
Oleh : M. JASNI MAJED
SAUDARA  Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan  penuntut sekolah’ Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh  tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar  yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan  peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.
  Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang  dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai  sekarang.
     Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan baru,   cuma pendekatannya   berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak  merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam,  tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah  berlaku dan masih dalam ruang lingkup   sama iaitu salah laku  membabitkan pihak tersebut. 
Krisis  nilai  dalam kalangan anak-anak muda kini membimbangkan  pelbagai pihak.  Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak  mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut  bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.
Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita  membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih  di bangku sekolah.  Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut  mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika  kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan  yang mereka lakukan.   
           
  Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk  jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka  sudah dipengaruhi   norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani  kehidupan harian dan menempuh masa depan.
Segala kemelut  ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan  penekanan nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang  membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan  dengan segala macam cabaran di luar kelak.
Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni  termasuk  Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini  dirasakan sudah cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan  sahsiah.
Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas)  sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni  di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera  baik prosa moden dan tradisional,  puisi, novel dan drama menyelitkan  pelbagai nilai murni yang boleh digarap   pelajar.
Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi  penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap  nilai murni yang disogokkan kepada mereka lewat karya sastera kemudian  diterjemah dalam kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian  seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk  pelajar menjadi insan   mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu,  tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.
Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan    pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada  pelajar   enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi  masa mereka dengan perkara berfaedah.
Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa  sekiranya ada pelajar   memandang rendah kepada setiap peraturan yang  ditetapkan di sekolah.  Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa  yang selalu menyebelahi anak mereka walaupun anak   ternyata melanggar  peraturan sekolah.
Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah  tidak akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan  imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina  sahsiah pelajar.
Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai  salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan  dan sebagainya kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan   sedia  ada di negara kita.
Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah  kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita  pernah mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru  dan sebagainya yang   memperlihatkan  bahawa jenayah dan salah laku    bukan hanya dilakukan   orang dewasa, malah     golongan yang sedang  menimba ilmu pengetahuan.
Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan  pelajar dalam aktiviti yang   ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang  mereka daripada melakukan pelbagai salah laku.
Persoalannya, mengapa ada antara mereka   yang masih tergamak  melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta  benda sekolah, terbabit dadah dan jenayah lain?
Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau  memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka  liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.
Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan  terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka  lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek  yang  mereka pelajari.
Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu,   jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga   tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus   guru    mengajar mereka.
Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya  mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran    positif ke arah kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.
Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang  boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup.  Selain ibu bapa dan masyarakat  sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu  diberi perhatian   lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem  pendidikan ke arah melahirkan insan   lebih bijak menilai mana kaca dan    permata.
Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari   sistem pendidikan kita  condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu  penghalang pembentukan sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana  sampai kini kita masih melaung-laungkan perkara   sama sedangkan sudah  lebih 30 tahun perkara ini   diungkit.
Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya  kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di  negara kita.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/