NAK JUMPA PERDANA MENTERI
(impian sang gelandangan)
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
namun dilarang dan diusir berkali-kali
di pintu ukiran pagar besi warna emas yang cukup tinggi
kerana aku tidak buat temu janji aku sedar siapalah aku ini.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
untuk mengajak tidur jengah barang sehari melihat lorong-lorong kota ini
anak-anak yang mengutip sisa makanan
di tong-tong sampahan ... di kaki lima tempat tiduran.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
bertanya dia dengan ikhlas dan jujur hati pernahkah dicatat untuk mesyuarat
kisah nasib gelandangan ini
itu sahaja yang ingin kuketahui
dalam rutin sibuknya tentu sekali.
Aku akan cuba lagi dan lagi
mengetuk pintu rumah perdana menteri mungkin berjaya satu hari nanti
atau tidak kutemui barangkali
kerana aku sudah pergi atau dia yang dulu pergi
bukan doa di kalbu hati ... hanya pergi itu pasti.
MAZLAN NOOR ALONG
Pondok Gemahati
Sumber : fb Sdr Mazlan Noor
Khamis, 12 September 2019
Selasa, 10 September 2019
ISU UMUM : Pecahkan ruyung, dapatkan sagu
OLEH : DR ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
MALAYSIA dijangka mengalami cuaca panas sehingga pertengahan September ini.
Dalam cuaca panas ini, alangkah indahnya hidup jika dihidangkan sagu gula
melaka atau cendol sagu. Ia pasti menghilangkan kehausan dan kepanasan.
Menikmati apa jua juadah berasaskan sagu amatlah membahagiakan, tetapi
pernahkah kita terfikir betapa sukarnya menghasilkan sagu? Sagu terhasil
daripada pokok rumbia yang mempunyai ruyung atau kulit kayu yang keras.
Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut perlu
dipecah-pecahkan terlebih dahulu. Pokok rumbia sukar didekati kerana tumbuh
berdekatan paya dan di dalam hutan belukar.
Oleh yang demikian, usaha mendapatkan sagu bukanlah suatu yang mudah.
Pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Selain itu peralatan
seperti parang, kapak dan pisau semestinya tajam. Gigitan haiwan berbisa
seperti lipan dan lain-lain kemungkinan juga harus difikirkan. Kiasan kisah
ruyung serta cabaran yang terpaksa diredah demi mendapatkan sagu ini amat
sesuai dijadikan perlambangan tentang kesukaran mencapai kejayaan.
Kita sering beranggapan bahawa mudahnya seseorang itu berjaya, tetapi pernahkah
kita membayangkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sebelum
mencapai kejayaan seperti si penebang pokok rumbia? Bagi mencapai kejayaan,
seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia tidak datang bergolek.
Jika anda seorang pelajar, anda harus belajar bersungguh-sungguh untuk
berjaya. Jika anda seorang atlet, anda perlu berlatih bermati-matian untuk
menjadi juara. Jika anda seorang pekerja, anda harus ‘pulun’ untuk mendapatkan
kedudukan dan pendapatan yang lebih baik.
Ringkasnya, kejayaan tidak akan mampu dicapai tanpa usaha yang jitu. Kajian
psikologi dan kelakuan organisasi menunjukkan kejayaan yang dicapai atas usaha
sendiri akan menambah baik kematangan diri dan menjadi pencetus kepada kejayaan
yang lebih besar pada masa hadapan.
Kita memerlukan beberapa strategi untuk berjaya. Pertama, kita perlu
mempunyai kemahuan yang kuat untuk berjaya. Kemahuan yang tinggi untuk berjaya
menjadikan seseorang terus mencuba dan berusaha. Semangat itu juga boleh
menjadi pendorong kepada individu lain yang mungkin menemui kegagalan dalam
usaha mereka memburu kejayaan.
Hanya dengan semangat yang kuat akan membolehkan kita bangun kembali
apabila bertemu kegagalan pada peringkat awal. Harus juga diingat bahawa
kegagalan kali pertama bukan pengakhiran kepada suatu matlamat.
Kedua, kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang hebat
akan menghasilkan kejayaan. Ketidakyakinan pada kebolehan diri sendiri biasanya
menyebabkan pencapaian matlamat lambat dicapai atau terus gagal dicapai.
Ketiga, semasa kita gigih berusaha memburu kejayaan, kita harus sanggup
membantu orang lain mencapai kejayaan yang sama. Kesanggupan membantu orang
lain berjaya bukan sahaja suatu sikap mulia, malah ia dapat mengelakkan buruk
sangka dan rasa cemburu dalam diri kita sendiri dan orang yang dibantu.
Pemikiran ‘orang lain tidak boleh lebih daripada aku’ atau ‘dia mesti alami
kepayahan yang aku rasa untuk berjaya’ harus dibuang sama sekali. Sekiranya
kita telah berada di atas, kita janganlah pula menjadikan pengalaman dan
kesukaran kita sebagai penanda aras untuk orang lain.
Perbuatan mengubah penanda aras atau syarat untuk berjaya itu akan
mematikan semangat mereka yang masih tercari-cari hala tuju.
Akhirnya, kita mesti mempunyai perancangan rapi bagi membolehkan kejayaan
dicapai dalam tempoh yang lebih singkat. Mengamati dan mencontohi pengalaman
individu yang telah berjaya adalah langkah terbaik untuk kita bersiap siaga
menempa kejayaan yang lebih besar. Melalui pengalaman orang lain, kita akan
berupaya membuat analisis kendiri, mencari dan menerima kekuatan dan kelemahan
diri.
Mimpi dan angan-angan adalah sesuatu yang percuma. Walaupun begitu, mimpi
dan angan-angan tanpa sebarang usaha umpama angan-angan Mat Jenin. Selain itu,
usaha yang sedikit pasti menghasilkan kejayaan ala kadar sahaja. Sebagaimana
kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga
perlulah luar biasa dan lain daripada yang lain. Kesemua impian tidak mustahil
dicapai jika ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif. Jadi, mari
letakkan matlamat kita setinggi langit, jika jatuh pun kita masih mencapai
bintang.
ISU BAHASA : Bahasa Melayu, peradaban tinggi dan penyatuan bangsa
Oleh : Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran
“Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan satu kata hikmah yang tepat bagi
menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya dengan kekuatan sesebuah
bangsa atau negara. Malah lebih luas dari itu, bahasa bagi seseorang adalah
cerminan alam yang ada di sekelilingnya sebagaimana yang diungkapkan oleh
Ludwig Wittgenstein, “the limits of my language are the limits of my
world.”
Bahasa adalah alat perhubungan yang mencerminkan semangat, falsafah dan
cita rasa dan hala tuju sesebuah bangsa. Walaupun ia berperanan sebagai alat
bagi menyampaikan sesuatu yang lebih mendalam iaitu pandangan alam yang juga dipengaruhi oleh aspek-aspek lain
seperti sistem kepercayaan dan kerangka nilai, namun bahasa adalah alat ampuh yang menjadi acuan dan corong keluarnya aliran pemikiran sesebuah bangsa
sepertimana yang digambarkan oleh pepatah Arab “Bahasa adalah corong pemikiran”
(al-lughatu wi’a’ al-fikr).
Kehebatan sesuatu bahasa akan lebih terserlah sekiranya ia sememangnya mempunyai ciri-ciri kewibawaan
dan keindahan yang diiktiraf oleh sejarah. Ini kerana bahasa yang berwibawa dan
indah mampu menyampaikan sesuatu isi pemikiran yang besar dan tinggi dengan
lebih menarik dan berkesan serta berkeupayaan untuk menampung pemikiran yang
sarat dengan makna-makna yang halus dan rumit. Sesuatu bahasa juga akan menjadi
lebih unggul apabila ia terkait dengan satu peradaban besar yang telah
diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Inilah yang alami oleh Bahasa Melayu. Khususnya setelah kedatangan Islam ke
Nusantara, Bahasa Melayu telah digunakan dengan begitu meluas sebagai lingua
franca lebih 200 juta penduduk rantau ini. Ia berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam perniagaan,
perundingan dan perjanjian. Ia merupakan bahasa para pedagang Arab, Cina dan
India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13. Seorang
pelayar dan pedagang Inggeris bernama Thomas Bowrey yang menulis kamus Bahasa
Inggeris- Melayu pada tahun 1701, membuat pemerhatian bahawa “ … in all the the
islands of Sumatra, Java, Borneo, Maccassar, Balee, Cumbava, Sallayer, Bootoon,
Booro, Ceram and Mollucas, the Malay language is received and generally used in
all the Trading Ports of those islands.”
Yang lebih penting, bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu dan
intelektual. Penggunaannya bukan sekadar terbatas sebagai bahasa ilmu oleh para mubaligh yang menjalankan dakwah
dan guru-guru yang mengajar di sekolah, malah ia juga menjadi alat untuk menyampaikan
pemikiran intelektual yang tinggi seperti falsafah teologi dan tasauf Islam
oleh para ilmuan Islam tersohor yang berperanan membina akal dan jiwa ilmiah
masyarakat di Nusantara.
Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, aspek intelektual inilah yang
telah membawa semangat rasionalisme dan akliyah dalam pemikiran agama di Alam
Melayu berbanding kerangka sebelumnya yang lebih banyak dipengaruhi
unsure-unsur mitos dan khayal. Dengan Bahasa Melayu sebagai pengantar, peranan
menterjemah pemikiran tinggi ini telah menjadikan bahasa ini semakin kaya dari
segi perbendaharan kata dan istilah teknikal (technical terminology) sehingga
mampu untuk mengenepikan penguasaan bahasa Jawa yang lebih banyak dipengaruhi
oleh seni sastera agama Hindu.
Antara faktor kekuatan Bahasa Melayu ialah kaitannya yang rapat dengan
peradaban Islam yang merupakan sebuah tamadun ilmu yang telah sedia menguasai
tiga perempat dunia ketika ia sampai ke Alam Melayu dan juga telah maju ke
hadapan dalam perkembangan ilmu pengetahuan di pelbagai bidang melalui
perantaraan bahasa Arab. Bahasa Melayu sendiri banyak dipengaruhi oleh
perbandaharaan kata bahasa Arab yang secara tidak langsung telah meningkatkan
keupayaannya sebagai bahasa ilmu yang bersifat antarabangsa sebagaimana bahasa Arab
berperanan mengembangkan pelbagai ilmu dalam tamadun Islam.
Sementara itu wahana bagi menterjemahkan Bahasa Melayu dalam bentuk
penulisan ialah tulisan Jawi. Walaupun
penggunaannya secara rasmi sebagai alat penulisan bahasa Melayu hari ini
agak kurang, peranan asalnya sebagai tulisan yang mampu menyampai dan
menterjemah kandungan makna Bahasa Melayu sehingga menjadikan ia juga sebagai
tulisan lingua franca satu ketika dulu membuktikan tulisan Jawi juga merupakan
tulisan ilmiah yang berwibawa. Sebagaimana Bahasa Melayu telah berjaya menjadi
bahasa ilmu yang mampu untuk menghuraikan bukan sekadar kandungan agama akan
tetapi juga bidang-bidang ilmiah yang lain, tulisan jawi yang menjadi alat
penulisan Bahasa Melayu juga merupakan tulisan ilmu yang berkongsi kewibawaan
yang sama.
Kekuatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu juga membuktikan bahawa ia juga
mampu untuk menjadi bahasa penyatu masyarakat. Ini jelas tercermin apabila
Bahasa Melayu telah menyatukan umat Nusantara walaupun rantau ini terdiri dari
pelbagai bangsa dan suku kaum. Masyarakat di rantau ini mungkin sukar disatukan
atas dasar agama dan kaum disebabkan sifatnya yang majmuk akibat dari proses
migrasi dan globalisasi, namun faktor bahasa masih mampu untuk menjadi unsur
penyatu sekiranya ia benar-benar digunakan
dengan baik dan berkesan.
Hari ini, keperluan bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum yang tinggal
di negara ini kekal penting seperti dahulu.
Rekod kecemerlangan Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca dan
bahasa penyatu tidak seharusnya diketepikan. Lebih-lebih lagi apabila
penggunaannya telah diiktiraf di dalam Perlembagaan negara dan diakui sebagai
jiwa kepada keutuhan bangsa. Justeru itu segala usaha untuk memantapkan bahasa
Melayu harus di dokong oleh semua pihak termasuklah pengukuhan semula tulisan
Jawi yang pernah dan masih menjadi penulisan ilmiah yang berwibawa dalam system
pendidikan negara. Apa sahaja bentuk penafian terhadap kepentingan Bahasa
Melayu akan hanya menyumbang kepada retaknya kesatuan bangsa yang menjadi impian
setiap warganegara yang setia kepada negara ini.
Ahad, 30 September 2018
ISU SOSIAL : Peraturan untuk dipatuhi, bukan bahan gurauan
Oleh : Azrina Sobian
PERNAHKAH anda mengunjungi tempat awam yang sudah terpampang papan tanda
larangan merokok tetapi, ada sahaja orang yang tanpa segan silu merokok di situ?
Pernahkah anda melihat pemandu sambil lewa melanggar lampu isyarat atau memandu
di lorong kecemasan? Biasakah kita melihat orang membuang sampah merata-rata
termasuklah membuang sampah keluar daripada kenderaan mereka?
Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa berlaku. Keadaan
sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya pula bukan sahaja
tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu terhadap perilaku
tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada melanggar peraturan
itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu menimbulkan rasa seronok?
Hakikatnya, kehidupan manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah
membentuk sikap manusia yang berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun
mematuhi peraturan pada setiap masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis
dan dianggap sebagai "lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya
bukanlah anggapan positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan.
Ada pula yang bersikap acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan.
Insan sebegini mematuhi peraturan "mengikut mood" atau dengan kata
lain, mematuhi peraturan bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah
dia mengikut peraturan. Jika tidak, semua peraturan akan dilanggar.
Tidak ketinggalan juga mereka yang "ketegar" terhadap peraturan.
Bagi orang sebegini, peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip
hidupnya. Oleh itu, asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu
ini, melanggar peraturan adalah satu kemegahan.
Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis dan ada juga yang tidak
bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada peraturan-peraturan yang disepakati
ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi, hukuman tertentu akan dikenakan.
Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan lalu lintas, peraturan kerja di
pejabat, undang-undang dalam negara, hukum-hukum agama dan sebagainya.
Peraturan tidak bertulis pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini
berkait rapat dengan adat tradisi atau budaya masyarakat setempat. Bagi
peraturan jenis ini, jika berlaku ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk
hukuman sosial. Peraturan tidak bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab
seperti adab dalam hubungan kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan,
suami-isteri, pelajar-guru ataupun adab tingkahlaku seperti adab makan, adab
menimba ilmu dan sebagainya.
Apakah pula tujuan peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan
konsep maslahah. Amnya, maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan
menolak kerosakan atau kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah
membawa makna yang lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak
kerosakan seperti yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."
Ini bermakna kebaikan yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan
hendaklah selari dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah
memberi keutamaan kepada masyarakat dengan kata lain, keutamaan diberikan
kepada masyarakat dan bukannya individu.
Oleh itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan
kebinasaan. Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat
kesihatan kepada dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan
iaitu penyakit. Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli
masyarakat) dapat dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.
Ini bermakna peraturan mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya
manusia amat memerlukan peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk
peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum
arak, zina, berhutang, solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk
oleh Allah SWT bukan dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk
menyusun masyarakat agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam
keharmonian.
Dengan itu, ungkapan bahawa "peraturan dicipta untuk dilanggar"
adalah tidak tepat sama sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala
dinyatakan dengan penuh bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang
dicipta Allah SWT itu, adakah ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan
tersebut semata-mata untuk manusia mengingkari atau melanggarnya?
Segala peraturan itu dicipta Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui bahawa
manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa peraturan, kehidupan manusia samalah
dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi, adakah kita mahu merendahkan diri
sehingga ke tahap itu?
Oleh itu, peraturan sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap
seorang daripada kita mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu.
Malah, mematuhi peraturan memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini,
kita perlu berkorban untuk tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita
senangi, demi kebaikan diri mahupun orang lain.
Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan dikuatkuasakan. Oleh
itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.
Walau bagaimanapun, tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli
masyarakat dengan sendirinya mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri
untuk mematuhi peraturan.
Kekuatan dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat
sehinggakan segala peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal
ini, pendidikan, latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk
membentuk kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang
hormat dan patuh kepada peraturan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Selasa, 18 September 2018
PUISI PILIHAN : Perjalanan
PERJALANAN
Perjalanan
sering mendewasakan
memberikan erti kesabaran
mengurniakan pengamatan
tentang fenomena sekalian
yang dijadikan Tuhan
Perjalanan
membibitkan erti kerinduan
mengabsahkan ketulusan
yang bersemi dalam kesyahduan
mengundang pengutuhan kesetiaan
yang diikrarkan dalam kesedaran
Perjalanan
mengasuh diri akan kesediaan
melalui perjalanan ke alam abadi
yang menetapkan dua destinasi
atas pilihan sendiri
Kembara Bahasa
Tengah malam 17 September 2013
Sumber :
Awang Sariyan Kembara Bahasa
Jumaat, 30 September 2016
ISU BAHASA : Memperkasa bahasa Melayu
PADA 22 Disember 2005 dijelmakan
oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun
2006 yang berjudul Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Dalam Perkhidmatan Awam yang dijangkakan menjadi satu penawar keramat untuk
merealisasikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam
pentadbiran negara.
Kerasmiannya meliputi wacana
lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan
berkanun dan pihak berkuasa tempatan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Dari tarikh keramat itu hingga
kini usia pekeliling tersebut telah berusia lebih 10 tahun, namun sinar
keramatnya agak menyesakkan nafas pencinta bahasa negara ini.
Rata-rata dan di mana-mana
sahaja, penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) semakin longgar dan
longlai. Dalam wacana ilmiah di pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun
swasta, laluan bahasa Melayu melapah medan ilmu (kecuali ilmu bahasa Melayu)
amat sempit dan meruncing.
Kupasan pelbagai ilmu tinggi yang
menjadi kebanggaan negara langsung tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai
wahananya. Jika terguna pun diselitkan dengan bahasa asing yang menyedihkan
kedudukan bahasa Melayu umpama ungkapan ‘hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong’.
Akibatnya penggunaan bahasa
menjadi cacamarba dan hilang sifat formal, rasmi dan ilmiahnya. Begitu juga
dalam penyampaian pada peringkat pengurusan dan pentadbiran negara, penggunaan
bahasa Melayu terutamanya dalam wacana lisan cukup menyedihkan lagi
menyeksakan. Kemungkinan para ilmuwan dan para politikus beranggapan bahawa
bahasa ibundanya ini sekadar sebagai bahasa ‘pertuturan kampung’ sahaja.
Baru-baru ini kita sama-sama
menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-59 yang penuh gilang-gemilang.
Dengan sambutan kemerdekaan kali ini bererti perjuangan untuk menegakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah melebihi usia 60 tahun kerana perjuangannya
dimulai beberapa tahun sebelum merdeka.
Persoalannya, adakah kita
menunggu dua jubli emas sambutan kemerdekaan untuk mengisytiharkan bahasa
Melayu sebagai bahasa negara yang perlu disegarkan dan disemarakkan dalam erti
kata sebenar-benarnya?
Perkara yang paling bernilai
dalam hal kebahasaan ini ialah pencinta bahasa Melayu sewajarnya terus
menggalas semangat juang bahasa yang hakiki lagi luhur dan usah merajuk di
persimpangan jalan kerana merajuk kepada mereka yang tidak kasih akan menghancur
niat murni kita sendiri.
Bangsa Melayu khususnya dan
warganegara Malaysia amnya harus sedar bahawa kita tidak ada masa lagi untuk
bermanja dalam soal menegakkan kedudukan hakiki bahasa Melayu ini.
Jika masa kini banyak tolak ansur
kita legar-legarkan dalam soal memartabatkan bahasa, mungkin satu ketika kelak
rasa sayang akan hilang terhadap bahasa keramat kita oleh generasi anak cucu
kita sendiri.
Begitu juga ketika ‘orang kita’
berkuasa sekaranglah, harus kita meminta ‘dipulangpulihkan’ kemartabatan bahasa
Melayu kerana kita layak meminta kepadanya.
Begitu juga jika perjuangan ini
kurang memancarkan cahaya kejayaan, ‘rayulah’ kerana kita yakin dan percaya
para pemimpin kita masih sudi untuk meletakkan agenda perjuangan bahasa sebagai
satu perjuangan suci nusa bangsa.
Dalam hal begini ungkapan
‘meminta kepada yang ada, merayu kepada yang sudi’ harus sentiasa menjadi
renungan para pemimpin kini.
Ingatlah bahawa perjuangan
satu-satu bahasa hanya layak dilakukan oleh bangsanya sahaja. Oleh itu, dalam kemelut perjuangan
memartabatkan bahasa ini, sama-samalah kita renung bersama baris-baris
peribahasa kita;
Merajuk kepada yang
kasih,
Manja kepada yang
sayang,
Meminta kepada yang
ada,
Merayu kepada yang
sudi.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Isnin, 26 September 2016
ISU PENDIDIKAN : Jadikan sekolah sebagai ladang pahala
Islam mendidik kita menjaga
akidah, ibadah dan akhlak. Lazimnya, jika ibadah khusus kita baik, akhlak juga
akan baik. Untuk menilai tahap tawaduk dan ketakwaan seseorang dalam ibadah,
contohnya solat, lihat perangai kita selepas solat.
Jika di luar solat kita tidak
dapat menunjukkan akhlak yang baik, bermakna hati kita masih kotor. Allah SWT
berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan
hatinya, dan kecewalah orang yang mengotorkannya." (Surah al-Syams, ayat
10)
Diriwayatkan oleh al-Bukhari,
Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa Allah Taala tidak memandang kepada rupa
paras dan harta benda kamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal usaha
kamu."
Hal ini menunjukkan pentingnya
menjaga kesucian hati kerana hati menggambarkan akhlak seseorang yang saling
berkait. Jika baik akhlaknya, bermakna baiklah hatinya dan begitulah
sebaliknya.
Oleh itu jagalah hati kerana
apabila hati terjaga, mulut pun terjaga. Jika mulut terjaga, emosi pun terjaga.
Apabila emosi terjaga, tindakan pun terjaga. Maka tidaklah kita melakukan
tindakan yang tidak berperikemanusiaan, khususnya mereka yang bergelar atau
berjawatan profesional.
Panah syaitan
Dalam media sosial, banyak
didedahkan mengenai tingkah laku buruk guru terhadap murid atau pelajarnya.
Terbaru, kisah pelajar di sekolah tahfiz dikatakan cedera di belakang tubuh dan
kepala akibat dibelasah guru dengan getah paip.
Kes itu bukanlah kejadian pertama
kerana dikatakan sebelum itu di sekolah sama, seorang pelajar cedera hingga
patah bahunya kerana dibelasah dengan kayu oleh guru tahfiznya. Apa pun
kesalahan pelajar, adakah wajar mereka menerima hukuman sezalim itu?
Apatah lagi hukuman dilakukan
oleh seorang guru tahfiz yang menghafal 30 juzuk al-Quran, yang sepatutnya
tinggi nilai kesabarannya serta mampu mengawal kemarahannya.
Ciri-ciri orang yang tinggi ego
ialah suka marah, baran dan tidak boleh kawal perasaan marahnya. Kata Imam
Syafie, "Marah adalah antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh
itu hindarilah ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala
tenteranya."
Sifat pemarah itu datangnya
daripada perasaan sombong dan ego. Lagi tinggi kesombongan dan keegoan kita,
akan tinggilah tahap kemarahan. Jadikan kasih sayang sebagai tonggak
kebahagiaan rumah tangga, keluarga dan masyarakat serta jauhi kebencian.
Guru diamanah mendidik
Bayangkan kasih sayang ini sebagai
satu wangian atau air bersih yang mengalir dalam kehidupan yang menyamankan
suasana. Apabila ada kebencian, bermakna sudah ada air keladak yang mencemari
kehidupan kita.
Guru ialah orang yang memberikan
atau menyampaikan ilmu, secara formal di sekolah. Jika terdidik guru akan
terdidiklah negara kerana anak kita banyak masanya berada dalam pengawasan
guru, terutama bagi anak bersekolah asrama.
Ibu bapa mengamanahkan guru
mendidik dan mengajar anak mereka. Hakikatnya, semua guru berjaya melaksanakan
tugas mengajar, tetapi tidak semua guru berjaya mendidik pelajarnya. Mengajar
hanya setakat membabitkan akal, tetapi mendidik membabitkan sahsiah, emosi
rohani, cara guru bercakap dan berinteraksi dengan pelajar.
Yang kuat dalam diri manusia itu
ialah rohaninya. Keintelektualan mengajar mereka untuk faham sahaja, bukan
menanamkan pada roh dan jiwa mereka suka kepada ilmu yang dipelajari. Sebab itu
guru perlu melahirkan pelajar yang mampu memanfaatkan ilmu untuk dunia serta
akhirat.
Ikhlas mengajar
Sayangilah pelajar dan pandang
mereka dengan kasih sayang, macam anak sendiri. Guru juga bermula dari tidak
pandai dan nakal suatu masa dahulu. Apabila kita menjadi guru, bayangkan ketika
kita bersekolah dahulu, macam mana kita hendak cikgu melayan kita.
Begitulah kita perlu melayan
pelajar, mesti ada perasaan empati iaitu meletakkan perasaan kita dalam
perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.
Jika guru berkasar dengan
pelajar, macam manalah pelajar hendak berlembut dengan guru. Budaya memberi dan
menerima mesti ada, kita baik dengan pelajar di sekolah, mereka juga akan baik
dengan kita.
Atas keredaan Allah SWT kerana
kita ikhlas mengajar, anak kita di rumah pun selamat, dijaga Allah daripada
musibah. Jadikanlah sekolah itu ladang pahala dan pasanglah niat menjadi guru
ikhlas untuk memberi manfaat dan mendapat reda Allah SWT.
Penulis adalah Pakar Motovasi dan Pakar Bedah Mata
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)






