Ahad, 8 September 2013
SUARA BANGSA
Kami telah lama bersuara
nadanya bukan bersahaja
kerana lelahnya makin nyata.
Suara kami suara padu
demi kemaslahatan tidak tersisa
hidup ini tidak pernah menipu.
Jeritan suara selantang mungkin
untuk mereka bergelar petualang
kami tidak pernah membungkus juang.
Suara itu suara kami
jerih pedih menanti lama
kukuh bersatu menjerat janji,
Suara ini suara negara
kemanusiaan yang tidak pernah padam
gilap maruah bangsa merdeka
masih termimpi di atas puncak.
Zulkifli Mohd Top
Universiti Malaya
Sumber : Dewan Masyarakat, September 2013
Sabtu, 7 September 2013
ISU PENDIDIKAN : Kokurikulum yang berteraskan nilai
Kokurikulum dalam pendidikan
adalah sambungan kurikulum yang diajar di bilik darjah. Kokurikulum yang
difahamkan selama ini tidak lebih sebagai kegiatan organisasi yang dikaitkan
dengan subjek seperti Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Sejarah, Persatuan
Sains, Persatuan Agama Islam dan sebagainya. Kegiatannya agak terhad dan proses
pembentukan bakat dan kefahaman terhadap ilmu dan kesukarelaan menjadi kurang
berkembang.
Di samping penyuburan kognitif
dalam bilik darjah para pelajar harus dipupuk dan disuburkan dengan maksud
afektif di luar bilik darjah.
Kokurikulum harus mempunyai
kurikulum yang baik. Ia terkandung aktiviti yang bermanfaat supaya gerak kerja
kokurikum dapat diukur dan dinilai. Ia menyumbang ke arah melahirkan peribadi
holistik seseorang pelajar. Peribadi holistik penting dalam transformasi
pendidikan supaya produk akliah (kognitif) tidak dijadikan ukuran tunggal
mengenai kemajuan diri seseorang pelajar tetapi kegiatan kokurikulum memberikan
cerminan potensi insan diraikan.
Persatuan Bahasa Melayu umpamanya
memberi ruang kepada pelajar mengkaji tentang pola perbahasaan, dialek masyarakat setempat dan
bandingkan dengan keperluan bahasa baku yang diajar di sekolah. Penelitian
mengenai bahasa juga terhubung dengan pengaruh Islam di dalam Bahasa Melayu dan
pengaruh aliran lain yang terdapat dalam bahasa itu.
Dalam Bahasa Melayu terdapat
ribuan istilah al-Quran dan ia tidak saja memberi asas makna tetapi juga nilai
pada istilah dan bahasa yang berkaitan. Perkataan amanah, adil, ikhlas, rahmah,
nikmah, mesyuarah, hikmah, zalim, syukur, manfaat dan banyak lagi mempunyai
kaitan langsung dengan nilai Islam dan nilai sejagat.
Ia memberikan nilai tambah kepada
pelajar dalam melakukan kajian supaya belajar bahasa bukan untuk lulus periksa
tetapi menerima makna bahawa pada bahasa itu terdapat nilai, kefahaman, konsep
dan falsafah.
Pendekatan ini amat sesuai untuk
dikembangkan di tahap sekolah menengah rendah dan juga atas supaya asas kajian
lapangan diberi, penelitian di buat, laporan terhadap kajian dilakukan dan
latihan pembentangan kajian dan dapatan berlaku. Tajuk-tajuk dan kerja lapangan
yang diberi haruslah sesuai dengan tahap umur, kemampuan berfikir dan menyerap
kefahaman supaya pembelajaran berlaku.
Masalah yang dihadapi dalam
sistem kita kini ialah fokus pengajaran dan pembelajaran tertumpu kepada
orientasi hafazan dan pengingatan. Lalu pengajaran lebih banyak terarah kepada
upaya mengingat menerusi latih-tubi dan akhirnya diukur dengan peperiksaan.
Peperiksaan menjadi fokus utama menentukan pencapaian dan kecemerlangan para
pelajar dalam subjek yang dipelajarinya. Ia memberi kesan sepihak terhadap
pembangunan diri pelajar.
Kokurikulum Sejarah atau Kajian
Tempatan umpamanya amat menarik dikembangkan menerusi gerak kerja lapangan,
kajian dan telitian, dengan mengumpul maklumat dan data. Sejarah lazimnya
mengaitkan apa yang berlaku pada masa lalu. Masa lalu dilalui meninggalkan
kesan sejarah. Hari ini yang sedang dilalui bakal meninggalkan jejak-jejak
sejarah. Hari depan yang bakal diteroka juga bakal mengubah sejarah. Sifat
sejarah adalah sinambung dan coraknya mengulangi walaupun dalam bentuk yang
mungkin berbeza.
Dalam tradisi Islam, sejarah itu
dilihat sebagai kisah yang membawa kesan kepada ibrah. Ibrah atau sumber
teladan ini amat penting bagi memberi
pengetahuan dan maklumat mengenai peristiwa dan tokoh supaya yang baik
itu dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan.
Kisah Nabi Lut as dalam al-Quran
umpamanya boleh dihubungkan dengan isu seks bebas yang terjadi pada hari ini.
Pola perlakuan hidup manusia mengulangi jejaknya meninggalkan gaya hidup yang
fitrah sebaliknya memilih jalan hidup yang songsang.
Ini boleh mencetuskan kesedaran
pelajar tentang betapa penting hidup dalam keadaan fitrah berpedomankan nilai
dan agama supaya hal-hal yang makruf subur dalam kehidupan, dan hal-hal mungkar
dapat dihindari.
Sejarah Melaka umpamanya
menyatakan tentang zaman turun-naik yang menyebabkan Melaka dan Malaya akhirnya
terjebak dalam kekuasaan penjajah. Zaman naiknya Melaka ialah kerana kekuatan
Islam dijadikan sandaran. Sultan Alauddin Riayat Shah amat menarik untuk
dikaji. Kisah Sultan Mahmud dan peminangan Puteri Gunung Ledang adalah metafora yang memberikan makna besar terhadap kejatuhan Melaka. Peranan penasihat Raja
seperti Si Kitol dan Raja Mendaliar amat mustahak untuk dikaji kerana watak itu
wujud pada setiap zaman yang akhirnya membawa kejatuhan terhadap sesuatu bangsa
atau tamadun kerana sifat sejarah itu mengulangi jejak.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU BAHASA : 200 bahasa lenyap di India
New Delhi : Lebih 200 bahasa lenyap di India sejak 50 tahun lalu, kata satu kajian baharu, yang turut menyalahkan perpindahan ke bandar dan ketakutan dalam kalangan puak nomad untuk bercakap bahasa ibunda mereka.
Kajian dijalankan di seluruh
negara sejak empat tahun lalu dan dikeluarkan minggu ini, mendapati 230 bahasa
‘lenyap’ sementara tambahan 870 terselamat dalam ujian masa di negara kaya
dengan kepelbagaian dan kepesatan moden, menempatkan sejumlah besar penduduk
asli dan puak.
Ganesh Devy, yang mengetuai
tinjauan itu, berkata 480 bahasa puak antara yang masih dipertuturkan di India,
manakala bahasa Hindi dan Inggeris mengukuhkan cengkaman dalam dunia mudah alih
dan saling berhubungan.
“Saya bimbang dan cemas bahawa
sejumlah besar bahasa berkurangan secara mendadak di India,” kata Devy, penulis
dan pengasas Bhasha Trust tanpa kepentingan, yang berjuang memulihara bahasa,
kepada AFP.
Pasukan Devy terdiri daripada
3,000 sukarelawan di seluruh India, melawat masyarakat di kebanyakan bahagian
terpencil negara dengan 1.2 bilion penduduk itu, untuk mengkaji dan mendokumen
bahasa yang masih dipertuturkan dan ditulis pada hari ini.
Pasukan itu meneliti bukti
kewujudan bahasa seperti penggunaan lagu rakyat dan kisah dalam bahasa asal
mereka selain istilah digunakan untuk persekitaran geografi.
Pasukan itu membandingkan
penemuan mereka dengan keputusan satu bancian kerajaan dijalankan pada 1961
yang menyatakan kira-kira 1,100 bahasa wujud di seluruh negara.
Lima kajian pertama daripada
kira-kira 50 kajian terperinci Tinjauan Bahasa Rakyat India akan didedahkan di
sini hari ini.
Sumber : AFP
Teks Ucapan Menteri Pendidikan Sempena Pelancaran PPPM 2013-2025
Gelombang transformasi pendidikan
11 September 2012, iaitu hampir
setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama menyaksikan
Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati
hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah
gagah.
Begitu juga halnya dalam kita
merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak
bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka mendengar
pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa,
hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai
persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta
pakar-pakar pendidikan dalam dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM
ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin
mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta ahli
Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada pembangunan pelan
ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam tempoh setahun setelah
pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan sewajarnya bagi
setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat
dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan
maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi
suatu dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia
merupakan suatu rangka pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti,
tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Maka hari ini, KPM dengan rasa
rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan
sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya.
Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan
agar pendidikan menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang
diusahakan. Penghasilan pelan ini memulakan lembaran transformasi pendidikan
tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika
saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat
dalam penghasilan pelan pendidikan ini.
Kelainan dalam penghasilan
PPPM
Bagi mencapai cita-cita besar
untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan melangkaui semua
kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan
dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan
dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO
dan juga Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal
sebelum ini seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan
Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk
menilai pencapaian negara dalam pendidikan.
Kita tidak nafikan dalam usaha
mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak
perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh
kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus;
peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada
belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan
jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik,
hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Kejayaan ini memperlihatkan
bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan
Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada
keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh
amalan baik ini juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi
pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga
meneliti amalan terbaik daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan
bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.
Dari sinilah kita memulakan
perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini
bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak
dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain
daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat
keseluruhannya.
Tumpuan kepada keberhasilan
murid
PPPM 2013-2025 memberi tumpuan
kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang
melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional,
pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di
sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan;
daripada peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.
Kita telah berjaya meningkatkan
sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97
peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus
daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan,
merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang
semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Saya mengucapkan terima kasih
kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid
Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa
dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan
hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.
Dalam usaha kita untuk mencapai
cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi
tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh,
Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada dua
bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri
dialog yang kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan
kepentingan tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam
pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini
penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja belajar dalam menghafal
tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan akal fikiran pada
tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana
elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran
semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh
pendidikan itu mesti disemai, ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap
anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.
Dasar bahasa
Untuk memberikan pendidikan yang
berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya
berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah
dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia
ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.
Kementerian tidak berhasrat
meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan
memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan
mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis
Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya
nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.
Kementerian juga akan terus
memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri
kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk
melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan
perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan
mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan
pelaksanaan hasrat ini, Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun
'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion murid-murid yang lebih
dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.
Saya sedang meneliti kerana kita
mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang
akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan
umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita
gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau
bahasa lain di seluruh sekolah.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa
ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik
Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang lemah,
kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan
menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.
Dalam usaha meningkatkan
penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah
diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu,
kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British
Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan
pada Oktober nanti.
Suka saya nyatakan di sini,
walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda utama kementerian,
murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak
menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan
peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti
bahasa Arab dan Kadazan Dusun.
Selain berusaha untuk
meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher
Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk
melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang
mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar
60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan
kesedaran tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan
dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan elemen kemahiran
berfikir akan dilakukan.
Pendidikan Islam
Kementerian juga beriltizam untuk
melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti
nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan
Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan
ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja
berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga
dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan
diperluas agar menjadi asas kukuh dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak
anak-anak kita.
Sistem pendidikan juga akan
menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan
gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang
terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira
pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan
Malahan saya telah melancarkan
tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di
negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional
iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.
Di negara maju sudah sampai 60
hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang
mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh.
Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000,
tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka
untuk mengambil aliran vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu
mendadak sekali. Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang
lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan dengan
jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada
kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada
makmal khas untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai
inti pati penting dalam pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang
kelainan dan keistimewaan ini.
Mengupaya pemimpin sekolah dan
guru
Pembelajaran murid tidak akan
berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana.
Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah.
Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah
dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan
program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat
membimbing dari segi pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek
penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui
bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat melaksanakan tugas
dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kementerian terus berusaha untuk
memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat
kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion
perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja
dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan
dalam pembelajaran mereka.
Selain itu laluan kerjaya guru,
cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan pelaksanaan program
profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar,
kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa
perkhidmatan akan dilaksanakan.
Tidak semestinya yang lebih
senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan
merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan
pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar
akan menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon
pengetua/guru besar yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi
kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan
guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka lulus
baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan.
Kelainan dalam Pelaksanaan
PPPM
Semua aspek perancangan
digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan sekarang ini adalah
dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks.
Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah
mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan
kepada sokongan terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu
peningkatan sistem dalam gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan
dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi
memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu diberikan terhadap inisiatif yang
penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.
Penubuhan PADU
Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan
ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu
Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan memastikan kejayaan
inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang berbakat
dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut
kesungguhan yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa.
Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian
Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana perancangan sebelum ini. Malah melalui
PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat,
kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan status pencapaian
inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.
Penglibatan pihak berkepentingan
Suatu lagi keunikan dalam
pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian
tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar
sekitar warga Kementerian sahaja.
Memandangkan pelan ini terhasil
daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk merakyatkan
pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang
telah diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana
daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.
Di samping itu kita turut
menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan
sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita
mahu meningkatkan PPPM ini.
Teach for Malaysia dan Sekolah
Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada
pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan
lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan hasil
yang luar biasa.
Dengan pendekatan baharu yang
digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada
peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah
moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda
akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.
Pelancaran ini memberi seribu
makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis
pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka surat
dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam
empat bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya
tahu apa yang mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur
atau yang malas langsung kita akan sediakan video.
Pendekknya tidak ada sebab rakyat
Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh
terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang
sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa
tujuan kita.
Sebab itu saya sebut, walaupun
ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan pelan ini,
insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna
satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.
Saya ucapkan terima kasih kepada
semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk
menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU KESIHATAN : 8.5 juta rakyat Malaysia gemuk?
PUTRAJAYA 7 Sept. - Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan berlebihan berikutan terlebih makan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.
S. Subramaniam (gambar) yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu,
setakat ini, 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan
berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.
Menurutnya, masalah tersebut
berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan
kecenderungan kepada makanan manis.
Beliau berkata, bilangan rakyat
Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan
masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kementerian terus menekankan cara
hidup sihat dalam kalangan masyarakat kerana masalah berat badan berlebihan di
kalangan mereka telah mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1
peratus.
Masalah tersebut kini telah
menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan masyarakat. Bayangkan ketika ini
seorang daripada tiga penduduk negara ini obes atau mempunyai berat badan
berlebihan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Nak
Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, di Dataran Wawasan Presint 2 di
sini hari ini.
Menurut Subramaniam, kerajaan
amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal
sebagai rutin harian di kalangan rakyat kerana kajian menunjukkan purata setiap
individu melakukan aktiviti senaman selama 20 minit sehari.
Mengulas mengenai Kempen Nak
Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, Subramaniam berkata, seramai 70,000
orang yang majoritinya belia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan yang dilancarkan
serentak di seluruh negara.
Kempen yang diadakan untuk tahun
keempat itu katanya, memfokuskan kepada peningkatan kesedaran golongan belia
terhadap kepentingan melakukan senaman sebagai amalan hidup seharian.
Cara hidup orang muda sudah berbeza
kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan
dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.
ICT sudah menjadi budaya golongan
belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun
keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan," katanya.
Katanya, kerajaan akan memainkan
peranan dalam memastikan golongan muda sentiasa mengamalkan kehidupan sihat
dengan memperbanyakkan kemudahan beriadah di kawasan perumahan antaranya kempen
berjalan 10,000 langkah sehari merupakan aktiviti intensiti rendah dan sesuai
semua peringkat umur.
Dianggarkan berjalan 10,000
langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori,"
katanya.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
ISU PENDIDIKAN : PPPM akan berjaya jika semua pihak beri komitmen
KUALA LUMPUR - Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merangkumi tempoh 2013 hingga 2015 akan
berjaya dicapai jika semua pihak memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi,
kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, pelan yang
merangkumi visi sistem pendidikan itu akan memenuhi aspirasi semua pihak
termasuk pelajar, tenaga pengajar, ibu bapa dan negara.
"Komitmen dan dedikasi kita
bersama akan menunjang kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan ini,"
menurutnya dalam laman Facebook beliau hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri
yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PPPM yang
merupakan manifestasi transformasi kerajaan paling menyeluruh dan paling besar
dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat
pembangunan negara.
Pelan itu dihasilkan demi masa
depan anak-anak Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi
tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan. -
BERNAMA
Jumaat, 6 September 2013
ISU BAHASA : Mengenali bahasa slanga
PERNAHKAH kita mendengar beberapa
perkataan digunakan kumpulan tertentu yang tidak kita fahami? Anehnya, ahli
kumpulan yang guna perkataan tersebut memahaminya. Bahasa ini dikenali sebagai
slanga. Secara ringkasnya, bahasa slanga ialah yang digunakan oleh satu
kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut memahaminya serta dianggap bahasa
tidak rasmi.
Sesuatu kelompok masyarakat itu
mempunyai bahasa slanganya sendiri dan hanya kelompok itu yang memahaminya.
Bahasa slanga yang digunakan juga berbeza antara satu tempat dengan tempat
lain.
Bahasa slanga pada mulanya
digunakan oleh pelajar-pelajar universiti kerana persekitaran mereka
menyebabkan berkembangnya bahasa ini. Antara contoh bahasa slanga dalam
kalangan pelajar universiti seperti yang ditulis oleh Nik Safiah Karim dalam bukunya ialah ‘snake’ (pensyarah yang
tidak memberi soalan peperiksaan kepada mahasiswa seperti dikehendaki),
‘kacang’ (mata pelajaran yang senang), ‘koyak’ (gagal), ‘karipap’ (gred D) dan
lain-lain lagi. Selepas pelajar-pelajar universiti, artis-artis rok (rock) juga
banyak menyuburkan bahasa slanga. Istilah-istilah seperti ‘tangkap leleh
(mengasyikkan), ‘tangkap cintan’ (jatuh cinta), ‘tangkap nangis’ (sedih) dan
‘mengancam’ (hebat) begitu popular. Kumpulan yang ketiga sering dikaitkan
dengan bahasa slanga ialah remaja. Antara istilah popular dalam kalangan mereka
ialah ‘mat rempit’ (remaja yang menunggang
motosikal dalam keadaan berbahaya), ‘cun’ (cantik), ‘jambu’ (cantik), ‘balak’
(teman lelaki), ‘pak we’ (teman lelaki), ‘mak we’ (teman wanita), ‘skema’
(terlalu mengikut peraturan), dan lain-lain lagi.
Bahasa slanga yang digunakan
berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Contohnya, ada kumpulan yang
menggunakan ‘ayam’, ‘burung’ atau ‘sanggul’ untuk merujuk kepada pelacur.
Bahasa slanga juga telah dikenal
pasti wujud dalam bahasa-bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris,
contohnya, ‘whale tail’ iaitu ikatan pinggang berbentuk ‘Y’ pada seluar dalam,
dan ‘muffin-top’( bahagian daging daripada pinggang yang terjulur keluar
apabila memakai seluar atau skirt yang ketat).
Saya telah berjaya mengesan
beberapa bahasa slanga yang digunakan oleh pelajar asrama di sebuah sekolah.
Antara perkataan yang digunakan ialah ‘mengisi’ (memukul), ‘relay’ (merokok
secara beramai-ramai), ‘pejabat’ (tandas tempat merokok), ‘mengopi’ (meniru
dalam peperiksaan), ‘spongebob’ (orang yang mempunyai suara nyaring),
‘tenggiling’ (telefon bimbit), ‘toyol’ (membawa nota dalam peperiksaan) dan
‘loga’ (orang yang berambut keriting). Namun seperti yang dijelaskan sebelum
ini, istilah ini kemungkinan berbeza dengan istilah yang digunakan oleh pelajar
di asrama sekolah lain.
Beberapa faktor wujudnya bahasa
slanga telah dikenal pasti, antaranya untuk menunjukkan identiti kumpulan
berkenaan. Faktor-faktor lain ialah tekanan emosi yang dihadapi oleh remaja
sama ada dari aspek pelajaran, percintaan dan kewangan menyebabkan bahasa
slanga tercipta selain sebagai tujuan berjenaka dengan rakan-rakan mereka.
Remaja juga cuba untuk meringkaskan perkataan demi mempercepat sebutan di
samping menyatakan sesuatu yang lucah dan abstrak secara tersirat. Bagi
sesetengah kumpulan pula, beberapa istilah dicipta untuk mengelakkan kegiatan
negatif mereka diketahui orang lain.
Sebagai kesimpulannya, walaupun
perkembangan bahasa slanga ini sukar dibendung akibat daripada perkembangan
teknologi, namun gejala ini harus dikawal terutama dalam urusan-urusan rasmi
agar bahasa Melayu terus terpelihara. Kita bimbang jika bahasa slanga terus
berleluasa, kemungkinan besar akan timbul silap faham antara pengguna bahasa
Melayu. Marilah sama-sama kita mempertahankan bahasa Melayu. Akhir kata
“Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.
Ruangan ini dikelolakan oleh
DBP Wilayah Timur
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)







