Selasa, 1 Januari 2013

ISU SOSIAL : Doa tahun baru masihi 2013


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

Tahun baru, manusia baru, generasi baru. Harap tahun baru 2013 kali ini dapat menjadi titik permulaan untuk mencipta manusia baru Malaysia iaitu rakyat yang sihat walafiat, zahir dan batin.

Kita harus mengaku bahawa rakyat kita pada hari ini banyak yang sakit, bukan hanya sakit badan seperti penyakit yang dihidapi akibat dari obesiti, penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lebih kronik lagi kenser, tetapi banyak juga yang mengalami sakit jiwa, mental dan emosi yang keterlaluan dan parah.

Penyakit mental dan jiwa yang serius biasanya boleh membawa kepada ketidakstabilan pemikiran dan emosi seseorang itu, bukan sekadar hal itu sahaja, tetapi seringkali juga membawa kepada penyakit kerohanian, emosi, perasaan, tingkah laku, tutur kata, dan tindakan manusia itu keseluruhannya.

Dalam al-Quran ALLAH menyifatkan bahawa orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang yang terang-terang menolak kebenaran dan ajaran ketuhanan yang Esa sebagai orang-orang yang "berpenyakit di dalam hatinya."

Semakin lama mereka berkelakuan begitu, menentang para Rasul dan Nabi, terutamanya Nabi terakhir, Muhammad S.A.W, maka ALLAH menambah penyakit mereka itu, lalu mereka bertindak di luar perikemanusiaan, menyakiti orang lain, malah terdapat di antara mereka yang bertindak menyakiti dan membunuh para Nabi dan Rasul yang mereka menentangnya.

Hari ini kita melihat orang membunuh orang lain sesama mereka dengan sewenang-sewenangnya, termasuk membunuh anak, ibu bapa, nenek moyang, kaum kerabat, kawan dan sesiapa saja, yang tidak pernah kita menyaksikannya dalam masyarakat kita pada zaman lampau.

Orang merompak, mencuri, meragut dan melakukan serba macam kelakuan untuk mendapatkan harta benda kepunyaan orang lain secara mudah, malah lebih besar lagi hal ini berlaku dalam kalangan manusia yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan tinggi iaitu rasuah, menyalah guna kuasa, menggunakan kedudukan dan sebagainya untuk menjadi penyangak yang terlalu bersifat materialistik, gila benda dan wang tetapi dalam cara yang amat bijak dan halus sekali.

Kerana penyakit jiwa ini juga orang menjadi liar, tidak bersopan, rosak akhlak, mengamalkan gejala maki hamun, dendam kesumat, biadab dan tidak berakhlak sesama sendiri, dan sesama saudara seagama dan senegara, rasa rasis dan taksub politik yang melampau, tidak ihsan dan tidak merasa malu kepada manusia, apatah lagi kepada Allah.

Orang yang berpenyakit jiwa akan bertindak di luar kawalan akal dan ajaran agama yang sihat, secara membuta tuli akan menurut emosi dan perasaan, melanggar undang-undang termasuk undang-undang lalu lintas, membawa kereta seperti orang yang tidak siuman, tergopoh gapah dan memandu laju tanpa berfikiran, mengakibatkan kemalangan, memakan korban yang banyak di atas jalan raya, mati dan luka parah.

Hal yang digambarkan di atas hanya merupakan sebahagian contoh yang kecil tentang akibat yang dialami oleh anggota masyarakat dalam kelompok masyarakat yang sakit jiwa dan mental, sakit rohani dan emosi, sakit otak dan fikiran, yang tidak memilih orang pandai atau jahil, kaya atau miskin, beragama atau tidak, semuanya terdedah kepada penyakit zaman moden, alaf ke tiga, dunia abad ke-21 ini iaitu penyakit jiwa dan mental yang diilhamkan oleh syaitan serta hawa nafsu, penyakita abad 20 ketika dunia menjadi gelanggang persaingan hidupyang terpisah dari nilai-nilai suci, budaya sihat dan ajaran agama.

Hampir seluruh dunia pada hari ini mengalami penyakit mental dan penyakit jiwa ini, sehingga dunia dipenuhi oleh keganasan, kekejaman, penindasan berdasarkan negara dan anutan agama serta rupa bangsa, berdasarkan barat melawan timur, negara maju menindas negara miskin, dasar globalisasi yang menyeleweng dan sebagainya.

Malah dalam dunia Islam sendiri kekerasan dan keganasan yang membawa kepada pembunuhan sesama sendiri sering juga berlaku kerana perebutan kuasa politik, perbezaan suku kaum, kelainan mazhab dalam agama sendiri, dan peselisihan pandangan lain, yang sepatutnya dapat diselesaikan secara beradab dan bertamadun, tetapi orang lebih suka menyelesaikan konflik mereka secara  keganasan dan pertumpahan darah, bukan melalui meja perundingan dan dialog ilmu.

Hal ini mulai berjangkit menjadi wabak dalam masyarakat Islam kita sendiri iaitu perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini kerana perebutan kuasa politik  melampau yang mengakibatkan kerosakan moral dan adab, memecahbelahkan masyarakat islam, melemahkan kesatuan ummah, yang sekali gus memberikan peluang kepada orang lain yang mahu melihat perpecahan orang Islam.

Oleh itu, kalau kita boleh berdoa, dan berharap, malah bertindak dan berusaha, maka tahun 2013 ini mintalah menjadi tahun permulaan untuk kesihatan jiwa dan mental manusia, termasuk manusia warga negara kita ini, agar penyakit mental, penyakit jiwa, penyakit rohani dan emosi yang telah banyak menjalar di dalam masyarakat kita ini akan berkurangan supaya kita akan dapat menikmati rasa aman, sejahtera dan bahagia di dalam masyarakat kita ini...

Permulaan membangunkan masyarakat yang sihat daripada penyakit jiwa dan rohani ini bukanlah sebenarnya untuk kita generasi ini, tetapi untuk kebahagiaan anak cucu, generasi dan ummah kita yang akan datang, kerana merekalah yang akan mewarisi negara dan dunia ini seluruhnya.

Selamat menyambut tahun baru 2013, selamat menempa umat baru, rakyat Malaysia yang sihat sejahtera, aman bahagia... Inilah saja harapan dan doa yang dapat kita lakukan buat hari pertama tahun baru masihi 2013 ini.

* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

TAHUN 2013 : TARIKH BARU, SKRIP LAMA


Oleh : IZHAM JAYA

SELAMAT tahun baru 2013. Semoga tahun ini kita menjadi warga matang yang benar-benar merdeka dengan identiti Malaysia yang sebenar. Tempoh setahun kehidupan pada tahun 2012 baru sahaja berlalu dan ceritanya patut menjadi panduan dalam mendepani cabaran 2013.

Pada  pengakhiran 2012 semalam, mungkin ramai yang merenung kembali segala azam dan sejauh mana pencapaian kita. Ada antara azam yang tidak tercapai akan dilaksanakan pula pada tahun 2013 atau mungkin patut dilupakan sahaja kerana tidak lagi relevan. Pendek kata, bermulanya tanggal 1 Januari 2013, segalanya menjadi satu matlamat jelas yang membantu pembinaan kerangka misi tahun 2013 yang lebih bermakna. Semoga segalanya tercapai!

Impian besar untuk menjadi masyarakat kelas pertama dan dihormati adalah agenda paling jelas setiap kali permulaan tahun baru. Pada tahun yang mendatang inilah kita mengimpikan setiap rakyat Malaysia menjadi orang pertama untuk segala perkara yang hebat. Mengimpikan supaya ada  antara kita yang diiktiraf dunia dan masyhur dalam bidang yang diceburi. Setidak-tidaknya, menerima hadiah nobel.

Bagi saya sendiri, impian supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan bijak sudah memadai. Kita sebenarnya mampu membina segala kemudahan bertaraf dunia dalam masa yang singkat, tetapi kita tidak mampu membina pemikiran rakyat bagi mengisi kekosongan jiwa negara apatah lagi memastikan segala kemudahan berteknologi tinggi dicernakan rakyat untuk menjadi masyarakat maju.

Proses pembinaan pemikiran ini pastilah tidak terjadi dalam masa yang singkat. Kerangka pembinaan ini sepatutnya sudah lama diterap bagi memastikannya selari dengan pembangunan yang dilaksana. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda penting pada setiap acara tahun baru. Bahkan dalam setiap acara keramaian di negara ini.

Permulaan tahun baru dewasa ini tampak semakin menyedihkan. Agenda pengisian jiwa bangsa seakan tidak menjadi perkara utama. Permulaan tahun yang gemilang tidaklah begitu hebat seolah-olah menampakkan tahun ini juga tiada pergerakan luar biasa dalam pembinaan jiwa bangsa.

Skrip acara ini sudah diulang tayang saban tahun, malah kelihatan seperti dirakam. Hanya diubah tarikhnya sahaja. Pesta nyanyian, tarian dan percikan bunga api sudah menjadi acara lazim yang hanya mengisi kekosongan jiwa rakyat dengan hiburan semata.

Menghabiskan jutaan ringgit bahkan subsidi elektrik dan subsidi petrol tetapi gagal dalam mencipta nilai jiwa bangsa samada patriotik, rohani, intelek atau budaya. Penyimpangan jauh ini merencatkan pembinaan jiwa bangsa dan memburukkan kerosakan sedia ada. Mungkin sekadar menambah nilai pada industri hiburan negara yang sememangnya sudah kurang nilainya.

Pesta hiburan

Kita mempunyai 12 bulan lagi pada 2013 untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berkerja bermati-matian bagi mencapai matlamat. Adakah kita akan berusaha dengan lebih hebat lagi berbanding hebatnya kita berpesta menyambut tahun baru? Seperti tahun 2012, kita berpesta hampir sepanjang tahun dengan pelbagai acara nyanyian, tarian dan hiburan.

Tahun itu, pelbagai pihak sibuk menganjurkan pesta hiburan yang mesra dengan rakyat marhain. Malah, pesta tersebut turut dipanjangkan kepada golongan suburban dan luar bandar. Tidak cukup dengan itu, saban hari televisyen menayangkan pelbagai drama putus cinta, perpecahan keluarga, acara nyanyian dan gosip hiburan.

Selainnya lebih berkisar kepada politik semasa. Umum boleh melihat, tidak banyak program yang menjurus kepada pembentukan nilai bangsa Malaysia yang maju dan hebat. Jika adapun, acara berbentuk ilmiah dan patriotik dilihat gagal mengimbangi gemilangnya acara hiburan.

Penerimaan nilai-nilai intelek, inovasi, rohaniah dan patriotik di kalangan rakyat juga tidaklah sehebat penerimaan budaya hiburan seperti k-pop. Dalam masa yang sama, kita hanya melaungkan pelbagai cabaran dan hala tuju negara biarpun pengisiannya dikalangan masyarakat masih kosong.

Saya merasakan negara perlu memikirkan sesuatu yang lebih kritis dalam pembinaan generasi baru masyarakat Malaysia. Biarlah pembinaan nilai-nilai bangsa dan pengisian jiwa masyarakat dibuat secara berhemah dan tersusun.

Seperti mana hebatnya acara hiburan, gahnya percikan bunga api dan indahnya tarian, saya juga mengimpikan kelahiran generasi baru yang lengkap dengan nilai-nilai bangsa maju dan hebat. Kelahiran semula ini bukanlah sesuatu yang dianugerahkan tetapi terbina dari satu proses yang menciptakan.

Jiwa kosong

Justeru, kekosongan dan kekeliruan dalam jiwa masyarakat pada masa ini perlulah diisi segera dengan nilai-nilai positif dan gemilang. Permulaan kepada penghujung yang gemilang sewajarnya dimulakan dengan sesuatu yang gemilang juga.

Sambutan tahun baru bukanlah satu pesta yang wajar dirai sekiranya kita masih gagal pada tahun sebelumnya. Saya merasakan, kita perlu waras dalam hal ini. Mendengar nyanyian yang kadangkala kedengaran sumbang dan liriknya pula seolah dunia akan kiamat apabila putus cinta adalah sesuatu yang aneh dan tidak wajar sedang kita memikirkan cabaran besar yang menanti tahun 2013.

Menonton tarian dengan identiti yang dicedok dari negara luar juga mencerminkan betapa rendahnya nilai inovasi kita. Masih gagal untuk mencipta sesuatu yang masyhur dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Sudahlah gagal, kita pula yang mengikut orang lain dan menjadikan itu kegemaran kita.

Adalah menjengkelkan untuk melihat sekumpulan manusia hebat di atas pentas menarikan tarian Gangnam Style selepas selesai kiraan detik 2013. Pesta hiburan ini kemudian akan berterusan sepanjang malam di hotel-hotel bajet dan mewah, di pusat-pusat hiburan dan di jalan raya.

Nah, di manakah pembinaan nilainya? Soal cabaran yang menanti pada tahun 2013 dan matlamatnya pada tahun 2020 seakan dipinggirkan dan ditangguhkan. Himpunan massa sebegini sepatutnya menjadi medan terbaik kepada pihak penganjur dalam menerapkan nilai-nilai bangsa yang hebat dan gemilang.

Jutaan manusia sanggup berhujan dan bersesak-sesak semata-mata untuk kiraan detik 2013 tetapi segalanya menjadi sia-sia. Mereka balik dengan jiwa yang kosong seperti mana mereka datang dan esok masih lagi sama seperti 31 Disember 2012.

Masa akan sentiasa berdetik dan berlalu. Kita akan sentiasa kerugian jika masih terbuai dalam mimpi yang indah. Janganlah memikirkan daripada pandangan anda yang tahu berfikir, tetapi fikirlah untuk mereka yang tidak tahu berfikir.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 31 Disember 2012

PERUTUSAN PM SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BARU 2013


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,

1. Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun 2012.

2. Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, “Doing Business 2013” misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

3. Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.

4. Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

5. Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.

6. Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

7. Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.

Rakyat Malaysia Yang Dihormati,

8. Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan yang berterusan.

9. Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.

10. Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.

Rakyat Malaysia Sekalian,

11. Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan hala tuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.

12. Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.

13. Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Tahun Baru 2013.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber : http://www.pmo.gov.my/

OMBAK


Bergulung-gulung ombak di laut
memecah di tepi pantai
melemparkan karang dan aneka keong indah 
yang mati, dari dasar lautan.

Deburan ombak terdengar tiada henti
seolah memberi pesan kepada kita
bahawa Tuhan Maha Penyayang
tak pernah berhenti memberkati kita.

Oleh : Haris Rahmat Nugraha

Nota Hujung :

# keong  - siput ; haiwan jenis moluska kelas Gastropoda / mempunyai cangkerang yang berputar.

Ahad, 30 Disember 2012

ISU SOSIAL : Usah biar azam jadi beban


Tidak perlu tunggu sehingga petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam... setiap saat pun, kita wajar fikirkan soal perubahan ke arah kebaikan...

DI AMBANG kemunculan Tahun Baru 2013 lusa, tentunya ramai yang sudah terfikir tentang azam yang ingin dicapai.

Tidak kiralah, sama ada azam itu merupakan tekad baru menjadi insan lebih baik atau ia adalah misi 2012 yang belum kesampaian kerana sibuk, terlupa atau banyak 'godaan' - silakan berazam.

Bahkan, tiada salahnya untuk menyiapkan senarai azam anda, asalkan ia realistik dan tidak membebani fikiran atau emosi anda.

Saya tertarik dengan dapatan satu kajian mengenai azam Tahun Baru yang dikendalikan oleh Universiti Scranton, Amerika Syarikat, dan dimuatkan dalam Jurnal Psikologi Klinikal.

Meskipun kajian tersebut lebih condong kepada warga Amerika, ia tetap mampu dikaitkan dengan warga setempat dan menggambarkan keutamaan dan masalah masyarakat kini.

10 AZAM UTAMA :

Menerusi kajian itu, dirumuskan bahawa 10 Azam Paling Utama (Mengikut Susunan Keutamaan) adalah:

1. Mengurangkan berat badan

2. Menjalani kehidupan lebih teratur

3. Kurangkan berbelanja, lebih berjimat

4. Menikmati kehidupan sepenuhnya

5. Kekal cergas dan sihat

6. Pelajari sesuatu yang menarik

7. Berhenti merokok

8. Membantu orang lain mencapai impian

9. Jatuh cinta

10. Meluangkan lebih masa bersama keluarga

Kebanyakan azam ini menyentuh perihal kesihatan yang sering diabaikan dalam kesibukan bekerja atau kerana mentaliti "tak apa".

Ada juga perihal mengawal keborosan dan sikap berlebih-lebihan berbelanja apabila mendapat gaji.

Gambaran bahawa pekerja kini lebih sibuk dengan pekerjaan sampai tiada masa untuk jatuh cinta atau beriadah bersama keluarga juga dapat dirasakan daripada senarai 10 azam tadi.

Cuma, apakah sebab yang memungkinkan segala azam yang anda penat-penat fikirkan itu tidak kesampaian?

Saya ambil contoh azam mengurangkan berat badan. Ia sering terucap di bibir ramai wanita (termasuk diri saya sendiri), tetapi apa kesannya?

Tahun demi tahun, sama saja berat badan ni... naik dan terus naik. Makin cute...

Yang sering menjadi penghalang pada terlaksananya misi tersebut adalah sikap "nanti... nanti" atau "sekejap nak, sekejap tak nak".

Namun, kadangkala juga ia didorong oleh penetapan azam yang langsung membunuh semangat dan tidak selari dengan keupayaan kita.

Misalnya, niat di hati nak kuruskan badan dan 'puasa' daripada makan cemil-cemilan, manisan, aiskrim, coklat dan nasi atau makanan dengan kandungan karbohidrat tinggi.

Apabila tengok orang lain seronok makan, alahai 'menderitanya', Tuhan saja yang tahu.

Lantas, kirim salam sajalah dengan azam tersebut. Maka, cara pemakanan kita tu... hmm... walhasil balik asal.

Sebenarnya, tidak perlulah untuk menyekat diri sampai begitu sekali. Konsep 'sedang-sedang saja' atau kesederhanaan tetap berkesan bagi segala aspek kehidupan.

USAH MENGHARAPKAN HASIL SEKELIP MATA

Penulis bersama buku motivasi Changing For Good, Encik John C. Norcross dan jurucakap Persatuan Pemakanan Amerika, Cik Bonnie Taub-Dix, sependapat menyatakan:

"Kalau sesiapa berazam menurunkan berat badan, mereka tidak perlu lupakan makanan-makanan yang menyelerakan ini 100 peratus!

"Ada masanya untuk menikmati makanan-makanan 'mewah' dianggap sesetengah wanita sebagai 'berdosa' atau sinful.

"Ada orang akan ketepikan setiap Sabtu untuk mengubati rasa rindu terhadap makanan sebegini sedangkan pada enam hari lain, mereka begitu berjaga-jaga soal pemakanan. Pokoknya ada keseimbangan."

Dalam kita berazam ini, kita tidak boleh mengharapkan hasil sekelip mata.

Baru bersenam sekejap, takkan boleh kurus serta-merta, bagaikan lemak disedut semalaman.

Jangan biarkan diri kita dibelenggu apa yang pakar psikologi, Dr Peter Herman, anggap sebagai sindrom 'janji kosong'.

Segala azam yang ditetapkan tidak realistik dan lebih menyukarkan atau membingitkan.

Bagaimana ingin pastikan azam kita berhasil?

Pertama, kita harus fokus pada satu azam dan bukannya beberapa azam.

Kedua, pastikan azam tersebut khusus, bukan setakat mengurangkan berat badan tetapi mengurangkan sebanyak lima kilogram dalam masa tiga bulan, misalnya.

Sebenarnya, anda tidak perlu menunggu sehingga petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam. Anda boleh berazam bila-bila masa saja. Setiap saat pun, kita wajar fikirkan soal perubahan ke arah kebaikan.

ORAK LANGKAH DEMI LANGKAH

Pastikan anda mengorak langkah demi langkah dalam mencapai azam anda.

Dapatkan bantuan seorang teman rapat untuk memberi anda motivasi dalam mencapai azam anda.

Anda kemudian boleh raikan kejayaan kecil-kecilan anda itu dari masa ke masa meskipun azam itu baru 30 peratus sahaja yang tercapai.

Fokuskan fikiran anda itu pada proses mengubah sikap, tanggapan dan fikiran anda untuk hari ini.

Yang penting, usah dikenangkan hambatan masa lalu atau kebimbangan masa hadapan yang boleh menambah beban fikiran dan emosi anda.

Akhir kata, Selamat Berazam dan Menyambut Tahun Baru 2013!

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg

ISU GLOBAL : Wakil Luar Negara Berminat Kukuh Hubungan Dua Hala Pada 2013


KUALA LUMPUR : Wakil-wakil negara asing berminat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia pada 2013 berikutan kejayaan yang terjalin pada 2012.

Duta Besar Rusia ke Malaysia, Lyudmila G.Vorobyeva optimis bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia akan bertambah kukuh tahun depan.

Beliau berkata tahun 2012 adalah tahun kejayaan terutama dengan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada September yang telah mencapai kejayaan.

Pertemuan itu berlangsung semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Vladivostok.

"Adalah diharapkan, hubungan dua hala yang kukuh akan terus terjalin pada 2013. Kami menaruh harapan kepada lebih banyak pertukaran lawatan terutama di peringkat tertinggi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada tahun 2012, lebih daripada 3,000 penuntut Malaysia telah pergi ke Rusia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Sebagai tambahan, jumlah pelancong Rusia yang berkunjung ke Malaysia juga meningkat.

Berhubung perdagangan dua hala, sejumlah misi perniagaan dari pelbagai bahagian di Rusia melawat Malaysia tahun ini. Mereka berminat melaksanakan pelbagai projek pelaburan usahasama, katanya.

Duta dan ketua delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Luc Vandebon berkata tahun 2013 adalah tahun penting bagi Malaysia yang akan mengadakan pilihan raya umum.

"Tanpa mengira keputusannya, pilihan raya itu sudah tentu merupakan detik penentuan bagi Malaysia," katanya.

2013 akan menjadi tahun yang penting bagi hubungan dua hala antara EU dan Malaysia.

Tiga perjanjian utama akan ditandatangani: Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian Sukarela (VTA).

"Saya amat yakin bahawa kita akan menandatangani perjanjian utama yang dapat kita banggakan," katanya.

Menurut Vandebon, majlis penyampaian Hadiah Nobel Keamanan 2012 adalah satu daripada detik yang tidak dapat dilupakan apabila EU menerima anugerah itu tahun ini.

"Selepas memenangi Hadiah Nobel Keamanan, UE telah meningkatkan usahanya untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran di seluruh dunia. EU membantu negara-negara yang berjuang mendapatkan kebebasan," katanya.

Satu lagi upacara yang amat dibanggakan EU ialah pertandingan rayuan yang diadakan di bangunan Parlimen baru-baru ini, bagi menyebarluas berhubung pemansuhan hukuman mati, yang mana EU akan meneruskan inisiatif itu tahun depan.

Vandebon mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz atas sokongannya.

Nazri berkata kerajaan berminat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan-kesalahan dadah. Ia merancang untuk menggantikan hukuman mati itu dengan kaedah-kaedah hukuman yang lain.

Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thao, berkata Vietnam dan Malaysia sentiasa meningkatkan hubungan mereka dalam pelbagai bidang atas dasar menghormati kedaulatan, keutuhan wilayah dan perpaduan Asean. Thao juga berkata Vietnam dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik mereka pada 2013, yang menurutnya adalah acara yang penting.

Beliau berharap kedua buah negara akan bekerja rapat bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan saling menyokong dalam forum antarabangsa terutama apabila Komuniti Asean menjadi kenyataan pada 2015.

Bagi hubungan perdagangan, menurut Thao, setakat November 2012, hubungan perdagangan telah mencapai lebih daripada US$6.5 bilion.

Menjelang akhir November 2012, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh daripada lebih 90 pelabur asing di Vietnam, dengan 432 projek dengan modal yang didaftarkan berjumlah US$11.3 bilion.

Hubungan kebudayaan antara kedua buah negara juga terus meningkat," katanya.

"Kami berharap kerjasama pelbagai hala antara Vietnam dan Malaysia akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang," kata Thao, yang dihantar berkhidmat di sini pada Jun 2011. - BERNAMA

ISU GLOBAL : 2013: Cabaran getir ASEAN


Oleh : Azmi Hassan

TIDAK memeranjatkan jika diandaikan tahun 2012 berkisar kepada dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China kerana setiap tindak-tanduk mereka tidak kira di mana sama ada secara tersurat atau tersirat sudah pasti memberi kesan kepada geopolitik dunia.

Setiap strategi yang direncanakan oleh Washington lazimnya mempunyai kaitan untuk mengekang kebangkitan China sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan, kebudayaan atau sosial. Begitu juga sebaliknya Beijing sentiasa begitu cermat melebarkan pengaruh agar tidak mempamerkan kerakusan yang boleh menimbulkan syak-wasangka negara lain.

Paling menarik tirai 2012 ditutup dengan pemilihan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara yang berlaku hampir serentak tetapi begitu berbeza kaedahnya. Pemilihan Presiden Barack Obama buat penggal kedua telah melalui proses pengundian oleh hampir 140 juta rakyat Amerika yang layak mengundi manakala pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden pula hanya direncanakan oleh beberapa pemimpin berpengaruh dalam Parti Komunis China (CPC).

Walaupun kaedah pemilihan adalah begitu jauh bezanya tetapi kewibawaan dan mandat yang dimiliki oleh kedua-dua Presiden ini bakal mewarnai geopolitik dunia untuk tahun 2013. Suburnya demokrasi AS kerana setiap rakyat mereka berpeluang melangsungkan tanggung jawab sementara stabilnya China adalah kerana pertukaran pemimpin dilakukan secara tersusun dan tidak mendadak.

Pemangkin yang bakal mewarnai tahun 2013 tidak lagi berpusat di Eropah kerana benua tersebut sedang bergelut dengan masalah ekonomi meruncing yang tidak memungkinkan organisasi seperti Kesatuan Eropah (EU) mampu bertindak secara melampau.

Begitu juga beberapa negara Arab sudah dan akan melalui proses pertukaran rejim tidak lagi dianggap sebagai titik-tolak geopolitik dunia. Kemelut Timur Tengah yang pada ketika ini begitu mudah direncanakan mengikut cita rasa rejim Israel juga sudah tidak menjadi isu kritikal untuk tahun 2013.

Ada yang meramalkan tahun hadapan adalah milik Asia kerana berlaku perubahan pucuk pimpinan beberapa negara penting benua tersebut. Pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden China adalah kritikal kerana Xi mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam organisasi tentera China iaitu PLA. Begitu juga dengan kejayaan Park Guen-hye sebagai Presiden wanita pertama Korea Selatan dianggap sama penting dengan pemilihan Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri Jepun. Penting kerana kedua-dua pemimpin tersebut berfahaman konservatif dan mempunyai semangat nasionalis yang begitu tinggi.

Pertembungan

Tetapi Asia Tenggara dan bukannya Asia Timur yang bakal menyaksikan pertembungan antara dua kuasa besar Washington dan Beijing. Jika berlaku Perang Dingin antara AS dan USSR selepas tamat Perang Dunia Kedua, maka kini telah timbul bibit-bibit Perang Dingin ala timur antara AS dan China. Tahun 2013 bakal memberi gambaran lebih jelas komposisi sebenar kumpulan pihak yang bertelagah.

Jika Perang Dingin pertama telah melalui berbagai-bagai bentuk krisis seperti Krisis Peluru Berpandu Cuba, Tembok Berlin, Perang Vietnam dan Revolusi Hungary maka Perang Dingin terbaru mempunyai satu pemangkin iaitu perebutan wilayah maritim terutama sekali yang membabitkan Laut China Selatan.

Memang benar Laut China Timur juga sedang bergolak dengan isu Zon Ekslusif Ekonomi (EEZ) antara Jepun, Korea Selatan dan China tetapi persengketaan ini amat jelas pembentukannya di mana sokongan AS berpihak 100 peratus kepada Jepun dan Korea Selatan. Tetapi sengketa Laut China Selatan yang secara langsung melibatkan 10 negara ASEAN masih belum begitu nyata komposisi negara mana yang berpihak kepada AS atau China.

Tahun 2012 menyaksikan Washington mengumumkan strategi apa yang digelar Pangsi Pasifik yang memberi perhatian khusus terhadap rantau Asia Pasifik. Dasar pangsi ini adalah begitu jelas untuk menjadikan Asia Pasifik sebagai pangkalan tumpuan kekuatan ketenteraan mereka, terutama sekali angkatan tentera laut AS (USN). Pada ketika ini penempatan aset USN adalah seimbang antara Atlantik dan Pasifik. Tetapi bermula tahun 2013, kekuatan USN akan tertumpu di Pasifik dengan kelebihan nisbah 60:40.

Penambahan anggota tentera Marin AS yang ditempatkan di pangkalan tentera laut di Darwin, Australia telah pun bermula semenjak April lepas. Tidak ketinggalan juga Washington sedang menjalin kerjasama strategik dengan beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Singapura dan Filipina untuk mengukuhkan kehadiran tentera AS di rantau sebelah sini.

Pentingnya ASEAN kepada Washington dalam percaturan dengan China adalah begitu nyata kerana perhatian yang diberikan begitu mendadak sekali. Sebaik sahaja mendapat mandat untuk penggal kedua pada November lepas, Presiden Obama telah membuat lawatan ke Myanmar, Thailand dan Kemboja. Lawatan ke Myanmar dianggap satu sejarah kerana buat pertama kali dilakukan oleh Presiden AS.

Begitu juga dengan Setiausaha Negara AS , Hillary Clinton telah melawat semua 10 negara ASEAN dan tidak pernah terlepas mesyuarat Forum Serantau ASEAN (ARF) yang membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau.

Tetapi menariknya untuk negara ASEAN, tidak seperti mana Jepun atau Korea Selatan, Washington kurang berjaya memikat beberapa negara ASEAN supaya berpihak kepada AS apabila berhadapan dengan China. Kecuali Manila yang begitu jelas mahu melibatkan AS, negara ASEAN lain nampak gayanya begitu strategik dan pintar tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak kuasa besar.

Manila mungkin tidak mempunyai pilihan kerana ketegangan di Scarborough Shoal yang meletus pada April lepas jelas mempamerkan kelemahan tentera mereka menghadapi kekuatan China.

Sekutu

Thailand walaupun mempunyai status sekutu bukan NATO dengan AS, mengambil sikap berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan Beijing. Malah Perdana Menteri kedua-dua negara Yingluck Shinawatra dan Wen Jiabao telah bersetuju menaik taraf terma hubungan bilateral kepada perkongsian strategik.

Paling menarik pada Jun lepas, Bangkok membatalkan persetujuan asal untuk membenarkan NASA menggunakan pangkalan udara U-Tapao sebagai pusat penerbangan kapal terbang penyelidikan atmosfera U-2 kerana curiga dengan bantahan Beijing. Khabarnya NASA juga mengemukakan permintaan yang serupa kepada Kuala Lumpur pada November lepas.

Singapura yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan AS melalui Kerangka Perjanjian Strategik bakal teruji dasar mereka pada tahun hadapan apabila empat kapal gempur pesisir (LCS) AS mula ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Changi. Singapura tidak seperti Manila juga tidak mahu mempamerkan sikap tidak berpihak walaupun secara dasarnya lebih berpihak kepada AS.

Vietnam walaupun sejak kebelakangan ini semakin rapat dengan AS, tetapi mengambil pendekatan berhati-hati serupa dengan Thailand dan Singapura yang tidak mahu menyinggung perasaan Beijing. AS yang bercita-cita menggunakan pangkalan laut Cam Ranh Bay masih belum berjaya memujuk Hanoi.

Malaysia dan Indonesia yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam juga mengambil sikap pragmatik apabila berhadapan dengan sengketa AS-China. Walaupun Malaysia mempunyai masalah tuntutan bertindih beberapa pulau Spratly dengan China, tetapi isu ini tidak mengaburi kepentingan hubungan dua hala. Pada September lepas umpamanya Kuala Lumpur dan Beijing telah buat julung kali mengadakan perbincangan mengenai keselamatan dan pertahanan strategik.

Strategi pragmatik yang diamalkan oleh negara ASEAN pada 2012 telah berjaya meredakan ketegangan Laut China Selatan. Tetapi tahun 2013 bakal memberi cabaran getir bagi beberapa negara ASEAN untuk mengekalkan momentum tidak berpihak sama ada kepada AS atau China. Dengan gabungan penduduk melebihi 600 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$2.2 trilion, ASEAN memerlukan kedua-dua pasaran AS dan China untuk berkembang.

Semenjak Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China ditandatangani pada 2010, ASEAN telah meraih manfaat yang begitu besar kerana permintaan dari pasaran China adalah begitu besar untuk dibiarkan begitu sahaja. Tetapi Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan Malaysia, Brunei, Vietnam dan Singapura bersama-sama dengan AS bakal memberi cabaran baru pada tahun hadapan kerana Beijing menuduh TPP sengaja diadakan untuk mengekang pertumbuhan ekonomi mereka.

Negara ASEAN perlu bijak melaksanakan strategi supaya tidak terjebak dan terperangkap seperti yang telah dilalui oleh negara Eropah ketika meletusnya Perang Dingin AS-USSR. Tahun 2012 mempamerkan negara ASEAN mampu membuat keputusan pragmatik yang tidak memudaratkan rantau Asia Tenggara. Harapannya ialah momentum 2012 dapat diteruskan sepanjang 2013 tetapi cabaran yang bakal ditempuhi adalah begitu getir sekali yang memerlukan prinsip setiap dasar yang digubal mesti mengambil kira kepentingan ASEAN sebagai sebuah organisasi dan bukan hanya mementingkan kepentingan negara individu semata-mata.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/