Isnin, 2 Januari 2012

BELASUNGKAWA : Hilangnya ‘pahlawan’ ekonomi


Oleh Hasliza Hassan

Salleh syor kerajaan perkenal Bursa Saham Islam

BERITA pemergian bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), kini Bursa Malaysia, Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, 62, yang meninggal dunia jam 10.20 pagi semalam, hanya selepas dua hari 2012 menjengah, adalah khabar sedih kepada negara yang kehilangan tokoh ekonomi dikagumi.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kanser yang disahkan doktor pada tahap empat. Beliau yang turut menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu dan perlu menjalani dialisis dimasukkan ke HKL, Rabu lalu.

Pendekatan menterjemah segala permasalahan atau isu ekonomi kompleks menggunakan bahasa ringkas serta mudah difahami semua peringkat golongan dan pelbagai latar belakang, menjadikan Salleh, tokoh ekonomi yang dirujuk pelbagai pihak.

Apa saja dikaitkan dengan ekonomi atau setiap kali isu mengenai ekonomi dibangkitkan, pandangan anak jati Selangor itu sentiasa menjadi perhatian. Malah, kesediaan beliau menjelaskan pelbagai isu menjadikannya tokoh disenangi, khususnya wartawan untuk mendapatkan maklum balas.

Dilahirkan pada 11 Julai 1949 di Ulu Klang, Allahyarham kehilangan bapa ketika berusia tiga tahun, banyak menghabiskan masa bersama datuknya dan keadaan itu mengajar beliau menjadi insan berdikari.

Salleh memulakan pendidikan di Sekolah Melayu di Ulu Klang dan kemudian berpindah ke Sekolah Lelaki Batu Road sebelum melanjutkan pendidikan peringkat menengah di High Street School, Jalan Bandar (kini Sekolah Menengah Setapak).

Beliau melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang perniagaan di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan sebagai pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), menyambung pengajian bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Ohio serta Universiti Northern Illinois. Tamat pengajian, beliau bertugas sebagai pensyarah di ITM dan kemudian dilantik memegang jawatan Ketua Kajian Kursus Perniagaan.

Pada 1978, beliau berkhidmat di syarikat pengurusan pembinaan dan bidang tugasnya ialah melatih Bumiputera muda cara menguruskan syarikat.

Kemahirannya diperakui apabila beliau diminta menyediakan pelan pemasaran bagi kempen saham amanah kebangsaan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), sebahagian usaha kerajaan mendidik Bumiputera ilmu pelaburan.

Sikap ‘semua boleh’ ditunjukkan Allahyarham, khususnya kejayaan menjual saham yang pada masa itu ramai tidak faham kepentingan serta keuntungannya melalui siri penerangan, membolehkan beliau dilantik sebagai Pengurus Besar ASNB pada 1982.

Pada September 1984, pada usia 34 tahun, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar BSKL dan ketika itu, krisis ekonomi menjadikan keadaan tidak ketentuan. Bagaimanapun, di sebalik kritikan diterima, beliau dan pasukannya berjaya mengharungi saat sukar.

Usaha serta komitmen berterusan itu juga melonjakkan karier beliau yang dipilih sebagai Presiden BSKL pada 1996. Berkat kesungguhan serta usaha dilakukan selama hampir dua dekad, BSKL berjaya mencapai piawaian antarabangsa.

Allahyarham bersara daripada BSKL pada 1 Mei 2003. Namun, hakikatnya tidak pernah bersara daripada tugas meningkatkan kefahaman mengenai ekonomi dan pelaburan kepada umum. Komitmen beliau mendidik masyarakat bagaimana membuat pelaburan diteruskan.

Semua ilmu dan maklumat disebarkan melalui penulisan di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan Business Times, selain menjadi tetamu jemputan program televisyen.

Di sebalik kesibukan kerjaya, beliau masih meluangkan masa melakukan aktiviti riadah kegemaran iaitu memancing. Memancing katanya mengajar erti kesabaran. Beliau turut meminati motosikal besar, minat yang dikongsi bersama datuknya.

Memetik nasihat beliau dalam wawancara disiarkan dalam Malaysian Business terbitan 1 Jun 2003, yang boleh dijadikan renungan khususnya kepada generasi muda: “Orang muda hari ini tidak sabar. Mereka gagal menyedari tiada ganti kepada pengalaman. Tidak salah melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah belajar daripada kesilapan itu. Selalu percaya kepada Allah dan jujur dalam setiap apa dilakukan.”

Selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.

“Tiada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara ketika krisis 97/98, yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka,” katanya dalam satu ruangannya.

Allahyarham bersama rakan di sebuah syarikat perunding kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan Bursa Saham Islam di negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/