Sabtu, 31 Oktober 2009

Hujan batu di negeri sendiri

PEMANDANGAN bandar Helsinki, Finland yang menduduki tempat pertama Legatum Prosperity Index.




KALAU diikutkan tempat terbaik untuk seseorang itu menjalani kehidupan pastinya di negaranya sendiri. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri.

Sesungguhnya masih ramai yang berpegang bahawa hidup di negara sendiri adalah lebih baik berdasarkan banyak faktor. Dan yang paling penting ialah perasaan selesa di negeri sendiri, sayang kepada negara dan ramai ahli keluarga yang menetap di sini merupakan antara faktor utama mengapa kebanyakan kita masih menetap di negara sendiri.

Hasilnya kesemua kita akan berusaha untuk menambah baik negara sendiri dengan melakukan pelbagai perkara termasuklah melalui ekonomi, sosial dan politik supaya kita akan terus berasa selesa di negara sendiri.

Namun begitu bukan tugas kita untuk menentukan apakah negara kita adalah yang terbaik di dunia dari segi kemakmuran dan kegembiraan.

Berdasarkan Legatum Prosperity Index iaitu sebuah carta tahunan tentang kemakmuran sesebuah negara yang dikeluarkan Institut Legatum, Finland menduduki tempat pertama bagi negara paling makmur di dunia. Kedudukan Finland ini didorong oleh kemakmuran yang dikecapi dari pelbagai sudut.

Mengenai Institut Legatum ia merupakan sebuah badan pemikir yang dibiayai oleh Kumpulan Legatum yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan dan pelaburan. Institut ini yang ditubuhkan pada 2007 terletak di Mayfair, London.

Menariknya tentang pemilihan negara paling makmur oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata. Ahli panel menilai sembilan faktor utama dalam pemilihan mereka seperti asas ekonomi, inovasi dan keusahawanan, institusi demokrasi, pelajaran, kesihatan, keselamatan, pentadbiran, kebebasan peribadi dan kehidupan kemasyarakatan.

Semua faktor ini dilihat mampu menjadi kayu pengukur untuk menilai kebahagiaan dan kemakmuran masyarakat yang hidup dalam sesebuah negara dalam cara yang kompleks tetapi lebih tersusun.

Tambah menarik lagi dengan kemodenan yang semakin ketara sekarang, adalah dilihat kekayaan sesebuah negara bukan lagi menjadi kayu pengukur utama kemakmuran.

Masyarakat dunia kini lebih melihat kepada pentadbiran dalam negara yang lebih telus dan meyakinkan, kebebasan individu dalam perkara seperti bersuara dan menulis serta soal seperti pelajaran dan kesihatan sebagai intipati utama dalam soal kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Pandangan yang diberikan meliputi seluruh golongan masyarakat termasuklah pemimpin perniagaan, pihak media dan orang ramai. Kebanyakan faktor ini turut melibatkan polisi kerajaan seperti hak asasi manusia, kebebasan dalam ekonomi dan lain-lain bagi mendapat penjelasan lebih mendalam dari pelbagai golongan tentang apa yang dimaksudkan dengan pembangunan, kebahagiaan dan kualiti hidup di sesebuah negara.

Berbalik kepada pemilihan Finland sebagai negara paling makmur di dunia, bukan sahaja kerana kemakmuran ekonomi malah faktor kualiti demokrasi dan pemerintahan yang baik turut diambil kira.

Menduduki

Seterusnya negara-negara kecil di Eropah menguasai lima tangga teratas dengan Switzerland menduduki tempat kedua diikuti Sweden, Denmark dan Norway. Kesemua negara ini hanya negara-negara kecil di Eropah dan mempunyai jumlah penduduk yang kecil. Maka adalah tidak menghairankan bagaimana negara ini boleh menduduki antara tempat teratas kerana kesemua negara ini memenuhi kriteria penilaian sembilan faktor yang diambil kira oleh Institut Legatum.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap, dasar pelajaran dan kesihatan yang menyeluruh dengan keselamatan yang terjamin serta ketelusan dan kebebasan sama ada dalam politik dan pentadbiran, maka adalah wajar penduduk negara ini merasa sangat makmur, gembira dan selamat.

Namun jika dilihat mereka yang berada di kelompok bawah indeks ini seperti Zimbabwe yang menduduki tempat 104 selain Sudan, Yemen dan Cameroon, situasi yang sangat berbeza boleh dilihat berbanding lima negara teratas.

Peperangan, keganasan dan huru-hara merupakan sesuatu yang sinonim dengan negara-negara ini.

Kedudukan Malaysia pula untuk tahun ini jatuh 10 anak tangga berbanding tempat ke 29 tahun lepas. Bagi negara ini dari segi asas ekonomi serta inovasi dan keusahawanan, kedudukannya dilihat sangat kukuh. Bagaimanapun dalam kebanyakan indeks Malaysia dilihat berada pada kedudukan sederhana tetapi dilihat ketinggalan dalam soal kebebasan peribadi.

Singapura pula merupakan negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke 23. Walaupun dalam banyak perkara indeks negara jiran itu dilihat lebih kukuh namun ia tetap ketinggalan dalam perkara seperti institusi demokrasi dan kehidupan bermasyarakat. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan penduduk negara itu tetap merasakan bahawa pemerintah banyak menentukan apa yang perlu dilakukan. Adalah sesuatu yang biasa di mana kebanyakan penduduknya hanya mementingkan diri sendiri dan tidak banyak bergaul sesama mereka dalam soal bermasyarakat.

Negara Asia Tenggara lain yang termasuk dalam senarai Legatum Prosperity Index ialah Thailand yang menduduki tangga 44, Filipina tangga ke-55, Indonesia tangga ke-61 dan Vietnam tempat yang ke-77.

Jepun pula merupakan negara Asia yang menduduki tempat tertinggi pada tahun ini iaitu pada tempat ke-16 susut tiga anak tangga berbanding tahun lepas.

Mengejutkan

Namun yang mengejutkan ialah mengenai kedudukan Hong Kong yang merosot ke tangga 18 tahun ini. Negara itu merupakan antara negara Asia paling cemerlang tahun lepas apabila berjaya menduduk antara 10 negara termakmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

Bagi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kedudukan mereka juga merosot berbanding tahun lepas dengan AS menduduki tempat ke sembilan berbanding ke enam tahun lepas. Manakala Perancis menduduki tempat ke 17 berbanding 15 tahun lepas.

Hanya United Kingdom yang memperbaiki kedudukan dengan menduduki tempat ke 12 tahun ini berbanding 18 tahun lepas.

Kedudukan kesemua negara ini masih boleh dipertikai sebenarnya. Ini kerana walaupun negara ini maju dalam banyak bidang terutama ekonomi tetapi yang sebenarnya banyak masalah lain seperti soal jenayah dan keselamatan serta kehidupan kemasyarakatan tidaklah sebaik mana jika dibandingkan dengan negara-negara lain terutama di Asia.

Begitu juga dengan kedudukan Israel yang menduduki tempat ke-27 berbanding 19 tahun lepas adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Dengan kedudukan sebagai sebuah negara yang wujud kerana merampas hak orang lain selain tetap berlaku serangan di sana sini adalah sukar untuk difahami bagaimana penduduknya masih boleh menerima bahawa mereka hidup dalam aman dan makmur.

Bagaimanapun dalam soal kemakmuran semua mata tidak dapat tidak akan memberi tumpuan kepada dua negara yang semakin memuncak kedudukannya sebagai negara kuasa ekonomi baru iaitu China dan India.

India menduduki tempat yang lebih baik di tempat ke-45 berbanding China yang berada di kedudukan 75.

Dari segi pelajaran, kesihatan dan keselamatan India masih diragui kedudukannya sesuatu yang sudah agak sinonim dengan negara itu sejak dari dahulu lagi. Namun ia dilihat memiliki soal kehidupan bermasyarakat yang lebih baik ditambah pula dengan kematangan politik serta kedudukan ekonomi yang semakin menguntungkan rakyatnya.

Berbeza dengan China, soal pendidikan dan kesihatan bukanlah masalah utama tetapi yang dibimbangkan ialah dalam soal pentadbiran, kebebasan peribadi serta institusi demokrasi yang sememangnya sinonim dengan kedudukan negara itu yang masih berpegang teguh kepada komunis.

Sesungguhnya dalam soal kemakmuran yang dinikmati, pastinya kebanyakan penduduk di sesebuah negara akan tetap berpegang teguh bahawa negara mereka adalah yang terbaik. Walaupun mungkin terdapat antara mereka yang berhijrah untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik namun pengakhirannya mereka sendiri yang tahu bahawa tidak ada tempat yang lebih baik selain dari tempat sendiri.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu (= keris lembing) di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri bermaksud walau bagaimanapun mewah dan makmurnya negeri orang, namun negeri sendiri juga yang lebih baik.

DASAR SEKOLAH SATU ALIRAN

Ikut suara rakyat

Oleh Rohaniza Idris (roha@bharian.com.my)


DATUK Seri Najib Razak merasmikan buku kenang-kenangan Ulang Tahun LLN/TNB ke-60 sambil diperhatikan Tan Sri Leo Moggie (kanan) dan Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam

Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksana jika semua kaum sepakat: PM

KUALA LUMPUR: Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka.

"Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia kita akan kekalkan seperti sedia ada. Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Isu sekolah satu aliran dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah sedemikian seperti dicadangkan tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu.

Khoo mencadangkan sistem pendidikan negara disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar jika dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada dikekalkan. Kita memberi warga Malaysia daripada kumpulan etnik hak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu, jadi perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran, malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jumaat, 30 Oktober 2009

Wasiat Bagi Bakal Haji

As-Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz

1. Wajib bagi seorang yang melaksanakan ibadah Haji dan Umrah untuk benar-benar mengikhlaskan niatnya kerana Allah semata-mata, dan mengharapkan balasan baik di akhirat nanti.

2. Berusaha semaksimum mungkin untuk menghindar diri daripada tujuan-tujuan yang bersifat duniawi atau riya dan sum’ah serta kebanggaan dalam melaksanakannya, kerana semua itu merupakan sifat yang jijik dan penyebab gugurnya pahala amal ibadah.

3. Segera bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya daripada seluruh perbuatan dosa.

4. Mengembalikan hak-hak orang lain yang pernah diambil atau dirosakkan, dalam bentuk harta, kehormatan atau yang lainnya.

5. Menggunakan harta yang halal dan baik dalam melaksanakan Haji dan Umrah.

6. Hendaklah ia belajar dengan benar tentang hal-hal yang disyariatkan dalam Haji dan Umrah, memahaminya dan bertanya jika ada permasalahan yang sukar baginya.

7. Mencari teman perjalanan yang baik, taat dan taqwa, serta faham dalam agama dan menjauhi orang-orang yang jahil dan fasik.

8. Dalam perjalanan hendaklah membanyakkan zikir, istighfar dan doa, serta merendahkan diri di hadapan Allah SWT, membaca Al-Quran, memelihara solat berjamaah, memelihara lisan daripada ucapan-ucapan yang tidak bermanfaat, seperti bergurau senda, berdusta, ghibah, mengadu domba dan sebagainya.

9. Sentiasa berbuat baik terhadap teman-temannya, menahan diri daripada menyakiti mereka, amar makruf dan nahi munkar dengan cara hikmah dan peringatan yang baik semampunya.

Sumber: Kitab at-tahqiiq wal Idhah li Katsiiri min Masaa-ilil Hajj wal Umrah waz Ziyaarah ‘ala Dhau-il-Kitab was Sunnah

Nota Hujung:

Penulis ingin mengucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci kepada sahabat-sahabat yang akan menunaikan haji pada tahun ini. Semoga dikurniakan Allah kesihatan tubuh badan, dipermudahkan segala urusan dan beroleh Haji Mabrur. AMEEN!

Pengiraan merit ke IPTA guna gred baru mulai tahun depan

PERTAMBAHAN pelajar cemerlang di peringkat SPM mendorong pelaksanaan sistem gred baru dengan merit yang memberi keutamaan hanya kepada pelajar terbaik untuk ke IPTA.

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini .

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata, gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun, Dr Radin Umar, berkata kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.

"Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009," katanya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.

Katanya, pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian (Pengajian Tinggi) dan Kementerian Pelajaran," katanya.

Sumber: http://www.bernama.com/

Khamis, 29 Oktober 2009

ISU PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini.

Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Ia jarang sekali berlaku di negara luar.

Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis.

Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama.

Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki.

Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan.

Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka.

Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing.

Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati.

Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan.

Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya 'tidak setuju'. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang.

Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya.

Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pengabaian keselamatan undang tragedi jambatan gantung Kuala Dipang


TRAGEDI jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, yang menyebabkan seorang murid terkorban, manakala dua lagi masih hilang mengundang pelbagai persoalan. Ketika pihak berkuasa berhempas pulas meneruskan operasi mencari dan menyelamat, pelbagai pihak sudah mula menyuarakan pendapat mereka. Reaksi mereka tidak mengejutkan kerana yang menjadi mangsa dalam insiden itu ialah murid sekolah rendah. Tambahan pula, ia berlaku dalam program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Sudah tentu isu utama yang diperdebatkan ialah berhubung aspek keselamatan. Apatah lagi ia berlaku di Pusat Kokurikulum milik PPD Kinta Selatan yang lokasinya bersebelahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang. Apapun alasannya dan sama ada mahu atau tidak, hakikatnya beban tanggungjawab paling besar terhadap tragedi itu sebenarnya terpikul di atas bahu PPD. Meneliti rentetan peristiwa malang itu, sesuatu yang paling ketara ialah ia berpunca daripada pengabaian aspek keselamatan. Tanpa niat menuding jari kepada sesiapa, kita harus mengakui bahawa semua yang terbabit sama ada PPD, penyelia keselamatan, guru, malah murid sendiri alpa terhadap aspek keselamatan sehingga mengundang musibah. Malah, kontraktor yang membina jambatan gantung itu turut tidak terkecuali. Walaupun ia dikatakan dibina sebagai sumbangan untuk kemudahan pelbagai pihak, ia sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya spesifikasi dan aspek teknikalnya dapat dipastikan.

Di pihak PPD pula, isu sama ada ia sudah meneliti piawaian keselamatan atau kesesuaian tapak lokasi program perkhemahan, menjadi persoalan utama. Begitu juga dengan aspek logistik, pengendalian dan pengisian program itu. Demikian juga dengan semua guru serta pegawai keselamatan yang terbabit dalam menyelia program kokurikulum itu. Malah, murid terbabit sendiri, walaupun baru berusia 10, 11 dan 12 tahun sepatutnya lebih bijak menjaga keselamatan mereka. Mereka tidak sepatutnya melompat atau sengaja menggoyangkan jambatan gantung itu ketika menaikinya. Walaupun mungkin masih mentah, setidak-tidaknya mereka tentu dapat membaca amaran had muatan jambatan itu yang dikatakan jelas terpampang. Sebenarnya, mencari atau meletakkan kesalahan kepada satu-satu pihak saja tidak akan menyelesaikan masalah. Hakikatnya, keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Melahirkan amarah tidak berkesudahan serta bertindak terburu-buru akan hanya merumitkan keadaan. Biarlah pasukan khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran menyiasat kes itu melaksanakan tugas mereka sebaiknya. Susulan itu nanti, sudah tentu tindakan sewajarnya mengikut lunas yang ditetapkan, dapat diambil demi keadilan semua. Kita dan semua pihak amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga semua mangsa tragedi itu. Apa yang penting kini ialah untuk semua pihak menjadikan tragedi malang itu sebagai iktibar dan berusaha memastikannya tidak berulang pada masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Dua lagi mayat mangsa lemas dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang ditemui malam tadi dan pagi ini.Dengan penemuan kedua-dua mayat itu menjadikan kesemua tiga mangsa yang hilang telah ditemui, sekali gus operasi mencari dan menyelamat sejak tiga hari lepas telah ditamatkan.

Rabu, 28 Oktober 2009

PERJUANGAN BAHASA MELAYU BELUM SELESAI

Usaha memperkasa kuasa DBP mampu penuhi gagasan 1Malaysia

KITA bersyukur kerana masih berada dalam suasana dan tempoh Perayaan Bulan Bahasa Kebangsaan. Alhamdulillah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih berada di barisan hadapan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara Malaysia tercinta. Saya sendiri berasakan sebahagian nostalgia kempen bahasa lantaran saya juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa program kempen Bulan Bahasa sejak 45 tahun lalu.

Sebagai guru bahasa di Maktab Perguruan Bahasa di Lembah Pantai pada 1964, saya masih ingat bagaimana kami dikerah menyertai kempen demi kempen Bahasa Kebangsaan di bawah bimbingan Tun Syed Nasir Ismail. Kami mengadakan ceramah, peraduan pidato, sajak patriot, penulisan rencana, cerpen dan novel. Pada 1964 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 (Akta No 32) baru setahun jagung dan peruntukan amat bersifat asas. Sejak itu akta penting itu dipinda empat kali, terakhir pada 1994.

Pagi ini, selepas luput 52 tahun Merdeka kita masih berada di DBP sambil mengulangi seruan lama, ungkapan lama dan mengamalkan perlakuan lama. Kita masih berkempen Bahasa Kebangsaan; kita masih mengeluarkan dengusan dan kadangkala kata perli dan sinis kenapa bahasa Melayu tak begitu dan tak begini. Kadangkala kita bersuara seolah-olah belum merdeka.

Sebenarnya kita pencinta dan pejuang bahasa sudah berjaya. Sudah ada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; sudah ada DBP dengan aktanya sendiri yang lebih perkasa dan lengkap; sudah ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yakni tahun lahirnya Malaysia. Sudah berjaya menyahkan PPSMI dan pelbagai kemajuan lain. Dan payung kuasa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sedia terpampang pada Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Saya menerima hakikat perjuangan bahasa Melayu kita belum selesai. Terlalu banyak hal dan perkara serta isu dan persoalan masih menghantui kita. Saya mengajak pejuang bahasa Melayu jangan bosan berjuang terus menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sebenarnya tajuk bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan amat luas bidangnya. Ia bukan benda yang jika dilipat sekecil kuku. Ia adalah hal ehwal yang jika dibentang seluas alam. Justeru, jika alam yang hendak diterokai bersama, kita perlukan beberapa peralatan dan kaedah yang harus dipunyai setiap kali kita melaungkan bahasa jiwa bangsa.

Saya lega kerana pada 7 Oktober lalu, Jemaah Menteri membincang dan menghalusi beberapa perkara dan amalan seharus diberi tumpuan.

(a) Pertama Jemaah Menteri mengakui pemimpin harus berkomunikasi dengan lebih kerap dan teratur dalam Bahasa Kebangsaan termasuk ketika mengadakan mesyuarat rasmi yang menyaksikan anggota berkaitan amat biasa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara spontan.

(b) Setiap kementerian dan agensi kerajaan digalakkan menggunakan Bahasa Kebangsaan seluas mungkin bagi mewujudkan suasana kekitaan dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

(c) Wajar mengadakan garis panduan atau peraturan tertentu bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu khususnya oleh pihak swasta yang masih jauh kebelakangan dalam usaha penggunaan Bahasa Kebangsaan.

(d) Kabinet mengambil perhatian bahawa, mentang-mentang ada beberapa kerat warga asing di sesuatu forum atau persidangan diadakan dalam negeri, pengucap langsung memilih berucap dalam bahasa Inggeris.

(e) Diperhitungkan bagaimana Bahasa Kebangsaan kita boleh dijadikan sebagai saluran perpaduan dan komunikasi agar gagasan 1Malaysia lebih mudah dijayakan bersama oleh semua kaum.

(f) Dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diarah menyusul semua isu dibangkitkan pada mesyuarat itu dan seterusnya bagaimana cita-cita negara bangsa dapat dijayakan.

Kesimpulannya kedua-dua kementerian itu kini ditugaskan supaya menyusul perkara berkenaan dan merealisasikan beberapa objektif dan matlamat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebenarnya. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan khususnya sedang meneliti keputusan Jemaah Menteri itu agar perjuangan Bahasa Kebangsaan kita tidak lagi dalam keadaan terumbang-ambing atau merayu-pilu setiap kali kita berusaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu dan penggalas gagasan 1Malaysia.

Malah satu daripada kejayaan melalui perjuangan gagasan 1Malaysia bergantung banyak kepada setakat mana warga Malaysia sendiri sanggup menghormati serta mengamalkan Bahasa Kebangsaan kita. Alhamdulillah, sekarang dengan dorongan kabinet itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dan saya akan bertungkus-lumus menggerakkerjakan langkah utama ke arah mengutuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia dan Bahasa Kebangsaan.

Pada saat ini pun saya amat sedar kontroversi PPSMI berkaitan tempoh pemberhentiannya; saya menggolongkan diri saya kepada kumpulan yang sangat mahukan PPSMI itu diganti secepat mungkin dengan aliran penggunaan bahasa Malaysia dalam pembelajaran Sains dan Matematik seluas mungkin sebagai bahasa ilmu, di samping mengalu-alukan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai subjek berasingan yang dipupuk terus-menerus dari awal persekolahan.

Kita harus menyebut kembali kelengkapan dan kaedah yang diperlukan. Kita perlu mengenal apa masalah pokok yang berada di tengah masyarakat Malaysia hari ini. Penelitian isu bahasa akan menunjukkan tidak kurang 10 perkara pokok yang kita perlu cari penyelesaian segera dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa Malaysia:

1. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus diterima sebagai alat utama nasional dan kenegaraan bagi membina negara bangsa yang paling berkesan. Semua sistem pembelajaran, komunikasi perdagangan, sosial dan politik harus mengutamakan penggunaan bahasa Kebangsaan.

2. Pengistilahan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia dan bahasa Kebangsaan harus tidak dipertikaikan dari segi penggunaan bahasa kerana matlamat murninya ialah menyatukan, menghasilkan kekitaan bagi Malaysia, sekalipun penggunaan istilah bahasa Malaysia itu tiada dilazimkan dalam perundangan.

3. Pentingnya Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Bahasa ilmu tidak boleh diwujudkan hanya dengan laungan dan sebutan dasar. Kerja menterjemah buku ulung dunia harus diselenggara secara bersungguh-sungguh. Pelajar kita harus diajar bagaimana menjawab melalui bahasa huraian dan bukan melalui jawapan objektif dengan mengisi kotak soalan.

4. Kempen bahasa serta penulisan buku fiksyen dan bukan fiksyen harus melibatkan sebahagian besar warga penulis dari kalangan bukan Melayu supaya mereka berkemampuan mempengaruhi kaum masing-masing turut cergas dalam penulisan dan pembacaan buku bermutu.

5. Bahasa Melayu harus diupaya sebagai bahasa swasta terutama dalam bidang dagang dan kegiatan komersial; bidang perbankan, perundangan, insurans dan komunikasi formal secara lebih meluas.

6. Latihan pertuturan dan komunikasi tinggi harus diajar dan dipelajari secara profesional. Ia penting kerana tanpa keupayaan berhujah dan berkomunikasi dengan baik dan meyakinkan dalam bahasa Malaysia cita-cita tinggi Bahasa Kebangsaan tidak sampai jauh.

7. Penyebarluasan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia di kalangan negara Asean penting diberi perhitungan segera memandangkan penggunaan bahasa sama di Indonesia dan di beberapa wilayah Thailand dan Filipina.

8. Kerajaan dan swasta harus ada peta jalan bahasa Malaysia yang saling membantu di samping penggunaan bahasa Inggeris yang berupaya tinggi.

9. Membuang sikap kerendahan diri apabila berbahasa Melayu.

10. Negara kita harus mempunyai jurusan pembudayaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menarik yang bersifat wajib.

Marilah kita bersama menggunakan kunci yang sudah lama hilang atau dihilangkan itu untuk membuka lembaran dan vista baru tamadun di tanah air tercinta ini. Kunci itu ialah bahasa. Ia sudah diwujudkan sejak 1963 yakni seusia dengan Malaysia. Kali ini jika kita tidak juga mengerti bagaimana hendak cermin diri, kita akan dilupai zaman dan zuriat kita sendiri.

(Sedutan ucapan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim)

Sumber : http: //www.bharian.com.my/