Ahad, 27 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : MRSM tawar A-Level


A Samad Manaf | bhnews@bharian.com.my
 
Tawau : Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menawarkan program A-Level atau prauniversiti apabila MRSM Tawau atau kini dikenali MRSM Tun Mustapha dipilih sebagai perintis.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata program ditawarkan mulai tahun depan, sejajar hasrat kerajaan menerusi MARA bagi memperkasakan pendidikan luar bandar.

Katanya, ia juga akan memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari daerah ini dan sekitar melanjutkan pengajian dalam kursus A-Level tanpa perlu ke bandar atau ke luar negara.

“MRSM Tun Mustapha akan dinaik taraf menjadi MRSM pertama di negara ini yang menyediakan program A-Level kepada lepasan SPM menyambung pelajaran sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sehingga luar negara.

Ringan beban ibu bapa

“Penganjuran program A-Level di MRSM ini bukan saja membuka peluang kepada pelajar setempat dan daerah berdekatan seperti Kunak, Lahad Datu serta Semporna melanjutkan pelajaran, malah meringankan beban ibu bapa terutama dalam menyediakan pembiayaan dan tambang jika belajar di bandar atau di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MRSM berkenaan, di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Ghapur Salleh; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Taufiq Abu Bakar Titingan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

MRSM itu yang beroperasi sejak 2008 kini dikenali MRSM Tun Mustapha sempena negarawan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun yang banyak menyumbang kepada negara dan negeri ini.

Pencapaian cemerlang

Mohd Shafie berkata, pelajar MRSM boleh memohon melanjutkan pengajian A-Level di MRSM Tun Mustapha yang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dan mendapat keputusan terbaik di Borneo.

“Kemudahan termasuk makmal untuk program ini disediakan secukupnya bagi memenuhi keperluan pelajar. Kita jangka 150 tempat disediakan tahun depan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 26 Januari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : 100 Kuota Tambahan Untuk Pelajar Miskin Yang Tercicir Ke IPTA


KUALA LUMPUR : Sebanyak 100 kuota tambahan disediakan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di seluruh negara kepada pelajar yang layak namun tercicir, atas faktor sosioekonomi pelajar terbabit.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi.

Beliau berkata golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am dan program tertentu di unversiti dan adalah dalam kategori miskin bandar, miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara, jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut, ia akan mula dilaksanakan tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 kesembilan serta penyampaian cek olok-olok bagi baucar buku 1Malaysia (BB1M) di sini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun tidak bernasib baik.

"Buat masa ini, kita akan mulakan dengan jumlah 100 kemasukan supaya tidak menjejaskan kuota yang telah disediakan kepada pelajar cemerlang berasaskan meritokrasi," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS.

"Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar STPM dan setaraf bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan SPM dan setaraf bagi program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya.

Sejumlah RM325 juta BBIM diagih kepada pelajar IPTA, IPTS dan politeknik mulai Sabtu. BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Guru Muda Berperanan Lonjakkan Kualiti Pendidikan


SABAK BERNAM : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.

"Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

"Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.

"Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan. Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.

"Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya. BERNAMA

Jumaat, 25 Januari 2013

ISU SOSIAL : Bagaimana William boleh hilang?


Oleh : ABD JALIL ALI

Sehingga  semalam (23 Januari 2013), budak lelaki berusia enam tahun itu belum dapat dikesan.  Saya percaya semua orang yang waras, tidak kira bangsa dan agama, pasti mendoakan si comel berwajah pintar itu berada dalam keadaan selamat.

Usah kira dia anak siapa, marilah kita sama-sama membantu mencari William Yau Zhen Zhong, dan membawanya ke pangkuan keluarga. Sekiranya ada maklumat, lebih-lebih lagi terlihat kelibatnya di mana-mana, laporkan ke balai polis berdekatan, atau telefon 03-56319800.

Anak kedua dari tiga beradik itu hilang Rabu lalu di Putra Heights, Subang Jaya. Menurut polis, seperti yang dilaporkan media, ada pihak yang membuat panggilan (telefon) dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Tetapi apabila ditanya berhubung kanak-kanak itu, panggilan dimatikan dan disusuli pula SMS yang mengatakan mereka berbuat demikian “hanya sekadar main-main”. Sesetengah orang kita memang tidak berhati perut, perkara sedih seperti ini pun dibuat gurauan!

Tentu sekali orang yang paling berduka nestapa – tidak lalu makan, tidak lena tidur – ialah ibu bapa kanak-kanak tersebut. Mereka menyesal atas kesilapan yang dilakukan pada hari malang itu.

Kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kata pepatah lagi, malang tidak berbau. Sebab itu kita patut selalu beringat dan berwaspada. Tetapi, ada ketikanya kita alpa. Selalu juga kita dalam keadaan selesa, macam tidak ada apa-apa, atau kata mat salih take things for granted.

William bersama abangnya berusia tujuh tahun dan adik perempuannya yang baru berusia setahun, ditinggalkan dalam kereta dengan cermin tingkap terbuka, kira-kira jam 8.30 malam. Kedua-dua  ibu bapanya keluar untuk membeli mesin basuh di sebuah kedai elektrik.

Menurut cerita si abang, adiknya keluar untuk mencari ibu dan bapa sebab si bayi yang baru berusia setahun itu menangis. Tidaklah dapat dipastikan ke mana William pergi, atau ke mana dia dibawa. Yang pasti dia tidak kelihatan sehingga hari ini.

Bayangkan, tiga kanak-kanak yang masih hingusan, termasuk seorang yang baru berusia setahun, dibiarkan dalam kereta. Tanpa pengawasan orang tua. Dengan cermin tingkap terbuka. Dan, pada waktu malam pula!

Kalau pun semuanya tidak keluar dan duduk dalam kereta, pelbagai musibah boleh terjadi. Mungkin ada perompak membuka kereta dan mencuri barang-barang berharga. Mungkin ada orang jahat yang sengaja hendak mencederakan budak-budak tersebut. Malah, mungkin ada yang melarikan bayi berkenaan.

Tetapi, ini bukan kali pertama kita mendengar kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta. Sudah selalu sangat kita membaca kisah seperti ini. Ada ayah membeli rokok dan meninggalkan anak kecil dalam kenderaan yang enjinnya tidak dimatikan. Ada ibu membeli minuman dan membiarkan anak kecil terkoteng-koteng dalam kereta.

Pernah juga kita membaca kanak-kanak yang dibiarkan dalam kenderaan dengan enjin tidak dimatikan, dilarikan oleh penjenayah yang mencuri kenderaan tersebut. Kanak-kanak malang itu akhirnya didamparkan di tempat lain, tetapi kenderaan tidak ditemui.

Ada juga cerita kanak-kanak terkunci  di dalam kereta ketika ditinggalkan bersendirian semasa ibunya keluar sebentar untuk membeli barang di kedai. Cemas sekampung melihat kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa itu menangis dan menggelepar kerana terkurung dalam kereta. Malah, tidak lama dulu, ada kanak-kanak mati kepanasan gara-gara ditinggalkan oleh keluarganya bersendirian di dalam kereta!

Tetapi cerita-cerita cemas, mendebarkan lagi menyayat perasaan itu tidak pernah mengajar kita. Orang kita tidak serik-serik mengulang benda yang sama. Sesetengah ibu bapa menganggap anak-anak boleh ditinggalkan sekejap dalam kenderaan, termasuk yang injinnya dan alat pendingin udara sengaja tidak dimatikan.

Kenderaan, tidak kira semahal dan secanggih mana, bukanlah tempat yang selamat untuk meninggalkan kanak-kanak walaupun hanya seminit dua. Sebab kecelakaan boleh terjadi dalam sesaat.

Memang malang tidak berbau. Tetapi patut juga ditanya – secara jujur tanpa prejudis – di mana keprihatinan kita sebagai ibu bapa?


*Nota Hujung :  Pada 25 Januari 2013, mayat William Yau Zhen Zhong (berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh ibu dan ayahnya); ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang iaitu sejauh 30 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang. namun misteri kematiannya masih menjadi persoalan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Rasulullah pendidik unggul


Oleh : Asri Md Saman @ Osman
 
Guru patut contohi cara Baginda SAW tangani masalah secara berhemah

Rasulullah SAW seorang pendidik yang cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.

Dicontohi sepanjang zaman

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi dan diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa ayat dalam al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.

Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan yang telah mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, (berjuang) menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)

Selain nas al-Quran, Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang guru (pendidik manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”

Berpandangan jauh

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah janganlah kita bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh yang seharusnya diikuti oleh guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar kita perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru akan menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Proses pengajaran

Ini menjelaskan kepada kita proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti pengajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 24 Januari 2013

Cara membuktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W.




Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati. Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan Nabi-Nya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat patuh kepada yang dikasihinya.”

Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi  Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabi Muhammad SAW, mengamalkan Sunnah Baginda SAW, menurut perkataan dan perbuatan Baginda  SAW dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhan Baginda SAW dan menjauhi larangan Baginda SAW. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabat Baginda!” Setiba mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri Baginda SAW dan suruhan Baginda SAW termasuk memuliakan Baginda  ketika menyebut nama Baginda. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengan Baginda.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalah baginda dan sunnah yang dibawa oleh baginda. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperoleh dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunan Baginda daripada  kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabat Baginda  yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnah Baginda,  tidak melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah SWT menjelaskan : Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umat Baginda SAW dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

Oleh : Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

ISU SOSIAL : Polis bongkar sindiket jual bayi, kanak-kanak


GEORGE TOWN, 24 Jan. - Polis membongkar sidiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Mereka yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.

Kami percaya lapan bayi seawal usia dua bulan dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang diselamatkan itu adalah untuk dijual," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai operasi dan lokasi serbuan kerana kes itu masih disiasat.

Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

“Polis merampas lima keping MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 rekod perubatan dan kesemuanya adalah dokumen asli serta wang tunai sebanyak RM15,000," katanya.

Abdul Rahim berkata, tujuh daripada bayi yang diselamatkan itu dipercayai rakyat Thailand, manakala yang lain campuran Bangladesh dan Indonesia serta seorang rakyat tempatan.

Kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah seliaan polis.

Beliau berkata, sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka. - BERNAMA