Selasa, 14 Julai 2009

ISU DISIPLIN PELAJAR

Padah apabila gagal mengawal emosi

PERISTIWA lima pelajar perempuan yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah sekolah di Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan dijadikan contoh. Lebih mengejutkan, kejadian pergaduhan dilakukan oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dilihat bersifat agresif menyerang mangsa.

Akibat tindakan mereka yang tidak dapat mengawal emosi, dua daripada lima pelajar perempuan tersebut dibuang sekolah. Dua lagi pelajar dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu manakala seorang lagi digantung persekolahan tiga hari.

Peluang untuk meneruskan persekolahan masih terbuka untuk dua pelajar yang dibuang sekolah. Sekiranya mereka masih mahu meneruskan persekolahan, mereka perlu mengemukakan rayuan untuk tindakan lanjut. Dilaporkan juga, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 506 akta sama kerana terdapat unsur ugutan dalam kejadian itu.

Perasaan cemburu dikatakan antara penyebab kepada pergaduhan. Kedua-dua mangsa dikatakan cerdik, cantik dan disukai guru sekolah. Ini menyebabkan tiga pelajar senior merancang pergaduhan antara kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu.

Tindakan lebih berani dilakukan apabila aksi kejadian melibatkan empat daripada lima pelajar itu yang berpakaian seragam sekolah turut tersebar di laman perkongsian video, YouTube.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka memang wajar untuk menjadi tauladan kepada pelajar-pelajar lain supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, rata-rata pelajar yang terlibat dalam gejala negatif seperti pergaduhan dan buli tidak sedar bahawa ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

Kenyataan beliau perlu diberi perhatian serius kerana masa hadapan pelajar banyak bergantung kepada keupayaan untuk mengawal emosi dan tidak bertindak secara agresif.

Banyak kajian menunjukkan bahawa tindakan seperti buli bermula dengan hanya perbuatan suka-suka dan berseronok. Apa yang sering berlaku ialah peristiwa yang pada mulanya menyeronokkan membawa padah yang buruk kepada mangsa dan pelaku.

Adalah satu yang amat menyedihkan apabila pelajar yang masih lagi berada pada peringkat remaja dan umur yang masih muda terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka disabitkan dengan perlakuan jenayah dan terpaksa melupakan kehidupan sebagai seorang pelajar. Ini tentunya akan memberi kesan buruk kepada diri dan keluarga mereka.

Remaja yang berada di luar alam persekolahan dilihat lebih terdedah kepada masalah sosial dan jenayah. Begitu juga, adalah lebih sukar untuk remaja yang tidak mendapat pendidikan yang baik untuk mempunyai masa hadapan yang cerah.

Seperti mana kenyataan Alimuddin, pelajar perlu berfikir panjang untuk tidak melakukan perkara-perkara yang akan menjejaskan masa hadapan mereka. Secara psikologinya, pada peringkat perkembangan diri, remaja banyak menghadapi konflik. Ini termasuk konflik perhubungan dengan rakan-rakan.

Perasaan cemburu atas kelebihan yang ada pada orang juga wujud. Jika konflik diri ini tidak diurus dengan baik, ia akan membawa banyak kesan negatif. Bertindak balas secara agresif atas ketidakupayaan mengawal emosi seperti membuli ternyata bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli.

Pelajar sekolah yang berada pada tahap remaja memerlukan bimbingan dalam kehidupan mereka. Jika mereka menghadapi konflik diri, mereka boleh mendapatkan bantuan seperti kaunseling, berbincang dengan rakan-rakan dan guru atau mencari hobi yang diminati.

Ibu bapa pula memainkan peranan yang sangat penting memantau perkembangan anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

DR. SAPORA SIPON

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/