Sabtu, 23 Februari 2013

ISU PEMERDAGANGAN ORANG : 21 bayi diselamat


Oleh : MOHD. FIRDAUS ISMAIL

PULAU PINANG 22 Feb. - Kecekapan polis mengesan sindiket penjualan bayi melalui ‘Ops Pintas Sayang 2’ yang dilancarkan di seluruh negara semalam, berjaya menyelamatkan 21 bayi dan kanak-kanak daripada menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia.

Dalam operasi dijalankan secara serentak pada pukul 11 malam tadi di tujuh negeri itu, polis turut memberkas 43 individu disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan dalam proses untuk dijual dan sindiket mampu mengaut keuntungan mencecah lebih RM600,000 hasil urus niaga tersebut.

Beliau berkata, dalam operasi tersebut, polis berjaya menemukan tujuh bayi di Selangor dan masing-masing tiga bayi di Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

“Baki lima bayi diselamatkan di Pulau Pinang, Pahang dan Negeri Sembilan tetapi polis mengesan tiga lagi bayi telah dibawa ke Singapura, Indonesia dan Kanada.

“Bayi yang diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki dan 11 perempuan dengan 20 orang berusia bawah setahun dan seorang berusia sembilan tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Pada Januari lalu, polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket penjualan bayi membabitkan nilai RM300,000 setelah menangkap 33 individu disyaki anggota kumpulan sama yang ditahan malam tadi dan menyelamatkan sembilan bayi.

Menurut Abdul Rahim, sebanyak 43 individu ditangkap, terdiri daripada 19 lelaki dan selebihnya wanita termasuk masing-masing seorang rakyat Singapura dan Indonesia yang berusia 27 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan kali ini dijual dengan harga RM18,000 hingga RM38,000 seorang.

Katanya, ibu bayi pula diberikan bayaran antara RM2,500 dan RM4,000.

“Hasil siasatan dipercayai sindiket tersebut merupakan saki baki kumpulan pertama yang ditumpaskan dalam ‘Ops Pintas Sayang 1’ pada Januari lalu.

“Kita akan teruskan operasi sama dalam masa terdekat ini bagi mengesan saki baki anggota sindiket yang masih bebas dan menyelamatkan bayi-bayi lain jika ada," katanya.

Abdul Rahim berkata, bagi mengesan bayi yang kini berada di Singapura, Kanada dan Indonesia, pihaknya akan bekerjasama dengan Interpol.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus SPM?

KOTA KINABALU - Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.

"Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini hari ini.

Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu "guru yang opsyennya bahasa Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai bahasa Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini".

"Begitu juga dengan bidang Sains, Matematik dan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu kita tidak boleh abaikan. Bidang-bidang seperti ini kita harap akan diberi perhatian," katanya.

Muhyiddin berkata dalam Pelan Pendidikan Negara yang dimulakan sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan murah hati menyediakan peruntukan RM500 juta untuk digunakan bagi melatih guru dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Yang ini kita akan utamakan sebelum yang lain kita laksanakan dalam tempoh akan datang. Maka inilah cabaran besar yang saudara Guru Muda 1Malaysia harus pikul.

"Yang nak tentukan sama ada sistem kita ini berjaya bergantung kepada guru muda. Saya harap perhimpunan ini tidak terhenti di sini sahaja, kita akan teruskan, bagaimana nak teruskan kita akan bincangkan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada kepimpinan Kementerian Pelajaran berinteraksi dengan guru muda yang  berkhidmat di kementerian. Katanya sekitar 49.5 peratus daripada tenaga guru di seluruh negara adalah mereka yang berusia antara 21 dan 35 tahun, dan ini bermakna kumpulan itu agak besar dan berperanan penting dalam menentukan kejayaan sistem pendidikan negara terutama membimbing anak-anak menjadi generasi berilmu dan berpengetahuan.

"Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan, dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan  generasi  masyarakat Malaysia yang terdidik akan tercapai.

"Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk ke  ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri," katanya.

Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi hasrat tersebut akan lebih mudah untuk dicapai kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik.

"Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya tidak berapa ramai tetapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya memerlukan suatu usaha yang lebih.

"Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar biasa," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing negara ini dalam arena pendidikan.

"Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak negara mencuba menjadi negara yang berjaya dalam bidang pendidikan tetapi sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.

"Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat  serta mahu bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mestilah  sistem yang terbaik," katanya. - Bernama

Jumaat, 22 Februari 2013

ISU BAHASA : Panama Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu


PUTRAJAYA 22 Feb. - Peserta Panama, Derrick Fernando Jaramillo dinobatkan juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi Kategori Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Peserta dari Malaysia, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli pula muncul juara Kategori Nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta itu.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis tersebut.

Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM21,700, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan sijil.

Naib johan Kategori Antarabangsa dimenangi peserta dari China, Zhang Yaqi manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Jordan, Abdel Rahman Ibrahim Sulieman.

Bagi Kategori Nusantara, peserta Indonesia, Muhammad Zulfadhli Razali memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh kepada Adi Ismat Lamat dari Brunei.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500 dan RM9,300 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Pertandingan peringkat akhir malam ini menyaksikan lapan peserta iaitu dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Panama, China, Jordan, Afghanistan dan Jerman mempamerkan kemahiran berpidato masing-masing.

PABM edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan seramai 77 peserta daripada 72 negara. - UTUSAN

ISU BAHASA : Kerajaan Akan Terus Perkasa Bahasa Melayu

Peserta Pidato Yang Bertanding di Peringkat Akhir

PUTRAJAYA : Kerajaan akan terus memperkasa Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara serta alat penting bagi perpaduan nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan rakyat negara ini agar menguasai pelbagai bahasa untuk menjadi bangsa yang kompetitif dalam era globalisasi dan persaingan antarabangsa yang semakin sengit.

"Komitmen kerajaan ini dibuktikan dengan pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBBMBI) yang diperkenalkan pada tahun lalu.

"Ia jelas menzahirkan kerajaan berpegang teguh kepada dasar memartabat Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Kerajaan juga bertekad untuk terus memperkembang dan memperkasakannya ke peringkat global," katanya pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam usaha memartabat Bahasa Melayu, Najib juga mahukan potensi bahasa itu terus dipupuk dan diperteguhkan lagi dalam segenap bidang.

"Sebagai langkah permulaan, sebanyak RM5 juta telah disalurkan melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia, atau ITBM, bagi memastikan penerbitan bahan ilmu berkualiti tinggi dapat diterbitkan dalam masa yang singkat.

"Bermula April 2011, dengan berbekalkan semangat inovasi keilmuan yang dilaksanakan, sebanyak 97 judul hasil karya penulis muda tempatan telah berjaya diterbitkan," katanya.

Beliau berkata kehebatan Bahasa Melayu juga jelas terserlah dengan lebih kurang 300 juta orang penutur sekali gus menjadi bahasa kelima terbesar dunia.

"Fakta ini memberi gambaran bahawa Bahasa Melayu mempunyai pengaruh dan peranan yang cukup besar dalam mewarnai landskap pembangunan tamadun dunia," katanya. Najib juga memuji usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi yang berjaya menganjurkan pertandingan bertaraf dunia buat kali ke-7 dengan bilangan peserta terus meningkat.

"Saya dapat melihat bahawa penyertaan pertandingan ini saban tahun bertambah di mana para peserta datang dari seluruh pelosok dunia, merangkumi kesemua enam benua yang berpenghuni," katanya.

Beliau berkata sejarah membuktikan kedudukan serta peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa bermula sejak era pemerintahan Srivijaya pada abad ke-7 masihi dan berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu di Melaka, dalam tempoh beberapa ratus tahun.

"Marilah sama-sama memikir dan memulakan langkah untuk memperhebat Bahasa Melayu ke persada dunia.

"Gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada untuk mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi daripada nenek moyang kita ini kepada masyarakat dunia," katanya. -BERNAMA

ISU EKONOMI : Individu kaya di Malaysia 32,000 orang


KUALA LUMPUR - Bilangan individu kaya di Malaysia akan meningkat lebih sekali ganda daripada 32,000 orang sekarang kepada 68,000 orang pada 2015, dengan nilai bersih masing-masing meningkat sebanyak AS$140 bilion hingga AS$330 bilion.
  
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bilangan yang mengagumkan ini memberikan keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  
Beliau juga berkata, negara ini mestilah membangunkan industri pengurusan pelaburan domestiknya yang boleh mengurus bukan sahaja kekayaan domestik, malah juga kekayaan di peringkat rantau Asia Pasifik.
  
Ahmad Husni berkata, industri pengurusan kekayaan adalah sektor perkhidmatan kewangan paling pantas berkembang di Malaysia dan Asia Tenggara.
  
Dalam hubungan ini, penetapan 2013 sebagai tahun pengurusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah tepat pada masanya, kata beliau pada pelancaran Pengurusan Kekayaan Labuan IBFC 2013 hari ini.
  
Beliau berkata, inisiatif ini akan menyokong pertumbuhan industri pengurusan pelaburan domestik.
  
Mengenai perkara berkaitan, Ahmad Husni berkata, Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan tinggi tahun ini kerana  menerima banyak pelaburan.
  
"Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, pengguna domestik sebenarnya amat kukuh, sumber utama sebenarnya adalah daripada pelaburan orang ramai dan juga pelaburan kerajaan.
  
"Jadi, bagi masa depan, kita yakin kita boleh mengekalkan pertumbuhan tahun ini," kata beliau, sambil menambah bahawa kerajaan yakin dalam berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi akan berlegar sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus.  - Bernama

ISU BAHASA : Tatacara penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan


PERKATAAN sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.

Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:

1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.

    (b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.

2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.

   (b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.

3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.

   (b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.

4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.

   (b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.

   (c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.

Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.

Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.

Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:

1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..

2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.

3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.

4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.

Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.

Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.

Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.

Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:

5. Latifah rindu akan kekasihnya.

6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.

7. Rosnita merindukan kampung halamannya.

Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:

(9) *Pungguk rindukan bulan.

Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi 'akan'.

Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat

(10) Pungguk merindukan bulan.

Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.

Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.

Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:

(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.

dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.

Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:

(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.

Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah

(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.

Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.

Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:

(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.

(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.

(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.

Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.

Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Hasutan kumpulan Anglofil berbahaya


Oleh : Teo Kok Seong
 
PPPM wadah terbaik perjuang bahasa Melayu

Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dikatakan sedang diteliti oleh Majlis Raja-Raja untuk kelulusan terakhir. Sudah tentu banyak perkara yang ditimbulkan ketika pertemuan dengan orang ramai diambil kira, untuk kebaikan anak bangsa dan juga negara.

Namun, ada pihak tertentu mendakwa bidang pendidikan dipolitikkan dalam PPPM. Antaranya ialah golongan Anglofil, yakni mereka  yang amat menyanjungi budaya Inggeris. Dakwaan ini dibuat kerana dua kehendak utama mereka tidak diambil kira, iaitu penerusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pengembalian persekolahan aliran Inggeris.

Dengan tiadanya dua kehendak ini dalam PPPM, mereka menuduh kerajaan mencampuradukkan bidang pendidikan dengan politik, sebaliknya, mereka menuntut agar PPSMI bersifat bebas politik.

Sebenarnya apakah maksudnya apabila dikatakan PPPM itu dipolitikkan dan apa itu politik sebenarnya? Kalaulah politik itu dilihat sebagai usaha untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah sebaik mungkin, dari segi kebajikan dan kesejahteraan mereka, PPPM tidak boleh sama sekali dianggap bersifat politik, yakni menyebelahi satu pihak dan menindas yang lain. Ia bersifat neutral untuk kebaikan semua pihak.

Kita sebetulnya perlu lebih matang dalam hal pengurusan pendidikan negara, khususnya dari segi pembangunannya agar bukan saja berwawasan, tetapi juga beraspirasi. Dalam hal ini, bidang pendidikan kita adalah untuk mengembangkan keupayaan pelajar dari segi kecendekiaan dan lain-lain, selain menyatupadukan mereka dalam keadaan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya.

Manfaat terbesar kepada rakyat

Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan cuba mempertimbang segala kehendak rakyat. Namun, hanya yang dapat memberi manfaat terbesar kepada rakyat jelata, dimasukkan ke dalam PPPM. Bagi yang tidak dapat dimasukkan, tidak bolehlah kita mendakwa bahawa kerajaan telah mempolitikkan bidang pendidikan. Lebih rungkap lagi, golongan ini menyelar Menteri Pelajaran sebagai menyebelahi golongan nasionalis bahasa Melayu.

Sebaliknya, golongan Anglofil ini perlu menerima Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), dan bekerjasama dengan kerajaan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris di negara ini, yang juga perjuangan utama mereka.

Mereka tidak boleh terus memusuhi kerajaan dan menghasut pelbagai pihak untuk mendesak agar PPSMI dan persekolahan aliran Inggeris dikembalikan. Tindakan mereka untuk menggalakkan rakyat menyokong gabungan politik yang boleh memenuhi dua kehendak mereka itu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, adalah subversif sekali.

Hasutan di Sabah, Sarawak

Hasutan mereka agar pemimpin Sabah menuntut supaya bidang pendidikan di sana diuruskan kerajaan negeri sendiri dan bukannya oleh Kerajaan Pusat, seperti yang tertera pada Perjanjian 20 Perkara ketika Sabah menyertai Malaysia, adalah perbuatan yang betul-betul melampau. Tidak cukup dengan hasutan keji ini, golongan ini juga mengacum agar Perkara 2, iaitu bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi Sabah, yang digunakan untuk semua tujuan tanpa sebarang had masa, dilaksanakan di sana.

Golongan ini juga cuba menghasut pemimpin Sarawak untuk mendesak Kerajaan Pusat menukar semua sekolah mubaligh di sana kepada sekolah aliran Inggeris, selari dengan Perjanjian 18 Perkara ketika Sarawak menyertai Malaysia. Perkara mengenai penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di Sarawak juga diungkit golongan ini yang mahu melihat penggunaan bahasa Inggeris yang lebih dominan di seluruh Malaysia.

Sampai begitu sekali sifat dendam golongan ini terhadap kerajaan kerana bahasa Inggeris. Sehubungan itu, mereka menyalahkan tindakan kerajaan yang pada mereka boleh merugikan bangsa Melayu sendiri, yang kini adalah kelompok mahasiswa menganggur yang terbesar. Malah mereka mahu kerajaan bertanggungjawab dalam hal ini.

Sebenarnya, mereka ini yang terdiri daripada orang Melayu sendiri, lupa bahawa hanya melalui bahasa Melayu yang digunakan secara dominan dalam bidang pendidikan, wibawa bangsa Melayu itu boleh bertambah sasa. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu itu adalah sebahagian daripada orang Melayu dan adalah jati diri mereka.

Oleh itu, bahasa Melayu perlu diberi kesempatan oleh orang Melayu sendiri untuk berkembang. Untuk ini, PPPM adalah wadah terbaik yang boleh memberi dan menambah nilai kepada bahasa Melayu. Melaluinya bahasa dan budaya Melayu bukan saja boleh diperkasa tetapi lebih penting lagi dilestarikan di wilayah watannya sendiri.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/