Khamis, 4 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Syarat ketat jadi pengetua


Oleh  : Norfatimah Ahmad

Mulai tahun depan, pelantikan tidak secara automatik

Genting Highlands : Mulai tahun depan pelantikan guru besar dan pengetua akan melalui proses penapisan teliti, bukan lagi disandang secara automatik seperti sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras matlamat dan transformasi Sistem Pendidikan Negara untuk memastikan guru besar dan pengetua berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

Harus melalui proses penilaian

“Mereka harus melalui proses penilaian tahap kepemimpinan dan yang berkaitan kemampuan melaksanakan tanggungjawab, kreativiti, inovatif, dan inovasi di samping rekod cemerlang dalam kerjaya guru, selain menjalani latihan dan bimbingan yang komprehensif.

“Syarat utama adalah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Seramai 1,000 pendidik akan mengikuti kursus lima bulan di Institut Aminuddin Baki (IAB) tahun depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan

Syarat utama ikuti program NPQEL

Muhyiddin turut melancarkan Repositori IAB di mana semua hasil karya penulisan dan penyelidikan sarjana institut itu dikumpul, disusun, dipelihara dan disebarkan melalui satu pusat menggunakan pendekatan terkini dunia teknologi maklumat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah IAB, Datuk Khairil Awang.

Ketika ini, pencalonan bagi mengisi jawatan pengetua dan guru besar berdasarkan cadangan Pengarah Bahagian dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan persetujuan Ketua Pengarah Pendidikan.

Calon yang boleh dicadangkan adalah mereka yang diluluskan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP). Guru penolong kanan termasuk dalam senarai yang diluluskan LKPPP, boleh dicalonkan untuk mengisi jawatan pengetua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pemilihan calon untuk kedua-dua jawatan berkenaan sedang dilaksanakan dan diikuti penilaian tahap kepemimpinan, sebelum pelantikan bermula 2014.

Guru paling cemerlang

“Apabila ada kekosongan ia akan diisi guru terbaik. Walaupun sebelum ini sudah dibuat begitu tetapi kali ini kita ambil kira ujian dan pencapaian guru untuk pastikan hanya yang terbaik dalam kalangan yang terbaik menjawat jawatan guru besar dan Pengetua,” katanya.

Mengenai proses NPQEL, beliau berkata, ia membabitkan guru paling cemerlang dengan rekod atau sejarah tugas terbaik di sekolah tempat mereka bertugas.

“Tiada kompromi dalam hal ini kerana sekolah yang berjaya adalah bergantung kepada faktor kepemimpinan guru besar dan pengetua,” katanya.

20,000 permohonan

Mengenai isu pertukaran guru, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang menjalankan kajian kerana ia isu yang sentiasa dihadapi terutama kerana jumlah guru yang mencecah 480,000 di seluruh negara.

Beliau berkata, permohonan dipenuhi jika ada kekosongan di negeri dan sekolah, subjek yang diajar guru yang memohon sepadan dengan kekosongan dan sebab yang munasabah.

“Permohonan pertukaran dibuka dua kali setahun dan tahun lalu saja 20,000 permohonan diterima. Biasanya kita tidak boleh penuhi semuanya menyebabkan ada yang membuat permohonan berkali-kali, malah ada hingga 10 kali serta minta bantuan wakil rakyat dan ibu bapa.

“Jika permohonan munasabah seperti ibu bapa uzur, kita ambil kira tetapi kekangan tempat dan subjek sepadan menyebabkan ia tidak dapat disempurnakan,” katanya.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Awang Had ikon pendemokrasian sistem pelajaran


Oleh : Mohd Zuber Zain

DUNIA pendidikan, bahasa dan kesusasteraan hari ini kehilangan seorang tokoh yang telah banyak memberi sumbangan dan jasa dalam bidang memartabatkan pendidikan dan bahasa Melayu.

Pemergian Allahyarham Tan Sri Dr. Awang Had Salleh pada pagi 1 Julai 2013 selepas menyambut hari jadi ke-79 pada 24 Jun lalu merupakan satu berita yang menyedihkan kepada kaum keluarga dan sahabat beliau.

Menjadi impian setiap guru pelatih sekolah Melayu untuk masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) yang merupakan 'Universiti Guru Melayu' ketika itu.

Setelah menduduki peperiksaan beradu untuk masuk ke SITC beliau mendapat tempat pertama di seluruh Kedah dan diterima masuk sebagai guru pelatih di SITC Tanjong Malim pada tahun 1951.

SITC mendewasakan beliau dalam bidang perguruan dan juga semangat kebangsaan. Salah seorang pensyarah yang meniupkan semangat kebangsaan ialah Cikgu Aminuddin Baki yang baru pulang dari England dengan ijazah sarjana pendidikan.

Tidak lekang daripada  ingatan Awang Had nasihat Cikgu Aminuddin; "jangan biarkan ayam mati di kepok padi, itik mati kehausan di kolam".

Cikgu Aminuddin juga menasihati guru-guru SITC supaya jangan berhenti belajar selepas lulus dari SITC dan belajarlah setinggi mana yang boleh.

Apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1987 dan mengeluar guru ijazah yang pertama pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Pro-Canselor UPSI dan sebagai seorang 'anak kandung', pelantikan ini adalah satu penghormatan yang beliau amat hargai.

Sebenarnya Awang Had tidak pernah lupa asal usulnya sebagai seorang guru Melayu SITC. Ini kerana sejak di Universiti Malaya pada 1974, beliau terlibat secara aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar SITC yang dikenali sebagai Persatuan Suluh Budiman (PSB).

Di SITC dewan besar dinamakan Bangunan Suluh Budiman dan semasa di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) beliau namakan dewan besar ITM sebagai Dewan Suluh Budiman.

Nama ini asalnya terbit daripada cogan kata peranan guru Melayu sebagai "suluh kampung, matahari bangsa" di mana di bahu guru-guru Melayulah diamanah tugas untuk mencerahkan orang Melayu dari segi pelajaran dan membuka minda yang lebih luas.

Jika Cikgu Aminuddin Baki sebagai pemimpin GPMS terkenal dengan "Gerakan Obor", sebagai pemimpin PSB, Awang Had terkenal dengan Konvensyen Pendidikan (KONPEN) yang menjadi forum dwitahunan golongan pendidik membincang isu-isu pendidikan dari setiap aspek seperti falsafah pendidikan, dasar pelajaran, latihan guru, kurikulum (KBSR dan KBSM), pedagogi dan sebagainya.

Sepanjang hampir 20 tahun sebanyak 12 KONPEN dianjurkan oleh PSB dan uniknya setiap kali ia diadakan di negeri yang berbeza, tujuannya untuk memberi peluang guru-guru SITC/MPSI yang jauh dari Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur bersama dan yang paling disukai oleh Awang Had dan AJK PSB ialah dapat bertemu semula kawan-kawan yang sudah lama terpisah.

Semasa kembali semula di SITC yang dinaik taraf sebagai sebuah universiti (UPSI), beliau melihat keperluan golongan pendidik membina sebuah muzium pendidikan kerana mengikut beliau jika kaum guru tidak memulihara khazanah perguruan, lama-kelamaan semua barang lama akan pupus hilang ditelan zaman.

Beliau sendiri penggemar barang antik dan memiliki kereta antik dan menyimpan papan batu yang diguna ketika belajar di sekolah rendah dulu.

Katanya, mengapa kita tidak menyimpan papan hitam, mesin taip, mesin siklostyle, buku-buku teks lama yang diterbit dalam Malay School Series, dan sebagainya?

Atas usaha beliau rumah kediaman Pendita Za'ba yang mengajar di SITC dan menjadi pengarang di Jabatan Karang Mengarang selama 15 tahun (1924 - 1939) dikekalkan, jika tidak ia telah dirobohkan untuk membina padang letak kereta.

Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau banyak menulis antaranya rencana mingguan dalam Utusan Malaysia mengenai kisah perjalanan hidup beliau. Rencana ini telah dibukukan dalam satu kompilasi buku yang bertajuk Warna-warna Pengalaman Seorang Guru (1993).

Sajak beliau Merpati Putih, Dari Ramadan ke Ramadan dan Usia Dalam Lipatan Rasa diterbitkan oleh Penerbit UPSI dalam buku Balada Suluh Budiman (2002).

Ketika penulis di Utusan Publications & Distributors (UPND) pada tahun 1995 buat pertama kali diperkenalkan Anugerah Sasterawan Sako di mana johan mengarang novel diberi hadiah RM30,000.

Awang Had dilantik sebagai Pengerusi Panel Juri dan ahli-ahli juri terdiri daripada pensyarah sastera berbilang bangsa dan saya sebagai setiausaha.

Kami semua berkampung di Hyatt Saujana selama hampir seminggu untuk menilai lebih 125 manuskrip yang dihantar dan akhirnya novel Imam karya SN Abdullah Hussain dinobatkan sebagai pemenang pertama.

Pada tahun 2002 ketika SITC - UPSI telah menyambut ulang tahun ke-80 dan pada majlis khas, Awang Had bersama tokoh-tokoh sastera SITC yang lain seperti Profesor A Wahab Ali, Masuri SN, Dr. Ahmad Kamal @ Kemala, Kamaruzaman Abd Kadir @ Dharmawijaya, Datuk Ismail Abas @ Amil Jaya telah dianugerahkan Tokoh Pujangga UPSI. Mereka semua memegang falsafah Guru Melayu yang menyebut dalam pantun;

Buat baik ayohai rakan,                                                                        
Jika ke laut kamu campakkan,
Jika tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iakah bukan?

Awang Had ialah seorang ikon yang telah membuktikan pendemokrasian sistem pelajaran di negara kita di mana seorang pelajar sekolah Melayu yang miskin tetapi cerdik dan berbakat boleh berjaya sehingga ke peringkat tinggi sebagai seorang sarjana kedoktoran daripada sebuah universiti terkenal Universiti Stanford.

Sebagaimana juga seorang lagi anak kandung SITC, Tun Ghafar Baba telah membuktikan demokrasi dalam politik di mana seorang guru Melayu SITC yang rendah diri boleh naik sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri. Al-Fatihah untuk mereka berdua dan guru-guru SITC yang telah meninggalkan jasa yang besar kepada kita semua.


PENULIS ialah bekas Pengurus Penerbitan Utusan Publications & Distributors.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 2 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perginya cendekiawan Melayu


Oleh NIZAM YATIM

"BELIAU telah banyak berjasa bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin demi kemajuan anak bangsa."

Itulah ungkapan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, semalam.

Menurut Alimuddin, beliau banyak membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.

"Ketika itu saya bertugas sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.

Kata beliau, satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian walaupun telah bekerja.

"Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.

"Selepas itu dari 1951 hingga 1954 telah belajar di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.

Kegigihan Allahyarham untuk belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

Pada 1956, Allahyarham telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Allahyarham yang berkhidmat di UM sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Alimuddin, satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.

"Banyak jasa yang telah Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

"Kita juga tidak boleh melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989," katanya.

Selepas persaraan di UUM, Awang Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan sehingga 1990.

Selain itu, beliau juga memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai ProCanselor universiti berkenaan.

Allahyarham turut terlibat dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, penulis, Haris Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Menurutnya, Allahyarham mula menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah disiarkan akhbar Berita Harian.

"Cerpen itu memenangi hadiah sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar berkenaan.

"Bakat kreatifnya turut digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.

Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.

Skrip dramanya bertajuk Buat Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.

"Awang Had terus menjadi tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah air kita," tulis Haris.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anugerah akademik yang diterima beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.

Allahyarham yang berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.

Semangat Allahyarham untuk terus berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.

Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat gagah, 
Menunaikan fungsi khalifah,
Di bumi bertuah, 
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan mudah patah,
Menahan hasrat jangan cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan tercapai sudah.

Sebagai seorang tokoh akademik Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.

Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak


Oleh  : Haika Khazi
 
Penggemblengan usaha semua pihak hasilkan pelajar berkualiti pada masa depan
                                                        
Putrajaya : Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan berkomunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa'at Tumin, berkata sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Lancar inisiatif baru

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.

Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.

Sarana Ibu Bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah.

Sufa'at berkata seperti terkandung dalam PPPM, Sarana Ibu Bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Katanya, Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG.

“Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

“Selain mengurus urusan rumahtangga, ibu bapa diminta meluangkan masa bersama anak dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa.

“Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk, termasuk idea, tenaga, kepakaran, dan kewangan,” katanya.

PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB, lebih banyak interaksi, perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak.

Dalam pada itu, Sufa’at berkata dalam Sarana Sekolah, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan KSIB yang banyak diamalkan di negara maju.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah dan berharap PIBG mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kumpulan ini demi masa depan anak mereka.

Sekolah kena tukar imej

“Bagi menarik minat ibu bapa dan anggota masyarakat untuk datang ke sekolah dan terlibat dengan aktif, pihak sekolah perlu mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan anggota komuniti. Jika selama ini dirasakan sekolah adalah kepunyaan dan tanggungjawab guru dan murid semata-mata, kini kita mahu rasa kesepunyaan dan tanggungjawab dikongsi bersama oleh ibu bapa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dicapai apabila pihak sekolah memberi mesej bahawa ibu bapa dan ahli komuniti dialu-alukan, seterusnya mewujudkan suasana kemesraan antara kedua-dua pihak.

“Tiada had umur bagi Ibu bapa dan ahli komuniti yang boleh menyumbang kerana setiap mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran yang boleh dikongsi bersama demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Sufa’at berkata pendekatan berkenaan juga bakal menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi kegiatan di luar bilik darjah pada masa depan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.

“Selain, ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, GLC dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

“GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman dan membantu mengisi tabung PIBG,” katanya.

Kumpulan berkenaan juga boleh membantu sekolah merealisasikan kebitaraan sekolah mereka dengan memberi sokongan dari segi kepakaran, peluang-peluang mengembangkan potensi murid dan guru, membina rangkaian dalam dan luar negara dan pelbagai lagi aspek untuk menjadikan murid cemerlang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 1 Julai 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : 60 Peratus Graduan Universiti Dapat Kerja Dalam Tempoh 6 Bulan Selepas Tamat Pengajian


Oleh : SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM

KUALA LUMPUR  : Sebanyak 60 peratus graduan universiti mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 15 peratus graduan pula sedang menyambung pengajian manakala 25 peratus lagi mengambil sedikit masa untuk mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian susulan yang dilakukan kerajaan terhadap graduan pada 2012, hampir kesemua siswazah mendapat pekerjaan dalam tempoh dua tahun selepas tamat pengajian.

"Kita juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 385,000 pekerjaan pada 2011 dengan perkembangan ekonomi sebanyak 5.1 peratus. Malah jumlah itu terus meningkat kepada 438,800 dengan pertumbuhan ekonomi pada 2012.

"Ini bermakna kadar pengangguran telah menurun daripada 3.1 peratus kepada 3 peratus pada 2012. Ia merupakan kadar yang amat rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Anwar berkata kadar pengangguran siswazah mencecah kira-kira 80,000 orang dan kadar pengangguran tiga peratus itu tidak termasuk dalam kategori tidak mendapat pekerjaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah menawarkan pelbagai program seperti Jobs Malaysia dan Skim Latihan 1Malaysia untuk memadankan pekerja dengan majikan.

"Program itu berjaya melatih graduan untuk mendapat pekerjaan sesuai dan meningkat kebolehpasaran kerja di kalangan mereka," katanya.

Sumber : http : //mstar.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Malaysia, Indonesia & Singapura Bincang Cara Kurangkan Risiko Jerebu


KUALA LUMPUR : Malaysia, Indonesia dan Singapura telah membincangkan cara yang lebih ke hadapan secara praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu yang telah menjejaskan ketiga-tiga buah negara sejak beberapa minggu lalu.

Perbincangan itu dijalankan dalam mesyuarat tiga hala secara tidak rasmi yang diusahakan Malaysia di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-46 di Bandar Seri Begawan di Brunei pada Sabtu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menghadiri mesyuarat itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Singapura Dr RM Marty M.Natalegawa dan K.Shanmugam.

Menurut satu kenyataan Sekretariat Kebangsaan Malaysia-Asean, Kementerian Luar di sini hari ini, antara cara yang praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu itu yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk pengesahan dan pengoperasian segera Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

"Ketiga-tiga menteri mengadakan perbincangan yang konstruktif, berterus terang tanpa berselindung mengenai masalah yang disebabkan jerebu baru-baru ini yang menjejaskan sebahagian besar semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura," kata kenyataan itu.

Semasa mesyuarat itu, ketiga-tiga menteri menyebut mengenai keadaan yang semakin baik di kawasan-kawasan yang terjejas di Sumatera di mana ia berkurangan daripada 16,500 hektar kepada 4,081 hektar.

Mereka juga mengakui bahawa setakat 28 Jun 2013, bilangan kawasan tompokan panas berkurangan kepada tujuh daripada 261 berikutan operasi pembenihan awan dan pengeboman air yang dijalankan kerajaan Indonesia selain keadaan cuaca yang baik.

"Ketiga-tiga menteri juga bersetuju bahawa perbincangan lanjut berhubung isu jerebu akan diadakan pada AMM ke-46. Dalam semangat perpaduan Asean, mereka juga bersetuju bahawa anggota keluarga Asean yang lain akan diberi maklumat terkini bagi mengikuti perkembangan isu itu yang menyelubungi ketiga-tiga negara berkenaan," menurut kenyataan itu.

Anifah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean ke-46 di Bandar Seri Begawan mulai 29 Jun hingga 2 Julai. - BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : Status profesor bukan ukuran



Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Mencipta kreativiti bukan mudah, apatah lagi jika ia dihasilkan mahasiswa muda yang cetek pengetahuan dalam aspek penyelidikan.

Meskipun hasil diketengahkan itu inovasi baru, masih belum mampu memancing perhatian ramai pihak untuk mempercayai kemampuan mereka.

Apatah lagi dengan usia masih setahun jagung, selain tiadanya pangkat akademik, hasil pencipta muda ini seolah-olah tidak bernilai.

Penolakan serta diskriminasi ini boleh merencatkan idea dan semangat mereka sekali gus menggugat impian negara melahirkan pencipta muda berkaliber pada masa depan.

Justeru di manakah nilai mereka andai kata terus diragui kemampuannya? Dan, benarkah ciptaan yang dihasilkan itu tidak mempunyai nilai komersial atau hanya syok sendiri.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khairi Abdul Rahim berkata, sikap prejudis serta kurang percaya terhadap kemampuan pencipta muda perlu diubah segera.

Beliau berkata, meskipun hanya bertaraf pencipta muda, tidak bermakna rekaan itu tidak mempunyai nilai.

“Untuk menjadi pencipta inovasi tidak memerlukan kriteria khusus, ini soal kreativiti yang sangat subjektif.

“Yang penting kemahuan untuk mencipta. Pangkat profesor atau doktor soal kedua,” katanya.

Biarpun keyakinan masyarakat lebih tinggi kepada mereka yang memiliki kelulusan berjela, beliau optimis hasil pencipta muda tidak kurang hebatnya.

“Biarpun kelayakan dan pengalaman sentiasa diambil kira, tidak bermakna mereka yang tidak mempunyai kriteria itu tidak berkemampuan.

“Beri peluang kepada mereka dan usah berat sebelah,” katanya.

Malah, stigma tidak benar yang dilemparkan dianggap berbahaya kerana boleh membunuh keinginan pencipta muda secara senyap dan perlahan.

“Mereka terdiri daripada mahasiswa yang mempunyai banyak komitmen. Justeru, kesanggupan mengetepikan waktu untuk berkongsi idea wajar dihargai.

“Amat malang jika ada pihak kurang menghargai kesungguhan ditunjukkan golongan ini, malah tidak mahu mengiktiraf,” katanya.

Pencipta muda meskipun sering dipersoalkan kemampuan mereka, akuinya masih mampu memberikan hasil ciptaan memberangsangkan.

Menurutnya, biarpun tanpa penyelidikan saintifik, rekaan itu masih boleh dibangunkan dalam jangka panjang.

“Inovasi, penciptaan dan penghasilan produk baru sentiasa berlaku dan sering berubah dengan cepat.

“Ciptaan itu juga tidak selamanya berada pada tahap sama. Penambahbaikan dan kenaikan taraf melalui ujian serta penyelidikan diadakan daripada semasa ke semasa.

“Jangan prejudis dengan kemampuan pencipta muda,” katanya menambah penyelidikan berterusan penting bagi menghasilkan kualiti bermanfaat kepada sejagat.

“Biarpun mereka masih belum mempunyai kelayakan kukuh, kita tidak boleh memperkecilkan mereka.

“Dari segi penyelidikan saintifik mungkin mereka tiada kelebihan itu, tapi inovasi mereka perlu dihargai.

“Untuk membudayakan inovasi dan penjanaan idea terutama di kalangan generasi muda, penting ada keberanian untuk mencuba,” katanya.

Beliau tidak menafikan permintaan hari ini lebih menjurus kepada pengkomersialan, namun penerangan perlu diberikan bagi memupuk pemahaman mengenai budaya inovasi.

“Keuntungan dalam penghasilan ciptaan baru adalah matlamat utama pelabur, justeru tidak hairan jika tumpuan lebih besar diberikan kepada pencipta berpengalaman.

“Bagaimanapun tanpa yang baru, tiada yang lama. Sekiranya ada sokongan padu, tidak mustahil mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Budaya inovasi di kalangan generasi muda perlu wajar disuburkan berterusan, apatah lagi pelbagai pilihan sudah tersedia.

“Dulu, budaya inovasi sangat asing kerana fokus mahasiswa hanya pada bidang pekerjaan berteraskan pencapaian akademik.

“Hari ini, budaya inovasi adalah ledakan baru kepada dunia pendidikan tinggi. Ia bukan lagi hak ekslusif golongan tertentu.

“Inovasi bukan saja boleh menghasilkan nilai tambah dalam resume, malah pengiktirafan kepada mahasiswa,” katanya.

Sumber : http : //www,hmetro,com,my/