Rabu, 7 Mac 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : SBPA: Berita baik untuk penjawat awam esok?


KUALA LUMPUR - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), esok.

Najib dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan bahawa Datuk Omar Osman, Presiden Cuepacs, badan yang menjadi payung kepada kesatuan-kesatuan sektor awam, yang akan berucap pada majlis itu, memberi petunjuk jelas bahawa ia mungkin memberi tumpuan kepada skim SBPA yang disemak semula.

Walaupun beberapa penganalisis melihat skim SBPA sebagai "durian runtuh" untuk penjawat awam, pelaksanaannya merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat moden.

Skim itu, yang bermatlamat menyediakan ganjaran yang lebih baik dan berdaya saing kepada penjawat awam serta mengurus tarikan bakat, pengekalan dan pemacu dalam perkhidmatan awam, merupakan sebahagian daripada pelan transformasi Najib bagi meletakkan asas ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Pada mulanya, Najib telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika beliau membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih tinggi.

Skim itu, yang dijadual dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini, ditangguhkan selepas CUEPACS membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah.

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Perdana Menteri mengambil tindakan tepat pada 12 Januari apabila beliau meminta supaya skim itu disemak semula.

Satu pasukan petugas khas diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dibentuk bagi mengkaji kelemahan yang dikatakan wujud dalam skim yang dicadangkan itu.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia telah dapat membereskannya lebih awal daripada yang diduga.

Penyelesaian bagi isu yang hangat ini memberi kelegaan kepada kakitangan yang terjejas, yang mana, seterusnya ia mungkin memberikan kesan positif berganda di mana empat juta orang lagi akan mendapat manfaat jika anggaran kasar empat tanggungan bagi setiap pekerja digunakan.

Sesungguhnya, ia akan menjadi durian runtuh jika mereka juga mendapat bayaran tunggakan kerana Cuepacs meminta supaya pakej gaji SBPA yang disemak semula berkuatkuasa daripada tarikh pelaksanaan asal iaitu 1 Januari walaupun ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, bukan hanya penjawat awam yang mendapat faedah di bawah program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini. Pada akhirnya, mereka yang berada dalam sektor swasta, terutama yang berada di peringkat rendah, juga akan menikmati faedah kerana kerajaan juga sedang menumpukan usaha bagi melaksanakan dasar gaji minimum.

Dasar yang dicadangkan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.2 juta kakitangan sektor swasta. Sementara begitu banyak perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan bagi dasar sedemikian, perlu diingatkan bahawa teras utama ialah bagi menyediakan gaji yang memuaskan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Kesimpulannya, semua ini adalah sebahagian usaha di bawah orientasi kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" di bawah pentadbiran Najib bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih baik. - Bernama.

ISU EKONOMI : Lipat ganda usaha cari kekayaan


Oleh Mohd Ali Muhamad Don
bhagama@bharian.com.my


SENARAI 40 individu terkaya di Malaysia bagi 2012 yang dilaporkan oleh majalah kewangan dan perniagaan Forbes, baru-baru ini sudahpun diketahui umum. Daripada 10 individu yang menduduki senarai teratas, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berada di tempat ketujuh sekali gus satu-satunya individu Muslim yang tersenarai sebagai 10 orang terkaya di Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa umat Islam masih jauh ketinggalan dari aspek pemilikan kekayaan harta duniawi. Walaupun ia bersifat sementara tetapi sebenarnya sangat signifikan dalam memelihara maruah agama dan peradaban Islam sejagat.

Justeru Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan juga kemewahan hidup di dunia, dalam masa sama perbuatan meminta-minta dan terlalu berharap kepada orang lain adalah ditegah lagi memalukan.
Malah dengan pembabitan setiap Muslim dalam pelbagai profesion yang dihalalkan, umat Islam berupaya keluar daripada kancah kemiskinan yang kemungkinan merosakkan akidah dan kepercayaan mereka.

Dari Hakim bin Hizam ra, katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta).

Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta) Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”

Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai status hidup mewah ataupun sekurang-kurangnya berada di atas paras kemiskinan bagi melaksanakan tuntutan agama yang berkaitan dengan aspek kewangan dan punca pendapatan yang kukuh.

Dengan memiliki harta melebihi paras nisab, umat Islam berupaya untuk menunaikan zakat yang diwajibkan. Ia sekali gus dapat dimanfaatkan oleh asnaf yang memerlukan dalam usaha untuk mengubah taraf hidup mereka.

Golongan miskin misalnya boleh diberikan bantuan zakat untuk memulakan perniagaan yang akhirnya apabila beroleh keuntungan, mereka pula berkewajipan membayar zakat harta yang difardukan.

Kaedah seperti ini jika berjaya dilaksanakan dengan sistematik boleh menjadikan mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Islam.

Kewajipan menunaikan fardu haji juga turut tertakluk dengan syarat memiliki tambang perjalanan pergi dan balik juga sara hidup bagi orang di bawah tanggungan yang berada di tanah air.

Tanpa sumber pendapatan yang kukuh pasti sukar untuk melaksanakannya. Ini di tambah lagi dengan situasi ekonomi semasa yang memungkinkan pertambahan kos bagi menunaikan fardu haji dari setahun ke setahun.

Selain itu terdapat juga galakan agama yang berkaitan dengan harta seperti sedekah, hibah, wakaf dan lain-lain. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi pasti sukar untuk melaksanakannya.

Malah boleh jadi umat Islam terdedah pula kepada aktiviti pinjaman haram akibat tidak cukup pendapatan bagi menyara keluarga dan kehidupan seharian.

Untuk bergelar hartawan Muslim pastinya tidak mudah. Segala peraturan dan ketetapan syariat mesti dipatuhi agar segala aktiviti ekonomi dan pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadat dan beroleh keberkatan daripada-Nya.

Antaranya niat kena benar, kegiatan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak memudaratkan. Setiap Muslim juga tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab agama seperti solat dan menunaikan zakat dalam mengejar kemewahan.

Begitu pula nilai akhlak Islam seperti jujur, amanah dan bertimbang rasa perlu sentiasa menjadi perhiasan diri. Sikap buruk seperti sombong dan mementingkan diri sendiri hendaklah dijauhi dalam usaha merapatkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya.

Kalangan hartawan Muslim turut diseru supaya tidak lokek membantu usaha kemasyarakatan seperti sumbangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, juga rumah kebajikan dan anak yatim.

Dengan cara ini mudah-mudahan segala punca rezeki akan dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT malah jika diperkenankan boleh saja dikurniakan rezeki tanpa disangka-sangka.

Salah faham terhadap pemilikan harta dan kemewahan dunia juga perlu ditangkis. Ini kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak memahami hakikat sebenar zuhud sehingga kelihatannya mereka seperti orang yang tidak punya apa-apa sedangkan mampu untuk mengadakannya. Perbuatan menolak dunia secara total seperti ini tidak bertepatan dengan kehendak Islam sebenar yang akhirnya mengundang pandangan serong terhadap Islam.

Asas yang perlu dititiberatkan adalah memenuhi keperluan untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungan dengan niat ibadat tanpa menunjuk-nunjuk dan membazir.

Dari Abu Ishaq dari Abu Ahwash dari ayahnya berkisah: ‘Pada satu hari aku datang kepada Rasulullah SAW, ketika Baginda melihatku memakai pakaian compang camping, maka Baginda bertanya padaku: “Adakah kamu masih mempunyai harta?” Jawabku: ‘Ya, aku masih mempunyai semua jenis harta yang diberikan Allah padaku’.

Sabda Baginda: “Bila kamu mempunyai harta, maka hendaklah kamu memperlihatkan nikmat Allah itu dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Nasai’e)

Perlu juga difahami skop kaya dalam Islam terlalu luas. Ia tidak hanya terhad kepada aspek materialistik dan kebendaan saja. Kaya ibadah, kaya budi pekerti dan kaya senyuman juga perlu diusahakan.

Apalah gunanya harta dan kemewahan yang ada jika bersikap buruk seperti sombong dan membanggakan diri. Perangai buruk seperti ini pastinya merugikan memandangkan harta adalah milik mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan Maha Berkuasa pula untuk mengambilnya pada bila-bila masa.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru.

ISU SOSIAL : Malaysia 19 paling aman di dunia


Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my


Penurunan indeks jenayah negara 11 peratus mampu tingkat keyakinan pelabur

KULAIJAYA: Penurunan indeks jenayah sebanyak 11 peratus yang direkodkan tahun lalu membolehkan Malaysia diiktiraf oleh Indeks Keamanan Global 2011 sebagai antara negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara serta berada pada tempat ke-19 daripada 153 negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu adalah hasil tindakan proaktif polis dan agensi berkaitan menangani jenayah hingga berhasil mencatatkan penurunan melebihi sasaran lima peratus.

“Pencapaian ini diiktiraf secara global apabila Indeks Keamanan Global 2011 meletakkan Malaysia di tangga 19 daripada 153 negara di dunia berbanding tempat 26 pada 2009. Hasilnya menyebabkan masyarakat antarabangsa semakin yakin melabur yang menyaksikan pelaburan asing meningkat sebanyak RM33 bilion tahun lalu, mengatasi RM29 bilion yang dicapai sebelum kekangan ekonomi dunia pada 2007,” katanya semalam.

Beliau berucap pada Perasmian Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012 dan Lawatan Kerja Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di perkarangan bangunan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), di sini. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Muhyiddin juga berkata, tugas mengurangkan kadar jenayah tidak hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya rakyat memainkan peranan penting memelihara keselamatan awam dan individu supaya selamat daripada jenayah.

“Pembabitan masyarakat setempat adalah kritikal dalam memberi petunjuk dan penambahbaikan usaha menangani jenayah. Perkongsian pintar antara polis dan anggota awam melalui platform seperti RELA dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) adalah batu loncatan penting menjayakan usaha memerangi jenayah. Namun, dalam keghairahan mengurangkan kadar jenayah, Malaysia hendaklah menjadi negara yang sentiasa mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman bandar raya New York mengurangkan kes jenayah setiap 100,000 penduduk daripada 6,363 pada 1990 kepada 3,099 kes pada 2000 menunjukkan penambahbaikan drastik itu tidak mustahil dilakukan di Malaysia.

“Saya mahu petugas SRS dan ahli persatuan penduduk untuk turut sama terbabit dalam usaha memerangi jenayah demi menjaga kesejahteraan negara,” katanya.

Mengulas Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012, Timbalan Perdana Menteri berkata, 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menerima peruntukkan berjumlah RM26.1 juta untuk melaksanakan langkah impak tinggi menerusi Program Bandar Selamat.

Ia membabitkan pengasingan laluan pejalan kaki daripada laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan, penggera keselamatan dan pemetaan sistem maklumat geografi (GIS) jenayah.

Beliau berkata, pengurangan jenayah di Johor jauh lebih baik berbanding kadar pengurangan purata negara yang masing-masing sebanyak 7.7 dan 10.2 peratus bagi jenayah jalanan dan jenayah berat.

“Namun, kerajaan belum berpuas hati dan akan terus mempergiatkan langkah Program Bandar Selamat. Oleh itu, 108 CCTV, 965 lampu jalan serta 1,500 tempat letak motosikal berkunci sedang giat dirancang di sekitar bandar seluruh Johor tahun ini.

“Rekod prestasi negara maju menunjukkan pusat bandar akan membentuk nadi ekonomi berpendapatan tinggi. Oleh itu, persekitaran bandar selamat dan tenteram mampu menarik penduduk berkemahiran tinggi untuk merebut peluang pelaburan dan pekerjaan,” katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : PABM bukan sekadar mencari juara


Oleh NAZMIL NASIRUDDIN dan HASHNAN ABDULLAH

BANYAK usaha dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat dalam negeri mahu pun di pentas antarabangsa. Tentunya usaha itu sesuai dengan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri yang pernah melalui zaman kegemilangannya. Imbauan saudagar-saudagar fasih berbahasa Melayu lantaran kerap berurusniaga dengan pusat perdagangan seperti Melaka, Riau, Damak, Pattani waima pesisir pantai yang menghubungkan China, Parsi dan Asia Tenggara menggambarkan kehebatan bahasa Melayu.

Segala-galanya diriwayatkan di dalam kitab-kitab Melayu. Bukan sahaja Melayu terkenal dengan kehebatan dunia komersialnya malah bahasa Melayu turut dipertuturkan secara meluas sehingga menjadi lingua franca di rantau ini. Tentunya dalam kepesatan dunia sains dan teknologi termasuk kegilaan manusia terhadap teknologi maklumat menimbulkan kebimbangan akan susutnya nilai bahasa Melayu terutama di mata dunia. Apatah lagi dalam keadaan generasi muda yang lebih mudah hanyut dalam bahasa ciptaan mereka sendiri sehingga timbul persoalan di mana hala tuju bahasa Melayu di kalangan orang muda.

Penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri sejak 2007 antara jawapan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu baik di peringkat nusantara mahupun antarabangsa. Tentunya menarik perhatian apabila melihat wajah-wajah bukan Melayu fasih berbahasa Melayu walaupun ada lenggok Indonesia. Selepas lima kali diadakan, PABM edisi keenam kini sedang rancak menjalani proses saringan dengan jumlah penyertaan meningkat setiap tahun. Seramai 72 peserta dari 67 negara berentap mempamerkan bakat berpidato masing-masing dalam bahasa Melayu untuk 2012.

Namun timbul persoalan sejauh mana kesan PABM terhadap kedudukan bahasa Melayu itu sendiri, atau PABM sekadar mencari juara tanpa ada usaha selanjutnya untuk menjadikan bahasa Melayu dihormati.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui Utusan Malaysia menarik perhatian tentang matlamat sebenar PABM anjuran kementeriannya selain melibatkan beberapa kementerian lain.

Secara jelas beliau menegaskan betapa PABM bukan sekadar mencari juara berpidato dalam bahasa Melayu. Justeru jika ada mana-mana pihak bertanggapan bahawa penganjuran PABM berkisar kepada soal mencari juara, maka sisihkah persepsi tersebut.

PABM, kata beliau, adalah untuk mempopularkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di mata dunia, oleh itu tidak timbul soal siapa juara.

Langkah itu menurut Mohamed Khaled terbukti apabila pihak penganjur memudahkan format pertandingan supaya peserta melihat PABM sebagai satu peluang untuk mereka (khususnya peserta antarabangsa) menonjolkan kemahiran berpidato dalam bahasa Melayu.

"Secara tidak langsung, langkah itu akan menarik lebih ramai pelajar di negara luar untuk menggemari dan memilih subjek Bahasa Melayu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing disebabkan adanya pertandingan seperti ini." katanya.

Umpama serampang dua mata, penganjuran PABM dilihat oleh Mohamed Khaled secara tidak langsung dapat mempromosikan bahasa Melayu apabila para peserta pulang ke negara asal dan menyebarluaskan keindahan bahasa Melayu kepada rakan-rakan terdekat.

Malah, katanya, apabila orang bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik tentunya dapat merangsang keinginan mereka untuk belajar bahasa Melayu lantaran ia tidak sukar seperti yang disangka.

Perkembangan terbaru menunjukkan kesan meluas PABM apabila lima negara baru iaitu, Arab Saudi, Greece, Mongolia, Montenegro dan Republik Madagascar turut menghantar wakil.

''Penyertaan negara-negara itu menunjukkan betapa luasnya pengajaran subjek Bahasa Melayu di universiti di seluruh dunia.

''Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengangkat martabat bahasa Melayu khususnya melalui acara tahunan PABM itu mencapai sasaran dan objektifnya," katanya.

Sehingga kini terdapat lebih 140 buah IPT yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu di lebih 50 negara seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Rusia, India, United Kingdom (UK), Belanda, Jerman, Mesir, Iran dan Pakistan.

Mengupas perkembangan PABM terutamanya untuk lima edisi sebelum ini, beliau mendapati keupayaan para peserta bagi kategori antarabangsa dalam menguasai Bahasa Melayu cukup hebat.

''Dalam hanya dua ke tiga tahun sahaja mereka telah fasih berbahasa Melayu. Apa yang paling penting mereka bukan sahaja bercakap dalam bahasa Melayu tetapi juga berfikir dalam bahasa Melayu," ujarnya.

Mohamed Khaled memberitahu, penilaian yang dilakukan mendapati pola pemilihan pengajian Bahasa Melayu terarah kepada negara-negara yang sedang membangun dan sedang meningkat maju khususnya di negara-negara Balkan, Eropah Timur dan bekas jajahan Soviet Union.

Bukan itu sahaja, pihak kementerian turut menerima permintaan untuk mempelajari bahasa Melayu yang amat membanggakan daripada pelajar-pelajar China.

"Saban tahun penyertaan meningkat dan kebolehan mereka juga bukan calang-calang. Mereka cukup bersedia dengan tajuk yang dipilih," katanya.

Begitu juga dengan konsep juri PABM yang dilihat mendorong minat untuk mengetengahkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, juri dipilih oleh Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (Madum) di mana jawatankuasa bersetuju menetapkan setiap sesi pertandingan, tiga daripada tujuh juri mestilah warga asing.

Mereka terdiri daripada profesor, pensyarah dan pakar bahasa Melayu di IPT di luar negara.

Juri dalam negara pula terdiri daripada profesor, pakar-pakar bahasa, personaliti dan bekas pemidato ternama dalam negara yang menjadi ahli Madum. Tentunya penganjuran PABM bukan sekadar mengasah kemahiran berpidato dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Mohamed Khaled menyifatkan penganjuran PABM itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan juga hab pengajian tinggi di mata dunia.

"Negara kita bukan sahaja akan dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan tetapi juga destinasi pendidikan atau pengajian tinggi yang disegani," katanya.

Perkembangan itu dapat dilihat apabila sebahagian peserta memohon melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di negara ini.

"Bukan sahaja dalam pengajian bahasa Melayu tetapi juga dalam pelbagai bidang dan lapangan lain," katanya.

Selain itu, katanya, sebahagian daripada mereka juga akan kembali ke negara ini untuk melancong bersama keluarga dan rakan-rakan disebabkan kagum dengan panorama dan juga kemesraan rakyat Malaysia berdasarkan pengalaman yang dilalui bersama keluarga angkat di sini.

"Lebih-lebih lagi dengan penglibatan pihak Tourism Malaysia yang menjalin perkongsian pintar dengan pihak kementerian sejak PABM diperkenalkan dengan menyediakan program pelancongan yang berstruktur sepanjang peserta berada di negara ini.

"Para peserta secara tidak langsung akan menjadi duta kecil negara kita apabila mereka kembali ke negara masing-masing untuk mempromosi keindahan Malaysia di samping keharmonian masyarakatnya yang berbilang kaum, latar belakang dan agama," ujarnya.

Jika peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan johan bagi Kategori Antarabangsa dan Kategori Nusantara pula diungguli peserta negara, Amiruddin Abd. Rahman, peserta mana pula yang berjaya mencuri tumpuan juri bagi dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini? Sama-sama kita saksikan kemuncak PABM malam ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 46,712 lulus, 12 calon dapat 5A STPM 2011


KUALA LUMPUR - Seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding 46,795 (92.5) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata 12 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.

Pada umumnya, prestasi calon tahun 2011 adalah sama dengan tahun 2010, di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) adalah sama, iaitu 2.22, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini hari ini.

Pada tahun 2011, seramai 298 calon (0.59 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 343 calon (0.68) pada tahun sebelumnya.

Seramai 50,669 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar. Katanya bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 948 orang atau 12.64 peratus berbanding hanya 93 (6.14) pelajar luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran Sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah 357 orang (14.2) berbanding hanya 11 (12.64) luar bandar manakala bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 591 (11.85) berbanding hanya 82 (5.75) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu PNGK sekolah kerajaan pada tahun lalu ialah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2011, sebanyak 52 buah sekolah mencapai PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 47 sekolah pada tahun sebelumnya dan 55 sekolah pada 2009. Mohd Noh berkata daripada 12 calon yang mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran, lima mencapai Gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Katanya terdapat tiga calon istimewa, iaitu kategori cacat penglihatan yang memperoleh 1A, 1A- dan 2B, rabun (3A dan 1A-) dan spastik (3A dan 1A-), cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seorang pelajar terbaik dari luar bandar yang mendapat keputusan 4A dan 1A-.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati tiga mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Bahasa Arab (4.1 peratus), Sejarah (3.8) dan Perakaunan (3.68) berbanding pada tahun sebelumnya manakala empat mata pelajaran menurun prestasinya iaitu Syariah (-2.02), Pengajian Am (-3.4), Pengajian Perniagaan (-4.06) dan Further Mathematics T (-12.73) berbanding pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 16 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus. Daripada segi penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, Mohd Noh berkata 98.1 peratus calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lalu berbanding 97.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) Akhir Tahun 2011 meningkat, iaitu sebanyak 46.8 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik, berbanding 41.81 peratus pada MUET Pertengahan Tahun 2011.

Mulai tahun ini, MPM menawarkan ujian MUET sebanyak tiga kali setahun iaitu sesi Mac, Julai dan November. Pada majlis itu, Mohd Noh menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2011, masing-masing bagi MUET Pertengahan Tahun 2011 dan MUET Akhir Tahun 2011. Mereka ialah Nicholas Tan Ooi Kiat dari SMK Cochrane, Kuala Lumpur dan Joy Lee Xing Pei dari SMK Tinggi Kluang, Johor, kedua-duanya memperoleh Band 6. - BERNAMA