Selasa, 12 Oktober 2010

Ramai pemimpin tidak bangga berbahasa Melayu

Datuk Aziz Deraman

KUALA TERENGGANU: Masih ramai pegawai tinggi kerajaan dan swasta serta pemimpin politik tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan ia tuntutan Perlembagaan yang wajib dalam konteksnya memartabatkan bahasa kebangsaan.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman, berkata biarpun penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dibenarkan, penggunaan bahasa Melayu tidak harus dicampuradukkan, bagi memelihara martabatnya sebagai bahasa rasmi.

"Di Malaysia kadangkala orang keliru, termasuk ahli politik yang cuba melihat perbezaan perspektif dan persepsi. Apabila kita kata bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, maknanya faktor bahasa itu sebagai tuntutan perlembagaan harus berada dalam konteksnya sebenar sebagai bahasa rasmi.

"Pada mesyuarat jabatan kerajaan, kementerian, harus meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu ke tempat sepatutnya. Kadangkala pimpinan mesyuarat tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris.

“Pada taklimat pun, semua yang hadir mungkin ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, tetapi penyampaiannya dalam bahasa Inggeris.

“Sikap megah dan bangga terhadap bahasa ibunda itu tidak ada. Apabila kita bercakap mengenai kesatuan, satu negara, agama, bangsa, ketua, dasar dan rukun negara, bahasa juga harus satu iaitu bahasa Melayu.

“Kalau orang faham itu, nescaya kita tidak menimbulkan kekeliruan dan pada masa sama bahasa etnik, daerah dan sukuan masih boleh dipakai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam. Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri.

Beliau berkata, peneguhan sikap terhadap bahasa Melayu termasuk cara menyebut dan menggunakannya dengan betul serta lengkap sopan dan santunnya membolehkan transformasi negara seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan dalam semua aspek dan bukan fizikal semata-mata.

“Kalau ini dapat dilakukan semula (memartabatkan bahasa Melayu), maknanya transformasi yang diminta Perdana Menteri akan berlaku dalam semua bidang, bukan saja dalam institusi, tetapi kehidupan,” katanya.

Sementara itu, katanya, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian serius terhadap papan tanda dan mengenakan tindakan kepada yang ingkar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BAHASA MELAYU TANGGUNGJAWAB PEMERINTAH

Oleh : Teo Kok Seong

Guna pengaruh secara bijak bentuk jiwa nasionalisme rakyat menerusi satu medium


BAHASA dalam sesebuah negara itu sebenarnya adalah akibat atau kesan daripada tindakan pemerintah. Ini tidak sekali-kali bermakna pemerintah yang mencipta sesuatu bahasa itu. Yang dimaksudkan dengan kenyataan ini ialah cara pemerintah bertindak dalam pelbagai cara, terhadap realiti kewujudan sesuatu bahasa itu, banyak mempengaruhi kelangsungan bahasa berkenaan.

Tindakan ini boleh bersifat positif dan berbentuk memartabatkan bahasa berkenaan, melegitimasikannya dan membantu untuk mengembangkannya, manakala tindakan negatif antaranya boleh mengambil bentuk tidak mengendah-kan sesuatu bahasa itu, mengkritik untuk merendahkan tarafnya serta tidak membantu dalam apa-apa jua cara untuk mengembangkannya.

Sehubungan kenyataan ini, segala bahasa bersama-sama dengan penuturnya, sama ada ia bahasa negara, bahasa etnik mahupun bahasa asing dalam sesebuah negara itu, adalah tanggungjawab pemerintah negara berkenaan. Hal ini menjadi lebih nyata apabila kita berbicara mengenai bahasa negara, yang rata-ratanya digunakan bagi menggembleng rakyat negara berkenaan untuk pelbagai tujuan kenegaraan.

Antaranya termasuklah untuk menyatupadukan rakyat, memupuk semangat kebangsaan, selain menjadi wahana kemajuan negara.


Dalam kes begini, bahasa Melayu selaku bahasa negara, yang mendukung peranan penting sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, adalah hasil, kesan dan akibat daripada tindakan pemerintah, lebih-lebih lagi pemimpinnya.


Tindakan pemerintah ini turut merangkumi pelbagai institusi kerajaan, misalnya sistem pendidikan dan bidang perundangan. Dengan kata lain, kemajuan bahasa Melayu terletak sepenuhnya pada pemerintah, melalui tindakan yang diambil, misalnya memastikan kuantiti dan kualiti penggunaannya dalam bidang penyiaran senantiasa tinggi.


Identiti nasional, yakni keperibadian rakyat sesebuah negara itu, selalunya dikaitkan dengan bahasa negara, lebih-lebih lagi kalau bahasa negara itu adalah simbol etnonasionalisme kebangsaan.

Sebagai contoh bahasa Melayu sebagai citra Malaysia dari segi salasilahnya adalah negara Melayu pada mulanya dan sebagai negara teras Melayu pula apabila kemudiannya menjadi majmuk. Dalam konteks simbolisme begini, sudah tentu bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan saja lebih sesuai, tetapi tetap relevan digunakan untuk mengungkapkan etnonasionalisme Malaysia sepanjang zaman.


Nasionaliti, iaitu hak untuk dianggap sebagai rakyat sesebuah negara itu, juga selalunya dikaitkan dengan bahasa negara. Justeru, adalah ganjil kalau rakyat sesebuah negara itu mengungkapkan nasionaliti mereka dalam bukan bahasa negara. Dalam konteks ini, bukan saja asing sifatnya, tetapi sama sekali tidak kena pada tempatnya, sekiranya ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahasa Melayu dan nasionaliti Malaysia itu diungkapkan oleh mereka dalam bahasa lain, sama ada bahasa etnik mereka ataupun salah satu bahasa antarabangsa, seperti bahasa Inggeris.


Sebenarnya terdapat hubungan menyaling antara pemerintah dengan bahasa dalam sesebuah negara itu. Dalam kebanyakan kes, bahasa yang diangkat menjadi bahasa negara, sebenarnya didapati sudah lama wujud dalam negara tersebut, sebelum ia digunakan untuk tujuan mobilisasi politik, yang antaranya untuk membentuk negara moden yang berdaulat.


Hal begini ikut berlaku pada bahasa Melayu, yang menjadi lingua franca di rantau ini untuk beberapa abad lamanya, selain menjadi bahasa negara untuk tujuan pemerintahan oleh Kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah. Ia ikut digunakan bukan saja untuk menyatupadukan kaum Melayu, tetapi juga bagi memperteguhkan semangat kebangsaan mereka, untuk menentang pihak penjajah, bagi membebaskan negara daripada cengkaman Inggeris.


Dalam kes bahasa Melayu, apabila dan setelah mencapai kemerdekaan, pemerintah perlu memanipulasikannya secara positif, yakni menggunakan pengaruhnya dengan cara yang bijak, supaya ia dapat dengan berkesan, membentuk rakyat daripada semua sektor dan lapisan agar betul-betul berjiwa nasional. Ini dilakukan antaranya dengan menyalurkan nilai nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dengan meng-gunakan bahasa Melayu.


Untuk mencapai tujuan dan memperoleh hasil ini, pemerintah perlu senantiasa mengurus bahasa negara itu dengan baik supaya dapat mendokong fungsi kemasyarakatan ini, mengabsahkannya agar selalu relevan dengan peredaran masa, selain mempertingkatkan wajanya sekiranya fungsi yang sepatutnya didukungnya itu didapati tidak terlaksana dengan sempurna.


Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/