Rabu, 21 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Mengasah bakat usahawan muda melalui koperasi sekolah


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

PENUBUHAN koperasi sekolah bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan perniagaan kepada pelajar. Ia juga bertujuan memupuk minat dan menggembleng semangat keusahawanan seperti pengendalian operasi niaga harian, mengemaskini buku kira-kira, merancang aliran wang tunai dan sebagainya yang berkaitan perniagaan."

Demikian antara ucapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Julai lalu.

Sejarah koperasi sekolah bermula pada 1968 apabila sembilan buah sekolah dijadikan projek rintis. Ia berkembang pesat dan kini jumlahnya meningkat kepada 2,244 buah. Keahliannya berjumlah 2.1 juta orang pelajar dan berjaya mengumpulkan perolehan tahunan sebanyak RM285.2 juta.

Dalam masa sama koperasi di negara kita berjumlah 10,200 buah dengan keahlian seramai kira-kira 8 juta orang. Jumlah aset yang terkumpul ialah RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun. Sektor koperasi turut menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak 5% dan dijangka meningkat kepada 10% menjelang tahun 2020.

Sesungguhnya negara kita mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun. Ia diiktiraf di peringkat dunia dan sering dijadikan model rujukan. Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah mengiktiraf gerakan koperasi sekolah kita antara yang terbaik di dunia. Bagaimanakah peranan koperasi sekolah dalam usaha mengasah bakat usahawan dalam kalangan pelajar?

Koperasi sekolah ditubuhkan dalam lingkungan sekolah dan keahliannya terbuka kepada semua pelajar. Jawatankuasa pengurusan dipengerusikan oleh pengetua serta ahli-ahlinya terdiri daripada guru dan pelajar. Kebiasaannya pihak sekolah menyediakan bilik untuk dijadikan sebagai kedai koperasi bagi menjual pelbagai jenis peralatan kegunaan pelajar dan guru seperti alat tulis, buku, kelengkapan sekolah dan keperluan pelajar yang tinggal di asrama. Hasil kejayaannya dapat disaksikan apabila beberapa sekolah mampu menjadikan kedai koperasi mereka sama seperti sebuah mini pasar raya.

Banyak pengalaman boleh diraih oleh pelajar ketika menguruskan perniagaan di kedai koperasi. Bermula dengan menyusun atur premis, pemilihan bahan yang diperniagakan hinggalah kepada kaedah pemasaran yang digunakan. Sementara itu mereka turut mempelajari bagaimana menyediakan dokumen urus niaga seperti rekod simpanan stok dan penyata aliran wang tunai.

Dalam masa sama, Undang-Undang Kecil Koperasi mensyaratkan koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan. Pelajar akan mendapat pengalaman menganjur dan mengendalikan mesyuarat tersebut. Mereka dibimbing bagi menyediakan laporan tahunan dan penyata imbangan kewangan termasuk menetapkan kadar dividen kepada pemegang sahamnya. Amalan demokrasi turut dipraktikkan dengan pemilihan ahli jawatankuasa setiap kali mesyuarat agung diadakan.

Apa yang menarik koperasi sekolah turut menerapkan nilai murni dalam kalangan ahlinya seperti mengutamakan sifat amanah dan berjimat cermat. Mereka digalakkan menabung dan sedia melabur dalam perniagaan yang dijangka membawa keuntungan. Koperasi turut menggalakkan ahlinya merancang perbelanjaan dan berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Kementerian Pendidikan mengiktiraf kepentingan gerakan koperasi sekolah kerana peranannya berhubungkait dengan usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Galakkan penubuhan koperasi amat jelas terkandung dalam surat Pekeliling Ikhtisas KP 8591 - Jld II(222) bertarikh 8 Mei 1976 dan KP(BS) 8586/303/(57) bertarikh 20 April 1989.

Bagi menyemarakkan aktiviti koperasi, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Antaranya memberi kefahaman dan pengetahuan mengenai falsafah dan peranan koperasi melalui seminar, kursus dan bengkel serta bimbingan terhadap aktiviti koperasi.

ANGKASA melalui Bahagian 4P (Pendidikan, Penerbitan, Perkhidmatan dan Penyelidikan) mempunyai hubungan terus dengan koperasi sekolah. Kini produk baru yang mendapat sambutan ialah program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS). Aktivitinya berbentuk perkhidmatan melalui penyediaan program lawatan, pengangkutan dan penginapan. Difahamkan beberapa buah koperasi telah meraih keuntungan lumayan melalui program ini.

Sebagai pengiktirafan dan kemuncak aktiviti maka Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun. Pada tahun ini Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar menjadi tuan rumah. Pada hari tersebut koperasi sekolah yang cemerlang akan mempamerkan kejayaan mereka. Turut dijadikan ‘show case’ ialah produk koperasi yang berjaya mencapai perolehan tahunan tertinggi atau mencecah RM 1 juta.

Usaha meningkatkan prestasi koperasi sekolah perlu dilakukan secara berterusan kerana ia boleh memberi impak besar terhadap usaha melahirkan bakal usahawan. Dalam hal ini peranan pengetua sekolah sangat penting. Sebagai pemimpin tertinggi dalam organisasi sekolah mereka sewajarnya mampu memberikan ‘sentuhan emas’ terhadap kejayaan koperasi mereka.

Peranan guru penasihat koperasi tidak kurang pentingnya. Mereka seharusnya mempunyai wawasan dan siap sedia membimbing pelajar selaras dengan falsafah dan prinsip koperasi. Sebagai cadangan untuk mengurangkan bebanan tanggung jawab maka guru penasihat semasa bertugas di koperasi hendaklah diambil kira dan dimasukkan dalam jadual waktu pengajaran mereka.

Sebagai petugas tetap di kedai koperasi maka pelajar yang terpilih perlu dari kalangan mereka yang berminat dan mempunyai bakat usahawan. Mereka juga hendaklah terdiri daripada orang yang bersifat amanah, bersedia untuk dibimbing dan sanggup meluangkan masa bertugas di kedai tersebut.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menggalakkan anak mereka bergiat aktif di kedai koperasi. Galakkan anak-anak membeli saham koperasi. Bagi mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan boleh berkongsi pengalaman tentang selok belok bidang itu bersama guru dan pelajar.

Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama, sokongan dan memastikan agar koperasi sekolah terus berkembang maju. Melaluinya kita menaruh harapan tinggi bahawa koperasi sekolah mampu melahirkan ramai usahawan khususnya apabila pelajar meninggalkan bangku sekolah nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Naib Presiden ANGKASA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 20 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Gabungan kementerian pacu transformasi pendidikan


PUTRAJAYA - Penggabungan Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran yang membentuk Kementerian Pendidikan akan memacu transformasi pendidikan agar dasar pendidikan negara mampu menandingi standard pendidikan antarabangsa menjelang tahun 2020.
  
Menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penggabungan itu akan menjamin kesinambungan dasar dan program dalam sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti dan dinamik.
  
“Ini merupakan langkah besar diambil oleh kerajaan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan negara dan ia wajar dikekalkan di bawah satu bumbung memandangkan ia akan memudahkan pentadbiran.
  
“Menerusi penggabungan ini, perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara akan diperkukuhkan.
  
“Mobiliti modal insan dalam bidang pendidikan akan berlaku dengan lebih rancak dan berkesan apabila ahli-ahli akademik bekerjasama dengan tenaga pengajar sekolah dalam menentukan hala tuju pendidikan negara,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, ketika merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 dan 2012 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin telah menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 kepada Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim (Universiti Malaya) dan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim (Universiti Industri Selangor) manakala Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dari Universiti Malaya merupakan penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2011.
  
Ketiga-tiga pemenang membawa pulang wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan.
  
Hadir sama pada majlis ini ialah Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad; dan Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
  
Muhyiddin berkata semua peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
  
Beliau berkata usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng dengan lebih menyeluruh untuk menghasilkan lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
  
“Transformasi pendidikan yang mengandungi nilai pengantarabangsaan dengan mengambil contoh model sistem pendidikan negara maju perlu diaplikasikan oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan struktur kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi.

“Kolaborasi antara pendidik di peringkat sekolah dan pengajian tinggi pastinya akan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang akan menentukan kemajuan dan kemakmuran masa depan negara,” katanya.
  
Sementara itu, Muhyiddin berkata penyelidikan di universiti berupaya menghasilkan lebih ramai modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran sains dan teknikal.
  
“Hal ini dapat dicapai melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak yang dapat mendorong dan memangkinkan pembangunan inovasi secara menyeluruh.
  
"Hasil penyelidikan yang diperoleh tidak hanya memberi impak atau kelebihan kepada kepentingan penyelidik semata-mata tetapi dapat dikongsi bersama pihak lain melalui pengkomersialan,” katanya.
  
Beliau menambah bahawa produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Malaysia berjaya dikomersialkan dan pastinya memberi impak dari segi penjanaan ilmu ke arah peningkatan kualiti hidup, pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama

Isnin, 19 Ogos 2013

ISU SOSIAL : Punca kanak-kanak didera perlu diselidik


KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta pihak-pihak terlibat mengambil tindakan drastik dalam mengenal pasti faktor yang menjadi punca penderaan kanak-kanak bagi menangai masalah itu.
  
Naib pengerusnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata faktor penyebab penderaan kanak-kanak perlu diberi perhatian segera memandangkan kanak-kanak kini semakin terdedah kepada penderaan, dan ia sering dilakukan oleh penjaga mereka sendiri.
  
Lee berkata statistik terkini dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan hampir 3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan tahun lepas, dan sekurang-kurangnya 1,000 kes penderaan kanak-kanak dilapor sehingga Mac tahun ini.
  
"Statistik itu sudah pasti satu perkara yang membimbangkan bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Sambil melahirkan kebimbangannya, Lee turut mencadangkan agar kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperkenal dan melaksanakan program pembangunan kesihatan mental berasaskan komuniti secara menyeluruh.
  
"Program itu akan membantu menangani isu tekanan dan masalah berkaitan mental yang lain.

"Ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak perlu diwajibkan menghadiri kursus yang dianjur kerajaan mengenai keibubapaan bagi melengkapkan diri mereka untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan prihatin, bukannya mendera mereka," katanya.
  
Selain itu, Lee berkata majikan juga mesti membantu pekerja mereka yang menghadapi tekanan di tempat kerja dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling dengan bantuan pakar psikologi.
  
Beliau berkata semua peringkat masyarakat mesti sensitif dengan isu penderaan kanak-kanak dan perlu  sentiasa peka, serta  memaklumkan kepada  pihak berkuasa jika mengetahui  kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam kalangan jiran mereka. - Bernama

ISU BAHASA : Apabila penulis sanggup dipenjara


Oleh :  ZAINAL ABDUL KADIR

HARI ketiga Aidilfitri saya berpeluang mengunjungi sebuah penjara kerana menziarahi seseorang. Peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penjara menggambarkan bahawa bukan mudah hendak bertemu dengan seseorang yang telah dimasukkan ke dalam penjara. Sehari suntuk berada di sana sudah cukup untuk menyatakan bahawa penjara bukanlah satu tempat yang diinginkan oleh sesiapa pun.

Lantas saya teringat satu rencana yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman di Mastika Ogos 2013 bertajuk Mahakarya Sang Pertapa dari penjara.

Menurut Shaharom, penulis yang dimasukkan ke dalam penjara mampu menghasilkan karya yang dikagumi dan bergagasan besar menggoncang sejarah sepanjang zaman.

Penulis yang disenaraikan Shaharom ialah Adolf Hitler, Pradmoedya Ananta Teor, Mohammad Hatta, Tan Malaka, Sayyid Quthb, Nawal El Saadawi, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr, Mumia Abu Jamal, Marthin Luther King Jr. dan Viktor Frankl.

Bagaimana pula dengan penulis Malaysia? Apakah mereka sanggup berjuang hingga dipenjarakan dan kemudian mampu pula menghasilkan karya yang membawa pemikiran besar? Sedangkan penjara itu adalah tempat yang tidak mahu dihuni oleh sesiapa pun kerana orang yang bersalah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam penjara.

Namun begitu, sejarah tidak menafikan terdapat sebilangan penulis kita yang sanggup berjuang waima hingga dihumban ke penjara. Antara penulis yang mempunyai prinsip perjuangan yang besar dan sanggup dipenjarakan ialah Allahyarham A. Samad Ismail seorang tokoh wartawan, sasterawan dan pejuang bahasa.

Beliau pernah ditahan ketika zaman penjajahan British (1951-1953) dan zaman selepas merdeka ketika di bawah Perdana Menteri Tun Huseein Onn (1976-1981).

Penahanan ini tidak pernah mematahkan semangat A. Samad untuk berjuang dalam bidang penulisan. Malah tinta dari pena beliau sentiasa mengalir sama ada sebagai wartawan atau sasterawan. Antara karya beliau yang diingati ialah Kail Panjang Sejengkal, Patah Sayap Terbang Jua, Menimba Yang Jernih dan Tembok Tidak Tinggi.

Malah, sumbangan A. Samad telah diiktiraf oleh kerajaan dengan mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Tokoh Wartawan Negara.

Begitu juga dengan Allahyarham Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Beliau pernah dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948 -1953 dan 1965-1966. Pengalaman pahit ini tidak pernah mematahkan semangat Pak Sako untuk terus menulis khususnya menghasilkan novel yang menyemarakkan semangat nasionalisme anak watan.

Novel terkenal beliau ialah Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang menggambarkan pandangan dan cita-citanya sebagai patriot bangsa dan sasterawan sejati. Jasa Pak Sako terhadap kesusasteraan Melayu turut dihargai apabila mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya.

Malah, Utusan Melayu (M) Berhad melalui anak syarikatnya Utusan Publications & Distributions turut menghargai jasa Pak Sako dengan mewujudkan Hadiah Sako bagi sayembara menulis novel sejak tahun 1992. Antara pemenang Hadiah Sako ini ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Ramlee Awang Murshid, Aminah Mokhtar, Dzul Karnain Ithnain, Wan Hashim Wan Teh, Rahman Haji Yusof, Mohd Khaidir Ahmad dan Ali Jusoh.

Di samping itu, tidak dilupa juga penulis Allahyarham Abdullah Thani atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam. Nama pena lain beliau yang terkenal ialah Ruhi Hayat. Beliau juga pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1941-1942, 1948-1954, dan 1963.

Meskipun Ahmad Boestamam dikenali sebagai aktivis politik yang disegani, sumbangan beliau dalam sastera tidak dapat dinafikan. Beliau menulis novel dan sajak di samping penterjemah.

Antara novel yang dihasilkan ialah Pacar Merah Malaya, Gelap Menjelang Terang, Kabus Pagi, Geliga, Api Dan Air Mata, Rumah Kaca Di Gegar Gempa dan Merintis Jalan Ke Puncak. Biarpun politik Ahmad Boestaman berhaluan kiri, pada tahun 1976 kerajaan Sarawak telah menganugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk.

Turut menarik untuk diperkatakan di sini ialah penulis Said Zahari. Beliau merupakan bekas pengarang Utusan Melayu ketika tercetusnya mogok di Utusan Melayu kerana menentang penguasaan UMNO terhadap akhbar ini.

Selepas peristiwa mogok, Said Zahari telah dibuang dari jawatan Pengarang Utusan Melayu dan digantikan dengan Melan Abdullah.

Selepas dipecat Said Zahari dipenjarakan selama 17 tahun iaitu pada tahun 1963-1979 di Singapura.

Ketika di dalam penjara, Said Zahari menghasilkan buku Sajak dari Penjara. Selepas dibebaskan, beliau telah menulis dua buah buku memoir bertajuk Meniti Laut Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.

Kedua-dua buku memoir ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributions. Apa yang menariknya buku memoir Dalam Ribuan Mimpi Gelisah telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007 bagi kategori memoir / biografi. Sudah pastilah buku yang dihasilkan ini adalah daripada pengalaman Said Zahari ketika dipenjarakan selama 17 tahun.

Berdasarkan keterangan di atas, rencana yang diutarakan oleh Shaharom TM Sulaiman mungkin ada benarnya. Namun, benarkah pada zaman ini masih ada  lagi penulis yang sanggup masuk penjara kerana memegang prinsip perjuangannya dan menghasilkan karya? Seperti kata Shaharom, penjara memang sebuah tempat yang cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam kesepian dan keterasingan dan hal-hal sebegini adalah hal yang harus terjadi dalam penulisan.

Kesimpulannya, penjara adalah tempat yang ditakuti oleh sesiapa pun kerana di dalamnya tinggal manusia yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang telah dilakukannya. Tetapi sekiranya penulis berjiwa besar dan sanggup berjuang kerana mempertahankan prinsip yang betul, penjara hanya memagar jasad tetapi pengaruhnya tetap bebas.

Buktinya penjara tidak mampu memenjarakan kebebasan berkarya penulis seperti Said Zahari atau Pramoedya. Malah penjara semacam tidak berbekas untuk menyekat mereka daripada menulis sesuatu yang benar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 16 Ogos 2013

ISU BAHASA : Hilang bahasa lenyaplah bangsa


OLEH : DR AMINUDIN MANSOR

BAHASA adalah apa yang dipertuturkan dan dicakapkan oleh seseorang manusia. Lebih luas lagi bahasa menjadi perantara dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas akan dapat mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Justeru, bahasa yang maju akan menjadi bahasa ilmu.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat dengan proses pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa. Sejarah dan asas pembinaan negara berkaitan dengan bahasa mestilah difahami oleh semua rakyat di negara ini.

Isu-isu yang sering diperkatakan mengenai bahasa adalah berkaitan  peningkatan profesionalisme pendidik Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang tentunya terlatih untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah berubah, maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang bertanggungjawab bagi mendidik kecintaan terhadap bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Memanfaatkan teknologi pendidikan yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan semasa. Guru-guru bahasa Melayu seharusnya berusaha mencipta kaedah dan teknik pengajaran bahasa  yang berkesan dan kemudian menggunakannya dalam P&P.

Justeru, berasaskan pendekatan bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan amalan lama dan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan lisan di sekolah. Pelbagai kursus perlu diadakan untuk guru bahasa bagi meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Pengantar

Kefahaman dan kesedaran untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika tidak mereka tidak sedar akan peranan bahasa itu dalam kehidupan pada masa akan datang.

Kita tentu tidak mahu akan berlaku "Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa" dalam kalangan pelajar dan rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan bahasa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah rendah, menengah dan menengah atas juga di universiti.

Bahasa Melayu perlu diberi jiwa baru melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan rasmi, dan melalui pembacaan yang akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua rakyat. Ini akan dapat memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan peradaban manusia.

Kempen-kempen dan slogan baharu perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu berjiwa Malaysia, hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di negara ini. Sebagai contoh "Bahasaku adalah jiwaku" dan lain-lain lagi. Jika pendatang asing dapat bertutur bahasa Mleayu dengan baik kenapa kita tidak boleh? Jawapannya harus ada pada diri kita.

Ibu bapa juga harus sentiasa memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya menggunakan bahasa Melayu di rumah, sebagai bahasa pertuturan dan bahasa ilmu dengan baik. Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para guru di sekolah bagi menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya sendiri.

Memetik kata-kata Johann Wolfgang Von Goethe, oleh sebab setiap orang menggunakan bahasa bagi berbicara, maka setiap orang mengira dia dapat berbicara berkaitan bahasa. Oleh itu, gunakan bahasa Melayu dalam penulisan, pertuturan dengan tepat dan betul.

Berbicara berkaitan bahasa dan berbicara bagi mendaulatkan bahasa  dua hal yang berbeza yang seharusnya difahami oleh semua orang. Oleh itu, bagi mengekalkan status bahasa setiap pengamal bahasa mestilah bertutur dalam bahasa tersebut dan menulisnya dengan baik dan berkesan.

Sementara itu menurut Samuel Johnson, beliau sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah berasal daripada bangsa. Lantaran itu, setiap orang yang cinta akan bahasanya mestilah mengamalkan bahasanya melalui pertuturan dan penulisan dengan baik. Di samping itu, pengamal bahasa juga mestilah terus mendaulatkan bahasanya. Peranan badan penulis dan pejuang bahasa juga mesti seiring dalam mendaulatkan dan memartabatkan bahasa.

Pengekalan bahasa daripada peribahasa, kata-kata hikmat daripada sesuatu bahasa itu sangat penting. Menurut Bertrand Rusell, sebuah peribahasa adalah kebijaksanaan seseorang, namun hikmah bagi semua orang.

Kebijaksanaan sesebuah peribahasa itu adalah sejak mula diciptakan melalui renungan dan pemerhatian dalam kehidupan bangsa. Selain itu, kebijaksanaan juga terangkum dalam makna tersurat dan tersirat dalam peribahasa tersebut yang dapat mendidik bangsa seterusnya dalam kehidupan. Kehebatan bahasa Melayu banyak terletak pada peribahasa, pantun, syair, gurindam, seloka dan perbilangan adat serta bentuk bahasa yang beragam.

Usaha mengekalkan dan memartabatkan sesuatu bahasa itu banyak terletak kepada asas-asas pendidikan bahasa di sekolah sama ada di sekolah rendah atau menengah. Melalui pendidikan yang berkesan dan juga melalui P&P yang tersusun bahasa dapat dimanfaatkan kepada generasi muda.

Setiap orang sebagai ahli dalam masyarakat berperanan untuk mengekalkan bahasa khususnya bahasa ibunda. Bahasa yang terus kekal akan menjadi bahasa terpenting diajarkan di sekolah, digunakan dalam masyarakat, dijadikan saluran penyampai ilmu, dipopularkan oleh media massa, dimartabatkan oleh kerajaan dan pemerintah.

Kepupusan sesuatu bahasa dalam era globalisasi banyak bergantung kepada pengamalnya. Jika pengamal bahasa tersebut tidak menggunakan bahasanya dengan baik dan berkesan khususnya dalam media baharu seperti Internet, sudah pasti lama-kelamaan bahasa tersebut akan hilang dan lenyap.

Kekuatan bahasa juga dapat melebarkan sayapnya ke seluruh dunia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pertuturan. Bahasa yang baik juga dapat memancarkan sikap penutur dengan penuh budi bahasa dan keindahan kesantunan bahasa. Oleh itu, usaha menyebarkan ilmu bahasa sangat penting dilaksanakan dan usaha ini memainkan peranannya tersendiri yang boleh dilakukan oleh mereka yang meminati bahasa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nahdah dan Raba'ah, Rebah Berdarah


Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.

Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi.

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"

Nahdah dan Raba'ah,
Sudah sepekan Syawal dirai di sini
Namun, suka seketika beralih duka derita
Kekejaman merasuk segenap kota perjuangan ini
Kezaliman meranapkan medan kebangkitan ini
Tanpa rasa kasihan belas insani
Siapa sahaja menjadi mangsa
Ditembak, dibunuh dan dibakar
Masjid dan rumah sakit juga
musnah hancur berderai menjadi puing-puing
menebarkan abu, menimbunkan batu
Lalu, warna-warna panjinya berubah:
Merahnya darah
Putihnya kafan
Hitamnya arang.

Apakah ini harga sebuah keadilan dan kebebasan
yang dikhianati sendiri oleh penyembah tuhan demokrasi?

Nahdah dan Raba'ah,
Di sini rebahnya ribuan syuhada
Darah yang mengalir menjanjikan syurga
Sungguh!
Walau rebah, takkan goyah
Perjuangan suci tidak akan terhenti
Tidak akan pernah mengalah
Syahadah demi menegakkan syari'ah Allah
menenggelam kesesatan syiah dan golongan kuffar
membenamkan parah liberal dan barah sekular
moga tiada tersisa lagi, walau seinci.

A Gafar Mahdi
Aktivis PEMBINA
16 Ogos 2013 | 12.00 am
Balingian, Sarawak

Sumber : http : //www.harakahdaily.com/

Khamis, 15 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM ulangan Rabu ini


KUALA LUMPUR,  15 Ogos - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2013 akan dikeluarkan Rabu ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Calon juga boleh membuat semakan melalui perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip SPMU RESULT, nombor kad pengenalan dan hantarkan ke 15888.

Seramai 12,520 calon menduduki peperiksaan dan daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 2,932 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

Sebanyak 232 pusat peperiksaan dibuka pada 11 dan 12 Jun di seluruh negara. - BERNAMA