Khamis, 22 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS


Kuala Lumpur : Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.

Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.

"Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan," katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.

Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan dan perubahan nilai


PERSIDANGAN ini mencerminkan proses pemikiran dan perancangan dalam memperkukuhkan tamadun.

Ingin saya utarakan, apa yang Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan lakukan di majlis seperti ini di mana para pendidik memperkatakan mengenai pendidikan dan pembelajaran masa hadapan.

Pada saya, jawapannya mudah. Ia adalah kerana Menteri Penerangan memberi maklumat, Menteri Komunikasi berkomunikasi dan Menteri Kebudayaan 'membudayakan'.

Dalam kebanyakan kamus Oxford tidak memperkatakan apa-apa mengenai kata kerja membudayakan, saya yakin bahawa fungsi ini di sini, sememangnya membudayakan banyak perkara, jika tidak dengan segera, sekurang-kurangnya pada masa hadapan.

Kehidupan kita pastinya dalam dekad yang akan datang akan banyak kali berubah disebabkan trend dan penemuan dalam bidang sains, dunia siber, apatah lagi politik, fesyen dan sudah pasti budaya itu sendiri.

Kehadiran saya di sini bersama-sama orang berilmu adalah sebahagian besarnya disebabkan persahabatan dengan Duta Pakistan yang telah saya kenali sejak 2008 semasa saya berada dalam metamorfosis politik berbeza iaitu sebagai Menteri Luar Malaysia dan beliau adalah penasihat hubungan luar yang terkenal di Islamabad.

Antara tahun 2008 dan kini 2012, dalam masa hanya empat tahun, kita telah melihat perubahan terutama dalam bidang pendidikan, yang mewujudkan kemanusiaan melibatkan semua.

Saya amat berbesar hati untuk berada di sini di kalangan pendidik, ahli akademik yang dihormati dan yang paling utama Beaconhouse School System yang mengumpulkan pemikir, pendidik, pembuat dasar dan golongan profesional yang berpengalaman.

Anda adalah panduan kami untuk masa depan, anda adalah penjaga sistem nilai yang akan menggerakkan ketamadunan, yang akan mendidik dan melahirkan bangsa, pemimpin dan golongan istimewa. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda kerana mengadakan persidangan ini.

Kita berada di sini untuk menilai semua kepercayaan konvensional mengenai apa yang dimaksudkan dengan pengajaran dan pembelajaran progresif dan dalam masa sama membantu untuk mengubah suasana pembelajaran kanak-kanak di sekolah di semua peringkat. Ini sudah pasti akan terus menggerakkan tamadun manusia.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan istilah tamadun manusia dan pendidikan, kita mungkin boleh berjinak dengan trend itu sekarang. Dengan pendidikan, kita mengubah masa depan. Dengan pendidikan, kita menggerakkan kemajuan. Dan dengan pendidikan, kita mungkin hilang atau menambah nilai-nilai yang ada.

Beribu-ribu orang Asia pulang dari Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand setiap tahun dengan ijazah di tangan mereka. Mereka membawa pulang ijazah dari Eropah, Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand, dan paling penting membawa pulang bersama nilai-nilai mereka.

(Di) Asia, mereka yang sebelum ini berada dalam kepompong mereka sendiri pantas menjadi penentu dan penggerak tamadun dan pendidikan Barat.

Pengkritik mungkin menyelar saya dengan mengatakan, janganlah kita melingkungkan pendidikan dengan Barat dan Timur, atau dengan Utara dan Selatan. Tetapi dunia ini bukannya hitam dan putih. Dunia ini penuh dengan warna-warni, sistem, pemikiran dan pengalaman.

Setakat ini, saya akan mengatakan bahawa pendidikan Barat telah menyelubungi kita semua dalam satu sistem yang kita mungkin tidak berani untuk mengatakan bagaimana dan ke arah mana kita akan tuju selepas ini.

Tetapi buat masa ini sistem itu adalah baik dan mereka memberi kita apa yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan kita.

Izinkan juga saya menyebut bahawa beribu-ribu juga telah pulang ke Malaysia dengan ijazah dari Timur Tengah dengan kepakaran dalam bidang syariah, usuluddin, Quran dan hadis.

Kita telah melihat bagaimana agama dijadikan alat politik dan sebaliknya, bagaimana hak asasi manusia telah dicampur aduk dengan pegangan yang tidak adil dan tidak wajar. Itu bercakap secara umumnya.

Dalam istilah yang lebih spesifik, sebab usaha Taliban cuba membunuh Malala (Yousafzai) dan filem Innocence of Muslims adalah dua kejadian terbaharu mengenai apa yang pendidikan yang bersifat ekstrem boleh lakukan terhadap kemanusiaan.

Pendidikan mengubah kehidupan manusia dan nasib manusia. Ketika pemikir-pemikir Malaysia dari institusi British, Amerika, Australia dan Eropah pulang ke Malaysia dengan kelayakan ijazah dalam komputer sains, siber, undang-undang, perubatan dan hiburan, dan sebagainya, mereka juga membawa pulang bersama-sama nilai dan tabiat, ada yang berakar umbi dan boleh mewujudkan tindakan untuk perubahan.

Dan apa yang biasanya tidak dinyatakan ialah dalam kalangan mereka dan nilai yang baru mereka peroleh, idea mengenai hak asasi manusia dan kebebasan mula menjalar dan merebak perlahan-lahan tetapi dengan penuh keyakinan.

Dan dengan dorongan pemangkin yang terhasil daripada kuasa internet dan dunia siber melalui medium media sosial, ia adalah ramuan untuk menjurus kepada perubahan mendadak.

Dan secara tiba-tiba golongan muda menjadi terkenal di pentas nasional, dan selalunya dengan sikap melawan dan konfrantasi. Ramai pemimpin kerajaan secara tiba-tiba menjadi terkejut dan hilang punca sambil bertanya, "Apa yang melanda kita?"

Sesetengah pemimpin ini kini dipenjara manakala ada yang takut akan diketepikan daripada sistem ciptaan mereka sendiri. Pendidikan dan perubahan nilai, nilai-nilai budaya jika anda suka, telah hadir dalam kehidupan kita.

Persoalannya kini ialah, sejauh mana relevan tajuk ini kepada persidangan kita di sini. Kepada saya, relevannya adalah jelas kerana nilai yang akan diajar oleh Beaconhouse pada masa depan, nilai yang anda dan saya akan lihat dalam kalangan anak-anak dan cucu kita akan menunjukkan jenis Pakistan yang akan kita lihat, dan jenis Malaysia yang akan kita alami.

Sebenarnya apa yang melanda ialah pendidikan dan perubahan nilai. Oleh itu, jika Beaconhouse boleh membawa perubahan melalui pendidikan, kemanusiaan akan menjadi lebih baik.

Dengan dunia siber tanpa sempadan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, pembentukan tamadun baru sedang berjalan dan dalam proses pembuatan. China dan Jepun, jika saya boleh berkata demikian, dilihat telah hilang dalam apa yang dikatakan eksport budaya kerana mereka sendiri telah meninggalkan banyak nilai 'Confucianisme dan Taoisme' atau kebijaksanaan silam masyarakat Timur.

Di kawasan Nusantara dalam dunia berbahasa Melayu di Asia Tenggara yang sebahagian besarnya terdiri daripada Malaysia dan Indonesia, rukun budi bahasa atau nilai positif yang termasuk sikap hormat yang mendalam terhadap golongan tua, kerjasama kolektif atau gotong-royong telah terhakis dan hampir menjadi amalan yang semakin dilupakan.

Apa yang kita ada kini adalah sekumpulan orang yang tidak puas hati dan mereka yang bersedia untuk mengatakan tidak tanpa kehalusan yang biasa kita ketahui atau ibu bapa kita gunakan atau lalui.

Adakah itu bagus atau tidak? Anda jawab sendiri soalan ini kerana ini bukan ceramah, ini adalah sedikit ucapan.

Dalam pendidikan Barat berkaitan sains, kemanusiaan tidak pernah begitu berharga seperti mana pendidikan itu pada masa ini. Setiap penuntut universiti rakyat Malaysia yang ditanya soalan ini, "Di mana alma mater anda?" Ramai mungkin akan menjawab dengan menyatakan alma mater mereka terletak di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada atau New Zealand.

Soalan saya ialah, dalam dekad akan datang, adakah seseorang akan mengatakan alma mater saya ialah di Islamabad atau Arab Saudi, Kuala Lumpur atau Indonesia.

Sesetengahnya mungkin sudah pasti memberi jawapan yang berkaitan dengan Jepun, China atau mungkin Taiwan atau Indonesia tetapi ini adalah sedikit dan terlalu jauh. Tetapi hakikatnya, pendidikan Amerika, British dan Eropah telah menjadi sebagai penggerak dan pencipta pada masa ini.

Apa yang rakyat Malaysia belajar dari Harvard atau dari MIT akan selama-lamanya berada dalam jiwa mereka. Kita mesti, pada masa sama, perlu menyediakan mereka dengan jiwa yang terbaik sebagai sebahagian daripada dunia ini.

Saya ingin menunjukkan bahawa pendidikan sekarang dilihat sebagai usaha komersial. Tatapi bayaran dan kualiti pendidikan mesti seimbang, supaya di satu pihak pelabur pendidikan akan memperoleh keuntungan manakala pelajar dan ibu bapa mereka akan dibebani hutang. Ia adalah keseimbangan yang perlu dipertimbangkan untuk masa depan.

Mengenai pendidikan sepanjang hayat, ingin saya tanya soalan ini: Sebagai seorang guru saya mahu tahu siapa yang mengajar guru? Dan guru A, guru B, guru C, siapa yang ajar mereka? Dan kita tanya mereka, siapa yang ajar guru kepada guru? Soalan ini mesti dijawab kerana produk mesti daripada ramuan yang baik dan mesti dibayar dengan baik, barulah kita mempunyai ramuan untuk masa depan yang baik.

Tetapi Einstein pernah berkata; "Saya mungkin betul pada teori relativiti tetapi saya guru yang sangat teruk." Einstein menyatakan itu. tetapi beliau kemudian mengajar sekumpulan siswazah Harvard. Dan beliau adalah seorang guru yang baik. Oleh itu, teori relativiti telah diterjemah ke dalam 27 bahasa.

Keperluan untuk mengajar seni berfikir, komunikasi dan budaya sebagai mana ia dilihat kini sedang diteruskan oleh Beaconhouse dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan.

Sebagaimana dikatakan pedagogis, pengetahuan adalah kuasa yang jelas daripada keupayaannya. Tetapi saya lebih suka untuk berpegang kepada kebijaksanaan William Chaucer, bahawa mendidik adalah untuk mengajar seni dalam mencapai kebahagian dalam kehidupan.

Thomas Jefferson berkata ini lebih meyakinkan apabila beliau mula merangka perlembagaan Amerika lebih 200 tahun lepas, bahawa "penjagaan kehidupan manusia ialah kebahagiaan, dan bukan memusnahkan mereka, adalah yang pertama dan satu-satunya objek kerajaan yang baik".

Saya hanya perlu menambah dengan mengatakan bahawa kerajaan bukan terhasil daripada pendidikan yang buruk tetapi daripada pendidikan yang baik, dan Beaconhouse, anda mempunyai merit dan kelayakan. .

Petikan teks ucapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Persidangan Antarabangsa School of Tomorrow: Memperkasa Pelajar Sepanjang Hayat anjuran Beaconhouse Group, sistem sekolah swasta antarabangsa berusia 33 tahun, di Petaling Jaya, semalam.

Sumber :  BERNAMA

Rabu, 21 November 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : AES kekal, tiada cadangan beri diskaun saman


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahupun memberi diskaun saman kepada pesalah trafik yang dikesan menerusi sistem itu.
  
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menegaskan bahawa sistem AES bukan untuk menghukum tetapi bagi mengajar pengguna jalan mematuhi undang-undang dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.
  
Sejak fasa pertama sistem kamera AES dipasang pada 22 September lepas, ada penurunan sehingga 70 peratus bilangan mereka yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat, katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
  
Cho Ha berkata, pelaksanaan AES telah dikaji daripada segala aspek termasuk kepakaran memperbaiki, menyelenggara peralatan AES dan kaedah mengelakkan wujudnya vandalisme.
  
Katanya beliau berasa amat kecewa dengan tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES.

"Pembangkang mendakwa seolah-olah dua syarikat yang terbabit dalam AES mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya mereka perlu sedar bahawa sebenarnya proses pemilihan (syarikat) dijalankan secara telus.
  
"Kedua-dua syarikat itu hanya penyedia perkhidmatan manakala penguatkuasaan pula dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
  
Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata kandungan perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat penyedia perkhidmatan AES itu adalah rahsia dan sulit serta mengguna pakai Akta Rahsia Rasmi.
  
Terdahulu, semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, Kong berkata cadangan untuk memberi diskaun kepada pesalah trafik yang dikenakan saman melalui AES akan dikaji walaupun pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai sistem untuk berbuat demikian.
  
"Jadi, cadangan itu kita akan ambil kajian," katanya ketika menjawab gesaan anggota Parlimen Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian akan membuat kajian berhubung cadangan tersebut demi kepentingan rakyat.
  
Beliau juga berkata, kaedah pembayaran saman yang dikesan melalui AES akan diperluaskan apabila pembayarannya boleh dibuat di pejabat pos, melalui MYEG dan secara atas talian.
  
Mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan menswastakan penguatkuasaan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat, Kong berkata ia adalah tidak benar sama sekali.
  
Katanya, ini kerana kedua-dua syarikat itu meerupakan penyedia perkhidmatan yang hanya bertanggungjawab untuk membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan sistem AES.
  
Katanya, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, semua saman adalah dikeluarkan oleh JPJ yang ditempatkan di Pusat Kawalan AES dan di bawah perjanjian di antara kerajaan dan pihak penyedia perkhidmatan, sistem tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selepas lima tahun ia beroperasi.

"Sebenarnya pelaksanaan AES ini telah diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar, ia terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggarakan sistem ini," katanya. - Bernama

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Demi nyawa awam, pelaksanaan AES wajar diteruskan


Oleh : AZMAN ANUAR

UNGKAPAN kata-kata “kelajuan itu membunuh" ternyata belum meresap dan dihayati sepenuhnya oleh pemandu di Malaysia. Sedangkan setiap hari boleh dibaca melalui laporan media tentang tiada satu hari tanpa berita kemalangan jalan raya di negara ini.

Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang kerajaan buat untuk mengatasinya.

Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji keberkesanan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut.

Namun baru dilaksanakan pada September lalu, kamera AES mencetuskan kontroversi. Beberapa pihak mengeluarkan pandangan rasa tidak senang dengan tindakan Kementerian Pengangkutan bertegas mahu meneruskan pengunaan AES. Sesetengah pihak pula mahu AES ditangguhkan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini.

Oleh itu katanya, walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak, kerajaan tidak akan berganjak atau mengkaji semula penggunaan kamera AES yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sebanyak 831 lokasi hitam kemalangan bakal dilengkapi (AES) termasuk 14 lokasi yang telah beroperasi sejak 23 September lalu dan lokasinya ditentukan berdasarkan data kemalangan Polis Diraja Malaysia.

Malah, maklumat berhubung kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebahkan. Lokasi pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar, jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.

Pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Menyentuh dakwaan pelaksanaan sistem itu akan menguntungkan kroni, Cho Ha menjelaskan, syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika ramai pengguna jalan raya disaman.

Jelasnya, kerajaan juga tidak membayar sebarang sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik itu.

Satu angka yang patut disedari oleh pihak berkenaan bahawa dalam tempoh 10 tahun lalu seramai 70,000 pengguna jalan raya di Malaysia maut akibat kemalangan jalan raya.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menegaskan pelaksanaan AES sejajar dengan kejayaan 19 negara yang menggunakan sistem itu dalam mengurangkan kadar kematian dan kemalangan jalan raya.

Berdasarkan kajian MIROS sebelum ini, 85 peratus penduduk negara ini patuh kepada undang-undang jalan raya tetapi hanya 15 peratus sahaja yang bermasalah.

Golongan kecil itulah yang sedang ditangani dan salah satu langkahnya ialah melalui pelaksanaan sistem AES.

AES tidak perlu dipolitikkan. AES hanya mempunyai satu matlamat dan tujuan iaitu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan membawa pemandu yang angkuh dan tidak tahu undang-undang ke muka pengadilan.

Pelaksanaan AES merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya seperti pematuhan had laju.

Malangnya usaha baik ini akhirnya telah dianggap oleh segelintir masyarakat sebagai bertujuan untuk menyaman pemandu semata-mata.

Memanglah AES merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.

Oleh itu AES perlu diteruskan untuk mendidik pengguna jalan raya supaya lebih menghormati undang-undang jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan saman.

Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan.

Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Jadi kenapa pelaksanaan AES juga mahu digagalkan. Sebelum ini banyak usaha dan pembaharuan dilakukan namun kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri.

Segelintir pemandu Malaysia gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan tabiat berbahayakan nyawa sendiri dan orang lain itu.

Jika di negara lain, penggunaan AES dapat membantu mengurangkan kemalangan, di negara kita belum pun bermula sudah berbakul-bakul kritikan disumbatkan.

Selagi kita gemar tolak tarik keputusan yang telah dibuat, maka sampai bila pun tahap pemikiran kita di jalan raya tidak akan berubah.

Pemasangan kamera berteknologi tinggi AES itu membantu memastikan tidak ada pesalah jalan raya yang terlepas daripada tindakan undang-undang.

Kos tinggi yang dibelanjakan itu boleh dianggap sebagai pelaburan bagi mengelakkan negara kehilangan tenaga manusia dan kerugian harta benda akibat kemalangan jalan raya.

Sesungguhnya, tidak ada sebab AES perlu ditangguhkan kerana setiap hari negara menghadapi kisah-kisah kemalangan maut kerana kegagalan pemandu mendisiplinkan diri masing-masing.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kemahiran, kualiti guru dipertingkat


Oleh : Mohd Azrone Sarabatin dan Amin Ridzuan Ishak

Program Pembangunan Profesional Berterusan fokus  dua bidang

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.

Katanya, profesion guru abad ini dibina atas dasar persaingan, iaitu pendidikan selepas tamat persekolahan, latihan dan pembangunan kerjaya.

Justeru, ia perlu selari dengan visi dan misi negara ke arah menyediakan rakyat berilmu dan berkemahiran.

Dilatih jadi pemikir

Katanya, bagi melahirkan guru berkemahiran abad ke-21 dan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat, mereka perlu dilatih menjadi pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai usahawan.

“Dalam dunia kompetitif hari ini, kelebihan daya saing terletak kepada kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi, iaitu kritis, kreatif, inovatif dan imiginatif,” katanya merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, kemahiran berfikir, pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi serta keyakinan kendiri perlu dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik serta mampu berfikir secara mencapah (divergent thinking) bagi menerokai kebenaran.

Katanya, dalam konteks pembangunan kerjaya guru, ia merentasi beberapa laluan dengan kemajuan dinilai berasaskan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan semata-mata.

Sistem perlu mekanisme

Muhyiddin juga berkata, sistem pendidikan negara perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru yang dilahirkan benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan.

Katanya, transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, iaitu satu daripada 11 anjakan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepada peningkatan pembelajaran dan pembangunan guru.

Bagi melaksanakannya, beliau berkata, kementerian perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru cemerlang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 20 November 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Pekerja Malaysia keempat paling berdedikasi


Kuala Lumpur : Pekerja Malaysia adalah yang keempat paling berdedikasi di dunia selepas India, Brazil dan Itali, demikian satu kajian sebuah perkhidmatan pelancongan dalam talian.

Kaji selidik berkaitan deprivasi percutian 2012 oleh agensi pelancongan dalam talian Expedia.com.my mendapati sembilan daripada 10 pekerja di Malaysia sukar melupakan kerja, walaupun ketika bercuti.

Kaji selidik itu mendedahkan pekerja di Malaysia menghabiskan kira-kira 40 jam seminggu bekerja tetapi menerima purata 14 hari cuti tahunan dan ia antara yang terendah di dunia.

Menurut kajian itu lagi, sebab utama pekerja negara ini tidak memanfaatkan cuti mereka ialah kegagalan menyelaraskan cuti bersama rakan.

Sebanyak 40 peratus pekerja yang dikaji berkata, mereka enggan mengambil cuti kerana tidak pasti sama ada ketua meluluskan cuti, manakala 15 peratus pula bimbang percutian mereka akan memberi gambaran negatif terhadap kerjaya profesional, menurut kenyataan Expedia.com.my, semalam.

Kaji selidik itu membandingkan tabiat bercuti membabitkan lebih 8,000 orang dewasa yang bekerja di 22 negara di Asia, Australasia, Amerika Utara dan Selatan serta Eropah.

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Latih guru berfikir sebagai usahawan


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.

"Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.

"Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.

Kata Muhyiddin, guru-guru seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.

Menurut beliau, cabaran dan masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza.

"Walau siapapun kita, sama ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah.

"Mereka yang memiliki kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh mana-mana organisasi," ujarnya.

Muhyiddin berkata, pendidik bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/