Rabu, 24 Ogos 2016

ISU BAHASA : Perlu tegas kuatkuasakan bahasa Melayu

Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev
Oleh : ABD. AZIZ ITAR

PENGALAMAN selama 15 tahun Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev sebagai pensyarah bahasa Melayu dan bahasa Rusia di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah merumuskannya banyak perkara tentang jati diri rakyat negara ini. Beliau antara lain mendapati penggunaan bahasa Melayu semakin lemah bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia pada hari ini, tetapi ia turut berjangkit ke peringkat lain termasuk dalam sistem pendidikan dan pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak terutama kerajaan mengambil berat, mengkaji semula dasar penggunaan bahasa Melayu serta menguatkuasakannya di semua peringkat sesuai dengan peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan. Dr. Victor yang menamatkan kontraknya sebagai pensyarah bahasa di Fakulti Liguistik UM pada hujung bulan lalu berkata, jika tiada usaha serius dilakukan dalam waktu terdekat dikhuatiri bahasa Melayu akan hilang dominasi di negara sendiri.

“Saya dapati penggunaan bahasa Melayu semakin lemah di Malaysia. Kerajaan tidak tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di semua peringkat terutama dalam sistem pendidikan. Ini adalah proses awal dan ia amat penting dalam usaha tersebut.

“Kalau tiada usaha serius, saya yakin bahasa Melayu akan terus tenggelam di dalam bahasa lain seperti Inggeris yang semakin dominan. Mungkin tidak sampai 50 tahun bahasa ini akan hilang ‘kekuasaannya’ di negara ini,” katanya.

Pensyarah dan pejuang bahasa Melayu berusia 70 tahun ini melahirkan rasa kebimbangannya itu kepada Mingguan Malaysia sewaktu ditemui di pejabatnya di UM pada hari terakhir beliau berkhidmat di universiti itu yang beliau telah menyumbangkan jasanya sejak 2001. Dr. Victor dalam perbualan selama hampir dua jam itu tidak henti-henti bercakap tentang banyak isu yang menjurus kepada usaha-usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia sejak negara mencapai kemerdekakaan pada 1957.

Penipisan

Sebagai bekas pelajar bahasa Melayu dan pernah menuntut di UM pada 1970, beliau melihat perjalanan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rakyat negara ini seakan-akan tidak dipedulikan oleh semua pihak secara perlahan-lahan tanpa disedari. Berdasarkan pengalamannya sebagai pensyarah di UM banyak perkara yang berlaku di depan matanya sendiri memperlihatkan senario itu, dan ia sedang dan akan terus berlaku. Maka proses ‘penipisan’ penggunaan bahasa Melayu perlu disekat.

“Saya pernah mengajar dalam sebuah kuliah yang dihadiri kira-kira 30 pelajar yang majoritinya pelajar tempatan, manakala dua dari China. Tetapi saya terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris semata-mata kerana dua pelajar ini tidak faham bahasa Melayu.

“Sepatutnya mereka perlu memahami bahasa Melayu sebelum memasuki kuliah seperti itu. Ini kerana, kalau di Rusia mahasiswa asing perlu mempelajari bahasa Rusia selama setahun dan selepas itu baru boleh masuk kuliah diajar dalam bahasa Rusia,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ahli dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang mewakili Rusia berkata, kerajaan perlu mencontohi negara-negara lain seperti Jerman, Indonesia dan Jepun dalam memartabatkan bahasa Melayu. Antaranya dengan mengetatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan-urusan rasmi negara seperti dalam surat menyurat, mahupun ke atas rakyat asing yang mahu belajar ataupun bekerja di negara ini ini.

“Contohnya kalau di Jerman, setiap pekerja asing yang mahu bekerja di sana dimestikan mengikuti kursus dalam bahasa Jerman sebelum diambil bekerja. Begitu juga di Indonesia yang amat menekan penggunaan bahasa mereka.

“Malah, di Rusia sendiri setiap urusan rasmi membabitkan jabatan kerajaan diwajibkan menggunakan bahasa Rusia, kalau tidak mereka yang terlibat akan didenda ataupun urusan-urusan mereka itu tidak akan dilayan. Tetapi semua itu tidak berlaku di sini,” katanya.

Dalam pada tegas untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini, namun itu tidak bermakna beliau menafikan 100 peratus kepentingan dan penguasaan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris. Bapa kepada tiga orang anak dan dua cucu ini berkata, bahasa Inggeris perlu difahami untuk komunikasi warga asing atau sewaktu berada di luar negara tetapi penggunaan bahasa Melayu dalam urusan seharian di negara ini perlu mengutamakan bahasa Melayu.

“Tiada alasan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga bidang termasuk sains dan teknologi. Buktinya bangsa Jepun, Perancis dan Jerman boleh maju dalam sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa mereka, mengapa di sini tidak boleh?

“Malah, banyak kamus dalam bahasa Melayu yang telah menterjemahkan bahasa-bahasa lain termasuk yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi ke dalam bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

Dr. Victor misalnya, antara individu yang proaktif dalam mengembangluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuk dengan menterjemahkan bahan-bahan bacaan daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa Melayu bagi mencapai matlamat tersebut.

Turut diusahakannya adalah penyusunan perkataan dan terjemahan daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa Melayu dan daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa Rusia agar lebih banyak perbendaharaan kata diserap dalam usaha memperkasakan lagi bahasa rasmi ini.

Sepanjang menetap di Malaysia, banyak pengalaman manis yang dilalui oleh Dr. Victor terutama dalam bercampur gaul dengan masyarakat negara ini terutama orang Melayu.

Selain banyak menulis artikel dalam pelbagai jenis penulisan, beliau juga banyak menulis puisi dalam bahasa Melayu termasuklah berjudul Abdullah.

Berikut adalah sajak kegemaran beliau yang bertajuk Namaku Abdullah

Namaku Abdullah

Namaku Abdullah.
Bapa angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Ibu angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Saudara angkat aku tinggal entah di mana.
Namaku Abdullah.
Bayu memanggil Abdullah,
Ombak memanggil Abdullah,
Hutan belantara memanggil Abdullah,
Bulan purnama memanggil Abdullah.
Namaku Abdullah.
Di sinilah hati aku,
Di sinilah jiwa aku -
Tanah yang suci,
Tanah yang murni.
Malaysia -Rumahku yang kedua.
Malaysia -Cintaku yang pertama.

- Sumber : http://www.utusan.com.my/ ( 21 Ogos 2016)

Rabu, 10 Ogos 2016

ISU SOSIAL : Membasmi kemiskinan ilmu


Oleh : ROHAMI SHAFIE 

KHAMIS lalu, penulis berkesempatan meng­hadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH), Jitra, Kedah. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum yang juga Timbalan Menteri Pertahanan. Semasa menyampaikan ucapannya, beliau banyak menekankan kepentingan ilmu untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi muda yang adalah pemimpin pelapis masa hadapan. Selain peranan guru untuk mendidik generasi muda, peranan ibu bapa juga cukup penting dalam membim­bing ­generasi muda ke jalan yang benar. Dengan kata lain, pendidikan untuk anak-anak perlu bermula dari rumah.

Malangnya, kita lihat masih ramai ibu bapa yang tidak ambil peduli akan kepentingan ilmu dalam mendidik anak-anak. Kepentingan ilmu ini bukan bermaksud setakat memperoleh kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga membentuk akhlak mulia dalam kala­ngan generasi muda. Sikap tidak ambil peduli sebahagian ibu bapa ­menyebabkan anak-anak muda terjebak dengan pelbagai masalah sosial, misalnya merempit, penagihan dadah dan gengsterisme.

Ambil contoh paling mudah masalah merempit yang sampai sekarang tidak dapat ditangani dengan baik. Ada dalam kalangan ibu bapa sendiri yang membuka peluang kepada anak-anak mereka dengan memberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen. Walhal, anak-anak muda ini masih perlu dipantau agar tidak memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain. Itu belum termasuk dalam hal penagihan dadah yang banyak melibatkan golongan lelaki muda.

Mengikut statistik terbaharu Jabatan Perangkaan, bilangan lelaki di Malaysia lebih ramai berbanding perempuan tetapi rata-rata pelajar lelaki amat kurang kelihatan di menara gading berbanding perempuan. Umum mengetahui di manakah sebenarnya mereka ini berada akibat daripada pelbagai masalah sosial yang saban hari semakin parah. Sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaian secara menyeluruh untuk menangani isu ini. Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan terutamanya ibu bapa yang tidak boleh sesekali melepaskan tanggungjawab mereka kepada guru.

Anak-anak kecil perlu diberikan ilmu secukupnya, selain mendidik mereka menghayati ilmu yang disampaikan agar ber­akhlak mulia. Sesuatu yang malang sekali apabila ibu bapa hanya mengharapkan guru untuk mendidik anak-anak mereka agar berakhlak mulia. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga terlupa menjalankan tanggungjawab dalam memberi ilmu yang mencukupi kepada anak masing-masing.

Selain itu, ilmu juga boleh diperoleh di mana-mana sahaja termasuklah bersahabat de­ngan golongan ilmuwan yang tidak hanya berada di sekolah mahupun di menara gading. Alhamdulillah, sepanjang penulis menjadi pensyarah, penulis berpeluang berjumpa dengan ramai ilmuwan yang berada di luar menara ­gading. Mereka ini berjihad membasmi kemiskinan ilmu dengan cara sendiri. Kesempatan berbincang dengan ilmuwan di luar menara gading telah membangkitkan ke­sedaran kepada penulis betapa banyak lagi ilmu yang perlu dicari. Dengan kata lain, tiada siapa boleh mendabik dada dengan penuh bangga bahawa dirinya sahaja cukup hebat dengan ilmu yang ada walhal ramai lagi ­ilmuwan yang merendah diri tetapi banyak jasanya kepada umat Islam itu sendiri.

Mereka ini bukanlah golongan yang asyik mengkritik orang lain, kononnya orang lain sahaja yang tidak betul dan diri mereka sahaja yang mahir dalam semua bidang. Kita boleh lihat bagaimana media sosial digunakan oleh segelintir golongan untuk menonjolkan diri masing-masing sehingga menyebabkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat boleh terjejas dengan ketara. Ada antara mereka yang sanggup menghabiskan masa dengan berhujah berjela-jela agar panda­ngan mereka didengari.

Cara sebegini amat berbeza sama sekali berbanding ilmuwan-ilmuwan yang penulis temui sepanjang menjalankan penyelidikan perakaunan Islam bersama-sama dengan rakan penyelidik lain. Mereka ini bukan setakat merendah diri tetapi juga menghormati pandangan orang lain meskipun diketahui ilmu mereka ini cukup tinggi ber­banding orang lain. Jauh sekali mengkritik semberono tanpa asas yang kukuh sehingga menonjolkan sifat riak seolah-olah hanya diri sendiri sahaja yang cukup berilmu berbanding orang lain.

Sebab itulah ilmu yang diperoleh oleh mereka dihayati dengan begitu tawaduk dan hasilnya di­terjemahkan melalui akhlak mulia yang memberi manfaat besar kepada orang lain. Mereka ini amat menghayati betapa ilmu itu datangnya daripada Allah SWT. Lantaran itu, penghayatan mereka ke atas ilmu yang diperoleh membolehkan ramai anak-anak murid yang dilahirkan dengan akhlak yang mulia yang mana anak-anak murid mereka ini berkeupayaan meneruskan ke­sinambungan kecemerlangan warisan ilmu yang ditinggalkan oleh mereka.

Apa yang berlaku kini, masyarakat terus dibuai de­ngan pelbagai penyakit sosial yang berteraskan hiburan dan wang semata-mata sehinggakan mem­belakangkan akhlak mulia berasaskan penghayatan ilmu. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai ancaman terbaru disebarkan oleh musuh-musuh Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme.

Ditambah dengan perbalahan antara umat Islam terutamanya melibatkan pemimpin-pemimpin Islam memudahkan lagi kerja musuh-musuh Islam melemahkan umat Islam itu sendiri. Adakah kita sedar hakikat ini? Atau buat-buat tidak sedar kerana terus-menerus mementingkan diri sendiri melebihi kemaslahatan umat Islam? Sebab itulah dalam hal ini, mahu tidak mahu, umat Islam itu sendiri perlu segera bangkit membasmi kemiskinan ilmu agar dapat diterjemahkan dalam bentuk akhlak yang mulia bagi membangunkan umat yang kuat dan disegani di mana-mana sahaja mereka berada.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 20 Julai 2016

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Gajet ‘racun’ gejala sosial


Oleh : RABI’ATULADAWIAH SAMEWOI

GAJET dalam kehidupan manusia kini sudah tidak boleh dipisahkan. Buktinya, senario setiap orang akan memegang telefon pintar atau tablet, dari kecil hingga dewasa dapat dilihat waima di meja makan. Masing-masing dengan dunia sendiri, tidak ada komunikasi.

Bagusnya gajet dengan pelbagai aplikasi mampu membawa dunia di hujung jari, yang tidak bagusnya pula melahirkan masyarakat antisosial. Budaya itu kini telah diterapkan sedari kecil apabila ibu bapa memberi dan menghadiahkan gajet mewah seperti iPhone, Netbook dan lain-lain yang turut dilengkapi Internet, sebagai tanda kasih akan anak.

Namun wajarkah tindakan sesetengah ibu bapa memberi kanak-kanak seawal usia dua tahun bermain gajet walaupun untuk tujuan pembelajaran? Jika dinilai banyak buruk daripada baik, apatah lagi kanak-kanak diberi kebebasan menggunakan gajet berinternet tanpa pengawasan sepenuhnya oleh ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan karier.

Memetik kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Seksual Kanak-Kanak (MCPSA), Sabri Rahman: “Budaya menghadiahkan gajet kepada anak sebagai pengganti kesibukan ibu bapa perlu dihentikan kerana perbuatan itu akan menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial termasuk rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja”.

Selain itu, kesan negatif akibat leka gajet juga boleh menjejaskan kesihatan, antaranya mata cepat rabun dan tahap kecergasan menyusut kerana kurang melakukan aktiviti fizikal.

Hasil tinjauan TLF Panel Survey mendapati 37 peratus ibu bapa memaklumkan anak-anak mereka menghabiskan masa antara satu dan dua jam sehari bersama gajet dan 28 peratus menghadap gajet selama dua hingga tiga jam sehari.

Masalah ini dapat dibendung sekiranya ibu bapa sendiri menjadi role model dalam menyeimbangkan penggunaan gajet dengan kehidupan. Saya katakan demikian kerana kaji selidik Google mendapati rakyat Malaysia menduduki tangga teratas sebagai multi-tasker di dunia, iaitu kemampuan menggunakan gajet ketika melakukan perkara lain termasuk memandu.

Peranan ibu bapa amat besar dan perkara itu ada disebut Islam menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28: “Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah ujian”. Ujian dimaksudkan termasuk menguji adakah ibu bapa sudah menunaikan tanggungjawab dan memberi kepada anak-anak hak mereka yang sepatutnya.

Hakikatnya kita tidak dapat menolak penggunaan gajet canggih seiring dengan arus pemodenan, namun harus diingat bahawa penggunaan yang tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya ‘virus’ yang semakin membimbangkan terhadap generasi akan datang.

Sumber : http://www.utusan.com.my/  (20 Julai 2016)


Rabu, 13 Julai 2016

ISU SOSIAL : AKIBAT HANGAT-HANGAT TAHI AYAM


OLEH : ZULKIFLEE BAKAR 

KEMALANGAN  jalan  raya melibatkan bas ekspres bukanlah isu baharu, malah sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu. Tetapi apabila sesuatu kemalang­an terjadi melibatkan kenderaan itu ketika itulah kita menyaksikan bagaimana pihak berkuasa dengan ‘penuh bangga’ memaparkan rekod kesalahan sama ada melibatkan bas terlibat atau pemandunya.

Begitulah juga apabila berlaku kemalangan sebuah bas ekspres yang merempuh 10 buah kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora, Ipoh, Perak, kelmarin, pihak polis mendedahkan bagaimana pemandu terbabit mempunyai sembilan saman, manakala bas persiaran terlibat memiliki 63 saman! Persoalannya apakah setelah berlaku sesuatu kejadian barulah pihak terlibat kelam-kabut untuk mencari penyelesaian?

Dalam soal ini, pihak polis tidak terlibat, yang sepatutnya bertanggungjawab menangani permasalahan tersebut ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Orang ramai sudah pasti tertanya-tanya bagaimana mungkin pemandu dan bas yang mempunyai rekod sedemikian rupa masih lagi dibenarkan beroperasi di lebuh raya? Di manakah silapnya? Apakah undang-undang negara kita terlalu lemah untuk membanteras syarikat-syarikat bas yang tidak bertanggungjawab seumpama itu?

Ketika pulang ke Kedah pada 4 Julai, penulis melihat sendiri bagaimana bas-bas ekspres dipandu laju. Mereka memandu sesuka hati dan memotong di laluan laju seolah-olah lebuh raya, mereka yang punya. Tetapi itu bukanlah perkara luar biasa kerana itulah sikap pemandu bas ekspres kita. Soalnya kenapakah mereka boleh bertindak demikian?

Hakikatnya, kita bosan apabila melihat pelbagai pihak riuh sekampung memberi ulasan itu dan ini apabila kemalangan berlaku. Sepatutnya sejak dari awal lagi, langkah pencegahan dilakukan oleh JPJ dan SPAD bagi meng­atasi masalah tersebut.

Sebelum ini, kita sering dihidangkan dengan pelbagai langkah yang akan dilakukan oleh JPJ mahupun SPAD bagi memastikan bas ekspres atau bas persiaran berada dalam keadaan selamat dan bersih dari segi rekod sebelum dibenarkan berada di jalan raya mahupun lebuh raya. Hakikatnya semua itu ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Sepatutnya, JPJ dan SPAD le­bih prihatin dan serius dalam memastikan hanya bas ekspres atau bas persiaran yang ‘benar-benar bersih’ diizinkan beroperasi. Ini termasuklah memastikan ken­deraan itu bebas daripada sebarang saman manakala pemandu tidak mempunyai sebarang rekod sama ada kesalahan lalu lintas atau menagih dadah.

Adalah sesuatu yang memalukan apabila sebuah bas ekspres yang mempunyai 63 buah saman masih dibenarkan bermaharajalela di lebuh raya seolah-olah saman yang dikeluarkan ‘penyata tahunan’ semata-mata.

Itu baharu sebuah bas, penulis yakin beratus-ratus lagi bas di negara ini mempunyai saman tertunggak termasuklah melibatkan pemandu, tetapi apa yang JPJ dan SPAD lakukan? Adakah hanya ‘menegur dan menggesa’ sahaja agar syarikat bas melakukan pemeriksaan dan saringan terhadap pemandu?

Oleh itu bagi mengelakkan rakyat berasa mual dan bosan disebabkan sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ pihak berkuasa adalah wajar langkah drastik dan tindakan lebih tegas diambil oleh JPJ dan SPAD. Antaranya memastikan semua syarikat bas membayar saman tertunggak yang dimiliki. Selagi saman tersebut tidak dijelaskan, selagi itulah bas terlibat tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga dengan pemandu yang mempunyai saman, mereka juga sepatutnya dikenakan tindakan tidak boleh memandu selagi saman tidak dijelaskan.

Selain itu, peraturan pemeriksaan kesihatan secara berkala ke atas pemandu-pemandu bas ekspres juga perlu dilakukan secara serius bukannya ‘sekejap ada, sekejap tak ada’. Ini bagi memastikan mereka bebas daripada pe­ngaruh dadah.

JPJ dan SPAD seharusnya le­bih proaktif dalam soal ini kerana nyawa orang awam tidak boleh dipertaruhkan apabila mereka menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Syarikat-syarikat bas yang ingkar mematuhi peraturan perlu dikenakan tindakan tegas terma­suklah digantung permit mereka.

Agak malang segala peraturan yang dibuat oleh JPJ mahupun SPAD dianggap ‘sekadar hiasan’ sehinggakan kemalangan melibatkan bas ekspres sering kali berlaku. Sesetengah syarikat bas ekspres pula seolah-olah tidak berasa gerun dengan apa juga peratur­an dan undang-undang sedia ada kerana mereka tahu pihak berkuasa hanya bercakap tetapi tiada tindakan.

Justeru walaupun mengetahui bas atau pemandu mereka bermasalah, syarikat bas tetap beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada apa yang perlu dibimbangkan. Syarikat bas tidak bimbang kalau disaman lagi kerana mereka ‘boleh buat koleksi’ dan jumlah­nya hanya akan diketahui apabila kenderaan milik mereka terlibat dalam kemalangan.

Mungkin apa yang dinyatakan tidak menyenangkan hati pihak terlibat, tetapi itulah realiti yang berlaku di negara kita dari segi perkhidmatan bas ekspres. Sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ masih menebal dalam kalangan penguat kuasa sehingga memungkinkan nyawa orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kenderaan tersebut sentiasa dalam bahaya.

Oleh itu adalah diharapkan kemalangan terbaru melibatkan bas ekspres pada musim Aidilfitri kali ini akan menyedarkan semua pihak terlibat, sekarang adalah masa untuk benar-benar bertindak, bukannya sekadar membuat kenyataan yang memualkan apabila tragedi berlaku.


Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pedofilia : Isu Jenayah Yang Wajib Dibanteras


Oleh : Muhammad Effendi Ismail 

KANAK-KANAK adalah anugerah tuhan yang terindah. Bagi kebanyakan ibu bapa, kanak-kanak adalah golongan yang menjadi penceria suasana apabila lahir ke dunia ini.

Menurut Prof Robert J. Waldinger (psikatris dari Harvard University), kanak-kanak adalah antara kelompok penting bagi merapatkan hubungan di dalam keluarga dan juga komuniti.

Suka atau tidak, realitinya kanak-kanak adalah golongan yang lemah dan memerlukan perhatian. Malangnya, wujud individu-individu dewasa yang mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka.

Golongan ini dinamakan Pedofilia – golongan yang suka kepada kanak-kanak (sama ada lelaki atau perempuan) sehingga kanak-kanak dijadikan objek seks semata-mata.

Menurut laporan Persatuan Psikiatri Amerika (APA), pedofilia adalah salah satu penyakit mental, berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah turut berlaku di seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, antara kes yang berlaku pada tahun 2007 adalah kisah Nurin Jazlin yang ditemui maut dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Menurut laporan PDRM, pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektum mangsa pecah sehingga dijangkiti bakteria dan menyebabkan kematian kepada kanak-kanak tersebut.

Selain kes adik Nurin, banyak lagi kes jenayah seksual kanak-kanak, misalnya kes rogol dan bunuh Nurul Huda Abdul Ghani yang berusia 10 tahun.

Bagi kes terbaru, lebih 200 kanak-kanak Malaysia telah didera secara seksual oleh seorang pedofilia Britain, Richard Huckle.

Dr. Ray Blanchard (pakar psikologi perkembangan manusia dari University of Toronto) menyatakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia bukan sahaja didera secara seksual malah akan mengakibatkan mereka trauma seumur hidup.

Lebih malang lagi, bagi sesetengah kes pedofilia ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri. Jika jenayah ini dibiarkan berterusan tanpa tindakan serius, bilangan kanak-kanak yang bakal menjadi mangsa akan terus meningkat.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh kita lakukan bagi mencegah jenayah ini daripada terus berlaku.  Antaranya cadangan kerajaan mewujudkan akta khas kepada pesalah pedofilia perlulah disegerakan.

Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom yang sudah lama mengenakan hukuman berat ke atas pesalah pedofilia. Selain daripada tindakan undang-undang, Malaysia juga perlu mewujudkan pendidikan keselamatan dan seksologi bagi kanak-kanak di sekolah.

Apabila dari awal usia lagi kanak-kanak telah diberi pendedahan tentang perkara-perkara ini, lebih mudah jenayah pedofilia ini dapat kita elakkan. Selain pendidikan, ajaran agama perlu disuburkan ke dalam setiap diri individu di dalam masyarakat.

Jika tindakan ini diambil, jenayah pedofilia dapat dikurangkan malah kejadian sumbang mahram juga dapat dielakkan. Dalam isu ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting. Antaranya ibu bapa perlu sentiasa prihatin tentang keadaan sekeliling anak-anak dan bina kepercayaan supaya menjadi tempat bercerita dan mengadu.

Kesimpulannya, jika semua pihak bekerjasama dengan baik, isu ini dapat kita elakkan. Kanak-kanak ini, biar siapa pun mereka, biar apa pun latar mereka, pada hakikatnya mereka juga adalah anak-anak kita.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memahami dengan lebih mendalam tentang jenayah pedofilia ini dan membanterasnya demi masa depan anak-anak kita.

Penulis Penuntut Ijazah Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 22 Jun 2016

ISU SOSIAL : RAMADAN DAN KUASA ILMU


Oleh : PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD

RAMADAN telah pun memasuki fasa kedua. Sudah pasti masyarakat Muslim akan lebih melipatgandakan usaha bagi meningkatkan amalan masing-masing. Perbanyakkan ibadat agar untung dapat dikaut dan rugi dapat dielak.

Umat Islam dianjurkan mela­kukan banyak kebaikan dalam bulan mulia ini. Satu daripadanya ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran. Lebih penting ialah cuba memahami, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat yang dibaca.

Dalam konteks ini, bolehlah dikatakan bahawa satu daripada hikmah Ramadan ialah menggalak­kan umat Islam sentiasa memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan. Sejajar hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 adalah amat wajar bagi umat Islam terutamanya ibu bapa memastikan usaha mencintai dan mendalami ilmu disubur-kan di jiwa anak-anak dalam bulan ini.

Usaha menuntut ilmu seharusnya dijadikan budaya. Tidak sepatutnya terhenti apabila kita telah menamatkan pengajian di mana-mana peringkat. Setiap hari kita digalakkan menuntut ilmu supaya diri kita hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam dan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Keadaan semasa menunjukkan masyarakat Malaysia amnya dan Muslim khususnya masih kurang tabiat belajar dan menambah ilmu. Ini dapat dilihat apabila jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat dalam setahun masih lagi mendukacitakan.

Satu kajian mendedahkan sekitar 2000 hingga 2005, purata jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat hanya dua hingga tiga judul setahun. Kajian terbaru sekitar 2006-2010 pula mendapati sekitar enam hingga tujuh buku dibaca dalam setahun. Walaupun menyaksikan peningkatan, namun masih rendah berbanding dengan masyarakat negara-negara maju.

Keadaan ini berpunca daripada pelbagai sebab. Salah satunya ialah trend dan tujuan membaca itu sendiri. Berdasarkan pemerhatian penulis, masyarakat tidak cenderung untuk menambahkan ilmu apabila tamat dalam sesuatu peringkat pengajian.

Orang yang tamat belajar di sekolah, tiada usaha untuk belajar sendiri selepas itu. Orang yang tamat belajar peringkat ijazah pertama menamatkan pendidikan hanya setakat di universiti. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sarjana atau doktor falsafah. Destinasi pembelajaran hanya tamat di universiti. Tabiat belajar sendiri masih kurang dalam kalangan masyarakat kita.

Jika ini berlaku, ilmu yang diperoleh tidak akan berkembang dan diri sendiri akan jauh ketinggalan berbanding orang lain. Sebagai contoh, seorang graduan peringkat ijazah pertama biasa-nya berumur 22 tahun. Jika usaha menuntut ilmu berakhir apabila tamat pengajian di pe­ringkat universiti tanpa ada usaha untuk belajar sendiri selepas itu, maka dibimbangkan tahap pengetahuan yang dimiliki hanyalah pada usia 22 tahun.

Di sini menunjukkan betapa pentingnya masyarakat mempunyai tabiat belajar sendiri yang tinggi. Ini bagi memastikan pada setiap masa kita akan mempunyai ilmu baru. Jika kita tidak berusaha menuntut ilmu baru, kita akan ketinggalan. Apabila diri sendiri ketinggalan, masyarakat juga akan turut ketinggalan dan ini akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan pembangunan dan kemajuan negara.

Bagi orang yang kurang berada, menuntut ilmu adalah cara untuk membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan. Demi kelangsungan hidup, ilmu membolehkan kita mendapat pekerjaan lebih baik, yang pasti­nya menjanjikan kualiti kehidupan yang juga lebih baik.

Namun, masyarakat harus memikirkan lebih daripada itu. Azam dan semangat menuntut ilmu sepatutnya bersandarkan kepada cita-cita bagi melengkapkan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan yang luas. Oleh sebab itu, usaha menuntut ilmu tidak hanya berhenti apabila kita menggenggam segulung ijazah.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, ada pelajar universiti yang berumur lebih 60 tahun. Keadaan tersebut tidak janggal di sana tetapi di negara kita amat janggal jika ada mahasiswa berumur sedemikian di universiti awam mahupun swasta. Jika adapun pasti beliau akan diperli, buat apa lagi mahu susah payah belajar? Mungkin ada pula yang berkata, umur sudah sampai masa untuk pencen, berehat sahajalah di rumah. Ini sewajarnya diubah.

Sempena bulan mulia ini, penulis menyeru seluruh masyarakat agar memastikan bahawa selepas meninggalkan sekolah atau universiti, teruskanlah membaca bagi menambah ilmu. Usah ditunggu ada keperluan kerja atau untuk kenaikan pangkat dan gaji, barulah paksa diri untuk belajar. Yakinlah bahawa dengan menambah ilmu penge-tahuan, barulah kita boleh menjadi pe­mimpin yang cemerlang, mempunyai kuasa rujukan, kuasa pakar dan kuasa kedudukan.

Ingatlah bahawa kuasa yang paling dihormati ialah kuasa ilmu pengetahuan. Orang yang boleh memanfaatkan pengetahuan akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Shafinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/ (21 JUN 2016)

Rabu, 11 November 2015

ISU BAHASA : Guris, gores, biadap dan biadab



Oleh : FAIZAH MOHAMAD NOR

KITA sering keliru dengan penggunaan kata biadap atau biadab, guris atau gores. Kebiasaan yang sering kita guna kadang-kadang menyimpang terus daripada maksud asal. “Hatiku kau guris luka”, “Peraduan gores dan menang”, “Cerminnya terguris”,“Biadap sungguh” dan banyak lagi contoh penggunaan guris, gores, biadap dan biadab. Adakah betul penggunaan perkataan-perkataan tersebut?

“Jangan biadap”, “Biadap sungguh”, “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” sering kali menujah cuping telinga kita. Pengguna bahasa mungkin keliru dengan bunyi akhir sama ada dengan bunyi konsonan ‘p’ atau dengan konsonan ‘b’.  Mungkin terdapat juga pengguna bahasa yang tidak pernah terfikir dengan bunyi akhir perkataan ini sama ada biadap atau biadab. Marilah sama-sama kita mengkaji asal kedua-dua perkataan ini.

Jika kita teliti kedua-dua perkataan ini mengalami proses pengimbuhan kepada kata dasarnya adap dan adab. Kedua-dua kata ini menerima imbuhan awalan daripada bahasa Parsi ‘bi’ yang bermaksud tiada. Awalan ‘bi’  bererti tiada dan digunakan untuk menerbitkan kata adjektif, tetapi penggunaannya terbatas.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan adap; adap-adapan dan adab membawa maksud yang berbeza. Adap; adap-adapan bermaksud pulut kuning yang dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika diletakkan awalan ‘bi’ pada perkataan adap akan membawa maksud tiada pulut kuning dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika tidak menjadi kesalahan dari segi fungsi awalan ‘bi’ sekalipun, penggunaannya tetap tidak tepat.

Contoh ayat yang biasa kita dengar seperti “Jangan biadap” akan membawa maksud “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” mungkin boleh diterima, tetapi jika ayat “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” akan membawa maksud “Kelakuan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan remaja kini menjadi-jadi” sangat pelik bunyinya.

Penggunaan yang tepat ialah biadab. Imbuhan awalan ‘bi’ bergabung dengan kata dasar adab (bi + adab = biadab). Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Biadab merupakan kata adjektif yang berlawanan dengan kata beradab. Perkataan beradap selalu kita guna untuk makan beradap dalam majlis perkahwinan sahaja. Dalam bahasa Melayu tidak ada perkataan biadap.

Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan perkataan guris, terguris, atau mengguris. Sebagai contoh “hatiku terguris dengan kata-katamu”, “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya”.

Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menyenaraikan perkataan guris sebagai entri. Dakwaan bahawa perkataan guris untuk hati dan cermin tidak dapat dibuktikan ketepatannya.

Perkataan yang tepat ialah gores. Entri Kamus Dewan Edisi Keempat menyenaraikan perkataan:
a.  gores -  garis, calar, coret
b.  bergores, bergores-gores -  bergaris, berparut
c.  menggores -  menggaris, mencalar, menggarit
d. menggoreskan -  menggariskan, menggaritkan
e. tergores -  tergaris, tercorek
f.  goresan -  yang sudah digores, tanda atau bekas digores
g. penggoresan -  perihal mengores
h. penggores -  alat untuk menggores

Berdasarkan entri ini, ayat “Hatiku terguris dengan kata-katamu” sepatutnya ditulis “Hatiku tergores dengan kata-katamu”. “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya” sepatutnya ditulis “Besi yang tajam itu telah menggores cermin keretanya”.

Istilah “Peraduan Gores dan Menang” menunjukkan penggunaan perkataan gores yang betul dari segi ketepatan maksudnya.

Kesimpulannya, selama ini tanpa kita sedar kita telah menggunakan “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” untuk maksud  tidak berbudi bahasa. Guris atau gores juga menimbulkan kekeliruan walaupun tiada entri perkataan guris dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sikap cakna kita sebagai pengguna bahasa untuk menggunakan bahasa yang betul akan memelihara keindahan bahasa itu. Marilah kita sama-sama menggunakan bahasa yang betul dan tepat agar bahasa Melayu terus berkembang. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Sumber : http : //www.sinar.com.my/