Khamis, 18 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pertukaran guru perlu mekanisme kemanusiaan terbaik


Oleh : TARMIZI ABDUL RAHIM

SETIAP tahun, Jun dan Disember adalah dua bulan keramat yang sentiasa ditunggu-tunggu kelibatnya oleh para guru yang terpaksa berjauhan daripada keluarga termasuk isteri, suami dan anak-anak.

Hal ini kerana dalam kedua-dua bulan itu, penantian mereka akan terjawab sama ada permohonan pertukaran sekolah diterima atau sebaliknya. Bagi yang berjaya, maka bergembiralah tetapi yang gagal, seperti biasa akan mengulangi permohonan sama sehingga berjaya.

Mungkin bagi guru yang bertugas di Semenanjung dan keluarganya juga berada di sana, tidak seberat beban, keluh-kesah dan kerinduan melampau terpaksa ditanggung oleh para guru yang bertugas di Borneo tetapi keluarganya pula berada jauh di 'seberang laut'.

Dalam kes pertama, alternatif pengangkutan banyak terhidang iaitu selain daripada jalan udara, jalan darat juga pada bila-bila masa boleh digunakan. Tetapi berbeza dengan mereka yang berada di Borneo, tiada pilihan melainkan hanya melalui jalan udara.

Semua sedia maklum bahawa kos 'hangus' yang terpaksa ditanggung bukannya murah, hingga terkadang boleh melangkaui gaji bulanan para guru tersebut.

Bagaimanapun, situasi ini sedikit menampakkan jalan penyelesaiannya apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini mengakui bahawa guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing, dari segi kemanusiaannya tidak elok dan kurang sesuai.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi membolehkan masalah berkenaan dapat diatasi.

Perkara ini sebenarnya agak kritikal dan perlu ditangani sebaik mungkin kerana dikhuatiri falsafah pendidikan negara yang antara lain bertujuan melahirkan modal insan terbaik gagal tercapai.

Secara semula jadi, mana-mana manusia waras yang ditimpa kerinduan melampau, emosi mereka yang tidak stabil akan terganggu sekali gus menyebabkannya gagal memberikan persembahan atau output terbaik.

Situasi ini bukan berlaku secara satu hala tetapi sebaliknya dua hala iaitu anak-anak, suami atau isteri yang ditinggalkan itu juga mengalami permasalahan sama. Sila betulkan sekiranya penulis tersilap.

Malah sekiranya dibiarkan, kebarangkalian berlakunya perkara yang tidak diingini juga agak tinggi, sesuatu yang tidak perlu dihuraikan kerana majoriti daripada kita maklum mengenainya.

Penulis ingin berkongsi sedikit masalah seorang rakan yang pada masa ini hampir putus asa setelah bertahun-tahun usahanya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya sehingga kini masih lagi belum tertunai!.

Guru wanita di sebuah sekolah rendah di Sarawak ini mempunyai tujuh cahaya mata dan terpisah jauh daripada suaminya di Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu. Anak-anaknya berusia antara 15 dan empat tahun, lima daripadanya tinggal bersama suami di Kelantan, manakala dua lagi tinggal bersamanya di Sarawak.

Guru tersebut, seorang guru JQAF mula ditempatkan di sini sejak Julai 2008, manakala suaminya bekerja di Kelantan. Sehingga bulan ini, beliau telah memohon pertukaran sebanyak 6 kali iaitu setiap tahun dan malangnya kesemuanya ditolak.

"Saya takut kerana berjauhan, hubungan saya, suami dan anak-anak menjadi renggang. Sebagai seorang ibu, saya cukup sedih bila tidak dapat mengasuh dan berkongsi masalah dengan anak-anak yang semakin meningkat remaja.

"Sebagai pendidik saya ingin mendidik anak bangsa dengan penuh semangat tetapi memandangkan masalah saya yang berlarutan, membuatkan saya sentiasa tertekan kerana terpaksa menguruskan dua anak seorang diri dan pada masa sama teringatkan nasib anak-anak lain yang berada jauh, tambahan lagi anak sulung akan menghadapi Penilaian Menengah Rendah tahun ini," katanya.

Keluhnya lagi kepada penulis, beliau dan suami seboleh-bolehnya ingin berulang-alik antara Sarawak dan Kelantan sekerap mungkin tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kerana kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi.

Penulis beranggapan, kes guru ini mungkin hanya sekadar kes terpencil bagi pegawai-pegawai bertanggungjawab, tetapi percayalah bagi beliau dan keluarganya, kes ini adalah yang paling besar, paling utama dan amat ditagih oleh anak-anaknya.

Terpulanglah kepada mereka yang terbabit untuk melakukan sesuatu yang wajar atau sebaliknya, ini kerana guru ini akan tetap sekali lagi melakukan rutin sama, iaitu mengisi permohonan pertukaran yang hanya boleh dilakukan secara online sahaja itu.

Sementara anak-anaknya pula dalam masa beberapa kali setahun semasa berjumpa dengan ibunya akan mengulangi soalan sama, "bila ibu nak balik".

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru Tidak Harus Mudah Terpengaruh Paparan Media Sosial


KUALA BESUT : Guru digesa agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang paparan negatif mengenai kerajaan menerusi media sosial sehingga timbul sikap tidak mempercayai dan membenci pemerintah.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru sebagai profesion yang mulia dan dihormati, perlu mahir menilai sesuatu isu serta tidak membelakangi tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Katanya banyak perkara negatif dipaparkan dalam media sosial yang tidak diketahui sumber sebenar dan ini perlu ditapis setiap guru yang merupakan golongan terpelajar.

"Kalau ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan warganya yang hebat, guru seharusnya mengenepikan amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetangah media sosial," katanya ketika berucap pada program Bicara Intelektual kepada warga pendidik di Institut Pendidikan Guru Malaysia Sultan Mizan di Bukit Keluang di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dan Pengarah IPG Sultan Mizan, Kamaruddin Hashim.

Beliau berharap para guru untuk terus berbakti menjadikan Malaysia sebuah negara hebat menjelang 2025 dan bergerak seiring dengan kerajaan bagi membangunkan modal insan yang hebat untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Idris menyarankan agar digabungkan tenaga dalam kalangan pakar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan wujud pengaliran ilmu dan kemahiran secara terus yang boleh dimanfaatkan pelajar di peringkat sekolah.

Menurut beliau, melalui penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, para akademik seperti profesor dan pensyarah boleh menyampaikan ilmu dan kepakaran mereka kepada pelajar sekolah dan maktab pada bila-bila masa.

"Kita tidak mahu lagi melihat pakar atau profesor berada dalam alam pekerjaan mereka di IPT sahaja, malah sekali-sekala mereka juga boleh turun padang untuk menyampaikan ilmu di sekolah," katanya.

Justeru, katanya langkah yang  dilaksanakan Universiti Sains Malaysia(USM) Kelantan mengadakan Program Brain Bee dengan SMK Kuala Besut yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi , boleh dicontohi. - BERNAMA

Rabu, 17 Julai 2013

ISU SOSIAL : Kekang trend pembunuh upahan


Oleh : NURUL ANUAR KARI

MENYEBUT tentang pembunuh upahan, mungkin tidak ramai menyangka trend kerjaya lumayan itu sudah mula menapak di Malaysia yang selama ini aman damai berbanding jiran-jirannya.

Mereka yang pernah menonton filem ikonik, Kill Bill tentang hidup seorang pembunuh upahan mungkin berasa kagum dengan 'prinsip dan maruah' yang diamalkan golongan pembunuh profesional di peringkat antarabangsa.

Namun, pembunuh upahan di Malaysia dikhuatiri terdiri daripada golongan amatur tanpa prinsip dalam memilih 'tugasan' mahupun maruah dalam melaksanakan 'hukuman'  terhadap mangsa mereka.

Ini khususnya bagi golongan muda yang baharu berjinak dengan dunia jenayah dan hanya memikirkan upah, kecil atau besar, tanpa ambil peduli alasan seseorang mengupah mereka membunuh asalkan ada bayaran.

Tidak kurang juga penjenayah muda yang membunuh demi kuasa dalam sesebuah kumpulan mahupun untuk menaikkan nama dalam kalangan kumpulan gengster dan samseng yang berebut kawasan atau semata-mata atas faktor dendam.

Lebih membimbangkan, sementara mendapat 'tugasan baharu' pembunuh upahan juga terlibat dalam jenayah seperti rompak, ragut, culik dan sebagainya, meningkatkan kebarangkalian mereka menggunakan senjata api ke atas mangsa dan orang awam.

Orang ramai semakin bimbang apabila kejadian pembunuhan dengan senjata api semakin banyak berlaku tetapi tangkapan dan penyelesaian kes tidak begitu menonjol.

Adakah faktor manusia yang 'hati kering' menjadi punca peningkatan trend pembunuh upahan ini ataupun masalah senjata api yang semakin mudah diperolehi di negara ini?

Bagi Penasihat Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan, kejadian pembunuhan bersenjata kini berlainan dengan zaman dahulu yang rata-ratanya dilakukan pengganas komunis.

"Dahulu komunis pilih sasaran yang menghalang agenda dan rancangan mereka sahaja tetapi sekarang lain pula, golongan pembunuh ini semua datang daripada kumpulan-kumpulan muda.

"Mereka juga terdiri daripada banyak bangsa, mungkin Cina, India mahupun Melayu, sukar untuk tentukan bangsanya. Mungkin juga kerja warga asing khususnya dalam kes-kes berhampiran sempadan negara," katanya.

Beliau melihat mangsa dalam beberapa kes di Pantai Timur melibatkan golongan peniaga yang mungkin terlibat dengan perniagaan mencurigakan, serta mereka yang terlibat dalam penguatkuasaan.

Jelas Mohd. Jamil, mangsa terdiri pelbagai peringkat daripada golongan kaya kepada pemandu lori yang mungkin dibunuh warga asing upahan atas faktor dendam ataupun persaingan perniagaan seperti judi dan pelacuran.

"Pembunuh mungkin tidak fikirkan keuntungan dalam menerima tugasan membunuh ini. Mungkin melibatkan satu geng yang bermaharajalela ataupun lebih daripada satu geng tetapi rasanya kematian dalam kes rompakan bersenjata tidak melibatkan pembunuh upahan.

"Saya tiada maklumat terkini tetapi polis mungkin tidak mahu dedahkan lagi maklumat atau bukti terhad tentang pembunuhan yang dilakukan kerana siasatan masih berterusan," ujarnya.

Dalam soal penyeludupan senjata api, beliau berpendapat pihak yang mahu membawa masuk senjata mampu melakukannya dengan mudah walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil pihak berkuasa di sempadan negara.

Tegas Mohd. Jamil, pergolakan dan penggunaan senjata api yang berleluasa tanpa kawalan di negara jiran memudahkan penyeludup mencuba pelbagai cara membawa masuk senjata ke Malaysia.

"Kita lebih tegas dalam pemilikan senjata api di negara ini berbanding negara jiran. Mereka yang ditangkap membawa senjata api tanpa lesen (tetapi tidak digunakan) boleh didakwa, membawa kepada denda atau penjara.

"Mereka yang menggunakan senjata api tanpa lesen itu pula, khususnya dalam kegiatan jenayah seperti rompak dan ragut, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup," jelasnya.

Mohd. Jamil bagaimanapun melihat masalah pembunuh upahan banyak bergantung kepada faktor manusia kerana bukan mudah untuk seseorang membunuh manusia lain.

"Untuk jadi pembunuh kena berani dan hati kena keras, bukan main tembak sahaja. Tidak semestinya ada senjata sudah boleh bunuh orang jika tiada kekuatan.

"Jika ada ketakutan dalam diri, tembak pun mungkin tidak kena. Itulah yang terjadi dalam kes tembak berkali-kali tetapi tidak kena pun pada sasaran," dakwanya.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said pula menyifatkan trend baharu menjadikan rakyat Malaysia sasaran pembunuh upahan adalah sesuatu yang amat menakutkan.

"Ini perlu dijadikan keutamaan pihak berkuasa untuk halangnya daripada berleluasa jika mahu sebuah masyarakat yang aman dan selamat. Jika peras ugut, curi, rampas, orang tidak begitu gerun berbanding ketakutan mangsa pembunuh upahan.

"Walaupun ada kes-kes melibatkan pembunuh individu, saya fikir punca utama adalah sindiket atau gengster tertentu yang meningkatkan kaedah mereka menakutkan sasaran dengan mengupah pembunuh upahan," ujarnya.

Tambahnya, dahulu ramai yang berpendapat pembunuh upahan datang dari negara-negara jiran tetapi bagi beliau, kini pembunuh upahan ada dalam kalangan orang kita sendiri, lebih-lebih lagi senjata api begitu mudah diperoleh melalui sempadan negara jiran yang tidak stabil.

Menurut Zaini lagi, rakyat kita perlu ada kesedaran untuk tidak terlibat dengan aktiviti jenayah termasuk meminjam daripada pihak tidak berlesen. "Peminjam haram semakin cenderung menggunakan kekerasan jika hutang tidak dibayar," katanya.

Beliau turut mengesyaki terdapat kumpulan tertentu yang menyumbang kepada trend tersebut dengan menyediakan perkhidmatan menyewa senjata api untuk tempoh singkat.

Zaini berharap pihak polis dapat menambah pasukan risikan untuk mencari orang yang terlibat dan menghalang mereka sementara pasukan-pasukan tindakan pula menangkap pembunuh upahan terbabit dengan segera.

"Saya percaya polis kita mampu menangkap mereka jika cukup sumber risikan, tambahan pula penjenayah itu juga manusia biasa yang pasti akan tersilap langkah.

"Tingkatkan juga pengawasan keselamatan awam dan nasihati golongan berisiko tinggi menjadi mangsa. Saya sendiri bimbang dengan trend ini apatah lagi ia turut menjejaskan imej negara kita di mata dunia," tegas Zaini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 16 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perlu sokong usaha berani


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Jika mahu dihitung usaha kerajaan mentransformasi bidang pendidikan negara, pasti tidak terhitung banyaknya.

Bermula dengan Penyata Razak 1956, kini kepada imej global melalui Pelan Pembangunan Pendidikan, usaha itu wajar dihargai.

Usaha paling proaktif dan berani itu bukan saja bagi menjenamakan semula bidang pendidikan negara malah meletakkan modul pendidikan dalam kelas tersendiri.

Apatah lagi dengan rantaian sistem yang semakin komprehensif, ramai tidak sabar melihat hasil transformasi itu yang dianggap pembaharuan paling berani untuk bidang pendidikan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru apakah harapan tinggi itu juga boleh membuka minda masyarakat supaya melihatnya dalam skop lebih luas?

Atau hanya sekadar sokongan dengan tindakan tunggu dan lihat. Dan apakah mereka punya keyakinan bidang pendidikan boleh dijenamakan semula hingga menjangkau pering­kat antarabangsa atau sebaliknya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat perlu melihat usaha proaktif ini sebagai anjakan keberanian menjenamakan semula bidang pendidikan negara.

Beliau berkata, transformasi ini komitmen pihak berkenaan yang mahu melihat sistem pendidikan negara melangkah ke frasa baru yang lebih dinamik dan berkeupayaan tinggi demi generasi masa depan.

“Boleh dikatakan, ini adalah usaha berani yang melangkau frasa sedia ada sejajar hasrat menjadikan dunia pendidikan negara lebih berwibawa.

“Transformasi ini juga adalah satu keberanian untuk membawa bidang pendidikan negara ini ke tahap profesional, berkualiti serta mempunyai jenama antarabangsa.

“Justeru, mengapa perkara yang baik ini perlu dipertikaikan?

“Semua ini ada manfaatnya khususnya kepada pembinaan masa depan pelajar kita akan datang,” katanya.

Malangnya di tengah kesediaan bidang pendidikan negara melakukan transformasi itu, ada pihak mengang­gapnya begitu drastik serta mempunyai standard sasaran terlalu tinggi.

Beliau berkata, pihak tertentu boleh melahirkan kebimbangan namun pada masa sama perlu melihatnya dari sisi berbeza terutama kesan jangka panjang.

Menurutnya, transformasi itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa,  bahkan dilakukan mengikut saluran, frasa, kaji selidik masyarakat serta kajian pakar pendidikan.

“Memang ada pihak menganggap transformasi dunia pendidikan negara hari ini sangat drastik hingga mewujudkan pertikaian tertentu.

“Ditegaskan, transformasi ini dilakukan dengan profesional dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Masyarakat perlu yakin dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap usaha ini. Cuba dalami hasrat kerajaan mengapa transformasi ini perlu dilakukan,” katanya tidak menafikan pasti wujud keraguan perkara berbangkit terhadap pembaharuan yang cuba dilaksanakan.

“Setiap pembaharuan pasti ada masalah dan kepincangan namun kita tidak boleh menganggapnya sebagai masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Bidang pendidikan negara kita dalam proses belajar dan setiap yang terbabit dengannya perlu melalui proses yang sama.

“Ia adalah proses yang baik. Dari situ kita dapat menilai, melihat, memperbaiki dan mempertingkatkan kelemahan mahupun kekurangan sedia ada.

“Yang penting, kita ada keberanian melakukan perubahan. Jika tidak selamanya kita akan berada di takuk lama,” katanya.

Beliau turut optimis sistem pendidikan negara berada pada landasan betul dan sedang sedaya upaya menjadikan segala perancangan satu kejayaan jangka panjang.

Katanya, penggunaan penilaian standard antarabangsa seperti TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment) sering dijadikan rujukan.

“TIMMS adalah penilaian antarabangsa yang menilai kurikulum mata pelajaran Matematik dan Sains dalam sesebuah sistem pendidikan.

“PISA adalah penilaian antarabangsa yang menilai tiga jenis kecekapan, iaitu membaca, menitikberatkan pengetahuan matematik dan pengetahuan sains dalam keadaan sebenar oleh pelajar dalam sesebuah sistem pendidikan.

“Malaysia ingin menempah kedudukan dalam kategori satu pertiga teratas negara-negara di dunia yang mempunyai sistem pendidikan bermutu, justeru transformasi ini adalah antara langkah awal,” katanya.

Ditanya sama ada sistem yang digunakan sekarang mempunyai kelemahan hingga perlu diberi perubahan, beliau berkata setiap sistem pendidikan negara di dunia perlukan perubahan bagi tujuan penambahbaikan.

“Negara yang mempunyai pendidikan terbaik di dunia pun melakukan perkara sama kerana perlu selari dengan peningkatan kualiti dan permintaan semasa.

“Kita tidak perlu mempertikaikan apa yang sedang dilakukan sistem pendidikan negara kerana objektifnya untuk kebaikan.

“Dalam sejarah dunia, tiada sistem pendidikan yang diperkenalkan bertujuan sebaliknya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet IT bentuk sikap antisosial, agresif generasi Y


Oleh : NORILA DAUD

SEJAK kebelakangan ini golongan tua sering merungut tentang sikap sesetengah anak muda yang tidak menghormati mereka, enggan menegur sapa, tidak memberi salam atau bersalaman jika bertemu di khalayak ramai, di majlis keramaian, di rumah dan pejabat.

Sikap tidak menghormati golongan tua ini amat jelas berlaku di pejabat-pejabat apabila kakitangan dan para pegawai kanan tidak disapa oleh pendatang baharu sehingga mereka dilabelkan sebagai golongan cerdik pandai yang tidak beradab dan 'kurang ajar'.

Jika dibandingkan pada tahun 1980-an hingga 1990-an, kakitangan muda walaupun lepasan pelbagai universiti dari dalam dan luar negara, namun mereka bertegur sapa dengan golongan lebih senior di pejabat kerana bersopan santun memang sinonim dengan orang Melayu malahan menjadi amalan sejak zaman datuk nenek kita sehingga ke hari ini.

Anak-anak muda sepatutnya memanggil tuan, puan, abang, kakak, makcik, pakcik, datuk atau nenek kepada golongan yang lebih dewasa mengikut peringkat usia dan pangkat seseorang serta mengucap terima kasih kepada setiap pemberian yang diterima. Ucapan selamat pagi dan petang atau Assalamualaikum bagi yang beragama Islam setiap kali bertemu sepatutnya menjadi amalan murni ke arah kesejahteraan.

Malangnya, ucapan demikian semakin hilang dibaham era Internet. Generasi muda kini sebaliknya hanya berkata ' hai.. .'  ketika bersua muka dan 'bye-bye' ketika berpisah. Ucapan tersebut lebih ringkas, trendy dan universal.

Apakah media sosial seperti  Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkat (SMS) serta Whatsapp yang sangat dekat di hati insan yang celek teknologi maklumat (IT) boleh dikaitkan dengan hilangnya nilai-nilai ketimuran dan unsur keagamaan dalam kalangan generasi muda?

Jika dikaji kesan dan pengaruh teknologi telekomunikasi kepada manusia dan kemanusiaan, sepatutnya gajet-gajet berhubung IT yang terdapat dalam pasaran itu membantu mendekatkan yang jauh dan mengecilkan jurang perbezaan antara manusia di dunia.

Dari sudut lain, perkembangan IT ini turut melalai dan mengalpakan anak-anak generasi Y ini kepada alam sekeliling sehingga terbentuknya budaya anti sosial, individualistik dan tidak mesra dengan orang di sekeliling mereka.

Bukan sahaja generasi muda menjadi sedemikian, malah generasi tua juga sudah semakin terpisah dengan jiran-jiran kerana terlalu ghairah melayan kerenah Facebook, Twitter dan blog-blog pilihan mereka. Ringkasnya, manusia hari ini disogokkan dengan terlalu banyak informasi sehingga lupa kepada dunia nyata di sekeliling mereka.

Apa yang penting bagi kumpulan ini ialah mengemas kini status mereka dalam facebook dan membaca SMS walaupun berada dalam majlis ilmu dan keramaian. Majlis berkenaan sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan beramah mesra dengan para hadirin. Semua SMS yang dianggap tidak penting sepatutnya dibalas ketika berada di rumah.

Sehubungan perkembangan itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dengan jumlah pengguna Facebook sebanyak 13.22 juta daripada 28 juta penduduk. Statistik ini berdasarkan jumlah pengguna Facebook dalam senarai 50 negara utama di dunia sehingga Oktober 2012. Sehubungan itu, sebanyak 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook tinggal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Malaysia berada di belakang Jepun yang mempunyai 16.36 juta pengguna Facebook manakala Thailand di tempat ke-16 dengan 17.47 juta manakala Indonesia berada di tangga keempat dengan 50.53 juta pengguna media sosial itu. Sehubungan itu, 50 peratus daripada jumlah pengguna Facebook di Malaysia tinggal di Kuala Lumpur.

Gajet-gajet IT ini terbukti telah membentuk satu fenomena tidak menghiraukan orang lain kerana dunia alam maya lebih menyeronokkan dan memaklumkan perkembangan terkini yang berlaku di dunia sehingga sanak saudara dan orang tua yang berkunjung ke rumah mereka tidak dihiraukan oleh anak-anak muda.

Fenomena tidak menegur dan bermesra dengan rakan-rakan sepejabat dan jiran di sebelah rumah mungkin berpunca daripada latar belakang keluarga dan pergaulan sosial mereka yang terbatas. Sejak kecil lagi ibu bapa menasihatkan anak-anak supaya tidak mudah mesra dengan orang yang tidak dikenali berikutan kes culik dan rogol yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, golongan berkenaan apabila memasuki dunia remaja sudah dipupuk dengan sikap berhati-hati sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Sikap remaja sedemikian membuat golongan dewasa melontar tuduhan sehingga melabel anak-anak muda hari ini sebagai 'kurang ajar' dan kadangkala mendakwa sistem pendidikan semasa kurang menitikberatkan kepada nilai-nilai sivik dan adat ketimuran.

Dalam apa juga perkembangan teknologi, sepatutnya masyarakat khusus Melayu mestilah mengekalkan amalan dan adat ketimuran yang diwarisi turun temurun kerana hanya nilai-nilai tersebut membezakan antara Melayu dengan bangsa dan adat kaum lain walaupun mereka tinggal di Malaysia.

Kemodenan dan perkembangan teknologi jika diikuti tidak akan habis-habis dan tiada penghujungnya kerana setiap hari model terbaharu dengan teknologi terkini akan dijual di pasaran. Sebaliknya nilai ketimuran dan adat istiadat Melayu akan hilang di muka bumi ini sekiranya Generasi Y enggan mewarisinya.

Dikhuatiri satu hari nanti bangsa Melayu tidak akan dikenali sebaliknya yang tinggal hanya pada nama Yusof, Kadir atau Fatimah yang bangsa Arab dan orang Islam lain di dunia turut mempunyai nama demikian kerana mereka beragama Islam.

Jadi fikir-fikirkanlah anak-anak muda apakah masih mahu atau tidak untuk mengekalkan kebudayaan dan adat istiadat dan sopan santun orang Melayu?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 15 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pelajar kita masih tumpul kemahiran insaniah


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Generasi muda gagal berfikir secara kritis

Bagi mereka yang bertugas sebagai tenaga akademik di institusi pengajian tinggi, pada setiap awal semester pengajian mereka selalu mengharapkan kemasukan pelajar baru yang memiliki kemahiran insaniah tinggi. Bagaimanapun, tenaga akademik ini sedar bahawa pelajar yang mereka terima adalah produk daripada sistem pendidikan sedia ada.

Kemahiran insaniah atau soft skill adalah istilah sosiologi berhubung EQ (Emotional Intelligence Quotient) seseorang individu, berkaitan ciri atau sifat personalitinya, kemahirannya bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, kebiasaan atau tabiat yang positif, suka bergaul dan optimis dalam kehidupan serta lingkungan sosialnya.

Berikut, dapatan umum yang saya peroleh daripada teman di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Daripada sejumlah pelajar baru, pada umumnya hanya segelintir kecil memiliki kemahiran insaniah yang boleh berkembang. Majoriti yang lain kurang kemahiran bersosial, hanya bergaul dalam kelompok kecil. Mereka juga tidak dapat berkomunikasi dengan baik, termasuk tidak dapat menuturkan atau menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang gramatis, jelas dan berkesan.

Peringkat sekolah rendah

Kebiasaan atau tabiat yang positif seperti gemar membaca buku di perpustakaan serta mengadakan diskusi berkumpulan juga jarang-jarang dapat dilihat, kecuali dalam minggu menjelang peperiksaan. Kurang terpancar optimisme dalam diri pelajar, seolah-olah membiarkan masa menghanyutkan mereka dan menyerahkan segala kepada nasib.
Dalam dunia penuh persaingan dan persaingan semakin sengit, hanya pelajar memiliki kemahiran insaniah tinggi yang akan berjaya. Jika majoriti pelajar kita kurang memiliki kemahiran insaniah tinggi, bagaimana generasi muda kita akan bersaing pada peringkat domestik dan antarabangsa? Begitu pentingnya kemahiran insaniah, sehingga wajar ia diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi.

Atas sebab seperti itulah, sekolah antarabangsa biasanya sejak peringkat rendah lagi, mendedahkan pelajar mereka kepada kemahiran insaniah. Ini termasuklah kaedah berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina, menempuh proses pembelajaran penuh semangat, dan menjalani kehidupan beretika.

Kita dapat melihat produk pelajar yang dilahirkan oleh sekolah antarabangsa ini – sama ada anak kita sendiri, anak saudara kita atau anak kenalan kita. Bagaimanapun pernyataan ini tidaklah menafikan adanya segelintir pelajar produk sistem pendidikan kebangsaan kita yang mempunyai kualiti lebih kurang sama.

Sistem persekolahan kebangsaan

Kita percaya sistem pendidikan kebangsaan turut berhasrat membentuk dan melahirkan pelajar yang dapat berfikir secara kreatif, menaakul secara kritis, berkomunikasi secara berkesan, bekerjasama secara membina menerusi proses pembelajaran penuh semangat dan menjalani kehidupan beretika. Bagaimanapun, apabila kita meneliti pencapaian pelajar baharu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), hanya sebahagian kecil yang berkualiti demikian.

Lalu kita bertanya, di mana bahagian-bahagian longgar dalam sistem pendidikan kebangsaan kita yang perlu kita perbaiki dan perkasakan? Adakah sistem persekolahan kita amat menjurus kepada peperiksaan? Adakah pelajar kita terlalu ‘disuap’ dan ‘disusui’? Adakah pelajar kita terlalu terikat dengan skema hingga tidak dibenarkan berfikir secara kreatif di luar kebiasaan? Adakah kaedah pengajaran dan pembelajaran kita masih sangat konservatif? Adakah suasana pembelajaran belum dapat membentuk pelajar kita kemahiran bersosial, berkomunikasi, berbahasa secara bertulis atau bertutur, bertabiat yang positif, bergaul dan optimis dalam lingkungan sosialnya?

Kualiti akademia

Pendedahan kemahiran insaniah pelajar kita seharusnya sudah meningkat ketika mereka berada di sekolah menengah. Apabila mereka menyambung pengajian di kolej atau universiti, mereka akan berhadapan dengan suasana, kaedah serta budaya pembelajaran yang agak berbeza.

Mereka harus berdikari, banyak membuat rujukan sendiri bagi menambah nota kuliah, bijak bergaul, mahir berkomunikasi baik di dalam bilik kuliah atau di luar serta dapat menyiapkan tugasan dipersembahkan dengan baik, termasuk aspek bahasanya. Jika lebih ramai pelajar baru IPTA memiliki kemahiran insaniah, maka kualiti akademia di pusat pengajian tinggi kita akan meningkat dengan lebih pantas.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Ramadan bukan bulan pesta berbelanja


Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki
 
Ramadan bukan saja bulan yang menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.

Dengan kata lain, Ramadan turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia.

Tempoh sebulan yang penuh barakah ketika syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri. Namun, ramai juga yang mempersiakan peluang dan ruang diberikan Allah ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan yang menjadi budaya dalam diri selama ini.

Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah pada Ramadan ialah budaya berbelanja. Ramadan yang sepatutnya mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah dalam berbelanja sering tersasar daripada landasan sebenar.

Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan bagaikan ‘pesta berbelanja’ makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya. Bazar Ramadan yang menjual dan menyediakan pelbagai juadah juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja mengikut hawa nafsu yang mampu menghakis kualiti berpuasa.

Budaya berbelanja

Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutama ketika melalui fasa 10 hari terakhir Ramadan. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan Allah termasuk Lailatul Qadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.

Sudah menjadi kelaziman apabila menjelang Syawal, maka berduyun-duyun orang ramai mengerumuni pusat beli-belah bagi persiapan terakhir sambutan Aidilfitri. Budaya berbelanja dan membeli pelbagai perhiasan, pakaian dan peralatan rumah serba baru sudah menjadi amalan tahunan bagi masyarakat Malaysia.

Memang Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan. Malah, mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian yang indah semasa hari raya sebahagian daripada sunah yang dituntut seperti disebut Jabir yang pernah berkata: “Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah yang dipakai khusus pada hari raya dan Jumaat.”

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja. Budaya sederhana dalam berbelanja adalah ciri Ibadurrahman atau hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga seperti digambarkan Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menerangkan hamba Allah yang dimaksudkan ialah orang yang tidak membazir dalam berbelanja dan tidak berbelanja di luar batasan keperluan. Pada masa sama mereka bukan juga tergolong dalam kalangan orang bakhil dan kikir, termasuklah terhadap keluarga, jiran tetangga dan kaum muslimin yang fakir dan miskin.

Bersederhana

Sebaliknya ciri hamba Allah yang diistilahkan sebagai ‘ibadur-rahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Demikian prinsip dan etika penting dalam berbelanja yang digariskan syarak agar diamalkan setiap umat Islam. Jika sikap berlebih-lebihan amat berbahaya bagi individu ataupun masyarakat, demikian pula sifat bakhil menjadi punca kerosakan sesebuah tamadun.

Sebaliknya, sikap dan budaya terbaik ialah sikap dan budaya pertengahan dan sederhana seperti seruan dan acuan Islam. Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja dalam acuan Islam ialah saranan agar umat senantiasa membudaya nilai qanaah.

Qanaah salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat qanaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan baginda setiap kali selepas selesai menunaikan solat dua rakaat seperti berikut: “Ya Tuhanku, jadikan diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau.”

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/