Khamis, 31 Januari 2013

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Sindiket godam e-mel, pintas akaun cecah RM7.3 juta tumpas


KUALA LUMPUR - Polis membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.

Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu. 

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DSP Mohamad Lazim Ismail berkata, penipuan itu boleh menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan kedua-dua belah pihak.

"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.

Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.

Mohamad Lazim berkata, syarikat antarabangsa yang berurusan dengan syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Mexico dan China.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod keselamatan untuk membukanya.

"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan faksimili," katanya.

"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional, setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, bagi awal tahun ini sehingga 15 Januari lepas, tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.

Mohamad Lazim berkata, sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.

"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada 2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.

"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika, jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran arahan menerusi e-mel.

"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat B.

"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima  e-mel  tersebut mereka terus  membuat pembayaran seperti  dalam arahan e-mel  tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah diubah sindiket asing," katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.

Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat. - Bernama

ISU PENGAJIAN TINGGI : Borang matrikulasi boleh dikemas kini bermula Isnin


KUALA LUMPUR - Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan membuka talian untuk mengemas kini borang permohonan bagi sesi 2013/2014 bermula 4 hingga 18 Febuari ini.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan melalui internet boleh berbuat demikian di http://apps.moe.gov.my/matrikulasi/kemaskini atau melalui laman web kementerian di www.moe.gov.my.

Pemohon diminta untuk memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPM untuk tujuan mengemas kini manakala mereka yang menggunakan laman web kementerian perlu menggunakan ruangan e-PERKHIDMATAN berkala.

Keputusan ke program matrikulasi akan dikeluarkan lima minggu selepas keputusan SPM diumumkan secara rasmi di laman web kementerian.

Pelajar yang ditawarkan ke program matrikulasi juga perlu mencetak sendiri surat tawaran yang akan dikeluarkan secara online, namun tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM kerana ia akan diambil terus dari Lembaga Peperiksaan.

Pelajar boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-88844083/4036/4040 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja, jika mempunyai sebarang pertanyaan. - Bernama

ISU GLOBAL : Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar


 Oleh : MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my / afifirazak@gmail.com

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat prihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.

Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan keberanian beliau untuk berusaha menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang hebat bergolak. Sesungguhnya, kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

'Negara kuasa pertengahan' ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan 'besar' dan bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan 'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada 'misi campur tangan ketenteraan' (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang 'taring'nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan 'multilateralismenya'. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Banyak yang telah ditulis oleh sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-negara kuasa besar dunia ini. Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya 'Peacekeeping and Critical Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping menulis mengenai bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur perkembangan politik antarabangsa.

Robert Cox dalam artikelnya yang bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana institusi kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang yang tinggi.

Mark Duffield pula dalam bukunya yang bertajuk 'Global Governance and the New Wars: The Merging of Development and Security' (2001) mengatakan bahawa sebenarnya isu global pada hari ini bukanlah sangat mengenai isu terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana negara-negara kuasa besar dunia dapat menyuntik fahaman liberalisme dan demokrasi serta membentuk jaringan konflik yang tidak liberal ke seluruh pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan Barat.

Demikianlah sikap 'talam dua muka' (double-standard) negara-negara kuasa besar dunia terhadap negara-negara lain dalam konteks politik antarabangsa semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya sebagai bakal 'negara kuasa pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada 'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.

PENULIS ialah pensyarah sains politik, Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sembilan IPTS Bakal Jalani Semakan Kelestarian


CYBERJAYA : Kementerian Pengajian Tinggi mengenal  pasti sembilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bakal menjalani semakan kelestarian tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

IPTS tersebut ialah Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Malaysian University of Science and Technology, AIMST University, Twintech University College of Technology, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Linton University College, Kuala Lumpur Metropolitan University College dan Lincoln University College.

Beliau berkata semakan kelestarian itu merupakan satu 'pemeriksaan kesihatan' ke atas IPTS untuk memantau pentadbiran dan penawaran perkhidmatan serta program yang ditawarkan.

“Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil daripada  institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS akan melakukan semakan kelestarian ini yang dijangka bermula bulan Februari ini.

“Terpulang kepada jawatankuasa ini bila selesai kajian tersebut. Tindakan (semakan kelestarian) akan dibuat oleh Sektor IPTS kementerian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di sini Khamis.

Mohamed Khaled berkata IPTS tersebut dipilih berdasarkan kelemahan atau aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan dan prestasi mereka, atau yang dibuat secara rambang.

Selasa lalu, dalam Amanat Tahun Baru 2013 kementerian itu, beliau mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 IPTS setiap tahun untuk mengenal pasti IPTS yang mempunyai risiko dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan.

Beliau berkata semakan kelestarian itu dilakukan untuk memastikan Malaysia berjaya menjadi hab pendidikan di rantau ini.

“Kini terdapat 70 buah universiti dan kolej universiti swasta di seluruh negara. Sehubungan itu, kementerian perlu mengambil berat perkhidmatan, kualiti program, infrastruktur yang sedia ada untuk memastikan mereka menjadi pemain penting untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan,” katanya. - BERNAMA