Jumaat, 23 Ogos 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Pemantauan mestilah berterusan


Oleh : M. JASNI MAJED

KEMALANGAN bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Hinglands - Kuala Lumpur kelmarin yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan 16 penumpang sekali lagi membuka mata pelbagai pihak tentang keselamatan bas yang bertanggungjawab membawa banyak jiwa ke sesuatu destinasi.

Tragedi ini mengingatkan kita kepada tragedi-tragedi lain yang membabitkan bas terutamanya kemalangan di kawasan Bukit Gantang pada tahun 2007 yang mengorbankan 20 jiwa.

Pada 26 Disember 2009, 10 maut dalam kemalangan membabitkan syarikat bas Sani Ekspres di Perak. Sementara, pada 10 Oktober 2010, 12 maut dan 40 cedera dalam kemalangan yang membabitkan syarikat bas Ekspres Delima dengan beberapa buah kenderaan lain di Rembau Negeri Sembilan.

Sudah banyak pihak yang menyuarakan pelbagai pendapat tentang pengangkutan awam di negara kita apatah lagi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu-lintas tetapi dari satu sudut lain, risiko kemalangan turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa sudah berusaha sedaya- upaya membendung kemalangan jalan raya membabitkan bas kerana bas satu-satunya pengangkutan awam darat yang popular, jimat dan mudah.

Oleh itu, kita dapat lihat betapa setiap kali musim perayaan, pemantauan ke atas kenderaan awam ini dibuat dengan teliti sebelum sesebuah bas itu bertolak dari sesuatu destinasi. Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] ditempatkan di terminal bas untuk memastikan bas yang bakal membawa penumpang dalam keadaan selesa dan selamat.

Apabila terjadinya kes seperti yang berlaku kelmarin, tuding-menuding antara pelbagai pihak tentu akan berlaku sekali lagi. Ada penumpang terselamat mendakwa bahawa keadaan bas tidak selesa, buruk, dan dipandu dengan laju.

Apa yang perlu disedari, tanggungjawab seorang pemandu pengangkutan awam bukanlah ringan. Banyak jiwa yang menjadi tanggungannya. Jika seorang pemandu dan sebuah syarikat yang mengendalikan sesuatu pengangkutan awam itu menyedari hakikat tersebut, pelbagai insiden yang tidak diingini boleh dielakkan.

Di samping itu, sesebuah syarikat pengangkutan mestilah memastikan sesebuah bas yang dipertanggungjawabkan membawa sejumlah penumpang itu itu berada dalam keadaan selamat dan meyakinkan. Ciri- ciri keselamatan mestilah diutamakan tanpa memikirkan keuntungan yang lebih sehingga membahayakan nyawa penumpang.

Kualiti pemandu juga mestilah dipentingkan sebagai syarat kedua. Kualiti ini berdasarkan kepada rekod pemandu sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak, mempunyai rekod kesalahan lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya.

Oleh itu, tugas syarikat pengangkutan itu merupakan syarat utama sebelum sesebuah bas itu dibenarkan berlepas untuk membawa penumpang ke sesuatu destinasi.

Tanggungjawab seterusnya adalah terletak di tangan pemandu. Pemandu yang mempunyai tanggungjawab tidak akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan secara sambil lewa tetapi disanggupinya dengan penuh amanah, jujur dan beretika ketika di jalan raya.

Sebelum melakukan perjalanan, mereka juga mesti memastikan bas yang diserahkan kepada mereka untuk membawa penumpang adalah bas yang menepati ciri-ciri keselamatan. Pemandu yang tidak mementingkan diri sendiri akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada penumpang yang menjadi sandaran keselamatan mereka.

Pemandu juga mestilah bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mereka benar- benar layak membawa sejumlah besar penumpang ke sesuatu destinasi, ke mana penumpang itu hendak dibawa, berapa jauhnya, berapa jumlah penumpangnya, bagaimana pula tahap kesihatan dan persediaan fizikal dan mental mereka sebelum memulakan perjalanan.

'Dalam pada itu, pemandu bas juga mestilah menghormati penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang dapat dilihat, oleh sebab hendak mengejar 'trip', ada sesetengah pemandu bas yang melanggar arahan lampu isyarat, memandu laju, malah kerana hendak cepat, ada yang sanggup membunyikan hon kepada pengguna jalan raya lain di depan mereka, walaupun di lampu isyarat berwarna merah.

Apa-apa pun, pemantauan secara berterusan oleh pihak berkuasa sangat penting dan bukan hanya dilakukan secara bermusim. Pihak berkuasa mestilah ditempatkan di setiap terminal bas tidak kira sama ada bas berhenti-henti atau bas ekspres kerana dengan cara ini risiko kemalangan dapat dikurangkan.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA ; Bahasa jiwa bangsa


Oleh NURUL ANUAR KARI

AGAK menyedihkan pada ketika  negara menghampiri ulang  tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.

Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.

Tentu sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.

Namun, darjat dan keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia Tenggara satu masa dahulu.

Jika hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin bertambah setiap hari.

Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil di beberapa negara lain.

Pada zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.

Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.

Lihat sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kebanggaan bangsa Jepun terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.

Sejajar Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.

Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.

Pada masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami masyarakat antarabangsa.

Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya.

Lebih malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.

Tafsiran salah itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.

Walaupun bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.

Untuk bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.

Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.

Bahasa merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 22 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Ilmu bina masa depan cemerlang


Oleh :  Mohammad Abdullah
 
Penguasaan pengetahuan perlu dimanfaat bangunkan masyarakat

Ketika memberi syarahannya yang bertajuk 'Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya Kecemerlangan' kepada kira-kira 2,000 orang mahasiswa baharu jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid meminta agar mereka mempunyai 'ghairah ilmu' dan berusaha untuk menguasainya sebaik mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan serta dapat membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.

Katanya, hanya dengan ilmu pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti intelektualnya dan menjadikannya berbeza daripada mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan?

Keghairahan menuntut ilmu sememangnya amat ketara dan jelas dalam kalangan masyarakat. Lihat saja permohonan untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah di semua universiti tahun ini. Di USM saja lebih 25,000 permohonan diterima untuk mengisi hanya 6,000 tempat termasuk untuk mengikuti pengajian secara jauh jauh.

Dapatkan ijazah

Walau pun keghairahan ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan segulung ijazah sebagai tanda pengiktirafan terhadap penguasaan ilmu dan mencapai status ekonomi dan sosial yang baik, hakikatnya semua berlumba-lumba untuk mengikuti pengajian setinggi yang mungkin.

Malah beberapa minggu lalu, kegagalan untuk mendapat tempat di universiti dikaitkan dengan isu yang tidak relevan dan mula menuding jari terhadap banyak perkara, termasuk mempertikaikan mereka yang diterima masuk mengikuti pengajian berdasarkan persepsi dan prasangka. Ada yang juga yang sengaja bermain api perkauman dan membuat tuduhan berlakunya perkara di luar meritokrasi dalam membuat pemilihan berasaskan beberapa kejadian yang ditafsirkan sedemikian.

Sedangkan pada masa ini terdapat begitu ramai pelajar lepasan persekolahan termasuk matrikulasi yang mencapai kelulusan yang amat tinggi dan berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terhad. Persaingan ini bukan sekadar dalam kalangan sesuatu kaum secara khusus malah semua kaum termasuk anak Melayu yang mencapai keputusan sangat cemerlang.

Keghairahan menuntut ilmu ini adalah satu petanda betapa inilah antara nikmat kemerdekaan negara hasil perjuangan mereka yang terdahulu yang impikan tegaknya banyak menara ilmu yang dapat membantu melahirkan sumber manusia yang akan memajukan dalam mengikut acuan sendiri. Berdasarkan catatan penubuhan universiti, ternyata yang ingin ditegakkan ialah memastikan agar universiti melahirkan sumber manusia yang dapat menyumbang dalam pembinaan negara bangsa, pengekalan jati diri dalam acuan sendiri dan membangunkan masyarakat saintifik yang berdaya saing dengan pelbagai disiplin ilmunya.

Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang betul.

Sebaliknya, jika keghairahan ini hanya untuk mendapat kesenangan peribadi dan menuding jari apabila tidak mendapatnya, maka laluan untuk mewujudkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan set minda yang betul, sayangkan masyarakat dan negara, agak dan perlu diperbetulkan.

Justeru, seruan tokoh akademik seperti Profesor Ibrahim yang sudah lama bergelumang dalam dunia pendidikan harus diambil serius. Pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan semestinya menjadi satu mekanisme utama untuk meningkatkan maruah diri, mematangkannya dengan pengalaman melalui interaksi sosial yang berterusan, perdebatan ilmiah, wacana ilmu dan komunikasi yang berkesan dengan melihat kepentingan negara dan masyarakat sebagai suatu asas penting untuk kelangsungan masa hadapan.

Kejayaan peribadi amat penting

Walaupun kejayaan peribadi itu amat penting sebagai asas untuk berbakti kepada masyarakat, kejayaan sebenar ialah apabila ia dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk melakukan perubahan yang diingini masyarakat, menghargai kebebasan, menggunakan imaginasi, kreativiti serta inovasi untuk meningkatkan daya saing dan mempertahankan keharmonian negara.

Kita sudahpun melihat bagaimana orang yang berilmu dan berijazah dengan pemikiran terbuka mempertikaikan sesetengah perkara yang menjadi asas dan teras keharmonian, menggunakan lesen kreatif untuk mempersendakan Jalur gemilang dan lagu Negaraku serta yang buta budaya dengan mempersendakan agama sehingga mengheret kepada perdebatan dan keributan dalam masyarakat.

Hakikatnya, ilmu pengetahuan, jati diri, kemerdekaan dan cinta akan negara, etika, moral dan agama adalah asas untuk diintegrasikan sebagai teras kelestarian masa hadapan.


* Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Berfikir kukuhkan kefahaman


Oleh : PROF.  DR.  SIDEK BABA

BERFIKIR adalah kurniaan ALLAH. Haiwan yang diberikan otak tidak memiliki akal dan menyebabkan gerak tindaknya berasaskan naluri. Manusia dikurniakan ALLAH akal yang membolehkan ia berfikir tentang diri, alam sekitarnya dan apa terjadi pada kehidupan.

Al-Quran menyebut, tidakkah kamu menggunakan akal (afala ya’ qilun), dan tidakkah kamu berfikir dengan mendalam (afala yang tafaqqarun) juga tidakkah kamu merenung dan mengkaji (afala ya tadabbarun). Semua ini membawa natijah fikir.

Tadabbur tidak saja maksudnya merenung dan berfikir hal-hal yang zahiri tetapi juga zikir mengenai hal-hal yang batini.

Berfikir mengenai sesuatu kejadian, ia tidak hanya berkembang dalam penglihatan dan pemerhatian zahir saja, tetapi hikmah di sebalik kejadian itu perlu dikaitkan dengan ketentuan ALLAH.

Melihat kejadian hanya sekadar suatu kejadian ia tidak lebih meraikan fikir tetapi menghubungkan kejadian dengan ALLAH mengembangkan faktor fikir dan zikir.

Pelajar harus dididik supaya berfikir zahiri dan batini. Berfikir zahiri asasnya ialah melihat perkara-perkara yang nyata dan tampak, mengalami peristiwa yang "real"  di hadapan mata atau menemui data dan fakta hasil kajian serta penyelidikan.

Berfikir batini asasnya ialah menghubungkan apa terjadi dengan ketentuan ALLAH supaya terdapat hikmah di sebalik kejadian dan menjadi bahan renungan lebih mendalam.

Melihat perkembangan aliran anarki yang sedang berjalan kini, ada kecenderungan sesetengah pihak tidak mahu menerima hakikat keagamaan sebagai sandaran dan pedoman. Di Barat, isu biseksual dalam bentuk LGBT dan seumpamanya dianggap perkara biasa akibat cara berfikir dan cara hidup manusia.

Al-Quran sebagai faktor zikir menyatakan kepada kita kisah dan bencana yang diterima oleh Kaum Nabi Lut A.S terhadap murka ALLAH kerana mereka enggan hidup dalam keadaan fitrah lalu melampaui batas.

Musibah dahsyat diturunkan kepada mereka termasuk isteri Nabi Lut sendiri kerana sudah terpikat dengan gaya hidup dimurkai ALLAH. Meneliti budaya LGBT yang sedang berkembang di Barat kini mengajak kita berfikir mengenai musibah Aids/HIV.

Meneliti kisah kaum Nabi Lut as mengajak kita melakukan zikir dalam erti kata luas mengenai musibah yang ALLAH turunkan kepada manusia ingkar.

Menghubungkan fikir dan zikir dalam isu ini mengajak manusia tentang maksud kejadian ALLAH dan bagaimana kejadian ALLAH ini harus menjalani hidup supaya tidak melanggar fitrah kejadian.

Manusia dijadikan supaya sifatnya manusiawi bukannya haiwani. Al-Quran dan agamalah yang menjadi pedoman terbaik memandu kehidupan manusia sepanjang zaman.

Justeru para pelajar perlu melalui proses fikir dan zikir supaya fikrah yang terbina jadi seimbang. Keseimbangan pemikiran adalah perlu supaya para pelajar menerima makna yang sebenar tentang apa difikirkan dan dilihatnya.

Berfikir dengan jiwa tadabbur umpamanya mempedoman para pelajar akan maksud yang tampak dan hikmah ghaib. Sebagai pelajar Islam tidak ada sesuatu pemikiran yang terhasil terputus hubungannya dengan Pencipta.

Melihat alam, meneliti perjalanan cekerawala, silih gantian siang dan malam mempunyai hubungannya dengan ketentuan ALLAH (sunnatullah).

Asas berfikir sebegini kalau dapat dikembangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, para pelajar tidak saja mendapat manfaat dari apa yang dilihat, dialami dan difikirkan tetapi pemikiran berkembang terhadap yang ghaib dengan panduan al-Quran.

Al-Quran sebagai sumber pertunjuk mempunyai ratusan ayat-ayat mengenai sains. Pedoman saintifik ini apabila dihubungkan Dengan kajian terhadap fenomena tidak hanya berakhir secara zahiri saja tetapi ada faktor batini dari al-Quran yang telah menyebabkan pemikir dulu mampu menghasilkan kitab dan ilmu dalam sains, perubatan, matematik, astronomi yang acuannya adalah Islami.

Melakukan proses integrasi dan Islamisasi dalam tradisi fikir dan zikir adalah suatu tuntutan kini. Kaedah berfikir seperti De Bono umpamanya lebih bersifat mekanistik atau cara yang sifatnya zahiri.

Pemikiran yang Qurani dan Islami tidak saja menampilkan cara tetapi didukung dengan makna dan maksud yang jauh lebih murni iaitu mengiktiraf kebesaran ALLAH mengenai apa yang kita renung dan fikirkan.

Lalu lahir hasil pemikiran dan proses berfikir sepadu, tidak saja mengambil faktor fikir yang sifatnya berkembang tetapi juga faktor zikir sekali gus.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 21 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Mengasah bakat usahawan muda melalui koperasi sekolah


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

PENUBUHAN koperasi sekolah bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan perniagaan kepada pelajar. Ia juga bertujuan memupuk minat dan menggembleng semangat keusahawanan seperti pengendalian operasi niaga harian, mengemaskini buku kira-kira, merancang aliran wang tunai dan sebagainya yang berkaitan perniagaan."

Demikian antara ucapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Julai lalu.

Sejarah koperasi sekolah bermula pada 1968 apabila sembilan buah sekolah dijadikan projek rintis. Ia berkembang pesat dan kini jumlahnya meningkat kepada 2,244 buah. Keahliannya berjumlah 2.1 juta orang pelajar dan berjaya mengumpulkan perolehan tahunan sebanyak RM285.2 juta.

Dalam masa sama koperasi di negara kita berjumlah 10,200 buah dengan keahlian seramai kira-kira 8 juta orang. Jumlah aset yang terkumpul ialah RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun. Sektor koperasi turut menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) sebanyak 5% dan dijangka meningkat kepada 10% menjelang tahun 2020.

Sesungguhnya negara kita mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun. Ia diiktiraf di peringkat dunia dan sering dijadikan model rujukan. Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah mengiktiraf gerakan koperasi sekolah kita antara yang terbaik di dunia. Bagaimanakah peranan koperasi sekolah dalam usaha mengasah bakat usahawan dalam kalangan pelajar?

Koperasi sekolah ditubuhkan dalam lingkungan sekolah dan keahliannya terbuka kepada semua pelajar. Jawatankuasa pengurusan dipengerusikan oleh pengetua serta ahli-ahlinya terdiri daripada guru dan pelajar. Kebiasaannya pihak sekolah menyediakan bilik untuk dijadikan sebagai kedai koperasi bagi menjual pelbagai jenis peralatan kegunaan pelajar dan guru seperti alat tulis, buku, kelengkapan sekolah dan keperluan pelajar yang tinggal di asrama. Hasil kejayaannya dapat disaksikan apabila beberapa sekolah mampu menjadikan kedai koperasi mereka sama seperti sebuah mini pasar raya.

Banyak pengalaman boleh diraih oleh pelajar ketika menguruskan perniagaan di kedai koperasi. Bermula dengan menyusun atur premis, pemilihan bahan yang diperniagakan hinggalah kepada kaedah pemasaran yang digunakan. Sementara itu mereka turut mempelajari bagaimana menyediakan dokumen urus niaga seperti rekod simpanan stok dan penyata aliran wang tunai.

Dalam masa sama, Undang-Undang Kecil Koperasi mensyaratkan koperasi mengadakan mesyuarat agung tahunan. Pelajar akan mendapat pengalaman menganjur dan mengendalikan mesyuarat tersebut. Mereka dibimbing bagi menyediakan laporan tahunan dan penyata imbangan kewangan termasuk menetapkan kadar dividen kepada pemegang sahamnya. Amalan demokrasi turut dipraktikkan dengan pemilihan ahli jawatankuasa setiap kali mesyuarat agung diadakan.

Apa yang menarik koperasi sekolah turut menerapkan nilai murni dalam kalangan ahlinya seperti mengutamakan sifat amanah dan berjimat cermat. Mereka digalakkan menabung dan sedia melabur dalam perniagaan yang dijangka membawa keuntungan. Koperasi turut menggalakkan ahlinya merancang perbelanjaan dan berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Kementerian Pendidikan mengiktiraf kepentingan gerakan koperasi sekolah kerana peranannya berhubungkait dengan usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Galakkan penubuhan koperasi amat jelas terkandung dalam surat Pekeliling Ikhtisas KP 8591 - Jld II(222) bertarikh 8 Mei 1976 dan KP(BS) 8586/303/(57) bertarikh 20 April 1989.

Bagi menyemarakkan aktiviti koperasi, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Antaranya memberi kefahaman dan pengetahuan mengenai falsafah dan peranan koperasi melalui seminar, kursus dan bengkel serta bimbingan terhadap aktiviti koperasi.

ANGKASA melalui Bahagian 4P (Pendidikan, Penerbitan, Perkhidmatan dan Penyelidikan) mempunyai hubungan terus dengan koperasi sekolah. Kini produk baru yang mendapat sambutan ialah program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS). Aktivitinya berbentuk perkhidmatan melalui penyediaan program lawatan, pengangkutan dan penginapan. Difahamkan beberapa buah koperasi telah meraih keuntungan lumayan melalui program ini.

Sebagai pengiktirafan dan kemuncak aktiviti maka Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun. Pada tahun ini Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar menjadi tuan rumah. Pada hari tersebut koperasi sekolah yang cemerlang akan mempamerkan kejayaan mereka. Turut dijadikan ‘show case’ ialah produk koperasi yang berjaya mencapai perolehan tahunan tertinggi atau mencecah RM 1 juta.

Usaha meningkatkan prestasi koperasi sekolah perlu dilakukan secara berterusan kerana ia boleh memberi impak besar terhadap usaha melahirkan bakal usahawan. Dalam hal ini peranan pengetua sekolah sangat penting. Sebagai pemimpin tertinggi dalam organisasi sekolah mereka sewajarnya mampu memberikan ‘sentuhan emas’ terhadap kejayaan koperasi mereka.

Peranan guru penasihat koperasi tidak kurang pentingnya. Mereka seharusnya mempunyai wawasan dan siap sedia membimbing pelajar selaras dengan falsafah dan prinsip koperasi. Sebagai cadangan untuk mengurangkan bebanan tanggung jawab maka guru penasihat semasa bertugas di koperasi hendaklah diambil kira dan dimasukkan dalam jadual waktu pengajaran mereka.

Sebagai petugas tetap di kedai koperasi maka pelajar yang terpilih perlu dari kalangan mereka yang berminat dan mempunyai bakat usahawan. Mereka juga hendaklah terdiri daripada orang yang bersifat amanah, bersedia untuk dibimbing dan sanggup meluangkan masa bertugas di kedai tersebut.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menggalakkan anak mereka bergiat aktif di kedai koperasi. Galakkan anak-anak membeli saham koperasi. Bagi mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan boleh berkongsi pengalaman tentang selok belok bidang itu bersama guru dan pelajar.

Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama, sokongan dan memastikan agar koperasi sekolah terus berkembang maju. Melaluinya kita menaruh harapan tinggi bahawa koperasi sekolah mampu melahirkan ramai usahawan khususnya apabila pelajar meninggalkan bangku sekolah nanti.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Naib Presiden ANGKASA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 20 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Gabungan kementerian pacu transformasi pendidikan


PUTRAJAYA - Penggabungan Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran yang membentuk Kementerian Pendidikan akan memacu transformasi pendidikan agar dasar pendidikan negara mampu menandingi standard pendidikan antarabangsa menjelang tahun 2020.
  
Menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penggabungan itu akan menjamin kesinambungan dasar dan program dalam sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti dan dinamik.
  
“Ini merupakan langkah besar diambil oleh kerajaan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan negara dan ia wajar dikekalkan di bawah satu bumbung memandangkan ia akan memudahkan pentadbiran.
  
“Menerusi penggabungan ini, perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara akan diperkukuhkan.
  
“Mobiliti modal insan dalam bidang pendidikan akan berlaku dengan lebih rancak dan berkesan apabila ahli-ahli akademik bekerjasama dengan tenaga pengajar sekolah dalam menentukan hala tuju pendidikan negara,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, ketika merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 dan 2012 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin telah menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 kepada Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim (Universiti Malaya) dan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Ibrahim (Universiti Industri Selangor) manakala Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dari Universiti Malaya merupakan penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara 2011.
  
Ketiga-tiga pemenang membawa pulang wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan.
  
Hadir sama pada majlis ini ialah Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad; dan Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
  
Muhyiddin berkata semua peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
  
Beliau berkata usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng dengan lebih menyeluruh untuk menghasilkan lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
  
“Transformasi pendidikan yang mengandungi nilai pengantarabangsaan dengan mengambil contoh model sistem pendidikan negara maju perlu diaplikasikan oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan struktur kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi.

“Kolaborasi antara pendidik di peringkat sekolah dan pengajian tinggi pastinya akan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang akan menentukan kemajuan dan kemakmuran masa depan negara,” katanya.
  
Sementara itu, Muhyiddin berkata penyelidikan di universiti berupaya menghasilkan lebih ramai modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran sains dan teknikal.
  
“Hal ini dapat dicapai melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak yang dapat mendorong dan memangkinkan pembangunan inovasi secara menyeluruh.
  
"Hasil penyelidikan yang diperoleh tidak hanya memberi impak atau kelebihan kepada kepentingan penyelidik semata-mata tetapi dapat dikongsi bersama pihak lain melalui pengkomersialan,” katanya.
  
Beliau menambah bahawa produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Malaysia berjaya dikomersialkan dan pastinya memberi impak dari segi penjanaan ilmu ke arah peningkatan kualiti hidup, pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama

Isnin, 19 Ogos 2013

ISU SOSIAL : Punca kanak-kanak didera perlu diselidik


KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta pihak-pihak terlibat mengambil tindakan drastik dalam mengenal pasti faktor yang menjadi punca penderaan kanak-kanak bagi menangai masalah itu.
  
Naib pengerusnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata faktor penyebab penderaan kanak-kanak perlu diberi perhatian segera memandangkan kanak-kanak kini semakin terdedah kepada penderaan, dan ia sering dilakukan oleh penjaga mereka sendiri.
  
Lee berkata statistik terkini dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan hampir 3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan tahun lepas, dan sekurang-kurangnya 1,000 kes penderaan kanak-kanak dilapor sehingga Mac tahun ini.
  
"Statistik itu sudah pasti satu perkara yang membimbangkan bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Sambil melahirkan kebimbangannya, Lee turut mencadangkan agar kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperkenal dan melaksanakan program pembangunan kesihatan mental berasaskan komuniti secara menyeluruh.
  
"Program itu akan membantu menangani isu tekanan dan masalah berkaitan mental yang lain.

"Ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak perlu diwajibkan menghadiri kursus yang dianjur kerajaan mengenai keibubapaan bagi melengkapkan diri mereka untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan prihatin, bukannya mendera mereka," katanya.
  
Selain itu, Lee berkata majikan juga mesti membantu pekerja mereka yang menghadapi tekanan di tempat kerja dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling dengan bantuan pakar psikologi.
  
Beliau berkata semua peringkat masyarakat mesti sensitif dengan isu penderaan kanak-kanak dan perlu  sentiasa peka, serta  memaklumkan kepada  pihak berkuasa jika mengetahui  kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam kalangan jiran mereka. - Bernama