TAK FAHAM…
(Kepada yang tak faham faham)
Sekali tersungkur, kami tak faham
Tersungkur lagi, masih tak faham
Lagi-lagi tersungkur, memang tak faham faham
Tak faham
Cakap bagai faham
Tapi buat bak tak faham
Acuan sama tindak serupa
Manakan hasil tak serupa?
Tak faham
Dikaburi kuasa atau dilamun empuk kerusi?
Terputus realiti atau dilitupi jangkaan sendiri?
Bagai terhadang gerak kaki
Dalam selut ciptaan sendiri
Berlari setempat tanpa daya bebas diri
Tak faham
Bergelut dalam selut sesama diri
Kau punya angkara, kau punya muslihat
Dari subuh ke tengah hari
Hulu dinihari bagai faham
Bila fajar menyinsing mula tak faham
Sampai tengah hari masih tak faham faham
Adakah mungkin datang fahamnya
Atau tak faham hingga ke senja
Dan hilang dalam pekatnya gelap malam
Tak faham
Penyakit apa melanda
Bagai dapatnya tongkat sakti
Persis lupa diri lupa haluan
Dari dulu memang begini
Sorak riang menyambut jaya
Bertukar menjadi hiruk-pikuk
Watak tersingkir jadi tok dalang
Meniup mantera ceritera menjadi
Gegak gempita di sana sini
Watak-watak teraju yang alpa
Tersepit sengketa sesama diri
Penting diri seolah dicari
Warga praja tempiaran lari
Tak faham
Adakah akan berubah diri
Atau terus cakar bercoreng-coreng
Sampai karam biduk yang tiris
Menyiksa watan yang beri segala
Bagai pengkhianat segala cita
Fahamlah
Sudah terhantuk elok tergadah
Janganlah terus porak peranda
Sucikan niat betulkan langkah
Amanah diberi dijulang tinggi
Jangan lagi mempamer bebal
Cukuplah tak faham sampai ke sini
Rasa semacam faham,
Gurcharan Singh
PJ
23 Januari 2020
Khamis, 23 Januari 2020
Ahad, 3 November 2019
Puisi Pilihan : Puisi Penyucian Hati
Puisi Penyucian Hati
Tatkala bara api amarah mula menyala
padamkan segera dengan simbahan takwa
kerana amarah itu hasutan iblis durjana
Tatkala dendam kesumat menguasai hati
padamkan segera dengan upaya aqli
kerana dendam itu tanda buruknya pekerti
Tatkala hasad menaklukkan perasaan
padamkan segera dengan rasa keinsafan
kerana hasad itu dorongan syaitan
Tatkala ujub dan dan riyak menanjak
padamkan segera dengan tunduk rajak
kerana kita dijadikan daripada tanah yang dipijak
Tatkala tamak haloba beraja di hati
padamkan segera dengan rasa simpati
Betapa banyaknya yang melarat tidak terperi
Kembara Bahasa
3 November 2012
Sumber : http : // kembarabahasa. blogspot. com//
Selasa, 29 Oktober 2019
ISU AGAMA : Rahmah dan Wasat dalam Islam
Dr. Mohd. Zaidi
bin Ismail
Sudah dimaklumi ramai bahawa Islamophobia adalah masalah besar yang
mengharung Umat Islam di pelbagai tempat di dunia kini.
Imej Islam menjadi tercemar ekoran tindakan melampau kelompok-kelompok
tertentu daripada kalangan Kaum Muslimin, selain mainan propaganda beberapa
pihak bukan Islam yang mempunyai agenda dan muslihat mereka sendiri.
Justeru, penegasan semasa Kerajaan Malaysia agar ciri Rahmah pada Islam
diberikan penekanan adalah suatu langkah yang tepat dan wajar disokong.
Penekanan yang dimaksud itu, bagaimanapun, perlu dilakukan dengan penuh
kejujuran dan berpandukan kefahaman yang jelas sepadu agar tujuan murni yang
diinginkan itu dapat terhasil. Juga penting untuk dipastikan bahawa langkah-langkah pentadbiran yang
dikaitkan dengan tema-tema utama dan istilah-istilah pokok Agama Islam seperti
wasat (yakni adil), rahmah dan yang lain-lain seumpamanya ini tidak bersifat
musiman dan bersilih ganti mengikut pertukaran pucuk-pucuk pimpinan pemerintah
atau parti-parti politik yang membentuk kerajaan.
Sekiranya pertukaran sedemikian dibiarkan berlaku, sangat dikhuatiri bahawa
maksud-maksud mulia yang terkandung dalam tema-tema dan istilah-istilah itu
bakal dijadikan bahan momokan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang
mempunyai motif yang tidak baik, atau pihak-pihak yang berasa tertipu, bosan,
dan mual.
Sebagaimana yang telah sering kita dengari, antara ayat-ayat penting yang
menjadi sandaran utama penekanan perihal Islam sebagai Agama Rahmah adalah
berkenaan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai Rahmat untuk sekelian
Alam (Surah al-Anbiya’: 107).
Menarik untuk kita perhatikan bahawa dalam Al-Quran, selain ayat yang
dimaksudkan di atas yang dinyatakan dalam bentuk susunan kata “wa ma arsalnaka
illa…” (tiada kami utuskan kamu, iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW, melainkan…),
terdapat tiga lagi ayat dengan bentuk aturan yang serupa.Tiga ayat tersebut adalah: Surah Saba’: 28; Surah al-Isra’: 105; dan Surah
al-Furqan: 56.
Dapat difahami daripada ayat-ayat tersebut bahawa sementara perutusan Nabi
Muhammad SAW secara amnya adalah Rahmat untuk sekelian Alam, dalam
ruang-lingkup penzahiran Rahmat yang menyeluruh itu kepada sekelian bangsa
insani pula, Nabi SAW secara khusus diutuskan dengan kesepaduan dwi-misi, yakni
bashiran wa nadhiran (membawa khabar gembira sekali gus khabar yang menakutkan).Justeru, hanya apabila kesepaduan dwi-misi itu dipelihara dan dilaksanakan
dengan adil (atau wasat), barulah Rahmat kepada Umat Manusia itu dapat
dizahirkan dengan sempurna.
Pemeliharaan dan pelaksanaan dengan adil itu bermaksud tiada melampau dalam
mengutamakan satu-satu sisi dengan mengabaikan sisi yang lain, yakni: tidak
berat kepada yang membahagiakan semata-mata dan tidak pula condong cuma kepada
yang menakutkan.
Ringkasnya, masing-masing sisi itu, iaitu sisi yang menegaskan apa yang
positif dan sisi yang menegah-mencegah apa yang negatif, ada peranan dan
ketikanya yang perlu dijaga dan dipatuhi.
Hakikat satu bersisi dua inilah yang bukan sahaja perlu dipelihara
sepanjang waktu tetapi juga wajib dipupuk merentas pelbagai lapisan kehidupan
serta bidang tumpuan. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kaedah dan manhaj Islam
zaman-berzaman.
Maka kita dapati dalam soal-soal berkait dengan Aqidah dan Usuluddin
penegasan terhadap kesepaduan nafi dan ithbat: “penafian segala yang palsu” dan
“pensabitan segala yang benar,” khasnya yang berkenaan keyakinan perihal Tuhan
dan Nabi serta segala yang berkait dengan kedua-duanya itu.
Dalam soal-soal berkait dengan Syariat dan Fiqh pula, kita dapati penekanan
terhadap kesepaduan dar’ al-mafasid (penolakan perkara-perkara yang buruk lagi
merosakkan) dan jalb al-masalih (perolehan perkara-perkara yang baik lagi
bermanfaat).
Dalam hal-ehwal Akhlaq dan Tasawwuf juga wujud kesepaduan takhliyah (atau
tahdhib) dan tahliyah: segi yang pertama itu bermaksud “penyucian daripada yang
keji lagi nista” manakala segi yang kedua itu bermakna “pengindahan dengan yang
murni lagi mulia.”
Dalam ruang-lingkup hidup bermasyarakat pelbagai tingkat, kita dapati pula
kesepaduan al-nahy ‘ani l-munkar dan al-amr bi l-ma‘ruf: yang awal itu
berkenaan “pelarangan daripada apa yang tidak baik dan dibenci” dan yang
kemudian itu pula berkaitan “penyuruhan kepada apa yang baik dan diakui.”
Malah, dalam disiplin berfikir yang dipupuk menjadi Ilmu Mantik (Logik)
dalam Tradisi Ilmu Islam, khasnya yang berkaitan cara-cara definisi dan
pentakrifan yang betul, ditekankan pula kesepaduan syarat (atau sifat) jami‘
dan mani‘: “keperluan menghimpunkan segala unsur asasi yang benar-benar
membentuk sesuatu itu” dan “keperluan mengeluarkan apa sahaja perkara yang
tiada secara asasi membentuk sesuatu itu.”
Bahkan, budaya ilmu yang disuburkan dalam Peradaban Islam sentiasa menuntut
kesepaduan pendekatan radd (tulisan yang bersifat penafian atau penolakan) dan
sharh (tulisan yang bersifat penjelasan dan penghuraian), jika tidak pun dalam
penghasilan peribadi setiap tokoh ilmuwan pada setiap zaman, maka
sekurang-kurangnya dalam satu-satu komuniti ilmu yang wujud pada mana-mana era.
Sesungguhnya, kesepaduan pendekatan ilmiah di atas inilah yang dicontohkan
oleh Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazzali (wafat 505H/1111M)
lewat karya-karya utama beliau seperti Tahafut al-Falasifah dan Ihya’ ‘Ulum
al-Din.
Kesimpulannya, Islam dan segala yang terkait dengannya mengandungi
kedua-dua sisi: eksklusif (menolak apa yang patut ditolak) dan inklusif
(menerima apa yang wajar diterima). Justeru menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengekalkan kesepaduan
kedua-dua sisi hakikat yang dinyatakan di atas. Jika tidak, bukan sahaja langkah yang kita ambil ini akan tempang dan cacat
tetapi juga apa yang bakal kita capai kelak menjadi jauh tersasar daripada
matlamat.
WALlahu a‘lam!
Sumber : // http : www.ikim.gov.my/
Puisi Pilihan : Jerebu
Jerebu
Kaubenci jerebu
Kaumarahi pencipta jerebu
Aku pun begitu
Orang lain pun begitu
Semua benci
Semua marah
angkara jerebu
Namun pernahkah
engkau, aku dan semua
mengesan jerebu di hati
jerebu dalam diri
yang mengelabui akal budi
yang menyuburkan hasad dengki
dan iri hati
yang membenihkan sangkaan buruk
dan menyibukkan diri menjajakan aib orang
lupa akan kekurangan dan kecacatan sendiri
Jerebu di luar
dan jerebu di dalam
sama-sama membawa musibah
Jerebu di luar
dan jerebu di dalam
sama-sama membawa padah
Sesudah solat Jumaat
30.10.15
Prof Dato' Dr Awang Sariyan
Kaubenci jerebu
Kaumarahi pencipta jerebu
Aku pun begitu
Orang lain pun begitu
Semua benci
Semua marah
angkara jerebu
Namun pernahkah
engkau, aku dan semua
mengesan jerebu di hati
jerebu dalam diri
yang mengelabui akal budi
yang menyuburkan hasad dengki
dan iri hati
yang membenihkan sangkaan buruk
dan menyibukkan diri menjajakan aib orang
lupa akan kekurangan dan kecacatan sendiri
Jerebu di luar
dan jerebu di dalam
sama-sama membawa musibah
Jerebu di luar
dan jerebu di dalam
sama-sama membawa padah
Sesudah solat Jumaat
30.10.15
Prof Dato' Dr Awang Sariyan
Ahad, 22 September 2019
ISU ALAM SEKITAR : Sampai bila kita 'lemas' dalam udara beracun
Oleh Zainuddin Isa
zainud@bh.com.my
Hampir saban tahun masalah jerebu melanda negara dan sejak lebih sebulan
lalu, majoriti penduduk kita menyedut udara tidak sihat. Maka ramai rakyat
Malaysia yang mengalami masalah kesihatan akibat lelah, jangkitan pernafasan
serta iritasi kulit dan mata.
Memandangkan kanak-kanak adalah golongan yang paling rentan, sesi
persekolahan ditangguhkan di beberapa negeri. Sekiranya tiada tindakan diambil
bagi mengatasi masalah ini, rakyat Malaysia tiada pilihan lain dan terpaksa
menghirup udara yang terjejas akibat pencemaran berterusan ini.
Lebih daripada itu, industri pelancongan multi bilion Malaysia yang
menyumbang lebih 14 peratus kepada ekonomi Malaysia setiap tahun terjejas akibat
jerebu.
Walaupun ada banyak aduan dibuat oleh Malaysia dan Singapura, Indonesia
masih gagal menghentikan ‘fiesta’ asap ini, malah ia menjadi semakin serius
setiap tahun.
Masih segar dalam ingatan, konflik jerebu atau asbut ini yang menggila pada
1997 dan 2015, menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat dan yang terburuk
dalam sejarah negara.
Tarikh 19 September 1997 mengingatkan kita apabila Perdana Menteri ketika
itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak, apabila
bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 650, paras ‘berbahaya’ paling
tinggi dalam sejarah.
Tahun ini, ‘jerebu import’ kembali lagi walaupun Malaysia tidak menuding
jari kepada Indonesia. Namun, pada awal bulan lalu, Presiden Indonesia, Joko
Widodo (Jokowi) sendiri mengakui berasa malu kepada Malaysia dan Singapura,
yang turut terjejas akibat jerebu ekoran kebakaran hutan di Indonesia.
“Saya kadang-kadang malu. Minggu ini saya mau ke Malaysia dan Singapura.
Tapi, saya tahu minggu kemarin (minggu lepas) sudah jadi headline (tajuk
berita), jerebu masuk lagi ke negara tetangga kita. Saya check (semak) jerebu
ini apa, ternyata asap,” kata Jokowi dipetik media tempatan.
Berdasarkan rekod yang disiarkan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan
(KLHK) Indonesia, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan
terbakar sejak Januari lalu di republik itu.
Ketika ini, beratus-ratus hektar dilaporkan masih terbakar di enam wilayah
dan beberapa daerah di seluruh Indonesia.
Rabu lalu, Dr Mahathir dilapor akan mengutus surat kepada Jokowi berhubung
isu jerebu merentasi sempadan ini. Kita amat menghormati usaha diplomatik
Malaysia-Indonesia dalam merungkai pendekatan menangani jerebu bersama rakan
jirannya.
Malah, kesepakatan ASEAN sendiri mewujudkan pusat pemantau cuaca dan
berkongsi data, termasuk imej satelit mengenai sebarang bencana.
Misalnya, Khamis lalu, Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) mencerap bahawa
terdapat 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera, tetapi Malaysia
hanya tujuh.
Dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan ini, ratifikasi berhubung
Perjanjian Menangani Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang dimeterai
10 negara Asean pada 2014 sudah ada namun, ia harus diperkasakan lagi.
Sebenarnya kebergantungan kerjasama kolektif negara di rantau sahaja tidak
mencukupi, selagi ada syarikat atau entiti menyebabkan jerebu tidak diambil
tindakan. Mereka ini mengaut keuntungan lumayan tetapi menyebabkan jutaan
rakyat menderita.
Sebagai sebuah negara anggota Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD),
Indonesia berperanan untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian bionya dan
berusaha melestarikannya.
Kebakaran hutan secara tidak terkawal di Borneo dan Sumatera, jelas
menunjukkan Indonesia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang
disarankan oleh CBD.
Bagi Malaysia pula, memandangkan jerebu sudah menjadi fenomena tahunan,
Malaysia patut mencari jalan perundangan yang sesuai bagi mengambil tindakan
terhadap pihak-pihak yang terbabit.
Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara adalah
bertanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat negara lain sewaktu berada
di wilayahnya.
Justeru, menyimpulkan permasalahan ‘jerebu import’ ini, adakah Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah jalan perundangan ke arah penyelesaiannya?
Penulis adalah Pengarang Bersekutu Berita dan Digital
Sumber : http : www.bharian.com.my/
Khamis, 12 September 2019
Puisi Pilihan : Nak Jumpa Perdana Menteri
NAK JUMPA PERDANA MENTERI
(impian sang gelandangan)
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
namun dilarang dan diusir berkali-kali
di pintu ukiran pagar besi warna emas yang cukup tinggi
kerana aku tidak buat temu janji aku sedar siapalah aku ini.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
untuk mengajak tidur jengah barang sehari melihat lorong-lorong kota ini
anak-anak yang mengutip sisa makanan
di tong-tong sampahan ... di kaki lima tempat tiduran.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
bertanya dia dengan ikhlas dan jujur hati pernahkah dicatat untuk mesyuarat
kisah nasib gelandangan ini
itu sahaja yang ingin kuketahui
dalam rutin sibuknya tentu sekali.
Aku akan cuba lagi dan lagi
mengetuk pintu rumah perdana menteri mungkin berjaya satu hari nanti
atau tidak kutemui barangkali
kerana aku sudah pergi atau dia yang dulu pergi
bukan doa di kalbu hati ... hanya pergi itu pasti.
MAZLAN NOOR ALONG
Pondok Gemahati
Sumber : fb Sdr Mazlan Noor
(impian sang gelandangan)
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
namun dilarang dan diusir berkali-kali
di pintu ukiran pagar besi warna emas yang cukup tinggi
kerana aku tidak buat temu janji aku sedar siapalah aku ini.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
untuk mengajak tidur jengah barang sehari melihat lorong-lorong kota ini
anak-anak yang mengutip sisa makanan
di tong-tong sampahan ... di kaki lima tempat tiduran.
Aku ingin mengetuk pintu rumah perdana menteri
bertanya dia dengan ikhlas dan jujur hati pernahkah dicatat untuk mesyuarat
kisah nasib gelandangan ini
itu sahaja yang ingin kuketahui
dalam rutin sibuknya tentu sekali.
Aku akan cuba lagi dan lagi
mengetuk pintu rumah perdana menteri mungkin berjaya satu hari nanti
atau tidak kutemui barangkali
kerana aku sudah pergi atau dia yang dulu pergi
bukan doa di kalbu hati ... hanya pergi itu pasti.
MAZLAN NOOR ALONG
Pondok Gemahati
Sumber : fb Sdr Mazlan Noor
Selasa, 10 September 2019
ISU UMUM : Pecahkan ruyung, dapatkan sagu
OLEH : DR ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
MALAYSIA dijangka mengalami cuaca panas sehingga pertengahan September ini.
Dalam cuaca panas ini, alangkah indahnya hidup jika dihidangkan sagu gula
melaka atau cendol sagu. Ia pasti menghilangkan kehausan dan kepanasan.
Menikmati apa jua juadah berasaskan sagu amatlah membahagiakan, tetapi
pernahkah kita terfikir betapa sukarnya menghasilkan sagu? Sagu terhasil
daripada pokok rumbia yang mempunyai ruyung atau kulit kayu yang keras.
Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut perlu
dipecah-pecahkan terlebih dahulu. Pokok rumbia sukar didekati kerana tumbuh
berdekatan paya dan di dalam hutan belukar.
Oleh yang demikian, usaha mendapatkan sagu bukanlah suatu yang mudah.
Pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Selain itu peralatan
seperti parang, kapak dan pisau semestinya tajam. Gigitan haiwan berbisa
seperti lipan dan lain-lain kemungkinan juga harus difikirkan. Kiasan kisah
ruyung serta cabaran yang terpaksa diredah demi mendapatkan sagu ini amat
sesuai dijadikan perlambangan tentang kesukaran mencapai kejayaan.
Kita sering beranggapan bahawa mudahnya seseorang itu berjaya, tetapi pernahkah
kita membayangkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sebelum
mencapai kejayaan seperti si penebang pokok rumbia? Bagi mencapai kejayaan,
seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia tidak datang bergolek.
Jika anda seorang pelajar, anda harus belajar bersungguh-sungguh untuk
berjaya. Jika anda seorang atlet, anda perlu berlatih bermati-matian untuk
menjadi juara. Jika anda seorang pekerja, anda harus ‘pulun’ untuk mendapatkan
kedudukan dan pendapatan yang lebih baik.
Ringkasnya, kejayaan tidak akan mampu dicapai tanpa usaha yang jitu. Kajian
psikologi dan kelakuan organisasi menunjukkan kejayaan yang dicapai atas usaha
sendiri akan menambah baik kematangan diri dan menjadi pencetus kepada kejayaan
yang lebih besar pada masa hadapan.
Kita memerlukan beberapa strategi untuk berjaya. Pertama, kita perlu
mempunyai kemahuan yang kuat untuk berjaya. Kemahuan yang tinggi untuk berjaya
menjadikan seseorang terus mencuba dan berusaha. Semangat itu juga boleh
menjadi pendorong kepada individu lain yang mungkin menemui kegagalan dalam
usaha mereka memburu kejayaan.
Hanya dengan semangat yang kuat akan membolehkan kita bangun kembali
apabila bertemu kegagalan pada peringkat awal. Harus juga diingat bahawa
kegagalan kali pertama bukan pengakhiran kepada suatu matlamat.
Kedua, kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang hebat
akan menghasilkan kejayaan. Ketidakyakinan pada kebolehan diri sendiri biasanya
menyebabkan pencapaian matlamat lambat dicapai atau terus gagal dicapai.
Ketiga, semasa kita gigih berusaha memburu kejayaan, kita harus sanggup
membantu orang lain mencapai kejayaan yang sama. Kesanggupan membantu orang
lain berjaya bukan sahaja suatu sikap mulia, malah ia dapat mengelakkan buruk
sangka dan rasa cemburu dalam diri kita sendiri dan orang yang dibantu.
Pemikiran ‘orang lain tidak boleh lebih daripada aku’ atau ‘dia mesti alami
kepayahan yang aku rasa untuk berjaya’ harus dibuang sama sekali. Sekiranya
kita telah berada di atas, kita janganlah pula menjadikan pengalaman dan
kesukaran kita sebagai penanda aras untuk orang lain.
Perbuatan mengubah penanda aras atau syarat untuk berjaya itu akan
mematikan semangat mereka yang masih tercari-cari hala tuju.
Akhirnya, kita mesti mempunyai perancangan rapi bagi membolehkan kejayaan
dicapai dalam tempoh yang lebih singkat. Mengamati dan mencontohi pengalaman
individu yang telah berjaya adalah langkah terbaik untuk kita bersiap siaga
menempa kejayaan yang lebih besar. Melalui pengalaman orang lain, kita akan
berupaya membuat analisis kendiri, mencari dan menerima kekuatan dan kelemahan
diri.
Mimpi dan angan-angan adalah sesuatu yang percuma. Walaupun begitu, mimpi
dan angan-angan tanpa sebarang usaha umpama angan-angan Mat Jenin. Selain itu,
usaha yang sedikit pasti menghasilkan kejayaan ala kadar sahaja. Sebagaimana
kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga
perlulah luar biasa dan lain daripada yang lain. Kesemua impian tidak mustahil
dicapai jika ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif. Jadi, mari
letakkan matlamat kita setinggi langit, jika jatuh pun kita masih mencapai
bintang.
Langgan:
Catatan (Atom)


