Jumaat, 12 Julai 2013

ISU SOSIAL : Banjir idola kemarau teladan


Oleh : Ahmad Fahmi Bin Mohd Samsudin  
  
Umat Islam ketika ini melalui dasawarsa kedua abad 21 dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi. Peperangan saudara, pergolakan politik, konflik umat Islam minoriti, bencana alam sehinggalah kepada ancaman budaya dan serangan hedonisme yang menyebabkan keruntuhan moral generasi muda secara massa, ditambah pula dengan serangan pemikiran yang menggesa agar umat Islam berfikiran secara liberal ala Barat.

Generasi hari ini memerlukan persiapan yang rapi untuk menghadapi cabaran luar yang semakin ruwet dan mencabar. Sekiranya persiapan ini tidak diatur dengan baik dan kemas, maka generasi muda akan kehilangan panduan dan seterusnya hanyut dibawa arus cabaran yang mengganas. Natijahnya segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral akan menyelaputi diri mereka sepertimana yang disebutkan al-Quran sebagai Zurriyatan du’afa (zuriat yang lemah), generasi lesu dan tidak berwawasan.

“Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi) yang lemah.” (Surah an-Nisa : ayat 9)

Sebaliknya jika kehidupan mereka diasaskan kepada kehidupan beragama yang kukuh, nescaya  akan terbinalah “generasi” sepertimana yang diungkapkan oleh Profesor Dr Yusuf al-Qaradhawi sebagai golongan al-jil al-nasr  (generasi kemenangan). Generasi ini dibina oleh kekuatan roh dan jasad, lalu menjadi binaan yang tidak boleh dirungkaikan. Mereka merupakan barisan pemuda yang mempunyai kekukuhan iman sambil mendapat petunjuk daripada Ilahi.

Sejujurnya, generasi muda yang baru mengenali dunia sudah dihidangkan dengan pelbagai masalah dunia yang menyebabkan mereka turut terpalit dengan fitnah dunia dan menyebabkan mereka juga menjadi tua sebelum waktunya. Sewajarnya, dalam usia muda ini, generasi muda diberikan ruang dan peluang, masa, tenaga dan pendedahan yang baik, yang seterusnya akan menghasilkan benih-benih generasi muda yang baik kelak.

Malah,cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan dan persaingan abad ini sangat pantas dan banyak membawa perubahan nilai kepada diri manusia. Sekali lagi, generasi muda terhakis dengan cepatnya oleh nilai-nilai negatif yang diimport melalui rancangan hiburan dan sukan. Kebanjiran fenomena rancangan realiti TV, budaya parody, K-Pop dan konsert pesta-pestaan yang berbentuk permisif penuh berserakan. Situasi cultural schizophrenia menurut seorang sarjana, Daryush Shayegan, merupakan keadaan mental distortion yang mampu memusnahkan tamadun. Hal ini secara tidak langsung boleh mengancam masa depan ummah. Suasana ini berlaku ketika mana generasi muda kehilangan paradigmanya dan keliru antara Barat dan Moden lantas dimensi moden yang dipegang diambil daripada acuan Barat.

Lantaran itu, budaya popular (popular culture) yang kini seolah-olah menjadi budaya massa (mass culture) turut mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran kalangan generasi muda Islam. Budaya ini yang lebih mementingkan gaya dan imej daripada nilai dan makna secara tidak disedari semakin diterima umum oleh masyarakat yang semakin keliru. Kesannya, mereka tidak lagi dapat membezakan antara populariti dan substance, antara imej dan nilai, antara yang palsu dan yang benar. Keadaan ini berlaku apabila wabak ketidakpekaan terhadap nilai hidup dan sebenarnya berleluasa.

Tatkala dunia Islam memerlukan ramai generasi muda yang boleh memimpin umat, telah muncul kecenderungan mereka untuk menjadi selebriti dan bintang pujaan. Inilah yang dirisaukan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang mengungkapkan bahawa hari ini kita melalui situasi 'banjir idola, kemarau teladan'. Barangkali tepat telahan beliau. Jika hari ini kita tanyakan kepada generasi muda, siapakah idola mereka dalam banyak-banyak 'idola' yang dilahirkan? Barangkali hanya ada satu dalam seribu. Fikir-fikirkanlah.

Lantaran itu, penekanan betapa pentingnya budaya ilmu wajib dibugarkan. Hal ini kerana kesan daripada budaya hedonisme yang menggasak hebat menyebabkan generasi muda sudah hilang upaya dan minat terhadap penghayatan budaya ilmu. Lebih parah, kita hari ini berhadapan dengan ketidakyakinan dengan budaya kita sendiri. Sebagai contoh, ramai yang tidak lagi berbangga dengan adat dan tradisi budaya kita yang telah terbukti berjaya membentuk umat Melayu di Malaysia menjadi umat yang kental dengan agamanya, setelah lebih 500 tahun dijajah, terbukti Islam masih kukuh di dalam sanubari umat Melayu.

Tambahan pula, nilai-nilai budaya ini semakin dikikis dan digantikan pula dengan nilai Barat yang sememangnya sudah hilang panduan agama dan tidak mampu membentuk manusia yang baik. Dalam erti kata yang lain, Siddiq Fadzil (2009) sekali lagi dengan tepat menyebutkan bahawa umat yang bermartabat adalah masyarakat yang religious dan berbudaya ilmu. Andainya iman tidak diperkuat, malah sebaliknya dilemahkan dengan budaya hedonistik dan hiburan berunsur maksiat melampau-lampau; andainya kekuatan keintelektualan umat dilumpuhkan dengan menumpulkan daya kritisnya; maka cakap-cakap besar dan gagasan-gagasan ambitious pemartaban bangsa pada hakikatnya tidak akan lebih daripada sekadar lipur lara, sandiwara dan slogan-slogan.

Justeru, generasi muda yang dilahirkan haruslah mempunyai kualiti diri yang cemerlang, cerdas dan berkeperibadian mulia, lantas bangsanya akan menempa kemajuan dan kemakmuran. Hal ini bukanlah satu andaian kosong yang tidak punyai nilai dan makna. Berbekalkan semangat inilah, keyakinan bahawa usaha untuk melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat harus dimulakan dengan membina keperibadian individu dalam masyarakat itu terlebih dahulu. Sebuah masyarakat yang tidak mempunyai individu yang terdidik jiwa dan mindanya tidak akan mampu untuk membawa apa-apa perubahan ke arah kebaikan. Sebuah masyarakat yang melahirkan individu yang lemah, hanya akan menghasilkan sebuah masyarakat yang lemah. Sebaliknya, masyarakat yang terdiri daripada individu yang berkualiti akan mampu melakukan islah dalam ertikata yang sebenar. Inilah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad’u : ayat 11)

Cita-cita ini hanya akan tercapai sekiranya generasi muda ditanam sifat-sifat yang mulia dan terpuji serta dibangunkan potensi minda, jiwa dan jasmani secara menyeluruh. Yang paling utama, mereka harus mempunyai kekuatan keimanan dan idealisme yang tinggi. Ciri-ciri inilah yang merupakan benteng dan kekuatan utama generasi muda untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Sekiranya tidak ada usaha untuk membimbing dan membentuk generasi abad 21 yang benar-benar mantap keperibadian dan sahsiahnya, maka perancangan yang diatur akan terpinggir dan sekali gus terbengkalai. Sebagai generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, maka nilai-nilai Islami harus benar-benar menjiwai kehidupan ini. Selaras dengan tanggungjawab ini, maka generasi muda perlu bijak mengatur agenda- agenda yang berencana dan memberi keutamaan.

Setiap pemuda pemudi Islam harus membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan kepemimpinan ummah. Abad ini dan mendatang adalah abad generasi muda. Sebagai umat yang mempunyai keyakinan akidah, pemuda Islam akan mara dengan penuh yakin untuk mengimarahkan muka bumi Allah SWT ini dan sekali gus melaksanakan tanggungjawab istikhlaf, iaitu tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Justeru, tanggungjawab membina insan yang seimbang dari segi akal, rohani, jasmani dan emosi merupakan keutamaan yang harus diberi perhatian serius. Tanggungjawab mendidik manusia ini tidak harus dijadikan tanggungjawab musim-musiman yang hanya dilaksanakan ketika wujudnya tekanan sosial yang memaksa. Sebaliknya, pelaksanaan tanggungjawab ini mesti lahir dari kesedaran mendalam dan semangat yang jitu. Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, generasi muda Islam sewajarnya mengimpikan erti kemenangan yang tulen. Namun kemenangan itu tidak akan datang dengan sendirinya tanpa mengetahui syarat-syaratnya. Generasi muda Islam perlu akur bahawa kemenangan dan kecemerlangan adalah datang daripada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan kepada mereka yang tidak menolong-Nya. Justeru, dalam upaya kita untuk membina generasi cemerlang yang penuh dengan kemenangan, pemuda Islam hendaklah benar-benar menjadi mukmin yang sejati.

Penulis ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sumber : http : //www.harakahdaily,net/

ISU PENDIDIKAN : Hidupkan kembali status kolej


 Oleh : AHMAD FIRDAUS

CADANGAN mewujudkan Kolej Tingkatan Enam (KTE) saban tahun dilontarkan oleh pelbagai pihak yang menujukkan betapa satu tranformasi pendidikan di peringkat pra-universiti wajar diberi perhatian. Namun belum ada kesudahan sehingga saat ini.

Tidak ramai mengetahui bahawa KTE telah pun wujud dan berusia 22 tahun pada 30 Jun 2013 lalu. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika itu telah menubuhkan KTE dengan memilih calon-calon mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1990.

Tujuan utama penubuhan kolej ini untuk membolehkan pelajar bumiputera yang mencapai kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM mengikuti program STPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan di dalam bidang Perakaunan, Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Undang-Undang.

Kumpulan pertama memulakan pengajian bermula 30 Jun 1991 bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Muar, Muar (SMS Muar) (aliran ekonomi dan undang-undang) dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Air Keroh, Melaka (aliran perakaunan dan pengurusan perniagaan).

Pemilihan mereka diselaraskan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) dengan menggunakan kriteria sama seperti pengambilan calon ke program lain bagi lepasan SPM. Pengambilan kumpulan kedua dan ketiga telah diteruskan selepas itu sehinggalah ia dihentikan pada tahun 1994.

Kajian Pengesanan lepasan kolej ini pada 2012, khasnya kepada kumpulan pertama dan kedua, menunjukkan rata-rata mereka kini telah berjaya cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk menjadi Penolong Peguamcara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Pengarah di Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, peguam, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan.

Dua nama besar dalam industri hiburan tanah air iaitu Julia Juhasu dan Hazil Izham Ismail merupakan bekas pelajar kolej ini. Julia Juhasu merupakan Penerbit Eksekutif, Suhan Movie and Trading. Nama beliau amat terkenal dalam penerbitan drama seperti Ku Milikmu, Nigina mahupun rancangan Pilih Kasih keluaran Suhan Movie yang ditunjangi oleh penerbit, Rosyam Noor. Manakala Hazil Izham Ismail merupakan Penyelaras Penerbit Filem dan merupakan suami kepada pelakon Nadia Mustafa.

Bekas pelajar kumpulan pertama, Nor Azrina Jaafar yang kini merupakan Pegawai di MIMOS adalah balu kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor, wartawan Bernama TV yang meninggal di Somalia pada 3 September 2011.

Kebanyakan bekas pelajar kolej ini telah memiliki pendidikan tertinggi termasuk mempunyai ijazah kedoktoran dan sarjana serta memiliki tauliah peguambela dan peguamcara. Kajian juga mendapati lebih 26 orang daripada kumpulan pertama dan kedua terlibat dalam profesion guru dan pensyarah berbanding kerjaya lain.

Tegasnya di sini, jasa dan sumbangan KTE dalam melahirkan modal insan yang berjaya sudah terserlah melalui testimoni kerjaya bekas pelajar kolej ini.

Dengan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian Pendidikan dilihat kena pada masanya terutama dalam memperkasakan pendidikan pra-universiti khususnya pengajian tingkatan enam.

Kita perlu membuat tranformasi dengan memastikan pengajian tingkatan enam tidak lagi berada dalam lingkungan sekolah, sebaliknya perlu berdiri sebagai feeder kepada institusi pengajian tinggi seperti juga program matrikulasi.

Dalam mengambil langkah luar kotak, KTE boleh dijalankan di universiti awam. Iniasitif ini juga boleh diambil oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pernah menjadi Maktab Perguruan sebelum dinaik taraf kepada universiti bagi bergabung dengan institusi perguruan seluruh negara untuk meningkatkan taraf pendidikan peringkat ini.

Sudah tiba masanya KTE dihidupkan semula dengan pendekatan yang menguntungkan pendidikan negara.

Tanjung Malim, Perak

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Puasa dan penjagaan pemakanan


Oleh : IBRAHIM ABDULLAH

IBADAT puasa amat unik, ia ada hubungan dengan kesihatan dan pemakanan. Sebahagian dari pengisian Ramadan adalah ibadat puasa. Bila disebut puasa atau Ramadan, pelbagai jenis makanan dan juadah dihidang dan dijualbelikan orang. Di samping itu ada makanan dan minuman yang boleh memberi kesihatan kepada tubuh badan seseorang dan ada yang boleh menjejaskan kesihatan pemakannya.

Justeru, ALLAH SWT sayang kepada hamba-Nya, maka diwajibkan berpuasa supaya manusia terdidik untuk menjaga kesihatannya. Melakukan puasa adalah salah satu cara untuk mengurus kesihatan. Ibadat puasa juga sebagai benteng daripada api neraka.

Dalam konteks menjaga kesihatan dan pemakanan, pakar-pakar kesihatan mengakui hakikat menjaga pemakanan merupakan faktor terpenting menentukan tahap kesihatan. Rasulullah SAW menyatakan dalam hadis bermaksud: “Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat.” (Riwayat Ibnu Majah).

Berpuasa mempunyai hubung kait dengan makanan dan minuman. Apabila kita berpuasa, jadual masa makan dan minum telah berubah. Bersahur adalah ganti kepada sarapan pagi, manakala berbuka puasa adalah ganti makan malam.

Ada kalanya suatu penyakit disebabkan faktor keturunan atau keadaan setempat tetapi kebanyakan penyakit berlaku kerana tabiat dan aktiviti pemakanan yang tidak dikawal. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Perut itu adalah rumah penyakit.” Maksud perut dalam hadis itu bukanlah saiznya tetapi apa yang diisi ke dalam perut berupa makanan dan minuman. Nabi menyatakan lagi maksudnya: “Perut itu semacam telaga bagi badan, urat dan pembuluh darah. Apabila perut itu sakit maka pembuluh darah itu akan membawa penyakit.”

ALLAH TAALA menegaskan dalam al-Quran agar seseorang mukmin hendaklah memakan makanan yang halal lagi baik, bersih dan suci tetapi tidak melakukan secara berlebihan kerana makan yang diambil secara berlebihan akan mengundang penyakit walaupun bukan pada waktu itu tetapi dalam jangka masa panjang. Firman ALLAH bermaksud: “Dan makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya (ALLAH) tidak sukakan mereka yang berlebih-lebihan.” (Al-’Araf : 31).

Apa yang berlaku kepada kita hari ini apabila kita berada dalam keadaan mewah dan mudah mendapatkan makanan yang pelbagai tidak termasuk makanan popular seperti ‘makanan segera’ dan penyemburan racun pada sayuran dan buah-buahan serta berbagai-bagai kesan bahan pengawet, pembungkusan yang membawa kepada penyakit kanser dan lain-lain.

Nabi SAW memberi panduan kepada kita yang apabila kita ikuti adalah jaminan kepada kesihatan yang baik. Sabda Baginda bermaksud: “Makanlah ketika kamu lapar dan berhentilah sebelum kamu kenyang.” Sabda Nabi SAW lagi bermaksud: “Tidaklah anak Adam itu memenuhi bekas yang paling hina dari perutnya. Memadai anak Adam itu makan  beberapa suap yang membolehkan berdiri tulang belakang (bekerja kuat). Sekiranya ia tidak mampu melakukan (makan yang sedikit itu) maka hendaklah ia membahagikan perutnya sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk pernafasan.”

Oleh sebab itu ibadat puasa adalah sebagai satu latihan untuk mengawal makan dan minum seseorang dan sebagai satu peringatan supaya kita sentiasa menjaga makanan dan minuman bagi menjamin kesihatan yang baik.

Walaupun Nabi SAW menyatakan: “Setiap penyakit itu ada ubatnya.” Sebaliknya Nabi juga berpesan dengan maksud : “Memelihara daripada terkena penyakit itu lebih baik daripada mengubat penyakit tersebut.”

Ibadat puasa melatih seseorang selain bertakwa dari segi rohani, juga dapat menjaga kesihatan jasmani. Pakar-pakar kesihatan dan sains dari Barat mengakui mengenai ibadat puasa sebagai ubat dan penawar bagi kesihatan fizikal dan mental.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 11 Julai 2013

ISU SOSIAL : Perkukuhkan pendidikan keselamatan murid sekolah


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

EKORAN  perbuatan jenayah yang kejam terhadap kanak-kanak seperti culik, penderaan, liwat, rogol dan juga pembunuhan, kita kini perlu lebih mendidik anak-anak bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri. Melindungi anak-anak daripada  keganasan adalah suatu komponen yang menyeluruh dalam membela hak mereka untuk hidup, membesar dan membangunkan potensi  diri.

Melindungi anak-anak daripada perbuatan jenayah adalah tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak berkuasa tetapi masyarakat secara keseluruhannya harus turut memainkan peranan. Perlindungan ke atas anak-anak harus dimulakan oleh ibu bapa dari rumah. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak bagaimana untuk respons kepada situasi yang berbahaya.

Ibu  bapa juga harus menasihatkan anak-anak mereka supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang keselamatan dan tindakan  yang perlu mereka lakukan apabila sesuatu insiden berlaku.

Sekolah boleh memainkan peranan yang penting di dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di  sekolah rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.

Pihak polis dan pihak berkuasa lain juga boleh melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan perlindungan yang lebih baik  untuk kanak-kanak khasnya dan orang awam secara amnya. Langkah-langkah seperti rondaan kaki di kawasan yang berisiko tinggi harus diperhebatkan; kerap mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan pertubuhan perniagaan bagi menyuarakan tentang isu-isu keselamatan serta mengadakan lebih banyak kempen pencegahan jenayah. Pihak berkuasa tempatan perlu mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk dipasangkan kamera litar tertutup (CCTV) dan memberi lebih banyak perhatian terhadap pencahayaan yang baik di lorong-lorong dan simpang-simpang jalan yang gelap dan sunyi.

Memandangkan kadar jenayah masih serius dan kekerapan kebimbangan orang awam terhadap isu keselamatan, saya ingin menegaskan keperluan untuk mewujudkan konsep 'Masyarakat Selamat'. Definisi 'masyarakat selamat' adalah tempat di mana orang ramai tinggal, bekerja dan berekreasi dengan selamat dan sihat.

Selain memperbaiki kehidupan individu, masyarakat selamat dapat mewujudkan banyak manfaat bersama seperti jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan kadar jenayah, meningkatkan produktiviti serta persaingan, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan mengurangkan  perbelanjaan sosial  yang  lain.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Lebih 41,000 Calon Dapat Tawaran Ke IPTA Sesi 2013/2014


PUTRAJAYA : Seramai 41,573 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Morshidi Sirat berkata, mereka dipilih daripada 68,702 permohonan.

"Seramai 24,489 atau 58.9 peratus adalah daripada aliran sains dan 17,084 (41.1) peratus lagi aliran sastera.

"Daripada jumlah ini seramai 28,280 calon wanita berjaya mendapat tempat di IPTA dan selebihnya lelaki," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu 49 calon Orang Asli turut menerima tawaran ke IPTA, 68 calon orang kelainan upaya, dan 1,515 atlet kebangsaan dan antarabangsa, katanya.

Morshidi berkata, pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepadacalon yang berjaya mulai Jumaat.

Prestasi calon yang berjaya mengikut kaum adalah 30,903 (74.3 peratus) Bumiputera, 7,913 (19 peratus) Cina, 1,824 (4.4 peratus) India dan 933 (2.3 peratus) kaum-kaum lain, katanya.

Morshidi berkata, seramai 5,765 calon ditawar mengikuti program pengajian kompetitif iaitu perubatan (699), pergigian (119), farmasi (260), undang-undang (385), kejuruteraan kimia (953), kejuruteraan mekanikal (1,304), kejuruteraan elektrik dan elektronik (1,122) dan perakaunan (923).

Beliau berkata, kejayaan calon untuk memperoleh tempat di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

"Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar calon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian dalam pilihan mereka," katanya.

Morshidi berkata selain itu, jika calon hanya memohon di IPTA yang popular, mereka akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata semakan keputusan permohonan ke IPTA bolehdibuat melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my bermula Khamis, atau menghubungi talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

"Calon-calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh IPTA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 21 Julai. Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA," katanya.

Mereka juga boleh datang ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di Presint 5 untuk membuat semakan mulai hari ini sehingga 21 Julai.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari melalui e-Rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai Khamis dan berakhir 21 Julai 12 tengah malam.

Katanya, keputusan pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat danrayuan dianggap gagal jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30September depan.

Morshidi berkata, tarikh pendaftaran pelajar baharu ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 September. - BERNAMA

Rabu, 10 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Wujudkan dasar 'mesra keluarga'


Isu pertukaran guru bukanlah isu kecil. Justeru diharapkan Kementerian Pendidikan mengambil berat isu ini dan berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan dasar mesra keluarga. Ini penting bagi menyelesaikan isu pertukaran guru, terutama guru perempuan yang telah berkeluarga dan terpisah daripada suami dan anak-anak.

Bagaimana perasaan kita jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri? Bayangkan perasaan dan kesusahan isteri yang berjauhan daripada suami dan terpisah daripada anak-anak.

Contohnya, jika guru itu mempunyai tiga anak yang masih kecil, seorang tinggal dengan suami, dua lagi yang kecil tinggal dengan isteri. Suami dan anak itu pula berulang alik setiap minggu dengan pengangkutan awam dan kenderaan sendiri. Bukankah ini terdedah kepada risiko kemalangan?

Bayangkan jika si isteri bertugas sebagai guru, bolehkah menumpukan sepenuhnya pada kerjaya mendidik anak-anak bangsa, sedangkan anak-anak sendiri menderita dan terabai?

Saya juga difahamkan ada langkah yang menambahkan keparahan dalam isu ini iaitu penempatan awal (first posting) guru ke negeri asal masing-masing dengan alasan tidak mahu menimbulkan masalah pertukaran pada masa akan datang. Maka ada yang bujang belum berkeluarga, berjaya ke negeri asal.

Bayangkan bagaimana guru-guru yang telah berkeluarga mahu mengikuti suami akan berjaya dalam permohonan pertukaran mereka jika tempatnya telah diambil oleh guru-guru baru ini? Bukankah langkah ini menambahkan penderitaan, bukannya menjadi ubat?

Sementara itu, ada guru yang mengalami masalah kesihatan seperti lelah juga tidak berjaya dalam permohonan mereka. Adakah kita mahu menunggu dia mempunyai masalah kesihatan kronik sahaja untuk dipertimbangkan permohonannya? Sedangkan untuk menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama anak-anak ialah ketika sihat.

Saya menyeru Kementerian Pendidikan melakukan penambahbaikan dan transformasi dengan segera dalam isu ini. Begitu juga persatuan dan kelab guru hendaklah membela guru-guru dalam masalah ini.

Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi terikat dengan prosedur dan cara lama, contohnya menetapkan berapa tahun berkhidmat baru boleh dipertimbangkan pertukaran. Ubah dengan dasar mesra keluarga.

Contohnya, walaupun guru yang berkhidmat 10 tahun mohon tukar, tetapi tinggal bersama suami isteri; atau guru yang berkhidmat lima tahun ke atas mohon tukar tetapi masih bujang atau tidak mempunyai anak, dibandingkan dengan guru yang baru  dua tahun berkhidmat tetapi terpisah dengan suami dan anak-anak. Mana yang mahu didahulukan mengikut perikemanusiaan? Lihatlah keperluan secara perikemanusiaan bukannya tahun perkhidmatan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga tidak boleh lagi terikat dengan opsyen kekosongan guru. Setiap guru dilatih untuk berkhidmat dengan semua opsyen jika diperlukan, kecuali opsyen yang kritikal seperti bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jika kita lihat situasi sebenar, ada guru yang bukan mengajar opsyen yang sebenar tetapi mampu mengajar dengan baik dan tiada masalah. Sebabnya guru ini semasa belajar telah dilatih dengan ilmu keguruan secukupnya. Jadi apa yang paling penting dasar mesra keluarga ini perlu diterjemahkan, bukan dasar opsyen lagi.

Pihak kementerian juga perlu menghargai sokongan guru-guru yang sentiasa menyokong dan mempertahankan dasar kerajaan. Mereka ini perlu dihargai dan dibantu termasuk menolong dalam meluluskan permohonan pertukaran mereka.

Akhir sekali semoga isu pertukaran guru ini ditangani secara bijak dan betul. Semoga Kementerian Pendidikan iakan sentiasa ke hadapan.

ALNORULHADI AB. HAMID

Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Masalah Pertukaran Guru Perlu Beri Keutamaan Kepada Guru Lama


KUALA LUMPUR : Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.

"Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.

"Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.

Mohamed Sabri berkata jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.

"Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan," katanya.

Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.

Beliau berkata masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.

"Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.

"Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai," katanya.


Alimuddin yang juga bekas ketua pengarah pelajaran berkata isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. - BERNAMA