Ahad, 29 Mac 2015

ISU PENDIDIKAN : Guru… usahlah bersikap ‘nato’


Oleh : NIK NOR AHMARIZAM NIK AHMAD

SEWAKTU penulis bersama-sama dengan beberapa cendekiawan pemikir akademik Kementerian Pendidikan dalam satu seminar pendidikan di ibu kota, pelbagai pendapat telah dikemukakan untuk dibincangkan bagi mencari kata sepakat berkaitan beberapa isu pendidikan terbaharu, sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Dengan kata lain, pejam celik, pejam celik begitu pantas sekali masa berlalu dan 2015 merupakan tahun akhir Gelombang 1 (2013-2015), iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama.

Masih kedengaran cakap-cakap massa di seluruh pelosok tanah air, iaitu terdapat sebilangan besar daripada pendidik tempatan kurang memahami kandungan PPPM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Dalam hal ini, kata-kata seorang akademikus terkenal tanah air ada kebenarannya.

Kata beliau, “Saya berasa hairan kerana masih terdapat golongan pendidik kini yang bersikap ‘nato’ dalam urusan sehariannya sebagai pendidik sedangkan kerajaan melalui KPM (Kementerian Pendidikan) telah memperuntukkan wang yang begitu besar untuk menjayakan transformasi pendidikan agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa di negara maju.”

Sejujurnya, kerisauan beliau bukan sahaja dirasai oleh pegawai KPM tetapi ibu bapa juga turut menerima tempiasnya dek perilaku sesetengah guru yang bersikap ‘nato’ itu.

Perkataan ‘nato’ merujuk kepada frasa no action talk only yang begitu jelas menggambarkan bahawa ada guru yang bersikap sedemikian ketika memberikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang tegar dengan situasi ‘nato’ ini berlaku di mana-mana daerah atau lokasi dunia pendidikan kini.

Apakah kesannya kepada murid pascamerdeka pada masa hadapan? Adakah murid berasa selesa akan sikap guru ‘nato’ itu? Sehubungan itu, stigma sebegini tidak wajar berlaku kerana setiap guru telah melalui proses pengamalan pedagogi berkesan serta praktikum ketika mereka menuntut di Institut Pendidikan Guru (dulunya maktab perguruan) atau di universiti tempatan dan luar negara.

Apakah yang diinginkan oleh seseorang murid pascamerdeka dalam proses pembelajaran seharian mereka? Jika perkara ini diajukan kepada murid, tentulah jawaban yang pelbagai akan diperoleh. Dalam hal ini, seseorang guru yang sentiasa menyedari tanggungjawabnya akan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik ketika sesi pengajaran di dalam kelas, selain menitikberatkan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek muridnya setiap masa.

Guru-guru seharusnya mendekati muridnya dengan penuh kasih sayang agar ilmu pengetahuan benar-benar meresap ke dalam diri murid tanpa gangguan unsur provokasi luaran. Usahlah dibiarkan sikap pasif ‘nato’ mendominasi minda guru terus-terusan tanpa adanya prakarsa murni untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kaedah pengajaran terkini.

 Murid-murid pada abad ke-21 ini merupakan murid pascamerdeka yang aktif dalam serba bidang. Hal ini menuntut guru-guru mengetepikan sikap jelik ‘nato’ dalam mendepani kerenah murid masing-masing dengan minda yang terbuka selain mendidik mereka agar tidak sekali-kali meminggirkan kesantunan budi bahasa. Jadilah guru yang selalu kasih akan muridnya tanpa mendambakan sebarang balasan.

Selain itu, guru nan berwibawa perlu menerokai pelbagai disiplin ilmu kurniaan Ilahi dengan ikhlasnya kerana yakinlah bahawa apabila minda guru cerdas dan kuat, pengetahuan muridnya jua pasti mencapah sekali gus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut terserlah.

Kesimpulannya, peribahasa ‘leluhur ular menyusur akar’ tidak akan hilang bisanya masih malar segar dalam ranah kehidupan seseorang guru kini. Setiap guru mempunyai nuansa yang cukup ampuh dan nirmala untuk menjadi guru yang bercita-cita tinggi, sekali gus menjayakan PPPM pada abad ke-21 ini.

Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/ (26 Mac 2015)

Ahad, 25 Januari 2015

ISU PENDIDIKAN : Mendepani cabaran pendidikan negara


DR. RAM AL JAFFRI SAAD (RAM@UUM.EDU.MY) 

BARU-BARU ini semasa majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat cabaran utama kementerian itu sepanjang 2015.

Pertama, cabaran bagi mendepani perkembangan ekonomi ASEAN yang pesat yang dijangka muncul sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia. Kedua, cabaran untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan antarabangsa bagi mendepani kemajuan dan ketidakpastian masa depan.

Ketiga, cabaran memperkasa peranan kementerian untuk menghasilkan modal insan minda kelas pertama. Keempat, cabaran melahirkan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi yang bertanggungjawab.

Keempat-empat cabaran yang digariskan tersebut adalah sangat penting untuk dihayati oleh semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam dunia pendidikan. Hanya melalui penghayatan dan pemahaman mendalam membolehkan usaha dan strategi digerakkan bagi memastikan kejayaan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut.

Dalam konteks cabaran pertama, Menteri Pendidikan menyarankan agar sektor pengajian tinggi merangka perancangan strategik bagi menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang dilihat lebih terbuka. Perkembangan pesat ekonomi negara-negara ASEAN akan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan antara negara-negara tersebut.

Hasil rangsangan perdagangan ini secara langsung dapat menggalakkan perkembangan sektor perniagaan. Hal ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keperluan terhadap tenaga kerja mahir antara negara-negara anggota.

Cabaran mobiliti tenaga kerja mahir boleh berlaku dalam pelbagai sektor sama ada sektor korporat, pendidikan dan sebagainya. Justeru, pelan perancangan strategik bagi mengurus hal ini wajar diusahakan agar mobiliti ini dapat diuruskan dengan baik dan negara mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Dalam konteks cabaran kedua, sektor pendidikan negara diharap mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia. Ini penting kerana negara bukan sahaja berdepan dengan pendidikan dunia yang berkembang pesat, namun negara juga berhadapan dengan ketidaktentuan dunia ekonomi dan politik dunia.

Bagi mengurus cabaran ini kerjasama wajar dijalinkan dengan sektor pendidikan di negara-negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan. Kerjasama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Australia boleh terus diperkasakan.

Selain itu, kerjasama dengan negara-negara lain terutamanya negara-negara Islam wajar juga diberi perhatian serius. Ini kerana perkembangan pendidikan di negara-negara tersebut adalah sangat menggalakkan dan ia mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

Jika dilihat kepada sejarah, sektor pendidikan di negara-negara Islam berada pada satu tahap yang cukup membanggakan pada suatu ketika dahulu. Ia berkembang ke negara-negara Eropah dan Asia sehingga negara-negara ini mendapat manfaat yang besar.

Justeru, usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan ini wajar dilakukan. Negara kita yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain perlu mengge­rakkan usaha ini. Di samping menjadi contoh, kita juga dapat mengutip kha­zanah-khazanah pendidikan silam yang maju untuk disuburkan kembali di negara-negara Islam.

Dalam cabaran seterusnya, aspirasi negara untuk mencapai status negara maju tidak akan dapat dicapai sekiranya sektor pendidikan negara tidak mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama. Inilah cabaran besar sektor pendidikan iaitu untuk memastikan negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Modal insan yang mempunyai minda kelas pertama adalah individu atau kumpulan orang dalam masyarakat yang mampu menguasai sesuatu bidang ilmu yang tinggi, berdaya saing, akhlak yang hebat, budaya kerja cemerlang, berintegriti, menjunjung nilai-nilai murni dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Modal insan ini dilahirkan dalam acuan budaya, kesenian dan wa­risan tanah air. Mereka menjaga agama, bangsa dan negara. Hanya dengan perancangan yang baik dan berterusan mampu melahirkan modal insan ini.

Cabaran terakhir adalah ber­kaitan moral dan di­siplin diri yang kuat yang harus ada pada anak bangsa kita untuk mendepani kecanggihan dan kepesatan teknologi. Secanggih mana pun teknologi dengan infrastruktur berkelas dunia yang ada dalam negara kita akan tidak membawa makna sekiranya masyarakat dan anak-anak muda tidak mempunyai akhlak dan etika yang baik sebagai pengguna teknologi.

Umum dapat melihat bagaimana salah guna teknologi berlaku dalam negara kita. Penyebaran berita-berita palsu, provokasi, mengadu domba dalam kalangan masyarakat, fitnah dan macam-macam lagi merupakan antara contoh salah guna teknologi yang melibatkan masyarakat kita.

Adalah menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk melahirkan generasi pengguna teknologi yang bertanggungjawab. Pengguna teknologi wajar dididik dengan ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni agar mereka tidak menyalahgunakan teknologi.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan merupakan nadi kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Pe­rancangan pendidikan negara harus dirangka sebaik-baiknya agar mampu melahirkan generasi berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Empat cabaran semasa yang harus ditempuhi oleh sektor pendidikan dalam negara menjadi agenda besar yang perlu diberi perhatian serius oleh warga pendidik. Cabaran-cabaran ini wajar difahami sedalam mungkin sebelum perancangan strategik dapat dibuat. Semoga cabaran-cabaran ini akan ditempuh dengan jayanya.

PENULIS ialah Pengarah Penerbitan UUM (UUMPRESS) merangkap Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 13 Januari 2015

ISU SOSIAL : Pembelajaran etika didik generasi muda berakhlak

Oleh : Wan Mohd Hirwani Wan Husain

Pendedahan video aksi gadis bertudung memeluk artis popular KPop dari Korea Selatan amat menggemparkan dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Pada saat negara dirundung kesedihan dengan isu banjir di Pantai Timur dan nahas kapal terbang QZ8501 AirAsia Indonesia, video berkenaan menggambarkan bagaimana tingkah laku generasi muda masa kini yang semakin 'bernanah' dalam masyarakat.

Video itu turut menerangkan bahawa institusi pendidikan dan keluarga perlu memainkan peranan bagi membendung perlakuan tidak sopan yang membabitkan pergaulan lelaki dan wanita. Nilai murni masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adat dan kesantunan tinggi telah tercemar dengan pendedahan video berkenaan. Ini bukan nilai murni yang baik dan patut dicontohi generasi muda.

Etika dan nilai murni milik generasi muda masa kini kian pudar selaras dengan perkembangan teknologi yang dikecapi. Penggunaan media sosial telah digunakan sebagai platform oleh generasi muda bagi mengkritik, menempelak dan meluahkan perasaan atas segala aspek yang dirasakan tidak adil pada perspektif mereka.

Ini menyebabkan nilai murni dan sopan santun masyarakat Malaysia semakin lama semakin terhakis. Etika berasal daripada perkataan 'ethos' (Greek) yang didefinisikan sebagai keperibadian dan akhlak, merangkumi aspek prinsip dan kelakuan individu mengenai kepercayaan antara betul dan salah. Etika juga merangkumi tingkah laku seseorang yang menggambarkan sesebuah masyarakat. Dari perspektif Islam, etika amat penting kerana Islam menggariskan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, tawaduk dan wasatiyyah dengan berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.

Etika dan nilai murni yang baik amat penting kepada diri seseorang individu kerana ia berupaya membantu memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga negara.

Elak masalah sosial lebih serius

Banyak kes rasuah pada masa kini adalah dalam kalangan eksekutif muda yang mahukan kesenangan dengan cepat tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan berkenaan.

Sekiranya ini dibiarkan maka adalah tidak mustahil pada suatu masa nanti kejatuhan nilai murni dan sosial menjadi semakin serius di Malaysia. Permasalahan ini perlu dibendung sejak di sekolah rendah lagi dengan memperkenalkan subjek yang berkaitan dengan etika dan nilai murni. Pengenalan subjek ini dapat membantu mendidik pelajar sejak di sekolah rendah dan pada masa sama dapat mengurangkan sikap prejudis dan iri hati generasi muda.

Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan tersebut akan meningkat pada masa hadapan.

Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya sememangnya mempunyai etika dan nilai murni masing-masing. Oleh itu, adalah menjadi keperluan setiap pelajar sekolah rendah memahami dan menghormati etika dan nilai murni yang diterapkan dalam masyarakat masing-masing.

Penghayatan etika dan nilai murni dalam pelbagai agama dan masyarakat membolehkan generasi muda pada masa akan datang lebih bertamadun dan berketrampilan. Ini secara tidak langsung akan bertindak sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara serta dapat merealisasikan wawasan negara maju menjelang tahun 2020.

Saranan Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim perlu diberi perhatian. Beliau mencadangkan bahawa adalah menjadi keperluan untuk sekolah rendah memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam seminggu bagi proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan etika dan nilai murni.

Tumpu aspek perpaduan

Seterusnya, pembangunan modul etika dan nilai murni yang dibangunkan perlu memberikan tumpuan khusus kepada aspek perpaduan, hormat menghormati, bekerjasama yang mempunyai kualiti daya saing tinggi bagi membolehkan generasi pelajar hari ini mampu berdepan perubahan pada masa hadapan.

Penilaian terhadap subjek juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memenuhi objektif pengajaran dan membolehkan penilaian pelajar dapat dilakukan dengan lebih baik serta berkesan.

Malaysia juga boleh mengaplikasi konsep pendidikan negara Jepun dengan menerapkan pengajaran dan pembelajaran etika sejak di sekolah rendah. Berdasarkan kepada pepatah Melayu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' maka adalah amat tepat jika pelajar sekolah rendah digunakan sebagai medium mengubah etika masyarakat yang kian hancur masa kini.

Keseluruhannya, pengajaran dan pembelajaran etika amat signifikan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan generasi muda lebih bertanggungjawab, amanah dan adil dalam menjalankan tugas.

Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan dan universiti serta badan penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih terancang. Hasilnya diharapkan dapat menghasilkan generasi muda lebih berilmu dan berakhlak mulia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 9 November 2014

Soalan Esei : Peperiksaan Percubaan STPM Penggal 1, 2015 Negeri Pahang

1.         Kes penyeludupan semakin membimbangkan walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasinya. Setiap tahun kerajaan terpaksa menanggung kerugian disebabkan oleh masalah penyeludupan yang masih berlaku di negara ini. Terdapat beberapa punca yang mendorong masalah tersebut terus berlaku dan kesannya pula sememangnya merugikan banyak pihak. Jelaskan pernyataan ini.

2.         Kecanggihan bidang sains dan teknologi memberi sumbangan yang amat besar dalam kemajuan pelbagai bidang, termasuklah bidang sukan. Pada pendapat anda apakah sumbangan bidang sains dan teknologi dalam membantu meningkatkan kemajuan sukan di negara kita?

3.        Menguasai bahasa Inggeris merupakan salah satu aspek yang amat penting dalam memastikan seseorang pelajar dapat memajukan diri mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam sesuatu bidang. Namun begitu, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,khususnya pelajar luar bandar sangat membimbangkan. Terdapat beberapa faktor yang dikatakan menjadi punca kelemahan tersebut. Bincangkan.

Soalan Esei : Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu STPM Penggal 1, 2015

Negeri Selangor

1.    Kebolehan dan kemahiran mereka cipta sesuatu yang baharu masih perlu dipertingkatkan dalam kalangan rakyat di negara ini bagi memastikan negara mampu mencapai status negara maju. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak dalam memperkembang kebolehan dan kemahiran tersebut.

2.  Krisis bekalan air kerap membelenggu masyarakat di negara ini. Huraikan punca-punca berlakunya krisis ini dan kesan-kesannya.

3.   Budaya makan di restoran makanan ala Barat melambangkan gaya hidup moden dan mewah masyarakat di negara ini. Mengapakah masyarakat kita gemar mengunjungi restoran sedemikian dan apakah kesan negatif yang mungkin dihadapi oleh masyarakat di negara kita akibat isu berkenaan?

Negeri Terengganu

1.    Pelbagai kempen dijalankan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang sesuatu perkara. Namun begitu, ada kempen yang dijalankan itu kurang berjaya mencapai matlamatnya. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk meningkatkan keberkesanan kempen yang dijalankan itu?

2.  Pertumbuhan institusi pendidikan swasta di negara ini sejak belakangan ini dikatakan menimbulkan berbagai-bagai kesan. Berikan penjelasan anda tentang kesan pertumbuhan institusi pendidikan swasta di negara ini.

3.  Ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian mendatangkan pelbagai kesan kepada rakyat dan negara. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?

Sumber : http : //www.khirkassim.blogspot.com/

Isnin, 2 Jun 2014

ISU SOSIAL : Keprihatinan semua pihak elak kejadian jenayah


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

JENAYAH terutamanya yang melibatkan seksual amat membimbangkan kita sejak kebelakangan ini. Ini kerana kes-kes yang melibatkan serangan seksual amat luar biasa sekali, malah ia membabitkan pende­raan kanak-kanak hingga membawa maut.

Hati mana yang tidak hiba membaca laporan akhbar mengenai anak remaja yang diperkosa oleh hampir 40 lelaki, isteri orang diperkosa beberapa lelaki dan anak kecil dikelar hingga mati.

Semuanya adalah sebahagian episod sedih yang amat menyayat hati. Malangnya, tidak ada sangat kedengaran suara-suara lantang mengutuk kekejaman ini oleh pertubuhan sukarela atau mereka yang selama ini begitu prihatin apabila orang tertentu yang dikatakan dizalimi mereka mem­belanya dengan bangkit melakukan pelbagai provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.

Jika ada pun, kebanyakannya hanya pandai menuding jari menyalahkan pihak berkuasa dan orang lain, bukan mahu bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani pelbagai kekejaman ini.

Kita tentunya masih ingat kes-kes per­kosaan yang mangsa dicampak keluar daripada bas, dibakar hangus dan banyak lagi yang berlaku dalam masyarakat kita dalam beberapa tahun sebelum ini.

Adakah kesibukan kita mencari wang untuk mencari kesenangan hidup atau terlalu sibuk dengan berpolitik dari pilihan raya umum ke pilihan raya kecil menjadikan isu-isu seperti ini tidak berbekas di hati kita?

Alangkah malangnya bagi masyarakat kita yang melihat sesetengah orang yang lantang bersuara di pentas politik mene­lanjangkan musuhnya, sedangkan musuh sebenar ini yang menakutkan kehidupan kita seharian, hanya dilihat sebelah mata dan tidak pun berusaha memainkan pe­ranan dan pengaruhnya kepada masyarakat untuk menanganinya.

Adakah kita hanya menunggu mangsa seterusnya yang mungkin anak-anak kita, adik-adik kita, ibu kita malah kaum keluarga terdekat atau bau-bau bacang malah juga sahabat taulan yang melalui pengalaman ngeri ini baharulah kita bangkit dan marah semua orang, kecuali diri sendiri?

Sudah sampai masanya kita memainkan peranan bersama-sama menangani isu serius ini. Kecelaruan dan kekeliruan nilai dan pemikiran ternyata menjadi sebab utama mengapa hal seperti ini tidak dilihat sebagai tanggungjawab bersama.

Kita agaknya keliru antara kebebasan peribadi dengan hak masyarakat, antara keperluan dan tanggungjawab bersama dengan tanggungjawab pihak berkuasa malah nilai-nilai mengambil berat, saling mengambil tahu dan kekeluargaan yang semakin jauh jaraknya dari kita.

Agak malang, tatkala kita menghampiri usaha untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, nilai-nilai ini semakin jauh daripada kita. Jiran tetangga sudah tidak bertegur sapa. Sahabat handai lebih selesa berkomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas, Internet dan media sosial.

Konsep langit terbuka mengundang padah dan membentuk nilai-nilai baharu yang berteraskan kebebasan individu yang keterlaluan, memancing kepada tarikan-tarikan seksual yang bagi setengah pihak lebih mudah menyalahkan orang lain daripada memperkasakan konsep keimanan dan ke­sejahteraan yang diinginkan bersama.

Sudah sampai masanya kita melihat semula seluruh nilai yang ada dan ber­usaha membangunkannya semula dalam kerangka keperluan semasa secara serius, walaupun dengan berpatah balik kepada nilai-nilai tradisional yang dianggap lapuk dan ketinggalan.

Nilai-nilai tradisional yang berteraskan kepada kearifan luar biasa yang menyatukan masyarakat dan saling bersikap prihatin, menjaga kemaslahatan bersama dan berusaha keras menegur dan memberikan isyarat sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku dalam masyarakat.

Ini juga perlu dilihat secara menyeluruh yang melibatkan seluruh anggota masyarakat, ilmuwan, pemimpin politik, pemimpin institusi dan organisasi, ibu bapa dan pelbagai pertubuhan yang ada.

Kecelaruan nilai yang membentuk generasi hari ini yang hanya berteraskan matlamat menghalalkan cara seharusnya dilihat dan difikirkan semula untuk menangani pelbagai gejala yang ada.

Cukup-cukuplah kita memaki hamun orang lain semata-mata kerana perbezaan pendapat dan pegangan politik sebaliknya lihatlah kepada usaha positif untuk membangunkan masyarakat masa depan yang lebih sejahtera dan bahagia, menghormati pendapat orang lain dan prihatin kepada pelbagai isu yang ada.

Yang penting kembali membangunkan kekuatan untuk menghadapi gejala-gejala jenayah yang kita depani sekarang ini.

Gunalah saluran agama yang sering membentuk kita dalam saling menyayangi dan menghormati hak sesama manusia serta mengawal diri daripada nafsu serakah.

Kita harus mengutuk keras segala bentuk ancaman ini dan menggembleng apa jua kekuatan yang ada untuk membanterasnya secara bersama walaupun berbeza pegangan politik dan pandangan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 27 Mei 2014

ISU KENEGARAAN : Jangan jadi generasi kerengga


Oleh : Syed Mazlan Syed Mat Dom

PENERAPAN nilai-nilai murni kepada generasi muda perlu digerakkan sepanjang masa. Kegagalan kita untuk menerapkan nilai murni ini menyebabkan segala perkara yang tidak disangka sama sekali boleh sahaja akan terjadi.

Bak pesanan orang dulu-dulu, ilmu agama penuhkan di dada, kemudian pergilah kamu berhijrah atau merantau berkelana ke mana jua. Nescaya diri akan selamat dan berupaya menepis segala godaan yang datang. Hidup tidak akan susah, niat tidak akan berubah malah segala kerja dapat dipermudah.

Antara nilai-nilai murni yang patut ada dalam kalangan generasi muda adalah sikap usul periksa, bukan senang percaya membabi buta. Nilai kedua yang perlu dipunya, adalah sikap menghormati pada yang tua yang lebih berpengalaman dan banyak membuat jasa. Nilai murni yang ketiga, adalah perasaan tahu untuk berterima kasih kepada bantuan, pertolongan mahu pun pemberian orang kepada kita.

Inilah tiga nilai murni utama yang penulis rasakan sudah semakin pupus dalam kalangan sebahagian generasi muda kita hari ini.

Generasi muda tidak harus melatah dan terpengaruh dengan ayat-ayat klise kebebasan hak manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih dalam apa jua perkara. Perkataan-perkataan seperti rasuah, kroni, tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran atau sebagainya hanyalah momokan mencari sokongan oleh pihak yang memberi alternatif .

Malangnya, ciri-ciri yang diberikan ini hanya diguna pakai dalam menilai pemerintah sahaja. Kenapa ciri-ciri penilaian ini tidak turut dipakai sama apabila menilai golongan alternatif lain? Di sini pun sudah ada double standard. Ayat dan perkataan ini hanya sah laku untuk menilai kerajaan. Tidak pula diguna pakai untuk menilai pihak lain.

Sejak dari zaman kanak-kanak lagi generasi ini diajar dan diprogramkan ke dalam minda mereka supaya berfikiran sedemikian. Bahkan, ayat-ayat klise itu tadi menjadi buah mulut dan ikut-ikutan tanpa pengertian yang mendalam terhadap bagaimana untuk mempraktikkan dan di kala mana ia perlu dipraktikkan.

Kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kami pembayar cukai adalah antara ayat-ayat yang menjadi pujaan semasa. Seolah-olah ia fahaman baharu yang merentasi agama dan budaya serta norma-norma kehidupan seharian di pelosok nusantara. Habislah melatah semua anak muda. Hasilnya, maka terkinja-kinjalah mereka di sekitar pasar raya, bandar raya dan jalan raya.

Janganlah jadi seperti kerengga, sekali tersauk bagai dirasuk. Menyerang musuh tanpa mengkaji, usul periksa dan tanpa perbandingan segala. Generasi kerengga ini juga begitu taksub akan ketuanya. Apa yang tidak kena kepada orang lain semuanya betul belaka. Tak perlu untuk disemak buat kali kedua. Tetapi apabila terconteng ke batang hidung sendiri, ia perlu segera dinafikan. Ini pihak ketiga empunya kerja. Pengikutnya memang tak mahu hendak percaya. Malah sudah diajar supaya jangan percaya kepada apa juga khabar berita yang tidak elok mengenai kumpulannya.

Generasi kerengga juga terlalu sukar untuk menghormati pandangan dan pendapat mereka yang lebih tua. Ini adalah kerana kepada mereka siapa dahulu yang memakai lampin bayi pakai buang adalah lebih relevan pada ketika ini daripada siapa dahulu yang memakan asam dan garam. Kiasan lama itu bagi generasi kerengga sudah lama lapuk di telan zaman.

Generasi kerengga juga amat sukar untuk merasa berterima kasih kepada orang lain hatta berterima kasih kepada negara sekalipun. Cuba anda lihat kerengga. Dalam keluarga semut dialah yang paling cantik. Dengan warna kekuningan merah-kemerahan, dialah semut yang paling comel. Ditambah pula dengan pinggangnya yang ramping, dialah yang paling anggun dalam kalangan semut-semut yang ada. Tetapi perilakunya, jauh sekali dari menjadi cerminan dirinya yang anggun itu.

Perhatikanlah, apabila dia membuat sarang di sebatang pohon mangga di depan rumah kita. Dia akan menjadi raja dan bermaharajalela di sana. Apabila cuba didekati, atau cuba kita ceroboh kawasan mahu pun sarangnya usahkan binatang lain, tuan pokok dan tuan tanah yang ditumpanginya itu pun akan digigitnya. Begitu sekali tidak tahu berterima kasihnya, kalau mahu dianalogikan akan generasi kerengga ini.

Kiasan yang boleh dibuat di sini adalah seperti anak yang diberikan peluang menimba pelajaran, diberikan kasih sayang, kemudahan bergerak, kemudahan perhubungan, kemudahan kewangan, kehidupan selesa, malah dibantu untuk mendapatkan pekerjaan oleh ibu bapanya. Apabila sudah dewasa dan menjadi orang berada, dia sanggup akan berkata, ibu ayah tidak jujur, ibu ayah tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran keluarga. Ada kroni dalam keluarga ini. Lalu dia membawa diri keluar dari rumah dan mencari keluarga angkat lain yang dirasakannya lebih jujur dan lebih baik dalam segala aspek.

Inikah generasi baharu yang kita mahu? Inikah pemuda-pemudi pelapis bangsa, pelapis negara yang kita ingin didik dan lahirkan? Inikah jenis anak muda yang kita mahu laburkan wang ringgit kita untuk membesarkannya?

Inilah doktrin baharu yang sedang diserapkan oleh pendokong alternatif. Dengan mempersoalkan sejarah tanah air, menjadikan undang-undang sebagai bahan permainan dan momokan adalah dengan tujuan mendidik generasi muda supaya bersifat seperti kerengga. Supaya generasi ini menjadi generasi “sorry, no thank you for you". Tidak perlu disanjung usaha pemerintah yang ada. Tidak perlu dikenang segala jasa datuk nenek moyang mereka. Kerana anda adalah anda. Generasi kerengga ini jika berterimakasih pun setakat hanya manis di mulut sahaja.

Melihat pula di laman siber, bekas pemimpin negara malah pemimpin semasa turut diselar malahan dipersenda. Yang memberi komentar rata-ratanya generasi muda. Jika sekali sekala kita terfikir kita bahawa kita ini seorang yang tidak pandai berbudi bahasa, janganlah kecewa, sebab di alam siber sana berpuluh ribu lagi yang lebih biadab daripada kita. Inilah generasi kerengga, hasilan dari didikan alternatif semasa. Generasi I follow, gangster, generasi pemaki hamun, generasi mencarut, dan generasi yang suka membangsatkan orang lain terutamanya di laman siber sudah pun kita lahirkan di bumi Malaysia yang tercinta. Generasi kerengga juga adalah generasi buta sejarah. Tidak minat untuk mendalaminya kerana dipesongkan pemikiran bahawa kononnya sejarah negara sudah lama di manipulasi oleh pihak pemerintah negeri.

Persoalannya, kenapa orang muda yang berpotensi besar menjadi generasi kerengga? Mudah sekali jawapannya. Fokus utama pihak berkenaan adalah untuk menyasarkan generasi muda belia yang mudah dibentuk corak pemikiran mindanya. Begitulah juga yang dibuat oleh komunis pada waktu dahulu. Anak muda, anak sekolah dan kanak-kanak menjadi sasaran utama mereka.

Sebagai kesimpulannya, pihak berwajib harus sentiasa peka dan perlu membanteras segera segala usaha yang digerakkan oleh kumpulan tertentu ke arah pembentukan generasi kerengga ini. Sesungguhnya, keperluan untuk generasi muda di luar sana untuk menidakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik terkini keahlian generasi kerengga amatlah dihargai. Adalah lebih baik mencegah daripada berpeluh sakan menanggung musibah.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/