Ambil guru dari India perlu kajian mendalam


Oleh : Nuruljannah Ismail
               
Lebih kurang seminggu yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kepada Perdana Menteri India untuk menerima sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris dari India untuk mengajar di negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan ini mampu mewujudkan kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan India, namun jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan pelajar daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ingin menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas beberapa hujah.

Hujah saya yang pertama ialah, lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur dan masih menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar. Tambahan lagi, baru-baru ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta. Justeru, jika melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita membawa masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah. Cadangan ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya daripada jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk mendapatkan pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi masalah pengangguran dalam kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura bahawa pengambilan mahasiswa ISMP akan dihentikan buat sementara waktu bermula tahun hadapan kerana peluang pekerjaan yang tersedia tidak mampu menampung graduan ISMP yang sedia ada. Lantas, satu pertanyaan di sini, adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa dihentikan untuk mengatasi masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita mengimport masuk guru-guru dari India?

Hujah saya yang kedua ialah, kita sudah mempunyai graduan daripada jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, sehingga kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia yang sedang mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara kita tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak watan. Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun sekiranya peluang untuk mengajar diberikan kepada mereka yang bukan warganegara? Saya yakin dengan kompetensi mahasiswa dan juga graduan TESL di Malaysia kerana proses untuk menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah. Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam Malaysian University English Test (MUET). Setelah melepasi ujian tersebut, kami menduduki  pula Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan tapisan sebegini, adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar anak watan kami sendiri?

Hujah saya yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru dari India tidak dapat tidak memerlukan kerajaan untuk melaburkan sejumlah wang yang agak besar  yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan guru-guru dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa berbaloi untuk melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan kualiti guru bahasa Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis pengajaran yang terbaik dan dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan banyak wang untuk menampung guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi yang kedua. Saya masih yakin dengan kebolehan dan kompetensi guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar, kerana adanya saya di sini pada hari ini adalah hasil tunjuk ajar mereka. Justeru, lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan untuk memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi, ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat untuk mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi menokok tambah bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Saya menyokong penuh saranan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk kerajaan membuat kajian dengan lebih mendalam terhadap isu ini dan juga mengadakan perbincangan dengan profesor bahasa Inggeris di Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut, dapat menghasilkan keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak sebulatnya menolak cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi  sebab yang memuaskan bukan sekadar untuk membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin akan mempertimbangkan cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Penulis ialah Ahli  Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net

Jumaat, 28 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Kemahiran berfikir dalam pendidikan


 Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Guru harus melakukan penambahbaikan dalam proses pembelajaran agar murid-murid

PERUNTUKAN tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang lalu menggambarkan keprihatinannya terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Peruntukan tambahan ini adalah khusus untuk melaksanakan latihan, kursus atau penambahbaikan kepada guru berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau ‘high order thinking skills.’

Semasa berucap merasmikan Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 di Shah Alam pada tahun lalu beliau pernah menjelaskan tentang perlunya negara mempunyai warga pendidik yang memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi selain komitmen dan sikap dedikasi terhadap profesion perguruan.

Ketika melayari era globalisasi ini golongan guru perlu berkemahiran tinggi dalam soal adaptasi dan bersikap proaktif serta melakukan penambahbaikan semasa menjalankan tugas.

Tindakan sebegini menyebabkan murid tidak merasa bosan ketika mengikuti proses pembelajaran. Najib berkata - ‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menggunakan kaedah menghafal atau ‘rote learning’ dalam pembelajaran mereka.’’

Apakah sebenarnya kemahiran berfikir aras tinggi itu?

Secara umum terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam.

Sebagai contoh kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya semula sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membuat perancangan.

Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu.

Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.

Dalam proses pendidikan terdapat lima peringkat bagaimana kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid secara terancang iaitu melalui set induksi, penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar, aras soalan atau teknik menyoal, aktiviti atau gerak kerja dan latihan bertulis.

Dalam set induksi kebiasaannya sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru akan menjelaskan tentang tajuk pengajarannya, matlamat dan apakah yang akan difahami selepas pengajarannya. Set induksi yang berkesan akan membolehkan murid bersedia mengikuti pengajaran guru dan merupakan langkah permulaan dalam proses berfikirnya.

Penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tajuk pengajaran akan membolehkan murid memahami dengan lebih jelas sesuatu istilah dan konsep. Malah ia akan menjadikan pengajaran guru lebih mudah diikuti dan menyeronokkan.

Melihatkan suasana pembelajaran yang berjalan dengan lancar maka guru hendaklah mengambil kesempatan dengan mengemukakan berbagai soalan kepada muridnya bermula dalam bentuk tahap yang rendah dan berkembang kepada soalan yang bertahap tinggi.

Ketika ini murid banyak menggunakan kemahiran berfikir mereka dalam menjawab soalan-soalan yang berbagai bentuk. Dalam masa sama, guru akan dapat menilai sama ada murid memahami pengajarannya.

Selanjutnya aktiviti atau gerak kerja pembelajaran akan dapat memperkukuhkan lagi pengajaran guru. Aktiviti seperti teka silang kata, kuiz, syarahan, bahas, lakonan, kerja berkumpulan, menyediakan projek dan gerak kerja di luar bilik darjah akan memantapkan lagi kefahaman murid. Sudah tentu murid akan membuat perbincangan, merujuk dan mencari maklumat dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

Akhirnya proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan bertulis. Melalui kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan mengeluarkan pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea baru. Di sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar agar murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.

Sesungguhnya peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan digunakan untuk meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru. Diharap langkah ini akan menaikkan prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran PISA yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata-kata aluan laporan awal Pelan tersebut - ‘‘Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.’’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/