Rabu, 15 April 2015

ISU BAHASA : Penggunaan bahasa Melayu makin meluas tagih pemerkasaan


Oleh : Mior Kamarul Shahid
miorkamarul@gmail.com

Pada satu sudut di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur, kelihatan sekumpulan kira-kira 20 orang sedang mendengar taklimat mengenai penyakit kencing manis atau diabetes. Mereka mewakili hampir semua kaum terbesar negara ini - Melayu, Cina, India, Sikh. Sebahagian besar mereka dalam lingkungan usia 60-an dan 70-an berkumpul di situ ketika menunggu giliran pemeriksaan kesihatan.

Sambil menunggu, mereka mendengar penerangan sangat berguna itu supaya mereka mempunyai maklumat mengenai bahaya kencing manis. Di depan mereka terpampang layar yang memaparkan slaid penerangan, graf carta dan maklumat mengenai penyakit yang kian merebak dan dihidapi ramai pesakit di negara ini. Walaupun kencing manis bukan penyakit berjangkit tetapi ia ditakuti terutama apabila melihat mereka yang menderita diabetes yang kronik.

Taklimat mengenai penyakit itu disampaikan seorang doktor berbangsa Cina. Beliau menceritakan mengenai punca penyakit itu akibat gaya hidup, pemakanan, cara pencegahan dan sebagainya. Semuanya dijelaskan dalam bahasa Melayu walau pun sekali sekala beliau berhenti seketika untuk berfikir memilih perkataan yang sesuai. Selepas memberi maklumat peringkat demi peringkat mengenai sesuatu topik, doktor itu meminta mereka bertanya jika ada yang tidak faham atau ingin tahu. Warga tua ini tidak melepaskan peluang bertanya pelbagai perkara. Apa yang menariknya, semua soalan juga ditanya dalam bahasa Melayu walaupun ada antara mereka yang tidak begitu fasih bertutur dalam bahasa rasmi negara itu.

Usaha perkasa bahasa

Sebenarnya, penggunaan bahasa Melayu di negara ini sudah begitu meluas. Ia bukan sahaja digunakan di sekolah tetapi di merata tempat sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Sudah tentu doktor berbangsa Cina itu tidak boleh menyampaikan taklimatnya dalam bahasa Cina kerana yang mendengar penerangannya adalah daripada pelbagai kaum.

Jika sebahagian besar mereka kaum Cina sekali pun tetapi ada seorang kaum Melayu atau India, doktor itu akan bercakap dalam bahasa Melayu. Doktor itu juga tidak menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itu tidak difahami oleh semua mereka di situ. Di Sabah dan Sarawak juga tidak ada pengecualian jika taklimat sama diadakan di hospital. Disebabkan di dua negeri itu ramai masyarakat pelbagai etnik dengan bahasa berbeza, bahasa yang difahami semua adalah bahasa Melayu.

Jika perlu sahaja, doktor akan meminta bantuan penterjemah jika ada antara mereka yang tidak faham. Inilah keunikan di negara ini yang mana setiap kaum bertutur dalam bahasa ibunda ketika di rumah atau kampung masing-masing, tetapi apabila berada dalam majlis dihadiri pelbagai kaum, mereka menggunakan bahasa Melayu. Begitu juga, mereka membaca dalam medium bahasa ibunda masing-masing tetapi jika ia membabitkan urusan rasmi kerajaan, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu. Di pejabat kerajaan, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya.

Agak sukar bagi seseorang untuk berurusan di pejabat atau kaunter kerajaan jika tidak faham bahasa Melayu. Memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang meluas dan sudah diterima umum sehingga diterima sebagai bahasa perbicaraan di mahkamah dan berhujah di Parlimen, ia sepatutnya diperkasakan.

Sebagai sebuah negara moden, sudah tentu Malaysia tidak rigid kepada penggunaan bahasa. Jika ada keperluan, seseorang bebas berkomunikasi dalam bahasa apa sekali pun jika dua atau lebih pihak menerima dan memahami bahasa yang dipertuturkan. Ini adalah model Malaysia sejak sekian lama untuk kemudahan dan memenuhi matlamat sesuatu penganjuran.

Di beberapa negara lain, mereka tetap menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing untuk sesuatu penganjuran, khasnya majlis antarabangsa kerana bagi mereka ia melambangkan jati diri bangsa dan negara mereka. Malaysia masih belum bersedia ke arah itu kerana selain amalan, ia juga untuk tujuan kemudahan berkomunikasi khasnya bagi mereka yang tidak faham berbahasa Melayu. Ini bukanlah masalah kerana ia sesuatu yang praktikal.

Bahasa rojak

Masalah yang menghantui penggunaan bahasa Melayu ialah bahasa rojak. Sudah menjadi trend hari ini bahasa yang digunakan sesetengah rangkaian televisyen dan radio tidak melambangkan bahasa Melayu tulen.

Ada yang menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris secara meluas seolah-olah ia diterima di Malaysia. Tidak menjadi kesalahan menggunakan sepenuh bahasa Inggeris jika ia adalah stesen atau rangkaian penyiaran berbahasa Inggeris. Apa yang menyedihkan stesen atau rangkaian radio berbahasa Melayu menggunakan bahasa rojak - campuran antara bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagi kumpulan penyiar ini, ia mungkin bahasa yang digemari atau digunakan oleh generasi muda hari ini. Ia dianggap bahasa yang hidup sedangkan bagi mereka bahasa Melayu standard adalah bahasa kaku. Oleh itu, mereka menganggap bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa moden. Dengan mencampur adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, mereka kononnya dianggap mengikut trend.

Di kebanyakan negara membangun, keadaan menjadi terbalik kerana apa yang dianggap baik oleh kumpulan konservatif tidak dianggap baik oleh golongan modenis. Di Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Setakat ini, ia terbukti boleh memenuhi matlamat itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/ ( 10 April 2015)

Selasa, 14 April 2015

ISU BAHASA : Perkasa BM seiring kemajuan teknologi



Oleh : Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April – Ledakan perkembangan teknologi yang semakin pesat dan telah menembusi pasaran dengan cepat, menjadikan ia bukan sesuatu yang menghairankan apabila semakin banyak istilah baru yang hadir seiringan dengan teknologi dan seni.

Salah satu contoh istilah baru itu adalah ‘Selfie’ yang bermaksud mengambil gambar sendiri dengan menggunakan telefon pintar dan dimuat naik ke laman sosial media.

Istilah-istilah baru itu diterima pakai oleh masyarakat tanpa disedari dan akhirnya menjadi istilah yang biasa didengar, jelas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pengerusi Seminar Kebahasaan MABBIM 2015, Hajah Aminah binti Haji Momin di Majlis Penutup Rasmi Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

Hadir di majlis berkenaan dan menyempurnakan penutupan rasmi seminar itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Hajah Aminah menjelaskan bahawa Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 membawa tema Memperkukuh Peranan Bahasa Melayu/Indonesia sebagai Penghela dan Wahana Ilmu Pengetahuan, Teknologi dan Seni, dan dipilih sebagai tema utama kerana melihat kepada situasi perkembangan dunia ketika ini yang banyak berkecimpung dan cenderung untuk beradaptasi dengan dunia teknologi, seni dan ilmu pengetahuan.

“Melalui seminar ini, diharapkan akan dapat memberi jalan, gagasan dan idea yang baik demi mengembang luaskan lagi peranan Bahasa Melayu (BM).”

Sementara itu, Pelapor Seminar Kebahasaan MABBIM 2015, Dr Yabit bin Alas membentangkan resolusi seminar berkenaan di mana beberapa ketetapan telah diusulkan dalam seminar itu termasuk mempertingkatkan strategi dan sinergi untuk memperkasakan kewibawaan Bahasa Melayu/Indonesia dalam menempuh arus globalisasi dengan mewujudkan kumpulan pakar untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam Bahasa Melayu, menubuhkan pusat pengajian Melayu/Indonesia di institusi pengajian tinggi terkemuka serantau dan antarabangsa serta menyokong penubuhan Pusat Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara.

Ketetapan-ketetapan lain yang diusulkan adalah mempertingkat dan memperluaskan penglibatan pihak industri untuk bersama-sama mengembangkan Bahasa Melayu/Indonesia, Bahasa Melayu/Indonesia sebagai wahana dalam mempertingkat dan memperluaskan penggunaan teknologi dan media baharu secara inovatif dan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, mempertingkatkan kepelbagaian jurusan pengajian dengan menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia di institusi pengajian tinggi, memperbanyak dan mempelbagaikan penulisan dan penerbitan dalam Bahasa Melayu/Indonesia selari dengan perkembangan dan prasarana teknologi maklumat, memperbanyakkan terjemahan karya-karya agung dan buku-buku ilmiah kepada Bahasa Melayu/Indonesia melalui pelbagai media selari dengan perkembangan semasa serta mengglobalisasikan sastera dan industri kreatif Melayu/Indonesia.

Majlis kemudian menyaksikan Dr Yabit menyerahkan resolusi Seminar Kebahasaan MABBIM 2015 kepada Datin Paduka Hajah Adina yang seterusnya menyerahkannya kepada Hajah Aminah.

Sumber : http://brunei-online.com.bn/mediapermata (10 April 2015)

Rabu, 8 April 2015

ISU PENDIDIKAN : ‘Kejutan’ kaedah baru


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Perubahan memacu kemajuan dan kecemerlangan. Dalam banyak bidang, kita dapat saksikan kejayaan tidak akan dapat dicapai sekiranya sesuatu itu bersifat statik, sebaliknya perlu berubah dan berkembang, sama ada secara perlahan-lahan ataupun drastik.

Bidang pendidikan lebih-lebih lagi memerlukan kepada perubahan terutama dalam aspek pembelajaran dan pengajaran (P&P) supaya keberkesanannya lebih menyerlah dalam mendidik, membentuk dan melahirkan pelajar yang berjaya.

Hal ini adalah sejajar dalam memenuhi piawaian global yang melihat pendidikan pada skala besar sebagai satu aspek utama pembangunan sesebuah negara.

Bagaimana dengan pendidikan di negara kita, terutama dari sudut P&P? Apakah anjakan P&P yang dilakukan cukup meyakinkan keupayaannya mencapai sasaran melahirkan pelajar bertaraf global sebagaimana sasaran Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia 2013-2025?

Memperkatakan isu ini, Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (Pengajaran Universiti Kebangsaan Malaysia), Profesor Dr Mohamed Amin Embi bersetuju bahawa P&P perlu diselarikan dengan kehendak semasa bagi mengimbangi perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan global.

Tegas beliau, tanpa perubahan, sistem pendidikan negara akan terus ketinggalan, sekali gus memberi kesan kepada pelajar serta institusi pendidikan dalam jangka panjang.

“Dalam pembangunan sesebuah negara, pendidikan adalah asas yang perlu diperkasakan dengan elemen tertentu mengikut kesesuaian bertujuan memenuhi kapasiti semasa.

“Jika sistem digunakan tidak diubah, berkemungkinan impaknya juga sangat besar kepada pelajar, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya, sambil menjelaskan bahawa setiap perubahan tidak boleh dilihat dalam masa singkat, tapi perlu disasarkan dalam tempoh panjang untuk diberi pelbagai suntikan baru.

Menurutnya, masyarakat yang sudah selesa dengan P&P sedia ada mudah terkesan dengan perubahan ini, contohnya P&P yang suatu ketika dulu lebih berbentuk tradisi, kini semakin dipelbagaikan dengan kaedah baru lebih dinamik seperti dalam talian dan menggunakan Internet.

“Bagi segelintir masyarakat, mereka menganggapnya sebagai satu ‘kejutan’, tapi ia sebenarnya sangat diperlukan dalam P&P moden kerana sistem pendidikan di negara lain juga sudah menggunakan kaedah sama,” katanya.

Beliau berkata, P&P moden juga lebih menekankan konsep inovasi sebagai platform menjana maklumat kepada pelajar supaya mampu berfikir pada aras tinggi.

Pengenalan Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggo (KBAT) katanya, adalah antara inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan pelajar yang bukan saja mampu cemerlang dalam akademik, malah dilengkapi kemahiran lain seperti berkomunikasi dan berfikir di luar kotak.

“P&P yang terkini mampu membantu pelajar bagi tujuan itu, di samping sokongan daripada P&P terdahulu. Gabungan kedua-duanya berpotensi membantu melahirkan pelajar seperti disasarkan KPM.

“Dalam hal ini, bukan pelajar saja yang perlu menerima (pembaharuan), tapi juga guru yang menjadi pelaksana,” katanya.

Jelas beliau, masyarakat perlu memahami kepentingan melakukan anjakan proses P&P dalam sistem pendidikan masa kini bagi memenuhi kapasiti global.

Menurutnya, budaya sosial di sekolah adalah kompleks dan proses P&P perlu dipelbagaikan dengan tidak hanya tertumpu pada satu aspek semata-mata.

Katanya, pemain utama dalam menjayakan P&P adalah guru dan pelajar, sekali gus memerlukan mereka memahami sasaran yang ditetapkan.

“Guru adalah golongan paling penting untuk menjadikan proses P&P berjalan lancar dan mencapai sasaran objektifnya.

“Penting bagi guru untuk kreatif serta mempunyai inovasi bagaimana mahu merencanakan proses P&P ini supaya berjalan lancar,” katanya.

Penulis Peter Hook dan Andy Vass dalam bukunya ‘Confident Peranan Kepimpinan Guru’ (2000) menterjemahkan bahawa peranan guru dalam kelas sebagai satu kemahiran untuk berkomunikasi dengan diri sendiri dan pelajar.

Menurut Dr Mohamed Amin, berdasarkan terjemahan itu, guru perlu terlebih dulu membentuk kemahiran diri dengan keupayaan tertentu sebelum menyampaikan maklumat kepada pelajar.

“Menerusi pemantapan kemahiran ini, kebolehan guru boleh meningkat dalam menyampaikan visi kepada pelajar, menyakinkan dan mempengaruhi mereka.

“Peranan kepimpinan guru yang berkesan memerlukan guru yang memiliki pelbagai kemahiran seperti boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami, mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan berkesan, memahami tingkah laku dan keinginan pelajar, memahami bilik darjah adalah satu sistem dan berkebolehan mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat.

“Semuanya dirangkumi menjadi satu bagi menghasilkan proses P&P yang berjaya dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, dalam dunia pendidikan, guru adalah entiti yang penting peranannya yang bukan sekadar mengetahui sesuatu ilmu, tapi mempraktikkannya dalam P&P di kelas (knowing in action).

“Ada kajian dilakukan penyelidik pendidikan, Linda Darling Hammond pada 2000 menunjukkan kualiti P&P guru boleh melonjakkan lagi kejayaan pelajar.

“Maksudnya, apa yang pelajar dapat bukan bergantung kepada sekolah yang mereka hadiri, tetapi kepada guru yang ada dalam sekolah berkenaan.

“Jelas sekali, guru yang efektif mempunyai pengaruh yang begitu tinggi dalam P&P,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Isnin, 6 April 2015

BAHASA MELAYU NUSANTARA : Bahasa Ilmu, Perdagangan dan Teknologi


Oleh : TAN SRI DR. RAIS YATIM 

JIKA semua negara yang berasaskan bahasa Melayu se­ba­gai bahasa rasmi atau kebangsaannya sepakat di wilayah Nusantara, beberapa cita-cita asas kolektif kebangsaan akan mudah dicapai. Perkara ini yang dibangkit dalam ucapan saya dalam Majlis Dialog Bahasa Melayu Nusantara di Universiti Brunei Darussalam pada 25 Mac 2015. Indonesia dengan bahasa Indonesia (Artikel 36 Perlembagaan Indonesia), Malaysia dengan bahasa Melayu (Per.152); Brunei dengan bahasa Melayu (Per. 82) dan Singapura juga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan (Per. 153A & 153(A)(2).

Dalam konteks kehidupan serantau khasnya bagi etnik rumpun Melayu Austronesian di wilayah ASEAN dan di Kepulauan Melayu, soal bahasa tidak tampak begitu diutamakan. Kebanyakan pihak hanya beranggapan bahasa Melayu itu memang begitu meluas dipakai dalam perhubungan antara negara dan secara domestik. Mungkin ini disebabkan kekangan politik serantau seperti terdapat pada beberapa konsep keserantauan pada masa ini. Kita ada dasar pemasaran ekonomi serantau ASEAN, kerjasama serantau dalam bidang teknologi, pendidikan dan lain-lain. Tetapi tidak ada kerjasama yang kukuh dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa asas di Kepulauan Melayu seperti sebelum tahun-tahun 1950 – 1970-an. Mungkin ini disebabkan tiadanya pada zaman itu unsur-unsur pengaruh seperti yang melanda kita pada hari ini.

Usaha kerjasama kukuh bidang bahasa dalam kalangan negara ASEAN mungkin tidak akan menampakkan buah dalam masa terdekat lantaran susuk dan struktur sosio-politik negara masing-masing khasnya negara-negara selain Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang dalam Perlembagaan nasional masing-masing sedia terkandung provisi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masing-masing.

Seharusnya semua negara yang bertiang serikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia berusaha gigih dalam bidang-bidang berikut:

1 Berjuang menjadikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia (BM/BI) sebagai bahasa ilmu sekalipun bahasa Inggeris telah mendahului BM/BI dalam hal ini. Tanpa usaha ini BM/BI akan hanya berada di kawasan lobi bahasa kedua. Apabila BM sebagai bahasa ilmu direalisasikan, sekali gus ia akan muncul sebagai bahasa pembudayaan atau bahasa kehidupan yang sebenar. Keadaan sekarang apabila BM dan bahasa Inggeris diletak pada paras dwi-bahasa dengan penekanan supaya BI menjadi bahasa ilmu akan terus mengkencundangkan BM kerana nilai ekonomi dan nilai teknologi kepada BM tidak diberi.

2 Usaha membahasa ilmukan BM sukar dilaksanakan oleh sesebuah negara sahaja kerana dunia hari ini adalah dunia pelbagai interaksi (multi interaction and interface). Untuk ini Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei khasnya amat perlu mewujudkan suatu gagasan serantau yang bergerak secara kolektif atau bersekutu dalam bidang peristilahan, terminologi sains dan teknologi serta pemupukan universiti serantau dalam suatu jaringan meningkatkan penyelidikan dan pembudayaan BM di peringkat tertinggi.

3 Kepakaran dalam BM harus berada di dalam wilayah Nusantara dan tidak di Leiden, Hamburg atau negara wilayah lain.

4 Sistem persekolahan kita harus mengambil kira jurusan ilmu yang perlu mengeluarkan buku-buku teks yang berasaskan ilmu. Pengajian peradaban Melayu serta penerbitan jurnal tertinggi dalam bahasa Melayu hendaklah dikendalikan sendiri oleh intelektual Nusantara bukan dan tidak oleh para sarjana di luar Nusantara yang hanya bermegah dengan kendalian ISI (International Science Index), SCOPUS dan pautan-pautan lain yang secara menggila hanya menumpukan perhatian kepada sains serta teknologi tanpa mengambil kira betapa pentingnya sains sosial yang mengandungi semua bahan kemanusiaan.

Pada hari ini bahasa ilmu rata-rata dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun, Perancis, Rusia, Korea dan lain-lain. Penutur-penutur bahasa ini memang boleh berbahasa Inggeris tetapi atas desakan dan kepentingan nasional dan sewilayah, mereka memilih menjadikan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Memang diakui kesukaran utama ialah daya penterjemahan mesti tinggi. Dengan adanya Dewan Bahasa masing-masing di Indonesia, Brunei dan Malaysia aral bayangan ini boleh diatasi. Pokoknya azam perjuangan bahasa dan budaya mesti kental.

Seperkara lagi yang amat penting ialah bahasa Melayu sebagai bahasa komersial atau bahasa dagangan mesti wujud secara meluas. Pada masa ini semua kontrak, piagam, kovenans, hubungan korporat dengan pelanggan dimonopoli bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya kita ada dua laluan bahasa dalam perdagangan – Melayu dan Inggeris.

Ingatkah kita kepada Srivijaya (600–1370?) Bahasa Malayu atau Moloyo (sebutan Cina) ketika itu di Nusantara menggunakan bahasa Melayu. Arab, India, Cina dan lain-lain juga menggunakan bahasa Melayu. Bila Melaka muncul hebat mulai 1403 bahasa Melayu terus utama sebagai bahasa perdagangan dan bahasa peristilahan utama. Bahasa Malayu kuno di Wilayah Kantoli (sebelum Srivijaya), Minangkabau, Dharmasraya semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan dan perhubungan. Palembang, Jambi, Pasai, Aceh, Bugis, Jawa, Kalimantan, Brunei semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pelabuhan dan urus niaga koporat. Kenapa kini kita tak mampu lagi dan mengalah saja kepada keutamaan bahasa Inggeris.

Kita ulangi – kita jangan menolak bahasa Inggeris dalam apa jua jurusan tetapi seperti Cina, Jepun, Korea kita mesti cintai bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Barulah anak cicit kita tidak kempunan kejuaraan bahasa sendiri.

Tanpa keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan, tahap masa depannya tetap jatuh pada kedudukan di bawah. Ketidakupayaan BM sebagai bahasa teknologi juga sedang dirasai kerana usaha masing-masing negara amat terhad dalam hal ini lantaran pembelajaran kita berpusat ke Barat. Mahu tak mahu Barat sedang dan akan terus mempelopori peristilahan sains dan teknologi. Begitu juga dalam bidang matematik. Walaupun orang Islam yang mempelopori sebahagian Algebra, Ibnu Sinna dalam perubatan, pendidikan Barat sudah mengambil alih peranan peristilahan ini. Semenjak Abu Sina meninggal dunia 1038 dahulu, siapa dan bagaimana mereka yang mencipta istilah-istilah perubatan dunia?

Justeru anak bangsa yang lulusan tinggi dari mana-mana universiti Barat harus diraih ke dalam perjuangan mewujudkan kamus peristilahan ke bahasa Melayu. Akan ada yang senyum kambing lalu mendenguskan tak mungkin… sebab kita sudah begitu lama ditinggalkan.

Sebenarnya bukan kita ditinggalkan. Kita sendiri yang meninggalkan bahasa kita. Lihat saja perangai berbahasa kita di universiti, kolej dan pergaulan seharian kita. Dalam satu ayat, barang sudah tentu akan dibingkai oleh perkataan asing… biasanya dari perbendaharaan kata Inggeris.

‘Penyakit’ ditelan bahasa Inggeris ini semuanya tahu dan faham tapi tidak pula tahu akan ubat mujarabnya yang harus dimakan. Penyakit ini harus boleh diubati jika petua Pendeta Zaaba dipatuhi: Dalam kelaziman bahasa Melayu, perkataan Inggeris boleh dipakai tetapi mesti dipastikan terlebih dahulu sama ada perkataan itu ada dalam bahasa kita. Jika ada, bahasa asing itu tak payah digunakan. Jika dalam perbendaharaan kita tidak ada, barulah dipinjam perkataan orang lain, itupun seharusnya melalui proses di Melayukan bunyinya.

Kedua, pada masa ini kita sudah kehilangan latihan sebutan betul atau diksi (diction). Cikgu kita tak mengajar pembudayaan bahasa Melayu lagi. Penulisan sastera kita entah ke mana. Guru sendiri tak bercakap BM versi yang elok dan diterima pakai. Beginilah banyak perkataan Melayu/Indonesia ditendang keluar daripada perbendaharaan kata kita: perkataan “jadi” ditendang oleh “So”, “makan tengah hari” oleh “lunch”, “kenapa” oleh “why”, “kemudian” oleh “then”. Contoh-contoh lain sebenarnya bersepah dan beratus hingga tak terkemas dan tak terkira.

Kursus pembudayaan bahasa Melayu mesti diperjuangkan kembali. Kelas-kelas asuhan bahasa seperti sebelum dan selepas kemerdekaan negara-negara kita amat wajar dipertimbangkan. Penggunaan peribahasa, perumpamaan, pepatah-petitih, bahasa indah, persajakan, pantun, seloka, gurindam dan lain-lain harus diambil berat oleh sistem pendidikan masing-masing. Kerjasma peristilahan serantau semestinya kita perjuangkan kembali. Dengan kemudahan Internet kini, kerjasama ini lebih mudah diadakan dan dipertingkatkan. Kerap kedengaran hujah bahawa bahasa Melayu-bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris sama-sama dimajukan. Elok didengar tetapi realitinya tidak begitu.

Dalam hal ini kita harus tahniahkan Brunei kerana masih bertulisan jawi. Nama jalan, nama bangunan nama taman dan lain-lain masih membudayakan bahasa Melayu dan skrip jawi. Berbahasa Inggeris pandai, berbahasa Melayu pandai lagi. Nama-nama orang di Brunei masih terasa kemelayuannya, keislamannya. Banyak tempat dan resam sekarang di kawasan Nusantara nama Melayu pun sudah keciciran. Ini berpunca daripada kelemahan proses pembudayaan bahasa kita yang kian melemah. Kita tak yakin lagi dengan nama dan institusi asas kita lalu jadi pak turut dan hilang identiti.

Memang, impian kita ialah supaya bahasa Melayu/Indonesia menjadi bahasa serantau ASEAN atau di peringkat antarabangsa sehingga menjadi salah satu bahasa dunia di PBB. Impian ini mesti jangan dimundurkan. Cuma sementara impian itu dikejar, kita langsungkan di peringkat sesama kita, kerajaan masing-masing mesti meyakini keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang serba mampu.

Berbahasa Melayulah dalam mesyuarat. Berbanggalah dengan ungkapan-ungkapan BM. Dalam hal ini, ikut Jerman dan Rusia. Warganya boleh berbahasa Inggeris. Tapi bahasa teknologi dan sains serta bahasa perdagangan mereka adalah bahasa Jerman dan Rusia. Begitu juga Perancis, Cina, Jepun dan Korea. Mereka ada sistem pelajaran yang mengutamakan pembudayaan bahasa sendiri.

Kita harum dari sudut sebutan dan konsep serta dasar tetapi agak meleset di peringkat amalan.

Kemelayuan melalui bahasa di peringkat Nusantara terkenal selama lebih 1300 tahun (600–2015). Persidangan bahasa Melayu di Brunei kali ini mesti berani kembali kepada semangat pangkal milenium itu.


PENULIS ialah Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/( 5 April 2015)

Ahad, 5 April 2015

Belasungkawa: Jamaluddin Jarjis Daripada Ahli Akademik Kepada Diplomat Hebat


KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih dekat sini petang semalam, adalah seorang insan yang memiliki pelbagai bakat istimewa.

Anggota Parlimen Rompin itu, yang akan mencapai usia 64 tahun pada 25 Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari University of Manchester, United Kingdom.

Dua tahun kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Manitoba, Kanada dan pada 1980, beliau menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari University of McGill, Kanada.

Selepas enam tahun menabur bakti dalam bidang akademik, pada 1981 beliau berundur untuk menubuhkan sebuah firma perunding yang membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal dikenali sebagai J&A Associates.

Pada 1986, beliau membeli EPE Power Corporation Berhad dan menyandang jawatan naib pengerusi eksekutifnya sebelum berundur pada 3 Ogos 2000, sehari sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi Tenaga Nasional Berhad, dan selepas itu dilantik sebagai pengerusi TNB pada September 2000.

Dalam arena politik, Jamaluddin memulakan langkahnya dengan menjadi anggota Umno Kampung Mengkasar di Pekan pada 1980 dan menyandang jawatan Ketua Pemuda.

Lima tahun kemudian, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan dan pada 1988 sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang dan anggota Exco Pemuda Umno.

Beliau juga dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2008-2011.

Kali pertama Jamaluddin, yang juga Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), bertanding sebagai calon ialah pada Pilihan Raya Umum 1990 iaitu bagi kerusi parlimen Rompin.

Dalam pertandingan itu, beliau mengalahkan calon PAS, Salim@Ahmad Awg Kalib dengan 13,128 undi majoriti, manakala pada pilihan raya umum lepas (Mei 2013), beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh, dengan majoriti 15,114 undi.

Jamaluddin berundur daripada TNB pada November 2002 setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan Kabinet pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2004.

Tidak sampai dua bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta diberi tanggungjawab untuk menjayakan Program Angkasawan Negara bagi menghantar seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11.

Program yang diumumkan secara rasmi oleh Dr Mahathir pada 2003 itu merupakan program bersama antara Malaysia dan Persekutuan Rusia di bawah program perjanjian timbal balas kerajaan dengan kerajaan melalui pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30MKM untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Misi angkasa lepas pertama Malaysia itu terlaksana dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa lepas pada 10 Oktober 2007.

Pada 2009, Jamaluddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat bertaraf menteri.

Ketika menyandang jawatan itu, beliau memanfaatkan teknologi terkini untuk mendekatkan diri dengan penduduk di kawasan Parlimen yang diwakilinya, walaupun berada jauh di perantauan.

Pada satu majlis di Rompin, Jamaluddin merasmikan program bersama rakyat melalui sidang video dari Amerika Syarikat

Semasa betugas selama empat tahun di Washington, beliau berjaya meletakkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di peringkat paling tinggi dalam sejarah negara ini.

Sebagai duta khas Malaysia di Amerika Syarikat pula, Jamaluddin berusaha gigih untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara dan merintis jalan bagi lawatan Obama ke Malaysia tahun lepas.

Lawatan Obama itu merupakan kunjungan pertama presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun ke negara ini selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 25 Mei 1951, Jamaluddin meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, serta tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

Sumber : http : //www.mstar,com,my/

Rabu, 1 April 2015

ISU BAHASA : Wajib kuasai bahasa kebangsaan


Oleh : SAYED HESHAM IDRIS

IPOH 31 Mac - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah setiap warganegara Malaysia wajib berupaya berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan yang menjadi plaftrom untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Baginda bertitah, adalah tidak bermakna menjadi warga kepada sesebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami malah jauh sekali daripada boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negaranya.

Titah baginda, dasar terbuka terhadap aliran bahasa penghantar di sekolah di negara ini tidak bermakna kerajaan boleh terlepas pandang dalam aspek memastikan setiap rakyat Malaysia dididik daripada alam sekolah supaya boleh menguasai bahasa kebangsaan.

“Warga sewajibnya berupaya berkomunikasi antara satu sama lain untuk meningkatkan perhubungan. Bahasa berperanan penting sebagai saluran komunikasi.

“Untuk itu, setiap sekolah terutama sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tanggungjawab bersama untuk menyemaikan semangat patriotisme dan pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap murid.

“Tiada makna jika sekolah berjaya melahirkan ramai pelajar yang mencapai keputusan cemerlang akademik sedangkan produk yang dihasilkan oleh sekolah sama sekali tidak memiliki pengetahuan asas-asas kenegaraan dan tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan negaranya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Perasmian Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, negara perlu ada platfom yang sama yang dapat menyatukan rakyat sesebuah negara hidup secara harmoni lagi bersatu, iaitu menerusi bahasa.

Lantaran itu, titah baginda, keupayaan berkomunikasi amat pen­ting untuk menjalin perpaduan menerusi bahasa yang berperanan penting sebagai saluran komunikasi.

Baginda bertitah, di dalam negara yang warganya begitu pelbagai seperti Malaysia, perpaduan antara warganya adalah satu kemestian dan wajib dipupuk secara berkesan.

“Untuk itu, sekolah adalah tapak semai pencanaian minda serta taman menyuburkan pembentukan budaya. Sekolah adalah medan yang dapat memupuk persefahaman di antara anak-anak yang berlatar belakangkan pelbagai agama, pelbagai kaum, budaya dan bahasa.

“Sekolah adalah tempat yang boleh mendidik semangat memahami kelainan budaya dan menghormati perbezaan agama. Sekolah turut diharapkan memenuhi peranan menyemaikan semangat patriotisme, memupuk kesetiaan warga kepada raja dan negara,” titah baginda.

Dalam titah perasmian tersebut, baginda turut menyentuh mengenai rakyat golongan miskin dan berpendapatan rendah yang perlu dibela, sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang berpaksikan kepada konsep ‘Rakyat Didahulukan’.

Titah baginda, lantaran itu segala dasar, perancangan dan pelaksa­naan oleh kerajaan wajib mengambil ingatan golongan itu yang paling perlu diberikan pembelaan dari segi perkhidmatan sosial, kebajikan, kesihatan dan perumahan.

Menangani kemiskinan, titah baginda, adalah wajib dilaksanakan oleh kerajaan, juga mengagihkan pendapatan secara adil lagi saksama.

“Khidmat sosial dan kebajikan kepada golongan rakyat jelata terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah akan terus diberikan perhatian.

“Tidak ada rakyat yang harus merasa terpinggir atau dipinggirkan dalam sebuah negara yang di­limpahkan Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai esok dengan menegaskan sistem cukai baharu itu dijangka memberi kesan sementara kepada pengguna.

“Namun Bank Negara berkeyakinan penggunaan pengguna akan meningkat susulan peningkatan pendapatan boleh guna.

“Ini kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada pelarasan menurun harga bahan api yang dijangka berupaya meningkatkan RM7.5 bilion pendapatan boleh guna,” titah baginda.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 31 Mac 2015

Harimau Mati Meninggalkan Belang...


Oleh : TAN SRI RAFIDAH AZIZ

DALAM kehidupan seseorang manusia, pasti akan memberi sedikit-sebanyak kesan semasa hayatnya. Kesan dalam pelbagai bentuk dan ke atas pelbagai pihak.

Ada yang memberi impak sebegitu besar kepada mereka di sekelilingnya, melalui pengaruh-pengaruh tertentu, atau melalui tindakannya semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab, iaitu biasanya semasa memegang sesuatu jawatan atau melaksana sesuatu tugas yang diamanahkan. Ada pula yang memberi impak melampaui batasan masyarakat dan negara sendiri, kerana apa yang dilakukannya memberi kesan kepada dunia amnya.

Sejarah banyak mencatatkan kesan-kesan tindakan individu seperti yang dikatakan itu dari zaman ke zaman.

Ada yang meninggalkan legasi atau warisan, yang menggoncang dunia kerana telah mencetuskan perbalahan dan peperangan seperti Hitler. Begitu juga mereka yang berada dalam kedudukan berkuasa, telah membawa segala yang negatif dan merosakkan, kepada negara dan rakyat mereka. Kebanyakannya didorong oleh ketiadaan kualiti ke­pimpinan, dan kegagalan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ataupun kerana tidak mampu, atau tidak mahu, menggunakan kuasa dengan betul dan baik.

Ada pula yang semata-mata berjaya membawa masyarakat dan negara masing-masing ke arah kemunduran berterusan.

Akhirnya warisan dan legasi mereka hanyalah kesusahan dan kedaifan rakyat, tersisih dari arah aliran dunia yang telah terdedah kepada kemajuan serba bentuk teknologi.

Sebaliknya ada yang diamanahkan untuk memimpin, telah membawa segala kemajuan kepada rakyat di negara mereka, dan membawa serta mendorongkan perubahan-perubahan yang diperlukan, untuk mencapai kemajuan tersebut.

Antaranya kemajuan da­lam pemikiran, supaya tidak dihalang oleh kesempitan dan keusangan. Tetapi sebaliknya sedia menerima apa yang baru dan baik, serta yang membawa kesan-kesan dan hasil-hasil yang positif. Melalui kesan-kesan positif ini wujud generasi baharu masyarakat, yang benar-benar berminda global, dan yang tidak mudah untuk diperkotak-katikkan oleh orang luar. Mereka menjadi peneraju dan penggerak untuk kemajuan dan pembangunan negara mereka serta benteng masyarakat.

Saya sentiasa teringat akan pesanan orang tua-tua se­perti yang diingatkan oleh emak saya iaitu, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Semasa kecil saya berkata kepada emak bahawa seme­mangnyalah manusia apabila mati meninggalkan nama. Emak segera menjelaskan iaitu nama itu buruk atau nama itu baik akan bergantung kepada apa yang manusia itu lakukan.

Apabila dewasa fahamlah saya bahawa ‘nama’ itu berkaitan dengan banyak perkara antaranya:

Apa yang telah dilakukan semasa hidupnya, tidak kira dalam apa jua kedudukan, seperti dalam keluarga dan dalam mana jua bidang masyarakat dan negara

Apa jasa yang dibuat yang dihargai oleh mereka yang menerima kebaikan daripadanya

Sumbangan tertentu yang diberi dalam pelbagai bentuk seperti buah fikiran, pandangan dan cadangan, yang menghasilkan kebaikan dan manfaat

Hasil yang memberi faedah, yang timbul daripada apa yang dilakukan oleh seseorang itu

Pendek kata ‘nama’ itu sama erti dengan ‘reputasi’, dan ‘maruah’. Sama ada reputasi yang baik atau yang buruk. Agaknya untuk lebih berkesan untuk saya fahami, emak menggunakan istilah-istilah sama ada nama yang wangi atau pun nama busuk. Lebih senang untuk saya ingati antara ‘wangi’ dan ‘busuk’.

Memang sebenarnya ‘nama’ yang kita tinggalkan tidak ada kaitan dengan berjela-jelanya gelaran dan pangkat; atau betapa banyaknya akronim ijazah dan kelulusan yang telah diperoleh, atau apa jua yang diletakkan pada hujung nama seseorang itu.

Yang penting ialah, apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan semasa hayatnya oleh individu yang memiliki nama tersebut. Tidak perlu mengejar gelaran, jawatan dan kedudukan, jika niatnya semata-mata untuk ‘menghias’ atau ‘memperkukuhkan’ nama.

Apa sebenarnya yang ada pada nama? Seorang yang putih melepak dan cantik, yang telah diberi nama ‘Hitam’ tidak akan terjejas kecantikannya semata-mata kerana namanya.

Sebaliknya, seorang penyangak dan pemutar belit, tidak akan bertukar menjadi sebaik-baik manusia semata-mata kerana namanya ‘Tulus al Ikhlas!’

Kita semua akan suatu hari pergi menemui Allah Yang Maha Esa.

Sebelum sampai masa tersebut, kita berusahalah sedaya upaya untuk melakar dan mencatat, dan akhirnya meninggalkan nama yang sebaik mungkin.

Tidaklah perlu nama kita dicatat dalam rekod sejarah. Atau dirakam dengan tinta emas.

Memadailah kita menyedari akan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat, dengan peranan-peranan ter­tentu, dan insaf bahawa apabila kita sudah pergi, nama kita diingati oleh mereka yang kita tinggalkan, dalam konteks yang positif, baik dan harum.

Amat rugi jika tidak dapat melakukan apa yang baik semasa hidup, sehingga nama yang kita tinggalkan kelak akan hanya disebut selari dengan apa yang tidak positif dan tidak baik.

Kadangkala semasa kita masih hidup akan ada manusia yang sama ada akan menjulang atau menentang kita; atau sebaliknya mencerca dan membenci kita, iaitu berasaskan penilaian dan motif masing-masing di sekeliling kita.

Tetapi fakta tidak boleh diubah. Yang betul tetap be­tul. Dan yang tidak betul tetap tidak betul. Itulah yang sebenarnya menentukan nama yang kita tinggalkan.Sememang­nya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Penulis pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/