Jumaat, 6 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelajar tingkatan enam sudah tak sesuai pakai baju sekolah


Oleh : Azman Anuar

SESIAPA yang pernah menjadi pelajar Tingkatan Enam pasti ada menyimpan perasaan malu ketika berpakaian seragam sekolah dalam usia 18 -20 tahun ketika itu.

Pakaian sekolah inilah antara faktor yang tidak merangsang ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi kurikulumnya yang mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak ikut sistem semester, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi soal berpakaian seragam sekolah dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Selepas meninggalkan Tingkatan Enam kira-kira 30 tahun lalu, saya lihat pakaian baju putih, seluar panjang hijau tua bagi lelaki dan baju kurung putih dan berkain biru laut bagi perempuan - masih melekat di tubuh pelajar 'dewasa' sekolah menengah sampai sekarang.

Mereka juga ada perasaan untuk bergaya. Tetapi kepada pelajar yang sudah memasuki usia remaja, mereka diwajibkan berpakaian seragam itu untuk ke kelas.

Apabila melihat rakan sebaya yang menuntut di pusat asasi, matrikulasi atau kolej universiti serta institut pengajian yang menawarkan sijil pun - mereka berpakaian biasa. Kalau ada pakaian seragam pun tidak sama dengan pakaian sekolah.

Persepsi pelajar tingkatan enam macam budak-budak sekolah sedikit meruntun rasa hati kecil  mereka. Tapi itulah yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tingkatan enam diwujudkan lagi.

Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu. Perubahan zaman pantas berubah dan bertukar penampilan. Namun dalam usia remaja sedemikian, mereka merasa malu masih dilihat seperti pelajar tingkatan lima ke bawah.

Ubahlah dasar pakaian sekolah bagi membenarkan pelajar tingkatan enam berpakaian kemas sebagaimana ditetapkan peraturan kepada pelajar di universiti.

Kita mahu melihat pelajar tingkatan enam berubah imej dengan pakaian kemas dan berkasut hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan. Dengan perubahan sedemikian tidak nampak lagi perbezaan pelajar tingkatan enam dengan rakan sebayanya di peringkat prauniversiti.

Pakaian pelajar tingkatan enam ini perlu diberi perhatian utama dalam usaha Kementerian Pelajaran memberi wajah baru kepada pelajar STPM.

Cadangan ini bersesuaian dengan pengumuman bahawa perubahan besar bakal dilakukan kerajaan dengan memisahkan pelajar tingkatan enam daripada pelajar tingkatan satu hingga lima di sekolah sedia ada untuk ditempatkan di pusat pengajian khas.

Banyak pihak menyambut baik berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-7 di Yogyakarta, Indonesia kelmarin.

Tingkatan enam sepatutnya menjadi pentas bagi melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti.

Oleh itu amat sesuai sekali sistem pelajaran tingkatan enam diberi penjenamaan semula. Imej pelajar, sistem dan kualiti pendidikan tersebut perlu diselaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain.

Memang elok sangat cadangan Muhyiddin supaya kelas tingkatan enam dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada. Guru yang mengajar pelajar tingkatan enam juga harus golongan guru yang berbeza.

Apa sahaja yang difikirkan baik untuk memulihkan semangat dan imej tingkatan enam, lakukanlah. Kalau kerajaan mahu mengkaji tempoh pembelajaran tingkatan enam dipendekkan kepada enam bulan lebih awal seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar matrikulasi, maka teruskan usaha tersebut.

Memang kerajaan perlu mengubah sistem pendidikan tingkatan enam kerana persepsi sebilangan besar masyarakat terhadap tingkatan enam dilihat berada di peringkat bawah berbanding dengan pendidikan matrikulasi sedangkan kelulusan dan kelayakan pelajar yang mengambil STPM dan matrikulasi adalah sama. Mereka perlu bersaing untuk merebut tempat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : NUTP sokong penstrukturan semula tingkatan enam


KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat sekarang merupakan masa yang tepat bagi kerajaan melakukan penstrukturan semula terhadap tingkatan enam supaya setaraf dengan pendidikan pra universiti.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata usaha tersebut patut diberi perhatian kerana berdasarkan keperluan sekarang ia sangat relevan bagi mempertingkatkan sistem pendidikan tingkatan enam.

"Kena struktur lebih teratur supaya kokurikulum dan akademik menjadi seimbang dan tidak seperti sekarang yang mana bagi tingkatan enam mereka lebih menekankan akademik berbanding kokurikulum," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata jika kerajaan bersedia mengkaji tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran, ia juga perlu mengkaji sistem kokurikulum serta silibus mata pelajaran yang diguna pakai hari ini.

"Jika kerajaan mahu tempoh pembelajaran tersebut sama dengan matrikulasi atau pusat asasi yang ada sekarang, mereka perlu meneliti setiap dasar kokurikulum dan silibus sedia ada kerana silibus sekarang banyak dan ia perlu dipendekkan supaya dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya.
   
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat pelajar tingkatan enam di sekolah harian sepatutnya diberi layanan istimewa berbanding pelajar tingkatan lain, dengan kemudahan-kemudahan setaraf dengan pelajar kolej matrikulasi atau pun mahasiswa peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya sememangnya pelajar tingkatan enam setaraf dengan pelajar matrikulasi dan diploma yang mana mereka perlu diasingkan dengan bangunan baru atau pun menubuhkan satu lagi sekolah khususnya untuk pelajar tingkatan  enam dan dilengkapi dengan kemudahan asrama.

"Kebanyakan sekolah yang mempunyai pengajian tingkatan enam terletak di kawasan bandar, pelajar yang tinggal di kawasan kampung terpaksa berulang-alik dan mengambil masa lama dalam perjalanan ke sekolah," katanya.   

Beliau juga berkata kelayakan guru yang mengajar tingkatan enam juga amat penting kerana pada masa ini, kebanyakan guru tingkatan enam pada masa yang sama turut mengajar tingkatan lain di sekolah menengah harian.   

"Setakat ini tiada masalah bagi bilangan guru yang mengajar tingkatan enam di seluruh negara tetapi jika guru-guru diberi pengkhususan dalam mengajar subjek tingkatan enam sahaja, mutu pembelajaran dan proses pengajaran  akan menjadi lebih berkesan," katanya.
 
Mohamed Sabri berkata memandangkan struktur penilaian tingkatan enam tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berdasarkan kepada penilaian berterusan  mencakupi kerja kursus, maka tugas guru tingkatan enam akan menjadi lebih berat dan tidak hanya kepada tugas mengajar sahaja.

Seorang guru tingkatan enam yang enggan dikenali, menyambut baik cadangan yang ingin dibuat oleh kerajaan dalam penstrukturan tersebut kerana ia akan menjadi lebih sistematik dalam sistem pendidikan pada masa depan.  

"Sangat bagus jika tingkatan enam akan distruktur semula kerana ia lebih teratur, mungkin jika ia distruktur semula akan wujud peraturan, dasar-dasar sendiri dan tidak bercampur dengan sekolah harian seperti sekarang," katanya.   

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mencadangkan supaya pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di Kolej Matrikulasi dan Pusat Asasi Sains.

Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihatkan bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Pusat Asasi Sains anjuran universiti-universiti awam tempatan.  -- Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : Malaysia-Jepun Meterai Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi



SEPANG : Malaysia pada Jumaat memeterai kerjasama strategik dengan Jepun bagi mengembangkan aktiviti pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Jalinan kerjasama itu disempurnakan menerusi perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Hirofumi Hirano.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, MoU itu adalah bagi menggalakkan kerjasama teknikal dalam beberapa bidang termasuk pertukaran kepakaran tenaga pengajar, maklumat mengenai sistem dan sktruktur pendidikan tinggi serta teknologi baru pendidikan.

"Kerajaan Malaysia berharap perjanjian itu akan menjadi simbol kepada hubungan dua hala yang erat dan kukuh dan mencerminkan rakan perkongsian lama antara kedua-dua kerajaan dalam bidang latihan dan pendidikan tinggi," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kedua-dua menteri berkenaan mengadakan mesyuarat dua hala tertutup selama 30 minit di sebuah hotel di sini sejurus Hirano tiba untuk lawatan dua hari ke Malaysia sempena ulang tahun ke-30 Dasar Pandang Ke Timur oleh Malaysia.

Setakat Disember tahun lepas, sejumlah 1,689 pelajat Malaysia menuntut di Jepun yang mana 1,641 daripada mereka ditaja oleh kerajaan manakala 48 atas tajaan sendiri.

Selain itu, seramai 68 pelajar Jepun menuntut di Malaysia iaitu 28 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 58 di IPT swasta. - BERNAMA

ISU SOSIAL : 47 peratus pekerja muda 'dijangkit' hutang serius



SHAH ALAM - Kira-kira 47 peratus daripada pekerja muda mengalami masalah hutang yang serius, demikian menurut satu kajian kendalian pertubuhan bukan kerajaan kepenggunaan, Pusat Kajian dan Sumber Pengguna (CRRC).

Penemuan pusat itu juga menunjukkan bahawa bayaran bulanan hutang pekerja-pekerja muda 30 peratus atau lebih daripada pendapatan kasar.

Malah menurut CRRC, kajian mereka juga menunjukkan seramai 37 peratus mengakui bahawa mereka berbelanja di luar kemampuan mereka.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, CRRC menambah, seramai 15 peratus pekerja muda tidak mempunyai simpanan langsung.

"Bagi yang mempunyai simpanan, sekiranya mereka berhenti bekerja (atas beberapa sebab tertentu), secara purata hanya mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung keperluan selama empat bulan," tambah pusat itu yang mengendalikan kajian berkenaan dengan perilaku dan sikap pekerja muda.

Secara purata, katanya, pembelian menggunakan kad kredit adalah RM702 sebulan.

Menyenaraikan penemuan-penemuan lain, CRRC berkata, seramai 37 peratus tidak pernah terfikir tentang persediaan untuk persaraan.

"Bagi yang pernah memikirkan tentang persediaan untuk persaraan, 60 peratus tidak begitu berpuas hati dengan persediaan mereka," katanya lagi.

Malah kajian pusat itu juga menunjukkan bahawa 43 peratus memberikan kurang mempunyai pengetahuan kewangan.

"Secara amnya, pekerja muda memberikan skor yang rendah untuk tahap pengurusan kewangan diri mereka sendiri. (skor purata 2.75 pada skala 1 hingga 4 di mana 4 ialah pengetahuan pengurusan kewangan yang lemah)," kata CRRC lagi.

Kaji ini dijalankan bagi pihak Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Kementerian Kesihatan Pandang Serius Masalah Mental Di Kalangan Rakyat


KUALA TERENGGANU : Kementerian Kesihatan memandang serius terhadap peningkatan masalah mental yang menjurus kepada penambahan kes membunuh diri di kalangan rakyat negara ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
"Kementerian memang memberi perhatian serius kepada masalah kesihatan mental ini dengan mengadakan program teras dengan menumpukan kepada kumpulan sasaran, bukan sahaja masyarakat umum tetapi juga kumpulan sasar seperti kanak-kanak, remaja, mereka yang menghadapi tekanan dan berisiko dan sebagainya.
"Kita juga mengadakan perbincangan dengan majikan bagaimana untuk mengurangkan stres atau tekanan di kalangan pekerja, serta menjalankan kajian di peringkat sekolah kerana ia (gejala bunuh diri) bukan sahaja berkait rapat dengan tekanan malah banyak lagi faktor lain yang bersangkut paut dengan masalah kesihatan mental," katanya  kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri Umno bahagian Kuala Terengganu di sini Jumaat.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan laporan kajian kebangsaan, sebanyak 1,136 kes bunuh diri dilaporkan berlaku antara tahun 2007 dan 2010 dengan kadar 1.3 bagi setiap 100,000 populasi rakyat.
Menurutnya, mereka yang berumur antara 24 dan 44 tahun yang dikategorikan sebagai kumpulan produktif dikenal pasti paling ramai membunuh diri di negara ini dengan golongan lelaki paling ramai membunuh diri berbanding wanita dengan peratusan 75 berbanding 25 peratus.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye pula dilaporkan sebagai berkata di Malaysia, kadar kes bunuh diri telah meningkat antara 19 dan 20 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding lapan orang pada tahun 1980.
Rosnah berkata kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan mempunyai garis panduan khusus dalam menangani gejala ini, namun ia menuntut kerjasama daripada semua pihak bagi menanganinya.
Beliau berkata dengan penubuhan Majlis berkenaan serta kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta swasta, kementerian mengharapkan masalah yang semakin kritikal itu dapat diatasi.
Katanya kementerian itu juga telah menempatkan Pakar Kesihatan Keluarga di Klinik Kesihatan di seluruh negara yang bertanggungjawab untuk melakukan saringan terhadap mereka yang berisiko atau cenderung untuk mengambil jalan singkat dalam menangani masalah yang dihadapi dengan membunuh diri.
"Kita galakkan pelajar, remaja atau individu yang menghadapi masalah atau tekanan mengunjungi Klinik Kesihatan ini. Tugas pakar kesihatan ini ialah melihat kepada ciri-ciri atau simptom-simptom yang berlaku dan memberi rawatan sewajarnya termasuk merujuk kes kepada pakar psikologi," katanya.
Menurut Rosnah, walaupun masih belum ditempatkan secara 100 peratus, namun kebanyakan Klinik Kesihatan di seluruh negara telah mempunyai Pakar Kesihatan Keluarga. - BERNAMA

ISU GLOBAL : Kekuatan Ikhwan Muslimin berasaskan wasatiyah


Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN

PELANTIKAN pemimpin Ikhwan Muslimin, Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir merupakan satu kejutan kepada kuasa besar. Ini menunjukkan bahawa rakyat negara berkenaan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin Ikhwan menerajui Mesir.

Sejarah menunjukkan bahawa pemimpin Mesir yang menjadi boneka kepada kuasa besar bukan sahaja menjurus negara menjadi bankrap malah turut mengamalkan pelbagai sistem pemerintahan yang menekan, menindas dan membunuh rakyat. Penderitaan begini dihadapi oleh rakyat Mesir lebih daripada 80 tahun.

Perubahan corak kepimpinan Mesir merupakan era baru ke arah pembentukan negara demokrasi yang bercirikan Islam. Apabila dikaji sejarah pembentukan Ikhwan Muslimin dalam aspek objektif, prinsip dan aktiviti-aktivitinya yang komprehensif dan moderat maka adalah tidak sukar bagi Morsi membentuk Mesir berasaskan kepada sistem demokratik yang disokong oleh rakyat Mesir yang beragama Islam dan Kristian.

Pengiktirafan hak dan keistimewaan kepada kesemua penduduk Mesir tanpa mengira agama dan jantina merupakan konsep wasatiyah yang ingin dilaksanakan oleh Morsi.

Rakyat Mesir terdiri daripada pelbagai etnik. Sebanyak 98 peratus daripadanya dikenali sebagai bangsa Mesir, satu peratus etnik Badwi, Nubian dan Beja. Satu peratus keturunan Eropah iaitu Perancis, Itali, Armenia dan Greek. Penganut agama pula terdiri daripada 90 peratus Muslim Sunni, sembilan peratus Koptik dan satu peratus masyarakat Kristian daripada pelbagai gereja.

Berdasarkan kepada struktur populasi penduduk Mesir maka adalah tidak sukar bagi kerajaan baru negara tersebut membentuk sebuah kerajaan demokrasi yang bercirikan masyarakat majmuk. Tambahan pula masyarakat Koptik Kristian Mesir mempunyai banyak persamaan budaya dan tradisi dengan masyarakat Islam.

Konsep universal, kemanusiaan dan persaudaraan tanpa mengira agama dan bangsa berdasarkan kepada prinsip Islam yang didokong oleh Ikhwan disokong oleh majoriti masyarakat Islam dan juga masyarakat Kristian.

Sikap yang tegas dalam mempertahankan perjuangan organisasi adalah antara faktor yang menyebabkan pergerakan ini dihormati oleh masyarakat. Pemimpin Ikhwan tidak akan bertolak ansur dengan ahli-ahli yang bertindak ganas dan radikal. Contohnya, pada 28 Disember 1948, seorang lelaki muda yang baru empat tahun menyertai Ikhwan membunuh Perdana Menteri Nuqrashi.

Ketua Ikhwan ketika itu, Hasan al-Banna secara terbuka menentang tindakan itu dan menjelaskan bahawa individu tersebut perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya. Hasil daripada tindakan radikal ini, kerajaan mengambil tindakan yang paling ganas memusnahkan ibu pejabat Ikhwan dan merampas kesemua kewangan persatuan.

Sikap universaliti Ikhwan dalam arena politik mendapat perhatian ahli politik beragama Kristian. Contohnya, pada Disember 1948, 4,000 ahli Ikhwan ditangkap dan dipenjarakan, ibu pejabat Ikhwan dimusnahkan dan kesemua harta Ikhwan dalam bentuk kewangan sama ada dalam bank atau pelaburan dibekukan oleh kerajaan Mesir.

Tidak ada seorang pun dalam negara yang berani bersuara menentang kerajaan ketika itu kecuali Makram 'Ubayd Pasha seorang pemimpin politik Kristian Koptik yang lantang mengkritik kerajaan dan beranggapan bahawa kerajaan tidak senang hati dengan kecapaian Ikhwan dalam aspek kewangan dan aktiviti kemasyarakatan seperti pembinaan sekolah, hospital, kilang dan syarikat perniagaan.

Begitu juga, ketika Hasan al-Banna ditembak mati oleh ejen kerajaan tidak ada seorang pun daripada ahli-ahli Ikhwan dibenarkan mengiringi jenazah beliau ke kubur kecuali saudara terdekat beliau.

Jenazah beliau dikawal ketat oleh kereta kebal dan kereta penggempur ke tanah perkuburan. Ketika itu hanya Makram 'Ubayd Pasha seorang sahaja yang berani merempuh barisan polis yang mengiringi mayat Hasan al-Banna.

Ikhwan tidak menyokong pergerakan Islam radikal seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wa'-Hijrah. Mereka mempercayai bahawa perubahan sosio-politik dan ekonomi memerlukan proses evolusi bukan revolusi. Tumpuan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial merupakan asas kepada pembentukan negara yang mana hanya dapat dicapai secara evolusi proses.

Pemimpin tertinggi Ikhwan yang ketiga, 'Umar Tilmisani menekankan bahawa "Hanya melalui perubahan secara berperingkat sahaja masyarakat boleh menerima Islam sebagai asas kepada struktur ekonomi, sosial, perundangan dan politik".

Konsep perjuangan yang berbentuk universal dan komprehensif melalui proses evolusi merupakan asas kejayaan Ikhwan dalam arena politik. Ikhwan mempunyai persediaan yang lengkap dari sudut pengalaman dan kepakaran dalam aspek kemasyarakatan, politik dan ekonomi.

Walaupun dalam suasana ditindas oleh rejim yang mendapat sokongan kuasa besar pergerakan ini mampu membentuk satu pergerakan Islam yang terkaya di Mesir dan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat yang berbeza etnik dan agama.

Berdasarkan kepada sokongan dan kekuatan ini maka Morsi secara yakin menjelaskan bahawa di bawah kepimpinannya kesemua masyarakat tanpa mengira jantina dan agama akan mendapat hak dan keistimewaan dalam negara. Sikap keterbukaan yang ditonjolkan oleh beliau mungkin dapat meyakinkan kuasa besar bahawa pergerakan Islam yang moderat dan universal lebih prihatin terhadap konsep kemanusiaan sejagat.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Cabaran besar Mesir era baru



Oleh : Mohd Azizauddin Mohd Sani

Pada 30 Jun lalu, Mesir mula menerjah era baru politik apabila Dr Mohammed Morsi mengangkat sumpah sebagai Presiden pertama yang dilantik dari kalangan rakyat awam.

Tiada siapa menjangkakan bahawa sejarah Mesir tertulis sebegitu jika tidak berlaku Revolusi Mesir, khususnya di Dataran Tahrir dan peletakan jawatan Hosni Mubarak lebih setahun lalu. Pemilihan Morsi sebagai Presiden dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir pada 24 Jun lalu mengisytiharkan beliau memenangi pilihan raya Presiden dengan jumlah undi sebanyak 51.7 peratus menewaskan Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri era-Mubarak yang memperoleh 48.3 peratus undi.

Dengan kemenangan itu, Morsi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Sebenarnya Morsi adalah calon pilihan kedua bagi gerakan Ikhwanul Muslimin selepas calon pilihan mereka, Khairat El-Shater ditolak pencalonannya.

Cabaran utama Morsi bagi menghidupkan agenda ‘Mesir baru’ terletak pada faktor domestik yang mencakupi transformasi sistem politik dan antarabangsa melalui dasar luar serantau.

Morsi menghadapi cabaran besar yang memerlukan transformasi sistem politik yang akan memberi peluang kepada demokrasi dan kebebasan subur dilaksanakan. Perkara pertama yang harus dilaksanakan oleh Morsi ialah menyatupadukan rakyat Mesir yang terpisah berdasarkan fahaman politik seperti Islamis, nasionalis, liberal, sosialis, Kristian dan minoriti di samping peranan tentera yang masih menonjol dalam politik Mesir.

Morsi telah mengumumkan beliau akan melantik naib presiden beliau daripada kalangan wakil Kristian dan wanita. Beliau juga bercadang mempengaruhi perancangan untuk meminda Perlembagaan Mesir dengan mengetengahkan agenda perlindungan ke atas hak sivil awam dimantapkan, di samping tidak mengetepikan agenda Islamisasi sederhana bersesuaian dengan kehendak dan kebaikan umum.

Meskipun begitu, Morsi harus berhadapan dengan golongan birokrat yang masih ramai setia menyokong Mubarak. Golongan birokrat sebagai pelaksana dasar dilihat mampu merencatkan agenda pembaharuan Morsi sekiranya mereka tidak bekerjasama dengan beliau dan tidak menyokong dasar yang dirancang.

Tentera pula masih lagi berpengaruh dan telah menunjukkan niat mereka untuk membatasi kuasa presiden dan Eksekutif pimpinan Morsi. Telah berlaku perundingan belakang tabir antara pihak Ikhwanul Muslimin dengan tentera dalam usaha untuk berkongsi kuasa.

Masalah yang dihadapi Morsi ialah tentera masih menguasai penuh kuasa badan perundangan, khususnya yang menyangkut proses menyemak semula Perlembagaan dan juga kuasa penentu kepada dasar luar dan keselamatan.

Ini berlaku setelah mahkamah yang didukung tentera pada Jun lalu membubarkan dewan perundangan yang mana wakilnya dipilih secara demokratik, namun didominasi wakil Ikhwanul Muslimin.

Tentera juga menubuhkan sebuah majlis yang akan memberikan khidmat sebagai badan eksekutif tertinggi bagi dasar luar dan keselamatan. Presiden dan Perdana Menteri akan juga berada dalam majlis tersebut, namun kuasa dan suara mereka terbatas kerana majlis itu didominasi oleh jeneral tentera dan keputusan yang dibuat juga adalah secara majoriti, satu kelebihan terancang kepada tentera.

Terdapat ramai pihak yang bimbang akan penguasaan golongan Ikhwanul Muslimin di dalam politik Mesir menyetujui tindakan tentera itu.

Untuk menghindarkan konflik baru wujud antara Ikhwanul Muslimin dengan tentera di dalam era baru ini, kedua-dua pihak dilihat bersetuju untuk mencontohi model Turki dalam hubungan antara tentera dan kerajaan awam. Field Marshal Hussein Tantawi dan jeneral dalam Majlis Tentera sedang mengkaji sekiranya Model Turki dapat dilaksanakan di Mesir.

Morsi pula mahukan peranan tentera dibataskan dalam politik. Namun pemerintahan beliau haruslah bercirikan moderate Islamis seperti pemerintahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang popular dan mendapat mandat kuat daripada rakyat.

Bagaimanapun, pendekatan sekular Turki mungkin tidak akan dilaksanakan di Mesir yang mana penduduknya tidak sepenuhnya mengamalkan sekularisme. Menyedari hal itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menasihati eksekutif dan tentera Mesir sekiranya inginkan transformasi dan pembaharuan sistem politik, mereka harus berkompromi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Ke mana industri kewangan Islam 20 tahun akan datang?


Oleh DR. AMIR SHAHARUDDIN

MASYARAKAT Islam di Malaysia amat bertuah kerana dapat melihat perkembangan industri kewangan Islam yang berlaku dengan begitu rancak. Dalam tempoh tiga dekad sahaja, negara kita mempunyai 17 institusi perbankan Islam yang menguasai lebih 20 peratus pasaran perbankan tempatan.

Industri Takaful juga berkembang pesat dengan wujudnya lapan syarikat yang bersaing secara sihat. Selain itu, pasaran saham negara juga tidak ketinggalan dalam menyediakan alternatif pelaburan berteraskan Islam apabila lebih 800 saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syarak.

Kemajuan yang dicapai dalam industri ini juga mendorong penawaran program-program pengajian dalam bidang kewangan Islam. Disebabkan permintaan yang tinggi daripada pihak majikan, maka institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berlumba-lumba menawarkan kursus di peringkat pra dan pasca siswazah dalam bidang berkaitan.

Persoalan yang timbul, ke manakah hala tuju industri ini dalam tempoh 20 tahun akan datang? Mampukah institusi kewangan Islam bertahan dan meneruskan perkembangan yang sedang rancak berjalan? Bagaimana industri ini mencorak program pengajian dalam bidang perniagaan, perakaunan, perbankan dan kewangan?

Dalam suatu dialog yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, Dr. Zamir Iqbal dari Bank Dunia telah memberikan pandangan yang kritis tentang perkara-perkara di atas. Menurut beliau, masa depan industri kewangan Islam tidak begitu meyakinkan kecuali dua perubahan besar dilakukan.

Pertama, institusi-institusi kewangan Islam perlulah lebih berani dalam menawarkan produk-produk kewangan yang inovatif dan berbeza dengan kewangan konvensional. Masalah utama industri ini adalah produk-produk yang ditawarkan tidak mempunyai ciri-ciri tersendiri. Hal ini kerana institusi-institusi kewangan Islam menerima pakai metod duplikasi (peniruan) dalam memperkenalkan produk-produk baru mereka.

Ini bermakna, produk-produk kewangan konvensional akan 'diislamkan' selepas beberapa proses penjernihan dibuat. Oleh kerana kerangka sistem kewangan yang diguna pakai masih sama, maka metod sebegini tidak mampu mencapai objektif pengharaman riba seperti yang dijelaskan oleh para ulama.

Institusi-institusi kewangan Islam hanya dilihat sebagai pengantara kewangan yang menyalurkan modal kepada individu dan syarikat tanpa menanggung risiko yang sepatutnya. Oleh yang demikian, ramai yang beranggapan kedua-dua produk kewangan Islam dan konvensional adalah serupa. Tiada perbezaan ketara dari aspek nilai ekonomi, sebaliknya hanya berbeza dari sudut penggunaan terminologi.

Justeru, institusi-institusi kewangan Islam disaran supaya lebih berani dalam menanggung risiko perniagaan yang diceburi. Sebagai contoh, sukuk yang ditawarkan perlulah benar-benar menterjemahkan konsep perkongsian untung rugi. Pada masa ini, walaupun sukuk disandarkan kepada sesuatu aset atau pelaburan yang berpotensi tinggi tetapi pulangannya terikat dengan kadar tetap berpandukan kepada penanda aras seperti KLIBOR (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate).

Sepatutnya kadar pulangan pelaburan sukuk adalah berdasarkan kepada keuntungan sebenar projek perniagaan yang berjaya. Ia mungkin jauh mengatasi kadar KLIBOR semasa. Sekiranya umat Islam tidak dapat melihat ciri-ciri perbezaan di antara instrumen pelaburan Islam dengan konvensional, maka dikhuatiri sokongan mereka terhadap sistem kewangan Islam akan menurun pada masa-masa akan datang.

Perbezaan di antara produk kewangan Islam dan konvensional amat ditekankan kerana masyarakat mahu melihat perubahan sosio-ekonomi kesan daripada meninggalkan riba dalam urusan kewangan seharian mereka. Ulama menjelaskan bahawa kezaliman dan penindasan ekonomi akan dapat dihapuskan sekiranya riba dijauhkan dalam semua aktiviti kewangan.

Namun, sehingga hari ini perubahan yang diharapkan masih belum dapat dirasai secara signifikan. Kita sedar akan kekangan-kekangan yang dihadapi oleh pengamal industri kewangan Islam, tapi usaha yang lebih inovatif dan berani perlu dilaksanakan supaya industri ini kekal maju dan terus berkembang.

Kedua, para penyelidik dalam bidang kewangan Islam perlu melipat gandakan usaha mereka dalam menghasilkan idea-idea inovatif untuk dimanfaatkan oleh pengamal-pengamal industri berkaitan. Isu utama yang dihadapi dalam hal ini ialah kekurangan penyelidikan yang dapat menganalisis secara kritis dalam menghasilkan penemuan-penemuan yang praktikal. Walaupun kemajuan dalam industri ini menarik minat ramai penyelidik namun tahap penyelidikannya masih rendah.

Di Barat, kemajuan yang dicapai oleh sistem kewangan konvensional adalah disokong oleh data-data yang konkrit yang dihasilkan oleh para sarjana mereka. Industri kewangan Islam juga memerlukan kepakaran yang serupa daripada penyelidik-penyelidik Islam untuk terus relevan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Selain itu, aspek modal insan juga perlu diberi perhatian. Malaysia dilaporkan memerlukan lebih 10,000 tenaga kerja mahir dalam industri ini menjelang 2015. Ramai ahli profesional diperlukan untuk meningkatkan lagi kemajuan sektor pengurusan harta Islam, zakat, wakaf dan baitulmal di samping industri perbankan dan kewangan Islam.

Namun apa yang perlu ditekankan adalah pengisian program-program pengajian sama ada di peringkat diploma, diploma lanjutan, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah supaya berjaya melahirkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tetapi mempunyai sifat amanah.

Krisis kewangan global baru-baru ini memberi pengajaran kepada dunia betapa pentingnya memiliki seorang pengurus dana yang amanah dan meletakkan kepentingan umum mengatasi kerakusan peribadi.

PENULIS ialah Timbalan Presiden Persatuan Muamalat Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/