Ahad, 31 Mac 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Program Khidmat Komuniti Satu cara tingkat motivasi pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Pembabitan mahasiswa dalam program khidmat komuniti sering kali dianggap sebagai satu pembaziran kerana impaknya dikatakan kurang terserlah.

Kerap kali juga dilabelkan sebagai program makan angin semata-mata, malah matlamat disasarkan turut dianggap gagal kerana masih tidak mampu dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa.

Penyertaan mereka dikatakan hanya bertujuan memenuhi peraturan ditetapkan institusi kerana bimbang memberi kesan kepada gred pencapaian. Justeru, apakah benar program ini gagal mencapai matlamatnya?

Pengarah Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Leftenan Kolonel Profesor Madya Dr Ahmad Ariffian Bujang berkata, bukan program berkenaan yang gagal mencapai matlamatnya tapi mahasiswa tidak pandai menggunakan peluang hingga merugikan diri sendiri.

Menurutnya, program khidmat komuniti bukan dilaksanakan untuk pembaziran, sebaliknya terkandung 1,001 manfaat bagi membantu mahasiswa melihat skop kehidupan sebenar masyarakat dari pelbagai sudut berbeza.

“Program ini besar manfaatnya terhadap pemba­ngunan diri mahasiswa. Malangnya, ia lebih cenderung dilabelkan sebagai program suka-suka yang memberi peluang ‘percuma’ untuk bersantai.

“Khidmat komuniti adalah satu tugasan untuk memberi budi kepada masyarakat, menghulurkan bantuan kepada mereka dan pada masa sama memberi bonus kepada pembangunan sahsiah mahasiswa.

“Justeru, tanggapan perlu diperbetulkan supaya mereka yang terbabit dalam program sedemikian dapat menghayati objektif mengapa ia dilaksanakan,” kata­nya.

Dr Ahmad Ariffian berkata, penganjuran khidmat komuniti kini yang semakin diperluaskan dan diberi penambahbaikan antara bukti keberkesanannya sebagai medium hubungan mahasiswa dengan realiti kehidupan masyarakat sebenar.

“Mahasiswa juga adalah satu komuniti masyarakat tapi masih ada perbezaannya jika berada dalam kampus dengan luar tembok kampus.

“Justeru, memberi pendedahan sebenar boleh membantu mereka bersedia dan membuka mata melihat realiti kehidupan sebenar.

“Jika ada yang menyatakan khidmat komuniti tidak relevan atau gagal, itu hanya persepsi. Malah syarikat besar juga melihat khidmat komuniti sebagai satu komponen penting mempertingkatkan motivasi kakitangannya,” katanya.

Beliau juga menganggap ia sebagai sebahagian proses pembelajaran yang sempurna kerana tidak diajar di dalam kuliah mahupun buku.

“Kalau selama ini mahasiswa hanya melihatnya sebagai satu teori semata-mata, khidmat komuniti memberi pengalaman berdepan secara nyata.

“Mereka boleh lihat de­ngan mata kepala sendiri bagaimana susahnya realiti kehidupan manusia di dunia ini.

“Jangan anggap khidmat komuniti sekadar syok sendiri. Apa yang anda lihat di depan mata, itulah hakikatnya,” katanya.

Program khidmat komuniti yang kini menjadi antara kepentingan utama di setiap institusi diwujudkan dengan harapan dapat membantu mahasiswa menghayati konsep tanggungjawab dengan lebih mendalam.

Menurutnya, penting bagi mereka dilengkapi dengan nilai dan unsur kemanusiaan supaya dapat meneruskan tradisi mahu memikul tang­gungjawab kepada bangsa dan negara.

“Walaupun khidmat komuniti mampu memberi nilai tambah lain seperti pembinaan kemahiran insaniah, secara halusnya menerapkan semangat menjadi lebih bertanggungjawab seperti mahu menerima arahan dan bekerjasama.

“Generasi hari ini akan diganti generasi baru. Bayang­kan jika mereka tiada langsung keinginan memikul sebarang tanggungjawab?

“Biarpun ada pihak melihatnya berdasarkan sudut tertentu saja, ‘suntikan’ khidmat komuniti sebagai wadah pembelajaran secara langsung tidak boleh dinafikan,” katanya.

Sejauh mana keberkesanan program mampu mengubah pandangan mahupun pembawaan diri mahasiswa, beliau berkata, ia subjektif namun masih mampu memberi impak seperti dikehendaki.

“Syaratnya, mereka yang mengikuti program ini benar-benar menghayati program dijalankan, bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau mempunyai maksud lain.

“Jika semua elemen itu tiada, bagilah apa jua program hatta paling hebat sekalipun, kesannya tidak kekal.

“Tapi jika ikhlas melakukannya, kesannya tetap akan muncul dan mereka mampu merasainya dengan perubahan sikap dan minda, selain dapat melihat per­spektif kehidupan dari sudut berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran, beliau mengakui program khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar negara lebih sukar.

Kesukaran itu katanya, bukan saja daripada perbezaan budaya dan penerimaan masyarakat, malah berkaitan aspek peraturan, undang-undang dan bajet.

“Khidmat komuniti tempatan biasanya lebih mudah kerana pemikiran dan budaya masih sama. Sebaliknya, luar negara banyak kerenahnya biarpun dapat berjalan melihat negara orang.

“Penyediaan peranca­ngan juga perlu lebih kompleks dan teliti. Dengan kata lain, mereka perlu bertung­kus-lumus dua kali ganda bagi menjayakannya.

“Apapun, khidmat komuniti adalah wadah terbaik untuk belajar menjadi  lebih berdisiplin, mengenali potensi dan mengubah paradigma pemikiran,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu semakin tidak lengkap?


 Oleh : Kunta Kinte
 
Penulis  sudah banyak kali menulis berkenaan bahasa Melayu. Hari ini lebih banyak orang boleh bercakap dalam bahasa Melayu tetapi bilangan pengguna bahasa Melayu yang lebih besar tidak pula bermakna mutu bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan makin tinggi.

Bilangan tidak sama dengan mutu. Atau, dalam bahasa hari ini, kuantiti tidak sama dengan kualiti. Maaf cakaplah kalau  penulis berpendapat, semakin hari semakin susah hendak mencari penutur dan penulis bahasa Melayu yang baik dan bergaya.

Tambahan lagi apabila ada orang yang pandai berbahasa, berpuisi dan berpantun seloka telah mogok karya. Penulis   tidak tahu macam mana orang kreatif boleh mogok karya.

Yang penulis  tahu, ilham datang tanpa kita jemput dan kalau kita tidak manfaatkan - fasal kita sedang mogok seni, ilham akan pergi dan boleh jadi tak balik lagi.

Kurangnya istilah

Tetapi itu hak masing-masing.  Hendak berkarya boleh, tidak hendak pun tidak apa. Tidak ada  sesiapa memaksa. Cuma yang rugi adalah peminat bahasa dan sastera yang dahaga akan karya besar daripada karyawan tersohor.

Saya tidaklah berani hendak  berkata diri sendiri  karyawan. Boleh jadi penulis lebih condong kepada tidak ketahuan. Tetapi ada orang berkata, garis pemisah antara kegilaan dan kepintaran adalah kabur.

Satu lagi yang penulis cukup terasa apabila menulis dalam bahasa Melayu ialah kurangnya istilah dalam banyak bidang bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi sebagai mana sering diperkatakan oleh orang ramai .

Pada awal pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, penulis  rasa ada kemajuan. Rasa-rasa penulis, pada masa itu pejuang bahasa betul-betul berjuang untuk bahasa. Kita pun tunjuk hormat kepada Bahasa Kebangsaan kita.

Belum seiring kemajuan

Hari ini banyak orang sudah lupa atau tidak tahu yang sebahagian besar pejuang bahasa Melayu waktu itu adalah orang Melayu berpelajaran Inggeris. Mereka benar-benar menguasai  dwibahasa dan mereka mahu bahasa Melayu hebat seperti  bahasa Inggeris.

Tapi nampaknya kebelakangan ini, kemajuan bahasa Melayu, terutama dalam aspek pengistilahan, penggunaan rasmi dan oleh pihak  swasta semakin lemah dan diabaikan.

Minta maaflah kalau penulis kata, boleh dikatakan dalam semua bidang ilmu, bahasa Melayu nampaknya tidak berjaya atau belum berjaya bergerak seiringan dengan kemajuan, bukan dalam bidang sains dan teknologi saja.

Baru-baru ini penulis  mencari istilah ‘cult’ sebab penulis  nampak ada unsur ‘cult’ dan ‘cult worship’ dalam gelanggang politik kita. Ada pembesar politik yang tidak boleh disentuh. Ada yang buat apa pun boleh dan ada yang dianggap macam malaikat.

Dalam bahasa Inggeris, ‘cult’ merujuk kepada agama atau mazhab dalam sesuatu agama yang dianggap melampau atau sesat. Gaya hidup pengikut ‘cult’ bercanggah dengan kebiasaan dan mereka taat membuta tuli kepada seorang ketua kuku besi, tetapi berkarisma.

Cari jalan mudah

Apa yang penulis  temui  dalam carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka ialah istilah ‘kultus’ yang Kunta Kinte syak adalah terjemahan literal ‘cult’ ke bahasa Indonesia.

Indonesia terkenal dengan menterjemah literal istilah bahasa Inggeris dengan membunyikannya mengikut sebutan tempatan. Misalnya ‘debate’ (bahas) menjadi debat, ‘parking’ (tempat letak kenderaan) menjadi parkir, ‘cashier’ (juruwang) menjadi kasir, ‘order’ (peraturan) menjadi orde dan idea (buah fikiran) menjadi ide. Maka jadilah ‘cult’ kultus.

Selain kurang ilmu dan kurang penguasaan pelbagai bahasa, penulis  rasa banyak orang yang diberikan tugas dan tanggungjawab mencipta dan mencari istilah baru curi tulang. Mereka mencari jalan mudah. Ambil sahaja istilah bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa, menukar ejaan dan di mana-mana yang  perlu, hanya perlu menukar sedikit sebutan.

Penulis bimbang dari sudut istilah, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Inggeris dan dari  aspek sebutan pula sudah berbunyi seperti  bahasa Indonesia.

Wallahualam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris


GENTING HIGHLANDS  29 Mac - Pelaksanaan syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun akan datang berbanding cadangan awal pada 2016.

Cadangan itu antara hasil pembentangan Kajian Pertengahan Penggal 200 Perwakilan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di sini hari ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh syarat baharu tersebut namun mengharapkan Kementerian Pelajaran tidak melaksanakannya segera bagi memberi tumpuan dari segi persiapan guru dan murid ke arah kejayaan pelaksanaan itu.

"Tempoh 12 tahun sehingga 2025 itu bagi memberi ruang dan masa kepada persediaan kemudahan di sekolah, latihan dan bimbingan kepada guru kemahiran tinggi termasuk persediaan dalam kalangan pelajar," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan pembentangan kajian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu, subjek Bahasa Inggeris berkemungkinan besar dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi SPM bermula 2016.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Anda tahu anda membosankan apabila...


SEMASA zaman belajar, antara mata pelajaran yang mendatangkan gementar sekuat 9 pada skala richter dalam diri ialah pengucapan awam. Masa tutorial dan teori tidak ada hal. Catat dan bincang dengan pensyarah. Senang. Tetapi bab praktikal yang jadi huru-hara.

Kalau tidak silap jam kredit bagi pengucapan awam ialah dua jam, bermakna tidak boleh dipandang ringan. Markah C nescaya mengheret purata nilai gred kumulatif (CGPA) ke bawah.

Antara faktor mengapa pengucapan awam dititikberatkan dalam pengajian komunikasi ialah membina keyakinan diri untuk berinteraksi dan bertutur dengan betul serta berketerampilan. Lebih kurang begitulah apa yang tertera dalam nota, (ingat-ingat lupa sebenarnya).

Lazimnya semasa berstatus pelajar, segala benda yang disebut di atas tidak memberi banyak makna kerana asyik menumpu untuk menghafal teori bagi ditulis semula dalam ujian tanpa benar-benar menghayatinya.

Realiti bagaimanapun, menampar muka dan menyentap sanubari tatkala diwajibkan berdiri di depan bilik kuliah dan menyampaikan pidato selama lima minit di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah yang ada antaranya nekad membuat aksi muka badut atau mengetawakan anda sekilas tersasul bahasa.

Keadaan ini begitu menggerunkan sama seperti ketika dipaksa berkaraoke di atas pentas atau mengambil sepakan penalti dengan penonton di seluruh padang memerhati, ada yang mendoakan dan ada juga berharap anda tersadung, bola melambung melepasi palang.

Ada sahabat yang mengaitkan perihal belajar pengucapan awam dan kemudiannya berpidato di hadapan khalayak seumpama melakukan terjunan bungee-jumping. Selepas melakukannya sekali, jangan bimbang. Keyakinan itu akan kekal. Sama ada jadi pemidato yang baik atau setidak-tidaknya berpotensi menjadi pelawak.

Berkecimpung dalam bidang kewartawanan kemudiannya, saya dapati ilmu pengucapan awam di universiti dulu menjadi sangat relevan. Tidak semestinya mata pelajaran itu mengajar anda menjadi pemidato atau ejen jualan langsung (MLM). Yang paling penting ialah cara anda berinteraksi. Apabila betul kaedah ini, ia menjamin kelangsungan persahabatan dan menjadi faktor penentu sama ada persahabatan itu kekal lama atau singkat.

Membosankan

Dalam erti kata mudah, ilmu pengucapan awam membantu anda tidak menjadi seorang yang membosankan.

Antara prinsip asas pengucapan awam ialah apabila bertutur atau berhujah, anda kenalah memiliki fakta-fakta yang bukan bersifat emosi atau sesuka hati dipetik daripada Wikipedia.

Jika anda tidak mengendahkan prinsip asas ini, anda mendedahkan diri kepada cemuhan, bangkangan dan sindiran. Tetapi itu semua tidak teruk. Disebabkan kelemahan dalam ilmu pengucapan awam, anda tentu sekali tidak mahu dilabel 'membosankan'.

Ciri-ciri manusia membosankan tidak terhad kepada insan yang apabila kita tanya satu, dijawab satu atau lurus bendul atau suka tidur awal.

Seorang sarjana British, Sir Francis Galton mencatatkan perihal tindak balas audiens berjudul 'The Measurement of Fidget' (Pengukuran Kegelisahan) pada 1885. Menurutnya, audiens akan menjadi malas dan bersandar apabila menjadi bosan mendengar ceramah.

Dalam konteks ini, penceramah boleh menyukat tahap kebosanan audiens dengan melihat bagaimana tegak mereka duduk. Selain itu, audiens yang memberi sepenuh perhatian tidak akan gelisah berbanding orang yang merasa bosan.

Zaman ini apabila orang bosan, mereka membelek telefon pintar, menzahirkan gelisah mereka dalam Twitter. Lebih teruk, diambil gambar, bubuh dalam instagram dengan penyertaan "bosan!".

Penulis Perancis abad ke-17, La Rochefoucauld pernah menulis: ''Kita sentiasa dibosankan oleh mereka yang kita bosankan''. Bermakna, jika anda rasa bosan, memang wujud kemungkinan orang lain juga bosan terhadap anda. Maka, fikirkanlah kaedah untuk tidak menjadikan anda seorang yang membosankan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Dalam Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan


GEORGE TOWN : Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) akan menubuhkan badan penulis buku-buku ilmu dalam kalangan pendidik bagi memperbanyak jumlah buku ilmu dalam koleksi penerbitan buku di negara ini.

Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata bilangan penulis buku ilmu dalam negara perlu diperbanyak setanding negara-negara luar bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu hasil pembacaan bahan-bahan penerbitan seperti itu mulai sekarang.

Katanya, negara sudah terlalu banyak menghasilkan penulis dalam bidang novel, puisi, cerpen dan drama yang berbentuk kreatif tetapi masih kekurangan dalam menghasilkan penulis buku-buku ilmu untuk menambah pengetahuan rakyat.

"Kebanyakan buku ilmu yang diterbitkan adalah hasil terjemahan  karya penulis barat yang kebanyakan ilmunya berpandukan idea dan pengetahuan barat," katanya ketika menutup mesyuarat agung PPBMM yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.

Justeru, katanya, satu usul telah diluluskan sebulat suara supaya PPBMM menubuhkan badan penulis buku ilmu dalam kalangan pendidik termasuk daripada  kalangan pensyarah dan pelajar universiti, institusi pendidikan perguruan dan guru sekolah yang kemudian boleh diguna pakai sebagai bahan rujukan kepada pelajar dan murid di institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Abdullah berkata dalam mesyuarat itu,  PPBMM meluluskan sebulat suara usul menjalin kerjasama dan  persefahaman dengan universiti luar negara terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan China dalam bidang bahasa mulai tahun ini.

Katanya, dengan usaha itu Bahasa Melayu boleh diperluas ke peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada anggota PPBMM mempelajari bahasa asing.

Sementara itu, Prof Madya Dr Hashim Othman dari USM mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PPBMM bagi sesi 2013-2015. BERNAMA

Sabtu, 30 Mac 2013

ISU JENAYAH : JSJK kurangkan mangsa jenayah siber


Oleh : ILAH HAFIZ AZIZ

TIADA siapa mampu menyangkal teknologi dan kemajuan Internet hari ini memberi kemudahan kepada semua pihak.

Bagaimanapun bagi pihak tidak bertanggungjawab, teknologi itu menjadi alat efektif untuk melakukan jenayah penipuan.

Maka sebab itulah, jenayah siber kini muncul sebagai cabaran yang paling sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di seluruh dunia di abad ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah nilai kerugian direkodkan pula oleh mangsa bukanlah kecil tetapi boleh mencecah sehingga berbilion ringgit.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak RM1.6 bilion kerugian akibat jenayah siber dicatatkan di Malaysia pada tahun lalu, iaitu peningkatan daripada 1.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkara berkenaan diakui Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang berkata, populariti Internet menjadi penyumbang besar berlakunya jenayah siber di negara ini berikutan kemudahan dan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.

"Jenayah siber berlaku di seluruh dunia dan di Malaysia, jenayah seperti ini semakin rancak berikutan kemudahan dan infrastruktur yang baik menyebabkan banyak sindiket menyasarkan kita.

"Malah rakyat juga semakin menerima kehadiran teknologi dan Internet kini menjadi sebahagian keperluan yang melengkapi kehidupan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Ismail berkata, warga daripada benua Afrika dikesan cenderung terlibat dalam jenayah itu dan modus operandi mereka juga sama, iaitu datang ke Malaysia atas tiket pelajar tetapi menjalankan penipuan dalam talian.

"Gerak kerja warga asing ini juga sama iaitu menyasarkan penduduk negara atau luar negara menyalurkan wang dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan identiti individu yang tidak wujud. Kes-kes sebegini walaupun kerap kali dilaporkan namun masih tiada kesudahan hingga kini," jelasnya.

Kata Syed Ismail, selain jenayah membabitkan Internet, warga Afrika dikesan turut aktif melakukan pelbagai jenayah lain seperti pemalsuan wang, penipuan, sindiket bungkusan serta cakera video digital (DVD) haram di negara ini.

Perangkaan pada 2012 menyaksikan sebanyak 434 warga Afrika ditahan JSJK dan daripada jumlah itu, warga Nigeria mendominasi tangkapan iaitu 378 orang.

Selebihnya adalah dari beberapa buah negara Afrika Selatan, Cameroon, Sudan, Congo, Ghana, Guinea, Uganda, Sudan, Somalia, Zambia, Liberia dan Tanzania.

Sepanjang hampir 3 bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 61 orang ditahan dengan 50 daripadanya warga Nigeria manakala bakinya Guinea (4), Afrika Selatan (2), dan masing-masing satu dari Nigeria, Congo, Ghana, Zambia dan Liberia.

"Kita sentiasa melakukan pelbagai usaha untuk memerangi jenayah penipuan yang dilakukan warga Afrika kerana kita tidak boleh menyekat kemasukan mereka ke dalam negara ini sebagai pelajar.

"Ini kerana dasar kerajaan Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini sebagai satu hab pengajian terkemuka. Kita tidak boleh menentang usaha dan dasar kerajaan kerana kelebihan yang diperolehi akan dinikmati oleh semua rakyat negara.

"Tetapi kita juga harus sedar kemudahan itu ternyata diambil kesempatan oleh warga asing untuk melakukan pelbagai aktiviti penipuan sekali gus menjejaskan banyak pihak," katanya.

Dalam usaha memerangi jenayah siber ini, Syed Ismail berkata, JSJK sentiasa memastikan anggota dan pegawai mereka bersiap-sedia sepenuhnya dalam menempuh cabaran semasa terutama sekali berkaitan perkembangan teknologi.

"Dengan kepantasan teknologi dan kemampuan setiap manusia untuk melangkaui pemikiran satu-sama lain, JSJK perlu bergerak bukan sahaja seiringan tetapi beberapa langkah ke hadapan bagi memastikan jenayah siber ini boleh diatasi.

"Oleh sebab itu, kita sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi profesional yang akan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota dan pegawai JSJK, terutama sekali ketika menjalankan siasatan," katanya.

Tambah beliau, pegawai JSJK yang berkebolehan dan memiliki integriti mampu meningkatkan perkhidmatan dalam penyiasatan kes.

"Apa yang kita mahu adalah setiap elemen jenayah dikenal pasti dan siasatan dipercepatkan supaya setiap pertuduhan di mahkamah akan dapat ditingkatkan.

"Oleh sebab itu juga, kita memilih pegawai-pegawai yang mempunyai pelbagai latar belakang pengajian bersesuaian sebagai nilai tambah dalam pasukan. JSJK kini mempunyai pegawai berkelulusan dalam perbankan, perakaunan, jenayah komputer dan pelbagai lagi," ujarnya.

Ditanya tentang harapan JSJK sempena sambutan Hari Polis yang disambut kali ke-206 ini, Syed Ismail memberitahu, pihaknya berharap aduan (mangsa) jenayah komersial akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Ini berikutan, berbanding 2011, jumlah kes pada tahun lalu berkurangan sebanyak 36.21 peratus dan sebanyak 6,657 individu telah didakwa.

"Tahun lepas, kami menerima sebanyak 22,033 aduan tetapi berkurangan kepada 18,381 pada 2012. Ini ternyata membanggakan kita malah kita telah melepasi 10 peratus daripada sasaran pengurangan jenayah siber yang ditetapkan PDRM.

"Kami gembira jika orang ramai kurang membuat aduan sekali gus jenayah komersial turut berkurangan," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU JENAYAH : JSJN komited menggempur jenayah dadah


Oleh : Norhidayu Hassan

SEPERTI jabatan-jabatan lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga mempunyai misi dan visi - menggempur jenayah dadah dan memeranginya sebagai musuh negara.

Dalam era perubahan zaman, JSJN tidak ketinggalan bergelut dengan jenayah dadah yang semakin canggih dengan peralatan digunakan, berbahaya (pemilikan senjata api malah bom) dan kompleks menerusi modus operandi (MO) yang sentiasa bertukar-tukar.

Walaupun kerap kali mendengar kejayaan demi kejayaan JSJN menumpaskan sindiket tempatan dan antarabangsa serta rampasan dadah bernilai jutaan ringgit namun untuk menggempur sindiket itu secara habis-habisan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Hal ini diakui Pengarah JSJN, Datuk Mohd. Noor Rashid Ibrahim yang berpendapat PDRM hampir tidak mungkin menghapuskan jenayah dadah 100 peratus, masalah sama dihadapi negara-negara lain di seluruh dunia.

Ini kerana pasukan itu berhadapan dengan pelbagai taktik atau MO baru sindiket yang sentiasa mencari jalan agar tidak dikesan pihak berkuasa tidak kira melalui udara, perairan mahupun darat.

Ini termasuklah penyeludupan menerusi sempadan negara yang luas selain penghantaran menggunakan kurier dan juga 'keldai' dadah.

"Dasar negara yang liberal dan berdiplomasi dengan negara luar juga menjadi pendorong warga asing seperti Pakistan, Iran, Nigeria dan beberapa negara lain mengambil kesempatan untuk menyeludup masuk atau keluar dadah di negara ini.

"Sindiket-sindiket yang masuk melalui ruang perniagaan, pendidikan dan pelancongan kerap mengambil kesempatan atas dasar negara kita sehingga wujud persepsi negara ini adalah transit pengedaran dan penyeludupan barang terlarang itu," katanya kepada Utusan Malaysia sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara itu turut didorong oleh harga dadah yang melambung di negara ini ekoran kesukaran untuk penagih mendapatkannya yang disebabkan operasi besar-besaran dijalankan pihak berkuasa.

Hal itu menyebabkan ramai termasuk dalam kalangan warga asing yang sanggup mengambil risiko walaupun mengetahui harus berhadapan dengan hukuman mati.

"JSJN akan meningkatkan pengawalan dan pemantauan laluan yang dikenal pasti termasuk meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang diakui semakin hebat menumpaskan jenayah ini bersama-sama," ujar beliau.

Menurut Mohd. Noor Rashid, berdasarkan statistik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, JSJN telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM30.67 juta dan menahan sebanyak 30,297 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik.

"Jumlah itu bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu RM52.79 juta," ujarnya.

Kejayaan itu, ujar Mohd. Noor Rashid, tidak terhad kepada menumpaskan sindiket antarabangsa namun juga tempatan dengan yang terbaharu membongkar enam buah makmal haram di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri baru-baru ini.

Antaranya, merampas dadah berjumlah 74.98 kilogram dalam bentuk kristal dan 48.8 kilogram dadah serbuk bernilai keseluruhannya RM15 juta dalam serbuan Ops Lilac di enam lokasi di Kota Kinabalu. Dalam serbuan itu, polis menangkap sembilan lelaki tempatan serta tiga lelaki warga Hong Kong.

Pada 22 Februari lalu pula, polis melancarkan satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini dan merampas 4.2 kilogram cecair disyaki syabu, 5.2 kilogram dadah ketamin, 30.33 kilogram pil ekstasi dan 3,500 biji dipercayai pil Eramin 5 yang keseluruhannya bernilai RM1.4 juta.

Malahan baru-baru ini juga, polis melancarkan gerakan yang menyasarkan sindiket warga asing yang beroperasi di ibu negara dan menahan lapan lelaki warga Nigeria dan Mongolia dan merampas 6.7 kilogram dadah bernilai RM1.38 juta.

Hasil kajian JSJN, ujar Mohd. Noor Rashid, pengedar dari Pakistan, Iran dan India sering menjadikan Malaysia sebagai pusat transit malah tangkapan warga India turut meningkat berbanding Nigeria dan Iran.

"Kalau kita kaji trend tahun ini tangkapan rakyat Nigeria menurun secara mendadak. Kebanyakan jenis dadah yang diseludup masuk ke Malaysia datangnya dari warga Pakistan yang membawa heroin, Iran (syabu) dan India (ketamin)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket dari Nigeria cenderung bekerjasama dengan semua negara luar antaranya China, Thailand dan Hong Kong untuk menyeludup masuk dan keluar dadah daripada Malaysia dengan menggunakan keldai dadah tempatan.

Jelasnya, sindiket dari India menggunakan lapangan terbang untuk menyeludup masuk dadah dengan membawa dalam bagasi manakala warga Pakistan pula menggunakan kontena dan agak sukar untuk menjalankan siasatan.

Walaupun dadah dianggap sebagai ancaman negara, Mohd. Noor Rashid memberitahu, situasi penyalahgunaan dadah dalam negara masih terkawal dan pihaknya mempunyai kerjasama yang baik dengan negara luar terutama negara serantau dalam perkongsian maklumat.

Apa yang membimbangkan pihaknya kini adalah penglibatan rakyat negara ini yang ditangkap sebagai keldai dadah di luar negara menunjukkan peningkatan saban tahun terutama di Indonesia dan Thailand.

"Statistik yang kita peroleh pada 2009, seramai 125 orang ditahan; 2010 (142 orang); 2011 (143 orang); 2012 (171 orang) dan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sudah seramai dua lelaki ditahan di Indonesia dan sembilan di Thailand dengan tangkapan terkini adalah 11 orang.

"Jumlah tangkapan itu dianggap serius kerana menunjukkan ramai rakyat kita mudah diperalat oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk menjadi 'keldai dadah' setelah dijanjikan upah lumayan dan penularan ini perlu disekat segera," katanya

Dalam menangani penularan keldai dadah dari negara ini, PDRM selalu menjalankan kempen kesedaran dan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai langkah pencegahan dan memberi kesedaran kepada masyarakat dan penagih.

Mohd. Noor Rashid seterusnya memberitahu, beliau berazam melihat JSJN di bawah pentadbirannya terus komited untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam menjayakan agenda memerangi najis dadah di negara ini.

"Saya mahu memastikan JSJN menjadi penyumbang kepada kejayaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan memantapkan lagi sumber manusia jabatan ini yang terdiri daripada kira-kira 4,000 pegawai dan anggota dalam beberapa aspek seperti pengetahuan undang-undang, serbuan, penyiasatan bekalan dan pengedaran dadah, tangkapan pengedar, pertuduhan dan sistem pengumpulan maklumat serta risikan.

"Jumlah seberapa ramai sumber manusia di dalam sesebuah jabatan itu tidak penting kerana bagi saya memastikan kualiti siasatan sesuatu kes adalah keutamaan dan fokus JSJN," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/