Selasa, 19 Februari 2013

ISU KENEGARAAN : Keperluan menghayati semula Rukun Negara


 Oleh :  Ku Amirul Faiz Ku Seman

BERMULA sejak di bangku sekolah rendah kita diasuh membaca ikrar Rukun Negara dalam majlis-majlis rasmi. Namun persoalan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini wujudkah kefahaman tentang Rukun Negara yang dibaca?

Rukun Negara lahir atas inisiatif Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1970.

Rukun Negara lahir sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-13 untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawasanya mereka hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu menghormati antara satu sama lain.

Dimulakan dengan kepercayaan kepada Tuhan, menuntut rakyat Malaysia untuk mempunyai agama serta pegangan. Waima di dalam Perlembagaan Malaysia, walaupun agama Islam diangkat sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di artikel 3, ia masih memberikan peluang dan ruang seluas-luasnya untuk rakyat yang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing.

Jika disoal usaha kerajaan dalam memelihara isu agama ini saya berpendapat, usaha yang serius telah dilakukan dalam memelihara hubungan antara penganut semua agama. Selain perayaan orang Islam, perayaan agama lain seperti Wesak, Thaipusam, hari Natal juga diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan.

Namun begitu dalam kebebasan beragama, semua pihak harus akur mereka hidup dalam keadaan yang berbeza agama dan kaum. Persoalannya kini, dengan segala jenis ancaman liberalisme, masyarakat Malaysia dilihat seperti terjebak dengan budaya hedonisme dan perlakuan seks yang tidak normal. Kita percaya bahawa setiap agama yang ada tidak pernah membenarkannya perilaku seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diamalkan penganutnya. Sungguh malang apabila anak muda Malaysia kini lebih cenderung menerima LGBT dan budaya hedonisme dalam kamus hidup harian mereka.

Ikrar yang kedua di dalam rukun negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Dalam sistem raja berperlembagaan, rakyat perlu faham peranan serta kedudukan raja-raja Melayu. Kedudukan raja-raja adalah hasil daripada sejarah yang meletakkan raja atau sultan sebagai ketua negeri. Justeru seandainya wujud penghayatan yang mendalam terhadap Rukun Negara, kita berupaya untuk menangkis segala bentuk ancaman terhadap institusi diraja.

Selain itu, tujuh wasiat raja-raja Melayu perlu difahami supaya semangat yang terbentuk ketika menuntut kemerdekaan dahulu dapat terus dipelihara. Sultan serta Raja menjadi lambang perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.

Justeru institusi raja harus bebas daripada tohmahan dan serangan daripada mana-mana  pihak yang berniat mala fide untuk memberikan pandangan negatif terhadap institusi ini. Tambahan lagi, pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara terdapat di dalam artikel 32 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Elemen ketiga yang diikrarkan ialah keluhuran Perlembagaan. Artikel 4 di dalam Perlembagaan meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam erti kata yang mudah, apa sahaja yang bercanggah atau percubaan mencipta polisi atau undang-undang yang bercanggah adalah terbatal. Justeru ia mendidik supaya kita bukan sahaja menghormati Perlembagaan malah memahami sejarah di sebalik Perlembagaan.

Apabila ada pihak yang cuba mempersoalkan isu Perlembagaan seperti Artikel 153, keistimewaan Melayu dan bumiputera, ia dibimbangi  akan menyebabkan berlakunya ketegangan kaum. Oleh itu semua  pemimpin tanpa mengira fahaman politik harus menghormati perkara yang termaktub dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Seterusnya ialah kedaulatan undang-undang. Suasana di Malaysia agak menarik untuk kita membahaskan  tentang kedaulatan undang-undang. Persepsi ketidakadilan kehakiman yang dilontarkan oleh  pihak tertentu di dalam kes berprofil tinggi meletakkan seolah-olah undang-undang itu tidak dimartabatkan. Sedangkan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah boleh dirayu untuk mempersoalkan keadilannya. Ia mesti dilakukan di mahkamah dan bukan di jalan raya. Persepsi hakim dibeli dan mahkamah tidak adil memburukkan lagi imej Malaysia serta perjalanan keadilan.

Rakyat sebenarnya melihat dan akur bahawa mutu keadilan mahkamah diperlihatkan dalam isu liwat pemimpin politik serta isu rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaan. Sayap kehakiman tidak seharusnya ditarik ke kancah permainan politik dan harus terus dihormati.

Terakhir yang disenaraikan dalam rukun negara ialah kesopanan dan kesusilaan., Isu kesopanan dan adab menjadi satu isu yang kritikal. Tingkah laku dan hujah parti politik yang bersifat lebih kepada emosional berbanding fakta membawa pada satu petunjuk inikah anak muda Malaysia.

Dalam dunia mahasiswa, hujah yang dilontarkan oleh pihak yang tidak bersetuju selalunya bersifat cemuhan dan makian. Tindak tanduk anak muda yang gagal beradab membawa kepada persepsi anak muda yang ganas, dan bersifat paranoid. Makian dan melabel di laman sosial menunjukkan kualiti pemikiran anak muda yang gagal berfikir secara intelektual.

Maka usahlah kita terkejut seandainya apabila Malaysia mencapai status negara maju, anak muda masih di peringkat kelas ketiga kerana terikut-ikut dengan beberapa pemimpin parti politik yang memaki hamun, memfitnah dan mengherdik pihak lawan.

Rukun Negara yang diilhamkan sebenarnya mempunyai satu asas kenegaraan yang sangat menarik. Ia meletakkan agama di peringkat tertinggi. Sebabnya tanpa kepercayaan kepada agama, tidak akan ada kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan dan undang-undang apatah lagi kesopanan dan kesusilaan.

Kita berbalik kepada firman Allah di dalam surah An nisa ayat 59, ' Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan ‘ulil-Amri’ daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar-benar  beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya’. Rukun Negara adalah sumpah ikrar kita selaku warganegara Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia dan juga Setiausaha Agung Jemaah YDP IPT Kebangsaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Kesan psikologi 9/11 terhadap ekonomi, rakyat AS



Oleh : Akhbar Satar 

Pemeriksaan ketat punca penumpang, pelancong berkurangan 6 peratus

Peristiwa 9/11 mengejutkan dunia dan menyimpan misteri yang tidak terduga. Kejadian itu juga menyebabkan rakyat Amerika Syarikat (AS) berada dalam ketakutan, huru-hara, kebimbangan dan fobia terutama apabila membabitkan penerbangan.

Ia berlaku pada 11 September 2001 apabila empat pesawat penumpang dirampas di AS. Dua pesawat berkenaan dilencongkan untuk melanggar menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan sebuah lagi bangunan Pentagon. Sebuah lagi pesawat pula dipintas dan ditembak jatuh di Shanksville, Pennsylvania ketika menuju US Capitol di Washington DC.

Ada pandangan menyatakan serangan itu adalah peperangan ekonomi dan berjaya menggoncangkan ekonomi AS. Jumlah kematian akibat serangan itu ialah 2,977 orang termasuk 246 dalam empat pesawat berkenaan, lebih besar daripada jumlah kematian akibat serangan di Pearl Harbor iaitu seramai 2,369 orang pada 26 November 1941.

Serangan itu adalah bencana dan malapetaka paling buruk selepas Perang Dunia Kedua dan mengakibatkan kerosakan fizikal AS$55 bilion dan menjejaskan ekonomi AS sehingga AS$123 bilion. Sejak itu, AS berbelanja lebih daripada AS$7.6 trilion dalam bentuk peralatan ketenteraan dan inisiatif keselamatan negara.

Pemeriksaan ketat

Penulis yang baru kembali dari AS dapat merasai pengalaman melalui pemeriksaan keselamatan sangat ketat di setiap lapangan terbang di negara itu termasuk Lapangan Terbang JF Kennedy. Malah, sebahagian besar rakyat AS kurang selesa kerana terpaksa melalui pemeriksaan sangat ketat, mengambil masa lama, membosankan serta menjejaskan emosi dan mental.

Kebiasaannya, apa yang perlu dilakukan setiap penumpang ialah memasukkan semua bagasi, menanggalkan tali pinggang, membuka kasut dan mengosongkan poket seluar atau baju dan memasukkan semua itu ke dalam bekas untuk melalui mesin pengimbas. Penumpang pula dikehendaki melalui pengimbas khas menggunakan teknologi gelombang milimeter bagi mengesan sebarang objek tajam atau logam.

Bagi pemeriksaan kedua, penumpang perlu memasuki ruang kaca khas mengandungi mesin pengimbas tubuh menggunakan sinar X sambil mengangkat kedua belah tangan untuk mengesan sama ada cecair, komponen alat letupan yang diubah suai serta senjata bukan logam yang mungkin ada di badan atau di sebalik pakaian penumpang.

Prosedur itu bagi mengelakkan cubaan mengebom pesawat seperti cuba dilakukan seorang lelaki Nigeria yang menyembunyikan bahan letupan dalam seluar dalamnya.

Selepas pemeriksaan tahap kedua, penumpang yang disyaki akan diperiksa sekali lagi menggunakan alat pengesan logam bagi memastikan tidak ada peralatan logam yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan.

Bagi wanita yang bertudung, mereka dikehendaki melalui satu lagi pemeriksaan khusus. Penumpang dikehendaki meletakkan kedua tapak tangan di bahagian hadapan, tengah dan belakang kepala. Selepas itu kedua tapak tangan akan disapukan bahan kimia sebelum ditekap kepada sehelai kain yang akan diletakkan di bawah cahaya mesin pengimbas khas bagi mengesan sebarang bahan berbahaya.

 Penumpang bagai tak berpakaian

Penggunaan alat pengimbas tubuh di lapangan terbang di Amerika Syarikat mendapat bantahan kerana mesin pengimbas itu mampu melihat tubuh penumpang seolah-olah mereka tidak berpakaian. Bagaimanapun, ia masih digunakan pada hampir 75 lapangan terbang di Amerika Syarikat. Penumpang yang tidak mahu melalui mesin pengimbas ini akan dihalang daripada menaiki pesawat.

Kesatuan Eropah pula menentang dan tidak meluluskan penggunaan mesin pengimbas itu di lapangan terbang kerana ia melanggar hak asasi manusia. Dr David Brenner berkata kesan sinar X dipercayai mengandungi 20 kali ganda tahap radiasi dan berisiko menyebabkan kanser kulit. Bagaimanapun sebilangan penumpang bersetuju kerana tahap keselamatan ketat mampu menjamin keselamatan mereka.

Pemeriksaan ketat dan menghabiskan masa terlalu lama di lapangan terbang menyebabkan jumlah penumpang berkurangan enam peratus. Garrick Blalock berpendapat, industri penerbangan kerugian AS$1.1 trilion dan sembilan peratus daripada jumlah itu disebabkan Peristiwa 9/11. Kini ramai rakyat Amerika lebih selesa dan selamat untuk memandu dari satu destinasi ke destinasi lain.

Peristiwa 9/11 memberi kesan mendalam terhadap rakyat dan pentadbiran Amerika Syarikat sehingga mereka terpaksa banyak berbelanja serta mencipta pelbagai kaedah untuk meningkatkan tahap keselamatan, terutama di lapangan terbang. Malah, rakyatnya pula menanggung kesan keselamatan psikologi serta trauma berterusan dan hidup dalam ketakutan hingga hari ini.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti Help

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Komunikasi berkesan elak prejudis


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW


HARI Kekasih pada 14 Februari telah berlalu dengan pelbagai cara yang diraikan oleh pasangan masing-masing. Ada yang melamar pada hari itu ataupun memberi bunga, hadiah dan makan malam yang istimewa. Harga bunga mawar menjadi dua atau tiga kali ganda. Namun bagi masyarakat Islam, Hari Kekasih adalah haram diraikan.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang tidak perlu ditunjukkan hanya pada Hari Kekasih sahaja kerana setiap hari setiap pasangan perlu menitikberatkan soal hati dan perasaan dengan wujudnya komunikasi yang berkesan. Apatah lagi jika sudah lama berkahwin maka suntikan kasih sayang semakin berkurangan.

Komunikasi yang berkesan akan berlaku jika mesej yang disampaikan oleh si penyampai dapat diterima dan difahami oleh si penerima dengan jelas. Persefahaman menjadi faktor yang mendorong dalam meningkatkan hubungan yang baik antara mereka yang terlibat dan dapat mengelakkan prejudis.

Komunikasi yang lemah juga penyumbang kepada segala konflik kehidupan apabila pasangan yang banyak berdiam diri dan malas berkomunikasi. Namun jika berlaku salah komunikasi ia mungkin membawa akibat lebih teruk daripada kurang berkomunikasi atau tidak ada komunikasi.

Pada Hari Kekasih, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan di Bukit Mertajam apabila mangsa, Tan Ching Chin ditikam di perut sebanyak tiga kali oleh kekasihnya kerana dikatakan cemburu.

Kita tidak tahu punca sebenar yang dikatakan berlaku pertengkaran sehingga kekasihnya turut menikam diri sendiri. Adakah ini berlaku kerana komunikasi yang tidak berkesan atau cemburu buta dengan perasaan marah meluap-luap apabila terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup membunuh?

Masyarakat merupakan salah satu ruang lingkup daripada sosiologi komunikasi. Menurut Ralph Linton, masyarakat difahami sebagai sekelompok manusia yang hidup dan bekerjasama cukup lama, sehingga mereka dapat mengatur diri mereka dan menganggap diri mereka sebagai suatu kesatuan sosial dengan batas-batas yang dirumuskan dengan jelas.

Pada pandangan Selo Soemardja pula, masyarakat ialah orang yang hidup bersama, yang menghasilkan kebudayaan dan masyarakat itu terdiri daripada kumpulan orang yang hidup berdampingan dan hidup bersama dalam suatu wilayah dan terikat oleh aturan-aturan atau norma-norma sosial yang mereka tentukan dan taati.

Penggunaan bahasa yang bersesuaian adalah amat penting dan bahasa yang indah harus digunakan di dalam komunikasi kita setiap hari. Bahasa yang terbaik ialah bahasa yang diselang seli dengan nilai dan budaya dan penuh dengan ciri-ciri ketamadunan.

Berkomunikasi dengan menunjukkan isyarat tidak digalakkan kerana dengan ekspresi wajah dan bahasa tubuh badan akan menimbulkan persepsi yang berbeza. Salah faham sama ada disengajakan atau tidak sengaja tetap membawa kepada satu prejudis.

Ketamadunan amat penting dalam kehidupan dan kita tidak mahu insiden yang berlaku baru-baru ini berulang apabila seorang lelaki berbangsa Cina dilaporkan telah menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dengan menunjukkan isyarat lucah.

Leong Pei Koe dikatakan tidak sengaja kerana bertengkar dengan bapanya dan telah melakukan perbuatan biadab itu ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah Haminah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Akhirnya, Leong yang berumur 29 tahun dipenjara sebulan dan denda RM8,000.

Berkomunikasi dari hati ke hati dan menyentuh hati dengan gurau senda akan mengelakkan penceraian daripada terus meningkat. Rakan-rakan saya menyuarakan rasa hati mereka yang memberitahu jika mereka banyak bersuara dan berkata-kata akan disalah tafsir oleh pasangan termasuk mertua dan saudara mara akhirnya menjadi kontroversi makan hati. Maka, diam adalah yang terbaik dalam kehidupan kini.

Betulkah jika komunikasi semakin berkurangan dan ramai yang sibuk dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit atau menghantar email sahaja dianggap lebih mudah untuk berkomunikasi sehingga bercerai pun hanya dengan SMS?

Punca yang pertama adalah kelemahan dalam berkomunikasi sesama pasangan dan ini merupakan salah satu punca dan faktor berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri yang paling utama.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit dalam kalangan umat Islam. Komunikasi tidak berkesan boleh mengundang salah faham.

Ini akan membuatkan sama ada salahsatu pihak kurang jelas serta kurang faham apa yang disampaikan oleh satu pihak lagi. Seterusnya membuatkan tafsiran tepat atau pemberian output ketika berkomunikasi itu tidak seperti yang dimaksudkan oleh pemberi mesej. Dalam erti kata lain, "lain yang dicakap, lain yang difaham" dan "lain niat di hati, lain pula persepsi yang diberi".

Penghargaan dalam komunikasi amat berkesan jika diteruskan dengan memberi hadiah, kad ucapan, membalas pemberian, mengucapkan tahniah, memuji kejayaan, menunaikan janji dan sebagainya. Dengan menghargai orang lain, kita telah menanam kasih sayang kita terhadap kepercayaan akan terbina sedikit demi sedikit.

Komunikasi yang berkesan tidak perlu menyebut "listen, listen, listen" berulang kali jika kita ingin menarik perhatian hadirin kerana jika kita bercakap dengan fakta yang betul dan bernas semestinya anak-anak buah kita akan mendengar dengan penuh ikhlas.

Menghormati tidak semestinya kepada yang lebih tua tetapi golongan muda ingin dihormati jua. Mesej yang disampai dengan baik akan diterima dengan hati terbuka oleh semua jika caranya dengan komunikasi berkesan dan hormat-menghormati. Salam Chap Goh Mei untuk semua menandakan berakhirnya Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Pandelela Dinobat Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2012

Pandalela Rinong
KEJAYAAN meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London tahun lalu membolehkan Pandelela Rinong dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2012 hari ini.

Ratu terjun negara berketurunan Bidayuh itu berjaya mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor tanah air seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Syafiq Ridwan Abdul Malik (tenpin boling).

Buat julung kalinya, dua atlet paralimpik iaitu Hasihin Sanawi (memanah) dan Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru) turut dicalon bagi merebut anugerah berkenaan.

Kejayaan itu membolehkan Pandelela membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selain trofi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam rakaman video yang disiarkan pada majlis itu, Pandelela berkata: "Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya dan tidak lupa kepada kedua-dua ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi semangat kepada saya sebelum ini.

"Diharapkan anugerah yang saya terima hari ini menjadi pendorong kepada saya dan atlet lain untuk terus mengejar kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Pemenang pingat gangsa acara 10 meter platform individu wanita pada Sukan Olimpik London itu memohon maaf kerana tidak dapat menyertai majlis hari ini kerana menjalani latihan di China.

Olahragawati Kebangsaan 2011 itu meraih pingat perak pada Kejohanan Terjun Dunia di Moscow, Rusia pada 2011 dan gangsa dalam acara sama pada Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzhen, China.

Sementara itu, pemanah remaja kebangsaan, Haziq Kamaruddin dijulang sebagai pemenang Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2012 manakala pelumba Moto3 GP Zulfahmi Khairuddin menerima Anugerah 'Outdo Yourself 100Plus' atas prestasi cemerlangnya meraih tempat kedua pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2012.

Zulfahmi turut mencatat kemenangan podium dengan menduduki tempat ketiga dalam pusingan akhir saingan Moto3 GP di Valencia, Sepanyol pada tahun lepas.

Wartawan Sukan akhbar The Star, Rajes Paul meraih anugerah utama Kewartawanan Sukan SAM-KBS 2012 dan menerima wang tunai RM7,000 berserta piala. - Bernama

Isnin, 18 Februari 2013

ISU SOSIAL : Apabila kasih sayang sudah 'mati' dalam diri


Oleh :  Mohd Ali Muhamad Don 

Jenayah buang bayi yang tiada kesudahan adalah gambaran nilai kasih sayang seorang ibu terhadap bayi darah dagingnya sendiri sudah lenyap sehingga tergamak ditinggalkan sendirian sambil mengharap ada yang akan menyelamatkannya.

Malah hari ini ia bukan lagi suatu isu yang menggemparkan kerana masyarakat sudah terbiasa dengan paparan media massa berkaitan pembuangan bayi.

Dari sudut lain, terdapat segelintir anak yang sanggup membiarkan ibu atau bapa kandungnya berkeliaran sebagai gelandangan jalanan tanpa belaian kasih sayang anak sendiri. Segala pengorbanan masa, tenaga, dan wang ringgit yang pernah dicurahkan bagi membesarkan anak sedikit pun tidak dihargai.

Akhirnya golongan ini menghabiskan sisa hidup dalam kesedihan tanpa rumah, pakaian dan makanan yang mencukupi. Lebih daripada itu, keinginan mereka untuk mengabdikan diri kepada Ilahi dengan memperbanyak ibadat di penghujung usianya juga tidak kesampaian akibat diabaikan anak yang kemungkinan telah berjaya dalam kehidupannya.

Anak sepatutnya berbuat baik dan berlaku ihsan kepada ibu bapa terutama ketika mereka menginjak usia tua. Dalam hal ini anak yang soleh pasti tidak lupa untuk sentiasa menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada kedua orang tuanya yang sudah meninggal dunia.

Allah SWT berfirman: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada- Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Nilai kasih sayang dalam masyarakat yang bersifat materialistik dewasa ini juga semakin hari semakin luntur. Suami dan isteri sering bergaduh sesama sendiri, hingga bercerai-berai dan anak terbiar tanpa kasih sayang.

Antara jiran tetangga juga hilang semangat kejiranan yang bertitik tolak daripada nilai kasih sayang serta saling menghormati hingga ada yang bermasam muka dan langsung tidak bertegur sapa.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara pula nilai persefahaman serta toleransi juga mula pudar. Malah terdapat segelintir yang mengambil ke sempatan menangguk di air keruh dengan mencampuri urusan agama lain yang tidak diketahui motif sebenarnya.

Ketiadaan nilai kasih sayang dalam kehidupan kini mencapai kemuncaknya apabila haiwan juga turut menerima akibatnya. Ini dapat diperhatikan kepada sekumpulan 13 ekor gajah Pigmy di Borneo yang mati bergelimpangan akibat keracunan.

Apa pun alasannya manusia sepatutnya lebih bertolak ansur dengan alam sekeliling supaya semua makhluk dapat hidup harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Justeru, nilai kasih sayang perlu dipupuk dan dibaja setiap hari. Melalui perasaan kasih sayang akan lahir rasa hormat-menghormati serta menghargai sesama insan dan makhluk Allah yang lainnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : PABM Wadah martabatkan bahasa Melayu

Para peserta PABM 2013 bergambar  bersama  Datin Seri Rosmah
PUTRAJAYA 18 Feb. - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 mampu menjadi platform untuk mengangkat bahasa nusantara itu ke persada dunia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, melalui PABM, bahasa Melayu dapat 'dieksport' dan diperkembang menggunakan saluran formal di institusi-institusi pengajian tinggi utama seluruh dunia.

Katanya, matlamat utama acara tahunan terulung sejak 2007 adalah untuk memartabatkan citra negara bangsa dan kedaulatan bahasa Melayu, justeru penganjuran PABM mesti diteruskan demi kelangsungan bahasa tersebut.

"Perdana Menteri semasa mencetuskan idea pertandingan ini mahu melihat satu usaha berterusan dijalankan bagi mengumpulkan para pelajar yang mendalami ilmu bahasa Melayu dari segenap penjuru dunia.

"Mereka seterusnya akan beradu kekuatan minda, bertanding bagi memilih seorang peserta yang terhebat untuk dinobatkan sebagai pemidato terbaik dalam bahasa Melayu di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Resepsi PABM di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Pengajian Tinggi, Datin Seri Rosni Omar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chong.

Rosmah berkata, bahasa Melayu pada masa kini semakin berkembang maju dan menjadi salah satu bahasa asing yang diminati di kebanyakan universiti terkemuka dunia.

"Bahasa Melayu juga sejak kebelakangan ini menjadi salah satu bahasa yang diminati untuk dipelajari khususnya di China, Korea Selatan, dan Jepun.

"Ini mungkin berpunca daripada pembangunan pesat sektor ekonomi negara di rantau Asia, di samping itu sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara iaitu kira-kira 300 juta orang adalah penutur asli bahasa Melayu," katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan keyakinan penganjuran PABM dapat menjadi wadah bagi kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui bidang pengucapan awam.

"Selain itu, PABM juga mampu untuk memberi kesedaran dan keyakinan kepada orang Melayu itu sendiri bahawa bahasa Melayu masih dominan dan relevan walau di mana jua dan apa jua keadaan sekali pun," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nota Hujung :

TAJUK - TAJUK PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM) 2013 :

1. Malaysia Di Hatiku
2. Kesukarelawanan Melahirkan Keperibadian Murni
3. Uniknya Budaya Malaysia
4. Malaysia Hab Pengajian Tinggi Antarabangsa
5. Kesederhanaan Malaysia Contoh Terbaik Dunia
6. Belia Cerminan Keunggulan Negara
7. Kelestarian Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.
8. Keamanan Sejagat Keutamaan Kita
9. Persefahaman Membentuk Keamanan Dunia
10. Budaya Wadah Perpaduan Antara Negara
11. Inovasi dan Kreativiti Asas Kemajuan Negara
12. Transformasi Minda Tonggak Kegemilangan Negara

ISU SOSIAL : Muflis Pada Usia Muda

Dibelenggu Bebanan Hutang
MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi yang sama.

Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.

Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin ‘menipis’ dalam simpanan.

“Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar,” ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian golongan muda masa kini.

Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.

Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain.

“Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum,” jelasnya.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.

Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.

Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999.

Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.

Urus kewangan

Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat?

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan.

“Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.

“Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.

“Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.

“Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan,” jelas Mohd. Fauzi.

Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.

Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.

Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.

“Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini,” ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011.

“Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika membeli-belah.

“Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja,” keluh Saida.

Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya.

Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya.

“Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun,” ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Penyelarasan

Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41.

“Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” ujarnya.

Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan mengikuti proram-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit.

“Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit,” ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.

Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah mengikuti program tersebut.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/